Sunday, April 14, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 6.

Assalamualaikum.








"...Say what you wish in abuse me, for my silence towards the idiot is indeed an answer. I am not at a loss for a response but rather, it does not befit the lion to answer the dogs..." - Imam Al-Shafi'i










Bab 6
SEPASANG mata memerhatikan Humairah dari jauh. Sejak kali pertama dia nampak Humairah menjejak kaki masuk ke kilang ini, dia tidak pernah senang hati. Humairah menjadi tumpuan pemuda-pemuda di tempat ini termasuklah Shahrul. Shahrul selalu mengekor ke mana sahaja Humairah pergi. Shahrul peri bayang-bayang gadis itu. Dia tidak sukakan keadaan itu. Sedang dia sudah kerja di sini hampir dua tahun tidak dipandang Shahrul, Humairah yang baru beberapa bulan di sini mulai mencuri perhatian Shahrul.
            Erdina memadang penuh perasaan tidak puas hati. Apa yang ada pada anak yatim piatu itu? Rupa? Cantik lagi dia. Humairah tidak memiliki apa-apa keistimewaan pun. Selekeh sahaja dipandang gadis itu. Sudahlah bertudung begitu. Rimas dia yang melihat. Erdina menggumam geram dalam hati.
            Bersinar-sinar bola mata Erdina ketika ternampak Shahrul berjalan ke arahnya. Siap sedia pamer senyuman paling memikat. Gaya persis kucing parsi. Erdina segera alih postur tubuhnya. Dada dihala ke depan. Punggung ditonggek ke belakang. Hah, dia akan mencuri mata Shahrul kali ini.
            “Hai Rul.” Erdina menyapa santun.
            Tidak melekat renungan Shahrul kepada Erdina. Sibuk menghala mata ke persekitarannya. Mencari kelibat Humairah yang tidak terjamah dek mata sepanjang pagi. Selalunya dia nampak Humairah sibuk menjaga bahagian box tissue. Puas dia ulang-alik ke bahagian production itu sampai kena tegur dengan salah seorang pekerja di situ.
            “Rul?” Erdina melontar sapaan lagi.
            Shahrul memandang Erdina. Senyuman tidak terlukis di wajah manis Shahrul. Erdina yang bersungguh-sungguh tempel senyum di pinggir bibir.
            “Kau nampak Ara?” Sepatah Shahrul menyoal.
            Erdina terpana. Sakit hatinya tiba-tiba. Humairah juga yang dicari Shahrul. Erdina menghela nafas kasar. Tidak jadi meliuk-liuk badan. Buang masa kalau tidak ada manusia yang perasan.
            “Mana aku tahu. Aku bukannya babysitter dia,” tingkah Erdina. Membuak-buak perasaan tidak puas hatinya.
            Shahrul mencekak pinggang. Langsung tidak menyedari perubahan wajah Erdina yang mencuka itu.
            “Ke hulu hilir aku cari Ara, tak nampak-nampak. Dia cuti ke?” Shahrul bertanya lagi.
            “Haah. Dia sakit. Dah nak mati pun.” Lancang mulut Erdina berkata begitu sehingga menyebabkan Shahrul tersentak. Membulat mata Shahrul.
            “Kau biar betul?”
            Erdina berpeluk tubuh. “Dah kenapa kalau betul dia nak mati? Kau nak kejar dia lepas tu halang malaikat maut cabut nyawa dia?” sindir Erdina. Tercebik-cebik bibirnya.
            Shahrul mengancing gigi. Sedar bicara Erdina mengarut semata.
            “Kau ni memang suka mendoakan kecelakaan orang, kan?” sergah Shahrul.
            Erdina mencebik bibir. Lekas berlalu meninggalkan Shahrul yang masih tercari-cari kelibat Humairah.      

“HOI!” Hasnol menunjal kepala Erdina yang asyik menonton televisyen. Erdina mendongak. Naik tegang wajahnya.
            “Sakitlah!” tempelak Erdina. Disepak kaki Hasnol yang terjulur ke arahnya.
            Hasnol mengaduh kesakitan. “Sakitlah, bangang!” herdik Hasnol.
            Erdina buat tidak endah. Dia tidak takut kepada Hasnol. Bicaranya juga kasar bila bercakap dengan Hasnol meski Hasnol merupakan abangnya. Hasnol sendiri yang mengajar dia bersikap begitu sejak dia kecil lagi. Antara mereka bagai tiada jurang pemisah. Tiada darjat yang perlu dihormati.
            “Kau ni kerja makan aje,” kata Hasnol.
            “Eh, suka hati akulah. Aku dah penat kerja siang malam, kenalah makan. Kang tak ada tenaga,” tuntas Erdina.
            Hasnol tersenyum. Bekas kerepek ubi kari dirampas dari pegangan Erdina. Erdina mendegus kurang senang. Hasnol ketawa mengekek.
            “Kau cepat-cepatlah kahwin dengan Humairah tu.” Erdina berkata dengan suara mendatar. Jelas menunjukkan perasaan yang bertenggek dalam diri.
            Terjungkit kening Hasnol. Seingatnya Erdina yang bersungguh tidak mahu berkakak iparkan Humairah bila dia beritahu hajat memperisterikan gadis itu.
            “Aku tak suka status single dia tu. Sejak dia masuk dalam kilang tu, Shahrul dah tak pandang aku. Dahlah memang mamat tu tak nampak aku, bila ada perempuan tu, lagilah tak sedar kewujudan aku. Entah aapa yang ada pada perempuan tu pun aku tak tahu. Semak mata aku tengok dia setiap hati,” bebel Erdina. Turun naik nafasnya. Humairah mencuri mata Shahrul dan keadaan itu yang tidak disukainya.
            “Jangan ingat nak kahwin aje. Fikir diri sendiri tu dulu,” tegur Hamdan yang datang dari perut dapur.
            Hasnol memandang ayahnya. Seklas cuma.
            “Aku tahulah, abah. Aku ni dah besar panjang.” Hasnol menjawab selamba, seolah-olah segala ilmu tentang hidup berumahtangga itu berada dalam genggaman.
            Tergeleng-geleng kepala Hamdan. Kalau ikut hati sendiri, jangankan Hasnol hendak kahwin, bercinta pun dia larang. Hasnol itu sudah berusia awal tiga puluhan tetapi masih tidak tahu menjaga diri. Berfoya-foya siang malam. Kerja tidak pernah melekat. Asyik tukar memanjang. Kemudian, Hasnol bukannya jenis makan saman. Cakaplah banyak mana pun, Hasnol buat endah tak endah juga.
            Terpujuk hati memperkenan permintaan Hasnol yang mahu dia menghantar risikan pada Humairah, cucu Rosnah. Itu pun selepas isterinya, Sutinah bersungguh meyakinkan bahawa Hasnol akan berubah selepas berkahwin.
            “Kalau ikut aku, aku tak mahu pinangkan Humairah tu. Tu, mak kau bersungguh cakap yang kau berubah nanti,” kata Hamdan tanpa berselindung sedikit pun. Mencerlung mata merenungi Hasnol. Ada anak lelaki, serupa tak ada anak. Menyusahkan sahaja.
            “Sesuailah Hasnol dengan perempuan tu, bah.” Erdina menyampuk.
            Membulat mata Hamdan. Ini lagi seorang. Yang lelaki perangainya lain. Yang perempuan lain. Sakit kepala dia. Hamdan menggeleng halus. Dalam hati dia berdoa agar diampunkan dosa sendiri andai benar dia tersalah membentuk anak-anak anugerah Allah.
            Hamdan malas hendak bercakap lagi. Dia pun angkat punggung pergi dari situ. Hasnol dan Erdina menyoroti langkah orang tua itu. Mujur mukadimah orang tua tidak masuk bab-bab agama yang sememangnya diabaikan oleh mereka.
            Hasnol bangun. Panas punggung duduk di rumah. Lebih baik dia pergi berjumpa kawan-kawannya yang barangkali sudah menanti di pondok buruk, di pinggir kebun Haji Hasan.
            “Kau nak ke mana?” tanya Erdina.
            “Keluar. Panas duduk rumah. Kau tak panas ke?” Hasnol memandang adiknya.
            Erdina menggeleng. “Kau tu banyak dosa. Sebab tu panas!” kata Erdina.
            “Eh, kau cakap aku. Kau tu pun sama. Sembahyang pun tak pernah. Ada ke kau pijak tikar sembahyang tu? Takkan setiap hari uzur aje.” Hasnol membalas. Tersengih-sengih pandang Erdina yang beriak selamba. Bagai tiada perasaan.
            “Bisinglah kau. Pergilah keluar. Nanti terbakar pulak rumah ni!” herdik Erdina.
            Lirikan mata mengekor tubuh Hasnol sehingga lelaki itu hilang dari pandangan mata.

BOTOL jernih berisi cecair berwarna kuning dihulur kepada Haikal. Anak mata Haikal memerhatikan botol itu. Kepala digeleng laju tanda tidak mahu.
            “Ambillah. Sedap!” kata Hasnol. Tetap memaksa.
            Haikal menggeleng lagi.
            “Tak mahu aku. Ini air haram.” Haikal berkata dan bicaranya itu disahut dengan gelak-ketawa Hasnol, Jali dan Azli yang mulai mabuk akibat meneguk air kencing syaitan itu. Jali dan Azli bergelimpangan di atas tikar mengkuang. Senyum-senyum bagai melihat bidadari syurga datang menyapa mereka dalam dunia khayalan sendiri.
            “Nah! Kau kena cuba.” Hasnol memaksa. Dia mendekati Haikal. Leher Haikal dirangkulnya lalu cuba membasahkan tekak Haikal dengan air yang diminumnya.
            Haikal menolak keras. Segera melompat turun dari pondok itu. Kedua belah tangan di angkat tinggi. Dia tidak pernah menyentuh air haram itu. Apatah hendak meneguknya.
            “Kau ni tak sempoilah! Air ni sedap. Kau kena rasa. Kalau kau tak rasa sekarang, bermakna satu nikmat kau telah ditarik,” kata Hasnol lagi. Jali dan Azli mengangguk bersetuju.
            Tergeleng-geleng kepala Haikal. Setakat main judi, mencuri, bolehlah. Bab minum air arak, memang tolak tepi awal-awal. Pelik, kan? Ada kesedaran tentang haram minuman itu tetapi kesedaran tentang benda haram yang lain, tidak pula dia ambil pusing.
            “Betul kau tak mahu? Habis nanti air ni aku minum.” Hasnol giat menyucuk Haikal. Haikal tetap dengan pendiriannya.
            “Eh tu!” Jali tiba-tiba bangkit. Menuding jari arah kanan mereka. Masing-masing menghala mata ke arah yang ditunjuk Jali.
            Mengecil mata Haikal. Sekelipan senyumannya mekar. Itu Humairah. Terus dia berlari ke arah Humairah.
            Humairah terperanjat. Nyaris-nyaris terjatuh basikal yang diusungnya. Lantas pamer muka ketat. Dia hendak meneruskan perjalanan tetapi laluannya dihalang Haikal. Lelaki itu tersengih-sengih memandang dia.
            “Dah jauh malam. Kau hendak ke mana Ara?” Haikal bersuara lembut. Kepala basikal Humairah dipegang.
            “Sibuklah kau!” herdik Humairah.
            Haikal ketawa mengekek.
            “Sampai ke sini kau cari aku,” kata Haikal lagi.
            “Aku nak ambil nenek akulah. Berurut dekat rumah Tok Jenab,” beritahu Humairah.
            Haikal bertindak nakal. Cuba meraih tangan Humairah. Humairah pantas menepis. Dalam berani, dia takut. Sudahlah keliling tempat ini hutan belukar semata. Lampu jalan pun bukan terang mana. Dibuatnya Haikal kerasukan hantu, tarik dia masuk belukar, jerit kuat mana pun, belum tentu ada orang dengar. Lagipun rumah Tok Jenab nun di hujung sana. Dia sendiri menguatkan hati meredah malam menjemput nenek di sana.
            Humairah berundur setapak ke belakang tatkala ternampak susuk Hasnol datang menghampiri bersama Jali dan Azli. Spontan, dia teringatkan pinangan dari Hasnol. Dia perhati Hasnol yang jalan terhuyung-hayang, bagai ditiup angin. Humairah tidak tahu hendak lari ke mana. Bila Hasnol mendekat, dia terbau sesuatu yang sangat menyucuk lubang hidung. Bau itu sangat keras sehingga dia terpaksa menutup hidung sendiri dengan selendang yang dipakainya.
            “Kau minum arak!” jerkah Humairah.
            Hasnol tertawa. Dia cuba menarik Humairah tetapi Haikal segera menghalang. Ditolak tubuh Hasnol yang menghampiri Humairah.
            “Apa kau ni?” Hasnol menyinga tiba-tiba.
            Humairah sudah hilang dari mata. Bergegas menuju ke rumah Tok Jenab dan merancang bermalam di sana.
            “Kalau bapak kau nampak, masak kau nanti, Nol,” kata Haikal.
            “Ah!” Hasnol menepis tangan Haikal.
            Haikal membontoti langkah Hasnol. Bukan niat dia hendak menyelamatkan Humairah sebaliknya dia terfikir kalau Hasnol yang sedang mabuk itu cuba mengapa-apakan Humairah. Masak nanti. Silap-silap, mereka dituduh cubaan merogol.
            Hasnol kembali terlentang di atas tikar mengkuang. Jali dan Azli pula sudah berdengkur. Hanya Haikal yang masih waras. Duduk bersila di sebelah kawan-kawannya yang tidak sedarkan diri.

TOK JENAB meletak dua biji bantal di atas lantai kayu beralas tikar mengkuang. Sehelai selimut turut diberi kepada Humairah. Humairah menyambutnya berserta kuluman senyum. Panjang leher melihat Rosnah yang duduk berehat di atas tilam nipis tidak beraba jauh dari tempat peraduannya.
            “Tak apa ke Ara tidur sini? Alas tikar aje ni, Ara,” kata Tok Jenab.
            Humairah mengangguk laju. Lekas membaringkan diri penuh selesa. Dia tarik selimut sehingga menutupi sebahagian tubuhnya. Tok Jenab beransur meninggalkan Humairah di situ dan berjalan menghampiri Rosnah. Dia duduk bersimpuh di depan Rosnah. Sambil-sambil itu, dia urut kaki Rosnah. Sesekali ekor mata menyoroti Humairah yang sudah pun diam tidak berkutik.
            “Beruntung kau ada cucu macam Ara tu. Baik budaknya,” kata Tok Jenab.
            Rosnah hanya mampu tersenyum sahaja. Ya, memang dia beruntung kerana mempunyai seorang cucu perempuan seperti Humairah, tetapi bagaimana pula dengan Humairah? Adakah Humairah beruntung kerana memiliki dia sebagai nenek? Rosnah mengeluh kecewa.  Kehidupan Humairah langsung tiada yang sempurna. Impian yang menlangit terpaksa dikuburkan demi dia. Ingatan Rosnah berlari mengingati peristiwa penipuan Kamarul. Sampai hati Kamarul memperlakukan dia sebegini. Sanggup membiarkan keluarga sendiri merempat demi menyelamatkan diri. Rosnah menyeka airmata yang jatuh.
            “Tempoh hari, Hamdan dan Sutinah ada datang jumpa aku.” Rosnah membuka cerita.
            “Jumpa kau? Kenapa?” soal Tok Jenab.
            “Mereka mahu mengambil Ara sebagai isteri kepada anak lelaki mereka.”
            “Hasnol?” Laju Tok Jenab meneka.
            Rosnah mengangguk.
            Berkerut dahi Tok Jenab. Selanjur, dia menggeleng tanda tidak setuju.
            “Jangan!” tegahnya. “Hasnol tu bukannya budak baik. Kutu rayau. Apalah yang difikirkan Hamdan dan Sutinah tu. Hasnol tak layak untuk Ara. Ara boleh dapatkan lelaki yang jauh lebih baik dari anak Hamdan tu,” sambungnya, bersungguh-sungguh.
            Tok Jenab kenal sangat dengan Hasnol. Kes kecurian di rumahnya dulu pun angkara Hasnol dan kawan-kawannya. Cuma dia diamkan sahaja. Kasihan kepada Hamdan dan Sutinah. Entah berapa tebal muka suami isteri itu terpaksa hadap cakap-cakap dan umpatan orang tentang anak-anak mereka.
            “Ara tu muda lagi, Rosnah. Kalau dia nak kerja, biarlah dia kerja. Kalau dia nak kahwin, biarlah bakal suami dia tu nanti orang yang betul-betul layak memperisterikan dia. Bukan manusia macam Hasnol tu.” Tok Jenab mengingatkan.
            Rosnah tidak memberi sebarang reaksi. Matanya terarah kepada Humairah yang tidur membelakanginya.
            Atiqah Humairah, semoga Allah sentiasa merahmati-Mu.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Minggu ni, banyak pulak aku tepek entri. Ini sebagai menandakan dalam masa seminggu dua ni, aku tak akan update apa-apa sebab bab seterusnya tak siap lagi. Jujurnya, aku mengalami masalah nak mencoretkan kisah Humairah -..-' Thanks guys yang singgah ke sini. Terima kasih banyak-banyak. Sangat menghargai :) Happy happy reading! :)

4 comments:

baby mio said...

Siapa hero nya x keluar lg ke nak tahu juga.

~::Salwati Haris::~ said...

@ baby mio

sabar ya :) nanti dia akan keluar juga. hihi

ilman_nafi@ said...

x sabo tunggu next entry !!

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ilman_nafi

Hi :) Thanks sudi drop sini. InsyaAllah, KPHM akan diupdate sekerap mungkin. Mekasih yeeehhh :)