Saturday, June 1, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 15.

Assalamualaikum.








"...The best teardrops are those that are truly shed for the sake of ALLAH..."









Bab 15
TANGKAS pergerakan Humairah mengemas meja yang baru sahaja ditinggalkan pelanggan. Dia angkat dua biji pinggan kotor dan dua gelas panjang itu lalu dibawa ke dapur. Dia kembali semula ke meja tadi dengan tuala kecil berwarna hijau dan penyembur anti-bakteria. Cecair kuning itu disembut ke meja dan dilap rapi. Setelah berpuas hati dengan kadar kebersihan meja itu, barulah Humairah beransur ke dapur.
            Pinggan dan gelas kotor itu tadi dibasuh dan disusun di atas rak berjaring yang terletak di sebelah sinki. Tidak cukup dengan itu, Humairah pergi keliling ruang memasak itu dan mengutip segala perkakasan yang kotor. Dia sental seorang diri sedang dua orang manusia yang sejawatan dengannya hanya duduk memerhati.
            “Nah!” Puteri menghulur segelas minuman sejuk kepada Humairah.
            Humairah angkat muka, pandang Puteri yang tersenyum kepadanya. Humairah mencuci tangannya yang bersabun itu dengan air paip dan mengesat sehingga kering sebelum mengambil pemberian Puteri.
            “Terima kasih,” ucap Humairah lantas menyedut minuman itu dengan nikmatnya.
            “Sedap!” Humairah memuji.
            Puteri tersenyum-senyum. Kemudian dia pamer muka berlagak. “Tengok tanganlah. See!” Puteri angkat tinggi kedua belah tangannya.
            Farah yang mendengar pujian masuk bakul angkat sendiri itu terus mencebikkan bibir.
            “Alah, setakat air sirap, anak saudara aku pun boleh buat,” celah Farah.
            “Eh, ini sirap bukan sebarang sirap. Sirap ni penuh dengan kasih sayang. Kan Maira kan.” Perhatian Puteri berkalih semula kepada Humairah.
            Humairah buat muka blur. Beberapa ketika selepas itu. Humairah hambur tawa. Diikuti Farah.
            “Ketawalah korang. Ketawalah puas-puas. Nanti korang tengok, air sirap terulung aku ni mampu pikat hati...” Terbejat bicara Puteri saat terlihat kelibat Azfari memasuki ruang memasak bersama beberapa bungkusan plastik.
            “Nak pikat siapa?” aju Azfari. Kerlingannya singgah pada Puteri sebelum elok mendarat ke muka Humairah.
            Puteri tersengih-sengih. Bila ternampak Farah hendak buka mulut, Puteri membeliakkan mata. Termuncung-muncung bibirnya menghalang tingkah Farah. Farah sembunyi senyum. Ringan tangan membantu majikannya memasukkan barang-barang seperti kicap, sos tomato, sos cili dan beberapa barang kering lain ke dalam kabinet.
            Humairah kembali menyudahkan kerja-kerja mencuci pinggan yang terbantut sebentar tadi. Sesekali ekor mata menyoroti Puteri yang menempel di sebelah Azfari, pemuda berusia lewat dua puluhan yang tinggi lampai dan berkaca mata.
            “Abang Azfar, Abang Malik dah balik. Dia kata ada hal. Urgent,” kata Farah. Menyampaikan amanat Malik. Nampak tergesa-gesa sungguh lelaki itu meninggalkan Kedai Kopi milik Azfari. Mujur hal penting Malik itu muncul selepas berakhirnya waktu operasi.
            Azfari sekadar mengangguk halus. Penuh tumpuannya pada sebuah fail yang berisi beberapa keping kertas.
            “Korang dah makan ke?” tanya Azfari.
            “Dah.” Puteri dan Farah menyahut hampir serentak.
            “Maira?” Pertanyaan itu menjurus kepada Humairah seorang apabila suara Humairah tidak kedengaran. Azfari memang ambil berat perihal pekerjanya. Menjaga kebajikan pekerja menjadi polisi dalam diri.
            “Maira dah makan?” Azfari mengulangi pertanyaannya.
            “Dah. Dah!” Humairah menjawab buru-buru.
            “Berangan ye?” usik Azfari. Namun usikan itu kedengaran kaku semacam. Puteri dan Farah saling bertempur pandang. Kedua-dua orang gadis itu memerhatikan Humairah pula.
            “Eh, taklah.” Humairah menuntas sseraya tersengih lebar.
            Azfari ikut kulum senyum dan sekali lagi senyuman itu memang nampak tiada jiwa. Puteri dan Farah tahan ketawa. Bila Azfari meninggalkan ruang itu, Puteri dan Farah hambur segala rasa kegelian yang bertenggek di hati mereka. Terdekah-dekah mereka ketawa. Humairah memandang penuh kehairanan. Sambil mengelap tangan, dia mendekati kawan-kawannya.
            “Gelak sakan apasal?” tanyanya.
            “Kau tak nampak ke?” aju Farah.
            “Nampak apa?” Silih berganti pandangan Humairah kepada Puteri dan Farah.
            “Abang Azfar tu kalau dia gurau, tak macam gurau. Kalau dia senyum, Ya Allah, macam kena simen bibir dia tu. Kaku semacam. Tak ada jiwa tahu!” tutur Farah dengan hilai tawa yang belum berkesudahan.
            “Kan memang Abang Azfar tu berperangai macam tu. Nak pelik apanya?” Humairah capai penyapu dan penyedok sampah. Walau sudah nampak bersih, Humairah tetap menjalankan rutin terakhir bagi memastikan segalanya tersusun rapi dan bersih.
            “Kau sapu apa? Kuman? Dah bersihlah, Mai. Aku dah sapu tadi.” Puteri berdiri di depan Humairah sambil mencekak pinggang. “Kau ni memang suka menyapu eh?”
            Humairah sekadar jungkit bahu. Terasa diri sudah biasa melakukan semua tugas ini. Jadi dia lebih ringan tulang  membantu apa yang patut.
            “Kak Fina datang ambil kau ke nanti?” Farah sibuk mengemas beg miliknya sambil tertoleh-toleh pandang dua orang temannya.
            “Tak. Kak Fina kerja sampai malam hari ni. So aku balik tumpang kau.” Humairah menjawab. Penyapu dan penyedok sampah dipulangkan kembali ke tempat asal.
            “Dah siapkan? Jomlah balik!” ajak Puteri.
            Lambat-lambat Humairah bergerak ke locker. Terbayang-bayang situasi di rumah nanti. Pasti Fadzlan akan berkelakuan seperti sebelum ini. Buat dia macam tidak wujud. Peninglah fikir! Cuba buka mulut cakap apa kesalahan dia sampai dihukum sebegini. Jangankan cakap berbual, senyum pun belum tentu lelaki itu sudi. Stressnya! Humairah mengurut dahi.
            Farah yang menyedari tingkah Humairah, pantas mendekat. Ditepuk bahu Humairah. Humairah tersentak. Terkebil-kebil mata itu merenung Farah.
            “Kau dah kenapa? Muka macam banyak masalah aje.” Farah menegur. Dia bersandar tubuh ke locker.
            Humairah memintal hujung tudung yang dipakainya.
            “Sekejap!” Farah mengangkat jari telunjuknya. Keningnya hampir bertaut.
            “Ada satu sebab je yang buat kau jadi macam ni.” Mengecil mata Farah.
            Humairah jungkit kening. “Kau dapat teka?”
            Farah berpeluk tubuh. Ekor matanya memandang tepat ke wajah Humairah.
            “Adik Kak Fina dah balik eh?” teka Farah.
            Humairah mengangguk lemah.
            “Kau buat dek ajelah. Bukannya lama pun dia balik. Macam kau cakap sebelum ni, dia balik paling lama pun seminggu aje kan.” Terkumat-kamit mulut Farah memberi sedikit sokongan moral.
            “Masalahnya dah tak ada cuti seminggu mamat tu dah,” sungut Humairah.
            “Dia balik cuti sebulan ke?” Puteri mencelah. Gadis itu sudah bersiap-siap dengan sweater di tubuh dan topi keledar di kepala. Maklumlah, Puteri minah skuter.
            “Habis tu, dia cuti dua tiga bulan ke apa?” Lekas Puteri lempar soalan bila nampak gelengan Humairah.
            “Dia cuti sampai bila-bila.” Humairah membalas. Kali ini suaranya lebih lemah. Tingkahnya turut ikut lembik semacam.
            “Lah, maknanya dia dah tak balik oversealah eh.” Farah membuat kesimpulan berdasarkan maklumat yang diberi Humairah sebentar tadi.
            “Nak buat macam mana, Mai. Rumah dia kat sini. Keluarga dia pun kat sini.  Sampai bila dia nak duduk sana, kan? Last-last pindah balik Malaysia ni hah,” tutur Puteri.
            “Kau buatlah baik dengan dia tu. Usaha lebih sikit,” cadang Farah. Cadangan yang sama diulang sebut oleh Puteri dan Farah.
            “Jenuh tau aku buat baik dengan dia. Apa masalah dia tu aku tak tahulah. Semua serba tak kena. Bila aku tanya dia, dia senyap, lepas tu tarik muka dan blah. Entah apa yang dimarahkan sangat dia kat aku tu pun aku tak tahu. Aku tak ingatlah apa yang aku dah buat kat dia. Tak ingat langsung!” Humairah mengancing gigi tanda geram. Ikut hati, dah lama makan penumbuk.
            “Entah-entah kau pernah cuba cabul dia tak? Tu yang dia marah sangat kat kau. Pulak lepas tu kau jatuh tangga, sedar-sedar kau dah tak ingat apa-apa.” Laju andaian gila itu keluar dari mulut Farah yang memang kaki lawak dan merapu itu.
            “Hei, apa kau ni!” marah Humairah. Ditamparnya lengan Farah dengan kuat. Farah mengaduh kesakitan.
            Mengilai tawa Puteri. Sampaikan tertunduk-tunduk menekan perut.
            “Jomlah!” Humairah menarik tangan Farah. Kalau dilayan, nanti makin menjadi kegilaan dua orang kawannya ini.
            “Dah nak balik dah?” sapa Azfari yang duduk di kaunter bayaran.
            Ketiga-tiga orang gadis itu menoleh ke arah Azfari.
            “Haah. Kita orang balik dulu ye, Abang Azfar,” ujar Puteri dengan manja sekali, mewakili Humairah dan Farah.
            Azfari mengangguk. Ekor mata menyoroti tiga orang sahabat yang berjalan beriringan menuju ke pintu utama Kedai Kopi.

EKOR mata Hakimi mendasari riak wajah Fadzlan yang tampak tenang. Lelaki itu tekun membelek majalah yang disediakan di kedai makan yang menjadi tempat persinggahan mereka.
            “Baru semalam kau balik sini, dah start nak angkut barang kau pindah rumah sewa aku tu?” Hakimi menghambur soalan yang muncul di benaknya sejak kali pertama Fadzlan menyampaikan hasrat tinggal di rumah sewa yang didudukinya sekarang.
            “Kau dah kenapa, Lan? Aku ingat, bila kau balik sini, kau nak tinggal dengan nenek kau tu. Tup-tup nak pindah pulak. Kau tak terfikir ke nak luangkan masa kau dengan nenek kau? Bertahun-tahun kau belajar sana, lepas tu kerja pulak. Balik jarang sekali. Aku jamin, nenek kau mesti kecewa bila dapat tahu kau nak pindah rumah.” Panjang berjela omelan Hakimi bila Fadzlan tidak menjawab soalannya tadi.
            Bicara Hakimi dibalas dengan dengusan kurang senang. Fadzlan meletak majalah itu di atas meja. Dia capai gelas dan hirup minuman sepuasnya.
            “Aku tak suka tinggal dalam rumah tu,” ujar Fadzlan.
            “Sebab ada Humairah?” Hakimi berpura-pura meneka meski dia sedia tahu bidikannya mengena.
            Fadzlan bersandar. Dia berpeluk tubuh dengan mata menghala ke persekitaran kedai makan yang boleh tahan ramai pengunjungnya.
            “Esok atau lusa, aku pindah masuk rumah kau,” tegas Fadzlan. Sudah bulat hatinya dengan keputusan itu.
            “Eh, sekejap! Kau tak kisah ke tinggal dengan aku? Dalam rumah aku tu ada seorang lagi penyewa. Yang tinggal cuma bilik orang gaji je. Itu aje yang ada,” beritahu Hakimi.
            Fadzlan mengangguk tanda setuju.
            “Betul ni?” Hakimi masih ragu-ragu. Bukan apa, dia kenal sangat dengan pemilik nama Engku Fadzlan Engku Uzair. Kalau bab tempat tinggal, Fadzlan agak cerewet. Agaknya, keadaan terdesak, sebab itu Fadzlan tidak berkira sangat. Janji ada.
            “Apa perancangan kau lepas ni?” Hakimi mendayung perbualan mereka menjadi lebih santai. Enggan menyusup ke kancah peribadi Fadzlan meski dia tahu kemelut yang melanda antara Fadzlan dan Humairah.
            “Berehat seminggu dua, then start cari kerja,” tutur Fadzlan.
            “Kau dah ada pengalaman kerja kat luar negara, mesti senang nak dapat kerja sini.”
            “Tak jugak. Aku tengok, ramai aje penganggur. Majoritinya fresh graduate. Susah nak cari kerja, kan?”
            “Tapi kau ada pengalaman. Bonus!” Hakimi mengangkat ibu jari.
            Bertinggung senyum halus di hujung bibir Fadzlan. “Kalau ada rezeki, adalah,” balasnya.
            Sedang asyik berbual, menjelajah negara penjajah itu melalui pengalaman Fadzlan, gangguan kecil membantutkan perbualan mereka berdua. Seorang lelaki datang menegur Hakimi. Tingkah Hakimi dan lelaki itu diperhati Fadzlan.
            Selanjur lelaki itu pergi, Fadzlan pantas bertanya siapakah gerangan lelaki tadi. Fadzlan berkira-kira, lelaki itu kawan sekerja Hakimi.
            “Pekerja kat syarikat tempat aku kerja ha,” kata Hakimi.
            Terangguk-angguk kepala Fadzlan. Tersorot ekor mata ke pergelangan tangan. Sudah menginjak ke angka enam petang. Solat Asar entah ke mana. Leka sangat berborak.
            Setelah membayar harga minuman, mereka berdua segera beransur pergi. Mereka singgah di masjid berdekatan untuk menunaikan solat Asar, sekaligus mendiami rumah Allah itu buat seketika, sementara menunggu masuknya waktu Maghrib.

PINTU dibuka dari dalam. Bila pintu itu terbuka sepenuhnya, susuk tubuh Humairah terpacak depan mata. Otot-otot muka Fadzlan terus kejung. Pamer riak tegang dan tanpa secalit senyuman mahupun sapaan, Fadzlan melintasi Humairah yang memerhatikan dia.
            “Lan dari mana?” Engku Zubaidah menyambut kepulangan cucunya di ruang tamu. Seawal jam sepuluh pagi Fadzlan keluar, sampai matahari berganti bulan, barulah nampak muka.
            Fadzlan labuh duduk di sebelah Engku Zubaidah. Dari lewat ekor mata, dia nampak Humairah menuju ke arah mereka.
            “Lan keluar jumpa Kimi, nek. Kak Fina mana? Tak balik lagi?” Liar mata Fadzlan mencari kelibat Afina.
            “Sekejap lagi baliklah dia tu,” jawab Engku Zubaidah.
            “Nek, tadi Kak Fina call. Kak Fina kata dia balik lewat sikit.” Humairah mencelah di tengah-tengah perbualan itu.
            “Oh, yeke? Bilanya...”
            “Nek, Lan ada benda nak cakap dengan nenek,” pintas Fadzlan. Tidak memberi ruang Engku Zubaidah dan Humairah berbicara sesama mereka. Bukankah Humairah tidak wujud dalam dunianya? Maka Humairah harus tidak masuk campur dalam perbualan ini.
            Humairah terus tercatuk di situ. Diam tidak berkutik. Terus melempar pandang ke peti televisyen dengan hati yang sedikit tersentuh.
            “Lan nak pindah. Duduk dengan Kimi.” Fadzlan memberitahu lurus tentang niatnya.
            Terbuntang mata Engku Zubaidah.
            “Lah, kenapa Lan nak pindah? Tak suka duduk dengan nenek?” Bergetar suara Engku Zubaidah. Baru semalam hati berbunga-bunga keriangan bila Fadzlan menyatakan keputusan hendak terus tinggal di Malaysia. Sekarang hatinya kembali kecewa saat Fadzlan mengkhabarkan tentang niat cucunya itu.
            “Lan suka sangat duduk dengan nenek tapi Lan tak boleh, nek.” Fadzlan melirik mata ke arah Humairah. Lirikan yang cukup tajam.
            Engku Zubaidah memandang Fadzlan dan Humairah silih berganti. Fadzlan pergi sebab Humairah. Engku Zubaidah menghela nafas. Dia terpaksa akur. Tidak mengapalah jika Fadzlan hendak pindah rumah, asalkan dia tahu cucunya itu akan terus berada di bawah satu langit bumi. Berpijak di atas lantai tanah yang sama.
            Selesai perbincangan ringkas itu, Fadzlan lekas minta diri. Tidak betah hendak duduk lama-lama bila terpacaknya manusia itu bersama.
            Humairah berkalih wajah ketika merasakan kewujudan Fadzlan sudah beransur pergi. Dia pandang muka nenek. Ada riak kecewa di situ. Lalu dia bangun dan beralih tempat. Tangan Engku Zubaidah disentuhnya. Engku Zubaidah menoleh. Cuba lukis senyum mesra buat tatapan Humairah.
            “Maafkan Mai, nenek,” ucap Humairah, lantas mengucup tangan Engku Zubaidah sehingga menimbulkan riak terkejut pada orang tua itu.
            “Kenapa Mai cakap macam tu?” Engku Zubaidah mengusap kepala Humairah.
            Humairah tahan sebak. Tahan hati dan tahan airmata. Dia sedar, kepincangan Fadzlan berpunca dari dia, yang dia tidak tahu dari mana akarnya.
            “Patutnya Mai yang kena pergi dari sini, bukan Lan,” rintih Humairah. Kedua belah tangannya melingkari pinggang Engku Zubaidah.
            “Jangan cakap macam tu Mai. Mai cucu nenek. Fadzlan pun cucu nenek. Tak ada sesiapa yang patut keluar dari rumah ni. Fadzlan tu dah biasa duduk sendiri. Tak tinggal dengan keluarga. Sebab tu dia nak pindah. Dah, Mai jangan fikir yang bukan-bukan.” Engku Zubaidah memujuk. Dibalas pelukan itu dengan begitu erat.
            Humairah sedar, kata-kata nenek hanyalah bertindak sebagai penenang hatinya. Dia tahu niat nenek baik tetapi dia juga tahu nenek sedang bergelumang dengan kekecewaan. Bukannya dia tidak tahu, Fadzlan bawa diri ke luar negara selama hari ini disebabkan dirinya.
            Kenapa Fadzlan membenci dia? Apa kekhilafan yang telah dia lakukan kepada lelaki itu? Humairah memejam mata. Kehangatan pelukan itu bagai membawa dia melayang ke satu ruang waktu yang asing.
            Engku Zubaidah tersentak apabila Humairah bangun tiba-tiba. Reaksi Humairah itu memutikkan kegelisahan.
            “Kenapa Mai?” tanya Engku Zubaidah. Dia ikut berdiri. Lengan Humairah dicengkam lembut.
            Humairah menggeleng.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Isnin nanti, akan ada satu kekosongan di barisan meja kami di office. Dear Ain, terima kasih kerana sudi menjadi sebahagian dari hidup kami :) Terima kasih kerana jadi kawan yang sangat baik dan cool! Good luck di tempat kerja baru tu nanti hee :') Ohhh ya, aku dan lima orang kawan yang lain bakal angkat kaki jugak dari situ. Almaklumlaaaa.. dah habis kontrak katakawww. Hihi. Lepas ni balik rumah tanam jagung heh! Tata :')

No comments: