Sunday, January 29, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab3.

Assalamualaikum.








Bab tiga
ANAK mata Elisa meliar memerhati keadaan sekeliling. Hampir setiap minit jam dipergelangan tangan dilihatnya. Elisa berdiri sebentar, kemudian dia duduk kembali. Mana dia? Elisa ternanti-nanti. Kemunculan Idzry dinanti dengan penuh sabar.
  Buat kesekian kalinya dia melihat jam. Alahai... seperti tidak berdetik sahaja jam itu. Elisa gelisah. Jadi atau tidak? Kalau tidak jadi, kenapa Idzry tidak menelefon atau setidak pun mesej? Elisa tidak senang duduk.
        Dari kejauhan, terlihat susuk tubuh tinggi lampai seorang jejaka berjalan menghampiri Elisa dengan senyuman meniti bibir. Jejaka itu kelihatan kacak dan kemas dengan kemeja lengan panjang berjalur merah hitam. Elisa pantas berdiri di saat langkah Idzry sudah hampir dengannya.
  “Maaf lambat. Saya ada kerja sikit tadi,” tutur Idzry sebaik sahaja berdiri di depan Elisa.
        Elisa menggelengkan kepala. Laju. Idzry tersenyum kecil melihat gelagat Elisa.
        “Dah lama tunggu?”
  Elisa menggeleng lagi. “Tak lama pun.”
        Elisa mengukir sebuah senyuman. Selewat mana sekalipun, dia tidak kisah menanti andai Idzry orangnya. Pernah juga dia menunggu sejam lamanya. Namun tatkala terpandangkan wajah Idzry, terus hilang kelelahan menanti lelaki itu.
        “Kita nak makan apa tengah hari ni?” soal Idzry.
        Elisa berfikir seketika. Kalau di restoren ini, menurut kata Andiana, chiken chopnya merupakan hidangan paling sedap. Itu kata Andianalah. Tidak salah kalau mencuba.
        “Kalau kita makan chiken chop, boleh? Kata Andi, berbaloi-baloi kalau makan.” Elisa mencadangkan.
        “Boleh jugak,” balas Idzry dan tanpa melengahkan masa, Idzry terus memanggil pelayan untuk membuat pesanan. Beberapa minit selepas itu, minuman mereka dihidangkan diikuti dengan menu makan tengah hari yang sudah dipesan.
        Elisa menjamah makan tengah hari dengan begitu berselera sekali. Selain faktor makanan dihidang itu sedap, kehadiran Idzry juga menjadi faktor terbesar selera makannya membuak-buak.
        Idzry langsung memerhatikan telatah Elisa. Dia merenungi setiap inci wajah itu. Mata Elisa redup dan bulat kehitaman. Hidung itu pula mancung sedikit. Bibir mungil itu merah segar. Jika Elisa mengukir senyuman, bibir itu nampak lebih indah. Idzry terus memerhati. Makanan di dalam pinggan tidak berusik.
        Elisa mendongak. Waktu itu juga renungan Idzry menyambutnya. Berdegup kencang jantungnya. Rasa seperti baru selesai menamatkan acara larian 400 meter. Bertambah kacau saat dia terlihat senyuman Idzry terukir. Semakin lemah anggota tubuhnya.
        “Kenapa awak pandang saya macam tu?” Elisa menyoal demi menyembunyikan gelora yang sedang melanda diri saat itu.
        Idzry menjungkit bahu. Semakin dia tajam merenungi Elisa. Tahu gadis itu sedang kegelisahan. Elisa pula semakin tidak senang duduk. Renungan Idzry tajam, menusuk ke hati.
        “Pandang saya macam tu, kenyang ke? Sampai tak berusik makanan dalam pinggan tu,” tegur Elisa.
Idzry tersenyum.
        “Awak cantik, Elisa Najwa. Sangat cantik pada pandangan mata saya.”
        Elisa terbatuk kecil. Matanya terkebil-kebil memandang Idzry. Kata-kata itu... Idzry tidak pernah berkata seperti itu padanya. Segera Elisa teringat kata-kata Diana tempoh hari.
        “Kalau seorang lelaki tu dah  kata perempuan tu cantik di pandangan mata dia, tu bermaksud dia dah jatuh suka, tahu!”
        Dalam diam hati Elisa berbunga riang. Idzry tidak pernah mengungkap kata seperti itu. Tidak pernah menyatakan dia cantik. Kata-kata Diana pula keluar masuk dalam kepala. Sebahagian hati begitu yakin dengan omongan teman rapatnya. Sebahagian lagi seakan menolak kepercayaan itu. Namun bulat hatinya mengakui kebenaran setiap butir bicara Diana.
        Idzry tersenyum lagi. Wajah kemerahan Elisa dipandang lagi. Memang sudah lama dia ingin mengungkap kata itu. Benar. Elisa memang cantik di matanya. Bukan hanya cantik wajah, Elisa juga memiliki peribadi yang indah. Sikap gadis itu menyenangkan diri. Dia juga berasa selesa bersahabat dengan Elisa.
        “Saya masih ingat lagi masa mula-mula kita berjumpa. Elisa ingat?” Idzry menongkat dagu. Matanya masih tidak lepas memerhatikan Elisa.
        Elisa tersipu-sipu malu. Tidak mungkin dia lupa pertemuan buat pertama kalinya dengan Idzry. Kerana pertemuan itu telah memutikkan perasan suka. Kemudian berkembang pula menjadi cinta yang mekar hingga saat ini meski Idzry tidak pernah tahu akannya.
        Perlahan-lahan Elisa mengangguk. Idzry tersenyum lagi. Kali ini dia duduk bersandar pula.
        “Muka Elis merah. Kenapa? Malu ya?”
        Sepantas kilat Elisa menggelengkan kepala. Telatah Elisa mencuit hati Idzry. Dia ketawa kecil. Semakin    tidak keruan Elisa dibuatnya. Bertambah kencang degupan jantungnya. Rasa mahu pecah pula dada saat itu!
        “Idzry tu, pandang saya macam nak makan aje. Mana tak saya jadi malu.” Elisa sengaja berkata begitu bagi menyembunyikan perasaan yang sedang bergelora. Meski dia mahu Idzry tahu tentang soal hati dan perasaannya, namun dia cukup malu untuk menyatakannya.
        “Saya suka Elisa.”
        Nah! Bagai letusan gunung berapi rasanya. Membulat mata Elisa. Salah dengarkah dia? Tidak mungkin! Memang dia dengar dengan jelas Idzry mengucapkan kata-kata itu. Oh! Elisa seakan tidak percaya.
        “Apa awak cakap?” Elisa meminta kepastian.
        Idzry mengangkat kening. “Kenapa? Tak percaya kalau saya cakap yang saya suka kat awak?”
        Pantas Elisa menggeleng laju. Idzry ketawa lagi.
        “Jadi Elis suka?”
        Soalan Idzry kali ini dijawab dengan gelengan kepala juga. Elisa tidak tahu jawapan yang sepatutnya diluahkan. Ah! Kalaulah dia boleh menyatakan perasaan hati yang membuak untuk lelaki itu. Kalaulah dia punya kekuatan itu.

DIANA mengerling ke arah Elisa. Pelik melihat kelakuan Elisa. Senyum memanjang. Entah apa yang membuatkan Elisa gembira sampai begitu sekali. Sejak pulang dari kerja, senyuman Elisa tidak mati. Sekejap-sekejap tersenyum. Sekejap-sekejap termenung. Kemudian tersenyum lagi. Hingga Diana merasakan Elisa seperti orang sedang gila bayang pula.
        “Elisa.”
  Elisa tidak menyahut. Sebaliknya dia terus hanyut dalam khayalan. Kata-kata Idzry berulang-ulang kali bermain di gegendang telinga.
  “Elisa!” Kali ini suara Diana kedengaran kuat. Tapi masih tidak berjaya mengejutkan Elisa. Suara kuat Diana langsung tidak menganggu lamunan gadis itu. Diana menarik nafas. Budak ni, gila bayang apa! Dari tadi senyum memanjang. Aku panggil tak pula dengar! Diana marah dalam hati.
  “Hoi!” Suara Diana cukup kuat kali ini. Dengan diikuti ketukan di meja bertalu-talu barulah Elisa tersedar.
  “Kenapa?” soal Elisa.
  Diana berdiri. Dia mencekak pinggan. “Sepatutnya aku yang tanya kau, kenapa kau asyik senyum, termenung, senyum dari tadi? Aku panggil banyak kali pun tak sedar. Aku tengok kau dah macam orang gila bayang tahu. Macam orang gila pun ada!” Diana meluahkan rasa tidak puas hati.
  Elisa tersengih. Gara-gara Idzry  menyatakan perasaan suka terhadapnya, dia jadi begini. Oh, sungguh hatinya dipenuhi dengan bunga-bunga yang sedang mekar dan rama-rama yang cantik mengerumuni bunga-bunga cinta itu. Wah, begitu indah rasa hatinya saat ini. Sehingga menggunakan ayat metafora untuk menggambarkan apa yang sedang dirasai.
  “Tengok tu, senyum lagi. Kau ingat aku tanya ni semata nak tengok kau senyum ke?”
Elisa ketawa kecil.
        “Ni mesti pasal pakwe kan?” Diana cuba meneka.
Elisa menjungkit bahu.
        Diana menggaru kepala.
        “Eleh, jangan nak tipu. Tahu ni mesti pasal lelaki. Kalau tak, kau takkan senyum macam tu. Sampai ke telinga gamaknya!”
        Diana masih tidak puas hati apabila Elisa seakan hendak bermain teka-teki dengannya. Segera dia duduk di sebelah Elisa. Dengan kaki bersimpuh di atas kerusi, kini Diana cukup bersedia untuk mendengar cerita Elisa meski Elisa masih tidak membuka mulut.
        Elisa tergelak melihat kelakuan temannya. Diana memang begitu. Tidak boleh dia gembira sedikit, pasti berjela soalan menanti. Yang pastinya nama Idzry tidak pernah lepas dari bibir itu. Muncul sahaja nama Idzry saat Diana membuat tekaan.
        “Kau ni. Cepatlah cerita. Aku dah tak sabar-sabar nak dengar. Hah, biar aku teka. Idzry dah luahkan perasaan dia kat kau kan?”
        Nah, kan seperti yang dijangka, memang nama Idzry juga yang melepasi mulut Diana. Elisa masih berniat mengunci mulut. Biar Diana kepanasan menunggu dia bercerita.
        “Elis, cepatlah. Kau tak kasihan ke kat aku yang bersungguh-sungguh nak berkongsi kegembiraan dengan kau? Sampai hati kau. Baik kau cerita sekarang. Kang aku merajuk nanti, baru kau tahu!” Diana berniat mengugut Elisa dengan rajukannya walau dia sedia maklum Elisa tidak mungkin termakan dengan ugutan itu.
        “Idzry kata dia suka kat aku.” Perlahan-lahan Elisa membuka cerita.
        “What?!” Kuat suara Diana menempik. Pandangannya penuh merenungi Elisa. Meminta jawapan yang pasti. Mana tahu dia salah dengar.
        Elisa mengangguk. Diana terpaku. Sesaat kemudian Diana bersorak keriangan. Kegembiraan Diana melebihi Elisa pula. Dia yang bersorak. Dia yang melompat-lompat keriangan. Elisa pula hanya duduk di kerusi sambil memerhati gelagat Diana. Sesekali bibir itu mengukir senyuman.
        “Wah, at last! Aku gembira untuk kau Lis. Sangat gembira! Tak sia-sia kau tunggu dia selama ni. Hah, kan kau dah cakap yang dia ada hati dengan kau. Kan betul! Tu lah, bila aku cakap kau tak mahu percaya. Tak mahu dengar. Masin mulut aku tahu!” Diana terus berbicara tanpa henti. Ya, dia juga teruja mendengar berita itu. Untung-untung, cinta Elisa yang sekian lama berputik untuk Idzry berbalas juga.
        “Eh, kau ceritalah kat aku macam mana dia luah perasaan dia kat kau. Dia cakap I love you ke? Ke dia melutut depan kau, lepas tu cakap aku cintakan kau? Mmm... tak pun dia renung mata kau dengan pandangan paling romantik, then perlahan-lahan dia pegang tangan kau, lepas tu dia cakap kau buat aku jatuh cinta. Oh, romantiknya! Cepatlah cerita!”
        Elisa menarik nafas. Melihat kesungguhan Diana berkata-kata, dia pula yang letih. Cakap tidak berhenti-henti. Siap berimaginasi pula.
        “Macam mana aku nak cerita kalau kau yang cakap dari tadi? Ni, aku dah letih dah tengok kau cakap non-stop tahu.”
        Diana tersengih.
        “Dia cakap dia suka aku.”
        Diana bersorak lagi. “Macam mana cara dia luah perasaan time tu? Mesti dia renung kau dalam-dalam kan?”
        Elisa tersenyum simpul. Perlahan-lahan dia mengangguk.
        “Oh God! That so romantic! Congrats Lis.” Sepantas kilat Diana memeluk Elisa. Elisa pula jadi kaku.
        “Eh, dia cakap suka kat aku aje. Bukan cinta okay.”
        Diana melepaskan pelukan. “Lelaki takkan kata dia suka kalau tak ada sedikit pun perasaan dalam hati dia untuk perempuan tu. Bila dia kata dia suka, bermakna perempuan tu dah wujud di sudut hati dia. Idzry dah kata dia suka kau. Then, takkan saja-saja aje dia cakap macam tu kalau bukan memang dia ada hati dengan kau? Fikirlah sayang! Jangan asyik ingat kau aje yang sayang dia lebih. Dia pun sayang kau juga. Percaya cakap aku!” Diana menyakinkan.
        Elisa tersenyum. Kata hati masih sangsi. Entah betul entak tidak Idzry ada hati dengannya. Mungkin sahaja dia yang terlalu berharap untuk dicintai oleh Idzry. Ungkapan suka bukan bermakna menyintai. Itu bisikan halus yang menjelma di dasar hati.

2 comments:

Hanania Eedaya said...

best la...

~::Qie Shea Haris::~ said...

@Hanania Eedaya

terima kasih ye :') kalau ada sebarang kekurangan dlm penulisan kite, tegur laa. btw, dptkan novel sulung kite dipasaran. hehe ^^Y