"...Don't fear death, fear the state in which will you die..."
Bab 26
SAMBIL menongkat
dagu, Betty melaras renungan tajam ke arah jarum jam katak hijau miliknya. Lima
minit lagi, tepat pukul sebelas pagi.
Derap kaki menyambar pendengaran,
mengalih tumpuan Betty. Lekas dia menoleh. Bulat matanya memandang Kak Mila.
“Kenapa pandang akak macam tu?”
tegur Kak Mila seraya menghenyak punggung di kerusi. Kertas di tangan dibelek
sekali imbas. Surat untuk Adlan diletak di sebelah kanan, manakala surat untuk
Iskandar di kiri meja.
Betty mendengus berat. “Ingat Encik
Adlan.”
“Encik Adlan kan tak masuk lagi hari
ni. Cuti. Kan ke pengantin baru lagi tu. Paling tak pun, minggu depan baru ada.
Kau ni pun, baru dua hari lepas majlis kahwin Encik Adlan dengan Amiera tu.
Patut-patutlah kalau nak cari dia pun.” Kak Mila membalas.
“Ke kau nak jumpa Encik Adlan? Kan
Encik Is ada tu. Sorang orang penting, sorang lagi bos besar.” Omel Kak Mila
lagi. Selesai tugas membahagikan surat-surat itu mengikut tuan empunya diri,
dia menyambung kembali tugas-tugasnya yang terbengkalai tadi.
“Akak tak terkejut ke?” Betty
menyoal.
Sorot mata Kak Mila membelah paras
gadis berkulit putih dan bertahi lalat di atas bibir kiri. “Terkejut? Apa yang
nak dikejutkan sangat Betty oi?”
“Tu, Encik Adlan dengan Amiera tu.
Tiba-tiba kahwin. Nak kata bercinta, tak nampak pula bunga-bunganya.” Dahi
licin Betty mulai mempamer garis-garis halus.
“Style
dorang tu kut, tak mahu heboh-heboh. Daripada kau sakit mata tengok mereka
bercinta sakan, manja-manja bagai, ada baiknya macam ni,” rumus Kak Mila.
“Amiera tu tak ada cerita apa-apa
dekat saya pun kak. Senyap aje.” Betty masih tidak puas hati.
“Takkanlah semua benda dia nak share dengan kau. Setiap orang ada hak
peribadi masing-masing. Eh Betty, kau ni dah salah tempat kerja tau. Tu...
pergi apply kerja dekat Media Prima.
Jadi wartawan Melodi ke, Galaksi ke. Asyik nak korek aje kerja dia.”
“Lagipun Amiera tu bukan macam kau,
mulut dua tiga dekat muka,” lanjut Kak Mila lagi. Sengaja menghentam Betty yang
terkenal ramah dan mesra alam.
Berkerut muka Betty. “Amboi kak... mulut
kita ni ada satu aje tau.”
Kak Mila tahan gelak. Muncung mulut
Betty.
“Alah, akak gurau aje,” tutur Kak
Mila.
“Tapi... sweet juga tengok Encik Adlan dengan Amiera. Lepas ni, kena letak
plat besi dekat meja Amiera. Puan Amiera Syazreen.” Betty mengangkat kedua belah tangannya ke atas. Dirapatkan ke
tengah dan kemudian beransur bergerak ke kiri dan kanan serentak. Seolah sedang
meleret jari ke sisi objek berbentuk empat segi memanjang.
Kak Mila mengangguk laju. Senyum
sampai ke telinga.
Sejurus itu, Betty kembali
mengecilkan mata. Masih terasa sangsi. “Tapi tetap rasa tak bestlah kak. Macam
ada sesuatu ni. Takkan ringkas sangat majlis tu? Doa selamat aje?”
“Eh kau ni Betty. Tak baik tau
berprasangka macam tu. Kan Amiera dah cakap, Encik Adlan pun ada beritahu yang
majlis walimatul urus tu nanti akan berlangsung juga, cuma bukan sekarang. Asal
dah nikah, dan semua orang tahu, okeylah..”
Betty tersengih lebar sementelah
menyedari keterlanjuran sendiri.
“Meriah nampak?” Iskandar menyapa
dua pekerja itu yang dilihat saling berbisik-bisik dan ketawa bersama.
Betty urut dada. Kak Mila tayang
sengih sampai ke telinga.
“Encik Is ni, berilah salam dulu. Ni
sergah tiba-tiba,” gerutu Betty.
“Bukan main lagi saya tengok Kak
Mila dengan awak Betty, macam bergosip.” Iskandar jongket kening.
“Borak-borak kosong je, Encik Is.”
Kak Mila menyahut.
Betty mengangguk.
“Sharelah
dengan saya juga.” Bukan dia tidak tahu, Adlan dan Amiera yang menjadi topik
hangat perbualan Betty dan Kak Mila.
Ulah Betty dan Kak Mila tampak
janggal. Masing-masing berbalas bahasa mata.
“Is!” Laungan suara itu memusat
perhatian mereka ke belakang.
Terkocoh-kocoh Iskandar mendapatkan
Adlan.
“Eh, cepatnya masuk. Akak kata tadi,
paling tak minggu depan baru masuk. Tu... Amiera!” Bejat tindakan dia hendak
mengejar Amiera kerana Kak Mila lebih pantas mengelar lengannya. Dia terduduk
kembali. Sekadar melempar pandang tidak puas hati kepada wanita tersebut.
“Sabar. Jangan gelojoh. Nanti orang
gelar kau kaki penyibuk.” Kak Mila mengingatkan.
Betty tersengih. Penuh sabar menanti
Amiera datang dekat padanya.
BATU nisan yang
dipayungi pokok renek tidak berbunga digenggam erat. Kolam mata kian memberat
pada saat merunduk renungan pada cantingan nama dalam tulisan jawi dan rumi.
Dada sebak. Pilu merantai jiwa.
“Suria...”
Kelopak mata dipejam rapat. Lelehan
airmata melepasi benteng yang cuba dibina seampuh mungkin, namun jelas dia
gagal. Tewas dalam melawan badai yang menghempas diri. Kekesalan membukit
lantas menghukum penghuni jasad yang kini ketara lemah. Dia terduduk. Lelaki
itu menangis semahunya.
“ALLAHUAKBAR...”
Tok Usu Mah melepaskan lelah. Nafas dihela beransur-ansur melapangkan
rengkungan yang terasa sempit tadi. Dengan berhati-hati, dia memanjat bukit
kecil berhampiran perkuburan Islam yang menempatkan jasad suaminya, juga
beberapa orang ahli keluarga yang sudah pun pergi dipanggil menghadap Tuhan.
“Ya Allah...” Keringat dilap dengan
telapak tangan. Sejak dua menjak ini, kesihatan dia agak terganggu. Demam dan
sakit-sakit badan. Biarpun begitu, dia bersyukur kerana masih diberi kekuatan
untuk menjalankan perkerjaan harian.
Kaki diayun merentasi jalan kecil di
tengah kawasan perkuburan itu. Apabila menemui simpang kecil di kiri dan kanan
jalan, dia membelok ke kanan dan terus ke hadapan sebelum memijak lantai tanah
berumput halus. Pusara agak uzur terletak kira-kira lima enam langkah dari
tempat dia berdiri menghambat penglihatan. Serta-merta, bibir mengoles senyum.
“Cepat betul rumput-rumput ni naik
ke sini. Baru minggu lepas aku cabut ha,” omel Tok Usu Mah. Dia mencangkung dan
ligat mencabut anak-anak rumput dari pusara suaminya.
Setiap kali kaki menginjak tanah
wakaf ini, sedetik hati merasai ketakutan kematian yang entah bila akan datang
menjemput. Siang malam dia berdoa agak matinya nanti mati dalam iman. Saban
waktu dia berharap dapat menemui sang suami di akhirat kelak. Perasaan rindu
terhadap lelaki bergelar suami tidak pernah pupus meski sudah berbelas tahun
mereka terpisah hijab.
Tok Usu Mah mengangkat muka.
Membuang pandang ke segenap pelosok lantai tanah yang mampu dijejak mata. Pada
saat dia menoleh, seseorang sedang duduk berteleku berhampiran pusara anak
saudaranya, Suria. Kecil besar mata dia cuba mengenal pasti siapa gerangan
orang itu.
‘Shahreza?’ Hati berdetak detik
meneka rambang. Lantas dia bangkit. Tulang lutut rasa bergesel sesama sendiri.
Ngilu dan sakit.
“Assalamualaikum.” Tok Usu Mah
menegur.
Lelaki tadi agak terkejut menerima
sapaan Tok Usu Mah. Sisa airmata yang membasahi wajah segera dihapus.
“Ingatkan Shahreza tadi,” ujar Tok
Usu Mah seraya mengulum senyum. Nyata dia salah orang.
Canggung bahasa tubuh yang cuba
dipamer lelaki tersebut.
“Kamu kenal ke dengan arwah?” Tok
Usu Mah menyoal.
“Ka.. kawan lama.”
“Oh...”
Lelaki tadi berdiri. Punggung ditepuk-tepuk
bagi menanggalkan habuk dan kekotoran yang melekat pada seluar.
“Macam baru semalam aje nampak arwah
bergelak ketawa dengan anak perempuan dia,” keluh Tok Usu Mah. Wajahnya meriak
mendung. Betapa tragisnya kematian datang menjemput Suria. Amiera pula menjadi
orang terakhir yang melihat roh sang ibu dilucut dari tubuh.
“Maaf ya nak. Tiba-tiba mak cik
datang menganggu pula.” Tok Usu Mah tersenyum-senyum.
Lelaki tadi menggeleng laju.
“Mak cik balik dulu,” pamit Tok Usu
Mah.
Lelaki tersebut menghantar pemergian
wanita tua itu dengan pandangan mata sahaja.
“Abang Latif, budak perempuan tu
anak abang. Apa abang tak nak jumpa dia, tengok keadaan dia?”
Terpejam-pejam mata dia melawan rasa
sakit yang datang menyengat. Seolah ada tukul besi mengetuk tengkorak kepala.
Berdenyut.
“Jangan takut nak berdepan anak
sendiri. Walau dulu abang pernah tinggalkan mereka, Amiera tetap anak abang.”
Tangan memicit pelipis kepala.
Dengung suara Hazman membingit anak telinga.
“Jangan takut nak berdepan anak
sendiri.”
“Jangan takut nak berdepan anak
sendiri.”
Bicara Hazman yang satu itu saling
berlapis, meruak ke dalam pendengaran. Bergema! Dia jatuh terjelepok atas tanah
dalam keadaan lutut memacak ke bumi. Kepala menunduk ke bawah. Mata dia berair.
“Amiera,” sendunya dalam buraian
esak tangis nan lebat.
“ELEH, kau memang
sengaja, kan?” Betty herot bibir.
Amiera terkebil-kebil. “Apa yang
sengaja?” soalnya hairan.
Betty kekal mempamer riak sebegitu.
Muncung bibir seumpama hendak disangkut baldi.
“Kaulah! Sikit pun tak mahu share
dekat aku fasal kau dengan bos kecil kita tu.” Betty tersenyum-senyum
kemudiannya. Semalaman dia menunggu menjelang siang, berharap agar segera
bertemu Amiera. Terlalu banyak persoalan yang menyemak dalam kepala.
Amiera meneruskan langkah tanpa
mempedulikan kata-kata Betty.
“Mira!” Betty mendengus geram.
Panjang kaki dia mengejar Amiera
“Kedekut betul! Bukan luak pun kalau
share sikit kisah cinta kau tu.” Betty mengguman perlahan. Lengan Amiera dipaut
erat.
“Betty, tak menarik pun kisah aku
yang kau nak tahu sangat tu,” jelas Amiera. Bermohon agar Betty segera
memahami, namun Betty bukan seorang yang mudah mengalah. Selagi apa yang
dikehendaki tidak diperoleh, maka gadis itu akan terus berusaha membedil dia
dengan beratus soalan.
“Kita makan dulu, okay?” Akhirnya,
Amiera mengalah. Entah bagaimana cara dia mahu mengolah satu pembohongan buat
halwa pendengaran Betty.
Betty tersenyum menang.
BETTY bertepuk
tangan. Sorakan hebat itu hanya keluar melalui celah-celah hati yang kesukaan. Ah,
jelas dia ketinggalan. Atau mungkin leret mata tidak sempat menyingkap kisah
cinta dua merpati yang sudah pun bersatu di bawah ikatan yang halal di sisi
Tuhan. Bijak benar keduanya menyembunyikan belahan jiwa masing-masing.
“Gatal juga kau ni, kan?” Betty
menjongket keningnya. Senyumnya meleret nakal.
Amiera mengukir senyum yang tampak
janggal. Herotnya tidak melentur seperti kebiasaan.
“Aku tak gatal. Dia yang miang.”
Sengaja ditambah sedikit bahang perbualan mereka. Meletakkan Adlan selaku
penggerak cerita itu.
Betty hambur tawa. Kuat.
“Sengal!” Betty menolak pinggan ke
tengah meja. Kelaziman dia mampu menghabiskan apa pun makanan yang terhidang,
kali ini dia cukup kenyang menghadam setiap kata-kata Amiera. Terlalu kenyang.
“Kau ni, aku rasa macam something
aje bila tiba-tiba nak kahwin. Dengan Encik Adlan pula tu.” Betty beriak
selamba. Langsung tidak mengingati pesanan Kak Mila. Dia harus tahu membataskan
pertanyaan, namun ternyata sikap ‘ambil berat’ Betty mengatasi segalanya.
Setiap inci kisah baru Amiera hendak diselidiki.
Biar bergegar segala isi dalam
tubuh, namun Amiera kekal pamer riak tenang. Sesiapa pun tidak akan tahu
bagaimana dia dan Adlan boleh bersatu.
“Kan jodoh tu, rahsia Allah.”
Betty terpukul sendiri. Kemudian
melapisi bibir dengan senyum kecil. “Sorry... kalau aku melampau sangat, tanya
macam-macam.” Jari-jari saling bersimpul di bawah meja.
“Aku kenal kau tu. Selagi tak dapat,
selagi tu nak korek.” Dia mencebik.
Betty garu kepala. “Marah?”
“Kalau aku marah, dah lama kau makan
nasi pakai straw, tahu!” Amiera berseloroh pula.
Betty menjuling mata ke atas. “Ganas
sangat kau ni!”
Terkekeh-kekeh Amiera ketawa.
“Apa pun, aku doakan yang terbaik
buat kau, Mira. Semoga kekal sampai ke syurga. Semoga bahagia dunia akhirat.
Semoga dapat baby yang comel-comel nanti.” Mata dikenyit nakal. Rendah suaranya
menyebut ‘anak’.
“Nanti letak nama anak kau Nur
Baiti, macam aku,” saran Betty lagi.
Amiera kekal beriak seperti tadi. Senyuman masih
mengabui roman wajah sendiri. Sedikit pun tidak mencelah, apatah lagi memintas
bicara Betty, sedang kepala terlalu sarat dengan bermacam perkara.
‘Kita pindah rumah nenek.’ Dengung
suara Adlan kekal kuat menggegarkan pelosok telinga.
Ya Tuhan... jujur, permintaan Adlan
terlalu berat terpikul di kiri dan kanan bahunya.
KU EMBOK
memerhatikan roman wajah sang menantu. Saat dikhabarkan tentang hajat besar
Adlan, Rozita seperti tidak senang duduk. Ulah menantunya ditelah dengan helaan
nafas yang kian menyempitkan dada.
“Saya tahu apa niat Adlan tu.”
Tiba-tiba Rozita berdiri. Jalan mundar-mandir dengan wajah ditakungi kerutan
kasar.
“Dia sengaja nak bakar hati saya
dengan kewujudan perempuan tu.” Dia melanjutkan bicara lagi. Kali ini lebih
tegas.
“Amiera tu menantu kamu, Ita. Ita
tak rasa lain ke masa kali pertama tengok dia?” Ku Embok cuba menelusuri
kepingan hati Rozita. Sungguh dia merasakan Rozita turut sama dipayungi rasa
aman tatkala merenungi paras Amiera.
“Lain macam mana, mak?” Rozita acuh
tidak acuh.
Ku Embok menghembus nafas perlahan.
“Mula-mula mak jumpa dia hari tu, masa Adlan bawa ke sini, mak dapat rasa
sesuatu yang lain ada pada Amiera. Entah... sejuk hati mak ni, Ita.”
Spontan, Rozita mencebik. “Saya tak
rasa apa-apa, mak. Kalau ikut hati, tak sudi saya nak tengok muka budak tu. Ini,
entah Adlan memang sengaja nak buat darah saya naik tinggi sampai kepala,
angkut perempuan tu sekali masuk dalam rumah kita.”
“Ita, cuba jangan fikir macam tu.
Dulu, Ita pernah cakap, Ita nak sangat Adlan balik tinggal sebumbung dengan
kita. Ita nak dekat dengan budak tu. Sekarang, lain pula?” Ku Embok mengerut
muka.
Tidak semena, fikirannya dirangkul
paras Adlan. Sayu hati jadinya. Kenapa Adlan begitu tegar membuat dia begini?
Jika benar salah dia memilih jalan, pasti dia inginkan keadaan kembali jadi
seperti sediakala. Dia lebih rela hidup dalam keberantakan jiwa daripada
terpaksa kehilangan Adlan.
“Bukan dengan cara macam ni, mak.
Hati saya ni... luluh benar jadinya,” keluh Rozita. Selajur menzahirkan apa
yang telah lama terbentuk dalam hati. Parut yang lukanya tidak pernah pulih
kerana Adlan terus-terusan memusuhi dia.
“Tapi saya sentiasa memaafkan dia.”
Jujur dia berkata. Perbuatan Adlan boleh sahaja menjerumuskan anak muda itu ke
dalam lohong derhaka. Rahmat Tuhan tidak akan memayungi hidup Adlan sekiranya
dia berterusan rasa sakit hati dan marah.
Ku Embok memahami perasaan Rozita.
Adlan umpama nyawa menantunya. Barangkali, sikap tertutup Rozita menyebabkan
keadaan jadi semakin rumit.
“Cakap pada dia.” Ku Embok
menyarankan lagi. Tidak pernah kenal erti jemu meski saranan dia sering dibiar
melayang entah ke mana-mana.
“Cakap apa?”
“Ita nyaris di...”
“Itu benda lama, mak. Saya tak nak
ungkit.”
“Tapi Ita kena ungkit juga. Ita kena
cakap dekat Adlan. Kalau macam ni lah keadaan berterusan macam ni, mak akan
buka mulut.” Ku Embok bertegas.
Buntang mata Rozita.
“Jangan, mak!” tegahnya.
“Kenapa? Ita takut?”
Mulut Rozita bertaut rapat. Tiada
sebutir ayat pun yang mampu dilontar keluar melepasi salur nafas.
“Adlan patut tahu siapa ayah dia,
sampaikan Ita tinggalkan lelaki tu.” Ku Embok bingkas bangun. Kelembutan dia
langsung lenyap. Sehari-hari menghadap ‘permusuhan’ itu, membuatkan dia
runsing. Bukan sehari dua. Bukan sebulan dua juga. Hampir mencecah berbelas
tahun tetapi kelihatan hubungan keduanya kian runcing. Dia selaku orang
sekeliling enggan jadi pemerhati lagi.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Banyak yang dah kena cantas, sebab tu makin kurang isinya :) Bukan apa, bila buka balik nak buat ha, terasa macam berjela sangat dan unsur lewah yang melampau haha! Kang bosan orang baca :)
8 comments:
Best.. :-)
menanti sambungannya. cepat2 update lg.. muahaha.. i rindu dekat irfan tu (cjkp) Sob3..
alahhh. sikitnyeeee. bestlaaa
Dear anon,
Tq sudi baca entri ni :)
Dear Ayra,
Hey hey... I pun mahu peluksss Irfan tp apakan daya,otak langsung tak mmberi kerjasama wuwuwuwu tinggal edit pun payah -..-' stress!
Btw, thank dear selalu jadi pngomen tegar setiap entri iols.syg u lebih hhhihi
Dear Lollipop Manis,
Tak mampu nk berjela sgt hihi
Tq tau sudi baca dan drop komen :)
Best cerita ni...bila nak buat new n3
Bila nk sambung lagi... rindu miera n adlan...hihihiji
Post a Comment