Saturday, February 16, 2013

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab25.

Assalamualaikum.








"...The most merciful person is the one who forgives when they can take revenge..."  Imam Hussein (AS)









Bab 25
“NISA! Nisa!” Tergoncoh-goncoh Nirmala berjalan menyusuri setiap ruang di dalam kedai bunga itu bersama suratkhabar ditangan.
            “Anisa!” Laung Nirmala lagi.
            Anisa terperanjat. Baru keluar tandas, sudah terdengar namanya dipanggil kuat. Terkedek-kedek dia berjalan mendapatkan Nirmala. Apa pula yang dimahukan Nirmala kali ini? Menyusahkan betul! Nasiblah kelulusan dia setakat SPM. Itupun ada banyak subjek yang kecundang. Kalau tidak, memang kaki tidak akan jejak di kedai berboskan orang macam Nirmala itu.
            “Ada apa, kak?”
            “Kau ke mana?”
            “Orang ke tandaslah, kak. Memerut,” kata Anisa. Dia menarik kerusi lalu melabuhkan punggung di situ. Bosan sungguh keadaan seperti ini. Selalu nampak Nirmala sahaja. Kemudian asyik bertentang mata dengan lelaki yang selalu dipuji Nirmala. Eee.. bosan tahu tak! Anisa memberontak dalam hati.
            Konon si Megat itu sangatlah berdedikasi, masuk kerja on-time, tidak pernah ponteng dan yang paling penting tidak berperangai seperti Nurul Ain. Jelek Anisa dibuatnya. Alah, Nirmala itu kalau dipuji lelaki walau sedikit, dia punya julang lelaki itu macamlah lelaki itu dewa.
            “Aku ingat kau nak jadi macam Nurul Ain tu. Sekejap hilang sekejap ada,” omel Nirmala.
            Dia dah mula dah. Anisa pekakkan telinga. Sukahati kaulah!
            “Nah, kau tengok ni.” Nirmala menunjukkan suratkhabar yang dipegangnya.
            “Apa kak? Ada berita menarik ke? Ke ada artis bercerai lagi?” Anisa membuat andaian. Fokus betul dia baca suratkhabar itu.
            “Ni hah. Kau tengok ni,” kata Nirmala lalu menuding pada satu ruangan di sudut paling atas. Tajuk besar itu bercetak ‘Ahli Perniagaan Hartanah Temui Anak Kandung Selepas Dua Puluh Dua Tahun Terpisah’.
            Anisa mulai leka membaca. Tidaklah sehangat yang disangka. Sementelah membaca hampir keseluruhan artikel itu, Anisa terpaku sejenak. Eh, dia salah tengok ke? Atau memang gambar Nurul Ain tercetak di ruangan itu? Sorotan mata Anisa kembali membaca nama yang tertera di situ. Nurul Ain Abdullah atau nama sebenarnya Dayang Nur Aisha Awang Kader. Hah? Ain?
            Silih berganti pandangan matanya. Pandang Nirmala dan kemudian pandang suratkhabar itu semula. Betul ke? Ya, dia akui, dia tahu status Nurul Ain sebagai anak angkat dalam keluarga Puan Suriani tetapi tidak pula dia terfikir yang Nurul Ain itu anak kandung ahli perniagaan hartanah berjaya di negara ini. Tergeleng-geleng kepala Anisa tanda terkejut.
            “Betul ke ni, kak?” Anisa mendongak.
            Nirmala mencekak pinggang. “Itulah aku nak tanya kau. Kau kan baik dengan dia. Dia tak ada cakap apa-apa ke pasal keluarga kandung dia?”
            Kerlingan Anisa menghala pada Nirmala. Amboi, bukan main prihatin perempuan ini. Anisa berdehem beberapa kali.
            “Itukan life dia. Saya tak masuk campurlah kak. Kalau dia nak cerita, dia cerita. Kalau tak, biarkan ajelah.” Anisa membalas.
            “Hisy... anak orang kaya rupanya budak tu. Menyesal pulak aku berkasar dengan dia hari tu,” gumam Nirmala.
            Walau perlahan, Anisa dapat menangkap bicara halus itu. Dasar bos tak ikhlas!
            “Eh, kau nak ke mana tu Nisa? Aku tak habis cakap dengan kau lagi. Ada banyak benda yang aku nak tanya kau.”
            Anisa berpaling. Sengihannya cukup sinis. “Kalau akak nak tahu semua, akak tanyalah tuan badan dia sendiri.”
            Dia terus berlalu meninggalkan Nirmala yang mengomel lagi dalam bicara yang dia tidak dengar. Sebaik sahaja sampai di bilik belakang kedai, dia korek kocek seluar lalu mengeluarkan telefon bimbit. Tanpa berlengah, nama Nurul Ain dicari.
            Hah, dapat! Telefon melekat di telinga. Sabar menanti Nurul Ain menyambut panggilannya.
            “Assalamualaikum.” Suara Nurul Ain kedengaran di hujung talian.
            “Ain!”
            “Hoi, jawablah salam dulu. Ini main sergah aje,” marah Nurul Ain.
            Anisa tidak boleh bersabar. Terlalu banyak benda dia ingin tanya. Kalau boleh, dia mahu jumpa Nurul Ain waktu ini juga. Semua perihal Nurul Ain bermain dalam fikiran dan semuanya berbentuk persoalan yang hanya Nurul Ain sahaja mampu beri jawapan.

RENUNGAN mata Nurul Ain tertumpu pada batu nisan yang terukir nama Nur Aminah binti Abdullah, berserta tarikh lahirnya dan tarikh kematiannya. Perlahan-lahan tangannya diangkat tinggi lalu menyentuh batu putih itu. Rasa sebak dan hiba datang menyerbu tiba-tiba.
            Dia tidak pernah kenal siapa keluarga kandungnya, malah tidak pernah terfikir akannya hendak mencari keluarga kandungnya. Selama hari ini, dia rasa cukup bahagia melayari hidup bersama keluarga angkat. Segalanya cukup sempurna dan lengkap. Dia punya ayah, ibu dan adik perempuan. Dia ada nenek di kampung. Dia ada saudara-mara yang tidak pernah mempertikaikan siapa dia.
            Namun kini, yang terbentang di depan mata membuatkan dunianya bergelimpangan. Dia kembali duduk di tempat sepatutnya dia berada. Meski payah hendak dia terima sepenuhnya, tetapi dia belajar. Dia belajar untuk menerima takdir ini.
            Nurul Ain angkat muka. Panahan mata itu tepat menyasar pada Datuk Awang Kader yang setia di sebelahnya. Mata lelaki itu berkaca. Wajahnya tampak suram. Nurul Ain cuba membaca lukisan wajah itu.
            “Ayah...” Nurul Ain menggenggam tangan Datuk Awang Kader. Panggilan ayah itu kian sebati dengan diri. Lidahnya juga semakin lembut menyebut gelaran yang selama ini hanya berpaksi pada Abdul Halim.
            Datuk Awang Kader menoleh. Genggaman itu dibalas erat. Kehadiran Nurul Ain di sisi bagai meniupkan kembali semangat yang pergi. Beban perasaan yang disorok jauh-jauh dalam hati, seperti sudah hilang berterbangan.
            “Terima kasih Ain. Terima kasih kerana kembali pada ayah,” ucap Datuk Awang Kader. Ditarik Nurul Ain ke dalam pelukan.
            Bergenang tubir mata Nurul Ain.
            “Saya yang patut ucap terima kasih kerana ayah tidak pernah berputus asa cari saya.” Nurul Ain membalas.
            Kucupan hangat singgah di dahinya. Waktu itu, Nurul Ain merasa betapa hangatnya kasih sayang Datuk Awang Kader  padanya.
Ya Allah, tidak pernah terdetik di hati aku mengucap syukur di atas keajaiban yang telah kau anugerahkan padaku. Kau kembalikan ayahku. Kau pulangkan keluarga yang telah aku hilang selama ini. Betapa berdosanya aku terhadap kedua ibubapaku, aku menidakkan kewujudan mereka. Aku menolak kehadiran mereka. Ya Allah, sesungguhnya, aku bersyukur, terlalu bersyukur kerana diberi peluang untuk mengenali ayahku, mengenali ibuku meski dia sudah tiada.
Lebih kurang setengah jam duduk berteleku di tanah perkuburan itu, membaca ayat suci dan menyirami tanah kubur tempat jasad Nuraminah disemadikan, kedua beranak itu beransur pulang. Sebelum membontoti langkah si ayah, Nurul Ain sempat berpaling. Doanya dalam hati semoga roh ibunya, Nur Aminah ditempatkan bersama golongan mereka-mereka yang dikasihi Allah.

DUDUK berteleku di atas pangkin sambil menikmati angin petang memang menjadi kegemarannya. Kalau di rumah, dia selalu lepak di anjung rumah. Walau depan mata bukanlah pesona kehijauan terjamah dek mata, hanya kenderaan lalu-lalang, dia tetap perhati suasana itu.
            Nurul Ain mendongak. Kelihatan putik buah rambutan merimbun di ranting keding pokok. Agak-agak, beberapa bulan lagi, pasti putik-putik rambutan ini akan bertukar menjadi buah rambutan yang ranum dan manis. Nurul Ain telan air liur.
            Derap tapak kaki kedengaran semakin hampir. Rasa-rasanya dia tahu siapa. Pantas dia angkat muka dan pamer senyum manis. Sampai ke telinga. Eh? Mati terus senyuman yang dia ukir. Muka berpaling ke depan sana pula. Ekor mata menyingkap tubuh tinggi lampai itu duduk di sebelahnya. Sebelah kaki diangkat naik ke atas pangkin.
            “Buah rambutan Tok Aki ni manis-manis semuanya. Paling sedap, tu, rambutan gading. Manis sangat.” Tengku Hanif berkata sambil menuding jari ke arah depan. Di situ ada sebatang pokok rambutan gading yang agak besar dan tinggi.
            “Awak suka makan buah rambutan?” tanya Tengku Hanif. Ternanti-nanti Nurul Ain buka mulut. Sepatah pun tidak bercakap dengannya.
            Nurul Ain senyap. Lebih senang hati membiar Tengku Hanif bercakap sendiri.
            Tengku Hanif menguis daun yang bertaburan di lantai tanah. Sekejap toleh ke arah Nurul Ain. Hampir bercantum keningnya. Nurul Ain betul-betul mengadap cahaya mentari. Meski hari kian menjengah ke petang, cahaya biasan sang mentari itu masih terik.
            “Tak panas ke?”
            Nurul Ain tetap senyap. Dia tahan diri. Memang panas. Macam manalah dia boleh salah pilih port? Tang matahari juga yang dia tenung.
            “Awak, panas tu. Cuba alih sikit muka tu.” Tengku Hanif berkata lagi. Dia mencuit bahu Nurul Ain.
            “Eee... rimaslah! Pergilah jauh-jauh.” Nurul Ain menggerutu kurang senang dengan nada kasar. Dia mengengsot menjauhi Tengku Hanif.
            Tengku Hanif terkebil-kebil. Salah cakap ke?
            “Kenapa marah-marah?”
            Nurul Ain mengerling Tengku Hanif. Tanya pula! Mana boleh dia tidak marah kalau tiba-tiba ketenangan yang cuba dikecap sebentar tadi terganggu akibat kemunculan makhluk penyamar itu.
            “Orang cakap baik-baik, tanya elok-elok, kena marah pulak,” gumam Tengku Hanif.
            Bagaikan terkena halilintar, Nurul Ain langsung bangkit. Mencerlung matanya merenungi Tengku Hanif. Kalau hendak sindir pun, pergilah jauh-jauh sana. Buat apa berbisik begitu sampai dia sendiri boleh dengar. Bertambah sekilo lagi rasa sakit hatinya.
            “Eh, tak payahlah nak sindir, perli-perli saya. Ingat saya tak dengar ke?”
            Semakin membulat mata Tengku Hanif. Extra terkejut!
            “Marah lagi.” Sepatah ayat keluar dari mulut Tengku Hanif itu bagai menyuntik lagi kemarahan Nurul Ain yang datang entah dari mana.
            “Saya marah tak boleh, awak marah boleh pulak.” Nurul Ain mencekak pinggang. Terus otaknya memutar semua kenangan sewaktu menjadi orang suruhan Tengku Hanif. Gara-gaya lelaki itu jugalah dia diberhentikan kerja. Cukup biadap!
            Sengihan lebar bertamu di bibir Tengku Hanif. “Edisi balas dendamlah ni ye?” teka Tengku Hanif.
            “Tak baik tau balas dendam pada abang tiri,” sambungnya.
            Abang tiri? Errkkk! Memang tidaklah kan. Nurul Ain terus tarik muka masam. Tengok muka Tengku Hanif, terbayang raut wajah suci lagi bersih si Faisal itu. Hatinya pernah berdetak-detik, matanya sering terlihat bayangan Tengku Hanif di muka Faisal tetapi dia tidak pernah menyangka keduanya adalah orang yang sama.
            Biarpun seringkali diberitahu tentang niat baik lelaki itu, dia tetap tidak boleh terima. Kenapa? Dia sendiri tidak tahu kenapa. Ah, orang bohong dia hidup-hidup, mana boleh senang-senang lupa.
            “Siapa adik tiri awak?” sergah Nurul Ain.
            Jari telunjuk Tengku Hanif menuding ke arah Nurul Ain. “Awaklah, Dayang Nur Aisha.”
            Mengecil mata Nurul Ain. Tengku Hanif kaki mengarah dan Faisal si buta baik hati itu langsung tidak padan dengan karekter Tengku Hanif Faisal yang berada di depan matanya saat ini. Pandai bergurau-senda kononnya. Tercebik-cebik muka Nurul Ain.
            Baru hendak membalas kata-kata Tengku Hanif, Nurul Ain menerima satu mesej. Terus dia buka mesej itu. Fikirnya ia datang dari Asyikin memandangkan sebentar tadi dia main mesej-mesej dengan adik kesayangannya itu.
            Dia baca mesej itu. Nombor yang tertera bukanlah nombor yang tersenarai di dalam buku telefon. Berkerut dahinya.
            “Lepaskan semua yang ada di depan mata. Atau kau akan menyesal.”
            Ugutankah? Berdegup kencang jantungnya. Siapa yang menghantar pesanan berbaur ugutan seperti ini? Atau salah nombor? Nurul Ain tidak sedap hati. Berkali-kali dia baca susunan ayat itu.
            Tengku Hanif yang menyedari perubahan wajah Nurul Ain, pantas mendekati gadis itu.
            “Kenapa?”
            Nurul Ain mendongak. Mereka saling berbalas renungan sebelum Nurul Ain mengalihkan pandangan matanya.
            “Tak ada apa-apa,” balas Nurul Ain. Telefon bimbit disimpan semula ke poket seluar.
            “Siapa yang hantar mesej tadi?” Tengku Hanif bertanya lagi. Perubahan riak wajah Nurul Ain sebaik membaca mesej tadi menggamit tanda-tanya.
            “Tak payah nak sibuklah.” Nurul Ain berkata dan terus angkat kaki naik ke rumah.
            “Mana Abang Hanif kamu, Ain?” Tiba-tiba Datin Sabrina menyoal ketika dia baru memijak lantai rumah.
            Abang Hanif? Geli-geleman dia dengar.
            “Ada kat luar tu. Mama nak Ain panggilkan ke?” Nurul Ain pamer senyum.
            “Tak apalah. Ingatkan abang kamu tu hilang ke mana. Hah, Ain nak makan tak? Tadi mama ada masak ikan keli. Jom ikut mama pergi dapur,” ajak Datin Sabrina.
            “Mama masak? Mesti sedap!”
            Datin Sabrina tersenyum. Dipeluk bahu anak arwah adiknya, yang kini menjadi anak tirinya.
            “Jom kita makan. Tok Aki pun dah menunggu Ain tu,” kata Datin Sabrina.
            Nurul Ain mengangguk. Datin Sabrina seorang yang baik. Sangat baik. Dia dilayan peri anak sendiri. Selama dia tinggal sebumbung dengan wanita itu untuk beberapa hari, dia merasakan Puan Suriani berada disampingnya sentiasa. Agaknya arwah ibu seperti Datin Sabrina.

“BILA balik sini?”
            “Esok kot.” Nurul Ain memberi jawapan. Matanya begitu asyik membaca sebuah artikel di dalam majalah. Jangan terkejut kalau dia kata dia sedang baca artikel tentang Tengku Hanif. Ya, Tengku Hanif itulah.Kejayaan Tengku Hanif sebenarnya boleh dijadikan motivasi kepada orang lain terutamanya diri sendiri. Lelaki itu bukan sahaja cemerlang di dalam kerjaya malah prestasinya dalam dunia peragaan turut membanggakan.
            “Lamanya.” Irfan bersuara kecewa di hujung sana.
            Terjungkit kening Nurul Ain. “Lah, apa yang lama? Esok dah balik rumah dah. Awak tahu tak, saya rindukan mak dan Syikin. Dua tiga hari kat sini, asyik terbayang-bayangkan mereka aje,” tutur Nurul Ain.
            “Terbayangkan saya tak?” senda Irfan.
            Mengekek Nurul Ain ketawa. “Memang taklah kan!” balasnya.
            Mereka ketawa bersama.
            Nurul Ain terfikir, sejak bila mereka berdua boleh menjadi kawan sampaikan dia bebas bercerita apa pun? Dia tidak ingat. Apa yang dia tahu, dia selesa bersama Irfan. Irfan seorang pendengar yang baik dan penghibur terhebat. Tidak kering gusi dia ketawa. Sampai senak-senak perut. Persahabatan ini terlalu pantas tetapi cukup menggembirakan hatinya.
            “Dah jumpa apa yang awak mahukan?” Kali ini soalan yang ditanya agak serius.
            Helaan nafas panjang meniti bibir Nurul Ain. Sebaik sahaja sampai di kampung ini, dia meminta Datuk Awang Kader membawa dia ke tanah perkuburan ibunya. Selama dia berkampung di sini, saban petang, dia akan menziarahi kubur ibunya. InsyaAllah, esok sebelum berangkat pulang, dia akan singgah lagi.
            “Dah. Walau menatap kubur sahaja, itu cukup memadai bagi saya,” ujar Nurul Ain.
            “Eh, saya nampak awaklah!” teriak Nurul Ain. Bulat matanya memerhati gambar Irfan yang tertepek di ruangan fesyen dalam majalah tersebut.
            “Awak teropong ke?”
            “Bukanlah. Ini, saya belek majalah ni, tiba-tiba keluar muka awak.”
            “Oh, saya ingatkan awak teropong saya. Baru nak selubung dalam selimut,” seloroh Irfan.
            Nurul Ain ketawa lagi.
            “Kacak tak saya dalam tu?”
            Dari rambut, turun ke mata, terus ke hidung dan akhirnya dia memerhatikan gaya pakaian yang tersarung di gambar kaku Irfan.
            “Bolehlah,” jawabnya.
            “Bolehlah aje?”
            “Hah lah. Nak saya cakap macam mana lagi?”
            “Cakaplah saya kacak ke, handsome ke, macho ke. Tak membantu langsung,” keluh Irfan.
            Lebar senyuman Nurul Ain. Dia kembali membelek mukasurat yang terpampang muka Tengku Hanif.
            “Ain,” panggil Irfan.
            “Apa?” Nurul Ain menyahut perlahan.
            “Saya nak tidur ni.”
            “Okey.”
            “Itu aje?”
            “Selamat malam and have a sweet dream.”
            “Lagi?” Irfan menagih suara Nurul Ain terus melekat di gegendang telinganya.
            “Jangan mengigau tengah malam. Kalau Maisara nampak, mesti dia terkejut lagi.” Menyeringai sengihan Nurul Ain. Baru dia tahu Irfan kaki mengigau. Maisara ada berkongsi tabiat Irfan yang sukar dikikis itu.
            Berdecit suara Irfan di hujung talian.
            “Well, saya kan dah berkawan baik dengan Sara. Jadi, awak kena berhati-hati lepas ni. Akan ada banyak rahsia awak yang akan saya tahu.” Nurul Ain berkata diiringi senyuman kecil. Sukanya dia menyakat Irfan.
            “Ini bukan sweet dream, terus nightmare!”
            Tawa Nurul Ain terburai lagi. Silap-silap, dia pula mengigau malam ini kerana banyak sangat ketawa.
            Sebaik sahaja panggilan itu berakhir, dia kembali mengadap majalah tadi, di mukasurat yang sama. Pen dakwat hitam bergoyangan kiri dan kanan. Penutup pen dibuka dan dia melukis sesuatu di atas kertas bercetak itu. Seulas senyuman mekar di bibirnya.
            Hah, ini baru nampak macam Faisal! Nurul Ain tatap lama-lama. Jauh di sudut hati, dia merindui Faisal. Eh, nanti sekejap! Pengakuan apakah ini? Gila! Faisal itu Tengku Hanif. Tengku Hanif itu Faisal. Tengku Hanif dan Faisal ialah Tengku Hanif Faisal. Kan sudah bercelaru fikirannya. Tergeleng-geleng kepalanya melihat hasil kreatif di muka Tengku Hanif.
            “Cantik tahi lalat tu.”
            Terlepas pen di tangan. Terpelanting jatuh ke bawah kerusi. Spontan, majalah itu dicampak ke bawah meja, sebelum sempat dia mencarik mukasurat yang menjadi mangsa kekreatifannya.
            Lelaki ini pun satu. Suka datang macam hantu. Tidak pernah beri hint terlebih dahulu. Dia yang nampak naik berbulu.
            Tangan Tengku Hanif hendak mencapai majalah tadi tetapi sempat dirembat oleh Nurul Ain. Cepat-cepat dia peluk majalah itu.
            “Terkenangkan Faisal?” Tengku Hanif sengaja mengusik. Sengaja membangkitkan perkara yang dia sedia tahu. Dari mula dia perhatikan tindak-tanduk Nurul Ain. Dia nampak Nurul Ain melukis sesuatu di atas bibirnya. Hanya senyuman lebar sahaja yang menjelma kala itu.
            Tergeleng-geleng kepala Nurul Ain. Terus dia angkat punggung. Niatnya hendak masuk tidur. Dan yang pasti, dia akan bawa majalah ini bersama.
            “Faisal kata, dia pun rindukan awak jugak,” laung Tengku Hanif. Kemudian dia ketawa halus.
            Nurul Ain yang mengatur langkah ketika itu hampir tersungkur. Mujur dia sempat mengimbangi tubuh. Tiba-tiba sahaja ada tangga kecil di situ. Mahu malu kalau dia tersembam di lantai.
            Tersembam? Sekali lagi, otaknya memutarkan kenangan yang tidak begitu indah untuk  dikenang. 

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Dah habis practical dah yeayyy :D Big smile. Tunggu grad aje. InsyaAllah :) TQ darlings yang sudi singgah dan baca setiap entri dalam blog ni. Mekasihhhh :) <3 Sebarang kekurangan, rabak sana-sini, mohon maaf ye :)

No comments: