"...Whoever wants to know what Allah has prepared for him, should look to what he has prepared for Allah..."
KERINGAT halus
mulai menggigit dahi. Malah butiran peluh itu telah hampir membasahkan kulit
muka. Tambahan pula, terik mentari kian rakus mencuri hadir dari celah-celah
daun-daun yang merimbun, menabiri dia yang sedang gigih membersihkan kawasan
kebun pisang keluarganya.
Saat mendongak ke atas, mata yang
tersimbah sinaran mentari, terpejam-pejam kepedihan.
“Ayah Long, mana mancis?” Hafizi
datang mendekat bersama penyapu di tangan. Remaja berusia empat belas tahun itu
begitu rajin membantu di kala waktu senggang. Tidak seperti kebanyakan anak
remaja seusia, pasti keluar berlibur atau menonton televisyen.
Latif menyeluk poket seluar lusuh
yang dipakainya. Sekotak mancis diberi kepada Hafizi.
“Hati-hati bakar tu, Fizi,” pesan
Latif lagi.
Hafizi mengangguk. Terkoncoh-koncoh
berlari ke arah longgokan rumput-rumput mati, kayu-kayan, serta daun-daun
kering yang sudah dikumpulkan menyerupai busut.
“Ayah Long...” Idham merapati Latif
yang duduk berehat di atas akar sebesar lengan.
“Ya?” Latif tersenyum.
“Nanti tolong buatkan kayu Superman
untuk adik, boleh?”
“Kayu Superman?” Latif sembunyi
tawa.
“Alah... yang macam Ayah Long
buatkan adik hari tu. Adik dah dapat Batman, sekarang nak Superman pula.
Boleh?” Tubuh kecil Idham bergoyang-goyang bagai dipukul angin.
“Eleh, buat aksi comel pula budak
ni.” Tiba-tiba Luqman datang mendekat dan spontan meluku kepala Idham. Idham
mengaduh kuat. Sepantas kilat membalas dengan tamparan di badan abangnya.
Dari kejauhan, Hazman leka memerhatikan
gelagat Latif bersama anak-anaknya. Kadang ketika mengundang senyum lebar.
Keakraban mereka jelas terlihat. Padanya, Latif begitu mengasihi Hafizi,
Luqman, dan Idham.
‘Biar dia fikir aku dah mati.’
Bicara itu membuatkan dia mengelus
nafas berat. Tubuh serta-merta longlai, tersandar pada batang pokok. Duduknya
di atas pangkin tidak segagah tadi.
“Bang... mana budak-budak tu?”
Suzana datang menatang dulang bersamanya. Punggung berlabuh hampir di sisi
suami.
Hazman tidak menyahut, sekadar
memberi isyarat mata yang menunjuk jauh ke belakang sana.
Suzana memanjangkan leher. Dalam
senyum dia berkata, “Patutlah senyap aje. Bila ada Pak Long dia, masing-masing
rajin. Semua tempat nak dibersihkan. Kalau tidak, jangankan kata tolong
emaknya, tengok pun tak.”
“Bang?” Suzana mengamati roman sang
suami. Dahi sudah berlapis-lapis.
“Menung apa tu, bang?”
“Abang Latif...” Hazman menoleh
sekilas sebelum mengangkat wajah, memandang dada langit yang terbias di
celah-celah rimbunan daun yang meneduhi mereka.
“Kenapa dengan Abang Latif?” soal
Suzana kembali.
“Abang nak dia jumpa anak dia.” Mata
mencari Suzana.
Tangan yang ligat menuang air ke
dalam gelas, langsung kaku. Sorot mata menujah riak serius Hazman.
“Abang tak boleh biarkan keluarga
kita terus macam ni. Amiera tu anak buah kita, Ana. Anak kandung Abang Latif.”
Hazman tampak kecewa.
“Bukan abang aje yang rasa macam tu,
Ana pun sama.” Suzana berkata perlahan.
“Habis, abang nak buat apa?”
“Ibu!!” Idham keseronokan berlari
menghampiri tempat pasangan itu berteduh.
Hazman dan Suzana membuang pandang
ke arah datangnya suara girang Idham. Masing-masing kulum senyum. Langkah
pantas Idham diekori Latif, bersama Hafizi dan Luqman. Entah apa yang
dibicarakan oleh mereka sehingga memecah tawa yang cukup gamat.
“Kita usahakan...” Ulas bibir Hazman
menutur kata yang kedengaran halus.
Suzana mengerut muka.
Untuk seketika, mata kedua-duanya
saling bertaut.
“Cuaca sekarang ni tak menentu, kan?
Semalam, hujan lebat. Hari ni... panas.” Tuala kecil dikibas ke muka. Sudah
hampir menjelang malam, tinggal beberapa jam sahaja, namun terik mentari
seumpama kekal tegak atas kepala.
“Adik tolong lap peluh.” Tiba-tiba
Idham mara mendekati Latif. Tuala kecil itu diambil Idham, lalu tangkas
mengesat peluh-peluh yang mencemari wajah lelaki tersebut.
Dalam pada masing-masing terhibur
melihat keletah Idham, leret mata Hazman kekal membidik paras abangnya. Cukup
serius. Benar, dia ingin Latif bersatu kembali dengan Amiera.
JARI-JEMARI
menggenggam peranti komunikasi begitu erat, seakan enggan dilepaskan lagi.
Lambat-lambat, peranti itu dibawa menjauhi telinga, lantas mengembalikan
pendengaran seperti sediakala, tanpa suara sesiapapun yang datang menjengah.
“Amiera?”
Amiera berkalih tubuh ke belakang.
Pada ketika pandangan kedua-duanya saling bersatu, lentur bibir menitip senyum
kecil.
“Ibu,” serunya perlahan.
Tasneem datang mendekat. “Buat apa
kat sini?”
Kepala digeleng. Selajur, dia
mengengsot ke kiri bangku agar ruang yang bersisa itu boleh diduduki Tasneem.
“Patutlah tak ada bayang dia dekat
dalam sana.” Tasneem menggenggam mesra tangan Amiera. Dielus lembut penuh kasih
sayang.
“Lama dah tak ambil angin sambil
duduk kerusi ni, bu,” jelas Amiera.
“Yelah, mana tak lama kalau dah
jarang sangat Mira datang jenguk ibu dan ayah dekat sini.” Tasneem bercanda
dengan tawa kecil meniti bibir, namun Amiera seakan mendengar nada aneh
disebalik bicara tadi. Hati langsung tersentuh. Benar, sejak bergelar isteri,
inilah kali pertama kaki dibawa memijak lantai kediaman keluarga Shahreza dan
Tasneem.
“Macam mana keadaan Mira sekarang?
Dah jadi isteri orang...” Dalam nada suara yang perlahan, dia cuba mencuri
masuk ke dalam relung kehidupan Amiera. Biar ada hati yang masih rasa kesal,
bahkan ada yang memendam kekecewaan, namun bingkisan hidup gadis itu harus
diambil peduli.
“Entahlah.” Ayat itu seolah tidak
mampu ditelan dalam hati. Terus menderu keluar seumpama satu keluhan yang maha
berat. Walhal, hidup disamping Adlan tiada apa-apa yang kurang. Malah segalanya
lengkap, lebih dari cukup, tetapi tanggungjawab suami isteri itu belum mampu
dipenuhi oleh mereka. Hendak mempertontonkan anak rambut depan Adlan pun,
terasa terlalu dangkal.
Atau sebenarnya, perasaan bersalah
itu melebihi segalanya? Malapetaka itu mengundang aib, meremuk-rendamkan
perasaan Shahreza dan Tasneem, menghancurkan hati Ekmal.
“Tentu Mira percaya pada takdir
Tuhan, kan?” Amiera dirapati. Pandangan kedua-duanya saling bertaut.
“Tuhan tak pernah jadikan sesuatu
hal itu untuk sesuatu yang sia-sia. Memang betul, apa yang pernah jadi dulu
membuatkan kita satu keluarga kelam-kelibut. Tak senang duduk, tak lena tidur.”
Tiba-tiba, gema suara tawa dari
dalam sana menggamit perhatian Tasneem. Bicara tadi jeda seketika. Sorot mata
melepasi jendela yang terbuka luas. Kelihatan suaminya begitu rancak berborak
dan sesekali melepas tawa besar di samping Adlan. Dia ikut senyum, sebelum
kembali menatap paras Amiera.
“Hairan... baik ibu, atau ayah, kami
tak boleh membenci Adlan. Jujurnya, kami suka suami kamu tu, Mira.”
Terkebil-kebil mata Amiera menempa
roman manis ibunya.
“Marilah masuk dalam. Dekat luar ni,
apa ada?” Tasneem bangkit. Kaki dikemudi menghampiri suami dan menantu yang
masih ralit berbicara sesama mereka.
Amiera terus memperhalusi keadaan di
dalam sana. Reaksi masing-masing tiada yang dusta. Malah ayah jelas melayan
baik Adlan, seolah musibah dulu tidak pernah wujud dalam kehidupan mereka
sebelum ini. Sering wujud dalam fikiran, bagaimana dinginnya hubungan yang
bakal terbina antara Adlan dan keluarganya. Ternyata, apa yang bermain dalam
kotak kepala hanya satu cetusan perasaan sendiri.
Spontan, bibir melorek senyum kecil.
Membuatkan roman yang sedikit bergelora tadi kembali tenang.
“Mira apa khabar?”
Amiera menjulang mata ke atas,
mendakap renungan ke arah Ekmal. Dan ketika itu, lentur otot pipi jadi kaku.
PINTU yang
meregang luas tadi ditutup rapat. Genggaman jari-jarinya masih utuh di tombol
besi.
“Amal pergi sebab saya, kan?”
“Kenapa fikir macam tu?”
Dia senyap.
“Terima kasih sebab masih sudi
terima abang dalam hidup Mira.”
Kata-kata itu seolah ternoktah
begitu sahaja. Berulang-ulang gemanya memenuhi anak telinga. Tatkala sentuhan
lembut itu mengusap kepalanya, dia tahu, Ekmal sedang cuba sedaya-upaya
menghapus dirinya daripada terus menduduki jiwa lelaki itu.
“Termenung apa tu?” Adlan menegur
lembut.
Amiera tersentak. Tubuh berkalih ke
belakang, menghadap lelaki itu. Gelengan kepala disertai dengan senyum hambar.
“Petang ni, Encik Haris nak datang
sini,” beritahu Adlan.
“Siapa?” Amiera mengerutkan muka.
“Penyewa rumah saya ni.” Adlan
menjelaskan. Lusa, dia bakal meletakkan kembali dirinya dalam kalangan penghuni
rumah Ku Embok. Segenap pelosok diri telah bersedia untuk menghambur kekesalan
masa lalu. Dan Amiera yang kini berdiri di sisi bakal menjadi salah satu
ancaman jiwa Rozita.
Lambat-lambat, Amiera ikut duduk
bertentangan lelaki itu.
“Tolong nenek pulihkan hubungan
Adlan dan Rozita.”
Bergema suara Ku Embok dalam
telinga. Secara langsung, menghadirkan seraut wajah tua penuh mengharap. Tidak
dia sangka, beberapa hari lepas, Ku Embok menjejak ke kediaman ini semata-mata
untuk satu permintaan itu.
“Adlan...” Dia menyeru lembut.
Adlan menoleh.
“Bila
kita pindah rumah mummy?” soalnya, sengaja menyuntik keterujaan di sebalik anak
kerongkong.
Hampir bertaut kedua belah kening
lelaki itu. Dalam senyum nipis, Adlan berkata, “Betul awak tak kisah, Amiera?”
“Kisahkan apa? Tinggal dengan
keluarga awak?” Hujung bibir dihinggapi senyum halus.
“Bila saya kena kahwin dengan awak,
that means saya kahwin dengan keluarga awak juga. Nenek awak, nenek saya. Adik
awak, adik saya juga, dan your mummy is my mummy too.”
“Kalau esok?” Adlan sengaja menduga.
Amiera menggangguk. “Why not?”
“Serius?” Lelaki itu seakan tidak
percaya.
“Kita kena mencuba, kan? Baik dari segi
hati, mahupun keluarga. Kalau awak boleh berbaik dengan keluarga saya, kenapa
tak saya? Lagipun... saya nak kahwin sekali aje. Biar kekal sampai syurga.”
Sejurus itu, punggung diangkat dari kerusi. Pengemudian kaki menuju ke tingkat
atas. Hampir menjejak anak tangga ke tiga, dia menoleh ke belakang.
Serta-merta, senyuman yang tersembunyi tadi langsung terbias membasahi ulas
bibir.
‘DOAKAN
kebahagiaan saya.’
Ekmal menggenggam telefon bimbit.
Cukup kejap.
Rangkai kata terakhir kiriman Amiera
terus melayang dalam kepala. Entah kenapa, dalam deretan abjad-abjad tersebut,
barisan ayat itu paling kuat menggegarkan hati.
Nafas dihela berat. Seolah
melepaskan satu beban yang enggan terburai keluar.
‘Amiera... abang tahu Amiera akan
bahagia. Dan... abang akan cari kebahagiaan abang juga. Doakan abang.’
Dada dielus. Perit masih segar
berparut namun dia tahu, tiada guna melayan perasaan kecewa. Sudah ketetapan
dari atas langit bahawa jodoh mereka berpanjangan sebagai pasangan
adik-beradik. Ya, dia akur meski terlalu sakit untuk ditelan.
“Kamu ngak apa-apa?”
Teguran itu nyaris mencabut jantung
keluar dari tubuh. Lekas sorot mata membidik paras seorang perempuan, berambut
panjang melepasi bahu, dibiar mengerbang ditiup angin.
“Ya... ya... I’m okay,” jelasnya
dengan terburu-buru.
Perempuan itu mengulum senyum
kelegaan.
“Dewi.” Tanpa diminta, Dewi
memperkenalkan diri.
“Ekmal,” balas Ekmal pula.
“Bapak Ekmal dari Malaysia?” Dewi
kelihatan terkejut. Sejurus itu, Dewi bersorak kesukaan.
“Aku khuatir bapak tersesat ke
mana-mana, rupanya di sini aja.” Leret senyum Dewi makin lebar.
“Ayo, ikut aku. Aku hantarin ke
kediaman bapak.” Dewi menarik bagasi besar milik Ekmal dengan bersusah-payah.
“Eh, tak apa. Saya boleh bawa
sendiri.” Ekmal menghalang.
“Kamu ni... orang Tuan Baki?”
Dewi angguk kepala. “Tuan Baki minta
aku datang ambil bapak. Pasti bapak letih. Ayo...” Dewi menggesa.
Bagasi itu tetap diheret Dewi. Ekmal
sekadar memerhati. Seulas senyuman hadir bertenggek di hujung bibir. Agaknya
inilah Dewi yang disebut Tuan Baki lama dulu.
“Ayo!” Dewi memanggil lagi.
Tangannya mengawang udara.
‘Ekmal, kau akan temui rasa bahagia
itu nanti. Insya Allah...’ Hati berbisik kecil, selajur memutikkan satu
semangat baru. Segera dia berlari-lari anak mendapatkan Dewi.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: :)
5 comments:
Memang menantikan sambungannya..
terima kasih.
cuma saya rasa terlalu banyak digunakan perkataan "ulah" tanpa perkataan tersebut pun tidak mencacatkan jalan cerita; atau boleh menggunakan perkataan lain yang sama erti...
Tq sis di atas teguran :) insyaAllah..kite akan edit semula :) kalau nak tegur lg banyak pun takpe hihi :)
And again,tq sudi baca entri tak seberapa ni :)
Tq!
:)
Best...!!!!
Dear anon,
Tq sudi baca entri kite ni n_ny
owh thanks beb. Aku baru dapat baca ko punya entry.. Comellah Amiera dan Adlan ni.. muahahhaa...:D
Post a Comment