Friday, May 24, 2013

[Novel] : Ruang Rindu Bab 1.

Assalamualaikum.








"...When life turns into a complication, sort it out with supplication, prayer is the best weapon, raise your hand and make DUA..." - Abu Maryam









Bab 1
HANNANI menjulang tinggi kepalanya menjengah ke luar tingkap yang terbuka luas. Keriuhan yang memenuhi segenap ruang rumah semi-batu ini tidak menganggu tumpuan dia. Begitu tajam dia perhati susuk tubuh yang tergesa-gesa memboloskan diri ke dalam kereta.
            “Nani! Mari makan,” panggil Amalina sambil melambai tangannya ke arah Hannani.
            “Kejap!” sahut Hannani. Ekor mata masih menempel sembilan puluh darjah ke hadapan. Perlahan-lahan, Proton Perdana yang dipandu itu berundur ke belakang sebelum mengaum kuat meningglkan halaman rumah neneknya.
            Ayah Ngah? Hampir bertaut kening Hannani kala terlihat kelibat pakciknya itu dari sisi. Belum sempat berjumpa dan bersalaman, pakciknya telah angkat kaki dahulu. Hannani lempar pandang ke arah Huzaimi, ayahnya yang duduk di samping Hajah Sariah. Ada riak tersembunyi disebalik wajah ayah ketika itu.
            “Hei, makanlah!” sentak Amalina. Bahu Hannani ditepuk kuat.
            “Sakitlah angah!” sungut Hannani. Menipis alis mata dia.
            Amalina ketawa.
            “Kau tu yang berangan lebih. Orang panggil makan pun tak dengar,” omel Amalina seraya menarik lengan Hannani mengikut dia ke ruang dapur.
            “Wah, banyaknya makanan!” Mulut Hannani menganga luas. Tidak berkelip mata perhati setiap hidangan di atas meja. Hannani telan liur.
            Ketupat, lemang, rendang ayam, rendang daging, sambal kacang- segala jenis makanan terhidang begitu menyelerakan. Dan yang paling penting, hidangan wajib iaitu kuah lodeh yang menjadi kegemarannya turut terhidang di atas meja makan. Hannani jilat bibir. Ikut hati, dia terkam semua makanan itu.
            “Ini yang aku suka, kak!” Hannani bertepuk tangan. Terloncat-loncat di situ.
            Amalina pandang sipi kelakuan adiknya.
            Nah, ambil pinggan ni. Makanlah apa yang kamu semua nak makan.” Suraya, mak usu mereka menghulur dua biji pinggan. Satu diberi kepada Hannani. Satu lagi kepada Amalina. Kedua-dua gadis itu senyum meleret. Masing-masing siap sedia hendak isi penuh tangki yang kosong.
            “Su, tak payah nak pelawa sangat budak berdua ni. Nanti habis lauk ni, tak sempat nak bagi tetamu jamah.” Raina muncul di belakang Hannani dan Amalina. Dicuit pinggang kedua anak gadisnya itu.
            Hannani dan Amalina tayang sengih. Tetapi tangan masih laju menceduk kuah lodeh dan sambal kacang yang dimakan bersama ketupat. Seketul ayam masak rendang turut diisi ke dalam pinggan. Membukit makanan mereka.
            “Alah ibu ni. Setahun sekali aje tau dapat makan kuah lodeh istimewa yang mak su masak,” kata Amalina. Mulut disumbat seketul ketupat yang telah dipotong kecil. Dicampur pula dengan kuah lodeh, memang naik selera dia.
            “Ama ni memang tak boleh. Hantu makan!” jerkah Raina.
            Amalina ketawa mengekek.
            “Amboi, rancaknya berbual anak-beranak,” tegur Afida. Senyuman bertamu di bibir ibu beranak lima itu. Kelima-lima anaknya sudah besar. Yang paling tua, Syafiq sudah selamat berumahtangga dan telah dikurniakan seorang anak lelaki. Yang paling bongsu- Akmal kini berusia tiga belas tahun.
            “Makan, mak long,” pelawa Hannani.
            “Makanlah,” balas Afida. Afida labuh duduk di sebelah Raina.
            “Kak long bila sampai sini?” Raina bertanya. Meleret pandangan kepada birasnya.
            “Lama dah kak long balik sini. Dua tiga hari sebelum raya. Kebetulan Syafiq pun dapat cuti awal. Anak-anak yang lain pun nak ikut sama. Itu yang terfikir nak duduk lama sikit. Iyalah, bukan selalu dapat temankan emak tu.” Terkumat-kamit bibir Afida bercerita.
            “Saya pun ada terfikir nak bawak anak-anak berkampung kat sini, tapi itulah... ayahnya tu dah kena masuk kerja esok.” Raina pula berkata.
            Afida beriak terkejut. “Eh, awalnya!”
            Raina kulum senyum.
            “Nak buat macam mana, kak long. Laki kerja bawa bas. Tapi tak banyak trip macam selalu tu. Kira masih sempat nak berjalan raya ke rumah kak longlah nanti.” Raina tertawa halus.
            “Hah, datanglah. Tapi beritahu dulu. Telefon ke. Boleh kak long sediakan makan-makan sikit. Dah tua-tua ni, tak larat nak berjalan sangat. Kalau abang long kau tu, suka sangatlah berjalan sana sini. Kita yang mengekor sakit pinggang duduk dalam kereta tu. Bila kita bebel, pandai pulak dia kenakan kita balik.” Tersenyum-senyum Afida ketika bercerita.
            “Yang lain dah sampai ke?” Raina mengalih kedudukan kaki. Rasa berbisa akibat lama bersimpuh begitu.
            “Keluarga Ngah ajelah yang dah sampai. Itu pun singgah sekejap aje ha. Tak sempat apa-apa, tak sempat panas punggung, dah balik dah. Kau sempat tak jumpa mereka tu?” Afida memandang Raina.
            Raina pantas menggeleng. Tadi dia cuma perasan kelibat abang iparnya itu sahaja. Bayang birasnya tidak terjamah dek penglihatan.
            “Itu, dibawanya sekali dengan anak-anak dia. Dah besar panjang dah rupanya. Masing-masing nampak kekok sangat. Dulu, masa kak long tengok budak-budak tu, kecil lagi. Berhingus masing-masing. Sekarang, dah tinggi, lawa, segak!” Bersungguh-sungguh Afida bercerita.
            “Mak tu, nampak sedih aje. Sekejap sangat datangnya. Pulak, nak nampak batang hidung tu, jarang sekali!” Kali ini Afida ketap bibir. Geram! Hubungan kekeluargaan hampir-hampir terputus gara-gara sikap kurang matang isteri adik iparnya.
            “Eh, Suzi mana? Tak ikut sekali ke?” Tumpuan Afina menyoroti dua orang anak perempuan Raina yang sibuk menjamu selera ditemani Suraya.
            “Lambat sikit. Tadi dia singgah rumah mentua dia dulu. Lepas Asar nanti sampailah tu,” beritahu Raina.
            Terangguk-angguk kepala Afida.
            “Mak, boleh tolong pegangkan Nina sekejap tak? Tasha nak masuk membuang ni. Tak tahan.” Berkerut-kerut dahi Tasha. Bayi berusia setahun setengah segera diberi kepada Afida.
            “Dah kenapa? Cirit ke apa ni?” Afina memangku Nina. Nina leka bermain patung itik berwarna kuning sebesar tapak tangannya.
            “Agaknyalah mak. Campur-campur makan ni. Aduh!” Mencicit Tasha berlari ke bilik air. Berdentum bunyi pintu tandas. Nampak sangat kelam-kabutnya.
            Afida menggeleng kepala. Raina pula sembunyi senyum. Tangannya mengusap lembut kepala Nani.

NAMA dia Hannani. Nama bayi yang sedang digomol tanpa jemu itu- Nur Amanina atau nama manja Nina. Sekali dengar seperti nama itu hasil gabungan nama dia dan Amalina. Terasa bangga sekejap. Hannani tersenyum-senyum sambil mencubit pipi tembam Nina. Tembamnya mengalahkan kuih pau gebu itu. Kalau boleh, dia nak gigit pipi itu. Baru puas hati.
            “Jangan kuat-kuat sangat. Kang menangis budak tu kang.” Amalina menegur. Dilabuh duduknya hampir dengan Hannani yang tidak menghirau kata-katanya tadi.
            Nina yang berbicara dalam bahasa yang tidak difahami mereka selaku orang dewasa, menggamit keterujaan Amalina. Mula-mula dia tenung saja. Bila dia nampak senyuman Nina memunculkan sepasang lesung pipit di pipi betul-betul buat Amalina naik geram. Batang hidung kecil itu ditarik lembut.
            “Angah!” Hannani menepuk tangan Amalina.
            “What?” soal Amalina.
            “Nanti penyek hidung Nina,” marahnya.
            Amalina mencebik. “Alah, kan angah tarik. Bukannya penyekkan. Makin mancung adalah,” balasnya.
            Amalina menggeletek perut buncit Nina. Nina kesukaan. Mulutnya terbuka luas. Mata bulat dan kedua belah tangan dan kakinya terangkat-angkat di udara lalu beraksi seperti sedang mengayuh basikal.
            “Sukanya kau orang ni dengan budak kecil.” Tasha datang menghampiri.
            Hannani dan Amalina serentak melempar pandang ke arah menantu sulung keluarga Ayoub dan Afida.
            “Inilah kelakuan manusia-manusia macam kami ni, Kak Tasha. Tak ada adik kecik,” balas Amalina. Hujung jari mengusik pipi tembam Nina.
            Tasha ukir senyum.
            “Mintalah adik baru kat mak tu,” senda Tasha.
            Hannani dan Amalina ketawa serentak.
            “Jangan mimpilah, kak. Tu ha, kat dalam tu, anak gajah terlebih manja tu nak letak mana kalau ada adik baru? Mahu menangis hentak kaki. Manja sangat tu.” Hannani memuncungkan bibir, menghala ke arah adik bongsu mereka, Tasneem yang berusia empat belas tahun, melekat di samping ayah.
            Terburai ketawa Tasha. “Bongsu, memang patutlah manja,” balasnya.
            “Eh, Suzi bila sampai sini? Dah petang dah ni.” Tasha melihat jam tangannya. Dari tadi dia menunggu kawan baiknya, merangkap sepupu kepada suaminya. Suziana yang menjadi punca munculnya tali-tali halus di hati dia dan suaminya ketika itu. Cinta pandang pertama kononnya. Bertuah rasa bila kawan baik jadi sepupu sendiri.
            “Hah tu! Panjang umur. Tu kereta Along tu,” teriak Hannani.
            Sebuah kereta Proton Saga FL menyusur masuk ke kawasan halaman rumah. Kereta itu berhenti betul-betul di bawah pokok rambutan yang berdaun rimbun. Suziana melangkah keluar dari perut kereta, diikuti suaminya, Ahmad Naufal. Terserlah keanggunan Suziana dalam persalinan kebaya berwarna hijau mint. Sedondon dengan si suami.
            Hannani dan Amalina segera menyarung selipar dan berlari menyambut kedatangan kakak mereka. Bekas plastik berisi buah-buahan diambil Hannani dari tangan Suziana.
            “Lambatnya Along sampai. Nenek asyik tanya aje tadi,” tutur Amalina. Berjalan seiring Suziana.
            “Along stuck kat rumah Abang Naufal hah. Bertali-arus adik-beradik dia balik rumah tu,” jawab Suziana.
            “Suzi!” Tasha memekik.
            “Tasha!” Suziana ikut sama naik. Menjerit dalam suara halus. Kedua wanita itu saling berbalas pelukan. Seperti sudah lama tidak berjumpa padahal mereka bekerja di bangunan yang sama. Hanya berbeza syarikat sahaja.
            “Itulah gaya kalau perempuan berjumpa,” gumam Ahmad Naufal.
            Hannina tersengih mendengar simpulan bicara abang iparnya.
            “Bila kau sampai?” tanya Suziana.
            “Dua tiga hari lepas. Eh, kau bermalam kat sini tak?” Buru-buru Tasha menyoal.
            Suziana mengangguk. Jawapan itu mengundang senyum Tasha yang semakin melipat.
            “Ama dengan Nani bermalam sini jugakkan?” Suziana mengalih perhatian kepada dua orang adik perempuannya yang terpacak depan mata.
            “Yelah. Ibu dengan ayah balik hari ni. Esok Nani dan Angah balik sekali dengan Along,” beritahu Hannani.
            Suziana mengangguk.
            “Masuklah dulu. Tu, pergi jumpa nenek.” Tasha berkata seraya mengatur langkah masuk ke dalam rumah bersama anak kecilnya di dalam kendongan.
            Suziana memaut lengan Ahmad Naufal. Pasangan itu menuju ke ruang tengah, di mana kaum keluarga  duduk berkumpul di situ. Suara Afidalah yang paling kuat menyambut Suziana dan suami.
            Hilai gelak tawa dan senda gurau memenuhi segenap ruang rumah Hajah Sariah. Masing-masing berkongsi cerita yang berbeza. Lagak seperti di pasar malam riuhnya.
            Hari raya Aidilfitri kali ini, meriahnya tetap sama walau ada kekurangan yang mencacatkan keindahannya.

“BOY, pegang bunga api ni hati-hati tau. Kang meletup,” ujar Hannani sebelum menghulur sebatang bunga api kepada Asyraff. Budak berusia sepuluh tahun itu mengangguk faham. Hannani tidak dapat menahan geram melihat Asyraff yang berpipi tembam sama macam Nani. Dicubit pipi budak itu.
            “Kau ni kan, dah ada sense ibu-ibu tau.” Raihana memacak kaki di sebelah Hannani.
            Hannani menoleh.
            “Biasalah!” Hannani ukir senyum. Dia memang sukakan budak-budak. Lagi-lagi yang comel dan bulat dan tembam macam Nina dan Asyraff anak bongsu Ayah Itam.
            “Dah boleh kahwin dah kau,” usik Raihana. Dia bertinggung sambil mengawasi budak-budak kecil yang terdiri daripada sepupu sendiri dan anak jiran sebelah menyebelah.
            “Kaulah dulu kahwin, Yana. Baru aku.” Hannani menyahut.
            “Kenapa pulak?” Raihana mendongak. Naik teleng kepala dia.
            “Kau tu tua dua bulan dari aku!” Hannani menolak Raihana sehingga tubuh kecil itu jatuh terduduk atas lantai berumput.
            “Adoi!” Raihana mengaduh. “Kau ni, dari dulu suka tolak aku. Tahulah aku ni bersaiz mini.”
            Hannani ketawa.
            “Sedar pun diri,” cebiknya.
            Raihana bangun. Mengibas kain yang dipakainya.
            “Ni berapa hari kau dapat cuti?” tanya Raihana.
            “Seminggu! Kau tahu aku punya membajet cuti tahun aku semata-mata nak raya. Sanggup aku!”
            “Kau memang! Dah kenal sangat dah.” Raihana sememangnya sudah masak dengan perangai Hannani. Mereka satu universiti, satu kolej, hanya berlainan jurusan sahaja. Malah sewaktu di universiti dahulu, Hannanilah yang paling teruja bila sampai masa cuti semester. Dua minggu sebelum cuti, Hannani dah siap packing kain baju. Gila excited!
            Hannani pamer sengih lebar. Tidak cukup seinci sampai ke telinga.
            “Kau bila nak ikut jejak langkah aku hah Nani?”
            “Jejak apa pulak?”
            “Jejak langkah ini...” Raihana menunjuk cincin pertunangan di jari manisnya.
            Hannani mengerling lewat ekor mata.
            “Nanti-nantilah!” balasnya.
            “Eleh, kau selalu cakap macam tu,” pintas Raihana tidak puas hati.
            “Masih tak ada lelaki yang mampu buat jantung aku berdetak dup dap dup dap gitu,” seloroh Hannani. Suka tengok muka sepupu dia yang mula naik bengang bila dia buat lawak begitu.
            “Kau ni kerja berangan aje. Pengaruh mana entah yang dah masuk dalam kepala kau tu.” Raihana tarik muka cemberut.
            Hannani sudah ketawa kuat.
            “Kenalah nak rasa feeling macam tu.” Giat Hannani mengumpan bengang di hati Raihana.
            “Bencilah cakap dengan kau. Kalau tak main-main, tak boleh eh?” Kening Raihana kian bertaut.
            Makin galak Hannani ketawa.



Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Hari ni cuti yeayyy. Setelah semalam berpenat lelah di site, dengan panaszzzz bagai nak gila. Letih kaki iolsss tskkk. Seronok cuti 3 hari kauuu hahaha. Lagi seronok makan spanggggeeetii di tengahari teehee. Apekah aku ni? Mengarut. Eh! Maaflah KPHM macam memeningkan. Tetiba lompat jadi lain pulak. Well, baca bab-bab seterusnya okeyy. I tak berniat pun nak buat orang pening apatah lagi bosan. Pleaseeee, jangan bosannnn :) Hehe. Oke, bai!

No comments: