Friday, February 10, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab13.

Assalamualaikum.

Aku sedang menghitung hari. Sedang menanti 3P habis. 3P stand for Program Pra Perkahwinan. Pelik? Haha. Aku tipu aje. 3P stand for Program Pentauliahan Profesional. Bunyi macam gempak kan? -.-' Aaaaaa... lamanya laa nak balik rumah kat Johor tu -.-" Walau tinggal beberapa hari lagi, tapi aku rasa macam berbulan-bulan. Waaahhh! Bukan main lagi kau punya ayat. Haha. Nah, aku sajikan korang dengan DAM. Dah bab 13 dah. Hope u'olls enjoy it and happy happy reading :')










Bab tiga belas
ELISA begitu asyik memerhati pasangan mempelai yang sedang bersanding di atas pelamin serba indah itu. Kedua mempelai sama cantik dan sama padan ibarat pinang dibelah dua. Elisa tersenyum puas apabila Intan Nur Kamelia menyatakan perasaan gembira dan wanita itu cukup suka dengan hasil kerja tangannya.
Bertambah kembang hati ketika tanpa sedar, Intan Nur Kamelia turut memberitahu kepada teman-teman rapat serta saudara-mara tentang kebolehannya. Butik Seri Andaman juga mendapat tempiasnya. Karmilla pula tidak putus senyum apabila ramai juga yang mengambil kesempatan bertanyakan butik tersebut.
Elisa melempar pandang ke arah Andiana yang sibuk mengambil gambar Intan Nur Kamelia bersama pasangan, Engku Eusoff Engku Omar. Mujur pengantin lelaki sama sporting seperti pengantin perempuan. Maka tidak susah kerja Andiana meminta pasangan membuat beberapa pose menarik untuk kenangan nanti.
Elisa turut tertawa melihat gelagat pasangan mempelai di atas pelamin. Ada ketika kelihatan malu-malu. Apa tidaknya, disuruh bergaya di hadapan tetamu dan kaum keluarga juga teman-teman. Ada waktu, keduanya seperti tidak kisah pula. Elisa terus menjadi pemerhati sehingga sesi bergambar di atas pelamin selesai.
Lebih kurang jam lima petang, barulah selesai kesemua kerja-kerja mereka di rumah Intan Nur Kamelia. Tetamu yang hadir juga beransur pulang. Hanya tinggal keluarga terdekat dan jiran sebelah menyebelah. Meski tetamu semakin berkurang, namun kemeriahan masih terasa. Sana sini masih kedengaran keriuhan suara-suara sedang bertukar-tukar cerita. Jeritan anak-anak kecil yang riang bermain juga mengisi suasana ketika itu.
Elisa berjalan menghampiri Karmilla. Wanita itu sedang berbual dengan beberapa orang wanita lain yang kelihatan berusia sedikit.  Dia melabuhkan punggung di sisi Karmilla.
“Nanti kalau anak auntie nak kahwin, bolehlah auntie cadangkan butik Mila,” ujar salah seorang wanita yang duduk di situ.
Karmilla tersenyum lebar. Inilah kerja dia kalau berada di majlis perkahwinan pelanggannya. Tidak pernah sekali pun melepaskan peluang untuk mempromosikan butik miliknya.
“Boleh sangat, auntie. Silap-silap saya boleh bagi harga yang menarik untuk anak auntie nanti,” balas Karmilla. Sengaja memancing wanita bernama Jamilah itu dengan kata-kata manis. Kata-kata manis yang keluar dari mulutnya bukan dibiarkan basi tetapi dia mengotakan semuanya. Kalau dikata akan diberikan diskaun, maka dia akan bagi. Itu strategi perniagaannya. Bukan hanya cakap kosong semata.
Elisa tersenyum dalam hati. Pandai Karmilla memaniskan mulut berbicara dengan bakal pelanggan. Inilah keistimewaan Karmilla. Sesiapa sahaja yang mendengar setiap butir bicara Karmilla mempromosikan butik, pasti akan tertarik.
“Takkan untuk Auntie Jamie aje yang dapat harga promosi?” Tiba-tiba seorang wanita lain yang turut berada dalam kumpulan mereka bersuara.
“Auntie Kathy ni, mestilah auntie pun dapat harga diskaun kalau auntie datang butik saya.”
Jamie? Kathy? Berkerdip-kerdip mata Elisa. Dipandang dua orang wanita itu. Terangkat juga keningnya. Kenapa nama seperti itu digunakan? Elisa membuat tekaan sendiri. Pasti yang dipanggil Jamie itu bernama Jamilah. Manakala yang membahasakan diri Kathy itu tentulah nama Khatijah. Apalah salahnya andai menggunakan nama sebenar. Bukankah lebih elok didengar, berpadanan dengan tuan empunya diri.
Elisa melontar pandang luas ke tempat lain. Tidak mahu lagi memasang telinga mendengar perbualan antara Karmilla bersama wanita-wanita itu. Tiada apa-apa yang menarik untuk dilihat. Pasangan pengantin juga sudah tidak beraksi di depan lensa. Ruang tamu di mana pelamin didirikan juga lengang. Hanya tinggal beberapa orang kanak-kanak bermain-main di situ.
Tercari-cari juga kelibat Andiana tetapi entah ke mana menghilang temannya itu. Hendak dikata masih berkepit bersama pasangan pengantin baru, rasanya kerja Andiana sudah selesai. Entah berapa gulung filem dihabiskan agaknya.
Elisa menarik nafas panjang. Dia hanya duduk di situ dengan mata mengamati keadaan sekeliling sementara menunggu Karmilla atau Andiana memanggilnya untuk pulang.

“TERIMA kasih untuk busana pengantin ni. Cantik sangat. Rasa macam tak mahu tanggalkan aje dari badan.”
            Entah kali ke berapa agaknya Intan Nur Kamelia mengungkap kata-kata itu, dia tidak ingat. Rasanya sejak kali pertama dia menunjukkan busana itu pada Intan Nur Kamelia beberapa minggu yang lalu, kata-kata yang sama juga dituturkan.
            Walau bagaimanapun, Elisa menerima pujian itu dengan hati yang cukup terbuka. Apabila ada pelanggan yang memuji dan menyukai hasil kerja tangannya, ia merupakan satu kepuasan yang tidak berbelah-bahagi. Terngiang-ngiang di telinga dan menjadi perkara yang paling menyeronokkan.
            “Lia yang jadikan baju tu semakin menyerlah. Kan Lia cantik, baju tu pun dapat tempiaslah,”ujar Elisa.
            Intan Nur Kamelia tersenyum lebar.
            “Saya sangat berterima kasih dengan semua orang. Kak Milla dah buat sesuatu yang saya impikan untuk majlis perkahwinan ni. Terima kasih banyak-banyak,” ucap Intan Nur Kamelia ketika bersalaman dengan Karmilla. Waktu itu mereka sudah bersiap-siap hendak pulang.
            “Sama-sama. Lia gembira, kami berlipat-lipat kali gembira.”
            Kata-kata Karmilla itu disambut dengan gelak tawa dari kaum keluarga Intan Nur Kamelia. Intan Nur Kamelia mendapatkan Elisa semula. Dia menggapai tangan Elisa. Elisa seperti dapat mengagak apa yang hendak diucapkan Intan Nur Kamelia.
            “Terima kasih,” ucap Intan Nur Kamelia.
            Elisa mengangguk. Masih bisa mengukir senyuman meski ucapan itu seringkali menyapa telinga tatkala dia berada bersama Intan Nur Kamelia.
            Selepas bersalaman dengan kaum keluarga Intan Nur Kamelia, mereka bertolak pulang. Laju Karmilla memandu menuju ke Butik Seri Andaman sebelum terus pulang ke rumahnya. Dia perlu menurunkan Elisa dan Andiana di situ memandangkan kenderaan keduanya diletakkan berhampiran butiknya.
            “Hati-hati bawa motor tu,” pesan Karmilla kepada dua orang pekerjanya sebelum kereta miliknya berderum laju meninggalkan tempat itu.
            Andiana berpeluk tubuh. Dia hairan sebenarnya. Keadaan Karmilla seperti kelam-kabut sahaja. Seakan sedang mengejar sesuatu. Dia berlari mendapatkan Elisa yang sedang berjalan menuju ke tempat pakir motosikal.
            “Kenapa dengan bos tu?”
            Elisa mencapai topi keledar lalu memakainya di kepala.
            “Apa yang tak kena dengan Kak Milla?” soalnya semula.
            “Aku tanya kau, kau tanya aku balik. Ni, aku tengok Kak Milla macam lipas kudung. Tak sempat aku kata apa-apa, dia dah berdesup pergi,” omel Andiana.
            “Alah, tu dia tak sabar nak jumpa anak-anak dia tu. Kan Kak Milla tu tak boleh berjauhan dari anak dia untuk jangka masa yang lama.”
            “Aku rasa Kak Milla nak datinglah. Tu yang sampai tak menyempat tu.” Andiana tersenyum sendiri.
            Elisa sekadar menjungkit bahu.
            “Mesti dia keluar dengan lelaki yang sejak akhir-akhir ni asyik muncul kat butik tu, kan. Aku suka tengok lelaki tu. Nampak baik aje. Mesra pulak tu dengan anak-anak Kak Milla. Siap panggil papa lagi.” Andiana bersuara lagi.
            Tiba-tiba Elisa naik menyampah. Apatah lagi Andiana menyebut tentang kebaikan Hilman. Hilman baik? Mungkin di depan Karmilla dan anak-anak sahaja Hilman nampak baik. Mungkin di mata Andiana Hilman bagai malaikat.
            Dalam hati, Elisa bertekad hendak menyiasat siapa Hilman sebenarnya. Dia perlu merungkai niat sebenar lelaki itu. Jika perlu, dia akan mendedahkan perbuatan Hilman sebelum ini yang pernah dilihatnya. Baginya Hilman tidak lebih dari seorang lelaki si kaki perempuan. Dia tidak mahu Karmilla terluka untuk kedua kali selepas dikecewakan Mokhtar.
            “Baiklah sangat.” Elisa mencebik.

SEBELUM pulang ke rumah, Elisa mengambil kesempatan berlegar-legar di sebuah pusat membeli-belah. Memandangkan malam iniseluruh ahli keluarganya akan datang bertandang ke rumah ayah, maka dia ingin juga membelikan sesuatu untuk tiga orang anak saudaranya. Rasa rindu membuak-buak dalam diri ketika terkenang anak-anak saudara yang sudah berminggu-minggu tidak ketemu.
            Elisa memasuki sebuah kedai yang menjual barang permainan. Saat dia melangkah masuk ke dalam kedai tersebut, seorang gadis cina menyapanya dengan ramah sekali. Sesekali gadis cina itu bertanya apakah yang dicarinya ketika dia berlegar-legar di dalam kedai itu. Barangkali waktu itu dia kelihatan seperti bingung untuk memilih barang permainan.
            Apa yang hendak diberikan kepada Adam? Elisa ternampak sebuah kereta mainan berwarna merah. Adam suka menyimpan kereta mainan malah ianya menjadi koleksi peribadi. Bagaimana pula dengan Indah? Ah, Elisa tahu kegemaran Indah yang baru berusia enam tahun. Pantas Elisa mencapai dua ekor anak patung beruang. Seekor untuk Indah dan seekor lagi anak patung beruang bersaiz lebih kecil untuk Iskandar, si kecil yang baru sahaja berusia lapan bulan.
            Selepas membayar harga semua barang yang dibelinya, Elisa bergegas keluar dari kedai itu. Melihat beg plastik di tangan kiri dan kanan, Elisa tersenyum sendiri. Bila ayah melihat dia dengan beg-beg plastik ini, pasti mulut ayah akan mula membebel. Begitu juga dengan abang dan kakaknya. Dia dikata memanjakan Adam, Indah dan Iskandar apabila kerap membelikan barang-barang untuk mereka.
            Ketika melintas di depan sebuah kedai kasut, langkah Elisa berhenti serta-merta. Dia mengundur beberapa langkah ke belakang. Matanya terarah pada susunan kasut-kasut yang diletakkan di atas rak berwarna putih.
            “Selamat datang,” ucap seorang lelaki.
            Elisa mendongak. Dia tersenyum sahaja.
            “Semua kasut yang ada ni keluaran terbaru. Jadi kami pun adakan sedikit diskaun untuk setiap pembelian,” kata lelaki itu lagi. “Saya rasa yang ni sesuai untuk saudari,” sambungnya.
            Elisa memerhati sepasang kasut itu. Kemudian pandangannya silih berganti dengan lelaki itu. Macam tahu-tahu sahaja dia meminati kasut itu dan berniat hendak membelinya. Lelaki tadi sedang menanti jawapannya dengan senyuman tidak lekang dari bibir.
            “Saya nak saiz lapan.”
            Lelaki itu mengangguk dan meminta Elisa menunggu sebentar. Elisa berjalan-jalan di dalam kedai kasut itu sementara menunggu lelaki tadi muncul kembali. Apabila terserempak dengan pekerja di situ, mereka tidak lokek untuk mengukir senyuman.
            Keadaan begini yang sepatutnya diamalkan oleh semua warga kerja di sesebuah kedai. Murah dengan senyuman dan tidak berat mulut hendak melayan kerenah pelanggan. Namun ada juga warga kerja yang sangat menjengkelkan. Bukan sahaja tidak mahu menghulur senyuman, layanan yang diberikan juga seakan endah tidak endah sahaja.
            Pandangan mata Elisa terarah pada sepasang kekasih yang turut sama berada di dalam kedai itu. Berkali-kali dia menggosok mata. Mana tahu hanya ilusi semata. Nyata dia tidak berilusi. Apa yang dilihat itu bukan mainan mata.
            Dengan langkah yang perlahan dan cukup berhati-hati, Elisa mulai mendekati pasangan itu demi untuk memastikan identiti si jejaka. Dia berselindung di sebalik sebuah rak kasut sederhana tinggi. Dari situ dia dapat melihat dengan jelas wajah keduanya.
            Nah, seperti yang disangka, lelaki itu memang Hilman. Tidak salah lagi! Elisa cuba mengenalpasti pasangan yang berkepit dengan Hilman. Mengecil matanya. Rasanya, perempuan ini bukan perempuan tempoh hari. Dia ingat raut wajah menawan perempuan itu. Rupa parasnya begitu cantik, seperti punya darah campuran. Manakala rambut panjang mengurai perempuan tempoh hari hitam berkilat.
            “Cik, ini kasutnya.”
            Elisa terkejut apabila ditegur tiba-tiba. Dia berpaling. Lelaki tadi berdiri di belakangnya dengan membawa sepasang kasut.
            “Awak tolong bungkuskan kasut tu. Nanti kejap lagi saya bayar kat kaunter,” ujar Elisa. Matanya kembali terfokus pada Hilman dan pasangannya.
            “Cik tak mahu mencubanya terlebih dahulu? Mana tahu tak muat ke, terlebih besar ke.”
            Lelaki tadi terkebil-kebil saat hanya tangan Elisa sahaja yang bergoyangan ke kanan dan kiri berkali-kali tanpa berpaling. Gerakan tangan itu menunjukkan Elisa tidak mahu mencubanya dan mengkehendaki dia membungkus kasut itu seperti yang diminta. Tanpa berlengah, lelaki itu bergegas ke kaunter.
            Elisa masih berkelakuan seperti tadi. Bersembunyi disebalik rak kasut dan mata tertumpu kepada Hilman. Elisa merasakan perasaan jengkel mulai wujud untuk lelaki itu meski dia tidak pernah kenal siapa Hilman sebenarnya. Dia tahu Hilman seorang kaki perempuan apabila sering terjumpa Hilman bersama wanita yang berbeza.
            Bagaimana Karmilla boleh bersama lelaki ini? Elisa mulai bersoal jawab dengan diri sendiri. Elisa menggigit bibir saat melihat kemanjaan perempuan itu bersama Hilman. Hilman pula langsung tidak melepaskan tangan perempuan itu.
            “Dasar lelaki kaki perempuan!” gumam Elisa.
            Deringan telefon bimbit menganggu tumpuan Elisa. Nama ayahnya terpamer di skrin telefon. Cepat-cepat dia menyambut panggilan tersebut.
            “Ada apa telefon ni, ayah?” soalnya.
            “Bertuah punya budak! Bukannya nak sambut salam, boleh pulak disoalnya kita. Ni, bila nak balik rumah?”
            “Sekejap lagi Elis baliklah. Ni Elis ada kerja sikit.”
            “Dah pukul berapa ni Elis? Abang kakak kamu dah sampai dari tadi dah. Tu, anak-anak buah kesayangan Elis dari tadi asyik tanya bila Acu dorang nak balik.”
            Elisa menggaru kepala. Dia masih punya misi yang hendak diselesaikan. Kenapalah waktu-waktu begini juga dia boleh ternampak Hilman?
            “Kejap lagi Elis balik. Kejap lagi, yah.”
            “Balik sekarang, Elis. Tu tetamu dah menunggu Elis tu.”
            Tetamu? Berkerut dahi Elisa.
            “Tetamu? Siapa, yah?”
            “Subhanallah. Dia yang jemput, dia juga yang lupa?”
            Mendengar kata-kata Haji Emran, Elisa teringat sesuatu. Ya Allah! Idzry datang malam ini. Dia yang menjemput lelaki itu untuk datang makan malam bersama keluarganya. Dia benar-benar lupa!
            “Ayah, Elis lupa! Betul-betul lupa!”
            “Dah cepat balik. Kesian Idzry tunggu Elis.”
            “Okey, Elis balik sekarang,” kata Elisa sebelum memutuskan panggilan.
            Elisa bergegas ke kaunter. Selepas  membayar sejumlah wang, dia terus menyambar beg plastik itu dan melulu keluar. Sempat juga dia mengerling ke arah Hilman yang masih berkepit dengan perempuan itu. Menyampah!
            Tidak mengapa. Jika hari ini bukan hari dia boleh mengintip segala gerak-geri Hilman bersama perempuan itu, mungkin hari lain dia masih berkesempatan lagi. Apabila tiba masanya nanti, dia akan membongkar keburukan Hilman dan waktu itu Karmilla pasti akan berterima kasih dengannya.

2 comments:

cinta siswi said...

best cite nie..hihi..
keep on writing.. :)

~::Qie Shea Haris::~ said...

@cinta siswi

terima kasih ye :')