Monday, January 30, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab4.

Assalamualaikum.






Bab empat
“MUKA bahagia aje ayah tengok. Ada apa-apa ke?” Haji Emran menegur Elisa. Ketika itu Elisa sedang asyik melayan lamunan. Seraya Elisa mengangkat muka. Tersengih cuma memandang si ayah yang sudah pun duduk di hadapannya. Elisa membetulkan posisi duduk. Biar lebih selesa.
            “Mana ada apa-apa. Elis biasa ajelah, ayah.”
            “Iya ke? Tapi ayah nampak Elis macam lain aje. Muka tu, macam bahagia sangat. Senyum tak sudah-sudah. Siap nampak gigi tu.” Haji Emran masih mahu mencungkil rahsia Elisa.
            Pantas Elisa menyangkal tekaan si ayah. Sekali pun memang dia terlalu ingin bercerita tentang soal hati dengan Haji Emran, namun dia perlu menunggu waktu yang sesuai. Masih belum rasmi lagi hubungan antara dia dan Idzry.
            Tidak pernah lagi dia menyembunyikan apa-apa dari pengetahuan Haji Emran. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besar hal, akan diberitahu pada Haji Emran. Soal hati, soal cinta monyet, perihal salah faham yang pernah terjadi antara dia dan Diana juga Haji Emran tahu. Senang kata, segala benda berkaitan diri memang akan diberitahu kepada ayahnya.
            Baginya, Haji Emran tempat meluahkan perasaan. Haji Emran tempat untuk bercerita. Haji Emran bagaikan diari. Malah hubungan anak-beranak bagaikan lebih daripada itu. Mereka seperti sahabat! Sahabat baik.
            “Ayah ni. Elis biasa aje. Mana ada apa-apa. Kan ayah tahu, kalau Elis ada benda nak cerita kat ayah, dah lama Elis cerita tau. Pernah ke Elis tak share apa-apa dengan ayah? Tak pernah kan?” Elisa mengeyitkan mata. Nakal.
            Haji Emran tersenyum. Lama dia memandang seraut wajah itu. Mulusnya wajah itu mengingatkannya kepada Malissa. Begitu dia merindui isterinya yang sudah pun pergi meninggalkan mereka. Nyata Allah lebih menyayangi Malissa.
            “Kenapa ayah?” tanya Elisa apabila menyedari tiba-tiba Haji Emran membisu seribu bahasa.
            Pantas Haji Emran menggelengkan kepala. Senyuman kembali terukir di wajah yang mula dimamahi usia.
            “Ayah rindu arwah ibu, ya?” Elisa menduga hati Haji Emran.
            Haji Emran mengeluh. Meski sudah hampir berbelas tahun Malissa pergi, namun rasa kasih dan cinta terhadap arwah isterinya masih menebal. Sebab itu apabila keluarga mula mendesak dia untuk berkahwin dan mencari ibu baru untuk anak-anak, Haji Emran menolak sekeras-kerasnya.
            Baginya, walau tanpa seorang wanita di sisi, dia masih boleh berdiri. Tanpa seorang ibu, anak-anak masih boleh membesar dengan baik. Dia sorang ayah boleh juga bertindak sebagai seorang ibu. Tekadnya, dia tidak akan sesekali menggantikan tempat Malissa dengan wanita lain.
            “Ayah sentiasa merindui ibu Elis. Setiap saat,” luah Haji Emran.
            Elisa terus mengambil tempat di sisi ayahnya. Perlahan-lahan dia mengenggam tangan itu. Diciumi tangan itu dengan kudus. Betapa besar pengorbanan ayah selama ini. Begitu tabah membesarkan anak-anak sendirian.
            Elisa sedar, Haji Emran terlalu mementingkan perihal anak-anak berbanding diri sendiri. Haji Emran terlalu mengambil berat soal anak-anak sehingga ada waktu diri sendiri terabai. Elisa tahu Haji Emran terlalu menyayangi mereka adik-beradik. Sehinggakan semasa Eznira, kakak sulungnya selamat diijab kabulkan dengan Yusuf, Haji Emran terlalu emosi. Nyata waktu itu ayah terlalu berat hendak melepaskan Eznira.
            “Sayangnya ayah pada ibu, ya.”
            Haji Emran tersenyum lagi. Dibelai rambut Elisa dengan lembut.
            “Perasaan sayang tak pernah mati, Elis. Sekalipun insan yang kita sayang dah pergi, perasaan tu masih tersimpan dalam hati. Tak pernah pudar dan takkan hilang sampai bila-bila.”
            Elisa mendongak memandang Haji Emran. Senyuman terukir di bibir itu. Ya, dia sayangkan Idzry. Perasaan itu begitu mendalam walau tidak berbalas. Perasaan semakin berkembang tatkala Idzry mengungkap kata itu lewat beberapa hari lalu. Girang sungguh hatinya!

TANPA berlengah, Elisa terus menyambut panggilan itu. Tergesa-gesa dia berlari masuk ke dalam bilik tatkala terdengar deringan telefon yang sememangnya telah disetkan begitu khas untuk Idzry. Tahulah dia andai Idzry yang menelefon. Maka rajinlah dia hendak menyambut panggilan tersebut
            “Hai.” Suara garau Idzry kedengaran di hujung talian.
            Senyuman Elisa mekar.
            “Hai,” balasnya.
            “Elis tengah buat apa? Sibuk ke?” soal Idzry.
            “Eh, tak sibuk pun. Ni tak ada buat apa-apa. Saya baru aje balik dari rumah ayah. Dah lama tak jumpa ayah. Rindu pula,” ujar Elisa.
            Idzry tertawa kecil. Elisa pula masih belum mati senyumannya.
            “Mmm... Elis.”
            “Ya.” Tiba-tiba Elisa merasakan getir perasaan tatkala terdengar namanya dipanggil lembut oleh Idzry. Apakah perasaan ini? Cintakah? Oh... rasa hendak pitam! Elisa bermonolog sendiri.
            “Saya ingat nak jumpa awak malam esok, boleh? Kita makan malam bersama.”
            “Hah?”
            “Kenapa Elis terkejut? Ada hal ke malam esok?”
            “Eh, tak ada. Tak ada hal apa-apa pun. Boleh kalau nak makan malam bersama.” Terburu-buru Elisa menjawab pertanyaan Idzry.
            Idzry ketawa lagi.
            “Kalau macam tu, nanti saya telefon lagi ya. Comfirmkan tempat kita nak makan malam tu.”
            “Okay. Saya tunggu awak telefon.”
            “Mmm... selamat malam Elisa.”
            Sebaik sahaja talian diputuskan, Elisa terlompat-lompat di atas katil. Rasa hendak menjerit tetapi tiada suara yang keluar. Hanya urat nadinya terasa seperti melonjak-lonjak ganas.
            Idzry ajak makan malam! Makan malam! Dia terlalu teruja. Sangat teruja. Masakan tidak, selama ini mereka hanya makan bersama waktu tengah hari sahaja. Tidak pernah sekali pun Idzry mengajak makan malam bersama meski sudah lama mereka berkawan.
            Keterujaan ini mesti dikongsi bersama teman karibnya, Diana.
            “Diana!”

“DIANA!” Lantang suara itu memanggil nama Diana.
            Diana tergoncoh-goncoh berlari masuk ke dalam bilik Elisa apabila terdengar suara Elisa menjerit memanggil namanya. Pegun sebentar apabila Elisa memeluk diri sambil tersenyum panjang. Diana tidak tahu apa yang sedang berlaku.
            “Kau ni kenapa? Tadi bukan main menjerit nama aku bagai nak rak, ni peluk aku  pulak. Apa kes?” Diana segera meleraikan pelukan itu. Rimas!
            “Aku gembira sangat!” luah Elisa.
            Diana masih terpinga-pinga. Tidak tahu perkara sebenar.
            “Aku sangat-sangat gembira Diana. Sampai tak tahu nak gambarkan macam mana perasaan aku ni. I’m so happy!”
            Elisa berpusing-pusing beberapa kali. Kemudian dia menari-nari dalam rentak yang tidak pernah dipelajari. Sesaat kemudian Elisa berpusing lagi dan akhirnya dia rebah di atas katil. Diana semakin tidak faham.
            “Elis, cuba kau beritahu aku apa yang dah jadi sebenarnya? Tak fahamlah! Siap menari-nari bagai. Hisy... tak faham aku!” omel Diana tidak puas hati.
            Elisa bingkas duduk. Dia menarik tangan Diana supaya duduk bersama dengannya di atas katil. Diana menurut meski dalam hati mendongkol geram kerana Elisa masih tidak bercerita perihal sebenar.
            “Idzry ajak aku makan malam!”
            Anak mata Diana membulat. Elisa mengangguk lagi apabila Diana meminta kepastian.
            “Aaaaaaaaa!” Diana menjerit seraya berdiri dan memeluk Elisa.
            Elisa berdiri juga. Dia turut sama menjerit tapi dalam suara yang sedikit perlahan.
            “Betul ni?”
            Elisa mengangguk.
            “Aaaaa!” Diana menjerit lagi.
            “Akhirnya Idzry dah memulakan langkah seterusnya. Aku rasakan Lis, dia mesti nak luahkan perasaan kat kau. This time with a proper way. Oh God! Aku pun ikut excited tahu! Silap-silap dia lamar kau. Ajak kau kahwin.”
            “Hisy... kau ni. Jauh sangat merapu. Takkanlah dia nak lamar aku. Bercinta pun tak, takkan nak kahwin.” Elisa menolak kata-kata Diana.
            Diana mengerling ke arah Elisa. Bibirnya terukir senyuman yang sukar dimengerti.
            “Kalau betul dia lamar kau, macam mana? Kau terima ke tolak?”
            Elisa diam. Lambat-lambat dia membuak mulut. “Tentulah nak! Sekali pun tak pernah bercinta aku sanggup terima, kahwin dan hidup bahagia dengan Idzry.”
            Diana ketawa terbahak-bahak. “Eleh, tadi kata tak mahu. Aku dah agak kau mesti nak punyalah kahwin dengan Idzry tu walau tak bercinta.”
            Elisa tersipu-sipu malu. Diana tersenyum lagi. Dia duduk semula di atas katil. Kali ini bersimpuh di hadapan Elisa. Diperhati wajah Elisa. Raut wajah itu cukup jelas menunjukkan tuan empunya diri sedang melalui saat-saat bahagia dalam hidup.
            “Diana.”
            “Kenapa?” soal Diana.
            “Macam mana kalau apa yang aku rasa sekarang ni cuma aku aje yang rasa, bukan Idzry? Macam mana kalau dia tak ada perasaan suka pun kat aku walau sikit? Macam mana kalau aku aje yang bagai nak rak suka dan sayang kat dia?” Akhirnya Elisa meluahkan kegusaran yang menyelubungi diri. Dia tidak mahu terlalu menggantung harapan setinggi gunung kerana dia tahu andai harapan itu tidak tergapai, dia yang akan kecewa.
            Diana memegang bahu Elisa. Mata bulat Elisa direnung dengan pandangan lembut. Dia tahu Elisa ragu-ragu.
            “Elis, kau jangan risau sangat. Kalau dia tak suka kau, dia takkan cakap dia suka kau. Buat apa dia bazirkan air liur untuk menyatakan perasaan kat orang yang dia tak suka. Logik, kan. Then, lepas beberapa hari dia kata dia suka kau, dia ajak kau keluar makan malam. Tu petanda baik Lis. Jangan lepaskan peluang ni. Mana tahu  memang jodoh kau dengan dia. Maka tak sia-sia perasaan kau kat dia. Kau tak bertepuk sebelah tangan. Percayalah cakap aku ni, Elis.” Diana menyakinkan.
            Elisa mengangguk. Dalam hati dia juga resah. Dalam hati juga menggunung perasaan bahagia. Resah andai dia bertepuk sebelah tangan. Bahagia andai kata-kata Diana benar belaka.

notahujungkaki: Andai sudi, silalah ke kedai berhampiran anda dan beli novel karya aku :') Percubaan pertama bersama Kaki Novel.

No comments: