"Whoever believes in Allah and the last day should not hurt or insult his neighbor..."
Bab 22
JARI-JARI memicit
pelipis dahi. Denyut itu semakin menyengat. Teringat ulah Latif, dia jadi
runsing. Mengapa begitu sukar abangnya melafaz kata persetujuan, mewalikan
satu-satunya anak yang dia ada?
“Abang Latif, budak perempuan tu
anak abang. Apa abang tak nak jumpa dia, tengok keadaan dia?” Bersungguh dia
memujuk setelah permintaan beberapa minggu lepas ditolak mentah-mentah oleh
lelaki itu.
“Saya merayu dekat abang,
tolonglah... fikir masa depan anak abang tu.” Rayuan semakin perlahan. Kecewa
sebenarnya.
“Aku tak mahu mewalikan dia.” Latif
menyahut tegas.
“Tapi kenapa? Dia anak abang. Anak
yang abang tak pernah jumpa, tak pernah kenal. Apa perasaan dia bila tahu ayah
kandung dia tak nak jadi wali dia?” Membuak perasaan tidak puas hati. Dia
kancing gigi.
“Kau ada.” Pendek Latif melontar
kata.
Kepala digeleng. Kesal. Semudah itu?
Nafas dihela panjang. “Saya ni berstatus bapa saudara. Abang Latif tu ayah
kandung dia, lelaki yang berhak menjadi wali budak tu.”
Sepi di hujung talian. Hanya
kedengaran desah nafas yang kian menderu lembut.
“Jangan takut nak berdepan anak
sendiri. Walau dulu abang pernah tinggalkan mereka, Amiera tetap anak abang.”
“Aku bukan takut!” Latif menderam
marah.
“Habis tu, kenapa susah sangat abang
nak penuhi permintaan keluarga Shahreza?” Dia semakin berani menuntas.
“Aku... aku tak boleh.”
Pranggg!!!
Serta-merta, lamunan Hazman ghaib.
Dia terpinga-pinga. Terus berkejar ke dapur. Keriuhan isterinya memarahi salah
seorang anak mereka menghambat pendengaran.
“Apa riuh-riuh ni, Ana?” Hazman
memandang Suzana. Ditangan isterinya ada sebatang penyapu.
“Anak-anak abang ni lah. Kucing
kurap tu dibawa main. Bila nak dihalau, boleh pula masing-masing halang. Tu,
tengok tu... habis berterabur pucuk ubi atas lantai.” Suzana membebel geram.
Mencerlung matanya merenungi Luqman dan Idham.
“Idham, pergi bawa Bella keluar.
Luqman tolong ayah bersihkan lantai ni.” Idham segera memecut keluar bersama
kucing jalanan yang diberi nama Bella oleh mereka adik-beradik. Luqman pula
patuh arahan ayahnya. Terbongkok-bongkok mengutip pucuk ubi menghijau, lalu
dimasukkan semula ke dalam periuk.
“Maafkan Abang Chik dengan Adik. Tak
sengaja, terlepas Bella tu masuk dalam rumah.” Luqman berbicara perlahan.
Marah Suzana sebentar tadi menurun
secara drastik. Sejuk hati melihat Luqman begitu. Leret mata Suzana menyoroti
langkah Luqman. Berlari-lari anak menghampiri Idham yang ralit bermain dengan
kucing tadi.
“Bukan main glamour nama kucing budak-budak tu, bang,” ujar Suzana seraya
menguntum senyum kecil.
“Abang yang beri nama tu,” sahut
Hazman penuh bersahaja.
Suzana membuntangkan mata. “Abang?
Emm... padanlah tu. Anak-beranak hantu kucing,” gumamnya. Periuk tadi dibawa ke
singki. Pucuk ubi itu dibasuh bersih sebelum direbus untuk melembutkan dan
membuang getah.
“Bang, macam mana dengan Abang Latif
tu, abang dah cakap dengan dia balik?” Suzana menoleh sekilas.
Hazman menarik kerusi lantas
punggung dilabuh malas.
“Dia suruh abang aje gantikan dia.”
Hazman memberitahu.
“Eh, boleh pula macam tu.”
“Ikut hukum, abang memang layak.”
Ligat tangan Suzana mencapai cawan,
bekas gula, dan balang kopi. “Itu Ana tahu lah bang. Maksud Ana... dia tu, tak
nak ke jumpa anak dia. Dari kecil sampai besar panjang, nak kahwin dah pun...
anak dengan bapa tak pernah saling kenal. Sedang kita ni, Ana sendiri naik
teruja nak jumpa budak Amiera tu.”
“Entahlah, Ana. Abang tak tahu apa
yang dia fikir sampai tergamak tolak permintaan keluarga Encik Reza, terutama
Amiera,” keluh Hazman.
“Kalau macam tu, buat apa tunggu
lagi? Dah sah-sah Abang Latif tak sudi jadi wali Amiera tu.” Cangkir kopi panas
diunjuk kepada suaminya.
“Kita kena pujuk Abang Latif juga,”
tutur Hazman.
“Sampai bila bang? Dua kali abang
pujuk, merayu... sama juga jawapannya. Dia memang tak naklah tu. Nanti makin
lama, bertangguh pula majlis Amiera tu. Tak salah Ana, hari tu Encik Reza ada
beritahu, majlis pernikahan tu ada lebih kurang dua tiga minggu lagi, kan?”
Hazman tidak membalas. Mulut dikunci
rapat.
Status bapa kandung memberi
keistimewaan kepada Latif untuk mewalikan Amiera, namun lelaki itu memilih
untuk terus menyepikan diri dan menolaknya.
Tetapi, kenapa?
Hazman kerut muka.
WALI- termasuk
dalam rukun nikah yang mesti ada, termasuklah perkataan ijab dan kabul, bakal
suami, bakal isteri dan dua saksi. Jika tidak ada, maka tidak boleh dilakukan
akad nikah dan andai dilakukan juga, nikah tersebut tidak sah.
Orang yang paling utama menjadi wali
ialah bapa perempuan dan jika tiada, maka pengganti wali yang terdiri daripada
ahli keluarga yang layak menjadi wali dan wali pula boleh mewalikannya kepada
kadi atau naib kadi atau juru nikah.
Susunan tertib orang yang boleh
menjadi wali ialah:
1.
Bapa;
2.
Datuk
lelaki dari pihak bapa perempuan;
3.
Adik
beradik lelaki seibu sebapa;
4.
Adik
beradik lelaki sebapa;
5.
Anak
saudara lelaki dari adik beradik seibu sebapa sehingga juraian ke bawah;
6.
Anak
saudara lelaki dari adik beradik sebapa sehingga juraian ke bawah;
7.
Bapa
saudara seibu sebapa sehingga juraian ke atas;
8.
Bapa
saudara sebapa;
9.
Anak
lelaki dari bapa saudara seibu sebapa (sepupu) sehingga juraian ke bawah;
10.
Anak
lelaki dari bapa saudara sebelah bapa (sepupu);
11.
Raja
(pemerintah) atau orang yang diberi kuasa oleh pemerintah.
BUKU ilmiah itu
ditutup, selajur diletak kembali di atas rak yang bersusun pelbagai jenis genre bahan bacaan. Setelah itu, dia
merebah batang tubuhnya di atas kerusi rotan beralas bantal kecil di punggung.
Sambil ulas bibir mengalun zikir,
membasahkan lidah memuji, dan membesarkan Ilahi, fikiran terbawa-bawa
mengingati kata-kata Hazman. Sudah dilahirkan pernolakan itu, namun Hazman
tetap mendesak. Tindakan itu bukan disengajakan. Bahkan dia terlalu ingin
menebus kekhilafan masa lalu, menzahirkan kata maaf, dan kekesalan itu, tetapi
seluruh jiwa raga belum mampu menghadapinya.
Selain dia, ada orang lain yang
boleh menggantikan dirinya di majlis itu nanti- Hazman.
TASNEEM mengelus
dada sendiri pada ketika bicara suaminya menerobos jendela telinga dengan
begitu deras sekali.
“Lagi sekali?” Dia seakan tidak
percaya.
Shahreza mengeluh hampa.
“Hazman telefon saya, beritahu yang
Latif tetap tak nak mewalikan Amiera.”
“Latif tu kenapa? Susah sangat ke
nak datang sini.” Tasneem mulai membentak.
“Dahlah bang. Kalau dia tak sudi
jadi wali anak kita tu, biarkan! Ada orang lain lagi yang layak.”
“Kita kena usaha lagi. Itu hak
Latif.”
Terbeliak mata Tasneem.
“Lagi?” Tasneem kelihatan tidak puas
hati.
“Hazman pun cakap benda yang sama.
Peluang tu masih ada.” Tekan Shahreza.
“Lepas penat merayu, pujuk... Latif
tak nak juga macam mana?”
“Usaha dulu.”
“Abang dengan Hazman tu bukan tak
usaha, tapi tuan badan sana tu tak sudi. Buat apa terhegeh-hegeh lagi?”
Terherot-herot bibir Tasneem. Marah sungguh dia.
“Entah-entah, dia memang dah tak
anggap Amiera tu anak dia. Tu yang dia sanggup buat macam tu.”
“Husnuzon, Tasneem. Kita tak tahu
apa yang menyebabkan dia tolak permintaan kita. Jangan bersangka buruk pada
orang lain,” nasihat Shahreza.
“Mana tahu, berkat doa kita, hati
Latif tu berubah.” Bicara dilanjutkan.
Lama Tasneem merenungi roman tenang
suaminya sebelum dia turut mengangguk.
Shahreza beransur ke bilik peraduan.
Tuala dicapai dan segera menghilang ke dalam bilik air. Manakala Tasneem pula kembali mendapatkan
Amiera yang duduk melangut di anjung rumah.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Tidur.
6 comments:
Panasss... Panasss... Hatiku panas... Hehehehe... :p
Sis Nvel Addct,
Meh kita tlg kipaskn. Kasik kipas besau pnya hihi :)
Tq sis selalu singgah baca dan drop komen sekali hihi
Muuahh! ;)
kalau x pns xde ceriter...hehe nk lg
maraton baca dari bab 1 sampailah sini nonstop. besttttt! nak lagi, nak lagi ! :D
Hi kak na :)
Hahahaa tak pns mn kak ceta ni :) tq sudiiiii baca :D
Hai lollipop manis :)
Tq tq tq sudi baca nonstop ULK ni.terharu! :) insyaAllah..akan ada entri next week. Mcm biasa..RABUDAY! :)
Post a Comment