Monday, February 20, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab16.

Assalamualaikum.

Dalam proses menyiapkan manuskrip-manuskrip yang ada, aku ada pasang seorang pembantu. Ceh! Haha. Pembantu laa sangat. Beliau yang banyak membantu aku ni adik aku sendiri, Suhaili. Ya, dia sangat banyak membantu aku dari segi menyemak semula manuskrip tu, mana tahu ada yang salah eja atau kesalahan-kesalahan yang lain. Selain tu, dia juga seorang yang tegar mendengar setiap imaginasi aku. Baik, kan dia? :') Kadang-kadang siap bagi idea lagi. Thank you so much, my lil sis :')

Sudi-sudikanlah membaca entri yang terbaru ni. Kalau rasa elok, share laa :') Nak komen pun, sangat laa dialu-alukan. Selamat membaca dan semoga terhibur :')












Bab enam belas
MESKI belum tamat waktu pejabat, Hilman angkat kaki terlebih dahulu. Berguna juga status anak majikan yang disandangnya. Untung-untung, dia boleh mengular. Lagipun, dia bukan pekerja tetap di syarikat papanya. Dia bergegas pulang untuk menjemput Munir di Taska Perdana Indah. Janji sudah dimetri bersama dengan anak kecil berusia lima tahun itu dan janji itu mesti dikota. Tidak mahu Munir berkecil hati pula nanti. Walau Munir baru sahaja berusia lima tahun, anak bongsu Karmilla itu pandai menarik muka tanda merajuk.
            Hilman membelok ke kanan. Dia memberhentikan kereta di bawah sebatang pohon rendang yang terletak tidak sampai dua puluh meter dari pusat jagaan itu. Sepuluh minit menunggu, barulah dia ternampak bayang Munir keluar dari pusat jagaan Taska Perdana Indah.  Dari kejauhan Munir sudah melambai-lambai. Anak kecil itu berlari-lari anak mendapatkan Hilman dengan sebelah tangan dipegang erat oleh seorang gadis melayu berbaju kurung moden.
            “Papa!” Munir berteriak kegirangan. Terus dia melompat dalam pelukan Hilman.
            Hilman menciumi wajah Munir sehingga Munir ketawa kegelian. Kemudian pipi tembam itu pula dicubitnya.
            “Macam mana dengan anak papa hari ni? Belajar okey ke tak?” tanya Hilman.
            Munir tersenyum lebar dan menunjukkan ibu jarinya tanda segala berjalan dengan baik semasa di sekolah hari ini.
            “Munir baik hari ni. Tak nakal,” celah Muslia sambil mengusap kepala Munir yang erat memegang tangan Hilman.
            Hilman memandang Muslia. Muslia turut sama memandang ke arahnya. Mereka saling berbalas senyuman. Muslia jelas kelihatan tersipu malu tatkala renungan Hilman lebih tajam merenungi diri.
            “Munir masuk dalam kereta dulu. Kat luar panas. Kejap lagi kita balik,” kata Hilman. Munir mengangguk laju dan meluru masuk ke dalam kereta seperti yang diarahkan.
            Hilman berpaling ketika terdengar Muslia berdehem perlahan.
            “Encik Hilman nampak sayang benar pada anak Puan Karmilla. Rajin datang ambil Munir kat sini.” Muslia memulakan bicara.
            “Tengok pada gaya awak ni, macam suka kat budak-budak. Kalau dah kahwin nanti, boleh jadi suami mithali, kan,” sambung Muslia.
            Hilman tersenyum mendengar butir bicara Muslia.
            “Saya dah anggap anak-anak Karmilla tu macam anak saya sendiri,” balas Hilman. “Muslia, awak nampak lainlah hari ni.”
            “Lain? Apa yang lain?” soal Muslia. Kerutan di dahi jelas kelihatan.
            Hilman menyoroti diri Muslia yang berdiri bertentangan dengannya. Gadis yang dikenali dua minggu lalu nampak ringkas dengan hanya mengenakan sepasang kurung moden. Rambut panjang melepasi bahu itu pula diikat kemudian dilepaskan ke depan. Ada riben kecil berwarna hitam dikepil pada rambut.
            “Nampak cantik,” puji Hilman.
            Muslia kembali tersipu-sipu. Pujian Hilman begitu bermakna. Ah, memang dia sengaja tampil cantik dan manis semata-mata untuk bertemu dengan jejaka ini. Sempat juga dia bersolek sedikit tadi. Munir pula menjadi batu loncatan untuknya bertemu Hilman.
            “Mana ada. Biasa aje ni,” dalih Muslia sedang hakikat hatinya kembang kuncup dek pujian tadi.
            Muslia menoleh ke belakang ketika terdengar namanya dilaung kuat. Rupanya Kak  Rina yang memanggil. Wanita beranak satu itu berdiri di depan pagar dengan tangan melambai-lambai ke arahnya.
            Kacau daun betullah Kak Rina ni! Muslia menggerutu dalam hati. Terbantut pula niat hendak terbang bersama puji-pujian Hilman sebentar tadi. Kalau bukan hari ini, esok atau lusa masih ada. Mudah-mudahan esok Hilman yang datang menjemput Munir lagi.
            “Kak Rina dah panggil. Saya kena masuk dalam dulu. Hati-hati bawa kereta,” ujar Muslia sebelum meminta diri.
            Sampai sahaja di depan Kak Rina, Muslia berpaling. Hilman tiada di tempat tadi. Lelaki itu sudah pun masuk ke dalam kereta. Dia melihat kereta yang dipandu Hilman sehingga akhirnya kereta itu hilang dari pandangan mata.
            “Apa yang kau tengok, Mus?” tanya Kak Rina.
            Muslia senyap. “Akaklah ni, panggil-panggil Mus. Potong mood betullah,” omel Muslia.
            Kak Rina mencekak pinggang.
            “Eh, aku pula yang kena. Hah, ni kau mesti dah angau dengan Hilman, kan? Sejak-sejak kau dah kenal dengan budak Hilman tu, rajin betul kau hantar Munir sampai depan mata Hilman. Sebelum ni, tak pernah buat macam tu.”
            “Siapa yang tak boleh angau kat Hilman tu? Semua perempuan boleh terjatuh hati pada dia tau,” kata Muslia dan menyambung, “Bukan setakat bergaya, kacak, menawan, baik pula tu. Bila cakap lembut aje. Sekali dia senyum, boleh cair hati Mus ni. Seminggu terbayang-bayang.”
            Kak Rina mencebik. Sungguh-sungguh Muslia memperkatakan segala kebaikan lelaki bernama Hilman.
            “Kadang-kadang, lelaki yang macam tu, yang cakap lemah-lembut, bermulut manis, boleh buat kita terjatuh hati dalam sekelip mata, serba-serbi baik tu boleh jadi buaya darat tahu! Kau tak takut ke Mus kalau terjumpa dengan spesis macam buaya darat tu? Perempuan keliling pinggang. Sekejap dengan perempuan tu. Sekejap dengan perempuan ni.”
            Muslia menjungkit bahu. Buaya darat? Lelaki kacak, bergaya dan baik seperti Hilman, tentu ramai kawan perempuan.
            “Buaya darat ke, buaya tembaga ke, buaya emas ke, Mus tak takut. Mus tak kisah. Yang penting, Encik Hilman tu merupakan lelaki idaman hati Mus,” tekan Muslia dalam senyuman mekar. Dia berlalu meninggalkan Kak Rina yang termangu-mangu mendengar kata-katanya tadi.

“PAPA, kita nak pergi mana? Papa kata nak bawa Munir pergi kedai mama.” Petah Munir membicarakan apa yang terlintas difikiran tatkala menyedari Hilman melencong ke tempat yang tidak pernah dikunjungi.
            Hilman senyum. Dia mengusap lembut kepala Munir.
            “Papa nak pergi supermarket kejap.”
            “Nak beli apa?” tanya Munir lagi.
            Hilman membuka tali pinggang keledar yang melingkari tubuh kecil Munir. Waktu itu mereka sudah sampai di hadapan sebuah pasaraya.
            “Papa nak beli barang sikit,” jawab Hilman.
            “Munir nak coklat, boleh?”
            Hilman mengangguk. Lebar senyuman Munir.
            “Boleh sayang. Jom,” ajak Hilman. Tangan Munir erat dalam genggaman. Dia tidak mahu Munir hilang dari sisinya. Hilman mengunci kereta sebelum mengorak langkah memasuki pasaraya itu.
            Selepas mendapatkan barang yang ingin dibeli, Hilman memenuhi keinginan Munir pula. Munir kelihatan keliru ketika memilih makanan ringan yang dikehendaki. Semua nampak sedap. Semua menjadi kegemarannya. Sepuluh minit berlalu, barulah Munir dapat membuat pilihan. Coklat bar berjenama Cadbury juga yang diambil tangan kecil itu.
            Hilman meletakkan barang-barang tadi di atas kaunter bayaran. Seorang lelaki berusia lewat 30-an membuat kiraan jumlah harga semua barang itu. Hilman memberikan sekeping wang kertas lima puluh ringgit kepada lelaki berbangsa cina itu selepas lelaki tadi selesai mengira.
            “Terima kasih,” ucap lelaki itu semasa memulangkan baki wang kepada Hilman.
            Hilman mengangguk dan segera beredar. Munir membontoti langkah Hilman. Setibanya di kereta, Munir menyelongkar beg plastik yang dibawa Hilman. Dia mahu mengambil coklat yang dibeli tadi.
            “Papa, ini untuk apa?” Munir menunjukkan riben berwarna hijau.
            “Nak bagi kat orang,” balas Hilman.
            Munir membelek riben itu. “Macam riben yang Kak Elis buat untuk Kak Mona hari tu. Cuma yang Kak Elis buat tu bukan plastik macam yang ni,” celoteh Munir. Dia menyimpan semula riben itu ke dalam beg plastik.
            “Kak Elis pandai buat riben?”
            Munir mengangguk. Mulut itu sedikit comot dengan kesan coklat.
            “Haah. Baju pun Kak Elis pandai buat,” kata Munir lagi.
            “Munir suka Kak Elis?”
            Munir mengangguk. “Suka. Kak Elis baik.”
            Hilman tersenyum meleret.

KEMUNCULAN Hilman bersama Munir disambut oleh Karmilla. Sebaik sahaja ternampak Karmilla, Munir terus berlari mendapatkan ibunya. Hilman pula tersenyum melihat gelagat Munir. Kemudian dia berjalan mendekari Karmilla.
            “Lambat sampai hari ni,” tegur Karmilla. Lama juga dia menantikan kepulangan Munir. Dia cuba menelefon Hilman, tetapi tidak dapat. Telefon ditutup. Resah dia sendiri. Mana tahu ada sesuatu terjadi ke atas Hilman dan Munir.
            “Ada telefon Hilman tadi tapi tak dapat. Kenapa matikan telefon tu? Yang menunggu kat sini dah tak boleh duduk diam.”
            Hilman menggaru kepala. Sengaja dia mematikan telefon bimbit sejurus Diandra dan Tania menelefonnya dan kedua wanita cantik itu mengajaknya untuk keluar bersama. Belum lagi melayani kerenah Amanda. Jalan terbaik melepaskan diri dari belenggu panggilan-panggilan itu, dia mematikan telefon bimbit. Tidak menyangka pula tindakan itu meresahkan Karmilla.
            “Bateri habis. Tak perasan,” bohong Hilman. “Yang penting sekarang ni, anak kesayangan dah ada depan mata, kan. Mana Mona? Hari ni tak bawa Mona datang butik ke?”
            Hilman tercari-cari kelibat Mona. Kebiasaannya Mona terlebih dahulu berlari mendapatkannya.
            “Hari ni Mona duduk rumah. Tadi pun papa yang datang jemput kat sekolah. Tak sempat nak pergi ambil dia, banyak kerja. Berkejar ke sana ke sini dari pagi. Petang macam ni baru dapat duduk kat butik. Rehat sikit.” Kata-kata itu disusuli dengan satu keluhan berat. Bagai melepaskan segala keletihan yang menggeluti diri waktu itu.
            “Bawa apa tu?” tanya Karmilla.
            “Ni?” Hilman mengangkat beg kertas yang dipegangnya. “Ada barang sikit.”
            Karmilla mengangkat kening. Dia melihat isi di dalam beg itu. Cuma ada bungkusan berwarna putih dan riben hijau melekat di atasnya. Dia tidak mahu bertanya untuk siapa bungkusan itu kerana difikiran sudah terbit pelbagai andaian.
            Hilman tersegih. Seakan dapat membaca apa yang sedang berlegar dalam kepala Karmilla.
            “Kenapa semalam petang tak datang? Mona tunggu sampai budak tu tertidur. Bila dia bangun, terus tanya sama ada Hilman datang ke tak.”
            Wajah Hilman bertukar riak.
            “Dia marah?”
            Karmilla menggelengkan kepala. “Terpaksa tipu dia sikit. Kalau kata Hilman langsung tak muncul, mahu dia tarik muncung dengan Hilman hari ni.”
            Hilman mengurut dada. Lega.
            “Hilman selalu macam ni. Buat janji dengan budak-budak tu, lepas tu tak tepati. Dah berapa kali Hilman buat macam ni?”
            Hilman terkulat-kulat. Karmilla mengungkit semuanya hari ini. Memang dia selalu mungkiri janji. Ada ketika dia terlupa. Kadang-kala dia sengaja. Tindakannya itu dipengaruhi tiga orang wanita; Diandra Zulaikha, Tania dan Amanda.
            “Semalam petang ada hal sikit kat pejabat. Lepas tu kawan ajak keluar makan pula.”
            Perbualan Karmilla dan Hilman terhenti apabila tiba-tiba Elisa datang mencelah. Hilman tidak lepas memandang Elisa. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki direnungi. Raut wajah Elisa turut diperhati dari setiap sudut. Elisa menyedari Hilman mencacakkan pandangan yang begitu tajam pada dirinya namun dia buat tidak tahu sahaja. Diri bagai sudah masak dengan perangai Hilman walau tidak pernah mengenali lelaki itu secara lebih dekat.
            “Kak, kain yang hari tu dah sampai belum? Ingat nak kalau dah ada kain tu, Elis nak mula buat baju untuk Linda.”
            Karmilla menepuk dahi. Sungguh dia terlupa. Mujur juga Elisa bertanya.
            “Akak lupa nak pergi ambil. Semalam orang kedai dah telefon. Akak janji nak ambil hari ni. Mmm... kejap lagi akak pergi kedai tu,” ujar Karmilla.
            “Elis boleh tolong ambilkan.” Elisa menawarkan diri.
            Karmilla tersenyum lantas menggelengkan kepala.
            “Tak apa. Nanti akak yang ambil. Bukan jauh mana pun.”
            Kalau itu kata Karmilla, Elisa menurut sahaja. Elisa terus berlalu pergi. Tidak tahan berdiri lama-lama di depan Hilman. Bukan kerana dia segan. Bukan juga kerana malu. Tetapi perasaan meluat melebihi segalanya. Dia menyampah apabila Hilman merenungnya dengan renungan begitu. Macam hendak telan orang sahaja!
            Entah apa yang tidak kena dengan dirinya hingga Hilman terdaya memandang tanpa mengalih tumpuan sedikit pun. Dia bukanlah seperti perempuan-perempuan yang bergandingan dengan Hilman. Pantang direnung sedikit, hati terbuai-buai. Setakat renungan tajam Hilman itu, dia tidak merasakan apa-apa.

No comments: