Sunday, January 29, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab2.

Assalamualaikum.










Bab dua
ELISA menolak daun pintu kaca dengan pantas. Matanya meliar memerhati. Sesaat kemudian, dia terpandangkan seorang wanita yang berjalan perlahan menghampirinya. Elisa tersengih dalam nafas yang tercungap-cungap.
            “Safe!” ujar Elisa. Dia meraba dadanya yang terasa kencang berdetak. Masih tercungap-cungap. Penat berlari.
            Karmilla menggelengkan kepala perlahan. Dia menatap pergelangan tangan yang tersuai jam. Jam itu menginjak ke angka 10.35 pagi. Seperti biasa pekerjanya yang seorag ini pasti akan tiba lewat daripada sepatutnya. Kalau awal pun boleh dibilang dengan jari.
            Karmilla mencekak pinggang. Memandang pekerjanya dari hujung kaki hingga hujung kepala. Wajah itu masih berkerut. Karmilla menggelengkan kepala lagi. Mujur juga Elisa boleh diharap. Kerja juga bagus. Walau kerap datang kerja lewat, kerja masih berjalan dengan lancar. Sebab itu hanya mulut Karmilla sahaja yang bising membebeli kelewatan Elisa namun tiada tindakan lain yang diambil.
            “Safe?” soal Karmilla. Kemudian dia memandang jam semula. “ Lewat lima  minit tau. Kan butik buka pukul 10.30 pagi. Tapi kamu tunjuk muka lima minit lewat.”
            Elisa menggaru-garu kepala. Fikirnya dia menepati masa. Sudahnya, masih juga lewat. Elisa mengangkat tangan sambil tersenyum kecil.
            “Alah, hari ni kiranya orang datang awal jugaklah, Kak Mila. Hah, lewat lima minit aje tau. Kira rekod barulah tu,” balas Elisa. Senyuman dibibir itu masih belum mati.
            Karmilla menggelengkan kepala lagi. Ketika Elisa hendak melangkah pergi, pantas Karmilla menarik lengan anak gadis itu sehingga mendorong tubuh tinggi itu kebelakang.
            “Kenapa, kak?” soal Elisa.
            Karmilla menarik nafas sebelum membuka mulut.
            “Ni, akak ada benda nak beritahu kat kau.”
            Elisa terkebil-kebil. Nada Karmilla merunsingkan Elisa, kedengaran serius sahaja. Elisa mengangkat kening menandakan dia sudah bersedia untuk mendegar butir-butir bicara keluar daripada mulut Karmilla.
            “Akak dah pergi jumpa Seri. Tunjuk hasil kerja kau pada dia,” ujarr Karmilla.
            Elisa tidak berkata apa-apa. Dalam kepalanya waktu itu hanya tergambar seraut wajah milik Seri. Ah, Seri yang begitu cerewet! Desis hati Elisa. Masih segar dalam ingatan bagaimana dia terpaksa melayan karenah wanita itu. Tahulah bakal bergelar raja sehari, nah... perangai juga mahu seperti raja lagaknya.
            Oppsss... dia lupa. Elisa nyaris lupa. Seri itu punya darah keturunan di raja. Dari kerabat raja mana, Elisa tidak tahu. Cuma Seri cukup gemar memberitahu status namanya yang bergelar raja. Raja Seri Nur Intan Raja Abdul Rahman.
            Alah, apa ada pada nama? Hanya gelaran itu yang dibangga-banggakan sahaja, getus hati Elisa saat mulut Seri mula membuka bicara mengenai salasilah keluarganya. Dia terus mendengar dan mendengar sehingga akhirnya, selama dua minggu Seri berkunjung ke butik ini, dia sudah mulai menghafal segala cerita yang didengarinya.
            Namun ada satu perkara yang menakutkan Elisa. Rekaan busana pengantin. Ya! Seri memang cerewet. Dalam segala hal, wanita itu memang cerewet. Seri mahukan rekaan busana pengantin itu cantik dan indah. Mesti nampak mewah, itu yang paling penting! Untuk busana yang dipakai semasa majlis akad nikah nanti, mestilah ringkas namun masih mengekalkan ciri-ciri  kemewahannya. Lain pula untuk baju bersanding nanti.
            Wah, permintaan Seri memang tidak pernah lari dengan tema mewah. Itu yang disedari Elisa. Segala-galanya mesti sempurna, cantik dan semestinya mewah. Kalau mahu yang mewah-mewah, kenapa tidak pergi sahaja ke butik pereka yang lebih terkemuka seperti Micheal Ong dan beberapa pereka terkenal di Malaysia.
            Pernah juga hati Elisa berdetak-detik memikirkan kemungkinan Seri hanya mahu glamour tetapi tidak punya budget. Kalau pergi ke butik-butik pereka terkenal, pasti kos juga melambung. Hah, kalau di butik biasa, bolehlah dia minta lebih-lebih tetapi masih dalam lingkungan budget yang mampu dibayarnya nanti. Begitukah?
            “I nak baju I nanti sempurna. Mesti cantik dan yang paling penting mesti menepati apa yang I nak. Kalau sampai I tak suka dengan rekaan you tu nanti, you kena re-design semula.”
            Kata-kata Seri itulah yang menjadikan otak kreatif Elisa bekerja lebih masa buat beberpa hari. Perlu berhati-hati mereka busana pengantin Seri. Kalau tidak, mahu menangis dia hendak membuat rekaan baru. Semakin keringlah otaknya nanti!
            “Hei!” sergah Karmilla sehingga menyebabkan Elisa tersentak. “Apa yang kau menungkan tu? Orang cakap dengan dia, dia boleh berangan pulak. Muka tu ketat semacam, apa hal?”
            “Muka ketat macam ni pasal memikirkan Seri tu. Entah dia setuju ke tak dengan rekaan orang tu. Kalau tak setuju, terpaksalah orang memerah otak sampai lebam-lebam semata-mata nak siapkan baju-baju dia tu.”
            Karmilla tersenyum kecil. Tahu perasaan Elisa yang saling berkecamuk. Mahu tidak, Serilah pelanggan pertama yang bersikap terlalu cerewet. Dipandang wajah Elisa yang masih berkerut.
            “Seri terima rekaan kau tu. Dia setuju,” kata Karmilla.
            “Hah... kan orang dah cakap. Mesti Seri setuju punyalah. Hai... terpaksalah orang...” Bicara Elisa mati. Terdiam buat seketika. Dahinya kembali berkerut. Salah dengar ke?
            “Seri setuju dengan rekaan tu?” soal Elisa.
            Karmilla mengangguk.
            Elisa terkebil-kebil dengan mata yang bulat. “Betul?” Elisa mahukan kepastian.
            Karmilla mengangguk lagi dan anggukan kali ini membuatkan senyuman Elisa semakin mekar dan terus mekar. Senyuman itu tanda kepuasan diri setelah berpenat-lelah selama hampir dua minggu semata-mata hendak menyiapkan lukisan kasar rekaan busana pengantin buat Seri.
            “Kan akak pernah cakap dengan kau, yang Seri mesti setujulah dengan rekaan kau tu. Meletup!”
            Elisa tersengih. Pujian itu bagaikan satu penghargaan buat dirinya. “Alah, mana tak risaunya Kak Mila. Bukannya akak tak kenal Seri tu. Semua benda nak sempurna. Tak mahu ada cacat cela walau sikit. Isyyy... agaknya bakal suami dia tu sempurna sangat kot. Iyalah... cerewet macam tu.”
            Karmilla ketawa mendengar kata-kata Elisa. “Mana ada manusia yang sempurna dalam dunia ni.”
            “Hai... senyum lebar nampaknya makcik seorang ni. Ada apa-apa ke?” celah satu suara di belakang Elisa.
            Elisa berpaling. Waktu itu seraut wajah lembut teman sekerjanya, Andiana terpampang di ruang mata. Andiana selaku jurugambar di butik tersebut. Andiana juga teman baiknya selain Diana.
            “Manalah tak gembira hati Elisa Najwa ni kalau bukan kerana Seri tu.”
            Andiana memeluk bahu Elisa. “Kan, kan aku dah cakap kat kau. Seri tu akan terima punya rekaan kau. Seingat aku, mana ada pelanggan kita yang pernah menolka rekaan busana-busana yang dah kau reka khas buat mereka. Paling tak pun mereka tu semua mintak tambah sikit-sikit je. Hisy... kalau ada orang yang tolak, boleh mencatatkan sejarah baru dalam butik kita ni, kan Kak Mila?” senda Andiana.
            Karmilla tersenyum sahaja. Meninggalkan dua orang gadis itu bersembang. Dia punya kerja yang perlu dibereskan. Elisa dan Andiana terus berceloteh mengenai perangai Raja seri Nur Intan yang tidak disengangi oleh mereka berdua.

KAMAL mengatur langkah dengan berhati-hati. Niat di hati ingin mengejutkan tuan empunya diri yang asyik memotong sehelai kain. Senyuman nakal tersunging dibibir Kamal. Ya... dia akan menyergah gadis itu. Kamal sudah pun berdiri di belakang Elisa. Sudah bersiap-sedia untuk menjalankan misi jahatnya.
            Belum pun sempat Kamal hendak membuka mulut, menyergah, Elisa terlebih dahulu berpaling ke belakang dan menyergahnya. Sudahnya, dia yang terkejut beruk. Mujur juga tidak ada sebarang penyakit jantung. Jika tidak, entah-entah sudah disorong masuk ke dalam wad kecemasan.
            Kamal  mengurut dada sambil matanya tidak lepas memerhati Elisa. Gadis itu sedang ketawa gelihati. Kamal memasamkan wajah. Lagak seperti tidak suka apabila ditertetawakan begitu.
            “Tak penat ke kau ketawa, Elisa?” tanya Kamal apabila melihat Elisa tidak henti-henti ketawa.
            Elisa menggelengkan kepala. Senak perutnya kerana banyak ketawa.
            “Macam mana kau boleh tahu aku ada kat belakang kau?” tanya Kamal lagi.
            Elisa menarik nafas terlebih dahulu sebelum menjawab pertanyaan Kamal. Bagaimana ya dia boleh menyergah Kamal dahulu sebelum lelaki itu menyergahnya? Hah... ini tekniknya.
Ketika mula-mula dia mengenali Kamal, lelaki itu kerap membuatkan jantungnya gugur dengan sergahan-sergahan yang mengejutkan terutamanya menjelang waktu tengah hari seperti hari ini. Teknik Kamal tidak pernah berubah. Dia menyedarinya tetapi masih tidak bertindak apa-apa demi membuatkan Kamal terus berfikir bahawa dia masih boleh dijadikan bahan lawak.
Tetapi kealpaan Kamal yang menyangka dia masih lagi tidak peka dengan kedatangan lelaki itu menjadikan Kamal pula mangsa seterusnya. Nah, lelaki tiu sudah terimanya hari ini. Kalau sebelum ini hanya dia yang dijadikan bahan ketawa lelaki itu, kini giliran Kamal pula menjadi bahan ketawa.
“Cis! Rupanya kau menganalisa aku selama ni,” ujar Kamal.
Elisa menjungkit bahu.
“Dah tengah hari ni. Kau tak mahu pergi makan ke? Jom... makan. Aku belanja,” pelawa Kamal.
Elisa menggelengkan kepala. Kamal kehairanan.
“Kenapa kau tak mahu makan? Diet ke? Isyy... kau tu tak payah nak berdiet. Kang makin sekeping pulak aku tengok. Dah, jom makan.” Kamal masih berusaha memancing minat Elisa. “Kita makan sekali dengan Andi.”
“Aku ada janji dengan oranglah, Kamal. Kau berdua ajelah makan.”
Sejurus selepas Elisa mengungkap kata, telefon bimbit milik gadis itu berbunyi. Kamal hanya memerhati senyuman yang terukir dibibir itu tatkala Elisa bercakap dengan si pemanggil. Beberapa minit kemudian, Elisa bersiap-siap hendak keluar.
“Kau nak keluar dengan siapa?”
Elisa tersenyum dan mengeyitkan mata. Nakal.
“Idzry!” jawabnya dan terus berlalu pergi meninggalkan Kamal termangu sendirian di situ.

“KENAPALAH Idzry jugak yang kau suka?” Kamal berkata sendirian. Waktu itu bayang Elisa sudah lenyap dipandangan mata.
            Kamal menarik nafas. Dalam. Dan dilepaskan perlahan-lahan. Niat di hati hendak menjamu teman-teman makan tengah hari bersama memandangkan tidak lama lagi dia akan bekerja di tempat baru. Hari ini hari terakhir dia berada di sini. Bermakna hari terakhir juga dia dapat bertentang mata dengan Elisa.
            Aduh... kenapa mesti Elisa? Kenapa mesti Elisa yang menjadi pilihan hati? Kenapa mesti gadis yang pernah dikata tomboy itu yang berjaya mendapat tempat dalam hatinya? Kamal menggaru-garu kepala.
            Kamal mendongak tatkala terasa bahunya ditepuk perlahan. Andiana tersenyum memandangnya. Andiana menarik kerusi dan duduk bersebelahan Kamal.
            “Kau cakaplah kalau kau suka kat dia.”
            “Kau tahu?”
            Andiana menjungkit bahu. “Dengan cara kau pandang dia, layan dia... tahulah aku yang kau sememangnya ada hati kat Elisa tu.”
            “Aku aje yang suka kat dia, entah dia suka kat aku ke tak agaknya.”
            “Kau tak cuba, mana nak tahu sama ada dia suka kau ke tak,” balas Andiana.
            Kamal mengangkat kening. “Tak apalah Andi. Dia pun dah ada orang lain. Aku sebagai lelaki yang baik, tak akan sekali-kali kacau hak orang.” Kamal ketawa sesudah berkata demikian.
            “Perasan!” Andiana mencebik.
            Kamal ketawa lagi.
            “Jomlah makan. Aku belanja.”
            “Betul?” Andiana mahukan kepastian.
            Kamal mengangguk dengan senyuman terlukis dibibir itu.

4 comments:

E'in said...

cite nie awak karang sendiri ke?

~::HANAH RISHAS::~ said...

@e'in

yep. sy karang sendiri :')

sila laa singgah lagi ye :')

Hanania Eedaya said...

terbaik...

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Hanania Eedaya

terima kasih :')