"...Allah forgives. All you have to do is ask..."
SHAHREZA dan
Tasneem saling berpandangan. Masing-masing sudah mengerutkan dahi.
Ekmal tampak tenang.
“Amal cakap apa tadi?” aju Shahreza.
“Jakarta.” Ekmal bertutur sepatah.
Tasneem jadi panas punggung.
Duduknya sudah beralih hampir di samping Ekmal. Jari-jemari Ekmal digenggam
erat.
“Kenapa tiba-tiba, Mal?” Tasneem
menyoal pula.
Ekmal menoleh. Paras ibunya ditatap
penuh kasih. Selajur, bibirnya melentur senyum kecil. “Amal dah lama rancang,
bu. Lagipun, peluang datang sekali aje, kan?”
“Bila tarikh perginya?” Shahreza
lebih tenang berbanding Tasneem yang hampir-hampir berendam airmata.
“Insya Allah, kalau tak ada aral,
bulan depan Amal dah mula bertugas dekat sana,” kata Ekmal.
Terangguk-angguk kepala Shahreza.
Ekmal sudah cukup dewasa. Apa pun keputusan pemuda itu, dia akan menjadi
pendokong paling kuat.
“Jauh sangat, Mal,” keluh Tasneem.
Berkaca-kaca mata dia. Lenggang sang suami menuju ke luar rumah dipandang
sekilas.
“Lagi jauh, lebih baik, bu,”sahut
Ekmal. Cukup perlahan.
Tasneem mengusap pipi anak lelaki
tunggalnya. “Amal masih kecewa?”
Ekmal tersenyum tawar. Bohong kalau
perasaan dia mampu pulih sekelip mata.
“Insya Allah, bu. Amal tak apa-apa.
Lagipun Amal tak lama dekat sana. Tiga tahun aje. Indonesia-Malaysia, kan tak
jauh. Nanti ada masa, Amal balik jenguk ibu dan ayah.”
Spontan, tubuh Ekmal hilang dalam
dakapan ibunya.
“Maafkan ibu, sayang.” Bergetar
hujung suara Tasneem. “Kalau ibu tak bersungguh beri harapan pada Amal... kalau
ibu tak berkeras nak bermenantukan Amiera...”
“Bu...” Ekmal segera memintas.
Pelukan dileraikan. Tangan Tasneem dikucup.
“Kalau pun ibu tak berniat
bermenantukan Amiera, Amal akan tetap usul perkara yang sama. Perasaan Amal
pada Amiera dah lama wujud, sejak dulu. Sejak kami kecil.” Ekmal
berterus-terang.
Tasneem mengemam bibir. Sungguh hati
terdera melihat roman Ekmal yang sedaya-upaya menyembunyikan galau di jiwa. Dia
sendiri kesal. Entah bagaimana aib itu boleh terbentang depan mata. Mensabitkan
perlakuan itu sebagai ‘musibah’ sehingga terjadinya penyatuan Amiera dan Adlan.
“Bawakan ibu menantu dari oversea,”
seloroh Tasneem. Sedang pipi sudah basah dengan airmata.
Ekmal tertawa kecil. Hujung jari
telunjuk menyeka cecair jernih daripada terus-terusan mencemari pipi sang ibu.
“BILA?”
Lambat-lambat Amiera bertanya.
“Tak silap aku, next month. Kan
Yana?” Siku menyenggol lengan Dayana yang tampak berselera sungguh memenuhkan
mulut dengan kuah laksam.
“Mmm...” Dayana mengangguk.
Segumpal nafas dilepaskan berat.
Cukup menyesakkan dada. Entah kenapa, terimbau peristiwa ‘hitam’ dulu.
Perkahwinan yang kononnya diuar-uarkan sebagai cinta kilat, sebenarnya
menyimpan sejuta kepahitan. Dendangan serba indah dan manis itu membawa
kepedihan di hati keluarga masing-masing.
“Berangan?” Maya menegur.
Amiera mendongak. Kepala digeleng
laju. Selajur menyudu sedikit kuah laksam ke dalam mulut. Tawar.
“Melepaslah kau Yana. Baru berangan
nak jadi kakak ipar Mira ni, tak sempat mengorat pun lagi, dah orang tu pergi
Jakarta.” Maya tertawa kemudiannya.
Dayana mencebik. “Alah, nanti aku
kejar dia pergi sana.” Selajur, gadis itu tertawa kuat.
“Eh, takkan kau tak tahu abang kau
posting ke Jakarta? Apa punya adiklah kau ni,” gerutu Maya.
Amiera sekadar mengoles senyum
pahit.
“Laki kau tak ada dekat rumah ke?”
aju Dayana. Mangkuk yang sudah licin ditolak ke tengah meja. Perutnya diusap
perlahan tanda kekenyangan.
“Ada.” Amiera menjawab sepatah.
“Mana? Tak ada pun. Senyap sunyi aje
rumah sebelah.” Dayana memanjangkan leher. Konon hendak mengintai luar jendela,
seolah mampu menembusi tembok setinggi lima kaki yang menjadi pemisah kawasan
rumah baru Amiera sejak bergelar isteri jiran sebelah.
“Kau pun, takkanlah nak riuh rumah
tu kalau bini dekat sini? Lainlah kalau dah ada...” Maya sengaja memanjangkan
jeda dengan lirik mata memandang ke arah Amiera. Kemudian, kening dijongket
tinggi.
“Tak sabar tunggu perut kau tu
berisi, tahu. Bila dah ada baby, rumah sewa kita ni tumpang riuh sekalilah, kan
Yana?” Maya mula memasang angan.
“Tinggi betul angan-angan kau tu,
kan?” tuntas Amiera, perlahan.
Maya mengerut muka. “Kenapa? Ke kau
merancang nak hidup berdua aje sampai tua?”
“Kau gila? Takkanlah Mira ni tak
mahu anak.” Dayana mencelah pula.
“Habis tu, dah dia cakap macam tadi
tu.” Maya membela diri.
“Aku akan pindah.” Nafas yang
dihela, perlahan-lahan melepasi dada.
“What?! Pindah mana?” Dayana
berdecit.
“Rumah keluarga Adlan,” jelas
Amiera.
“Lah, duduk dengan mertua lah ni?”
Maya menompang dagu.
“Kau tak takut ke duduk dengan
keluarga mertua?” Dayana menyoal. Wajahnya memaparkan garis-garis kurang
senang.
“Nanti asyik tak sependapat aje.
Silap-silap, kau makan hati. Bagi aku, better duduk rumah sendiri. Tahu
berdikari, susah senang hidup berkeluarga ni.” Lanjut Dayana.
“Otak tu kasi buka sikit, boleh?”
Maya menunjal pipi Dayana sehingga membuatkan gadis berambut panjang diikat
ekor kuda itu memasamkan muka.
“Bukan semua keluarga mertua macam
dalam fikiran kau tu. Kakak aku tu, elok aje tinggal dengan keluarga mertua
dia. Bahagia aje. Jadi menantu kesayangan lagi.”
“Itu kakak kau. Amiera ni nanti,
macam mana? Kan lain orang, lain ceritanya.”
“Sebab tu, kita kena doakan yang
baik-baik buat Amiera.”
Dalam
keriuhan bicara Maya dan Dayana membahaskan ‘ideologi’ masing-masing, Amiera
tenggelam jauh ke relung jiwa sendiri. Haruskah dia menemui Ekmal, menghulur
kata selamat tinggal kepada lelaki itu? Atau sekadar membiarkan dia pergi tanpa
pamitan pun?
SEKEPING gambar
yang dilipat sehingga menyerupai ukuran pasport ditarik keluar dari celah-celah
dompetnya. Ditatap lama paras yang tercetak indah di situ. Hati mengalun rindu.
Jujurnya, sukar untuk dia melupuskan perasaan itu sekaligus.
“Amiera...” Dia menyeru perlahan.
Hujung jari telunjuk mengelus gambar Amiera yang diambil curi-curi bertahun
dulu. Polos senyuman Amiera masih sama. Kekal membuatkan dia merasakan getar
yang serupa setiap kali menatapnya.
‘Dia isteri orang, Ekmal. Kau harus
sedar!’
Ada suara-suara kecil yang berbisik
di telinga.
Ekmal meraup wajah. Kerana kesedaran
itulah dia mengambil keputusan bawa hati jauh dari sini. Biar luka-luka dan
cebisan yang berderai itu mampu dicantum kembali. Di sini, meski dia cuba
berlagak jaguh, menghumban segala perasaan yang sudah lama berkuntum dalam
jiwa, ternyata dia gagal.
“Takkan sampai tua nak tenung macam
tu aje?” Fatma menolak daun pintu.
Ekmal tersentak. Spontan
menyembunyikan gambar tadi di bawah bantal.
Fatma tersenyum mengejek. “Ingat Ema
tak nampak? Sudahlah, bang. Jangan nak berlagak hero sangat. Hati tu, kalau dah
hancur, hancur juga.”
“Kecewa sangat sampai bawa hati ke
Jakarta? Kerja konon.” Fatma terus-terusan melempar provokasi.
Malas melayani ragam Fatma, kaki
segera dikemudi keluar dari bilik. Kemunculan perempuan itu hanya menambah
sesak dada.
“Kalau Ema jadi abang, Ema tak akan
putus asa.”
Langkah jadi pegun. Dia menoleh.
“Ema, dah berkali abang cakap, dia
tu isteri orang.”
“Isteri? Mereka kahwin sebab
terpaksa. Ayah yang paksa.”
“Ema kata Ema benci semua orang
dalam rumah ni, tapi Ema macam prihatin pada Amiera. Ema takut Amiera tak
bahagia ke? Sebab tu bersungguh nak abang rosakkan rumahtangga dia?” Ekmal
bertutur seperti mana adiknya. Santun bahasa ditolak tepi.
Buntang mata Fatma. Bibir diketap
rapat.
“Sini... abang nak ingatkan Ema satu
perkara. Adlan suami Amiera. Amiera isteri Adlan. Mereka suami isteri. Jadi
sebagai orang luar, abang atau Ema, atau sesiapa pun tak berhak mencampuri
urusan mereka. Jangan pernah terdetik pun dekat hati tu nak cuba-cuba ganggu
gugat masjid orang lain.” Ekmal angkat jari telunjuk sebagai tanda amaran.
Sejurus itu, dia lekas menuruni anak tangga.
****
Bab 28
SABDA Rasulullah
s.a.w yang bermaksud, apabila seorang wanita iaitu isteri, telah melakukan
sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga maruahnya, dan mentaati
perintah suaminya, maka ia dijemput di akhirat supaya masuk Syurga mengikut
pintunya mana yang ia suka (mengikut pilihannya). Hadis ini telah diriwayatkan
oleh Ahmad, Ibnu Hibban dan Thabrani.
“KITA lihat,
sedang seorang lelaki yang beriman, ia perlu melalui banyak halangan dan
dugaan, serta melaksanakan beberapa tanggungjawabnya kepada Allah terlebih
dahulu, barulah ia layak memasuki Syurga Allah s.w.t melainkan para syuhada
yang syahid di jalan Allah s.w.t.
Sedang
kita orang perempuan, para isteri, Allah itu Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
telah memberi peluang keemasan kepada setiap wanita yang beriman, untuk masuk
ke dalam Syuga Allah s.w.t itu, yang penuh dengan kenikmatan yang tidak
tercapai akal fikiran kita, adalah melalui empat syarat sahaja.
Apakah syarat-syaratnya itu?”
Ustazah Nour menyingkap sedikit
airmukanya yang tenang itu dengan seulas senyuman. Memerhatikan setiap roman
wajah di depan mata, yang mana terdiri daripada ibu-ibu, isteri-isteri dan anak
gadis. Tiada kata yang mampu ditutur melainkan kalimah suci memuji Ilahi, serta
ungkapan syukur kerana majlis ilmunya sudi dihadiri oleh manusia-manusia ini.
“Empat syarat ini sahaja yang kita
perlukan untuk memasuki Syurga Allah s.w.t iaitu...” Jari-jemarinya
dikembangkan. Dia mula membilang, “Yang pertama, melakukan solat lima waktu.
Solat itu, kan tiang agama. Kalau kita sendiri sebagai seorang Islam, malas nak
solat, lalai tunaikan tanggungjawab yang mudah tu, siapa lagi yang nak teguhkan
tiang-tiang agama kita?”
“Kedua, berpuasa di bulan Ramadhan.
Seterusnya, menjaga maruah diri. Bila keluar rumah, sentiasa tutup aurat. Tak
solek lebih-lebih, berwangi-wangian sehingga menimbulkan fitnah, jaga
pergaulan, jaga lidah, jaga mata.” Bicara Ustazah Nour jeda seketika. Nafas
dihela melepasi rengkungan sebelum menyambung, “Dan yang terakhir, yang
keempat, mentaati perintah suami.”
“Perlu kita ingat, seorang lelaki
perlu pergi berjihad fisabilillah tapi wanita, jika taat akan suaminya, serta
menunaikan tanggungjawabnya kepada Allah, akan turut menerima pahala seperti
pahala orang berperang fisabilillah tanpa perlu mengangkat senjata pun.
Subhanallah...”
“Peluang dan jalan yang begitu mudah
ini sebenarnya khusus untuk wanita yang sudah berkahwin. Yang belum berkahwin
tu, walau sehebat mana pun kita bersolat, berpuasa, dan menjaga maruah, kita
tak akan dapat kelebihan yang keempat, iaitu mentaati suami. Sebab kelebihan
mentaati suami ini mengatasi segala-galanya bagi seorang wanita, bagi seorang
isteri, sehinggakan redha Allah pun bergantung kepada redha suami.”
“Jadi, bersegeralah menamatkan zaman
bujang masing-masing,” lanjut Ustazah Nour dalam nada bersenda.
Tawa halus saling bersahut-sahutan.
Santun.
“Sebenarnya, terlalu banyak
keistimewaan Allah bagi pada seorang wanita bergelar isteri. Masa mengandung,
Allah beri pahala macam jihad fisabilillah. Bangun malam urus anak yang
merengek, menangis, tak mahu tidur tu, Allah bagi juga pahala menyamai pahala
membebaskan 70 orang hamba.
Nak
tahu lagi pahala free yang boleh kita dapat? Basuh pakaian suami pun dapat
pahala. Lagi hebat, andai kata kita mati sebab bersalin, Allah bagi pahala
sebesar pahala orang syahid. Allahuakbar... Subhanallah... tengok, betapa Allah
sayang betul dekat para isteri, para ibu sampaikan setiap pekerjaan yang
dilakukan demi kesejahteraan suami dan keluarga tu, Allah bagi pahala. Bukan
sikit-sikit. Beratus-ratus, beribu-ribu.”
ADLAN menapak
perlahan-lahan memasuki ruang dapur. Setelah itu, dia berdiri di sebelah meja
kayu jati sambil berpeluk tubuh.
“Buat air ke, masak air?” tegur
Adlan.
Amiera terperanjat bukan kepalang.
Nyaris terlepas sudu dari tangan.
“Awak!” marahnya.
Adlan ketawa. Kerusi diseret ke
belakang, lantas punggung dilabuh menghadap Amiera yang membelakanginya. Dia
tahu, Amiera sedang mengelamun panjang. Deheman yang berkali-kali pun Amiera
langsung tidak peduli.
“Nah...” Hujung jari menolak cawan
menghampiri Adlan.
Senyuman Adlan kembang merauti
wajah. “Terima kasih,” ucapnya. Kopi panas itu duhirup sedikit.
“Sedap.” Pujinya.
Pujian itu dibalas dengan senyuman
nipis.
“Next week... Ekmal bertolak ke
Sabah, kan?”
Amiera kaku.
“Teringat aksi ganas dia pada saya
dulu.” Adlan mengembangkan jari-jarinya. Telapak tangan dibawa mengusap pipi
yang pernah makan penumbuk lelaki itu.
“Kalau masuk tinju, gerenti dia
menang,” lanjutnya lagi.
Kacauan sudu dalam mug berisi air
milo hangat kian perlahan. Bayang-bayang sendiri yang terpantul di atas cecair
coklat tersebut seolah memetakan paras Ekmal.
Adlan berdiri. Dia cuba mencari
wajah Amiera yang sedang menunduk. “Awak... nak hantar dia ke airport?”
Pandangan dibawa menjulang ke sisi.
Adlan sedia menyambut dia dengan sebuah senyuman. Banyak hal yang memenuhi
segenap pelosok fikiran sehinggakan senyuman manis itu langsung tiada
memberikan sebarang perasaan kepadanya.
Bagaimana harus dia mendepani lelaki
itu? Pada saat dia ingin menjejak ke sana, pasti ingatan malapetaka datang
menampar. Lantas membuarkan perasaan bersalah terhadap Ekmal.
“Amiera...”
“Huh?”
Menyedari kuntuman senyum yang lahir
di bibir lelaki itu agak dangkal, Amiera lekas membetulkan selendang di kepala.
Meski sudah tinggal sebumbung hampir mencecah dua minggu, dia belum lagi
terbiasa. Aurat masih dijaga rapi. Ke mana sahaja dia menghayun kaki dalam
rumah ini, apa yang halal bagi Adlan untuk melihat, kekal disembunyikan.
“Kenapa mesti ada ini?” Adlan
menyentuh hujung selendang Amiera.
Segera dilarikan anak mata sendiri
daripada membelah renungan suaminya.
“Saya tak nak awak membataskan aurat
sendiri dalam rumah ni. Apa pun yang awak pakai, yang awak pamer depan saya,
semua tu dah tak ada dosa.” Lembut Adlan bertutur. Dia bukan memaksa Amiera
melepaskan kelaziman gadis itu namun melihat keadaan Amiera terpaksa membungkus
tubuh setiap hari berdepan dengannya, di dalam rumah sendiri, membuatkan dia
dihambat rasa kasihan.
Sebuah senyuman lentur lagi. Lebih
lebar hingga otot pipi naik ke atas.
“Antara saya dan awak, dah tak ada
apa-apa yang membataskan segala perlakuan mahupun tindakan. Jadi saya tak mahu
awak terus meletakkan limit di antara kita.” Adlan mengusap pipi isterinya.
Benar, perkahwinan ini punya agenda lain atas kehendak rakus jiwa sendiri,
namun keindahan itu tetap datang menelusuri saat lidahnya lancar menutur akad,
mengangkat Amiera selaku pendamping di sisi.
‘Insya Allah.’ Hati berdesir cukup
halus.
Sorot mata kekal mengekori lenggang
Adlan menuju ke ruang tamu. Sayup-sayup kedengaran suara Ustazah Nour mengetuk
jendela telinga. Di depannya kini, pintu Syurga itu bakal terbuka melalui empat
hal utama. Antara keempat-empat itu, senarai paling akhir, belum mampu
ditunaikan sepenuhnya.
Hati belum ikhlas untuk menerima.
Hati masih perlu dididik untuk rasa
cinta.
“What the...!”
Amiera memanjangkan langkah. Dia
bersembunyi di sebalik dinding. Segarit senyuman muncul pada ketika pandangan
menempa ulah Adlan, menumbuk kusyen kerusi kerana pasukan lawan berjaya
membolosi gawang pasukan bola yang disokongnya.
‘Tuhan, Kau yang tentukan hala
hidupku jadi begini. Kau juga Maha Mengetahui dalam setiap kejadian. Maka, ku
mohon, tanamkan dalam hatiku rasa cinta terhadap lelaki itu, lelaki yang telah
Kau ciptakan menjadi suamiku, kunci kepada pintu Syurga-Mu. Sesungguhnya, aku
ingin menjadi isteri solehah yang mengharumkan rumahtangga ini dengan
kebahagiaan.’
Kuluman senyum itu makin mekar
membasahi roman wajah.
MAYA mengerling
kelakuan Dayana lewat ekor matanya. Selajur menggeleng kepala.
“Yana!” Dia mencekak pinggang.
“Apa?” Dayana menoleh.
“Kau buat apa tu? Intai orang
sebelah ke? Dah lah, Adlan tu dah jadi laki Amiera. Tak payah nak sibuk ushar
bagai.”
Spontan, Dayana gigit bibir. “Amboi,
mulut! Kau ingat aku hadap ke dekat Adlan tu? Even dia boleh pasang tiga lagi,
aku tak inginlah.” Jari telunjuk, jari hantu, dan jari manis diangkat tinggi.
Lambat-lambat, dia menuju ke arah Maya.
“Rindu pula aku dekat Amiera tu.”
Suara yang meluncur keluar itu menggamit tawa Maya.
“Kau ni, over tau. Orang tu sebelah
rumah aje.” Terjuih-juih bibinya.
“Sebelah rumah pun, kan ke dah tak
dapat berguling atas satu katil sama-sama macam selalu tu. Asyik dengan kau
aje, bosan!” cebik Dayana.
“Lepas ni, kau lagi bosan.”
“Why?”
“Aku ni dah nak kahwin. Bila dah
kahwin, jadi macam Amiera tu, duduk ikut laki. Ha, soranglah kau dalam rumah
ni.”
Buntang mata Dayana. Kemudian, dia
bertinggung betul-betul di sebelah Maya. Malah bergesel bahu dengan gadis itu.
“Janganlah kahwin dulu. Tunggu aku
dapat lelaki yang boleh jadi suami, confirm mamat tu nak kahwin dengan aku,
then... kau boleh kahwin.” Dayana pamer sengih. Sempat dia mengelak daripada
terkena cubitan Maya.
“Banyaklah kau!” Maya herot bibir.
Dayana ketawa terkekeh-kekeh.
“Habis, lelaki yang aku nak ngorat tu bakal pergi Jakarta dong. Melepas gue.”
“Kau ikut dia sampai sana,” saran
Maya.
Dayana juling mata ke atas. “Tak
kuasa aku.”
“Astaghfirullah!”
Decit suara parau itu mengejutkan
dua sabahat yang ralit berpadu tawa. Kedua-duanya meluru ke luar pagar.
“Ya Allah... pak cik!” Maya menerpa
ke arah seorang lelaki separuh usia, yang kelihatan terkial-kial melepaskan
diri daripada sebuah motosikal yang menindih kedua belah kakinya.
“Yana, kau tolak motor tu,” arah
Maya.
Dayana menurut. Terbongkok-bongkok
dia jadinya cuba menarik motosikal itu menjauhi lelaki tadi.
“Pak cik cedera tak?” Maya membelek
kaki lelaki berkopiah putih tersebut.
“Tak. Pak cik tak apa-apa, nak,”
sahutnya. Dia berdiri dengan bantuan Maya dan Dayana.
“Terima kasih tolong pak cik.”
Lelaki itu segera mendapatkan kembali motosikal miliknya. Langkah yang dikemudi
sedikit sumbang. Terhinjut-hinjut.
Bersama pamitan salam, dia
menghidupkan enjin motosikal berkenaan. Hujung kaki memijak gear pertama
sebelum genggaman tangan kanan memulas minyak. Tubuh diseimbangi sebaik mungkin
agar tidak jatuh seperti tadi.
Dan ekor mata mencuri lihat rumah
tadi. Seakan mampu menelusuri manusia dan segala isi dalam kediaman berkenaan.
TERKEDEK-KEDEK
Amiera menghayun langkah ke arah Adlan yang kelihatan khusyuk membelek sesuatu
di tangannya.
“Apa tu?” soalnya.
Adlan menunjuk ukiran kayu berbentuk
segiempat dan terdapat jalinan ayat yang terbentuk di atasnya.
“Ada dalam ni.” Hujung jari menuding
ke arah peti surat yang melekat bersama tiang tembok setinggi lima kaki.
“Hadiah kahwin kita tak?” Lebar
sengihan Adlan.
Amiera tertawa kecil sebelum sorot
mata kembali menempa objek tersebut. Kemudian pandangannya beralih pula ke
tangan kiri Adlan. Kotak kecil berbalut kertas coklat tersebut seakan pernah
melewati mata.
“Ini...” Suara halus itu seakan
berpecah dalam lapisan udara.
“Kenapa?” Adlan menyoal hairan.
Amiera mendongak. Selajur menggeleng
perlahan.
“Boleh saya... simpan?” Teragak-agak
dia meminta.
“Sure...” Lekas diunjuk objek kayu
itu kepada Amiera.
“Terima kasih,” ucap Amiera. Laju
sahaja dia berlari anak masuk ke rumah. Adlan ditinggalkan terpinga-pinga.
***
Bab 29
“DIA mirip Suria.”
Jari kasarnya mengelus skrin sesentuh telefon yang memaparkan paras seorang
perempuan berselendang rapi menutupi aurat di kepala.
“Cantik.” Ulas bibirnya menguntum
senyum. Sedikit hambar.
“Abang tak nak jumpa dia?” Sepatah
Hazman menyoal.
Latif mendongak muka. Helaan nafas
berat melepasi rengkungan terasa membebani dada.
Cangkir kopi dicicip penuh
berhati-hati. Sesekali leret mata menempa roman Latif. “Tengok gambar tak sama
macam abang nampak depan mata sendiri.” Rendah suara Hazman berkata begitu.
Latif kekal terpunduk di tepi pintu.
Matanya berkaca-kaca merenungi gambar yang diambil Hazman sewaktu majlis
pernikahan Amiera. Meski ditatap berkurun lama pun dia tidak akan pernah jemu.
“Su... Suria...”
Dia pejam mata. Hambatan kisah lalu
menjerut jantung. Bagaikan putaran pita perakam, jelas terpampang riak berkerut
mengitari wajah Suria.
“Ab... abang... Abang... Latif...”
Menggigil ulas bibir Suria yang sebelum ini sentiasa teroles senyuman manis di
situ.
“Abang, pergilah jumpa Amiera tu.”
Lontaran bicara itu memecahkan
memori tersebut. Kelopak mata serta-merta terbuka luas.
“Aku... aku tak boleh,” jawabnya
sepatah.
“Dia anak abang.”
“Aku tahu.”
Hazman mengeluh kasar. “Saya tak
fahamlah dengan abang ni,” dengusnya.
“Saya tak pernah tahu yang abang dah
kahwin. Kalau lelaki tu tak datang jumpa saya, cerita semuanya, sampai kiamat
pun belum tentu saya tahu. Arwah bapak pun kunci mulut. Kenapa? Hal tu, saya
dah tak kisah dah. Yang saya kisahkan sekarang ni, sikap abang tu. Budak tu
anak abang. Anak!” Mencerlung mata Hazman.
Jari-jemari digenggam padu. Segala
perasaan yang dikambus sekian lama sedang cuba membuar-buar keluar.
“Atau abang nak biar budak tu fikir
abang dah mati?” Gigi dikancing ketat. Bungkam hati jadinya apabila melihat
sikap pasif lelaki itu.
“Itu yang aku harapkan.” Latif
menyahut perlahan.
Terbeliak mata Hazman. “Abang cakap
apa?” Dia seakan tidak percaya.
“Mati...” Lentur otot pipi Latif
ketika menutur perkataan tunggal tersebut.
“Kau tahu, tiada hal yang lebih baik
melainkan kematian.” Senyumnya bagai dipaksa-paksa menabiri bibirnya yang
berbirat.
“Manusia macam aku ni layaknya duduk
dalam tanah kubur. Manusia macam aku ni tak patut diberi peluang untuk hidup.
Aku patut mati!” Menderu kasar nafas yang dihembus keluar dari salur
pernafasan.
“Astaghfirullah... abang cakap apa
ni?” Hazman kebingungan.
“Kau tak pernah tahu, Man...” Latif
tersandar di dinding kayu. Kepalanya mendongak pandang bumbung.
“Budak tu tak patut punya ayah macam
aku.” Bergenang air jernih di tubir mata. Semampu daya dia menyembunyikan
daripada jadi bahan tontonan Hazman.
“Aku banyak dosa.” Dia merintih
lagi. Dadanya dipukul kuat, seumpama menzahirkan rasa bersalah yang telah lama
menjadi penghuni tegar dalam tubuhnya.
PELUKAN dieratkan
lagi. Begitu asyik mereka memadu kasih di bawah sebatang pohon rendang berdaun
lebat, betul-betul di pinggir sungai nan mengalir tenang.
“Kau tak kisah bersuamikan aku,
Suria?” Latif mengusap pipi gadis genit berkulit kuning langsat. Tidak dihirau
hukum halal haram yang sememangnya menjadi hijab perlakuan masing-masing.
“Su sayangkan abang. Kalau Su tak
kahwin dengan abang, Su rela tak kahwin sampai tua.” Suria menjawab seraya
mengulum senyum penuh makna.
“Tapi... kau masih muda, Su. Kalau
kau mahu kahwin, tentu keluarga kau menentang.”
“Mereka sendiri mahu satukan Su
dengan Shuib. Mereka hanya akan menentang kalau Su menikah dengan lelaki lain.”
“Jadi?”
“Kalau keadaan mendesak, kita pergi
jauh dari sini, Abang Latif. Kita bina hidup kita sendiri.”
“Kau tak menyesal?”
Suria menggeleng. Terbias raut
bahagia menghiasi wajah itu.
“TUHAN, jauhkan
dia dariku. Jangan pernah kau bisikkan dalam hatinya perasaan ingin mencari
aku.” Mendayu-dayu bisikan itu menemani malamnya. Sedang kolam mata sudah pun
mulai rabak. Nyaris pecah.
Kedua belah kaki dipeluk. Muka
tersembam atas kepala lutut. Dia terus duduk terpunduk di penjuru kamar
peraduan yang telah disediakan Hazman untuknya. Perasaan sendiri jauh
terpinggir dari rasa tenang sebaik pancaidera menjamah seraut wajah kepunyaan
Amiera Syazreen.
‘Kau tak mahu lihat dia depan mata
sendiri?’
‘Tidak!’
‘Kau tak mahu ungkap kata maaf yang
selama ini cukup membebankan jiwa?’
‘Tidak! Maaf itu harus ku pohon pada
Suria.’
‘Dia juga butuhkan penyesalan kau,
Latif! Dia anak kau dan Suria.’
Lambat-lambat, Latif angkat muka.
‘Seharusnya aku tak perlu tahu yang
aku masih mempunyai pengganti Suria.’
Lelah jiwa berdebat dengan perasaan
sendiri. Terlalu menyesakkan dada. Antara keinginan dan kemahuan, di
tengah-tengahnya wujud satu tembok yang tinggi melangkaui langit. Tembok itu
akan terus menjadi pagar utuh, menghimpun sejuta kekesalan yang tidak terluah
mahupun terhambur dengan sebutir bicara pun.
TUBUH dihempas
lemah atas kerusi. Helaan nafas berat merangkul dada lantas menerobos
pendengaran Tasneem yang baru sahaja menginjak ruang tamu bersama semug kopi
panas kegemaran suaminya. Leret mata memerhatikan ulah suami yang tampak
berbeza.
“Air, bang...” Tasneem mengunjuk mug
itu kepada Shahreza.
Shahreza buka mata. Menjulang
pandangan ke wajah Tasneem. Dalam senyum nipis, dia berkata, “Letak situ aje.”
Shahreza memuncungkan bibir.
“Abang
ni kenapa? Lain macam aje saya tengok. Tak pernah-pernah mengeluh sampai macam
tu sekali.” Tasneem mengerling suaminya sekilas.
“Ke
ada masalah dekat sekolah?” Dia meneka rambang.
“Bang?” Tasneem menegur lagi apabila
suaminya kekal mendiamkan diri.
Shahreza mendongak muka. Renungannya
seolah membelah siling.
“Latif telefon saya tadi,” beritahu
Shahreza.
Buntang mata Tasneem. “Latif mana
pula ni, bang?”
Muka dibawa kalih menatap Tasneem.
“Latif mana lagi yang dekat dengan
keluarga kita selain ayah Amiera.” Lambat-lambat Shahreza menyahut.
Tidak berkelip mata Tasneem
memandang Shahreza. Rasa tidak percaya bergulung dalam diri.
“Berpuluh tahun kita tak tahu khabar
berita dari dia, tiba-tiba telefon kita pula. Hari tu, masa kita betul-betul
perlukan dia, jangan kata nak penuhi permintaan kita, cakap dengan kita pun dia
tak mahu!” Tasneem mengungkit dengan muka berubah-ubah riak. Berkerut.
“Apa yang dia nak?” lanjutnya.
“Dia minta maaf.”
Spontan, Tasneem mencebik. “Dah
terlambat!”
“Apa yang dah terlambat?”
“Tu... minta maaf segala. Tahu pula
dia sebut perkataan tu. Bukan dengan kita dia patut ucap kata maaf. Tu... pergi
jumpa Amiera. Berdepan dengan anak kandung dia.”
Shahreza tidak membalas. Terimbau
bicara Latif tadi. Dia sendiri terkejut tatkala menerima panggilan itu. Sukar
untuknya membayangkan paras lelaki yang hanya dikenali melalui Suria.
“Saya tak boleh jumpa Amiera.”
“Kenapa? Kau rasa bersalah?”
“Lebih dari itu.”
“Amiera anak kau, Latif.”
“Kalau dia bertanya tentang saya,
beritahu padanya yang ayahnya dah... lama mati.”
Omelan berjela-jela Tasneem mematahkan
lamunannya. Langsung berterbangan suara garau Latif yang berkumandang di corong
telinga. Mata dibawa menjamu paras isterinya. Wanita itu kelihatan marah benar.
“Jangan kata lepas ni, tiba-tiba dia
datang nak ambil Amiera dari kita.” Terkumat-kamit mulut Tasneem berkata.
Kening Shahreza hampir bertaut.
“Awak cakap apa ni?”
Tasneem tarik muka. Tegang.
“Tak akan sesekali saya lepaskan
Amiera pada lelaki tak bertanggungjawab macam Latif tu!” tegas Tasneem.
Shahreza menggeleng kepala. “Awak
berfikiran terlalu jauh, Tasneem.” Kedua belah tangan memeluk tubuh.
“Saya ni fikir ke depan. Apa-apa pun
boleh jadi.”
“Amiera tu dah jadi milik suaminya.
Kita atau Latif, masing-masing dah tak terikat dengan tanggungjawab ke atas
Amiera,” tekan Shahreza.
Tasneem memikirkan kata-kata
suaminya tadi. Sesekali mencuri pandang ke arah Shahreza yang tampak tenang.
“Saya tak rasa Amiera akan terima
Latif kalau betul lelaki tu datang tunjuk muka.” Yakin sekali Tasneem menutur
bicara.
Herot ulas bibir Shahreza melentur
senyum. Cukup halus.
“Kita tak tahu apa yang terpendam
dalam hati Amiera.”
Tasneem nampak tidak berpuas hati.
“Saya kenal anak kita tu bang.”
“Biar saya betulkan sesuatu dalam
percakapan awak tadi. Amiera tu anak saudara kita aje. Latif tu ayah kandung
dia. Kita kena ingat tu. Jangan sesekali putuskan hubungan mereka.”
Roman wajah beriak tegang tadi,
serta-merta bertukar mendung.
“Kalau Latif nak jumpa Amiera, abang
izinkan?” Perlahan suara Tasneem bertanya.
Meletus tawa kecil Shahreza. Dia
tahu, sayangnya Tasneem kepada Amiera umpama anak kandung sendiri. “Siapa saya
ni nak menghalang?”
Tasneem bersandar tubuh. Hala
matanya tidak lagi melekat di paras Shahreza.
“Abang... saya rindukan Amiera...
Amal. Saya rindukan anak-anak kita.” Kolam mata itu kembali bergenang.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Edit!
8 comments:
akhirnyaaaa. lama tunggu sambungan ni. tiap masa menunggu. tak sabar nak tahu akhir kisah amiera adlan ni. :D
Dear lollipop manis,
Tq juta2 lemonss sebab awk sudi baca amieradlan ni :) kalau sudi,layan laa jgk cinta jangan kau pergi lps ni sbb amieradlan stop sementara kite gigih buat kasi habis :D
betullah. lama sangat dah tunggu sambungan cerita Amiera Adlan ni. Hannah jangan peram lama2 sangat tau nanti rindu dendam pula kami peminat ULK ni.
k.mid
Dear k.mid
InsyaAllah..ULK tak akan diperam lama2 :D tq kak sudi baca entri amiera adlan :)
Trubat rindu kt adlan amiera...
Best...best...
mekasih beb
aku akan merindui amira dan adlan beb... hehehe.. cepat2 siapkan okey.. fhighting .. :D
Akhirnya kahwin jgk amiera adlan ni :) btw nice write up babe!
Bila nak sambung citer ni? Dah lama benar dah tunggu ni
Post a Comment