Assalamualaikum.
Ini entri novel kedua untuk hari ini. Haha. Aku sangatlah rajin untuk berkongsi novel hasil buah fikiran aku ni dengan kawan-kawan semua :') Bacalah dengan sepenuh hati. Hayati. Cehhh! Have fun <3
Bab lima
ELISA pegun di depan pintu. Tidak berganjak dia dari situ. Elisa menarik nafas dalam-dalam. Gementar rasa hati. Berdegup kencang jantung dirasa saat itu. Elisa mendongak. Pintu kaca itu membenarkan orang ramai yang lalu-lalang di kaki lima melihat keadaan dalamnya. Anak mata Elisa terarah pada sesusuk tubuh yang cukup dikenalinya.
Perlahan-lahan Elisa meneguk air liur. Debar semakin terasa. Teringat kata-kata Diana. Sungguh-sungguh temannya menduga Idzry mahu melamarnya. Setiap butir bicara Diana semakin meyakinkan hati untuk mempercayainya. Elisa menarik nafas lagi. Kali ini dia bulatkan hati.
“Selamat datang,” sapa seorang lelaki yang berdiri di depan pintu. Mungkin penyambut tetamu.
Elisa sekadar memberikan senyuman tatkala dengan mesra lelaki yang bertag nama Suhaimi menghulur senyuman padanya. Setapak demi setapak Elisa mengorak langkah menghampiri Idzry. Oh, hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana derasnya darah dalam setiap urat nadinya mengalir. Ganas!
Idzry menyedari kedatangan Elisa, seraya dia berdiri. Seperti biasa, Idzry akan menguntum sebuah senyuman yang cukup manis sehingga boleh menjadikan dunia Elisa berhenti untuk seketika.
“Lewat awak sampai hari ni. Ingat tak datang tadi,” ujar Idzry.
Mendengar kata-kata Idzry, pantas Elisa mengeleng laju. Bukan niat hendak datang lambat, tetapi mengenangkan diri masih dalam kekalutan maka terpaksa dia melewati kebiasaan. Kali ini Idzry pula yang menunggu dia.
“Mana boleh tak datang. Kan Idzry yang ajak saya keluar,” balas Elisa.
Idzry mengukir senyuman lagi.
Hati Elisa berdetak kencang. Senyuman lelaki tu memikat. Sekali pun dipandang berkali-kali, dia tidak akan jemu. Meski pun perlu dilihat berhari-hari, dia tidak akan bosan. Benar kata hati, dia ada menyimpan perasaan yang cukup istimewa untuk lelaki itu.
Idzry mempersilakan Elisa duduk. Kemudian Idzry mengambil tempat di hadapan Elisa. Elisa mengambil peluang mengamati keadaan sekeliling yang begitu asing dengan diri. Suasananya harmoni. Walau tidak ramai pelanggan di restoran ini, namun ianya meriah dengan alunan lagu berentak perlahan. Romantik! Elisa mulai berkira-kira, mengapa Idzry mengajaknya ke tempat seperti ini.
Idzry sudah pun memesan makan malam awal-awal lagi, sebelum kedatangan Elisa. Elisa hanya memerhati dua orang pelayan datang membawa hidangan makan malam untuk mereka dan menyusunnya di atas meja. Elisa memandang Idzry. Sedikit senyuman terukir di bibir Elisa. Selama ini, dia tidak pernah dilayan sedemikian rupa oleh seorang lelaki seistimewa Idzry.
“Elisa, ada benda yang saya cakap kat awak.”
Pantas Elisa mengangkat muka. Tiba-tiba sahaja dadanya kembali bedetak kencang. Malah lebih kencang berbanding sebelumnya. Elisa menelan air liur perlahan-lahan.
Mungkinkah Idzry mahu mengakui perasaan cinta yang ada untuknya di hati lelaki itu? Mungkinkah Idzry mahu mengungkap kata kasih padanya? Elisa tidak boleh lari daripada memikirkan segala kemungkinan itu.
“Sebenarnya Elisa, saya... saya...”
Bicara Idzry terputus-putus. Elisa pula menunggu dengan sabar.
“Saya nak cakap yang saya...”
Elisa mengangkat kening. Sedikit senyuman bertamu di bibir. “Apa?” soalnya.
Idzry menggaru kepala. Tidak tahu dari mana hendak memulakan bicara. Berkali-kali juga dia memeluk tubuh sedang Elisa semakin tidak sabar menunggu Idzry membuka mulut.
“Sebenarnya saya...”
Ucapkanlah kata cinta itu Idzry! Aku memang sedia mendengarnya. Dengan seluruh hati aku ikhlas menerima kau seadanya. Ucapkanlah kata cinta itu Idzry! Ucapkan! Bisikan penuh mengharap itu muncul tatkala Elisa merenungi ke dalam anak mata Idzry.
“Saya cintakan awak, Elisa!”
“APA?”
Elisa seakan tidak percaya dengan apa yang baru sahaja didengari sebentar tadi. Idzry meluahkan perasaan cinta terhadapnya! Benarkah? Atau dia tersalah dengar?
“Saya cintakan awak. Hati saya sepenuhnya mencintai awak Elisa,” luah Idzry.
Elisa masih seperti tadi. Pegun sehingga membuatkan Idzry keresahan. Tiada barang sepatah dua perkataan keluar dari bibir itu. Entah sudi entah tidak menerima cintanya.
“Elisa?”
Elisa masih kaku. Jujurnya dia terkejut. Walau memang kata-kata seperti ini yang diharapkan dari Idzry namun tidak pula dia menyangka Idzry akan mengucapkannya. Oh, alangkah indahnya dunia! Alangkah berbunga hati dirasa.
“Elisa dengar tak apa yang saya cakap tadi?”
Elisa mengangguk dengan mata masih fokus tepat ke wajah Idzry.
“Tapi kenapa Elisa tak cakap apa-apa pun?” Raut wajah Idzry nyata resah.
Elisa menggeleng kepala pula. Keadaan itu membuatkan Idzry semakin tidak senang duduk. Paling tidak, jika Elisa senyum sudah menyamankan hati.
“Saya faham kalau Elisa tak dapat terima saya atau terkejut dengan kenyataan hati saya tapi saya tak boleh simpan lagi. Saya memang sukakan Elisa dan berharap dapat menjadi sebahagian dari diri awak. Saya tak kisah sekalipun Elisa menolak saya. Saya tak kisah.”
“Idzry...”
Idzry tidak mempedulikan panggilan Elisa sebaliknya bibirnya terus laju bergerak mengungkap kata. “Saya sukakan awak sebab diri awak. Saya tertawan dengan sikap rendah diri awak. Kalau awak tanya kenapa awak yang menjadi pilihan hati, saya tak dapat nak berikan sebabnya. Saya sendiri tak tahu kenapa hati ni... hati ni begitu menginginkan untuk dicintai Elisa,” sambung Idzry.
“Idzry.”
Kali ini Elisa bertindak menyentuh tangan Idzry. Idzry tersentak. Hangat tangan Elisa dirasai kini. Dia merenungi wajah mulus di depannya. Elisa mengukir senyuman manis. Perlahan-lahan dia mengangguk.
Idzry mengecilkan mata. Gayanya seperti tidak faham akan anggukan kepala Elisa. Elisa tersenyum lagi. Kali ini Idzry dapat menangkap sedikit setiap bahasa tubuh yang dipertontonkan oleh Elisa.
“Elisa terima saya?”
Elisa senyum.
“Elisa sudi menjadi teman istimewa saya?”
Elisa tertawa kecil. Dia mengangguk. Serentak dengan itu, Idzry berdiri. Dia melonjak kegirangan sehingga menarik perhatian beberapa pelanggan di situ. Elisa pula terpaksa menenangkan Idzry.
“She loves me!”
Elisa terkejut. Tidak disangka Idzry akan berkata begitu dengan suara yang kuat sambil menuding ke arahnya. Elisa malu! Namun dia terhibur dengan kelakuan Idzry.
“She loves me!”
Beberapa orang pelanggan yang mendengar suara Idzry seraya bertepuk tangan. Salah seorang lelaki yang duduk tidak jauh dari mereka datang menghampiri. Entah kenal entah tidak, terus sahaja lelaki itu bersalaman dengan Idzry dan mengungkap ucapan tahniah.
“Idzry, dahlah tu. Seganlah orang tengok,” tegur Elisa.
Idzry tersenyum lebar. Jelas menunjukkan lelaki itu masih diulit kegembiraan ditahap maksimum. Idzry kembali duduk. Sorakan dan tepukan tadi yang sedikit bingit juga sudah sepi.
“Terima kasih sebab Elisa sudi menerima saya. I heart you, Elisa Najwa Emran,” ucap Idzry dengan penuh perasaan.
Elisa mengangguk. Tanpa pengetahuan Idzry, hatinya berkali-kali ganda gembira. Terasa cinta yang bersemi sekian lama dalam hati untuk Idzry semakin kembang dan mekar. Sungguh tidak menyangka sama sekali, cinta Idzry untuknya. Kasih Idzry miliknya. Bahagianya dunia!
Bagi Elisa, ungkapan cinta yang lahir dari bibir Idzry begitu bermakna. Hati yang mulanya resah dan gelisah, kembali tenang. Dan dia semakin merasai hangatnya kasih Idzry tatkala mata mereka saling berbalas renungan dengan makna yang hanya mereka sahaja mampu memahaminya.
“EHEM!”
Elisa pantas mendongak. Segala putaran memori yang bermain dalam minda hilang bertebangan. Terkebil-kebil matanya memadang ke arah sesusuk tubuh yang tegap berdiri di depannya. Sesaat kemudian, senyuman bertamu dibibir.
“Termenung panjang nampak. Fikirkan apa tu?”
Elisa berdiri. Terus mendapatkan Idzry.
“Tak perasan awak datang. Kenapa tak beritahu nak datang sini?”
Idzry mengusap kepala Elisa. “Dah dari tadi saya sampai, Elis aje yang tak perasan. Termenung panjang.”
Elisa tertawa kecil.
“Apa yang Elis menungkan?”
Elisa mengerling ke arah Idzry. Tahu Idzry pasti tertanya-tanya. “Mana boleh tahu!” Elisa sengaja mahu mengusik Idzry.
Idzry mengerutkan dahi. Elisa suka memperlakukan dia begini. Kalau ditanya bukannya mahu jawab. Malah adakala Elisa membiarkan dia terus tertanya-tanya.
“Beritahulah saya apa yang Elis fikir tadi. Nampak macam...”
“Macam apa?” potong Elisa.
“Macam penting.” Idzry berpeluk tubuh. “Hah, fikir tentang saya, ya?” teka Idzry.
Elisa menjelirkan lidah. Perasan! Getusnya. Idzry ketawa apabila melihat wajah Elisa berubah corak.
“Betul, kan?”
“Perasan!”
Idzry ketawa lagi.
“Saya tahu, Elis tak pernah meminggirkan saya dari dalam fikiran Elis tu walau sesaat kan? Kalau boleh setiap masa nak saya duduk dalam kotak minda tu.” Semakin galak Idzry mengusik Elisa.
Elisa menggigit bibir. Geram pula apabila Idzry rancak mengusiknya.
“Tak malu!” Elisa memusingkan badan.
Idzry tersenyum. Perlahan-lahan dia menghampiri Elisa. Bahu itu disentuh lembut. Terasa hangatnya tubuh Elisa waktu itu. Dia mengorak langkah lagi. Kali ini dia berdiri betul-betul di hadapan Elisa. Elisa mendongak.
“Kenapa?” soal Elisa.
Idzry pantas menggelengkan kepala.
“Saya sayang Elis. Saya cintakan Elis. Sampai akhir hayat saya, cinta ini akan kekal dalam hati. Sampai hujung nyawa, kasih ni hanya untuk Elis. Tak pernah berganti.”
Elisa menghalusi setiap butir bicara Idzry.
“Kalau pun suatu masa nanti nyawa terpisah dari jasad, saya nak Elis tahu yang saya sangat menyintai Elis.”
Kali ini Elisa mendongak, merenungi redup mata Idzry. Idzry mengukir senyuman. Cukup indah untuk tatapan Elisa. Tanpa bicara, Idzry tahu Elisa juga merasai hangat kasih yang menjalar di setiap urat nadi dalam tubuh. Mereka berkongsi rasa kasih yang tiada beda. Mereka juga memiliki cinta yang satu.
“I heart you, Elisa Najwa Emran.”
Elisa pula tersenyum bahagia. Jika Idzry mengatakan cinta, maka dia lebih menyintai lelaki itu. Jika Idzry mengungkap kasih, maka dia lebih mengasihi lelaki itu. Jika lelaki itu mengucap kata rindu, maka dia lebih merindui lelaki itu. Perasaan indah itu sentiasa menghuni hati. Benar kata Idzry, tidak pernah sesaat pun dia membiarkan fikiran kosong tanpa Idzry di dalamnya.
Dua tahun berlalu, namun kisah cinta mereka bagai baru sahaja bermula. Hari berganti namun cinta mereka bagai baru semalam bertaut. Hebatkan cinta?
No comments:
Post a Comment