Sunday, January 18, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab12.

Assalamualaikum.







"...And of His signs is that He created for you from yourselves mates thaht you may find tranquillity in them; you affection and mercy. Indeed in that are signs for a people who give thought..." - Surah Ar-Rum: 21









Bab 12
SETIAP abjad membentuk rangkai ayat yang tercanting di atas nota kecil itu ditatap lagi. Berkira-kira hendak menyerahkan kembali nota itu kepada pemiliknya. Kepala menjenguk melepasi ketinggian monitor nipis jenama Dell. Meliar matanya meninjau keadaan bilik Adlan yang terletak di depan sana. Dari pagi dia menanti, tiada tanda-tanda Adlan telah memijak lantai pejabat ini.
            Jari-jari mengetuk meja. Mengalun ritma yang berterabur. Skrin monitor di pandang tanpa minat. Kerja yang tidak pernah habis itu langsung dibiar sepi sepanjang beberapa jam ini. Sibuk menunggu kemunculan Adlan. Semakin lama dia simpan nota kecil itu, semakin banyak konklusi yang bermacam-macam terbit di fikiran. Takut nanti dia simpul satu kenyataan yang salah.
            Ayat berbaur nasihat serta peringatan itu kembali merangkul tumpuan. Benar, syurga itu di bawah telapak kaki seorang ibu. Lihat betapa besarnya darjat seorang perempuan dipanggil ibu. Malah keutamaan seorang ibu itu tiga kali ganda melebihi yang lain-lain termasuklah bapa.

LAKSANA petir kepantasan Betty merampas nota kecil dari pegangan tangan Amiera. Amiera terkejut bukan kepalang. Hampir-hampir jatuh tergolek dari kerusi yang diduduki. Betty mengawang nota itu di udara saat Amiera membentak geram. Terkekeh-kekeh gadis itu ketawa. Nota itu enggan dikembalikan. Seronok mengusik Amiera yang dilihat asyik mengelamun sejak pagi.
            “Secret admirer yang bagi hadiah hari tu, bagi nota pula?” Betty meleret senyum nakal. Belum berupaya menangkap tiap bait ayat yang tercanting di atas nota berkenaan.
            “Bukanlah. Itu orang lain punya,” kata Amiera. Nada suara cuba dikawal kadar kekuatannya.
            “Eleh, coverlah tu,” cebik Betty.
            Amiera tarik muka. Wajahnya meriak tegang.
            Betty ketawa lagi. Langsung tidak tergugat dengan kerut muka temannya itu.
            “Kau ingat aku takut?” cebik Betty. Sempat mengacah nota itu kepada Amiera. Sekejap diunjuk ke depan, sekejap mengawang udara. Amiera gigit bibir. Sudahnya dia buat tidak endah kerana dia tahu, sesibuk mana pun Betty hendak jaga tepi kain orang, tidaklah pula sampai membaca sesuatu tanpa izin tuannya.
            Melihat sikap acuh tidak acuh Amiera tadi, Betty mulai dihambat kebosanan. Lalu nota itu diserah semula kepada Amiera. Dengan pantas, Amiera menyembunyikan nota itu di dalam laci mejanya. Herot-herot mulut Betty tahan senyum.
            “Eh, Encik Adlan tak sampai lagi ke?” soal Amiera.
            Betty jongket kening. Sambil bersandar, dia membuang pandang ke arah Amiera. Cukup tajam.
            “Apa?” Amiera kerut dahi.
            “Tiba-tiba tanya Encik Adlan ni...” Betty meleret suara.
            “Aku tanya aje.”
            “Tak pernah-pernah kau tanya.” Panjang tangannya mencuit lengan Amiera.
            “Ke nota tadi tu kau nak kasi dekat Encik Adlan?”
            “What? No! Pleaselah.”
            “What? No! Pleaselah...” Terkumat-kamit mulut Betty mengajuk cara cakap Amiera. Sesudah itu, dia hambur ketawa lagi. Amiera pekakkan telinga. Itu Betty- gadis happy-go-lucky yang dikenali enam bulan lalu. 
            “Encik Adlan ada urusan dekat luar kut. Aku tengok Encik Is pun tak ada. Kenapa?” Betty mula serius. Depan mata terhidang kerja-kerja grafik yang harus diselesaikan sesegera mungkin. Walau hanya rekabentuk kasar, dia tetap ingin tampilkan yang terbaik. Malah rekabentuk kasar itu bakal menggambarkan output akhir nanti.
            Amiera sekadar mendiamkan diri. Tangan kanan mencapai tetikus. Bersama titipan lafaz bismillah yang dilantun suara hati, dia memulakan tugas-tugasnya, setelah beberapa ketika membiar semangat bekerja berpusar bersama udara dingin penyaman udara.

“SARAH, sekejap lagi ikut ibu pergi hantar baju dekat rumah Puan Raihani.” Tasneem memandang sekilas anak daranya yang sibuk menghadap komputer riba. Tidak pandang kiri kanan langsung. Sarah hanya pamer angguk kecil.
            Ketekunan Sarah menggamit Tasneem untuk ambil tahu. Lantas dia mendekati Sarah. Laman sosial Facebook terhampar depan mata.
            “Buat apa tu, Sarah?” Tasneem labuh duduk di kerusi bersebelahan Sarah.
            Sarah memaling muka. Jari telunjuk menuding ke srkin komputer riba.
            “Facebooking,” jawabnya seraya mengulum senyum.
            “Cari pakwe?” tebak Tasneem pula.
            Membulat mata Sarah. “Mana ada bu,” tuntasnya.
            Tasneem tertawa kecil.
            “Dah tu, bukan main tekun ibu tengok Sarah berfacebooking.” Beberapa helai selendang rekaan terbaru butiknya diambil dari meja yang terletak di belakang mereka. Seingat dia, selendang-selendang tersebut belum bersentuh lagi. Terletak elok di dalam kotak. Alih-alih berkumpul atas meja.
            “Sarah ke yang keluarkan selendang-selendang ni?”
            “Emm...” Sarah menoleh. Kemudian dia mengangguk.
            “Sarah tengok Kak Ema macam tak sempat aje nak buat photoshoot untuk koleksi terbaru butik ni. Tu yang Sarah tolong sikit.” Komputer riba itu ditolak ke tepi.
            “Wah, berapa bayaran yang ibu kena bagi dekat Sarah ni? Jangan mahal-mahal ye sayang.”
            Sarah memaut lengan Tasneem. Cukup manja. “Tak banyak. Setakat dapat beli baju baru, beg baru, kasut baru pun dah okey.” Jari-jemarinya mengembang
            Spontan, Tasneem mencubit mesra pipi anak gadisnya.
            “Sikit? Banyak tu!”
            Sarah tersengih lebar. Sudah pasti Tasneem menjadi ‘bank’ kedua selepas Shahreza.
            “Alah, bukan selalu. Boleh eh, bu?”
            Tasneem ukir senyum. Bukan ayat itu yang mengundang herot bibirnya, sebaliknya model yang menggayakan tudung dan selendang itu- Sarah.
            “Eh, muka model ni sama macam Sarahlah.” Tasneem mengerling ke sisi.
            Sarah ketawa kuat bagi menyembunyikan perasaan malu ketika itu.
            “Cantik anak ibu,” puji Tasneem.
            “Anak ibu...” Sarah leret suara. “Ni Kak Ema.” Gambar Fatma berselendang kelihatan sungguh ayu.
            “Cantiknya Kak Ema bertudung macam tu,” kata Tasneem.
            “Nak minta Kak Mira jadi model, dia tak mahu.” Tercebik-cebik mulut Sarah.
Saat terdengar nama Amiera disebut-sebut Sarah, Tasneem teringat akan hasrat hati bermenantukan gadis itu masih belum dikhabarkan jawapannya. Entah setuju, entah tidak. Berbaki empat hari sebelum genap tempoh seminggu. Lagi pula, mereka suami isteri tidak meletak tempoh masa yang spesifik bagi Amiera. Mereka memberi ruang dan masa sepenuhnya kepada si gadis untuk berfikir semasak-masaknya.

SEHINGGA jam menginjak ke angka enam petang, bayang Adlan tetap tidak menjengah ruang mata. Sudahnya, nota kecil itu kembali menghuni beg miliknya. Entah kenapa, sukar untuknya melupakan ayat yang tertulis di atas nota itu. Seolah-olah mendesak dia untuk segera mengembalikan kepada Adlan.
            Amiera memakir motosikal di petak putih yang disediakan khas untuk penunggang sepertinya. Pandangan dilontar jauh ke depan sana. Kemudian lirik mata berganjak kira-kira dua puluh lima darjah ke sisi kanan. Sebuah kereta putih, model tempatan merangkul renungan. Pastinya sang pemilik kereta berkenaan sudah berteleku lama di dalam restoran yang meriah dengan lampu-lampu suram menghiasi bahagian tiang hadapan.
            Lambat-lambat Amiera pacu kaki. Anak mata bergerak-gerak mencari Ekmal. Walau hati separuh rela, dia tetap datang juga.
            Dari jauh, dia lihat seorang lelaki berdiri secara tiba-tiba. Lelaki itu Ekmal. Sehingga dia benar-benar sampai di situ, barulah Ekmal melabuhkan punggung. Itu pun selepas dia terlebih dahulu duduk selesa di atas kerusi rotan berbantal kusyen bentuk bujur ke sisi.
            “Minum?” aju Ekmal.
            Amiera menggeleng.
            “Emm... iced lemon tea satu.” Ekmal membuat pesanan bagi pihak Amiera. Selang beberapa minit, gadis pelayan datang bersama segelas minuman yang dipesan tadi. Hujung jari Ekmal menolak gelas itu kepada Amiera.
            “Your favourite,” katanya lagi.
            Amiera kekal senyap begitu. Gelas itu langsung tidak bersentuh.
            “Ada apa Amal nak jumpa Mira?” Pandangan mereka bersatu.
            “Tentang hal kita berdua...”
            “Mira tak ada jawapan tu lagi,” pintas Amiera.
            Ekmal melepas nafas perlahan-lahan. Sempit.
            “Kita cuba belajar untuk terima diri masing-masing.” Ekmal bersandar tubuh. Renungannya setia membidik roman tenang gadis itu. Petaan wajah itu telah lama tersimpan dalam kotak ingatan.
            “I love you, Mira. Sejak dulu, sekarang, dan sampai bila-bila. Kenapa susah sangat Mira nak faham?”
            “Mira tak cintakan Amal. Perasaan tu tak pernah wujud untuk Amal. Tak pernah! Mira anggap Amal tak lebih daripada abang kandung Mira sendiri.”
            Ekmal leret senyum nipis. Sebelah tangannya menongkat dagu. Renungan tajam memanah ke dalam mata Amiera bagai busur bermata nipis yang mampu merobek apa sahaja.
            “Kalau Mira dipaksa... terima abang?”
            Amiera menggeleng kepala. Tersungging senyum sinis untuk tatapan Ekmal.           “Tak ada sesiapa boleh paksa Mira untuk terima Amal.”
            “Even ibu dan ayah sekalipun?” Ekmal menduga.
            “Mira sedar Mira dah terhutang budi yang terlalu banyak dekat ibu dan ayah. Tapi tak bermakna kerana nak balas budi, Mira akan ikut apa yang keluar dari mulut mereka.”
            Hembusan nafas dilepaskan perlahan melepasi rengkungan. Kala ini, hati Amiera sudah bulat membisikkan jawapan tunggal- TIDAK.
            “Tentang hasrat ibu dan ayah menyatukan kita berdua...” Bicara sengaja diputuskan setakat itu dahulu. Dia lihat wajah Ekmal meriak tegang. Menzahirkan perasaan yang bergelandangan di dalam diri lelaki itu.
            “Mira nak Amal jadi orang pertama yang dengar keputusan Mira ni.”
            Jari-jari Ekmal bersulam sesama sendiri di bawah meja. Duduknya tidak lagi seselesa tadi. Bagai ada api yang menjulang marak membakar punggung. Panas.
            “I’m sorry, Amal.”
            Titik.
            Kata maaf itu mewakili penolakan Amiera terhadap dirinya.

            Ekmal tertegun. Terasa jantung kian luruh dari tubuh. 

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tidur.

No comments: