"...Keep calm because Allah is always with us..."
Bab 18
FATMA menjenguk ke
ruang kamar peraduan Tasneem. Kerlingan tajam ditusuk tepat ke arah Amiera saat
mereka saling bertatapan. Amiera terkial-kial cuba menepis renungan itu. Seolah
ada semburan api memercik dari mata Fatma.
“Ibu, makanlah sikit lagi bu. Penat
tau Sarah dengan ayah kung kang kung kang dekat dapur tu,” pujuk Sarah apabila
Tasneem enggan menghabiskan bubur ayam itu. Belum luak separuh pun.
Tasneem senyum sedikit. Selajur
melorong anak mata kepada Amiera.
“Nak Kak Mira suapkan ibu ke?” Sarah
meneka.
Mengangguk tidak, menggeleng apatah
lagi.
“Kak Mira... Sarah rasa ibu nak Kak
Mira suapkan ibu.” Sarah mencuit bahu Amiera. Mangkuk itu diunjuk kepada gadis
yang sedari tadi memicit kedua belah kaki ibunya.
Amiera mencapai mangkuk itu.
Duduknya beralih dekat dengan Tasneem. Sarah mengengsot sedikit menjauh.
Memerhatikan Amiera tidak lepas-lepas. Betapa sukar untuknya melupakan kejadian
itu. Bayang Amiera dan lelaki tidak berbaju itu memenuhi ruang angkasa minda.
Sepasang mata miliknya menjadi saksi kekhilafan seorang kakak yang dianggap
bidadari dunia.
“Biar aku yang suap ibu makan.”
Fatma menerpa.
Amiera bangun sejurus Fatma memberi
isyarat mata menyuruh dia pergi.
“Apa Kak Ema ni, kan Kak Mira nak
suap ibu tu,” gerutu Sarah kurang senang mendengar jerkahan kasar Fatma.
Fatma buat pekak telinga. Dia ambil
tempat duduk Amiera tadi. Sempat mengerling ke arah Amiera. Gadis itu masih
terpacak di penjuru bilik.
“Biar Ema suap ibu ya. Kang kalau
tangan kotor tu yang bagi ibu makan, bukan bertambah sihat, makin sakit ada
lah,” kata Fatma. Sindiran itu sengaja diucap meninggi supaya menjunam ke
lubang pendengaran Amiera.
“Kau tu nak jadi tugu ke dekat
situ?” Fatma pandang Amiera.
Terkulat-kulat Amiera menahan
perasaan.
Menyedari renungan Fatma semakin
tajam menusuk dada, buru-buru dia heret kaki keluar dari ruang itu. Membolos ke
pintu utama yang terbuka luas.
“Ema...” Tasneem menegur dalam suara
yang perlahan.
Fatma menoleh. Dia mendengus geram.
Teguran itu bagai satu tamparan buatnya. Seisi rumah masih mampu berdepan
dengan Amiera, menyambut kunjungan perempuan itu depan pintu rumah mereka
dengan senyuman, walhal dia cukup sakit hati, bahkan tidak ingin menatap muka
‘plastik’ Amiera.
“KAK...” Terjengul
kepala Sarah di muka pintu. Leret mata membenam ke wajah Amiera yang duduk
bersendirian di sebuah kerusi kayu, terletak di penjuru anjung selebar dua
belas kaki.
“Boleh Sarah duduk situ?” Jari
menuding ruang kosong bersebelahan Amiera.
Amiera pantas mengangguk seraya
berkata, “Duduklah.”
Tersungging senyum kecil di hujung
bibir Sarah. Rapat labuh punggung di sisi gadis itu.
“Kak Ema memang macam tu. Mulut tak
ada insurans,” cebik Sarah.
Ulas bibir Amiera mengukir senyum
tawar. “Betul apa kata Kak Ema tu,” keluh Amiera.
“Kak...” Jeda seketika.
Amiera memintas renungan gadis manis
yang mempunyai iras paras Tasneem.
“Ayah risaukan kakak.” Jujur Sarah
memberitahu.
Pandangan mata menyoroti dada langit
nan membiru. Gumpalan-gumpalan awan memutih membentuk pelbagai rupa. Sejurus
udara dihela melepasi dada, dia melanjut bicara, “Ayah selalu termenung. Sampai
ada masa ayah tak lalu makan. Kalau senyum ketawa tu pun pura-pura aje. Sarah
tahu, dalam kepala ayah tu asyik fikir tentang Kak Mira.”
Salur pernafasan terasa menyempit.
Sesak dadanya mendengar pertuturan Sarah. Hambatan roman Shahreza memenuhi
kotak fikiran. Selajur membuarkan lebih banyak beban yang harus dia pikul di
kiri dan kanan bahunya.
“Kak Mira minta maaf, Sarah. Sebab
akak semua ni jadi.” Untaian airmata disimpul ketat. Enggan menangis lagi.
“Demi Allah, kami tak buat apa-apa.
Dia tolong akak, Sarah.” Sungguh-sungguh dia berkata.
Sarah diam tidak berkutik. Antara
percaya atau tidak- dia berada di antara dua garis sempadan itu.
BULAT mata Fatma
yang mencuri-curi dengar perbualan antara ayahnya dan Amiera. Kata-kata tenang
Shahreza membujuk Amiera umpama busur bermata tajam, membidik ke jantung,
melahirkan sejuta kepedihan serta membangkitkan amarah yang telah sedia
bertimbun.
“Kau mengaku juga akhirnya.” Fatma
mencelah penuh sinis seraya giat menepuk tangan.
Amiera dan Shahreza berpaling
serentak.
“Ema.” Shahreza memerhati ulah anak
perempuannya.
“Kau setuju kahwin dengan lelaki tu,
bermakna memang wujud hubungan terkutuk tu, kan?” Terus-terusan Fatma membedil
tuduhan.
“Untung kau ni. Dah malukan keluarga
aku pun, masih ayah dan ibu aku berlembut dengan kau. Sampaikan ibu aku
sakit-sakit, hampir kena strok pun dia masih juga panggil kau anak dia. Ilmu
apa kau guna hah?” jerkah Fatma.
“Fatma!” Kali ini, Shahreza
melengking tinggi suaranya.
Fatma kancing gigi.
“Ayah ni kenapa? Perempuan tu dah
conteng arang dekat muka kita, buat hubungan terkutuk dengan lelaki mana entah,
tapi ayah boleh lagi berlembut dengan dia. Ayah tak ada perasaan marah ke? Atau
sebenarnya ayah dah terlampau sayang sangat dekat perempuan tu sampai ayah
sanggup tutup mata atas perkara jahat yang dia dah buat?!” Itu yang paling dia
benci. Hal itu yang membuatkan dia bertambah sakit hati. Apa pun yang dilakukan
Amiera, tidak pernah mencacatkan pandangan sesiapa.
Shahreza terduduk. Ekor mata
menyoroti langkah Fatma menghilang dari pandangan. Sejurus itu, dia urut
pelipis dahi. Kepala semakin memberat. Berdenyut seluruhnya.
“Ayah...” Amiera hendak menutur kata
namun terbejat suara di kerongkong sebaik Shahreza angkat tangan melepasi bahu
dan bergoyangan ke depan dan ke belakang dalam skala yang kecil.
Isyarat tangan Shahreza cukup
difahami.
Diam.
Tutup mulut.
“MUMMY!” Haili
Sofea memekik lantang. Buru-buru dia menuruni anak tangga dan meluru ke ruang
tamu. Tertinjau-tinjau melihat persekitaran yang sunyi itu. Kelibat Rozita
tidak kelihatan di mana-mana.
“Mummy!” pekiknya lagi. Panjang
langkahnya menuju ke pintu yang terbuka luas. Serta-merta roman wajahnya meriak
ceria saat terpandangkan Rozita duduk bersendirian di bangku kayu. Selipar
jepun disarung ke kaki. Berlari-lari anak mendapatkan Rozita.
“Kenapa pekik-pekik panggil mummy
sayang?” Rozita menoleh.
Haili Sofea duduk hampir di sisi Rozita.
Telefon bimbit diunjuk kepada wanita itu.
“Apa ni?” Rozita kehairanan.
“Mummy bacalah,” gesa Haili Sofea.
Rozita menurut. Anak mata menyoroti
skrin telefon itu. Rangkai ayat yang tertera dibaca satu per satu.
Lama–kelamaan bukaan kelopak mata semakin mengecil. Kerut halus kian membanjiri
dahi.
“Nah.” Rozita mengembalikan telefon
itu tanpa memandang muka Haili Sofea.
Haili Sofea tersenyum-senyum. “Mummy
dah baca?”
Rozita tidak menyahut. Dia berpeluk
tubuh.
“Mummy...” rengek Haili Sofea
apabila perhatian Rozita tidak terarah langsung kepadanya.
“Apa dia sayang?” Sedikit mendatar
lontaran suara itu.
“Tak sabar nak tunggu Abang Edi...”
“Stop
it,” pintas Rozita.
Haili Sofea terpanar.
“Mummy tak suka ke Abang Edi tu bawa
balik bakal menantu?” Gadis berambut pendek paras bahu itu menyoal.
“Jangan sebut nama tu depan mummy.
Mummy tak suka!” marah Rozita tiba-tiba.
Bertambah hairan dibuatnya. Haili
Sofea mengengsot menjauhi Rozita.
“Mummy ni kenapa?”
“Just
shut up, Elly!” Rozita berang. Nama Adlan umpama bara yang sentiasa berapi
dalam dada. Sakit hatinya mengenangkan kata-kata Adlan.
“Ita!” tegur Ku Embok.
Haili Sofea berlari mendapatkan
neneknya.
“Mummy tu...” adu Haili Sofea dengan
muka cemberut.
“Elly masuk dalam,” suruh Ku Embok.
Haili Sofea mengangguk.
Tergeleng-geleng kepala Ku Embok
memerhatikan menantunya itu. Lambat-lambat dia mendekati Rozita.
“Ita, kenapa marah-marah pada Elly?”
Ku Embok menyoal.
Rozita pejam mata. Hati dipagut rasa
bersalah terhadap Haili Sofea. Kasihan anak gadisnya itu jadi mangsa amarah
yang menjentik.
“Entahlah, mak. Pedih sangat hati
saya bila Elly sebut nama Adlan tu,” keluh Rozita.
“Sebab tu aje?” Ku Embok terkejut.
Kelopak mata terbuka perlahan-lahan.
Membidik renungan ke dada langit. Redup. Biasan sinaran mentari terpancar
dicelah-celah kumpulan awan yang menabiri sang suria.
“Adlan tu mak, memang sengaja
mendera perasaan saya. Sengaja tambah rasa sakit hati saya ni.” Rozita menyeka
airmata di pipi.
“Ita, apa yang keluar dari mulut dia
tu semuanya tak betul. Dia mengaku sendiri pada mak yang dia...”
“Saya dah letih dah mak. Biarlah dia
nak buat apa pun, saya tak akan ambil tahu. Makin saya peduli, makin teruk hati
saya ni disiat-siat.” Rozita menuntas lemah. Lekas memacu langkah meninggalkan
Ku Embok termangu-mangu di situ.
“KERANA dia
anakku, aku akan sentiasa mengampunkan dosa-dosanya. Akan sentiasa mendoakan
kesejahteraannya, memohon agar rahmat Tuhan selalu melingkari hidupnya.” Rozita
berbisik halus. Dakapan bingkai gambar itu dieratkan lagi. Seolah memeluk tuan
empunya diri.
“Adlan anak ibu...” Tangis sendu
Rozita berhimpun dalam hembusan angin yang terhasil daripada putaran kipas
siling.
Sungguh dia memaafkan apa pun
perbuatan dan tutur kata Adlan yang menyakiti hati, namun luka terguris itu
akan kekal menjadi parut.
AIRMATA itu diseka
dengan lembut. Kemudian dahi Adlan dikucup penuh kasih.
“Ibu... sakit,” rengek Adlan dengan
airmata lencun membasahi pipi.
Rozita kulum senyum. Pipi Adlan
diusap-usap.
“Jangan menangis sayang. Luka sikit
aje tu. Nanti ibu sapu ubat ya,” pujuk Rozita.
Adlan yang baru berusia enam tahun
itu mengangguk perlahan. Terhinjut-hinjut bahu tahan sendu.
“Aaaa!” Adlan menjerit.
Terbejat tindakan Rozita hendak
mencuci luka di kepala lutut anaknya.
“Sakit bu! Sakit!” Adlan meraung.
Kapas dicampak ke tepi. Adlan
dirangkul ke dalam pelukan. Erat.
“Dah... dah sayang. Maafkan ibu ya.
Ibu kasar sangat letak ubat tadi.” Rozita mengelus tubuh Adlan.
“Adlan hero ibu. Hero tak boleh
takut. Kena berani,” ujar Rozita, cuba memacu keberanian di hati kecil anaknya.
“Hero kena berani?” soal Adlan
seperti tertarik. Esak tangisnya beransur sepi.
Rozita mengangguk seraya tersenyum
kecil.
“Edi nak jadi hero?”
“Nak!” Laju Adlan menjawab.
“Kalau macam tu, anak ibu yang berani
tak boleh menangis bila luka tu nak kena sapu ubat. Tahan sikit. Luka tu kalau
tak kasi ubat, kuman datang. Bahaya!” Riak wajah Rozita berubah-ubah ketika
bercerita.
“Edi tak takut dah,” kata Adlan.
Kaki dijulur ke depan.
“Ibu letak ubat ya. Edi tahan ya
sayang...” Dengan penuh berhati-hati, Rozita menekap kapas yang diletak sedikit
cecair Dettol ke luka itu. Terpejam-pejam mata Adlan. Namun tiada teriakan
nyaring seperti tadi.
“Dah siap dah!” Rozita merapikan
tampalan plaster yang menutupi luka tadi.
Adlan buka mata.
“Sakit?”
“Tak!”
Rozita menarik Adlan ke dalam
rangkulan. Ubun-ubun anaknya dikucup berkali-kali.
“Hero ibu tak boleh takut. Kena
berani!”
Adlan mendongak. Senyuman lebar
menghiasi roman si kecil.
“Edi sayang ibu!”
‘EDI sayang ibu!’
‘Edi sayang ibu!’
‘Edi sayang ibu!’
Rozita kembali mendarat ke dunia
nyata pada ketika gema suara kecil Adlan memenuhi kotak fikiran. Dia pandang
kiri kanan. Tercari-cari Adlan yang dirindui. Menyedari imbasan itu hanya
secebis kenangan manis antara dia dan Adlan, Rozita mengeluh kehampaan.
‘SAYA sudi
bersuamikan encik tetapi penikahan kita hanya akan berlaku selepas ibu saya
pulih sepenuhnya.’ Ulas bibir Adlan melentur ke bawah, membentuk senyuman
tatkali desir suara hati menitip rangkai ayat kiriman Amiera kepadanya.
Rona gembira itu bukan kerana
runtuhnya pendirian Amiera, sebaliknya memikirkan betapa keputusan dia menikahi
Amiera nanti bakal menyakiti hati seseorang yang tidak pernah diambil peduli.
Apatah lagi, di depan mata wanita itu, dia mengakui keterlanjuran diri.
Sinis senyuman yang terpamer di ulas
bibirnya. Ayat panjang berjela-jela kiriman Haili Sofea langsung tidak melentur
sekeping hati miliknya untuk merasai perasaan bersalah. Malah dia boleh senyum
kepuasan. Adlan memang bukan Adlan yang dahulu. Adlan kini seorang berjiwa
kering gara-gara kebenciannya terhadap perbuatan ibunya satu detik masa lalu.
Titipan bicara Ku Embok telah
tenggelam tanpa mampu timbul kembali. Adlan melihat Rozita sebagai seorang
musuh, bukan ibu yang wajib dihormati dan dikasihi sepenuh hati. Dia lupa,
wanita itu pernah mengusung dia di dalam perut yang memboyot selama sembilan
bulan. Dia lupa, wanita itu hampir mati kerana melahirkan dia.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Tidur.
3 comments:
Hah?? Baby ke 2? Baby 1 apa nama?? X ckp pun :(
Hai sis :)
Oh..bby pertama tu tahun2012 :) cintan cintun gitewwe :) tajuknya Cinta Dalam Hati, terbitan Kaki Novel :) dgn KN kita guna full name- Salwati Haris :)
Ok. Noted. Kena carik. Hihihii
Post a Comment