Wednesday, May 6, 2015

[Novel] : Usah Lepaskan Bab36.

Assalamualaikum.







'...The biggest barrier between you and Allah is YOU...'










Bab 36
“INI gambar keluarga kita,” jelas Suzana.
            Unjukan itu bersambut. Kemudian diletak atas lantai beralas tikar mengkuang.
            “Bukalah...” gesa Suzana lagi dalam senyuman.
            “Mak Usu nak tunjuk arwah atok Mira,” lanjutnya pula.
            Amiera mengangguk. Helaian pertama diselak. Terpampang gambar lama, hitam putih. Seorang lelaki muda bersama pasangannya berserta dua orang budak lelaki. Salah seorang dikendong dalam pelukan, manakala seorang lagi berdiri hampir di sisi si lelaki itu.
            “Ini atok. Yang ini nenek.” Suzana memperkenalkan wajah-wajah asing tersebut.
            “Yang didukung nenek tu, Pak Usu kamu.”
            “Comel.” Amiera tersenyum pandang Suzana. Setelah itu, anak mata kembali menyoroti kepingan gambar tadi.
            “Ini... ayah kamu, Amiera.”
            Lama dia memerhatikan paras itu.
            “Ha, kita tengok gambar lain.” Laju helaian seterusnya diselak lagi. Setiap satu memori itu, dihurai dengan begitu jelas oleh Suzana. Kadang ketika, tawa keduanya bersatu.
            Renungan Amiera akhirnya melekat pada kepingan gambar terakhir. Berbeza dengan gambar di awal tadi, kali ini wajah-wajah mereka sudah menampakkan kedewasaan masing-masing. Lelaki dan wanita yang mulanya tampak muda, kian dimamah usia.
            “Kenapa ni?”
            Airmata laju bercucuran, dilap menggunakan hujung lengan baju sekolah serba putih.
            “Nak balik.” Teresak-esak dia memberitahu.
            “Mari, pak cik hantarkan.” Tawar lelaki tersebut.
            “Pak cik tahu rumah saya?” ajunya.
            “Tahu. Mari, pak cik hantar kamu balik.”
            Dia mengangguk laju. Lekas memanjat motosikal itu.
            “Amiera...”
            “Ha?” Amiera terperanjat. Ingatan yang berlapis-lapis tadi, telah berderai sebaik suara Betty tiba-tiba muncul. Terkebil-kebil matanya memandang Betty. Gadis itu mengerutkan muka. Setelah itu, menjuih bibir ke depan.
            “Amiera, are you okay?” Iskandar menyoal.
            Spontan, dia mencari paras Iskandar. “Okay, Encik Is.”
            “Panjang betul awak mengelamun. Dah sampai bumi mana tu?” Ulas bibir Iskandar menyembunyikan senyuman gelihati.
            Amiera tersengih lebar. Malu pun ada. Tidak pula dia sedar akan kelakuan sendiri. Ralat melayani ingatan yang dibawa bersama.
            Selang beberapa saat, bunyi halus ‘beep’ menandakan ada kiriman pesanan ringkas diterima. Tertera nama Adlan di situ.
            Betul awak tak apa-apa, Amiera?
            Hujung jari laju menekan skrin sesentuh telefon bimbit. Melayangkan satu kiriman sebagai balasan atas pertanyaan suaminya.
            Saya okay.
            Tidak sampai seminit, kiriman pesanan ringkas diterima lagi.
            Are you sure, sayang? Nampak jauh sangat awak terbang tadi
            Jari yang lincah, mulai kendur. ‘Sayang?’
            Muka diangkat. Adlan di depan sana sudah bersedia menyambut dia dengan renungan lembut. Walau lelaki itu tiada mempamer sebarang riak, namun terzahir sebuah senyuman dari matanya.

PINGGANG Amiera disiku perlahan.
            “Kau ni, sejak dua menjak ni... asyik termenung aje. Kenapa?” Betty menyorong kerusi mendekati Amiera.
            “Tak ada apa. Sesekali berangan.” Ketawa kecil mengiringi tutur kata.
            “Eleh... berangan apa, kalau dah dalam meeting room pun jauh mengelamun.” Betty mencebik.
            Amiera tertawa lagi. “Okeylah aku berangan, termenung tu... tak ada lah sampai senyum sorang-sorang macam kau.”
            “Ingat lagi?” Kening dijongket tinggi.
            “Siapa? Bila?” Betty pura-pura terkejut, walhal dialah yang menjadi subjek bagi pernyataan Amiera tadi.
            “Alah... masa tu aku terbayang-bayang betapa sweetnya ex-aku tu. Bagi bunga, siap dengan coklat sekali. Mahu tak cair aku ni. Sampai semua orang aku nampak macam muka dia.” Dia mengaku juga akhirnya. Manis yang dia rasa sementara cuma. Lelaki tersebut akhirnya angkat kaki gara-gara pertemuan lama dengan bekas kekasih sewaktu zaman budak hingusan. Wajarkah? Namun memikirkan pasti ada seseorang yang jauh lebih baik sedang menanti, dia pasrah sahaja. Sakit hati dan perasaan marah terus lenyap sekelip mata.
            “Aku nak contohi kaulah, Mira.” Lentur pipinya dengan senyuman penuh makna.
            “Bercinta senyap-senyap, lepas tu terus kahwin. Macam kau dengan Encik Adlan tu.” Bicara itu nyaris membuatkan Amiera sesak nafas. Ah, andai sahaja Betty tahu bagaimana permulaan hubungan antara mereka, tentu lidah Betty tidak selentur ini.
            “Hello!” Jari dipetik beberapa kali. “Tengok! Berangan lagi.”
            Kalut perasaannya segera disembunyikan dari pandangan Betty.
            “Tu, telefon kau tu.” Betty menuding jadi.
            “Siapa Sarah?” Sempat dia menjenguk skrin yang bercahaya.
            “Adik akulah.” Amiera menjawab ringkas. Lekas-lekas melekap gadget pintar itu ke telinga.
            “Assalamualaikum kakak!”

“WAALAIKUMSALAM!” Terkocoh-kocoh larian Hazman ke muka pintu.
            “Abang Latif.” Terhembus nama itu, berpadu dalam pusaran angin malam yang menyapa lembut.
            Kedatangan Latif disambut seperti kebiasaan. Tangan dihulur mahu berjabat. Tunduk menciumi sepasang tangan yang digenggam erat, menzahirkan rasa hormat selaku adik kepada lelaki tersebut.
            “Mana anak-anak kau?” Sebaik melepasi lima anak tangga kayu, kelibat putera-putera Hazman segera dicari.
            “Budak-budak tu ada kelas tambahan. Idham pula, ikut Ana pergi rumah Zaleha.” Hazman memberitahu.
            Terangguk-angguk kepala Latif.
            “Bang...” Rendah oktaf suara Hazman menyeru.
            Latif menoleh.
            “Dah lama saya tak jumpa Abang Luth sekeluarga.”
            “Aku pun sama. Dulu, masa zaman budak-budak, kita selalu main bola sepak sama-sama. Kau pun, ikut menyibuk nak ikut.” Latif tertawa kemudiannya mengenangkan memori lama yang mencetuskan rasa bahagia.
            “Mereka sihat?” Tiba-tiba Hazman melontar pertanyaan dalam nada aneh.
            Berkerut dahi Latif. “Kenapa kau tanya aku?”
            “Sebab abang ada jumpa Abang Luth, kan?”
            Terasa liur ditelan kelat.
            “Saya jumpa Abang Luth dekat bandar kelmarin. Katanya abang datang bermalam di rumah dia. Bukan sepatutnya abang balik rumah abang ke? Kan kedai tukang abang ada masalah sikit.” Berjela dia mengemukakan bicara sehingga Latif tidak punya peluang hendak mencelah. Lelaki itu sekadar duduk terpunduk di kerusi dengan pandangan menjunam jatuh ke lantai.
            “Kenapa abang buat macam ni? Apa yang abang cuba elak sebenarnya?” Roman wajah Hazman meriak tegang.
            Latif kunci mulut. Sedar kesilapan itu datang dari diri sendiri.
             “Abang nampak, kan siapa yang datang hari tu?”
            Senyap.
            “Dan abang memang dah lama tahu Amiera tu anak abang, kan?”
            Kepala kian tunduk. Hendak menjulang paras Hazman, memang dia tidak sanggup.
            “Ya Allah... kenapa abang buat macam ni? Mati-matian saya ingat abang tak pernah tahu yang abang ada anak. Rupa-rupanya... astaghfirullah....” Dada diurut kasar. Ungkapan istighfar terus membasahi lidah.
            “Kenapa abang buat macam ni? Sampaikan untuk hadir ke majlis nikah Amiera, jadi wali satu-satunya pun abang tak nak.” Hazman mengeluh kesal.
            “Kau tak faham, Man.” Perlahan suara itu membalas.
            “Saya tak faham? Ya, memang saya tak faham apa yang ada dalam kepala abang sebenarnya. Macam mana abang boleh lalui hidup macam ni? Abang bahagia tengok anak abang hidup dengan orang lain? Abang suka dengar dia panggil lelaki lain tu ayah dia?” Hazman terus-terusan menghukum dengan bicara penuh rasa tidak percaya.
            Longlai tubuh bangkit dari kerusi. Derap kaki turut lemah. Perlahan-lahan dikemudi menjauhi Hazman.
            “Abang!” Lengan Latif disambar kasar.
            “Jangan paksa aku, Man. Tolonglah.” Rayuan tersebut tiada menjemput rasa simpati di hati Hazman. Lelaki itu giat memaksa abangnya membongkar kemelut yang sekian lama bergumpal dalam relung jiwa.
            “Amiera anak abang!” Tegas Hazman.
            “Ya, dia anak aku. Aku tahu! Tapi aku yang musnahkan keluarga kami. Aku yang buat dia hidup menumpang macam tu. Aku! Semua salah aku! Aku!” Latif menepis genggaman Hazman. Berair tubir mata menahan sebak. Serentak dengan itu, jantung mengalun degup yang tidak sekata. Meronta-ronta bagai hendak merobek dada.
            Hazman berdiri seumpama tiang kayu. Tidak berkutik langsung.
            “Bang...” Kali ini, panggilannya lebih lembut.
            “Tangan ni...” Bergerak-gerak anak mata merenung tangan kanan dan kiri. Tulang-tulang kecil saling bersambung di situ, menggigil halus.
            “Aku yang musnahkan semuanya. Aku...” Tangisan tiada tertahan lagi. Di hadapan Hazman, dia merintih hiba.

GELAK tawa Sarah kadang ketika mengundang senyum sendiri. Kata-kata penuh usikan gadis itu seolah tertempa kuat dalam ingatan.
            “Bila Sarah nak dapat anak buah ni? Asyik jaga anak tekak aje.”
            Jari-jemarinya mengembang, lalu dibawa merasai bahagian tubuh yang telah dianugerahkan kekuatan untuk menampung satu jasad selama sembilan bulan. Masih kosong. Kekal tiada isi.
            “Sakit perut ke?” Teguran Adlan memusnahkan gurauan Sarah, sekaligus memaksa dia kembali berpijak di bumi nyata.
            “Taklah.” Buru-buru dia mencapai selendang.
            “Atau...” Adlan merenungi paras Amiera melalui pantulan berkilat cermin meja solek. Langkah diatur mendekati Amiera, lantas bahu isterinya dielus lembut.
            “Satu hari nanti... insya Allah...” tuturnya seraya menguntum senyum kecil.
            Amiera terpinga-pinga.
            “Khalifah kecil.” Leret bibir enggan berhenti melentur.
            Liur ditelan lambat-lambat. Begitu dalam bicara Adlan sehingga berjaya menendang kuat organ takungan nyawa.
            “Awak wanita paling cantik, Amiera...” Kepala menunduk sedikit. Selajur kucupan hangat singgah di ubun-ubun wanita itu.
            Perasaan apakah yang sedang menelusuri setiap urat nadi dalam tubuh? Amiera melirik mata, menghantar pemergian Adlan keluar dari ruang peraduan.
            Sempit dada kian mengendur. Degupnya juga telah senada.
            ‘Adakah aku sudah mulai mengasihi suamiku, Tuhan?’
           
KU EMBOK mengelar pergelangan tangan Rozita. Langkah wanita itu tidak mampu dibejat lagi.
            “Kenapa Edi tak nak ikut?” Mendatar suaranya.
            Adlan buat tidak endah. Anak kunci di atas meja kayu berhampiran ruang tamu segera diambil. Dilambung tinggi sambil mengemudi kaki meninggalkan Rozita dan Ku Embok.
            “Adlan!” Rozita mengejar di belakang. Lengan Adlan direntap kuat.
            “What?” Sedikit pun dia tidak membalas renungan itu.
            “Apa salah daddy dekat Edi? Tell me.”
            “You sepatutnya lebih tahu, kan?”
            Menderu deras setiap hembusan nafas Rozita. Panas.
            “Dahlah Ita. Adlan ada hal tu. Bukan dia tak nak ikut.” Ku Embok mencelah. Meletak dirinya di tengah-tengah pertelingkahan tersebut.
            “Sibuk? Mak kata dia ni sibuk? Semua tu alasan aje. Takkan mak tak kenal Edi ni macam mana orangnya?” Meriak tegang wajah Rozita. Malap bara yang tersimpan jauh dari dasar hati, terperosok di celah-celah kepiluan, seakan menjulang marak kembali.
            Lenturan serba sinis hinggap di pinggir bibir. Rozita didekati.
            “I hanya ada seorang ayah. The only one, ever. Siapa Ahmad Saufi tu? I tak pernah kenal pun.” Dia berbisik halus ke telinga Rozita. Waima sekecil kuman pun, ehsan dan simpati tidak wujud langsung. Seluruh jiwa telah digagahi dendam. Maka mata hati turut sama terlindung.
            Rozita ketap bibir. Genggaman jadi padu.
            “Saya nak rehat sekejap,” pohon Rozita, cukup lemah.
            “Mummy!” Haili Sofea berlari menuruni anak tangga bersama Amiera. Kedua-duanya menerpa ke arah wanita itu.
            “Kenapa ni mummy?”
            Rozita menggeleng kepala tanda dia baik-baik sahaja.
            “Eh, Abang Edi nak ke mana tu, nek?” Panjang leher Haili Sofea sebaik terdengar deruman enjin kereta, diikuti Proton Preve menyusur laju meninggalkan perkarangan rumah.
            “Abang tak ikut kita pergi ziarah kubur daddy ke?”
            “Abang Edi ada hal sikit. Ita... Ita duduk rumah ajelah. Rehat.”
            “Tapi...”
            “Jangan paksa diri. Biar hari ni emak bawa Amiera dan Elly aje.” Pantas Ku Embok menuntas.
            Rozita tunduk menekur lantai beralas karpet merah hati.

Terima kasih baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Tahun ni, tahun tak ada 'baby' kut pfftt! -..-' Dah sampai tengah tahun pun, satu apa pun tak siap grr! Okay, sila salahkan diri sendiri.

No comments: