Monday, February 4, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab23.

Assalamualaikum.








"...Forgiveness is the final form of love..." - Reinhold Niebuhr











Bab 23
KATA orang, air yang dicincang tidak akan putus. Begitu jugalah dengan hubungan kekeluargaan. Andai terpisah lama, sekiranya ada peluang dan dengan izin-Nya, maka pertemuan itu pasti akan berlaku. Tiada yang mustahil jika sudah diatur oleh yang Maha Kuasa.
            Dalam pada rasa syukur kerana masih diberi peluang untuk mengecap kasih-sayang keluarga kandung, sebenarnya dia gementar. Gementar untuk berdepan dengan kaum keluarga yang tidak pernah dikenalinya.
            Nurul Ain menarik nafas dalam. Dua hari lagi, dia akan diperkenalkan kepada semua orang sebagai anak kepada Datuk Awang Kader, secara rasminya. Ketika Datuk Awang Kader memberi cadangan itu, dia mahu menolak tetapi melihat kesungguhan ayahnya, dia angguk kepala. Mungkin cara ini lebih baik. Panggil semua kaum keluarga dan kenalan rapat, umumkan dialah anak Datuk Awang Kader yang hilang dua puluh dua tahun yang lalu.
            Mata Nurul Ain menyoroti Asyikin yang melulu masuk ke dalam biliknya.
            “Ada apa, Kin?” soalnya.
            “Ada orang nak jumpa kakak kat luar tu,” beritahu Asyikin.
            Nurul Ain bangun. “Siapa?”  
            Asyikin jungkit bahu.
            Nurul Ain berfikir sejenak. Siapa agaknya? Ayah ke? Sampai di pintu, dia tidak keluar sarung selipar, sebaliknya mengintai di sebalik langsir. Mengecil matanya memerhati orang di luar sana.
            “THF?” Mulut itu melontar tiga huruf konsonan yang membawa satu maksud yang tidak difahami Asyikin.           
            “THF? Apa tu, kak?”
            Nurul Ain menggeleng kepala. Asyikin tidak perlu tahu rasanya. THF membawa maksud Tengku Hanif Faisal. Panjang sangat nama itu, maka dia pendekkan. Eh, Tengku Hanif ke? Kalau THF, dia enggan keluar. Lagipun buat apa THF datang sini. Perang dingin itu masih berleluasa antara mereka. Lebih spesifik, dia yang berperang dingin. Tengku Hanif pula, nampak gaya macam mahu berbaik dengannya.
            Eh, ada perempuan pula! Nurul Ain mengamati dari jauh susuk tubuh perempuan itu. Macam kenal. Tubuhnya kecil-kecil, sederhana tinggi dan rambut itu pula bertocang dua. Eh, Anisa ke? Terkebil-kebil dia di sebalik langsir. Lelaki itu siapa pula? Mesti kekasih Anisa. Nurul Ain menepuk kepala. Dalam banyak-banyak orang, Tengku Hanif juga yang menyusuri otaknya. Terus dia berlari keluar tanpa menyarung apa pun sebagai alas kaki.
            “Nisa!” teriak Nurul Ain.
            “Ain!” Anisa turut memekik.
            Keduanya saling berpelukan dan berpusing-pusing dengan penuh keriangan. Baru dua hari lepas mereka keluar makan bersama, tapi gaya macam tidak jumpa setahun!
            “Rindunya! Rindunya!” ujar Nurul Ain. Senyumnya sampai ke telinga.
            Anisa menyiku pinggang temannya. “Aku pun. Rindu sangat dengan kau.”
            Mereka saling berpandangan sebelum kembali berpelukan dan ketawa bersama.
            “Ehem!”
            Serentak, pelukan antara mereka terlerai. Nurul Ain terperanjat. Anisa pula tersengih lebar.
            “Hai.” Lelaki itu mengukir senyuman kecil.
            Nurul Ain menatap lama wajah lelaki itu. Eh...
            “Irfan!” Berdecit suara Nurul Ain.
            “Yes, it’s me. Irfan.” Tawa Irfan meletus.
            “Macam mana boleh sampai sini?” soal Nurul Ain.
            “Ada GPS bergerak,” jawab Irfan sambil memandang Anisa.
            “Dah banyak kali datang kedai, baru hari ni dia tanya aku kat mana rumah kau,” kata Anisa. Dikerling Irfan yang berdiri di sebelahnya. Dalam hati, dia cemburu juga. Semua cari Nurul Ain. Sebelum ini Tengku Hanif, hari ini Irfan pula. Dua-dua pemuda menjadi igauannya. Namun rasa cemburu itu hanya sementara. Tidak sampai satu saat pun, ia sudah hilang.
            “Awak datang cari saya? Untuk apa?”
            Irfan melarik senyuman lagi. “Saja. Office sunyi tak ada awak, Ain.”
            Nurul Ain ketawa mengekek.
            “Jomlah, kita masuk dalam,” pelawaNurul Ain.
            “Eh, tak apa.” Irfan menolak.
            “Habis tu, buat apa datang kalau tak jemput masuk rumah? Nak berdiri depan pintu pagar aje ke?”
            “Emm... kita keluar makan, nak?” cadang Irfan. Anisa yang di sebelah mengangguk bersetuju.
            Makan lagi! Setiap kali ada orang datang mencari dia, pasti kesudahannya cari makan di luar. Rezeki, jangan tolak Ain, desis hati kecilnya.
            “Sekejap ya. Saya beritahu mak,” tutur Nurul Ain lalu segera menapak masuk ke dalam rumah.

TIDAK pula dia tahu Irfan kaki melawak. Sampai kering gigi asyik menganga luas ketika terekah-dekah ketawa. Tidak dipeduli orang sekeliling yang ada waktunya melirik ke arah mereka bertiga.
            “Nasib baik abang pandai pujuk. Kalau tak, ombak rindu jadi tsunami mengganas!” Irfan bersuara seperti pelakon komedi Abon yang memenangi gelaran juara bersama rakan sepasukan, Os di dalam pertandingan Maharaja Lawak.
            Mengekek Nurul Ain dan Anisa ketawa. Naik senaki perut mereka berdua. Dengan slang ala-ala Jawa si Irfan yang tidak berapa menjadi itu, menambah perisa lawak antarabangsa yang diperdengarkan kepada mereka.
            “Tak pernah tengok ke? Osbon tu best tau,” kata Irfan.
            Nurul Ain menggeleng kepala. Dia mana layan sangat cerita yang disiarkan di kaca televisyen. Paling kuat pun dia tonton Semanis Kurma. Hah, tipu! Sebenarnya dia tidak berpeluang menikmati rancangan yang diminati kerana kebiasaan Asyikin yang duduk di depan televisyen. Makanya, dua puluh empat jam kartun memanjang. Bila emak pula yang hadap televisyen, memanjang tengok saluran Astro AFC. Belajar masak katanya. Dia pula, terus hayun kaki masuk bilik dan tidur. Saat remote control dalam tangan, terasa dunia miliknya. Dan situasi dunia miliknya itu jarang-jarang berlaku.
            “Tengok Ombak Rindu ke?” Anisa bertanya. Dia menyumbat straw ke dalam mulut.
            “Tengok,” jawab Irfan.
            Nurul Ain dan Anisa berpandangan sesama mereka berserta kerutan di dahi sebagai tanda tidak percaya. Irfan layan Ombak Rindu?
            “Tak percaya?”
            Pantas kedua-dua kepala itu menggeleng.
            “Bukan tak percaya, just rasa takjub.” Anisa bersuara. Lelaki tonton filem cinta, pasti romantik. Aduhhhh! Cair hatinya.
            “Apalah kamu berdua ni. Itu pun nak takjub.” Irfan ketawa. “Apa salahnya tengok filem cinta. Kalau filem cinta orang putih boleh layan, setakat cerita cinta orang kita buat, masuk jugak. Lagipun, kalau bukan orang kita yang sokong filem tempatan, siapa lagi?”
            Terangguk-angguk kepala Nurul Ain dan Anisa. Bernas betul kata-kata itu.
            “Tapi kalau saya nak tengok pun, depends on the story. Kalau setakat bodoh-bodoh punya filem naik panggung, memang tidaklah.” Irfan menyambung bicara lagi.
            Sekali lagi, dua teman itu mengangguk kepala. Irfan ketawa. Kelakar pula melihat cara Nurul Ain dan Anisa. Dua-dua angguk, dua-dua tertegun.
            Sepeninggalan Anisa ke bilik air, membuka peluang Irfan untuk bertanya sesuatu yang sudah lama bersarang dalam hati.
            “Something happened,” kata Nurul Ain.
            “Hanif berhentikan awak?”
            Nurul Ain menggeleng. Dia sempat mengamati si Irfan yang sering membuat mereka ketawa besar. Tidak sangka, Irfan adalah sepupunya. Senang hatinya kerana mengenali Irfan terlebih dahulu dan dia tahu Irfan seorang lelaki yang baik.
            Ada juga terfikir hendak beritahu statusnya kepada Irfan tetapi dia rasa ada baiknya Irfan tahu nanti, sewaktu majlis yang direncanakan Datuk Awang Kader. Macam mana agaknya reaksi Irfan? Terbit senyuman halus di bibir Nurul Ain.

KEDATANGAN Kathy disambut mesra oleh Datin Sabrina. Nampak sahaja muncung kereta Kathy, terus laju dia berlari ke muka pintu, menyambut Kathy peri menantu kesayangan. Tengku Hanif mengerling kurang senang. Rimas betul bila Kathy ada depan mata. Kalau tidak menyibuk tidak mengapa. Ini macam bayang-bayang dia pula. Tengku Hanif hendak angkat kaki, tetapi belum pun sempat dia melarikan diri, Datin Sabrina pantas memanggil namanya.
            “Hanif layan Kathy,” arah Datin Sabrina.
            Terjungkit kening Tengku Hanif. Aku pulak? Desis hatinya. “Mama nak ke mana?” soalnya.
            “Mama nak tengok papa kamu tu. Dari tadi kat belakang, tak muncul-muncul,” kata Datin Sabrina lantas meninggalkan dua manusia itu dengan harapan keduanya boleh saling berbual dan mengeratkan hubungan yang difikirnya biasa-biasa sahaja.
            “Rindunya I kat you!” tutur Kathy.
            Tengku Hanif mengelak daripada menjadi mangsa pelukan Kathy. Tidak beradab betul. Ada ke patut hendak peluk dia. Dia lelaki. Kathy perempuan. Dianggap tanah air ini persis luar negara. Tengku Hanif membawa diri ke ruang tamu. Terkedek-kedek Kathy mengejar langkah Tengku Hanif.
            “Family you ada buat party ke this weekend?” tanya Kathy.
            Party? Amboi perempuan perasan orang putih ni, tak ada benda lain nak fikir gamaknya. Tengku Hanif geleng kepala.
            “Then...” Kathy berjeda. Tiba-tiba senyumannya lebar sampai ke telinga. Jelingan manja terarah pada Tengku Hanif. “Ke mama you dah arrange majlis pertunangan kita? God! I kena cari baju untuk majlis kita tu nanti.” Beria-ia Kathy berkata. Mukanya terus berseri-seri.
            “Pardon me?”
            Terdiam terus Kathy dibuatnya. Terpinga-pinga.
            “Siapa yang nak bertunang dengan you?” Tengku Hanif mencapai sebuah majalah di atas meja. Buka muka surat tengah-tengah, terpampang muka Irfan. Ditatap lama sebelum menutup kembali majalah itu.
            “Youlah!”
            “I don’t think so, Kat.”
            Panjang terus muncung Kathy. Tanda protes. Dia baru hendak rasa senang hati, terus hancur angannya dek penangan kata-kata Tengku Hanif tadi. Memang spesis tidak tahu jaga hati.
            “Kalau bukan majlis kita, majlis apa pulak? Takkan daddy you nak kahwin lain?”
            “Majlis kesyukuran.” Pendek jawapan yang diberi.
            Berkerut dahi Kathy. “Apa daddy you dah jumpa anak perempuan dia yang dah lama hilang tu ke? Ke majlis kesyukuran bersempena daddy you dah boleh terima hakikat anak dia tak ada kat dunia ni lagi?” Niat Kathy yang hendak bergurau itu menjadi pencetus kemarahan Tengku Hanif. Mencerlung mata Tengku Hanif.
            “Please jaga mulut you tu,” tegur Tengku Hanif.
            “What?” Kathy pula bengang. Semua salah! Apa yang dia cakap tidak benarkah? Dia tahu kisah keluarga ini. Dia tahu trauma dan kemurungan yang pernah dialami oleh bapa saudaranya. Kisah Dayang Nur Aisha yang hilang sewaktu kemalangan berpuluh tahun dulu bagaikan cerita ulang-tayang.
            Daripada membendung rasa sakit hati di situ, lebih baik dia pergi cari Datin Sabrina. Sekurang-kurangnya dia boleh terus menghimpit hati wanita itu menyukai dirinya.
            Bagus dia pergi! Tengku Hanif berkata sendirian dalam hati.

KEPULANGAN Irfan disambut Puan Marlissa. Irfan menyalami tangan ibunya sebelum masuk ke dalam rumah.
            “Irfan ke mana? Pagi lagi dah hilang.” Puan Marlissa membontoti langkah si teruna. “Ada photoshoot lagi ke?”
            “Taklah, bu. Irfan jumpa kawan.”
            “Kawan?” Bersinar-sinar mata Puan Marlissa. Alhamdulillah, bisik hatinya lega.
            “Hujung minggu ni kita pergi rumah Ayah Ngah. Keluarga mereka ada buat majlis doa kesyukuran,” beritahu Puan Marlissa.
            “Sempena apa?”
            “Entahlah. Ibu pun tak tahu. Ni, sekejap lagi ibu nak minta tolong Irfan hantarkan Maisara pergi kelas tuisyen.”
            Irfan sekadar mengangguk.
            “Abang!” Maisara berlari menuruni tangga. Tangan Maisara memegang sesuatu.
            “Abang, Sara jumpa benda ni dalam bilik abang. Kalau Sara nak, boleh tak?” Maisara memeluk Irfan dari belakang. Meski sudah mencecah usia enam belas tahun, sifat manja Maisara tidak pernah berubah sedikit pun.
            “Apa yang Sara jumpa tu? Bak sini, abang tengok,” minta Irfan. Pelukan itu dileraikan. Dia menunggu Maisara menunjukan barang itu padanya.
            “Ni hah.” Maisara angkat tangan. Seutas rantai berloket hati bergoyangan ke kiri dan kanan. “Cantiklah rantai ni, abang.”
            Belum sempat Maisara memakai rantai itu, Irfan merentapnya terlebih dahulu. Terkedu gadis itu melihat kelakuan drastik si abang. Puan Marlissa turut tertegun.
            “Mana Sara jumpa rantai ni?”
            “Dalam... dalam bilik abang. Kat kotak atas meja tu.”
            Irfan mendengus kasar. “Berapa kali abang dah cakap, jangan sesekali sentuh barang-barang dalam kotak tu. Jangan! Tapi Sara degil kan. Tak dengar cakap abang.”
            Puan Marlissa menyentuh tangan Irfan, supaya Irfan mengendurkan suara dan kemarahannya. Kasihan melihat Maisara yang terkebil-kebil dimarahi oleh Irfan.
            “Sara ni pun satu, kenapa pergi sentuh barang abang? Dah, pergi bersiap. Sekejap lagi nak pergi kelas tuisyen pulak,” kata Puan Marlissa. Apabila Maisara sudah hilang, barulah tumpuannya beralih pada Irfan. Keluhan halus meniti bibirnya.
            “Janganlah marah sangat pada Sara tu.” Lembut Puan Marlissa menasihati.
            “Dah banyak kali Irfan beritahu dia, tapi dia degil. Nak jugak gatal tangan buka sana sini,” gerutu Irfan. Rantai itu diperhati lama.
            “Hah, apa salahnya bagi rantai tu pada Sara. Lagipun buat apa Irfan simpan rantai tu. Bukannya dipakai pun. Berhabuk aje simpan lama-lama.”
            “Tak. Irfan tak akan beri rantai ni pada sesiapa. Rantai ni milik Gia. Sepatutnya milik Gia. Irfan tak akan benarkan sesiapa ambil rantai ni dari Gia,” tegas Irfan. Dia angkat punggung. Laju memanjat tangga naik ke biliknya.
            Puan Marlissa menarik nafas. Nampaknya Irfan masih seperti dahulu. Irfan yang tenggelam bersama cintanya terhadap Gia.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Rerama terasa berterbangan di dalam perut. Adoii! Nebes -..-'

No comments: