Thursday, July 11, 2013

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab 23&Bab 24.

Assalamualaikum.








"...Trials will drive you to Allah or away from Allah, the choice is yours..." 









Bab 23
CUTI selama seminggu? Wah, diberi cuti macam dia sakit teruk walhal dia dikhabarkan bahawa dia mengalami ketidaksedaran diri, atau pengsan sewaktu menemani Farah semalam. Sedar-sedar, dia sudah terbaring di dalam bilik ditemani Engku Zubaidah dan Afina.
            Riuh suasana biliknya apabila Puteri dan Farah datang melawat dia. Siap bawa buah tangan. Macamlah dia betul-betul sakit. Farah yang paling ketara risaukan dia. Asyik bertanya keadaan dirinya yang sememangnya tiada apa-apa pun. Cerita Farah, dia pengsan secara mengejut. Tubuhnya turut membeku. Tambah Farah lagi, Azfari jadi hero, mencempung dia lalu dibawa pulang ke rumah. Tersengih-sengih Farah ketika bercerita. Dia pula jadi malu. Azfari cempung dia? Alahai!
            “Seronoklah kau. Cuti sampai seminggu. Kalah orang bersalin.” Farah berseloroh sambil tertawa kecil.
            Puteri ikut gelak.
            “Alah, aku tak sakit pun. Tapi kalau dah Abang Azfar kasi cuti, aku ikut ajelah. Bila lagi nak merasa cuti panjang macam ni.” Humairah membalas.
            “Betul tu. Nanti aku pun nak buat-buat sakitlah. Konon nak dapat cuti panjang,” celah Puteri. Dia tayang sengih lebar.
            Humairah mencebik.
            “Mai, kau sihat, kan?” soal Farah. Kali ini nada suaranya tidak meleret mengada.
            Humairah mengangguk.
            “Apa yang dah jadi hari tu sebenarnya?” Puteri pula bertanya.
            Humairah diam sahaja. Dia menekur kaki sendiri. Hujung jari memintal cadar katil. Jujurnya, dia sendiri tidak tahu apa yang telah berlaku kepada dirinya sejak kebelakangan ini. Selalu sangat diserang khayalan yang tidak sampai dek akal. Seolah-olah dibawa pergi ke satu dimensi yang tidak pernah dia susuri sebelum ini. Bayangan perempuan itu bersama budak perempuan yang sama sudah acap kali singgah bertamu. Kali ini, kemunculan seorang lelaki pula menjadi penambah berat beban kepala untuk berfikir.
            Ara.
            Sering nama itu berdesir di telinga. Malah perempuan dalam bayangan itu juga menyebut nama Ara. Setiap kali nama itu berdengung, budak perempuan dalam lingkungan usia lapan sembilan tahun itu akan muncul, berlari melintasi dia. Dia yakin, budak perempuan itulah pemilik nama Ara. Malah lelaki yang tiba-tiba muncul itu turut menyebut Ara.
            “Mai.” Puteri menegur, seraya menepuk lembut peha Humairah.
            Humairah tersentak. Lamunannya mati. Dipandang Puteri dan Farah yang sudah hampir bertaut kening masing-masing. Humairah kulum senyum nipis. Kepala menggeleng perlahan.
            “Abang Azfar kau kirim salam tadi.” Laju Farah menutur kata.
            “Apasal pulak Abang Azfar aku?” aju Humairah.
            Puteri dan Farah ketawa mengekek melihat muncung Humairah.
            “Hah lah. Abang Azfar kaulah sebab dia ambil berat pasal kau. Nampak aje muka aku pagi tadi, terus dia buka mulut tanyakan kau,” omel Farah lagi.
            “Untunglah kan, ada orang risaukan. Tak macam kita,” kata Puteri, bersulam rasa duka yang konon dibuat-buat.
            Pantas Farah memintas, “Eh, bukan kita. Tapi kau.”
            “Aku sorang? Dah kenapa?” Puteri bertanya pelik.
            Farah senyum meleret.
            “Aku kan ada Norman.”
            Terbeliak biji mata Puteri. Humairah pun sama. Rahangnya sudah jatuh. Mulut membentuk huruf ‘O’.
            “Norman lelaki yang kau kata Mr. G tu? Serius?!” Berdecit nyaring suara Puteri.
            Farah tunduk malu.
            Puteri sudah menjelir lidah. “Ek eleh! Dulu bukan main kau umpat dia, kau mengata dia Mr. G. Blerghhhh!” cebik Puteri.
            “Hati dah suka....” Farah ketawa.
            Puteri mengerling tajam. Dulu, Farahlah yang paling bersungguh kutuk mamat muka jambu itu. Dia sampai naik pelik kenapa Farah tidak pernah suka lelaki itu. Rupanya diam-diam ada hati. Dasar!

PETANG itu, Humairah menghabiskan masa duduk bersantai menikmati permandangan yang mendamaikan bersama Engku Zubaidah. Depan mata, terhidang beberapa keping gambar pemuda yang menjadi pilihan hati Engku Zubaidah yang hendak dipadankan dengan Afina. Rata-rata terdiri daripada anak dan cucu kenalan Engku Zubaidah sendiri.
            “Nek, yang ni...” Humairah menunjuk sekeping gambar seorang lelaki yang segak berpakaian kemeja dan berkaca mata. Rambutnya naik tinggi macam duri landak. Spike konon.
            Engku Zubaidah mengambil gambar itu lalu ditatap lama. Sebuah senyuman tersungging di pinggir bibir.
            “Ini anak Puan Nirmala. Namanya Zafirul. Kerja sebagai lawyer.” Engku Zubaidah menerangkan serba sedikit tentang latar-belakang lelaki bernama Zafirul itu.
            Patutlah segak. Penampilan  nampak elegan. Bukan calang-calang orang rupanya. Zafirul. Nama pun dah gah. Tambah-tambah orangnya pun ada rupa. Memang sesuai sangatlah kalau dengan Kak Fina. Humairah membuat kesimpulan sendiri. Membanding-bandingkan kesesuaian Afina dan Zafirul itu.
            “Nenek berkenan dengan dia. Budaknya baik.”
            “Nenek dah pernah jumpa ke?”
            Engku Zubaidah mengangguk laju.
            “Kak Fina?” aju Humairah.
            Engku Zubaidah mendengus kasar. “Kak Fina tu banyak sangat alasan dia tak mahu ikut nenek. Sibuklah, penatlah. Seribu satu alasan dia beri. Nenek dah naik penat dah nak buka mulut cakap dengan dia,” gerutu Engku Zubaidah. Jadi sakit hati bila melihat kedegilan Afina.
            Derap tapak kaki yang mendekat itu menarik perhatian Humairah dan Engku Zubaidah. Kedua-duanya memaling wajah. Terbias lenggok Afina menghampiri mereka.
            “Eh, Fina! Bilanya balik? Nenek tak dengar pun.” Engku Zubaidah berkata seraya mengerutkan dahi.
            “Manalah nenek nak perasan kalau nenek sibuk umpat pasal Fina,” balas Afina. Dia sembunyi senyum.
            Humairah tersengih panjang.
            “Mai dah sihat?” Afina menoleh ke arah Humairah.
            “Mai sihatlah, Kak Fina. Tak sakit pun,” jawab Humairah penuh keyakinan.
            Afina menarik nafas. Bukan nafas yang menggambarkan kelegaan sebaliknya ia melontar satu resah yang membebankan jiwa.
            “Kak Fina mesti haus. Sekejap ya, Mai buatkan air untuk Kak Fina,” kata Humairah di tengah-tengah kesunyian yang singgah sedetik waktu.
            Ekor mata Afina menyoroti langkah yang diatur Humairah sebelum pandangannya dilempar pada Engku Zubaidah.
            “Keadaan Mai membimbangkan Fina, nek,” luah Afina.
            Engku Zubaidah tarik nafas. “Kesan jangka masa panjang ke?”
            “Itu Fina tak pasti.” Dahi Afina berkerut-kerut seolah-olah berfikir sesuatu.         “Atau sebenarnya dia sedang mencari diri dia sendiri tanpa dia sedar?” Afina membuat andaian rambang.
            “Selepas tiga tahun?”
            “Perkara tu tak mustahil, nek.” Afina membalas perlahan.
            “Dia ada kata pada Fina yang dia bermimpi pergi ke sebuah tempat yang dia tak pernah pergi. Lepas tu ada nampak budak perempuan. Dia kata lagi, yang dia tak nampak jelas muka budak tu. Kabur-kabur,” sambung Afina lagi.    
            Kemunculan semula Humairah di situ membantutkan perbualan singkat antara Afina dan Engku Zubaidah. Dua pasang mata itu memerhatikan Humairah.
            “Senyap aje nenek dengan Kak Fina ni,” gumam Humairah. Selalunya kecoh Afina dan Engku Zubaidah berceloteh. Ini, gambar calon pilihan Engku Zubaidah ada depan mata, Afina tidak pula merungut. Engku Zubaidah pun tidak bersungguh-sungguh menunjuk dan menceritakan setiap seorangnya kepada Afina sampai Afina naik muak.
            Afina hulur senyum ketika Humairah memberi segelas minuman sejuk kepadanya. Dalam diam, dia menyoroti paras Humairah yang kembali rancak berborak dengan Engku Zubaidah.

DIA jadi tidak selesa bila adanya seekor makhluk Tuhan yang terkenal dengan otot muka kena strok sampai tidak boleh pamer senyum walau sedikit dengan dia. Bila bertembung mata, jangankan senyum, pandang pun tidak sudi. Sudahnya, dia yang menyumpah dalam hati. Bajet! Dengusnya geram.
            Humairah mengutip pinggan-pinggan kotor di atas meja lalu dibawa ke dapur. Afina sibuk membasuh pinggan-pinggan kotor itu. Engku Zubaidah pula duduk di ruang tamu bersama makluk itu. Teringat waktu makan tadi. Boleh pula sindir-sindir dia.
            “Sakit teruk sangat agaknya. Sampai seminggu kasi cuti.”
            Bernanah telinga dengar. Ikut hati, dia ambil nasi sumbat penuh mulut itu. Biar tidak boleh ungkap kata walau sebaris ayat. Namun disabarkan hati. Sejak dua menjak ini, dia tidak boleh tahan sabar bila melibatkan Fadzlan. Semakin berani membalas renungan tajam lelaki itu padanya. Kalau sebelum ini dia menunduk wajah tanda bersalah, hari ini dengan berani dia jeling lelaki itu.
            Setelah memastikan ruang makan sudah bersih, Humairah beransur ke dapur. Dia ambil tempat di sisi Afina. Mengambil kain lap dan mula liga mengelap pinggan-pinggan yang telah dibasuh itu sehingga kering sisa airnya.
            “Kalau tak dipaksa, jangankan datang, nak singgah pun entah bila agaknya,” bebel Afina dalam suara perlahan.
            Sekilas, Humairah menoleh. Lirikan mata melurut pada tangan yang menggosok pinggan dalam buih sabun dengan kasar. Humairah telan air liur. Seingatnya, Afina akan bertingkah begini andai ada sesuatu yang tidak memuaskan hatinya.
            “Kak Fina, apa yang Kak Fina bebelkan?” Berhati-hati Humairah susun kata.
            Afina menghela nafas panjang. Dipandang wajah Humairah. Kemudian dia mencuci tangannya yang dipenuhi buih.
            “Apa lagi kalau bukan pasal Fadzlan tu.” Terjuih-juih bibir Afina seolah-olah adiknya itu ada depan mata.
            Bingo! Dah agak dah, desis hati Humairah.
            “Nak tunggu kena paksa, barulah nampak batang hidung. Dah berkali-kali nenek ajak makan malam sama, ada aje alasan dia. Sibuklah, penatlah, jalan jammed lah. Padahal, bukan jauh sangat pun. Lima belas minit dah sampai.” Afina membebel geram. Gigi dikancing ketat.
            “Ingatkan bila balik sini, dah senang dah nak berkumpul sama-sama. Rupa-rupanya lagi susah. Kalau macam tu, baik dia duduk sana aje. Jadinya nenek tak lah asyik teringat dia aje.” Omelan Afina berpanjangan. Nampak sangat Afina kecewa dengan tindakan Fadzlan yang seakan memencil diri kepada keluarga sendiri. Sampai kena paksa, barulah menurut. Itupun setelah berpenat-lelah habis air liur memujuk dan memaksa.
            Afina terkejut apabila Humairah mencapai tangannya lalu digenggam. Kepala gadis itu menunduk menekur lantai.
            “Maafkan Mai, kak. Salah Mai,” kata Humairah.
            “Eh, apa ni Mai? Mai tak ada kaitan pun dengan semua ni. Lan tu yang mengada!” tegas Afina. Sedaya upaya menarik tangannya dari genggaman Humairah tetapi tidak berjaya.
            “Mungkin Mai ada buat salah sampai Lan jadi macam tu, Lan benci Mai.” Humairah menghambur kekesalan yang datang bertinggung setiap kali dia teringat tingkah dan layanan Fadzlan padanya.
            “Ya Allah Mai! Apa yang Mai fikir? Mai tak ada buat salah apa-apa pun. Dah, jangan fikirkan lagi.” Afina kembali menyibukkan diri. Mencuci pinggan-pinggan tadi.
            Renungan Humairah terus memacak di raut wajah Afina.
          Kalau benar dia tidak berbuat kasalahan kepada Fadzlan, kenapa lelaki itu tidak pernah berlaku baik padanya? Kenapa dia merasakan bahawa di hati lelaki itu tersimpan rasa benci yang tidak pernah padam?
            Humairah ikut senyap.

FADZLAN menuju ke dapur. Tekak terasa kering tiba-tiba. Dia sempat lempar pandang ke arah jam yang tersangkut di dinding. Hampir menginjak ke angka sembilan malam. Berkira-kira, selepas solat Isya’ nanti, barulah angkat kaki pulang ke rumah sewa.
            Sedang elok dia atur langkah ke dapur, dia terdengar suara seseorang sedang menyanyi perlahan. Dia pandang ke ruang tamu. Afina duduk elok di sebelah Engku Zubaidah. Dia tahu siapa gerangan manusia bersuara sumbang itu. Fadzlan lekas tarik riak tegang bila menyedari Humairah berpaling ke belakang.
            Langsung tersekat suara di dalam kerongkongnya. Terkebil-kebil mata perhati Fadzlan yang penuh selamba melintasi dia, lalu menuju ke peti ais. Sebotol air mineral diambil. Ekor mata Fadzlan sempat menerjah ke arah teko jernih yang berisi air kekuningan yang dia percaya air teh yang akan dihidang kepada Engku Zubaidah dan Afina. Spontan, Fadzlan mencebik sebal. Terus melangkah meninggalkan Humairah di situ. Diperlakukan gadis itu persis dinding.
            “Kau tak payah nak tunjuk baik depan nenek dan kakak aku.” Fadzlan berkata ketika dia memakukan diri di tengah-tengah dapur.
            Humairah memaling muka. Merenung Fadzlan. Dia mengancing gigi.
            “Tak pernah terlintas di hati saya untuk berpura-pura depan mereka,” jawab Humairah. Lekas mengangkat dulang bersisi cawan dan tangan kiri memegang teko dan menonong keluar dari situ. Namun laluannya dihalang Fadzlan. Lelaki itu mencerlung memandang dia. Humairah meletak teko dan dulang tadi bila merasakan pergelangan tangannya lenguh.
            “Kau ni memang tak pernah sedar diri, kan?” kutuk Fadzlan. Senyum sinis muncul di bibir.
            “Kalau saya tak sedar diri pun bukan salah saya. Memang saya hilang ingatan. Itu yang diberitahu oleh nenek dan Kak Fina kepada saya. So what?”
            Fadzlan ketawa. Ketawa yang dibuat-buat sehingga menyebabkan Humairah yang tenang sebentar tadi jadi sakit hati. Humairah tersentak bila tangan Fadzlan mencengkam pergelangan tangannya dengan kuat. Sakit!
            “Lepaslah!” Humairah meronta.
            Humairah merasakan dahinya dibasahi peluh-peluh halus. Dadanya mengalun getaran aneh. Dia merenung ke dalam mata Fadzlan. Berkocak ganas. Dia tidak dapat menumpu sepenuh perhatian pada percakapan Fadzlan. Waktu ini, bukan sahaja dia nampak Fadzlan, tetapi dia nampak orang lain. Wajahnya kabur dan tidak jelas. Dia nampak bibir itu bergerak-gerak, bagai melontar bicara. Bayangan lelaki itu saling bertindan antara realiti Fadzlan dan fantasi bayangan lelaki yang tenggelam timbul depan mata.
            Fadzlan enggan melepaskan gadis itu. Ikut hati, dia mahu hambur segala perasaan yang menjeruk hati selama hari ini. Wajah Humairah yang berkerut itu dipandang lama. Gadis itu memejam mata seolah-olah sedang menahan sakit. Fadzlan hela nafas, serentak melepaskan cengkamannya. Dia nampak kesan merah dipergelangan tangan Humairah disebabkan perbuatannya.
            Perlahan-lahan. Humairah buka mata seluasnya. Fadzlan semakin menghilang dari penglihatan, manakala banyangan lelaki yang tidak dikenali juga tiada bergayutan di mata. Humairah tarik nafas. Bingung dengan keadaan diri sendiri. Humairah beristigfar dalam hati.


 *************


Bab 24
“STRESS aje aku tengok muka kau, kenapa?” Hakimi meneguk air di dalam gelas. Ekor mata meratahi nasi ayam special yang terhidang depan mata. Bau makanan itu cukup membuat perut dia berkeroncong.
            Fadzlan tidak menjawab. Pandangannya kosong ke depan sana. Hakimi tidak mempedulikan tingkah sahabatnya itu. Tuntutan perut harus diutamakan.
            “Kau tak makan?” tanya Hakimi lagi. Mengunyah perlahan nasi dalam mulut.
            Tiada sahutan mahupun balasan. Kali ini, Hakimi betul-betul renung Fadzlan. Keningnya naik tinggi. Gaya bercakap dengan angin.
            “Kau ajak aku keluar lunch, lepas tu kau yang tak makan. Apehal?” Pening kepala Hakimi melayani kerenah Fadzlan. Sekejap okey, sekejap KO. Kalah layan makwe macam ni.
            “Macam mana keadaan Humairah? Aku dengar dia pengsan hari tu.”
            Laju Fadzlan menoleh. Berkerut keningnya. Hakimi pun boleh tahu? Dari mana? Atau perempuan itu bawa mulut tagih simpati orang? Heh! Cukup-cukuplah perempuan itu raih belas ehsan nenek dan Kak Fina. Sampaikan ke Hakimi pun dia balun.
            Hakimi seolah-olah dapat membaca riak bicara hati Fadzlan, lantas tergeleng-geleng kesal. Entah sakit apalah yang menimpa Fadzlan. Tidak pernah sukakan Humairah padahal dia lihat Humairah itu elok sahaja budaknya.
            “Adik aku kan kenal Kak Fina kau tu. Kak Fina yang cerita kat Iza. Iza pulak cakap kat aku. Teruk ke sakit Humairah tu? Kesian kan. Dengarnya dia pengsan time teman kawan dia shopping.” Terkumat-kamit mulut Hakimi berceloteh.
            Fadzlan tarik muka. Teruk ke sakit dia? Sakit lah sangat kan! Sampai cuti seminggu. Sakit mengada. Fadzlan mendegus geram. Orang kalau sakit mengada, lebih sihat dari orang yang sihat. Dah tahu dapat cuti, duduk rumah diam-diam. Ini tidak, konon pamer kuat depan mata semua orang. Masih mahu pergi kerja walau nenek dan Afina menegah. Lepas itu, dia pula yang kena jemput macamlah dia tidak ada kerja selain jadi driver.
            “Kalau kerap sangat pengsan, bahaya jugak. Bawa penyakit. Kau bawalah dia jumpa doktor ke. Kot-kotlah badan dia tu sangkut penyakit.”
            Fadzlan mengerling Hakimi dengan tajam. “Apesal pulak aku? Tak payah nak jumpa doktor sangat. Kat rumah tu dah ada doktor yang jaga dia. Tak sakit pun, tetap dilayan macam orang sakit.”
            “Eh, doktor kat rumah, lain. Kat hospital lain,” tingkah Hakimi.
            Fadzlan malas hendak membalas kata-kata Hakimi. Diteguk jus oren yang berbaki separuh lagi. Tidak mempedulikan Hakimi yang semakin giat membuka perihal Humairah.

“MAI dah betul-betul sihat ke?” Azfari bertanya seraya labuh duduk di depan Humairah yang tekun mengelap sudu garfu yang bersepah atas meja.
            Humairah angkat muka. Dia mengangguk laju seiring senyuman kecil diukir di hujung bibir.
            Azfari tetap menumpu mata terus ke paras wajah Humairah.
            “Kenapa tak duduk rehat kat rumah aje? Kan saya dah kasi cuti seminggu.” Azfari menongkat dagu. Bunyi bising suara Puteri dan Farah berceloteh di dapur tidak mengganggu perhatiannya.
            “Saya sihatlah, Abang Azfar. Over sangat nak cuti sampai seminggu.” Humairah tertawa kecil. Gelihatinya. Di rumah pun, Engku Zubaidah beriya-iya suruh dia berehat.
            “Abang Azfar...”
            Azfari terkebil-kebil perhatikan Humairah. Saat Humairah melontar renungan padanya, cepat-cepat dia pandang tempat lain.
            “Terima kasih.”
            “Emm... untuk apa?”
            Humairah garu kepala. Dia ni dahlah macam tong penuh, mesti berat waktu Azfari angkat dia.
            “Hari tu kan, Abang Azfar yang angkut saya. Kesian Abang Azfar. Mesti naik patah tulang tu kan angkat saya.” Spontan, Humairah pamer sengih melindungi perasaan malu yang menyerbu tiba-tiba.
            Azfari ketawa mengekek. Ingatkan apalah tadi. Mahu melompat keluar jantung dia bila nampak mata redup Humairah itu merenung padanya.
            “Tak beratlah. Rasa macam angkat kekabu,” seloroh Azfari.
            Humairah ikut ketawa. “Eleh, nampak sangat menipunya!” Humairah mencebik.
            Azfari ketawa lagi.
            “Amboi! Bukan main lagi Abang Azfar senang hati ni...” Meleret-leret suara Farah yang muncul dari perut dapur.
            Tawa Azfari langsung mati. Cepat-cepat sembunyi muka tebalnya.
            Farah duduk di sebelah Humairah. Kerja di dapur sudah selesai. Tunggu masa angkat kaki sahaja. Balik! Puteri dan Abang Malik pun sedang bersiap-siap hendak balik. Masing-masing sudah sangkut beg di bahu.
            “Abang Azfar tak mahu tolong hantar Mai balik ke?” Farah giat mengusik Azfari. Bukan dia tidak tahu, Azfari sukakan Humairah. Tidak perlu cakap, tengok gaya pun dia dah nampak.
            Azfari yang berniat meninggalkan dua sahabat itu, hanya menelan air liur yang dirasakan melekat di tekak sendiri. Dia toleh menatap dua sahabat itu. Kemudian lempar senyum, dan seraya lekas atur langkah ke dapur bila merasakan mukanya naik berbahang.
            Humairah menyiku pinggang Farah. Gadis itu masih ketawa terbahak-bahak. Langsung tidak terkesan dengan senggolan Humairah.
            “Kau kan, kalau tak mengusik Abang Azfar tu tak boleh eh?” marah Humairah.
            Farah menepuk bahu Humairah. “Dia tu comel sangat kau tahu tak. Usik sikit, nampak terus kat muka dia tu. Kau tengok tadi, naik merah telinga dia. Entah-entah dah berasap sebab malu.”
            Tergeleng-geleng kepala Humairah. Sudu dan garfu yang telah dikeringkan itu, dimasukkan ke dalam bekas plastik dan disusun di atas meja. Humairah mengekor Farah ke belakang, mengambil barang miliknya. Farah pula tidak habis-habis mengusik Azfari, apatah lagi nampak bayang Azfari di ruang dapur. Makin menjadilah loyar buruk Farah.

BERKERUT dahi Humairah mendengar omongan Afina di talian sebelah sana. Cuba mencerna sebaik mungkin. Dia dengar nama Fadzlan. Betul ke?
            “Mai tunggu sana aje tau. Kak Fina dah cakap dah kat Lan, suruh dia datang ambil Mai.” Afina berkata tanpa mengetahui riak wajah Humairah ketika itu.
            Kenapa bukan Kak Fina yang datang ambil dia? Macam tempoh hari, bukan main kelat muka makhluk itu. Panggil dia pun, macam nak tak nak aje. Nampak sangat tak ikhlas. Humairah mengomel dalam hati. Lebih baik dia naik teksi.
            Humairah pandang kiri kanan. Kemudian dia jeling jam tangan. Afina masih di talian.
            “Ye, Mai tunggu sini,” jawab Humairah.
            Bila talian itu diputuskan, terus dia hela nafas berat. Fadzlan? Untung kalau betul lelaki itu datang ambil dia.
            Demi mengelak sebarang kemungkinan dia akan jadi tunggul kayu di sini, Humairah panjangkan langkah mencari teksi. Sambil-sambil itu, dia ambil angin petang dan memerhati persekitaran kawasan premis perniagaan yang pelbagai itu.
            Mana pulaklah teksi-teksi ni? Mogok ke apa? Humairah pandang kiri kanan. Selalunya teksi berlambak lalu depan mata. Ini jangankan lalu, bayang pun tak ada. Putusnya, dia akan cari di sebelah lorong sana.     
            “Hai cik adik...”
            Suara garau disertai ketawa dibuat-buat itu mengejutkan Humairah. Dipanjangkan kaki melangkah. Dia menoleh sekilas. Ada dua tiga orang lelaki duduk di atas motosikal, yang mana salah seorang daripada mereka bertiga itu melompat turun dari motosikal dan berlari-lari anak mendekati dia.
            Lelaki berjambang halus itu cepat mandahului Humairah. Dalam senyuman menyeringai gatal, lelaki yang berusia dalam lingkungan dua puluhan itu lekas menghalang laluan Humairah.
            “Amboi, sombongnya dia!”
            Humairah terus mendiamkan diri. Mencuri-curi ruang untuk dia melepasi lelaki itu. Ini mesti spesis kutu rayau atau mat rempit.
            “Hoi!” Jerkahan kuat dan bernada kasar itu mengejutkan Humairah, termasuklah lelaki itu. Terus mencicit lelaki itu berlari meninggalkan Humairah, lantas mendapatkan kawan-kawannya. Tidak sampai seminit, ketiga-tiga lelaki itu memecut motosikal masing-masing meninggalkan kawasan itu.
            Humairah membuang pandang ke arah Fadzlan yang berjalan menghampiri dia. Macam biasa, wajah itu tidak pernah beriak mesra.
            “Kenapa kau tak tunggu aku depan sana?” Soalan pertama diaju kepada Humairah.
            Humairah malas hendak membalas soalan itu. Sedar, salah dia juga gatal kaki jalan cari teksi sampai ke sini.
            “Menyusahkan betul!” dengus Fadzlan.
            “Dah tahu menyusahkan, tak payahlah datang ambil.” Humairah membalas.
            “Kalau aku tak datang ambil, nanti aku yang kena bebel dengan nenek dan Kak Fina. Kau sukalah kan kalau aku kena marah?” Fadzlan memandang Humairah. Tajam renungannya menusuk ke kolam mata milik Humairah yang tenang tiada berkocak.
            “Kau nak ke mana?” pekik Fadzlan.
           Humairah tidak mempedulikan pekikan itu. Bergegas meninggalkan Fadzlan. Daripada dia hadap manusia itu, lebih baik dia cari teksi.
            “Balik dengan aku!” arah Fadzlan. Ikut mengekor di belakang Humairah.
            Humairah mematikan langkah. Dia memaling muka.
            “Saya boleh balik sendiri,” jawab Humairah.
            “Ikut aku.” Fadzlan masih tetap dengan anginnya.
            “Tak apa. Awak baliklah.” Humairah menolak lembut.
            Fadzlan menggigit bibir. Dikelar pergelangan tangan Humairah, lalu menarik gadis itu supaya ikut dia balik.
            “Kalau aku kata ikut aku balik, ikut aje. Jangan memandai nak balik sendiri.” Fadzlan mengomel geram. Dihumban tubuh itu masuk ke dalam kereta. Humairah diam tidak berkutik.
            Gila! Humairah mendongkol sakit hati.

KEPULANGAN Fadzlan disambut Hakimi dengan kerutan di dahi. Lewat petang baru nampak batang hidung, walhal kebiasaan Fadzlan dahulu yang pijak lantai rumah berbanding dia atau Izhar.
            “Kau dari mana, Lan?” Hakimi perhati temannya yang nampak letih.
            Fadzlan menghala kaki ke ruang tamu. Terus henyak tubuh atas sofa. Sebelah tangan diletak atas dahi. Matanya dipejam rapat.
            “Izhar mana? Dia tak balik lagi ke?” Fadzlan memesong topik perbualan mereka.
            “Izhar tu, kau fahamlah kan. Kerja aje. Hari ni dia overtime lagi. Lepas tu keluar jumpa tunang dia tu hah.” Terkumat-kamit bibir Hakimi bercerita.
          “Eh, kau ada beli paper tak? Aku tak sempatlah nak belek paper tadi. Busy sangat. Semua kerja pass kat aku,” bebel Hakimi. Membayangkan keadaan bertungkus-lumus dia di pejabat tadi. Sedang-sedang elok dia hendak belek suratkhabar, dan-dan waktu itu jugalah Jaslina datang menghulur fail hitam.
            “Ada. Tu dalam kereta. Kau pergi ambil lah.” Muncung bibir Fadzlan menghala ke arah pintu yang terbuka luas.
            Terkedek-kedek Hakimi berjalan ke luar rumah. Pintu kereta di sebelah pemandu dibuka. Kepala menjenguk ke dalam kereta yang kelihatan kemas. Well, nama pun kereta milik Fadzlan. Kalau tak kemas tu, bukan Fadzlan.
            Lebar senyuman Hakimi ketika anak mata tertancap pada suratkhabar yang terletak di seat belakang. Panjang tangannya mengambil akhbar tersebut. Tidak senang duduknya kalau seharian tidak hadap berita semasa.
            Ketika hendak menutup kembali pintu kereta, Hakimi ternampak sesuatu yang berkilat bersaiz sederhana di bawah seat penumpang. Dia kutip objek berupa dompet yang dihiasi batu-batu bergemerlapan, berkelip-kelip depan mata. Lama dia perhati. Ini dompet perempuan! Cepat-cepat dia bawa dompet itu lalu dipertontonkan kepada Fadzlan yang nyata tidak tahu dari mana datangnya.
            “Macam mana boleh ada dalam kereta aku?” Fadzlan membelek dompet itu. Silih berganti pandang Hakimi yang jungkit bahu.
            “Manalah aku tahu. Dah benda tu dalam kereta kau. Tanya aku pulak,” gerutu Hakimi. “Kau dating dengan seseorang ke?” Hakimi meneka sambil pamer sengih lebar.
            Terbeliak mata Fadzlan.
            “Kau ingat aku ada masa nak dating ni?” sergah Fadzlan.
            Hakimi ketawa gelihati.
            “Manalah tahu. Tup-tup dah ada awek baru.” Giat Hakimi mengusik Fadzlan yang tegang mukanya.
            Fadzlan mendegus kurang senang. Dompet dihiasi batu-batu bergemerlapan itu dibaling atas meja. Kepala dipicit perlahan.
            Lirikan mata Hakimi menusuk tepat ke paras Fadzlan. Nafas ditarik perlahan dan dilepaskan tenang.
            “Lan, Rose dah lama pergi. Takkan kau masih tak mampu lupakan dia?” Berhati-hati Hakimi menyusun kata. Takut nanti bicaranya mengundang amarah Fadzlan.
            Fadzlan angkat muka. Ditenung Hakimi sedalam-dalamnya bagai mampu menembusi jasad itu.
            “Rose jiwa aku, Kimi. Jiwa aku! Sampai bila-bila pun aku tak akan mampu lupakan arwah,” tegas Fadzlan. Rambut diraup ke belakang sampai ke ubun kepala.
            “Jiwa kau?” Hakimi melontar suara seolah tersembunyi sedikit was-was.
            Hampir bertaut kening Fadzlan.
            “Janganlah kau berterusan macam ni. Kau tak kasihankan Humairah?” Kali ini Hakimi mengaitkan Humairah ke dalam topik yang menghangatkan ruang waktu mereka. Hakimi sedar, Fadzlan sudah terbakar saat dia menyebut nama Rose Harliana.
            “Kenapa nak babitkan perempuan tu?” Naik tinggi suara Fadzlan.
            Hakimi sudah menjangka keadaan ini akan berlaku. Fadzlan memang anti dengan Humairah. Sangat! Sebutlah sikit nama Humairah, mahu saat dan ketika itu juga suara itu akan naik tinggi menempelak. Ke mana agaknya menghilang hati yang pernah memuja gadis itu sedikit masa lalu?
            “Aku rasa kau sendiri sedar kan yang Humairah tak bersalah.”
            “Atas dasar apa kau berpihak pada dia?” Fadzlan membentak kasar. Tidak senang duduknya. Di rumah, nenek dan kakaknya seringkali hunus dia dengan kenyataan sebegitu. Di sini, Hakimi menggantikan mereka.
            “Jawapan tu ada pada kau, Lan.” Hakimi bingkas berdiri.
            “What?” Berdecit nyaring suara Fadzlan.
            Hakimi tidak menunggu lama. Dengan suratkhabar dikepit di lengan, dia segera angkat kaki dari situ.
            Melihat Hakimi berlalu, Fadzlan hela nafas kasar. Berapi-api hatinya bila nama Humairah disebut-sebut Hakimi. Arghh... kalau bukan Humairah, siapa lagi yang harus dipersalahkan? Dia? Fadzlan meraup muka. Sekali lagi, dia hela nafas. Disandar tubuhnya ke sofa. Kepala mendongak ke atas. Matanya dipejam rapat.
            “Kalaulah Rose Harliana tak pernah wujud.”
            Berdesis halus suara itu, bertiup lembut ke telinga dan terus sampai ke hati. Fadzlan langsung buka mata. Dadanya berdetak kencang. Mengalun nada tidak sekata. Turun naik nafas Fadzlan. Liar matanya memerhati persekitaran.
            Kata-kata itu.... kata-kata itu....
            Fadzlan menggeleng halus. Kemudian menarik nafas panjang. Dada dirasakan kembali normal ritmanya. Kenapa butir bicara itu boleh hinggap dan mendasari hatinya setelah sekian lama dia cuba menguburnya ke dalam ruang yang tidak tercapai dek ingatan? Fadzlan melempar pandangan ke depan, menjurus anak matanya ke arah dompet yang tercicir di dalam keretanya tadi. Dompet batu-batu berkemilau ala-ala glamour itu milik Humairah. Dia pasti kerana Humairah satu-satunya perempuan yang mencemar masuk ke dalam kereta peninggalan arwah ayahnya, Engku Uzair.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Selamat berpuasa! :) Lepas ni, semua entri auto-publish. Malas katanya. Haha. Tata! :)

4 comments:

Unknown said...

please more entry dear,
i've been waiting everyday
bile la si fadzlan nak baik dgn ara
sian pulak si ara..dgn memory disorder lg

Unknown said...

BEST,SELAMAT BERPUASA SEMUA.

~::HANAH RISHAS::~ said...

@yoo zara

Thanks sis! :) sudi baca entri dan ikuti kisah humairah :)
InsyaAllah..kite akan kerap update :)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@baby mio

Slmt mnunaikan ibadah puasa :)
Thanks drop sini :)