Wednesday, April 15, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab 35.

Assalamualaikum.







'...Pour your heartbreaks into DUA...'










Bab 35
LANGSIR berbunga kecil merah hati, dikuak sedikit. Dia melangkah masuk bersama pasangan suami isteri yang baru sahaja sampai.
            “Awal kamu sampai, Amiera. Tak sempat Mak Usu nak sediakan apa-apa untuk kamu berdua. Tu... trio ‘Hang’ pun tak bangun lagi.” Suzana tersenyum sengan.
            “Eh, tak apalah Mak Usu. Tak payah nak susah-susahkan diri. Saya dan suami okey aje. Kan awak?” Ekor mata melorong ke arah Adlan.
            Terangguk-angguk kepala Adlan. “Betul tu, Mak Usu. Untung sangat ada tempat berehat.”
            “Mak Usu keluar dulu, ye. Sekejap lagi, turun dapur. Kita sarapan sama.”
            “Pak Usu mana? Tak nampak pun.”
            “Pak Usu kamu macam biasalah. Pagi-pagi keluar ke kebun. Alah... kejap lagi tentu nampak batang hidung dia tu.” Sejurus meminta diri, Suzana lekas ke dapur. Biar dilarang keras oleh Amiera, dia tetap berdegil hendak menyediakan sarapan ala kampung untuk tetamu istimewa yang datang bertandang.
            “Adlan... terima kasih.” Ucap Amiera, seraya mendekati Adlan yang sudah terlentang atas katil.
            “Untuk apa?” Adlan bangkit.
            “Sudi hantar saya datang sini.”
            Spontan, Adlan tertawa kecil. “Dah jadi tanggungjawab saya. Awak tu isteri saya, Amiera. Takkan saya nak biar awak balik sini seorang diri?”
            Ulas bibir Amiera mekar dengan senyuman. Halus namun mampu menggetarkan perasaan Adlan. Getar yang bukan sedikit. Bahkan seluruh jiwa bagai runtuh.

“BANG!” Suzana menjerit kecil. Dengan tuala mandi menutupi kepala, dia bergegas meredah kebun pisang, tercari-cari kelibat Hazman.
            “Bang!” Panggilnya lagi.
            “Eh, mana pula laki aku ni?” Suzana membebel geram.
            “Amri!” Tangan mengawang udara. Amri yang sedang gigih memotong setandan pisang, terus terhenti perbuatannya.
            “Ye Kak Su. Ada apa?” Hujung kemeja lusuh dibawa ke dahi.
            “Ni ha, kau nampak tak Abang Man? Sakit tekak akak ni asyik pekik panggil dia. Munculnya, tak juga,” dengus Suzana. Liar mata mencari kelibat Hazman.
            “Abang dekat sini Su!” Sahut Hazman tiba-tiba, disertai kemunculannya di sebalik daun-daun pisang yang lebar.
            “Kita panggil dia, tak datang-datang.” Suzana merungut.
            “Selalu Ana tak panggil, abang balik sendiri pun. Amri, tu dekat sana ada dua tiga tandan pisang. Nanti kau tolong hantar ke kedai Wak Sadir ye. Dari semalam orang tua tu bertanyakan pisang tu.”
            Amri mengangguk faham.
            “Bang...” Suzana tergesa-gesa menarik Hazman.
            “Kenapa ni, Ana?”
            “Mana Abang Latif?”
            “Entah. Dia keluar sebelum subuh. Pergi surau.”
            “Tu...” Bibir Suzana memuncung.
            “Apa?” Hazman garu kepala. Ulah si isteri mengundang hairan.
            “Amiera dah sampai.”
            “Ye ke? Bila?” Mereka sama-sama keluar dari kebun tersebut.
            “Baru aje. Tu yang Ana tanyakan Abang Latif. Kut-kut dia balik kejap lagi, apa kita nak buat, bang?” Terpancar keresahan di roman wajah Suzana. Dia hanya mengikut rencana Hazman membuta-tuli.
            Hazman menanggalkan kemeja lusuh dari tubuh. Badannya berkeringat.
            “Ana tolong ambilkan tuala. Abang nak mandi.”
            Suzana patuh.

DERAP kaki semakin perlahan. Lama-kelamaan terhenti sendiri. Dia pegun. Kaku tidak bergerak lagi. Sedang mata kekal membidik ke arah kediaman yang ditumpangi beberapa hari ini.
            “Abang Edi nak main tak dengan Am?” Suara kecil Idham mencuri masuk jendela telinga.
            Sejurus itu, muncul tubuh tinggi lampai seorang lelaki, berpakaian kemas menuruni anak tangga, lantas mendapatkan Idham yang sudah berada di halaman.
            “Kak Mira!” Jeritan Idham bergema lagi.
            Mendengar nama itu disebut Idham, langkah yang baru sahaja hendak dihayun, serta-merta mati. Malah dia terundur ke belakang tatkala paras gadis itu menerpa pandangan. Meski dari kejauhan, setiap lekuk wajahnya kekal terbias jelas.
            “Kak Mira tak main bolalah, Am. Dia main anak patung.” Suzana menegah permintaan pahlawan bongsunya.
            “Alah... jomlah. Nantilah Kak Mira main patung. Am ada banyak patung kayu.” Rengekan manja Idham mengundang tawa Amiera.
            ‘Amiera?’ Latif merasakan seluruh anggota tubuhnya seumpama lumpuh. Nyaris dia jatuh menyembah bumi. Segera dia berpaut pada dahan pokok. Selanjur menyembunyikan diri di sebalik pohon sebesar tiga pemeluk manusia. Dari celah-celah dahan, dia memandang ke hujung sana.
            ‘Ya Allah...’ Hati merintih lagi. Tubuh melorot atas lantai bumi. Terpunduk dia di situ bertemankan kesakitan yang maha dahsyat.
            “Aku... kena balik, Man.” Dusta Latif sebaik telefon bimbit melekap di telinga.
            “Balik? Kenapa tiba-tiba nak balik? Bukan ke abang kata nak tinggal dua tiga malam lagi?” Nyata Hazman terperanjat.
            Nafas dihirup lelah. Sedaya-upaya menyembunyikan galau perasaan yang sedang ganas menghentam relung jiwa. “Kedai tukang aku... ada masalah sikit. Ahmad kena cuti.”
            “Tak boleh tunggu ke bang?” pujuk Hazman. Ternyata rencana dia tidak menjadi.
            “Tak sempat, Man. Aku kena balik sekarang juga. Insya Allah, tiga empat hari lagi aku  datang balik. Barang-barang aku yang ada tu, biarlah dulu.” Langkah dikemudi lemah. Terasa telapak kaki yang beralaskan selipar jepun, terawang-awang tiada berpijak ke tanah. Sesekali kepala tertoleh-toleh ke belakang.
            “Baiklah... kalau abang dah putuskan macam tu. Semoga selamat sampai.”
            “Insya Allah...”
            Dia tidak mencari kelibat Amiera lagi. Tegak lurus mengemudi kaki menjauhi kediaman tersebut.

TANGAN kecil Idham dipimpin Hazman. Kedua-duanya berjalan seiring menuju ke bilik peraduan berhampiran ruang tamu. Sebaik langsir disingkap, batang tubuh Hafizi dan Luqman menyambar penglihatan. Mengucap panjang Hazman jadinya. Dua-dua anak bujangnya tidur dengan gaya gimnastik.
            “Abah...” Idham menarik lengan Hazman.
            “Apa dia, sayang?” Punggung mendarat di tepi katil. Gebar tebal ditarik menyelimuti Idham. Kemudian dia mencapai patung Spongebob lalu diberikan kepada anak kecilnya.
            “Kenapa Ayah Long tak balik lagi? Kan dah malam.” Idham memintal jari-jari Hazman. Itulah tabiatnya.
            “Ayah Long balik rumah dia. Ada kerja. Itu yang Idham tak sempat jumpa Ayah Long. Insya Allah, nanti Ayah Long datang sini lagi. Dah... tidur.”
            “Tapi kan ayah, adik nampak Ayah Long. Tapi Ayah Long tak balik rumah kita. Dia terus jalan pergi depan sana.” Idham menyuarakan ingatannya tentang Latif.
            Hazman mengerutkan dahi.
            “Bila?”
            “Pagi tadi. Masa adik ajak Kak Mira main bola dengan adik.” Terus-terang anak kecil itu memberitahu.
            “Idham tidur, ye. Ayah matikan lampu.” Hazman bingkas berdiri. Setelah memastikan Idham benar-benar selesa, barulah dia meninggalkan ruang peraduan putera-puteranya.
            Pintu ditutup rapat. Setelah itu, dia beransur ke ruang tamu. Ralit memikirkan kata-kata Idham. Selanjur perbualan lewat pagi tadi menerpa jendela pendengaran.
            “Bang!”
            Hazman urut dada. “Astaghfirullah...”
            Terkekeh-kekeh Suzana ketawa.
            “Suka sangat dapat kenakan abang ye?” Dia duduk di anak tangga paling atas.
            “Abang tu, termenung panjang sampaikan Ana dah terpacak dekat sebelah pun tak perasan.”
            Meski halus, namun helaan nafas serba berat Hazman memutikkan kehairanan. “Abang kecewa ke?”
            “Lebih dari tu, Ana.” Muka menunduk tenung papan tebal berurat tidak selari.
            “Dahlah, bang. Tak ada rezeki kita nak temukan anak-beranak tu.” Belakang badan Hazman diusap lembut.
            “Ana...”
            “Ye, bang?”
            “Ana pernah terfikir tak, yang sebenarnya Abang Latif dah lama tahu siapa anak dia?” Paras Suzana pantas direntap.
            “Maksud abang...”
            Roman yang menakungi wajah Suzana seumpama menzahirkan kesimpulan yang terbina dalam kepala. Sejurus itu, Hazman mengangguk. Membenarkan apa pun pernyatan yang berlegar di benak isterinya.

“TERIMA kasih, Luth.” Kepala mendongak.
            Luth tersenyum. Tangan menghulur secangkir kopi.
            “Minumlah,” pelawanya.
            Cawan seramik putih itu dicapai.
            “Kenapa kau tak beritahu aku nak datang sini? Cuba telefon ke, apa ke... dibuatnya aku tak ada dekat rumah, macam mana?” Luth duduk bersila mendepani sahabat lamanya.
            “Maaf kalau aku menggaanggu.” Pandangan jatuh merenung tikar mengkuang.
            “Eh, kau jangan salah faham pula. Maksud aku tu, sebelum datang kau beritahulah aku dulu. Boleh aku sediakan apa-apa yang patut. Ni, kau datang sehelai sepinggang ni kenapa? Kata bermalam sehari dua dekat sini.”
            Belum pun sempat Latif merangka bicara, Luth melanjut pertanyaan lagi. “Apa yang kau pegang tu?” Terjuih-juih bibir Luth.
            Sorot mata melorong ke arah ukiran kayu kecil di dalam genggaman. Kelima-lima jarinya mengembang secara perlahan-lahan.
            Alif, mim, ya, ra, alif.
            Amiera.
            Sebaris nama itu diukir dalam huruf jawi. Liuk setiap abjad mempamerkan ketekunan dan kehalusan seni tangan si pemahat.

AMIERA menoleh. Pandangan kedua-duanya bertaut sebelum ulas bibirnya membalas senyuman si suami.
            “Dah ewat malam ni. Kenapa tak tidur lagi?” Adlan mengerling jam tangan. Hampir menginjak dua belas tengah malam.
            “Nah.” Iphone Adlan dihulur.
            “Nenek call tadi. Katanya mummy nak cakap dengan awak,” lanjut Amiera.
            Telefon itu dicampak ke tengah katil. Selanjur dia turut rebah bersama. Sebelah tangan dijadikan alas. Manakala sebelah lagi berjuntai atas dahi. Permainan Ku Embok, sudah lama dia tahu. Rencananya tidak pernah putus. Namun dia kekal membekukan diri. Dingin hati kian ditambah sukatan.
            Adlan memerhatikan Amiera. Isterinya begitu tekun membelek sesuatu di tangan. Pantas dia duduk. Mengengsot datang mendekat.
            “Apa tu?” soalnya ingin tahu.
            Amiera menunjukkan ukiran kayu tersebut.
            Anak mata Adlan menjalar ke segenap inci lekuknya. “Idham? Ini Idham punya ke?”
            Amiera mengangguk. Kembali ralit merenungi ukiran tersebut. Hujung jari merasai setiap huruf jawi yang timbul itu.
            “Saya tengok budak-budak tu banyak simpan koleksi ukiran kayu macam ni. Kebanyakannya bermotif tulisan jawi. Cantik.” Sejurus itu, dia menjulang roman Adlan.
            Adlan yang sedia dirusuh resah, lekas mengalihkan pandangan. Malah terus terjun terbaring dengan badan terlentang. “Tidurlah. Dah malam ni,” tuturnya lembut.
            Objek kayu diletak atas meja kecil bersebelahan kepala katil. Dia membaringkan tubuh, membelakangi Adlan. Selimut ditarik menutupi seluruh badan. Sedang sorot mata sentiasa segar melantun-lantun pada kayu ukiran milik Idham.
            Ukiran kayu seperti itu, pernah diterimanya. Setiap tahun, sejak tujuh tahun lalu. Lentur seni yang terpahat di atasnya kekal serupa. Lima abjad jawi memetakan nama depan, cuma berbeza dari segi hiasan dan butiran halus di sekelilingnya.

Terima kasih baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Hai kawan dalam kepala, kenapa kadang-kadang suka merajuk dengan kita? Ya, kita janji kahwinkan awak berdua. Herher!

2 comments:

Anonymous said...

Bila nak sambung lagi kak? Novel akak terbit tak lagi?

Anonymous said...

Bila nak sambung lagi? Novel akak terbit tak lagi?