Saturday, April 13, 2013

[Novel] : Yang Kupanggil Sayang Prolog dan Bab 1.

Assalamualaikum.








"...Some people have passed away, but their character has kept them alive. Other are alive, but their character has killed them..." - Imam Shafi'ee









Prolog
HATI itu kembali berdetak nada yang dia tidak tahu ritmanya. Alunannya membuai jiwa sendiri yang datang entah dari mana.
            Dia termangu sendiri. Lewat ekor mata, dia menyoroti seseorang yang berada tidak jauh darinya.
            Untuk sekali lagi, perasaan itu hadir dan dia terus memerhati tanpa berkelip mata.


*************


Bab 1
SUASANA sepi itu bagai sudah sebati dengan diri. Sehingga semilir angin yang melintasi turut mampu didengarinya. Tangan meraba-raba permukaan meja. Hujung jari menyentuh bingkai gambar yang terletak elok di atas meja lampu di sebelah katil. Bila bingkai gambar itu dipegangnya, dia bawa ke dada. Waktu itu juga, airmata jatuh membasahi pipi. Aliran tidak sederas suatu ketika dahulu, namun sendunya masih sama.
            Dada dirasakan berdetak kencang tatkala fikiran menerawang menerobos kenangan lalu. Lubang jiwa yang sedia terpahat di hati kian membesar. Dia tidak mampu melawan badai kesedihan itu. Tidak tertanggung rasanya. Lalu hamburan airmata itu semakin lebat, diiringin esak yang berpanjangan. Puas dia memujuk diri namun dia gagal mengawal emosi. Laksana kejadian itu baru berlaku semalam.
            Berkeriuk bunyi pintu ditolak dari luar. Segera dimatikan tangisannya. Hujung jari menyeka airmata. Dia tahu siapa yang datang mendekat itu. Dari derap kaki, dia mampu meneka. Lekas dia berkalih posisi. Senyuman kecil disungging ke hujung bibir.
            “Maira...” Adilah menegur. Dia labuh duduk di sisi Nur Maira. Bahu gadis itu disentuh lembut. Kemudian dia merenung jauh ke wajah Nur Maira. Sisa airmata masih membasahi pipi itu. Adilah menarik nafas panjang, kemudian dilepaskan perlahan. Walau Nur Maira cuba menyembunyikan kedukaan itu, namun penglihatannya tidak terkesan langsung. Dia masih melihat Nur Maira yang rapuh tatkala kenangan itu menjengah ruang angkasa fikirannya.
            “Chik Die dah nak pergi kedai bunga ke?” Nur Maira bertanya berusaha meletakkan kembali bingkai gambar itu di meja tadi.
            Adilah yang melihat tingkah anak saudaranya itu pantas membantu. Sempat dia memerhatikan bingkai gambar tersebut. Wajah-wajah yang terpotret dibingkai itu kelihatan bahagia. Dan orang yang paling mulus senyumannya tentulah Nur Maira, berdiri di samping seorang jejaka yang turut kulum senyum, bagai menzahirkan apa yang sedang bertinggung di dasar hati.
            “Haah. Maira nak ikut?” Adilah bangun, seraya menyoroti keadaan bilik Nur Maira yang kemas dan teratur. Terfikir juga akannya bagaimana Nur Maira menguruskan dir sendiri dalam keadaan serba kekurangan. Nur Maira sering menolak bantuannya. Malah menganggap pertolongan yang dihulur selama ini hanya beban yang tidak patut dipikul olehnya selaku penjaga Nur Maira. Dalam pada itu, dia sebenarnya kagum melihat kesungguhan Nur Maira. Berdikari dan tidak pernah berputus asa. Ya, Nur Maira masih rapuh, masih berduka, masih merasa pedih dan sedih saat melewati kenangan itu, tetapi dia percaya, Nur Maira semakin kuat menghadapi liku-liku hidupnya yang telah tersurat begini.
            “Nak!” Nur Maira mengangguk laju. Bibir itu dibasahi senyuman lagi.
            Adilah mencapai tangan Nur Maira. Digenggam erat tangan itu.
            “Hari ni Chik Die ada masak sesuatu yang istimewa untuk Maira,” kata Adilah. Perlahan-lahan dia memimpin Nur Maira masuk ke ruang dapur.
            “Kita breakfast dulu sebelum pergi kedai,” sambung Adilah lagi.
            Berkerut dahi Nur Maira mengamati bau yang sungguh harum menusuk rongga hidung.
            “Chik Die masak mee goreng ya?” teka Nur Maira.
            Adilah tertawa kecil.
            “Pandai anak saudara Chik Die ni,” puji Adilah. Dia menarik kerusi lalu membantu Nur Maira duduk dengan selesa. Adilah menuang kopi panas ke dalam cawan. Kemudian menceduk mee goreng masuk ke pinggan. Cawan dan pinggan itu diletak di depan Nur Maira yang nampak tidak sabar hendak menjamah menu pagi itu.
            Nur Maira menyudu mee goreng ke dalam mulut. Dikunyah perlahan. Menikmati keenakan air tangan Adilah. Ibu jari diangkat tinggi sebagai tanda masakan Adilah lazat seperti selalu. Adilah senyum senang.
            Nur Maira hendak menyudu lagi namun tingkahnya terbejat saat fikirannya melorong ke satu wilayah yang sering mengundang nestapa. Pagi ini sahaja, sudah beberapa kali dia hanyut dalam kesedihan itu. Berulang-ulang kali. Nur Maira meletak sudu dan garfu. Adilah angkat muka. Dia memandang penuh kehairanan.
            “Kenyang ke?” soal Adilah. Silih berganti renungannya ke muka Nur Maira dan pinggan yang masih belum luak pun mee gorengnya.
            “Ibu dan ayah suka sangat makan mee goreng yang Chik Die masak. Ibu selalu puji. Ayah pun sama.” Nur Maira membuka bicara.
            Adilah terdiam. Hanya anak matanya sahaja yang merenung tepat ke riak wajah Nur Maira yang kelihatan bergelora.
            Nur Maira ukir senyum halus. Jelas kelihatan kedukaan disebalik senyuman yang menghiasi bibirnya.
            “Irsyad pun suka masakan Chik Die. Dia suka sangat.” Ketika menyebut satu nama itu, Nur Maira tidak dapat menahan kesedihan yang datang lagi melintasi hati. Sedaya upaya dia simpul ketat airmata dari jatuh. Bergenang di tubir mata sahaja.
            Adilah turut berkongsi kesedihan itu. Dia bingkas berdiri, lalu menghampiri Nur Maira. Tubuh kecil itu dibawa ke dalam pelukan.
            “Doakan mereka tenang di sana,” bisik Adilah.
            Nur Maira mengangguk halus.
            Dalam sekelip mata, dia hilang segalanya. Ayah dan ibu meninggalkan dia sendirian. Malah Irsyad, tunangnya juga diambil pergi.
            “Mungkin kita akan kehilangan semua benda yang kita ada, kehilangan insan-insan yang kita sayang, namun selagi kita masih ada Allah, kita miliki semua yang kita perlukan.”
            Kata-kata seorang teman sentiasa mengetuk jendela telinga tatkala seluruh jiwa lumpuh mengenangkan badai yang telah menimpa dirinya.

ADILAH melempar pandang ke arah seorang perempuan berbangsa cina yang datang menghampirinya. Adilah lekas menyambut kedatangan gadis manis itu. Viviena tersenyum simpul, menampakkan giginya yang cantik berseri dan tersusun rapi.
            “Morning!” sapa Viviena dengan ramahnya.
            Adilah bangun. Huluran tangan Viviena disambut. Mereka bersalaman.
            “Morning. Awalnya you datang pagi ni,” kata Adilah, lalu mengambil dua kuntum bunga mawar putih di atas meja, di belakang kaunter pambayaran. Dua kuntum bunga yang berbalut kertas merah jambu diberikan kepada Viviena.
            Sebaik sampai di tangan, Viviena menghidu haruman bunga segar yang menjadi kesukaan mendiang ibunya yang telah meninggal kira-kira tiga tahun lalu akibat kanser payudara.
            “Hari ni, I ada hal. So kena pergi ziarah mummy awal sikit,” beritahu Viviena. Sesekali ekor mata melewati jam dipergelangan tangan.
            “Mana anak saudara you?” Panjang leher Viviena menjenguk ke ruang belakang kedai bunga. Berkerut-kerut dahi Viviena.
            Adilah turut melempar pandang ke arah yang sama. Kemudian dia jungkit bahu tanda tidak tahu.
            “Ada kat belakang kot,” jawab Adilah.
            “I rasa I kena pergi sekarang. Thanks for this roses,” ucap Viviena.
            Adilah tertawa kecil mendengar kata-kata Viviena. Gaya macam bunga itu diberi secara percuma. Walhal gadis kecil molek berketinggian sederhana dan bekerja sebagai seorang Eksekutif Pemasaran itu telah pun membayar harga dua kuntum bunga mawar putih itu. Bayaran dilakukan setiap bulan. Seakan membayar sewa.
            Pemergian Viviena dihantar lewat ekor mata sahaja. Selepas Viviena pergi. Adilah beransur ke ruang belakang. Tercari-cari kelibat anak saudaranya. Puas dia mencari. Ke mana sahajalah dia pergi, Adilah menggetus resah.
            “Maira!” Melantun tinggi suara Adilah. Liar matanya memerhati setiap pelusuk kedai bunga miliknya.
            “Tasha, nampak Maira tak?” soal Adilah sebaik Tasha, gadis genit seusia Nur Maira melintas di depannya.
            Tasha angkat bahu. “Tak tahulah, Kak Die. Tadi Tasha nampak Maira kat belakang. Entah apa dibeleknya dia tu,” beritahu Tasha. Dia segera berlalu menuju ke rimbunan bunga segar di depan sana. Dia perlu menyiapkan tempahan bunga pelanggan. Jam sebelas pagi nanti, pelanggan itu hendak datang ambil tempahannya.
            “Maira...” Adilah memanggil lagi. Tiada sebarang sahutan. Berkerut dahi Adilah. Dahi itu hampir bercantum. Beg berjalur coklat muda merah jambu milik Nur Maira masih berada di tempat asalnya.
            Adilah ke hulu hilir mencari Nur Maira berserta keresahan yang sering mendatangi diri kala tidak nampak kelibat Nur Maira.
            “Nur Maira!”

DIA suka bau bunga-bunga yang segar. Bau itu menusuk rongga hidung dan melayangkan perasaan sendiri. Hujung jari menyentuh bunga yang berkelopak kecil dan merimbun. Keningnya hampir bercantum. Di tengah-tengah rimbunan kelopak kecil-kecil yang terbuka itu, ada timbunan biji-bijian. Sekelipan dia ukir senyum. Bunga matahari!
            Sentuhan itu beralih arah.  Dengan berhati-hati, dia memegang sekuntum bunga yang punya duti di batang tubuhnya. Itu bunga mawar. Bunga mawar nampak cantik, tetapi awas, dia punya duri yang bakal melukakan sesiapa yang tidak pernah awas atau terlalu asyik membelek kecantikan dan keanggunan bunga indah itu.
            Dalam banyak-banyak bunga, dia menyukai bunga mawar. Biar berduri, sebenarnya duri itu pelindungnya. Punya bauan yang sangat wangi. Menusuk ke rongga hidung.
            “Lah, kat sini rupanya!” Adilah menyergah.
            Nur Maira terperanjat. Setangkai bunga mawar putih terlepas dari pegangan dan jatuh ke lantai. Berdegup kencang jantungnya. Muka naik pucat. Adilah ketawa mengekek. Dikutip bunga yang menjadi kesukaan Nur Maira. Cemberut riak wajah Nur Maira. Tanda protesnya kepada perbuatan Adilah.
            “Maira tak dengar ke Chik Die panggil tadi?” tanya Adilah.
            Nur Maira menggeleng. Dia terlalu asyik bertemankan bau segar dan mewangi bunga-bunga itu.
            Adilah memegang lengan Nur Maira, membantu gadis itu bangun. Nur Maira ikut sahaja ke mana Adilah membawa dia pergi.
            “Maira duduk sini. Jangan ke mana-mana,” kata Adilah. Disuruh Nur Maira duduk di sebuah kerusi bertentangan kaunter bayaran. Dari situ, dia boleh melihat Nur Maira.
            “Duduk sini aje?” aju Nur Maira, nampak kurang senang atas permintaan Adilah.
            “Chik Die nak Maira selalu ada depan mata Chik Die. Risau Chik Die kalau Maira ke mana-mana,” tegas Adilah.
            Nur Maira menunduk wajah. Merasakan dia menjadi beban di bahu Adilah. Sewaktu dia terlantar sakit, Adilah sanggup ambil cuti dan menyerahkan kedai bunga ini kepada orang kepercayaannya, Tasha buat sementara waktu. Nur Maira tahu semua pengorbanan yang telah dilakukan Adilah meski Adilah tidak pernah buka mulut.
            “Maafkan Maira.” Lembut pertuturan Nur Maira.
            Adilah memandang ke arah Nur Maira. Lama ditenung wajah mulus itu.
            “Maira...” Adilah menghampiri Nur Maira. Dia bertinggung di depan Nur Maira. Dagu itu dipaut lembut. Kemudian batang hidung Nur Maira menjadi mangsa. Adilah menarik hidung itu penuh kelembutan sebagai tanda bercanda.
            “Kenapa Maira nak minta maaf? Maira tak ada buat apa-apa kesalahan pun. Bahkan, Maira selalu menyenangkan hati Chik Die.” Senyuman halus bergayutan di bibir Adilah. Rambut panjang beralun milik Nur Maira diusap penuh kasih.
            Nur Maira langsung senyap. Bibirnya bergerak-gerak hendak berkata sesuatu tetapi seakan tersekat di kerongkong. Lalu dia bekukan sahaja bibirnya.
            Kesunyian itu pecah serta-merta dengan bunyi loceng yang menandakan ada pelanggan memasuki kedai bunga mereka. Adilah pantas bangkit dan menuju ke depan sana. Lebar senyumannya bila ternampak Mikail datang ke arahnya. Mikail turut melempar senyuman. Kemudian sorotan mata Mikail singgah ke Nur Maira.
            “Chik Die?” Hampir bertaut kening Nur Maira. Tiba-tiba sahaja jejak Adilah tidak terjamah dek pendengaran.
            “Chik Die!” Nur Maira melaung kuat. Adilah tidak menyahut. Ke mana Adilah pergi? Nur Maira bingkas berdiri. Kedua belah tangannya menapar angin. Hampir-hampir dia jatuh bila tersadung kotak yang terletak betul-betul di tengah laluan.
            “Mikail?” Terpacul nama itu dari mulutnya.
            Mikail dan Adilah saling berbalas pandang sebelum kedua-duanya kulum senyum. Mikail menunjukkan isyarat supaya Adilah tidak bergerak. Nur Maira sudah semakin hampir dengannya.
            “Chik Die, janganlah main-main. Mikail! Awak pun ada jugak kat sini kan?” Nur Maira berkata penuh curiga. Kewujudan Mikail bagai dirasai. Aura lelaki itu cukup dekat dengan dirinya. Dia yakin, Mikail ada bersama dengan mereka di dalam kedai ini. Cumanya Mikail sengaja main-main.
            “Pandai awak teka.” Mikail mencuit bahu Nur Maira.
            Nur Maira tersentak. Dia tayang muka ketat.
            “Mikail!” marah Nur Maira.
            Meletus tawa Adilah memerhatikan tingkah Nur Maira. Kecekapan Nur Maira tidak dapat dinafikan lagi.
            Nur Maira tidak jadi marah. Dia ikut ketawa.
            “Jarang nampak Maira ketawa macam tu,” celah Adilah.
            Spontan tawa Nur Maira mati.
            “Maira, Chik Die nak sangat lihat Maira kembali ceria macam dulu.” Adilah berkata lagi. Penuh mendalam.
            Perasaan Adilah dihinggapi kehibaan tiba-tiba. Tawa dan senyum Nur Maira terlalu mahal. Bila dia berpeluang melihat senyuman dan tawa itu, dia panjat kesyukuran. Sekurang-kurangnya Nur Maira tahu bagaimana hendak membahagiakan hati sendiri.
            “Maira, kita keluar pergi jalan-jalan, nak?” pelawa Mikail. Dia pandang Adilah, meminta keizinan. Adilah mengangguk.
            “Tak mahulah. Saya nak duduk kedai aje,” balas Nur Maira.
            Mikail mengeluh hampa.
            “Jomlah. Kita keluar, ambil angin.” Mikail berusaha memujuk.
            “Pergilah Maira. Bukan senang tau Mikail yang hot ni nak ajak orang keluar berjalan dengan dia.” Adilah sengaja mengusik Mikail. Sememangnya Mikail tergolong dalam senarai lelaki punya pakej lengkap. Pakej lengkap calon suami. Andai sahaja dia belum ada calon, awal-awal lagi dia mengurat Mikail.
            “Dia tak hotlah Chik Die,” pintas Nur Maira. Tercebik-cebik muka itu.
            Mikail ketawa mengekek. Dia ambil tongkat putih lalu diberi kepada Nur Maira.
            “Kita pergi makan ais-krim okey,” cadang Mikail.
            Nur Maira mengangguk.
            “Hati-hati tu!” pesan Adilah. Kepergian Nur Maira dan Mikail dihantar lewat ekor mata.
           
 DENYUTAN yang mengetuk kepala cukup menyakitkan. Muizz memicit kepalanya perlahan-lahan sambil bersandar di sofa.
            “Muizz, kamu pergi mana?” Puan Dahlia menyergah dari belakang.
            Muizz terperanjat. “Ibu...” Keras desahan nafas Muizz.
            Puan Dahlia berlari mendapatkan Muizz. Wajahnya dibayangi kebimbangan. Segera tangannya mengelus lembut dada Muizz. Muizz memandang pelik.
            “Muizz terkejut ke sayang?” soal Puan Dahlia. Dia pula yang cemas.
            “Muizz okey kan?” Puan Dahlia bertanya lagi.
            Muizz tertawa kecil.
            “Saya baik-baik ajelah, ibu. Ibu aje yang risau lebih,” kata Muizz. Pamer sengihan lebar.
            Puan Dahlia mengeluh panjang.
            “Ibu bukan apa, ibu risau. Muizz baru aje nak beransur sihat. Manalah tahu, ibu buat Muizz terkejut dengan jerkahan ibu tadi.” Puan Dahlia bersuara mendatar.
            “Saya baik-baik aje, ibu. Ibu jangan risau ye.” Muizz kulum senyum.
            “Tadi Muizz ke mana?” Puan Dahlia mengalih ke pemulaan topik tadi.
            “Keluar sekejap, bu. Bosan duduk rumah,” beritahu Muizz.
            “Kan Muizz belum cukup sihat lagi. Muizz kena duduk rumah. Banyakkan berehat.” Omel Puan Dahlia. Rambut Muizz dibelai penuh kasih sayang.
            “Terperap di rumah sepanjang masa pun bukannya boleh mempercepatkan kesihatan saya. Sesekali ambil angin.” Muizz menjawab lembut.
            Tergeleng-geleng kepala Puan Dahlia.
            “Ibu nak masak ni. Muizz nak makan apa hari ni? Ibu masakkan,” ujar Puan Dahlia.
            “Ikut ibulah. Asyik-asyik ikut selera saya aje,” balas Muizz.
            “Iyalah. Hah, Muizz rehat. Dah, jangan nak keluar-keluar lagi petang ni. Duduk rumah aje,” tegas Puan Dahlia sebelum berlalu ke ruang dapur.
            Muizz memerhatikan lenggang si ibu sehingga hilang dari padangan. Kemudian Muizz kembali bersandar ke sofa. Nafas ditarik dalam-dalam. Entah kenapa, denyutan itu semakin menggila sehingga menerbitkan garis-garis halus di dahi ketika dia berkerut menahan sakit.
            Serentak waktu, mindanya bagai menyusuri ke suatu dimensi yang dia tidak tahu hendak ungkap dengan kata yang bagaimana. Menerobos ruang waktu yang tidak pernah disusurinya.
            Muizz pejam mata. Dalam sakit itu, otaknya memaksa dia melewati kawasan taman permainan. Ada suara kanak-kanak mengetuk jendela telinga. Dia nampak buaian berayun perlahan. Dia mendekat ke buaian itu. Bila tangan menyentuh tali buaian tersebut, dia bagai terkena renjatan elektrik. Langsung tersedar dan membuka matanya. Bulat.

 Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Aku mengalami masalah nak menulis sekarang ni. Bina satu ayat pun macam haramm jekk. Heh! Namun aku bertekad yang aku tak akan biarkan entri-entri kat dalam list kekotak pink tu secoit aje. Dah macam azam tahun baru dah. Padahal setiap minggu kau nak tepek entri kannnnn. Tengah malam kang aku rasa nak update Humairah pulak. Very the zemangat hokayyy. Hihi. Happy-happy reading guys! :) 

4 comments:

Unknown said...

Best.

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ baby mio

Thanks awk :) <3

AYRA ZAHRA said...

bila nk sambung nih??hehehhe..:D

~::HANAH RISHAS::~ said...

@ayra

Sabar babe.hihi.u tahu kan i mngalami masalah otak-tak-mampu-pikir sesejak ni.hihi