Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab9.

Assalamualaikum.







"...None of you truly believes until he wishes for his brother what he wishes for himself..."









Bab 9
“BETUL ke apa yang kita nak buat ni?” Shahreza membuang pandang ke arah isterinya. Gelagat wanita itu diperhati. Tasneem begitu tekun menyusun batu-batu di bahagian leher gaun labuh merah hati itu.
            “Apanya yang betul?” aju Tasneem pula.
            “Rancangan awak nak satukan Ekmal dengan Amiera itulah.”
            Ulas bibir Tasneem mengukir senyum kecil. “Apa pula tak betulnya? Kan kita dah beritahu pada Amal. Tinggal usul dekat Amiera aje. Saya jamin, Amiera tak akan menolak.”
            Terhembus helaan nafas panjang dari rengkungan Shahreza. Kedengaran berat. Tasneem kembali mencari wajah suaminya.
            “Kenapa? Abang nampak macam tak suka aje.” Tasneem menduga-duga. Kelincahan jari-jarinya menyudahkan kerja menjahit batu, mati serta-merta.
            “Bukan macam tu. Awak tu, nampak yakin sangat. Kita tak tahu penerimaan Amiera nanti. Dibuatnya Amiera tak setuju, macam mana? Amal tu pun, entah-entah dah ada buah hati. Awak pergi cakap dekat dia tentang rancangan awak, dia pun ikut aje. Terpaksa.”
            “Abang, Amal tu anak kita. Saya tahulah apa yang ada dalam hati dia. Memang dah lama dia suka Amiera tu. Kita aje tak nampak.” Tasneem membalas selamba.
            Ada sesuatu yang tidak enak bertinggung di tangkai hati Shahreza. Tetapi ‘sesuatu’ itu tidak mampu diungkap dengan kata-kata. Lirik mata terus membidik wajah isterinya.
            “Saya pelik, tiba-tiba awak bersemangat nak satukan budak-budak tu,” gumam Shahreza.
            Tasneem mengerling.
            “Saya bukan apa bang...” Dia berjeda seketika. Gaun labuh merah hati itu ditinggalkan seketika. Punggung dilabuhkan hampir dengan Shahreza. Tangannya melekat di peha lelaki itu.
            “Saya sayang sangat pada Amiera tu. Bila Sarah beritahu yang Amal ada hati dekat Amiera, terus saya terfikir nak satukan mereka berdua tu. Lagipun, saya tak rela lepaskan Amiera pada mana-mana lelaki,” lanjutnya.
            “Tak salah kan, kalau saya berniat nak utuhkan hubungan kekeluargaan antara kita dengan Amiera?” Meleret senyum Tasneem ketika itu.
            “Entahlah... saya tak tahu nak fikir apa,” keluh Shahreza.
            Senyuman Tasneem belum surut. Semakin melebar.
            “Muhammad Ekmal, anak kita tu ada semua. Cukup sempurna untuk Amiera. Boleh tahan kacak macam abang, dah bekerjaya, dan insya Allah, Amal boleh jaga Amiera sebagaimana kita, bang.” Tasneem meyakinkan lagi.
            “Amiera Syazreen tu anak angkat kita. Sebelum hal kahwin ni diteruskan atau mungkin sampai masa Amiera akan kahwin, kita kena cari ayah kandung dia dulu,” tutur Shahreza.
            Berkerut dahi Tasneem. “Latif?”
            Shahreza mengangguk.
            Tasneem tarik muka. Herot bibirnya menunjukkan sebal perasaan dalam dada saat nama Latif menerobos ke jendela pendengaran.
            “Buat apa kita nak cari lelaki tu? Amiera tak memerlukan lelaki macam tu sebagai ayah dia. Abang ada, cukuplah tu,” omelnya dengan geram.
            “Ini soal nikah kahwin, Tasneem. Amiera perlu berwalikan Latif. Latif ayah kandung dia. Saya ni ayah saudara belah ibunya aje. Apa-apa pun, kita kena dahulukan Latif,” jelas Shahreza.
            Tasneem terpaksa mengalah. Hakikat lelaki bernama Latif itu merupakan ayah kandung kepada Amiera tidak dapat disangkal. Hubungan tersebut kekal terjalin dunia akhirat.
            “Entah-entah Latif dah mati tak?” Tasneem meneka rambang.
            “Jangan buat kesimpulan macam tu. Kita kena cari dia dulu.”
            “Nak cari dekat mana, bang? Latif tu, dah berbelas tahun tak nampak batang hidung. Jangankan kata nampak batang hidung, kenal pun tidak. Dia tinggalkan arwah dengan Amiera masa budak tu dalam perut lagi. Amiera sendiri tak pernah kenal siapa ayah kandung dia.”
            Shahreza terdiam sejenak. Otaknya sedang ligat beroperasi, memikirkan jalan-jalan yang mungkin masih terbuka untuknya mencari Latif. Hal ini telah difikirkannya sejak dulu lagi.
            “Nanti pandai-pandailah saya uruskan.”
            “Cepat-cepat sikit tau bang.”
            “Eh, kenapa pula?”
            “Kan ke kita dah rancang nak kahwinkan Amal dengan Amiera. Lagi cepat kahwin lagi bagus.”
            Sekali lagi, Shahreza geleng kepala.
            “Awak ni, tak habis-habis fasal kahwin. Jangan pasang harapan tinggi menggunung. Nanti kalau Amiera tolak cadangan awak tu, frust menonggeng pula.” Shahreza mengingatkan.
            Tasneem mencebik. Segera kembali menyudahkan kerja-kerja menjahit batu-batu pada gaun labuh yang ditempah oleh seorang wanita melayu bergelar datin.

“ADLAN.” Panggilan itu disertai dengan ketukan di pintu.
            Dia berpaling ke belakang. Sebuah keluhan terbabas keluar. Lambat-lambat, kaki dihayun mendekati pintu. Tombol besi berliku nipis dipulas.
            Wanita itu melangkah masuk tanpa pamit apa-apa.
            “Edi nak ke mana tu?” soal Rozita.
            Langkah yang dikemudi serta-merta mati.
            “Bawah.”
            Rozita hela nafas. “Sampai bila Edi nak buat mummy macam ni?”
            Renungan wanita itu dibalas tanpa sekelumit perasaan apa-apa pun. Benar-benar kosong.
            “Edi tak sayang mummy ke?” Melalui tubir mata yang kian berkaca-kaca, jelas, wanita itu menggumpal rasa sedih yang enggan dia ambil tahu.
            “The same question goes to you.”
            “Of course mummy sayang. Edi anak mummy.”
            ‘Pembohong!’ Hati membentak tiba-tiba. Ingatan itu seumpama satu virus yang merencatkan segala emosi dalam diri.
            “Encik Adlan.”          
            Mendengar namanya disebut kuat, Adlan tersentak. Nyaris jatuh dari kerusi.
            “Ya Kak Mila?” Cepat-cepat dia menyoal wanita beranak dua itu.
            Kak Mila mengunjuk beberapa buah fail. “Ini fail research yang Encik Adlan nak. Masliza dan Ayu dah siapkan sampai yang encik minta hari tu.”
            “Terima kasih,” ucapnya. Fail-fail itu segera diambil dari tangan Kak Mila.
            Fail-fail yang diterima tadi, telah dibahagikan kepada tiga skop besar. Ketiga-tiganya tertera sebaris nama yang begitu sebati di halwa telinga orang melayu khasnya, Hang Tuah.
            Fail yang disusun paling atas itu, dibuka lantas helaian kertas yang dikepil bersama, diselak satu persatu. Dari setebal sebuah kamus, kini rumusan yang dibuat oleh kumpulan ‘researcher’ yang diwujudkan oleh Iskandar telah berjaya menjadikan intipati buku tersebut lebih mudah untuk difahami.
            Teringat akan dia, sebuah filem lagenda lakonan P. Ramlee telah memutikkan rasa gelihati. Kekuatan Hang Tuah itu dizahirkan pada huruf jawi ‘tha’. Benar, jika ‘tha’ itu menjadi ‘ba’ atau ‘khaf’, tentu bunyinya kedengaran lucu sekali. Buah dan Kuah.
            Hang Tuah, lagenda pahlawan melayu yang dikatakan hidup dalam pemerintahan Sultan Mahmud. Punya aura hebat dan penuh tatasusila kerana didikan kedua orang tuanya, disamping suasana sekeliling membina jati diri, sehingga akhirnya dia menjadi sebahagian orang istana, bahkan terus mempamer kehebatan bukan sahaja dalam ilmu persilatan, waima dalam perdagangan juga. Diplomat moden yang hidup di zaman dulu.
            Rumpunan hikayat Hang Tuah itu terbina dalam dua konteks pemikiran manusia, fakta dan mitos.

“YA ALLAH, mengantuknya. Jarum jam ni cari gaduh dengan aku ke apa? Dari tadi tak bergerak,” bebel Betty. Tajam merenungi jam berbentuk katak warna hijau yang terletak di atas meja, bersebelahan beberapa buah buku yang disusun secara meninggi.
            Amiera ketawa kecil. Hampir setiap hari dia dengar bebelan yang serupa apabila waktu menjejak jam lima petang. Lirik mata Amiera mengekor pergerakan Betty. Gadis itu berdiri tegak. Kemudian membuat senaman ringan. Badannya digerak ke kanan dan ke kiri beberapa kali.
            “Aku nak sembahyang dululah. Nak ikut?” Selipar jepun disarung ke kaki. Kepala menjenguk ke depan, berjarak kira-kira enam meter dari meja kerja mereka. Bilik solat kelihatan sunyi.
            “Jomlah,” ajak Betty. Lengan Amiera ditarik kuat.
            “Sabar,” gerutu Amiera.
            “Kau pergilah. Aku nak minum air kejap. Kering tekak ni,” lanjutnya, lantas memintas langkah Betty dan terus menonong ke pantry. Gelas kaca dicapai dan dia menuang air kosong ke dalam gelas tersebut. Dengan lafaz bismillah, dia meneguk air itu perlahan-lahan.
            “Adoi!” Amiera mengaduh sakit. Belakang tubuhnya dirempuh kasar. Lekas membawa anak mata mengerling manusia itu yang terpacak di depan singki. Encik Adlan? Pandangannya jatuh pula pada lantai yang dicemari cecair kemerahan.
            “Encik, kenapa ni?” soalnya sebaik berdiri berhampiran Adlan.
            Adlan angkat muka. Berkerut-kerut dahi menahan perit. Luka akibat terkena mata pisau begitu menyakitkan. Entah di mana silapnya, sedang elok memotong mounting board, leretan mata pisau lipat secara berlebihan itu terkena di ibu jari.
            “Boleh tolong ambilkan first aid?” pinta Adlan kepada Amiera.
            Amiera tidak menyahut sebaliknya langsung kaku memandang ke arah lain. Dada rasa sempit. Sukar hendak bernafas.
            “Amiera?” Lantunan suara itu sedikit kuat.
            Amiera menjulang roman wajah Adlan. Kening lelaki itu merunduk ke bawah. Renungan tajam terarah padanya.
            “First aid, please.” Ulang Adlan.
            “Encik... encik tunggu sekejap.” Amiera buru-buru meninggalkan Adlan yang kehairana melihat gelagat dia.
            “Kau tolong aku.” Lengan Betty diraih. Pantas menolak temannya ke pantry.
            “Ada apa? Aku nak sembahyanglah,” bebel Betty.
            “Jari Encik Adlan luka. Kau tolong ambilkan first aid untuk dia,” beritahu Amiera.
            Betty kerut muka. “Kau dari pantry, kan tadi? Kenapa tak ambilkan aje untuk dia?”
            “Aku tak tahu benda tu dekat mana. Alah, kau pergi ajelah. Tu... kasihan bos tu. Darah banyak keluar dari luka dia,” gesa Amiera lagi.
            “Yalah.” Betty merutai geram. Kaki dipacu menghampiri Adlan di singki.
            Amiera pejam mata. Nafas dihela lambat-lambat melepasi rengkungan.
            Darah.

            Dia nampak ibu jari Adlan luka dan berdarah.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tidur.

2 comments:

Unknown said...

Ouch! Tambah cast lg nih...akk pun dh nk lost track..eheheee..

Oh...nk ckp satu lg...adeh..pendek la pulak n3..ngeeee..

<3

~::HANAH RISHAS::~ said...

@nveladdct

itu laa sis. sendiri pon dah lost ni hahahaha mampu bersabar dan terus lakar dekat kertas :D