"...You've gotta dance like there's nobody watching; Love like you'll never hurt; Sing like there's nobody listening; And live like it's heaven on earth..."
Bab 14
RIMAS benar melayani ulah manja Kathy. Terasa
ruang luas pejabatnya jadi begitu sempit. Sedang nafas yang dihirup ikut bejat,
tidak sekata. Apatah lagi, penampilan gadis itu cukup tidak mendapat tempat
bagi matanya melihat. Segala-galanya bagai terkoyak di sana sini.
“Listen
Kathy, I’m busy right now.” Tegas Tengku Hanif berkata.
“I
tahu you busy...” Kathy bersuara perlahan. Seperti berjauh hati. Dia
menjarakkan kedudukan, bawa kaki ke punjuru ruang itu, berhampiran jendela.
“So?”
Soalan itu dimuntahkan acuh tidak acuh. Tengku Hanif tidak berminat hendak membazirkan
keseluruhan masanya untuk anak gadis pasangan Tuan Baki dan Puan Mardhiha.
Dada
menghempas deru nafas yang mendesah kasar. Kathy ketap bibir. Leret mata begitu
tajam menikam paras Tengku Hanif. Kewujudannya sedikit pun tidak dipeduli. Apa
dia tunggul, atau halimunan?
“You
ni memang tak reti hormat tetamu, kan?” perli Kathy. Daripada berdiri tegak
bagaikan tiang, kini dia labuh duduk di kerusi kulit, berlapis empuk yang
mendepani Tengku Hanif. “I datang, tak pun you sambut elok-elok. Lepas tu, siap
suruh I balik.”
Jari-jemari
terhenti menari di atas papan kekunci. Kepala diangkat, menjulang ke arah
Kathy. Anak mata umpama dipaksa-paksa supaya menatap keadaan Kathy yang cukup
menyakiti deria penglihatan.
“And
you pun, cara you datang tak beradab.” Tengku Hanif membidas sinis.
Buntang
mata Kathy. “You ni, sengaja nak sakitkan hati I,” bentaknya.
“You
nak apa sebenarnya?” Rendah pula suara yang dilontar keluar.
“I
nak you.”
“Nak
I?” Ketawanya terburai.
“Yes,
I want you. Be my husband.” Kathy berterus-terang. Lagi pula, memang itu yang
dikehendaki Datin Sabrina. Dan dia tahu, Tengku Hanif sudah maklum tentang
perkara itu.
Gelak
tawa tadi beransur sepi. Lelaki itu lebih selesa melenturkan otot muka, melarik
sebuah senyuman halus. Sejurus itu, Tengku Hanif geleng kepala. Berkali-kali.
“My
mum tu... memang suka bergurau,” dalih Tengku Hanif.
“Tapi
I serius,” tegas Kathy.
Sisa
herot nipis tadi langsung lebur. Renungan keduanya saling berpadu. Hambatan itu
seakan mengalirkan dua aura yang berbeza.
“Assalamualaikum...
Tengku...” Ketukan itu membuatkan Tengku Hanif membawa pandangan ke arah pintu.
Terjengul muka Nurul Ain di tengah pintu yang merenggang sedikit.
“Yes?”
Tengku Hanif berdiri. Spontan.
“Kopi.”
Nurul Ain memberitahu. Dia hanya mula menginjak lantai bilik itu apabila Tengku
Hanif memberi keizinan.
Kathy
ikut bangun. “Untuk I?”
Nurul
Ain menoleh.
“Emm...
sekejap ya. Saya tak tahu Tengku ada tetamu,” kata Nurul Ain. Ingin cepat-cepat
mendapatkan troli di luar sana.
“Cik
nak air apa?” Sempat dia bertanya.
“No,
thanks,” tutur Kathy seraya mengulum senyum kecil.
“Nurul
Ain...” Tengku Hanif mara beberapa langkah ke depan.
Kaki
yang diinjak berhenti serta-merta. Tubuh berpusing menghadap arah datangnya
suara itu, namun pandangan kekal di paras kebiasaan. Tidak pernah lagi ditatap
secara teliti wajah sang pemberi arahan.
“You
dah sediakan kopi Datuk?” Soalan sama dilontar kembali saat bayang Nurul Ain
muncul di dalam ruang dingin ini.
“Sekejap
lagi, saya naik atas.” Dan Nurul Ain juga kekal mengatur ayat serupa. Seolah
dialog yang sudah dirakam dan akan diulang sehari-hari.
“Thank
you.” Lambat-lambat, dia bawa kaki menghampiri kerusi bertayar lima, diperbuat
daripada kulit berkilat. Punggung dihenyak dengan selesa.
“Most
welcome, Tengku.” Balasnya lembut.
“You
suka... perempuan tu?” Kathy menompang dagu. Bayang Nurul Ain sudah hilang
seluruhnya.
Tengku
Hanif mencari wajah Kathy. “You cakap apa?” ajunya seumpama mengalami
kekeliruan.
Kathy
menggeleng. Beg tangan dicapai.
“I
nak baliklah. Bosan dekat sini,” gumamnya.
“And
don’t forget, Hanif... I ni bakal menantu pilihan your mum. Kalau your mum
paksa, you memang akan kahwin dengan I. So... please... layan I baik-baik
sikit.” Amaran itu bagaikan satu candaan di pendengaran Tengku Hanif. Sampai ke
telinga leret senyumnya.
Kadang
ketika, ulah Kathy mampu membuarkan rasa gelihati.
Selebihnya
hanya menambah rasa sakit kepala, sakit jiwa, dan sakit hati.
“MAHU ke anak awak dekat anak kita?” Puan
Mardhiha menduga-duga.
Datin
Sabrina menepuk peha wanita seusianya. Kemudian, leret senyum dilebarkan supaya
tampak benar bersungguh.
“Apa
pula tak mahu? Kathy tu cantik, manis. Pula tu... pandai ambil hati kita. Yang
penting, hormat orang tua.” Berjela-jela ayat pujian buat santapan halwa
telinga Puan Mardhiha.
Puan
Mardhiha tersenyum tawar. “Alah... anak kita tu banyak sangat kurangnya.
Tengoklah cara dia tu, terbawa-bawa perangai orang putih. Baju tak pernah nak
cukup, Na oi. Sakit mata kita ni. Penat tegur, sama juga. Letih mulut ni,”
keluh Puan Mardhiha.
“Biasalah
tu. Budak muda,” tuntas Datin Sabrina.
“Muda
pun, tapi tak kena gaya.” Puan Mardhiha membidas pula.
Tawa
Datin Sabrina meletus kecil. “Buruk baik dia tu, kita terima, Diha.”
“Anak
bujang awak tu, nak ke terima?”
“Kena
terima. Ini pilihan kita tau. Lagipun, kita jamin, esok lusa... Kathy akan
berubah... percayalah.”
Nampak
benar yakin Datin Sabrina berbicara seperti itu. Puan Mardhiha sekadar
mengaminkan dalam hati. Besar harapan dia melihat Kathy berubah penampilan,
sekaligus menutup segala keterbukaan yang mengundang dosa pada mata-mata yang
melirik nakal.
“Dulu
pun... kita pernah berjanji dengan kakak awak. Konon nak jodohkan anak-anak
kami.” Puan Mardhiha mula mengimbau kenangan lalu. Gelak tawa mereka seakan
bergema di telinga. Saling berganti dengan ikat janji yang konon mahu
menyatukan anak-anak mereka, walha kedua-duanya masih terlalu kecil.
“Irsyad
tu?”
Puan
Mardhiha mengangguk. “Rupanya tak ada jodoh. Irsyad pun dah nak kahwin.”
“Itulah.
Kita ni merancang aje, tapi Dia yang tentukan. Tak panjang usia mereka
anak-beranak,” keluh Datin Sabrina.
“Tak
salah kita, dah lebih dua puluh tahun kemalangan tu berlaku, kan?” Dalam
ingat-ingat lupa, Puan Mardhiha cuba menyelongkar memori duka keluarga hartawan
berkenaan. Oleh kerana datuk dan nenek mereka saling bersaudara, maka mereka
turut sama terkena tempiasnya.
Terangguk-angguk
kepala Datin Sabrina sebagai tanda membenarkan bicara itu. Sedang fikiran dia
dirangkul bayang paras Nur Aminah. Juga wajah mongel Dayang Nur Aisha. Spontan,
elusan nafas berat melepasi rengkungan.
“Mummy!
Eh... Auntie pun ada?” Kathy mempercepatkan langkahnya. Puan Mardhiha disalami.
Setelah itu, berlaga pipi pula dengan Datin Sabrina.
“Kathy
dari mana ni?” Naik juling mata Puan Mardhiha melihat lekuk-lekuk tubuh anak
daranya.
“Mummy
rasa?” Senyumnya dileret-leret sampai ke telinga. Rambut panjang hitam berkilat
dilurut lembut.
“Mummy
tak suka nak main teka-teki dengan kamu,” dengus Puan Mardhiha. Kathy sudah
tertawa kecil.
“Mummy
ni... macam biasalah. Kathy jumpa future son in-law mummy.” Kerlingannya
membelah pandangan redup Datin Sabrina.
“Hanif?”
Sengaja diluncurkan nama itu.
Kathy
memetik jari. “You’re correct, auntie! I jumpa anak you.”
Di
pihak Puan Mardhiha, jelas dia tidak menyenangi ulah Kathy. Kalau pun benar
keduanya bakal disatukan atas rencana keluarga, Kathy masih seorang perempuan. Batasnya
tetap ada.
“Kathy
naik atas dululah...” pamit Kathy.
“Auntie...
I naik atas dulu. Balik nanti, kirim salam sayang I dekat Hanif.” Mata dikenyit
nakal.
Datin
Sabrina sembunyi tawa, sedang Puan Mardhiha melorot lenggang si anak dengan
nafas yang tersekat-sekat.
“Tengoklah
tu... dengan awak pun nak ber ‘I’, ber ‘you’.” Puan Mardhiha mencebik.
“Biasalah,
budak muda.” Datin Sabrina kekal berpihak kepada Kathy.
“Kita
ni bukan apa, Na... tengok anak orang terlalu terbuka sangat, bersitighfar
panjang. Bila tengok anak sendiri, serupa juga. Lagi panjang istighfarnya.”
“Kathy
tu darah muda, Diha. Suka berfesyen, cantik-cantik...”
“Pening
kepala kita ni, Na. Kalau awak tak nak berbesan dengan kita pun, kita tak
kisah. Kalau Hanif tak sudi memperisterikan Kathy, kita faham.” Bersungguh Puan
Mardhiha melontar bicara.
Jari
telunjuk diangkat tinggi. Sejurus itu bergoyangan membelah udara yang membawa
bayu lesu.
“Kan
kita dah cakap tadi, buruk baik Kathy tu... kita terima. Kathy tu... mesti akan
berubah. Insya Allah.” Otot muka melentur senyum kecil. Bulat hati dia hendak
bermenantukan Kathy. Mahu tidak mahu, Tengku Hanif akan akur atas kehendaknya.
Bukankah Tengku Hanif seorang anak yang baik dan menurut kata?
DIA nampak. Jelas.
Tubuh
dihempas kasar. Pandangan mata menjulang kipas yang berputar perlahan,
meniupkan angin halus.
Perempuan
macam itukah yang menjadi santapan penglihatan Tengku Hanif? Bukan perempuan
seperti dia? Di luar sana, ramai mendambakan dirinya. Ramai memuji dan terus
mengangkat dia sebagai seorang jelitawan. Tetapi, berbeza dengan Tengku Hanif.
Jangankan pandang, melirik jauh sekali. Seolah perhiasan dan segala kecantikan
yang ada tidak menarik perhatian lelaki itu.
Daripada
terlentang, dia bangkit. Duduk menongkat dagu.
“Nurul
Ain...” Bibirnya bergerak-gerak membutirkan sebaris nama itu. Gadis biasa yang
tidak mempunyai apa-apa keistimewaan. Tubuhnya cukup sempurna dibaluti busana
bagi menyembunyikan apa yang dia selalu pamer dengan kemegahan.
“Mummy....
nanti bila besar, adik nak kahwin dengan Abang Hanif, boleh?”
Permintaan
dia sewaktu kecil kembali berlegar di jendela pendengaran. Membangkit satu
perasaan hangat dalam jiwa. Selajur memutikkan segarit senyuman kecil.
“SAMPAI bila nak tenung cincin tu?” Datuk
Awang Kader mengerling ulah sang isteri. Selajur ulas bibir melentur senyum
kecil.
“Abang
ni...” Cincin tadi diletak kembali dalam kotak baldu biru gelap. Terasa
melonjak hati menunggu kepulangan Tengku Hanif.
“Awak
tu, baik telan aje benda tu.”
Bulat
mata Datin Sabrina mendengar sindiran suaminya. Geram pula jadinya. Dalam
segala hal berkaitan niat dia bermenantukan Kathy, mereka tidak pernah sebulu.
Suami dan anaknya, sekapal.
“Karang
saya telan benda ni, terkejut abang.” Datin Sabrina membalas.
Buraian
tawa Datuk Awang Kader memenuhi segenap ruang tamu. Benar-benar gelihati
mendengar jerkahan Datin Sabrina.
“Sampai
masa nanti, kita pergi meminang Kathy, ya bang,” saran Datin Sabrina. Cincin
itu sudah ditolak ke tengah meja.
Sorot
mata Datuk Awang Kader melewati paras Datin Sabrina. Hal berkaitan masa depan
Tengku Hanif, kalau boleh dia tidak ingin ikut masuk campur. Biarlah anak muda
itu menentukan siapa yang bakal berdiri di sebelahnya. Namun kelihatan Datin
Sabrina sudah bulat hati. Cuma sehingga sekarang, Tengku Hanif masih punya ulah
sendiri, akal panjang untuk menepis setiap desakan wanita itu.
“Suka
hatilah.” Dia menyahut acuh tidak acuh.
Spontan,
Datin Sabrina memaling muka.
“Eh,
abang setuju?”
“Kalau
saya bantah, awak tetap nak pinang Kathy tu, kan?” Kening dijongket tinggi.
Datin
Sabrina sembunyi senyum. Senang hati dia mendengar ungkapan bicara itu.
Sekurang-kurangnya, walau tidak sependapat, suaminya sudah angkat bendera putih.
Meski sekapal dengan Tengku Hanif, lelaki itu tidak akan membangkang
bersungguh-sungguh. Dalam kepala sendiri, mula merencana pujukan untuk
merobohkan kedegilan Tengku Hanif.
“Bang...”
Datin Sabrina berkalih posisi duduk. Punggung dibawa berlabuh di sisi Datuk
Awang Kader.
“Sejak
akhir-akhir ni, saya tengok bilik bacaan abang tu asyik berganti bunga aje.
Mana datangnya? Sebelum ni tak ada pun.” Kemusykilan itu diluncur laju.
Wajahnya jadi berkerut-kerut memikirkan kuntuman bunga yang kerap dibawa pulang
oleh Datuk Awang Kader. Setiap hari, pasu bunga kaca itu berganti penyeri.
“Bunga
dekat pejabat.” Datuk Awang Kader menjawab ringkas.
Bertambah
dalam kerutan merauti roman Datin Sabrina. “Eh, pejabat abang tu bukan taman
bunga tau.”
“Awak
cemburu ke?” usik Datuk Awang Kader.
Datin
Sabrina memasamkan muka. Ketat. “Menyampah!” dengusnya.
Datuk
Awang Kader meleret senyum.
“Dah
tua-tua ni, tak payah nak cemburu sangat. Tak ada siapa pun yang berkenan dekat
saya ni.”
“Siapa
kata?” Datin Sabrina berpeluk tubuh.
“Orang
sekarang ni, tak pandang rupa dah. Kalau berharta, itulah yang dikejar. Tak
kisahlah... dah tua bangka ke, asal banyak duit. Bermadu pun sanggup! Yang
lelaki pun ikut menggatal. Tak sedar diri gamaknya.”
Mendengar
bebelan itu, Datuk Awang Kader menyulam sengihan lebar. “Saya tak macam tu.
Setia pada yang satu.”
Ekor
mata Datin Sabrina menebak kerlingan tajam. Membelah redup pandangan suaminya.
“Saya tak cakap abang pun.”
“Iyalah,
mana tahu awak mengata saya.”
“Eh,
tak makan cili pun boleh rasa pedas? Ke dah termakan cili juga?” Bulat mata
Datin Sabrina.
Terkekeh-kekeh
Datuk Awang Kader ketawa. “Saya ni makan cili yang pokoknya ditanam dekat
tanah. Cili lain, saya tak makan.”
Otot
muka mulai mengendur. Sedikit demi sedikit, ulas bibirnya melentur senyum. Dia
tahu, Datuk Awang Kader bukanlah lelaki mata keranjang. Luhur sifatnya memang
sedia diketahui sejak dulu lagi.
“Abang
nak air? Saya buatkan...” Dia berdiri.
“Boleh
juga. Asyik ketawa dari tadi, jadi kering pula tekak ni,” ujar Datuk Awang
Kader sambil menggosok-gosok leher.
“Banyak
sangat ke kerja dekat pejabat tu, bang? Si Hanif ni, makin lama, makin menjadi-jadi
pula lewat baliknya.” Sempat lagi dia memuntahkan perihal putera satu-satunya
yang dimiliki. Tidak jadi melangkah ke ruang dapur.
“Biarkanlah
dia. Tak payah nak risau sangat. Tahulah dia cari jalan balik rumah ni.
Cepatlah, Na. Tekak saya haus sangat ni.” Segera didesak sang isteri agar
menghidang minuman buatnya. Lagi pula, dia ingin mematikan bebelan Datin
Sabrina terhadap Tengku Hanif. Segala perilaku sang anak bagai terikat. Hendak
diselidiki luar dalam walhal Tengku Hanif sudah cukup dewasa.
Sejurus
Datin Sabrina bergegas ke dapur, kaki dikemudi menuju ke bilik bacaan, terletak
berhampiran tangga, bersebelahan bilik musollah. Tombol besi berliku nipis
dipulas dan daun pintu ditolak perlahan. Pandangan ditebar ke merata arah
sebelum pegun menatap pasu kaca yang dihiasi kuntuman aster.
Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)
notahujungkaki: Been busy! :)