Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab 30.

Assalamualaikum.







"...Whoever wants to know what Allah has prepared for him, should look to what he has prepared for Allah..."








Bab 30
KERINGAT halus mulai menggigit dahi. Malah butiran peluh itu telah hampir membasahkan kulit muka. Tambahan pula, terik mentari kian rakus mencuri hadir dari celah-celah daun-daun yang merimbun, menabiri dia yang sedang gigih membersihkan kawasan kebun pisang keluarganya.
            Saat mendongak ke atas, mata yang tersimbah sinaran mentari, terpejam-pejam kepedihan.
            “Ayah Long, mana mancis?” Hafizi datang mendekat bersama penyapu di tangan. Remaja berusia empat belas tahun itu begitu rajin membantu di kala waktu senggang. Tidak seperti kebanyakan anak remaja seusia, pasti keluar berlibur atau menonton televisyen.
            Latif menyeluk poket seluar lusuh yang dipakainya. Sekotak mancis diberi kepada Hafizi.
            “Hati-hati bakar tu, Fizi,” pesan Latif lagi.
            Hafizi mengangguk. Terkoncoh-koncoh berlari ke arah longgokan rumput-rumput mati, kayu-kayan, serta daun-daun kering yang sudah dikumpulkan menyerupai busut.
            “Ayah Long...” Idham merapati Latif yang duduk berehat di atas akar sebesar lengan.
            “Ya?” Latif tersenyum.
            “Nanti tolong buatkan kayu Superman untuk adik, boleh?”
            “Kayu Superman?” Latif sembunyi tawa.
            “Alah... yang macam Ayah Long buatkan adik hari tu. Adik dah dapat Batman, sekarang nak Superman pula. Boleh?” Tubuh kecil Idham bergoyang-goyang bagai dipukul angin.
            “Eleh, buat aksi comel pula budak ni.” Tiba-tiba Luqman datang mendekat dan spontan meluku kepala Idham. Idham mengaduh kuat. Sepantas kilat membalas dengan tamparan di badan abangnya.
            Dari kejauhan, Hazman leka memerhatikan gelagat Latif bersama anak-anaknya. Kadang ketika mengundang senyum lebar. Keakraban mereka jelas terlihat. Padanya, Latif begitu mengasihi Hafizi, Luqman, dan Idham.
            ‘Biar dia fikir aku dah mati.’
            Bicara itu membuatkan dia mengelus nafas berat. Tubuh serta-merta longlai, tersandar pada batang pokok. Duduknya di atas pangkin tidak segagah tadi.
            “Bang... mana budak-budak tu?” Suzana datang menatang dulang bersamanya. Punggung berlabuh hampir di sisi suami.
            Hazman tidak menyahut, sekadar memberi isyarat mata yang menunjuk jauh ke belakang sana.
            Suzana memanjangkan leher. Dalam senyum dia berkata, “Patutlah senyap aje. Bila ada Pak Long dia, masing-masing rajin. Semua tempat nak dibersihkan. Kalau tidak, jangankan kata tolong emaknya, tengok pun tak.”
            “Bang?” Suzana mengamati roman sang suami. Dahi sudah berlapis-lapis.
            “Menung apa tu, bang?”
            “Abang Latif...” Hazman menoleh sekilas sebelum mengangkat wajah, memandang dada langit yang terbias di celah-celah rimbunan daun yang meneduhi mereka.
            “Kenapa dengan Abang Latif?” soal Suzana kembali.
            “Abang nak dia jumpa anak dia.” Mata mencari Suzana.
            Tangan yang ligat menuang air ke dalam gelas, langsung kaku. Sorot mata menujah riak serius Hazman.
            “Abang tak boleh biarkan keluarga kita terus macam ni. Amiera tu anak buah kita, Ana. Anak kandung Abang Latif.” Hazman tampak kecewa.
            “Bukan abang aje yang rasa macam tu, Ana pun sama.” Suzana berkata perlahan.
            “Habis, abang nak buat apa?”
            “Ibu!!” Idham keseronokan berlari menghampiri tempat pasangan itu berteduh.
            Hazman dan Suzana membuang pandang ke arah datangnya suara girang Idham. Masing-masing kulum senyum. Langkah pantas Idham diekori Latif, bersama Hafizi dan Luqman. Entah apa yang dibicarakan oleh mereka sehingga memecah tawa yang cukup gamat.
            “Kita usahakan...” Ulas bibir Hazman menutur kata yang kedengaran halus.
            Suzana mengerut muka.
            Untuk seketika, mata kedua-duanya saling bertaut.
            “Cuaca sekarang ni tak menentu, kan? Semalam, hujan lebat. Hari ni... panas.” Tuala kecil dikibas ke muka. Sudah hampir menjelang malam, tinggal beberapa jam sahaja, namun terik mentari seumpama kekal tegak atas kepala.
            “Adik tolong lap peluh.” Tiba-tiba Idham mara mendekati Latif. Tuala kecil itu diambil Idham, lalu tangkas mengesat peluh-peluh yang mencemari wajah lelaki tersebut.
            Dalam pada masing-masing terhibur melihat keletah Idham, leret mata Hazman kekal membidik paras abangnya. Cukup serius. Benar, dia ingin Latif bersatu kembali dengan Amiera.

JARI-JEMARI menggenggam peranti komunikasi begitu erat, seakan enggan dilepaskan lagi. Lambat-lambat, peranti itu dibawa menjauhi telinga, lantas mengembalikan pendengaran seperti sediakala, tanpa suara sesiapapun yang datang menjengah.
            “Amiera?”
            Amiera berkalih tubuh ke belakang. Pada ketika pandangan kedua-duanya saling bersatu, lentur bibir menitip senyum kecil.
            “Ibu,” serunya perlahan.
            Tasneem datang mendekat. “Buat apa kat sini?”
            Kepala digeleng. Selajur, dia mengengsot ke kiri bangku agar ruang yang bersisa itu boleh diduduki Tasneem.
            “Patutlah tak ada bayang dia dekat dalam sana.” Tasneem menggenggam mesra tangan Amiera. Dielus lembut penuh kasih sayang.
            “Lama dah tak ambil angin sambil duduk kerusi ni, bu,” jelas Amiera.
            “Yelah, mana tak lama kalau dah jarang sangat Mira datang jenguk ibu dan ayah dekat sini.” Tasneem bercanda dengan tawa kecil meniti bibir, namun Amiera seakan mendengar nada aneh disebalik bicara tadi. Hati langsung tersentuh. Benar, sejak bergelar isteri, inilah kali pertama kaki dibawa memijak lantai kediaman keluarga Shahreza dan Tasneem.
            “Macam mana keadaan Mira sekarang? Dah jadi isteri orang...” Dalam nada suara yang perlahan, dia cuba mencuri masuk ke dalam relung kehidupan Amiera. Biar ada hati yang masih rasa kesal, bahkan ada yang memendam kekecewaan, namun bingkisan hidup gadis itu harus diambil peduli.
            “Entahlah.” Ayat itu seolah tidak mampu ditelan dalam hati. Terus menderu keluar seumpama satu keluhan yang maha berat. Walhal, hidup disamping Adlan tiada apa-apa yang kurang. Malah segalanya lengkap, lebih dari cukup, tetapi tanggungjawab suami isteri itu belum mampu dipenuhi oleh mereka. Hendak mempertontonkan anak rambut depan Adlan pun, terasa terlalu dangkal.
            Atau sebenarnya, perasaan bersalah itu melebihi segalanya? Malapetaka itu mengundang aib, meremuk-rendamkan perasaan Shahreza dan Tasneem, menghancurkan hati Ekmal.
            “Tentu Mira percaya pada takdir Tuhan, kan?” Amiera dirapati. Pandangan kedua-duanya saling bertaut.
            “Tuhan tak pernah jadikan sesuatu hal itu untuk sesuatu yang sia-sia. Memang betul, apa yang pernah jadi dulu membuatkan kita satu keluarga kelam-kelibut. Tak senang duduk, tak lena tidur.”
            Tiba-tiba, gema suara tawa dari dalam sana menggamit perhatian Tasneem. Bicara tadi jeda seketika. Sorot mata melepasi jendela yang terbuka luas. Kelihatan suaminya begitu rancak berborak dan sesekali melepas tawa besar di samping Adlan. Dia ikut senyum, sebelum kembali menatap paras Amiera.
            “Hairan... baik ibu, atau ayah, kami tak boleh membenci Adlan. Jujurnya, kami suka suami kamu tu, Mira.”
            Terkebil-kebil mata Amiera menempa roman manis ibunya.
            “Marilah masuk dalam. Dekat luar ni, apa ada?” Tasneem bangkit. Kaki dikemudi menghampiri suami dan menantu yang masih ralit berbicara sesama mereka.
            Amiera terus memperhalusi keadaan di dalam sana. Reaksi masing-masing tiada yang dusta. Malah ayah jelas melayan baik Adlan, seolah musibah dulu tidak pernah wujud dalam kehidupan mereka sebelum ini. Sering wujud dalam fikiran, bagaimana dinginnya hubungan yang bakal terbina antara Adlan dan keluarganya. Ternyata, apa yang bermain dalam kotak kepala hanya satu cetusan perasaan sendiri.
            Spontan, bibir melorek senyum kecil. Membuatkan roman yang sedikit bergelora tadi kembali tenang.
            “Mira apa khabar?”
            Amiera menjulang mata ke atas, mendakap renungan ke arah Ekmal. Dan ketika itu, lentur otot pipi jadi kaku.

PINTU yang meregang luas tadi ditutup rapat. Genggaman jari-jarinya masih utuh di tombol besi.
            “Amal pergi sebab saya, kan?”
            “Kenapa fikir macam tu?”
            Dia senyap.
            “Terima kasih sebab masih sudi terima abang dalam hidup Mira.”
            Kata-kata itu seolah ternoktah begitu sahaja. Berulang-ulang gemanya memenuhi anak telinga. Tatkala sentuhan lembut itu mengusap kepalanya, dia tahu, Ekmal sedang cuba sedaya-upaya menghapus dirinya daripada terus menduduki jiwa lelaki itu.
            “Termenung apa tu?” Adlan menegur lembut.
            Amiera tersentak. Tubuh berkalih ke belakang, menghadap lelaki itu. Gelengan kepala disertai dengan senyum hambar.
            “Petang ni, Encik Haris nak datang sini,” beritahu Adlan.
            “Siapa?” Amiera mengerutkan muka.
            “Penyewa rumah saya ni.” Adlan menjelaskan. Lusa, dia bakal meletakkan kembali dirinya dalam kalangan penghuni rumah Ku Embok. Segenap pelosok diri telah bersedia untuk menghambur kekesalan masa lalu. Dan Amiera yang kini berdiri di sisi bakal menjadi salah satu ancaman jiwa Rozita.
            Lambat-lambat, Amiera ikut duduk bertentangan lelaki itu.
            “Tolong nenek pulihkan hubungan Adlan dan Rozita.”
            Bergema suara Ku Embok dalam telinga. Secara langsung, menghadirkan seraut wajah tua penuh mengharap. Tidak dia sangka, beberapa hari lepas, Ku Embok menjejak ke kediaman ini semata-mata untuk satu permintaan itu.
            “Adlan...” Dia menyeru lembut.
            Adlan menoleh.
“Bila kita pindah rumah mummy?” soalnya, sengaja menyuntik keterujaan di sebalik anak kerongkong.
            Hampir bertaut kedua belah kening lelaki itu. Dalam senyum nipis, Adlan berkata, “Betul awak tak kisah, Amiera?”
            “Kisahkan apa? Tinggal dengan keluarga awak?” Hujung bibir dihinggapi senyum halus.
            “Bila saya kena kahwin dengan awak, that means saya kahwin dengan keluarga awak juga. Nenek awak, nenek saya. Adik awak, adik saya juga, dan your mummy is my mummy too.”
            “Kalau esok?” Adlan sengaja menduga.
            Amiera menggangguk. “Why not?”
            “Serius?” Lelaki itu seakan tidak percaya.
            “Kita kena mencuba, kan? Baik dari segi hati, mahupun keluarga. Kalau awak boleh berbaik dengan keluarga saya, kenapa tak saya? Lagipun... saya nak kahwin sekali aje. Biar kekal sampai syurga.” Sejurus itu, punggung diangkat dari kerusi. Pengemudian kaki menuju ke tingkat atas. Hampir menjejak anak tangga ke tiga, dia menoleh ke belakang. Serta-merta, senyuman yang tersembunyi tadi langsung terbias membasahi ulas bibir.

‘DOAKAN kebahagiaan saya.’
            Ekmal menggenggam telefon bimbit. Cukup kejap.
            Rangkai kata terakhir kiriman Amiera terus melayang dalam kepala. Entah kenapa, dalam deretan abjad-abjad tersebut, barisan ayat itu paling kuat menggegarkan hati.
            Nafas dihela berat. Seolah melepaskan satu beban yang enggan terburai keluar.
            ‘Amiera... abang tahu Amiera akan bahagia. Dan... abang akan cari kebahagiaan abang juga. Doakan abang.’
            Dada dielus. Perit masih segar berparut namun dia tahu, tiada guna melayan perasaan kecewa. Sudah ketetapan dari atas langit bahawa jodoh mereka berpanjangan sebagai pasangan adik-beradik. Ya, dia akur meski terlalu sakit untuk ditelan.
            “Kamu ngak apa-apa?”
            Teguran itu nyaris mencabut jantung keluar dari tubuh. Lekas sorot mata membidik paras seorang perempuan, berambut panjang melepasi bahu, dibiar mengerbang ditiup angin.
            “Ya... ya... I’m okay,” jelasnya dengan terburu-buru.
            Perempuan itu mengulum senyum kelegaan.
            “Dewi.” Tanpa diminta, Dewi memperkenalkan diri.
            “Ekmal,” balas Ekmal pula.
            “Bapak Ekmal dari Malaysia?” Dewi kelihatan terkejut. Sejurus itu, Dewi bersorak kesukaan.
            “Aku khuatir bapak tersesat ke mana-mana, rupanya di sini aja.” Leret senyum Dewi makin lebar.
            “Ayo, ikut aku. Aku hantarin ke kediaman bapak.” Dewi menarik bagasi besar milik Ekmal dengan bersusah-payah.
            “Eh, tak apa. Saya boleh bawa sendiri.” Ekmal menghalang.
            “Kamu ni... orang Tuan Baki?”
            Dewi angguk kepala. “Tuan Baki minta aku datang ambil bapak. Pasti bapak letih. Ayo...” Dewi menggesa.
            Bagasi itu tetap diheret Dewi. Ekmal sekadar memerhati. Seulas senyuman hadir bertenggek di hujung bibir. Agaknya inilah Dewi yang disebut Tuan Baki lama dulu.
            “Ayo!” Dewi memanggil lagi. Tangannya mengawang udara.

            ‘Ekmal, kau akan temui rasa bahagia itu nanti. Insya Allah...’ Hati berbisik kecil, selajur memutikkan satu semangat baru. Segera dia berlari-lari anak mendapatkan Dewi.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: :)

5 comments:

Azure said...

Memang menantikan sambungannya..
terima kasih.
cuma saya rasa terlalu banyak digunakan perkataan "ulah" tanpa perkataan tersebut pun tidak mencacatkan jalan cerita; atau boleh menggunakan perkataan lain yang sama erti...

~::HANAH RISHAS::~ said...

Tq sis di atas teguran :) insyaAllah..kite akan edit semula :) kalau nak tegur lg banyak pun takpe hihi :)

And again,tq sudi baca entri tak seberapa ni :)

Tq!

:)

Anonymous said...

Best...!!!!

~::HANAH RISHAS::~ said...

Dear anon,

Tq sudi baca entri kite ni n_ny

AYRA ZAHRA said...

owh thanks beb. Aku baru dapat baca ko punya entry.. Comellah Amiera dan Adlan ni.. muahahhaa...:D