Saturday, January 28, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab1.

Assalamualaikum.

Ini merupakan projek kedua aku. Actually yang ketiga. Yang kedua tu dah siap. Wheww... yang kedua tu paling banyak cabaran sebab pernah hilang, then kena buat balik. Mujur ada draft. Projek yang pertama dah dibukukan with KN. Alhamdulillah. My first baby --- CDH. Tak tahulah macam mana penerimaan pembaca, kan :') But I think ada kekurangan dalam novel tu. Maybe banyak! Uhhh... baru belajar menulis katakan. Mana yang kurang, tak puas hati, mohon maaf ya.



Bab satu

DERINGAN jam loceng langsung tidak memberikan sebarang tindak balas terhadap sekujur tubuh yang masih terbaring longlai di atas katil. Hampir pecah jam itu berbunyi bising namun sekujur tubuh itu masih belum jaga. Sesaat kemudian, jam itu berhenti berbunyi.
            Sepuluh minit kemudian, jam itu berbunyi semula. Nyaring dan bunyi bising itu mendorong Diana memasuki bilik berkenaan. Diana mengucap panjang apabila melihat temannya masih bergulingan di atas katil dengan selimut membaluti keseluruhan tubuh.
            “Elisa!” Suara Diana tegas.
            Elisa masih tidak bergerak. Kaku.
            Diana mengeluh panjang. Melihat keadaan bilik menjadikan dia boleh diserang sakit kepala. Pakaian berlonggok di atas kerusi. Entah bercampur dengan pakaian yang belum dibasuh. Anak mata Diana memerhati lantai bilik yang nampak bersepah dengan beberapa buah majalah.
            “Ini bilik ke sarang tikus? Hisy... kalau bilik bersepah macam ni, tikus pun segan nak masuklah.” Diana membebel sendirian. Dia mengutip sepasang stokin. Sebelah tangannya mengepit hidung. “Tengok ni! Entah zaman bila punya stokin agaknya.”
            Laju Diana berjalan mendekati Elisa yang masih tidak menyedari kehadiran Diana. Dia masih di alam mimpi yang mengasyikkan.
            “Elisa! Bangunlah...”
            Elisa masih tidak bergerak. Diana pula terasa geram. Digoyangkan badan itu, namun masih tidak memberikan sebarang tindak balas.
            “Elisa Najwa Emran! Bangunlah... dah siang dah ni. Kau tak nak pergi kerja ke? Kan nanti Kak Milla bising lagi sebab kau datang lambat. Kau ada masa lebih kurang setengah jam untuk bersiap. Cepatlah bangun Elisa oiii...” Diana masih tidak berputus asa untuk membangunkan temannya.
            “Mmm...” sahut Elisa. Dia bergerak sedikit. Tetapi mata itu masih tertutup rapat.
            “Elis... bangunlah. Kesianlah kat aku ni. Kang kalau kau lambat lagi hari ni, Kak Milla mesti telefon aku. Bising-bising kat telinga aku.” Suara Diana mendatar.
            Elisa bangun juga akhirnya. Dia duduk dengan mata tertutup rapat. Senyuman Diana mati sebaik tubuh Elisa kembali terbaring lesu.
            “Elis! Tolonglah... aku dah bosan dengar bebelan Kak Milla tu. Sakit telinga aku. Naik berbisul dah ni.”
            “Alah... Kak Milla tu bebel sekejap aje. Kang, dia senyaplah.”
            “Memanglah senyap. Kau tu lain, telinga tahan bebelan. Telinga aku ni nipis, kena bebel sikit, terus koyak.”
            Elisa buat tidak endah dengan kata-kata Diana. Setakat Kak Milla, bisingnya hanya sekejap sahaja. Tidak pernah sampai hendak marah-marah tahap berlebihan. Paling tidak perlu mendengar bebelan wanita berusia awal 30an itu selama seminit dua. Kemudian mereka boleh ketawa bersama, berborak-borak semula.
            Diana sakit hati melihat kelakuan Elisa. Tidak pernah berubah. Sejak dulu sampai sekarang, masih berperangai sama. Diana pula naik rimas. Setiap kali masuk ke dalam bilik ini, matanya dijamu dengan pemandangan yang kurang menyenangkan. Kalau dikemas, pasti kembali bersepah.
            Diana memeluk tubuh. Matanya mengecil. Kemudian Diana tersenyum sendiri. Dia punya cara untuk membangunkan Elisa. Perlahan-lahan dia beransur pergi. Berdiri di muka jendela. Sesekali dia memandang Elisa yang masih asyik berselimut tebal.
            “Siapa tu? Macam aku kenal aje.” Diana sengaja bersuara kuat supaya setiap butir bicaranya bisa didengari Elisa.
            Elisa tidak peduli. Siapapun yang dilihat Nadia, bukannya dia kenal. Sudahlah dia pulang lewat semalam, hari ini mahu masuk kerja lewat sedikit pun, sudah dibebeli Diana. Kak Milla dan Diana sama sahaja. Dua-dua kuat bebel.
            Nadia menjengah ke luar jendela. Mengecil matanya. Kemudian dia mengerling ke arah Elisa.
            “Eh... nampak macam Idzry aje. Ke aku salah tengok.” Diana berkata seolah-olah teruja walhal pandangan di depan matanya tiada bayang seorang pun.
            Berkerut dahi Elisa. Idzry?
            “Idzrylah, Elis! Idzry datang!” Bertambah kuat suara Diana.
            Mendengar suara penuh keterujaan Diana, Elisa bingkas bangun. Segera dia menerpa ke jendela. Berdiri di sebelah Diana dengan mata terbuka luas.
            “Mana? Mana Idzry?” Meliar mata Elisa. Segenap pelusuk halaman rumah mereka diperhati.
            Mengecil mata Elisa. Idzry... mana dia? Elisa masih mencari kelibat Idzry. Percaya sungguh dengan kata-kata Diana. Puas meneliti namun bayang Idzry tiada di situ. Elisa menoleh tatkala telinganya menyingkap tawa halus Diana. Wajah Diana sudah kemerah-merahan, menahan tawa yang membuak.
            “Sukanya kau.” Elisa menekan suara.
            Diana menggeleng kepala sahaja namun tawanya masih halus. Masih mampu menahan daripada meledak.
            Elisa bercekak pinggang. Setiap kali Diana memaksa dia bangun, temannya akan menggunakan cara ini. Hampir setiap hari dan setiap hari juga dia akan percaya dengan kata-kata Diana. Apabila nama Muhammad Idzry melekat di telinga, bagai terkena renjatan elektrik, terus sahaja dia bangkit.
            “Pantang sebut nama Idzry, cepat kau bangun ya,” ujar Diana.
            “Ketawalah sepuas hati kau, Jazmine Diana,” balas Elisa. Dia beransur ke katil semula. Duduk di situ dengan tangan memeluk kaki. Matanya tidak lepas memerhati Diana di hujung sudut bilik. Beberapa detik, Elisa juga mengulum senyum. Terlalu dungu diri sehingga bisa mempercayai kata-kata Diana walhal seringkali dia terkena.
            “Pagi-pagi lagi aku dah dapat terapi yang paling baik sekali. Senyum dan ketawa,” kata Diana lantas berjalan menghampiri Elisa. Mengukir sebuah senyuman untuk tatapan Elisa. Dia memeluk bahu temannya.
            “Iyalah terapi. Kau ingat aku ni spesimen terapi kau?”
            Diana ketawa. Erat pelukan dibahu Elisa. “Elisa... Elisa... Elisa Najwa Emran...” Diana menyebut nama itu dengan senyuman masih mekar dibibir.
            Elisa terkebil-kebil.
            “Apa yang ada pada Idzry tu?” soal Diana.
            Elisa menjungkit bahu. Kemudian sebuah senyuman tersunging dibibir itu. Tika itu, dia membayangi wajah Idzry. Idzry yang baik padanya. Idzry yang selalu ada dengannya. Idzry yang selalu membuatkan hidup sehariannya diwarnai dengan bunga-bunga bahagia. Idzry yang... segala-galanya ada tentang Idzry! Elisa tersenyum lagi.
            Terjungkit kening Diana tatkala terlihat senyuman Elisa. Kenapa dengan minah ni? Senyum sendiri. Dah macam tak betul pulak! Desis Diana sendirian. Dia menepuk perlahan pipi Elisa. Elisa terpinga-pinga. Mencari wajah temannya.
            “Kenapa?” soalnya.
            “Kau tu...” Diana mengerling ke arah Elisa yang masih tercengang-cengang. “Senyum sorang-sorang. Apa yang kau fikir? Hah, mesti ingatkan si mamat perasan kacak tu, kan?”
            “Eh, Idzry tu memang kacak pun, tau. Baik, peramah. Yang paling penting, bila bersama dengan dia, aku rasa bahagia sangat.” Sungguh-sungguh Elisa menyatakan isi hati kepada Diana.
            Diana menggelengkan kepala. Kacak? Baik? Peramah? Mungkin... Idzry memang mudah mesra dengan orang di sekelilingnya.
            “Kacak ke?” Diana memulangkan pertanyaan itu.
            Elisa mengangguk. “Kacaklah!”
            Diana mencebik. Kalau sudah suka, busuk pun dikata wangi.
            “Tapi kan Lis, aku rasa ada orang yang jauh lebih kacak kalau nak dibandingkan dengan Idzry tu.” Diana berpeluk tubuh.
            Elisa memalingkan wajah, menghadap Diana. “Siapa?”
            Diana tersengih. Satu nama terlayar di ruang mata.
            “Kamal. Kamal Ariffin,” ujar Diana.
            Elisa tidak memberi sebarang tindak balas. Dalam kepala, Elisa memikirkan sesiapa yang dikenalinya mungkin pemilik nama itu. Berkerut-kerut wajah Elisa. Diana pula jadi gelihati.
            “Sampai berkerut muka kau tu. Alah, takkan kau tak kenal dengan Kamal. Kamal yang kacak, Kamal yang handsome, Kamal yang... ah... semua lengkaplah kat Kamal tu.”
            “Eh, kenapa tiba-tiba aku rasa macam kenal aje dengan orang yang bernama Kamal Ariffin itu? Hah, puji tunang sendiri. Masuk bakul lepas tu angkat sendiri. Perasan!”
            Diana tersengih. “Memang tak dinafikan Kamal aku tu kacak, kan,” tingkah Diana dalam ketawa panjang.
            “Iyalah. Kamal kau aje yang kacak. Kamal kau aje yang baik. Kamal kau aje yang cantik luar dalam,” sindir Elisa. “Tapi aku tak kisah pun apa kau cakap pasal Kamal. Menggunung tinggi pun pujian kau tu, Kamal tetap tak setanding Idzry tahu.”
            Diana tangkas menyiku Elisa. Berkali-kali. Elisa ketawa kegelian.
            “Dalam kepala kau tu, ada Idzry je. Mana nak ambil kisah orang lain,” ejek Diana.
            Elisa ketawa kecil. Memang. Dalam kepalanya dipenuhi dengan wajah Idzry. Siang, malam, pagi, petang... saban detik hanya wajah Idzry yang berlayar di ruang ingatan.  
            Diana mengamati wajah Elisa. Nyata, wajah itu kelihatan sungguh bahagia. Wajah itu melakar sejuta ungkapan rasa hati. Wajah itu diwarnai dengan catan berwarna-warni. Senyuman Elisa tidak pernah lekang daripada bibir. Acap kali bibir itu dibasahi dengan senyuman manis.
            “Bila agaknya Idzry tu nak melamar kau?”
            Elisa pula terkejut dengan soalan Diana. Membulat matanya.
            “Hah, kenapa bulat mata kau tu?” Diana menuding tepat ke mata Elisa.
            Elisa mengerdipkan mata. “Kau ni, tanya soalan macam tu pulak.”
            “Betullah apa yang aku tanya. Bila dia nak lamar kau? Kan dah lama kau orang berdua berkawan. Takkan tak merancang apa-apa kot.” Diana masih mahu mencungkil rahsia antara Elisa dan Idzry.
            Elisa mencebikkan bibir. “Aku dengan dia bukannya ada apa-apa.”
            Giliran Diana pula membulatkan mata.
            “Tak ada apa-apa? Eleh, kalau tak ada apa-apa, takkanlah kau boleh terbayang-bayang, termimpikan mamat tu. Hah, kalau kawan aje, takkanlah asyik keluar berdua, makan sama. Siap sambut hari-hari penting bersama. Tu kawan biasa ke?” Sengaja Diana menyerkap Elisa. Sudahnya Elisa pula yang tersipu-sipu.
            “Kau ni! Malu aku tau...” Elisa berlagak seperti gadis penuh santun yang baru sahaja dirisik oleh keluarga pihak lelaki.
            Diana ketawa besar. Elisa memang pandai membuatkan dia ketawa dengan kelakuan dan gaya selamba gadis itu. Diana bangkit. Semakin lama dia duduk bersama gadis itu, semakin membuatkan dia alpa. Nanti dia pula yang lewat untuk pergi ke tempat kerja.
            “Kau nak ke mana?” tanya Elisa.
           “Kerjalah. Kang kalau terus duduk dengan kau, bukan kau aje yang lambat, aku pun ikut lambat jugak. Dah, pergi bersiap.” Diana mengarah Elisa pergi.
            Elisa mengangguk. Perlahan dia melunjurkan kaki memijak lantai bermozek. Ekor mata Elisa mengekori langkah diatur Diana keluar dari bilik. Dia tersenyum lagi.
            ‘Hari ini akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik berbading semalam’
            Elisa berkata untuk dirinya. Itulah kata-kata yang akan berdesis dalam hati setiap hari, sebaik sahaja dia membuka mata. Tanpa membuang masa, Elisa terus masuk ke dalam bilik air.

            

7 comments:

DiriKu said...

waaa! nanti terus bukukan lah ek? XD

~::Qie Shea Haris::~ said...

@DiriKu

InsyaAllah :') if ada rezeki.

BiQa HatmiN said...

wah ni kalau dah siap boleh hantar karyaseni ni,..hehehe

~::Qie Shea Haris::~ said...

@BiQa HatmiN

InsyaAllah,,, :')

btw, thnks singgah sini :')

Hanania Eedaya said...

menarik la...saya suka sebab tajuk novel ni sama dengan lagu kesukaan saya...teruskan menulis...saya akan follow cerita ni smpai habis...

~::Qie Shea Haris::~ said...

@Hanania Eedaya

terima kasih :') insyaAllah, kite akan update novel ni :')

Cik Atien said...

atien baru baca ni. Nanti datang lagi sambung baca bab2. :)