"...A good deed brings light to the heart..."
Bab 20
“SU, baliklah...”
Karsan tetap memujuk. Dada dielus perlahan. Hambatan degup jantung kian
menyakiti diri.
“Su tak nak balik! Kalau Su balik,
abah paksa Su kahwin dengan Shuib. Su tak nak kahwin dengan dia, Su cintakan
orang lain.” Suria membentak di hujung talian. Esak tangis turut mengiringi.
Karsan memejam mata seketika.
Mencari sedikit ketenangan dan menggagahi diri dengan kesabaran.
“Su... Su tak sayang abah ke? Tak
sayang emak?” Lirih Karsan bersuara.
Suria hambur tangis lagi. “Su sayang
emak. Su sayang abah...”
“Kalau macam tu, baliklah. Kita
bincang.”
“Su nak kahwin dengan Abang Latif.
Abang Latif dah janji dengan Su, dia akan jaga Su. Dia cintakan Su.”
“Su...” Karsan tidak berdaya hendak
meneruskan bicara. Hatinya pedih. Bayangan wajah polos Suria menampar ingatan.
“Su minta satu aje dari abah dan
emak. Tolong restui pernikahan kami. Tolong... Su nak hidup bahagia dengan
Abang Latif.” Suria berkata.
Shahreza yang menjadi pendengar
sejak tadi lekas berdiri. Ganggang telefon dirampas dari tangan Karsan.
“Kenapa kau degil sangat, Su?!”
Melengking tinggi suara Shahreza.
“Kalau kau degil juga, kahwin dengan
lelaki tu... kau tak akan bahagia Su. Tak akan bahagia! Kau membelakangi
keluarga sendiri,” lanjut Shahreza dengan begitu tegas sekali.
“Abang Reza... maafkan Su.”
Shahreza hela nafas berat. Lirik
mata menerkam roman wajah Karsan dan Hamidah. Kalau dia merasai kekecewaan itu,
apatah lagi orang tua mereka. Suria sudah gila!
“Tolong restui perkahwinan kami.
Tolong...” rayu Suria sebelum panggilan itu diputuskan.
Shahreza terkedu.
Ternyata, Suria sudah membulatkan
hati sendiri.
CINTA itu buta.
Benarkah begitu? Atau hakikat
manusia membutakan mata hati demi sebuah cinta?
Kerana cinta, Suria membelakangi
keluarga sekaligus menafikan hak Karsan sebagai seorang ayah yang akan
mewalikan dia bila dia bernikah kelak. Mereka lari ke sempadan, menikah di situ
hanya kerana enggan menerima tentangan yang datang daripada keluarga. Hatinya
sudah buta. Cinta adalah segala-galanya bagi dia.
Dalam keadaan sarat mengandung anak
pertama, Suria kembali menjejak kaki di rumah keluarga Karsan. Berseorangan.
Anak bongsu keluarga kecil itu disambut dengan linangan airmata walau hati
masing-masing pernah remuk rendam, dihiris-hiris hingga hancur lumat.
Suria ditinggalkan tanpa pamit.
Lelaki yang disangka bakal melindungi telah menghilangkan diri.
Namun cinta itu kekal dalam hatinya.
Sehingga ke hembusan nafas terakhir, wanita itu setia kepada seorang lelaki
bergelar suami- Latif.
“SILA minum Encik
Reza,” pelawa Suzana. Secangkir teh panas ditolak ke hujung meja, hampir kepada
Shahreza.
“Bang... air.” Suzana mengunjuk
cawan beralas pinggan kecil kepada suaminya.
Hazman mengangguk. Cawan itu
diambil, kemudian dia berkata, “Silakan minum...”
Cangkir teh panas itu dicicip
sedikit.
“Abang Latif tak pernah balik ke
sini.” Lambat-lambat Hazman memberitahu.
Shahreza merenungi paras Hazman.
Cawan tadi diletak kembali atas meja.
“Dah berbelas-belas tahun kami tak
berjumpa,” lanjut Hazman.
“Latif masih hidup?” Shahreza lekas
memotong.
Hazman terdiam sejenak. Empat pasang
mata itu saling berbalas renungan sebelum ulas bibir Hazman bergerak-gerak
namun tiada suara yang kedengaran keluar.
“Anak perempuan dia bakal berkahwin
tak lama lagi.”
Serta-merta, bola mata Hazman
membulat. “Anak?”
Shahreza pamer angguk.
“Amiera Syazreen binti Latif.” Nama
Amiera disebut Shahreza. Penuh.
Hazman terkebil-kebil.
“Dia tak pernah cerita?” duga
Shahreza melihatkan reaksi Hazman seakan termangu-mangu.
“Hasil perkahwinan Suria dan Latif,
mereka dianugerahi seorang anak perempuan. Setelah kematian Suria dan abah,
saya yang jaga budak tu.” Shahreza melanjut bicara dengan mata membelah
renungan yang terarah padanya. Ternyata Hazman terperanjat besar.
Hazman tersandar. Dia mengelus nafas
perlahan. “Dia... pernah berkahwin?”
Shahrera angguk kepala.
“Jujurnya, kami tak pernah kenal
siapa Latif.” Shahreza mengeluh kecewa.
“Tujuh lapan bulan selepas
mengahwini Latif, adik saya kembali ke pangkuan keluarga, bersendirian. Kami
tahu, dia ditinggalkan lelaki tu tapi Suria tetap percaya suatu hari nanti
Latif akan kembali.” Dan pada saat itu, Hazman menyedari bunga-bunga amarah
muncul di sebalik belahan renungan Shahreza.
“Saya tak pernah tahu.”
“Arwah ayah kamu tahu.”
Hazman cuba mengawal emosi sendiri.
Sedang fikiran mulai menelusuri tahun-tahun kebelakang, saat arwah ayahnya
masih hidup.
Suasana bertukar dingin seketika.
Masing-masing menggumpal bicara dalam kepala sendiri.
“Saya kesal... Suria memilih Latif.
Sudahnya, lelaki tu tak pernah muncul untuk bersama dengan dia membesarkan
Amiera.” Keluhan itu kedengaran tegas.
Sorot mata Shahreza meleret ke arah
Hazman.
“Abang Latif masih hidup,” beritahu
Hazman.
‘Alhamdulillah...’ Suara hati
Shahreza mengalun syukur dengan begitu lantang. Namun riak itu tidak terpamer
di raut wajahnya. Dia kekal seperti tadi- serius.
“Tapi saya tak tahu di mana Abang
Latif sekarang. Macam yang saya cakap tadi, kami dah lama tak berjumpa malah
dah terlalu lama dia tak jejak kaki ke rumah ni. Kami berhubung melalui telefon
semata. Itu pun dia yang telefon rumah ni.” Panjang lebar Hazman menerangkan.
Rangkuman rasa syukur sebentar tadi
beransur lemah. Terasa jalan yang terbentang depan mata masih kekal berkabus
putih. Tebal. ‘Ya Allah... permudahkan segala urusanku.’ Dia memohon.
AMIERA mengintai
Tasneem di sebalik dinding pemisah antara ruang memasak dan ruang makan. Wanita
itu ligat mencapai jug jernih, diisi dengan air kosong dan menunang sedikit
cecair likat berwarna merah serta lima sudu gula. Perahan limau sambal turut
dicampur bersama.
“Kak!” Sarah menyergah.
Amiera urut dada. Terkejut. Mujur
tidak bergolek keluar jantung dari dalam tubuhnya.
Sarah tersengih lebar apabila Amiera
menunjuk muka garang. Dia ketawa terkekeh-kekeh kemudiannya.
“Kak Mira tengok apa?” Sarah turut
meninjau ke dalam perut dapur.
“Mengintai ibu?” soalnya.
Amiera sekadar mengoles senyum
hambar.
“Ibu tu tak boleh duduk diam. Sarah
ni naik risau. Dia bukan sihat sepenuhnya lagi tu tapi gaya... macam orang
muda. Nasib ibu tak berdegil nak pergi butik juga. Ayah dah warning awal-awal dah. Kata ayah, kalau
ibu degil juga, ayah nak ikat ibu dekat kerusi. Biar tak bergerak langsung.”
Sarah mengomel dengan renungan kekal membidik ke arah ibunya.
Terhambur tawa Amiera mendengar
untaian ayat terakhir yang terpacul keluar dari mulut Sarah.
“Eh, betul kak. Ayah tu kalau cakap
bukan main-main.” Sarah berkata lagi.
Amiera menggeleng kepala. Gelihati.
“Apa anak-anak ibu buat dekat sini?”
Tasneem melenggang menghampiri mereka. Amiera lekas menyambar dulang dari
tangan ibunya.
“Biar Mira bawa,” tawar dia.
Tasneem tersenyum kecil. Selajur,
mereka beriringan ke ruang tamu.
“Ayah mana, bu?” Amiera menyoal.
Gelas panjang berwarna kuning rona hijau itu diisi dengan air sirap limau ais.
“Ayah jumpa kawan dia. Ada hal.”
Serba ringkas Tasneem memberitahu. Roman wajah Amiera direnungi. Hati bagai
dicubit-cubit. Serta-merta, dia kalih muka tatkala kesakitan itu makin ketara.
“Entah-entah ayah dating.” Sarah sengaja memprovokasi
ibunya. Lantas dia tersengih lebar sampai ke telinga, mempamer barisan giginya
yang cantik apabila Tasneem menjegilkan mata.
“Kalau ayah pergi dating, siaplah dia. Ibu dah sihat ni.
Nak buka bunga-bunga silat, bertinju bagai tu, semua dah boleh.” Tasneem
menjongket kening.
Amiera dan Sarah ketawa
terbahak-bahak.
“Assalamualaikum!” Ekmal terjengul
di muka pintu.
“Abang!” Sarah berteriak kesukaan.
Mencicit lari mendapatkan Ekmal.
“Tak malu betul peluk-peluk abang.”
Ekmal menyindir dengan niat mengusik.
Panjang muncung Sarah. Lengan Ekmal
dipaut pula. Erat.
Ekmal sempat melirik mata ke arah
Amiera. Mereka saling berpandangan untuk seketika sebelum perhatiannya kembali
meratahi wajah ibunya. Tangan wanita itu disalami.
“Ibu sihat?” tanya Ekmal. Duduknya
hampir disebelah Tasneem.
“Alhamdulillah...” Tasneem menjawab
diiringi senyum mesra. “Sarah, tolong ambilkan gelas untuk Abang Amal. Kita
minum sekali.”
Belum sempat Sarah bingkas berdiri,
Amiera terlebih dahulu menawarkan diri. Pantas membawa kaki ke ruang dapur.
Sampai di gerbang dapur, dia membeku. Kepala berkalih ke belakang. Gelak tawa
Tasneem, Ekmal, dan Sarah silih berganti menerobos ke jendela telinga.
SUZANA mendekati
suaminya yang banyak bermenung setelah kepulangan tetamu mereka tadi. Paras
suaminya direnungi.
“Bang,” panggilnya.
Senyap.
Hazman ralit melayani pelbagai
perkara yang menerpa ke dalam kotak fikiran sehingga panggilan sang isteri
melayang-layang ditiup angin.
“Abang!” Lontaran suara kali ini
sedkit kuat.
Hazman tersentak. Pecah berderai
lamunannya tadi. Bayang wajah Latif dan Shahreza segera musnah sekelip mata.
“Kenapa Ana?” soalnya.
Terkebil-kebil membalas renungan sang isteri.
“Abang tu... jauh sangat termenung.
Ana panggil pun tak dengar,” protes Suzana.
Ulas bibir Hazman meleret senyum
nipis.
“Kenapa abang tak beritahu Encik
Reza tu perkara sebenar?”
“Perkara sebenar? Maksud Ana...”
Suzana memandang suaminya. “Baru
bulan lepas, Abang Latif ada datang rumah kita. Kenapa abang tak beritahu Encik
Reza tentang perkara tu? Lagipun, abang ada nombor telefon Abang Latif. Kenapa
abang tak beri aje pada dia? Mereka perlukan Abang Latif sekarang ni. Kan?”
Berat dada menghempas keluhan. Dia
mendongak pandang atap.
“Perkara ni rumit, Ana. Abang bukan
sengaja tak mahu cerita hal sebenar dekat Encik Reza tapi abang dah janji pada
Abang Latif.”
Berkerut dahi Suzana mendengarnya.
“Janji apa?” soalnya penuh
kehairanan.
Nafas ditarik dalam-dalam sebelum
menyambung, “Abang Latif minta abang jangan beritahu sesiapa bagaimana keadaan
dia sekarang. Sebab tu abang terpaksa cakap yang kami dah lama tak jumpa
padahal...”
“Abang Latif tahu tak yang dia ada
anak?” Suzana bertanya penuh minat.
Hazman jongket bahu. “Abang Latif
tak pernah cerita pada abang.”
“Tak sangka rupanya Ana ni ada anak
buah. Ingatkan Abang Latif tu bujang terlajak,” ujar Suzana seraya menguntum
senyum kecil.
Hazman tidak membalas bicara
isterinya. Dia kembali dicengkam bayangan abang kandungnya.
Terima kasih kerana sudi baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Tidur lagi.
8 comments:
Adeh HR... Citer Usah lepaskan pun susah sis nak lepaskan... Hang tambah lg satu? Sabar je lahhh...
^^y
Yg lg stu ni,baru 0.000001% jln sis :) Selagi Amiera Adlan tak menemui TAMAT, mmg tak gerak laa yg latest ni :)
Tq for your support, sis! :)
Mwahhhh!
:D
huyoooo dah kuar prolog dah. Apa2 pun siapakn cite Amira dulu ya. Aku x sabar nk tau cite nih. muahahaha..Go go go . Hwating... :D
Sambung cerita Amiera-Adlan dlu eaa ;) tak sabar nak tau sambungannya!! Cepat2 update tau :)
Prolog je den mampu haa. Haha :)
Hai i_syakirah :)
Tq drop sini,baca entri yg berjela2 hihi
InsyaAllah, Amiera Adlan akan diupdate sekerap mngkin :) dan seharusnya Amiera Adlan kena jmpa TAMAT dulu,bru ada entri e novel lain :)
Again, TQ!
:)
nnti update lg ya sis. :)
Hai nik ainaa :)
InsyaAllah,next week ada entri.
Tq sudi baca :)
Post a Comment