Saturday, February 11, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab14.

Assalamualaikum.

Mata mengantuk masa tengah taip entri ni plus bosan plus tak tahu nak buat apa. Erkkk! Itu laa, waktu kerja berlambak, dok bersungut banyak kerja. Waktu tak ada kerja macam sekarang ni, mengeluh bosan pulak. Apa nak jadi dengan aku ni? Huehue. Okay laa, malam ni sekali lagi aku post entri yang sama macam sebelum ni, dan mungkin keadaan ini akan berterusan lagi. Haha. Aku persembahkan, DAM! :')

Selamat membaca dan semoga terhibur :')










Bab empat belas
“KAU nak pergi mana pagi-pagi macam ni?”     
        Tidak lepas mata Diana merenungi Elisa yang sedang bersiap-siap. Hendak kata pergi kerja, hari ini hari Ahad. Seingatnya Elisa tidak bekerja hujung minggu begini. Diana menggaru kepala. Melihat jam dinding yang baru menginjak ke angka sepuluh pagi. 
        “Kau ada janji ke nak keluar dengan Idzry hari ni?” soal Diana.
        Elisa menggelengkan kepala. Langsung tidak menjawab soalan yang diaju. Dia sibuk menggayakan baju yang tersarung di tubuh. Sesuai atau tidak? Berkali-kali dia menggayakan sweater itu di depan cermin. Kemudian Elisa mencapai topi berwarna hitam. Dia memakai topi itu. 
        “Kau rasa aku okey tak kalau pakai macam ni?” Akhirnya Elisa bersuara juga setelah beberapa ketika hanya membiarkan Diana sahaja yang membuka mulut. Elisa berpaling menghadap Diana.  Dia mendepakan tangan dan berpusing beberapa kali di hadapan Diana.
        Diana berdiri. Dia berpeluk tubuh sambil berjalan mengelilingi Elisa. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, Diana memerhatikan diri Elisa. Gadis itu hanya mengenakan sehelai t-shirt putih dipadankan dengan sehelai sweater berwarna gelap dan berseluar jeans. Manakala kepala Elisa ditutup dengan topi.
        “Sebelum aku bagi pendapat aku, baik kau beritahu aku ke mana kau nak pergi sekarang ni? Dari tadi aku tanya, kau tak jawab-jawab. Aku tanya kau nak keluar dengan Idzry ke, kau geleng kapala.” Diana melempiaskan perasaan tidak puas hati. Dia berpeluk tubuh dengan kerutan jelas kelihatan di dahi itu.
        Elisa kembali menatap cermin. Memerhati keadaan diri.
        “Aku ada hal sikit.”
        “Hal apa?” soal Diana dengan perasaan ingin tahu yang memuncak.
        Elisa berpaling. Dia berdiri betul-betul di depan Diana. Dengan mata tajam memerhati Diana, Elisa berpeluk tubuh. Wajah itu nampak serius.
        “Apa yang aku akan buat ni bakal menentukan bahagia atau sengsara hidup seseorang. Kalau aku tak buat, maka aku akan rasa sangat bersalah sebab hanya aku yang tahu apa yang dia tak tahu. Aku tak nak sepanjang hidup aku dihantui perasaan bersalah andai suatu masa nanti aku tengok dia kembali derita. Aku kena selamatkan hidup seseorang!” Elisa berkata dengan bersungguh-sungguh. Kemudian dia menunduk sedikit dan menyambung, “Kau faham kan apa yang aku rasa?”
        Entah faham entah tidak, Diana mengangguk sahaja. Walhal dalam kepala, dia masih cuba memahami setiap butir bicara yang keluar dari mulut Elisa. Menyelamatkan hidup seseorang? Bahagia atau sengsara? Ah, Diana pula yang pening kepala. Lagak kata-kata Elisa itu peri seorang pengintip pula.
        “Kau nak intip orang ke Lis?” Terpacul soalan yang bermain dalam benaknya.
        Elisa menjungkit bahu. Dia segera mencapai sebuah beg kecil lalu disandang ke bahu. Kamera jenis Canon DSLR juga tidak dilupa. Itu antara barang penting yang perlu dibawa untuk menangkap bukti bagi mengukuhkan lagi kenyataannya nanti.
        “Aku nak pergi dah ni,” kata Elisa. Selangkah demi selangkah dia mengorak langkah meninggalkan Diana di dalam bilik. Belum pun sempat membuka pintu rumah, Diana terlebih dahulu menerpa ke arahnya. 
        “Kau jangan buat benda yang bukan-bukan!” Diana mengingatkan.
        Elisa bercekak pinggang. Hampir bercantum keningnya.
        “Kan aku dah kata yang aku nak pergi selamatkan hidup seseorang. Tu kerja baik-baiklah tu. Kau ingat aku nak pergi serang orang ke, hah?” senda Elisa. Terbit senyuman di bibir Elisa. Geli juga hatinya melihat kerisauan Diana yang tidak bertempat.
        Tanpa menunggu lebih lama, Elisa pantas membuka pintu. Kunci skuter dimasukkan ke dalam lubang kunci. Dihidupkan enjin skuter itu dan dibiarkan untuk beberapa ketika. Setelah itu, Elisa melompat naik ke atas skuter miliknya.
        “Kau jangan risaulah, Diana. Aku tahu apa yang aku buat,” kata Elisa dalam senyuman manis.
        Diana pegun di muka pintu. Mengangguk tidak, menggeleng juga tidak. Dia masih tidak berjaya membaca niat sebenar Elisa keluar seawal ini. Kata-kata Elisa semasa mereka di dalam bilik tadi, kembali tengiang-ngiang di telinga.
        Hendak mengintip siapa agaknya si Elisa ni? Berdetak-detik hatinya dengan persoalan itu. Selepas bayang Elisa dan skuter milik gadis itu hilang daripada pandangan mata, barulah Diana masuk ke dalam rumah. Ketika melintasi ruang tamu, dia terdengar deringan telefon bimbit. Dia pasti itu bukan bunyi dari telefon miliknya.
        “Bertuah punya budak! Ada ke patut ditinggalkan telefon ni. Kalau ada urgent macam mana? Hai Elisa... Elisa. Tak pernahnya nak check semua barang cukup ke tak sebelum pergi. Ni terus aje melulu keluar,” bebel Diana. Telefon bimbit Elisa berdering lagi. Nama Idzry tertera di skrin telefon itu. “Hah, tengok ni! Mamat ni telefon, aku pulak yang kena jawab. Kau ni memanglah Elisa,” gerutu Diana.
        Diana berdehem beberapa kali sebelum manyambut panggilan itu. Nyata Idzry sedikit terkejut apabila Diana yang menjawab panggilannya. 
        “Elis mana?” soal Idzry.
        “Dia keluar. Ada kerja sikit. Ni hah, dia tertinggal telefon kat rumah. Bini kau ni memang macam ni. Tak pernahnya nak periksa barang-barang dia. Menonong aje pergi,” beritahu Diana.
        Idzry tertawa di hujung talian.
        “Ada apa-apa pesanan tak?”
        “Tak apalah. Nanti kalau Elis dah balik, minta dia telefon saya.”
        Diana memutuskan panggilan itu apabila tiada apa lagi yang hendak dibicarakan. Dia menghela nafas. Tiba-tiba sahaja fikirannya merewang memikirkan perihal Elisa dan Idzry. Bila agaknya pasangan itu akan disatukan sebagai tunangan? Seingatnya Elisa ada beritahu, Idzry sudah menemui keluarganya. Cuma Elisa sahaja menunggu masa untuk dipertemukan dengan keluarga lelaki itu pula.
        Diana tersenyum sendiri. Ralit memikirkan perihal Elisa dan Idzry menyebabkan dia hampir lupa janjinya untuk keluar bersama tunang tersayang, Kamal. Hari ini lelaki itu hendak membawanya pergi ke rumah bakal mertuanya. Ada sedikit majlis di sana. Gembira hati tidak usah dikata. Bersama keluarga Kamal terasa bagai bersama keluarga sendiri. Diana melangkah laju menuju ke biliknya. Dia hendak bersiap-siap sebelum Kamal datang menjemputnya.

PELUH halus mulai terbit dan membasahi dahi. Dengan sinar mentari yang kian membahang membuatkan Elisa merasa tidak selesa berada dalam pakaian itu. Hendak ditanggalkan sweater itu, resah pula andai penyamarannya nanti disedari oleh orang sasaran.
        Tidak mengapa! Dia akan bertahan demi kebahagiaan Karmilla. Demi Karmilla juga, dia sanggup berdiri berhampiran pintu utama pusat membeli-belah ini bagaikan pengawal dengan sinaran mentari tegak memancar ke arahnya. Dia akan bersabar dengan keadaan ini dan menunggu orang sasaran itu muncul.
        “Awal sangat ke aku ni?” Elisa bercakap sendiri. Dia melihat jam dipergelangan tangan. Jarum jam menunjukkan waktu sekarang menginjak ke angka sebelas setengah pagi. Rasanya hampir satu jam juga dia berdiri di situ. Elisa sedar, beberapa orang yang keluar masuk ke pusat membeli-belah itu sempat mengerling ke arahnya yang sedang berjalan mundar-mandir di situ.
        Elisa melebarkan pandangan ke kawasan tempat letak kereta yang berkedudukan tidak jauh dari tempatnya berdiri. Dia cuba mengenalpasti orang sasaran itu namun hampa kerana semua manusia yang berlegar-legar di kawasan itu tiada satu pun yang menyerupai orang itu. Elisa menunggu lagi. 
        Jam dipergelangan tangan dilihat lagi. Kali ini jarum jam itu sudah bergerak lima belas minit. Mana dia? Elisa pula keresahan. Yang diharap tidak juga muncul-muncul. Mungkinkah apa yang didengar itu tidak tepat? Elisa menggelengkan kepala. Dia dengar dengan jelas. Pendengarannya masih baik.
        Elisa bersandar di dinding. Dia cuba mengingati kejadian semasa di kedai kasut beberapa hari yang lalu. Ketika sedang menyorok di belakang sebuah rak kasut sambil mencuri-curi lihat tingkah-laku Hilman bersama seorang wanita cantik, dia terdengar perbualan keduanya. Wanita cantik itu mengajak Hilman untuk pergi ke pusat membeli-belah ini hari ini, dan Hilman tanpa banyak kata terus mengangguk.
        “Takkan aku salah dengar?”
        Elisa yakin hari inilah Hilman berjanji untuk keluar bersama wanita cantik itu. Tetapi tidak didengari pula pukul berapa. Elisa menepuk dahi. Berkali-kali. Mungkin sekarang, mungkin petang nanti atau mungkin malam nanti baru pasangan itu muncul. Ah, dia yang terpaksa terpacak di sini.
        Penat berdiri, Elisa mencangkung pula. Tangannya menongkat dagu. Matanya meliar memerhati orang yang lalu-lalang di depannya. Mana tahu di antara mereka, terselit Hilman di tengah-tengah. Elisa terus memerhati hingga matanya terasa sakit. Bila akan muncul orang yang ditunggu-tunggu ini?
        Saat penantiannya selama hampir dua jam itu tidak menunjukkan apa-apa tanda Hilman akan muncul di situ, Elisa mulai berputus asa. Dua jam menanti namun Hilman tidak juga muncul. Semangat yang berkobar-kobar tadi kian malap. Di ruang mata terbayang tilam dan bantal. Lebih enak bergulingan di atas katil di rumah jika hendak dibandingkan berdiri laksana pengawal di sini. Elisa menguap beberapa kali. Dia mengantuk!
        Elisa menggelengkan kepala dikala menyedari semangatnya semakin pudar. Dia tidak boleh mengalah. Meski terpaksa terpacak di sini berjam-jam lamanya, dia tidak sepatutnya berputus asa. 
        Tapi kalau hingga mentari kembali bersembunyi dan malam kian melabuhkan sayap, Hilman tidak juga muncul, bagaimana? Sanggupkah dia menunggu lebih lama di situ? Sanggupkah dia bazirkan masa semata-mata hendak menunggu Hilman dan wanita cantik itu sedang dia tidak tahu entah bila pasangan itu akan kelihatan di kawasan ini.
        Elisa menarik nafas. Dilepas perlahan-lahan. Letih badannya. Lenguh juga kakinya. Asyik berdiri dan sekali-kala mencangkung. Elisa mengerling jam lagi. Semakin menginjak ke angka 1 petang. Macam mana ini? Hendak tunggu lagi atau niat baiknya itu terpaksa dibatalkan sahaja?
        Segera ditepis perasaan putus asa yang kian mendekati hati. Elisa membulatkan hati. Dipancangkan hati dengan segala keyakinan yang ada. Dia pasti Hilman akan muncul juga nanti. Bukan apa, kalau bukan hari ini, bila lagi dia akan mendapat peluang untuk menjejaki setiap langkah lelaki itu.
        “Laparnya,” sungut Elisa. Diraba perut yang berbunyi. Sebelum keluar tadi, dia tidak mengambil sarapan pagi. Tengah hari ini juga, dia tidak menjamah apa-apa makanan. Elisa memandang kiri dan kanan. Di sekitar kawasan luar pusat membeli-belah itu, tidak ada pula kedai-kedai menjual apa-apa yang boleh dimakan. 
        Elisa menelan air liur. Ada banyak perkara yang dikorbankan hujung minggu begini. Dia bangun awal, kemudian terpacak di depan pusat membeli-belah ini dan sekarang dia terpaksa menahan lapar hanya kerana tidak mahu terlepas pandang sekirannya dia sibuk membeli makanan.
        Hujung minggu begini, apa agaknya yang sedang dilakukan Diana? Elisa berteka-teki. Semestinya keluar bersama Kamal. Apa pula yang sedang dilakukan buah hatinya? Oh, Idzry! Dia terlupa langsung tentang Idzry. Dengan pantas Elisa menyeluk ke dalam beg yang disandang. Teraba-raba tangannya di dalam beg itu. Tercari-cari telefon bimbit. 
        “Mana telefon ni? Takkan tertinggal kot,” omelnya. 
        Masih tidak berpuas hati, Elisa membuka beg itu seluasnya. Leka mencari telefon bimbit sambil berjalan mundar-mandir, Elisa langsung tidak awas dengan keadaan sekelilingnya. Tanpa sengaja, dia telah terlanggar seseorang. Pantas dia mendongak.
        “Aduh, sakitnya!” Seorang gadis mengaduh kesakitan.
        Elisa yang terduduk akibat pelanggaran itu cepat-cepat berdiri. Dia menunduk sedikit tanda mohon maaf. “Maaf, saya tak sengaja,” ujar Elisa.
        “Mata letak mana, hah? Letak kat lutut ke? Lain kali kalau jalan pakai mata tahu! Suka hati aje langgar orang. Sakit tahu!” jerkah Ardilla. Matanya garang memandang ke arah Elisa. “Kalau berjalan tak pakai mata, baik tak payah ada mata. Susahkan orang aje!”
        Elisa terkedu. Berdesing juga telinganya. Kata-kata gadis yang tidak dikenali itu sungguh tidak sopan. Kedengaran kasar. Elisa menyabarkan hati. Sudahlah dia penat menunggu Hilman yang tidak kunjung tiba, perlu pula berhadapan dengan orang bengis seperti ini. Semakin menipis kesabaran dalam hati.
        Elisa memandang Ardilla dari hujung rambut sampai ke hujung kaki. Berulang-ulang kali. Kemudian tumpuan Elisa beralih pula pada seorang wanita yang berjalan laju mendapatkan Ardilla. Wajah wanita itu disulami keresahan. Barangkali ibunya, fikir Elisa.
        “Kenapa ni, Dilla?” soal Puan Ungku Sofia.
        Ardilla berwajah sedih. Dia merangkul lengan Puan Ungku Sofia. Mata Ardilla melirik tajam pada Elisa yang terkulat-kulat di situ.
        “Dia ni, auntie. Jalan tak pakai mata, lepas tu langgar Dilla. Sakit badan Dilla dibuatnya. Dia ingat kita ni apa? Langgar-langgar pulak,” adu Ardilla.
        Puan Ungku Sofia memandang Elisa. Seketika sahaja. Elisa seperti dapat membaca fikiran wanita itu. Melalui pandangan mata wanita itu, Elisa mengagak wanita itu juga seperti tidak menyenangi kejadian yang menimpa gadis tersebut.
        “Dahlah, Dilla. Orang macam ni tak guna nak dimarah. Buang masa aje,” kata Puan Ungku Sofia. “Jom kita balik,” sambungnya dan mengajak Ardilla pulang.
        “Ada mata tu, pakai. Kalau asyik nak melanggar orang, baik jadi orang buta. Lagi senang!” Sempat Ardilla menitipkan kata-kata sindiran sebelum mengorak langkah dengan angkuh meninggalkan Elisa.
        Ini sudah lebih! Elisa berpaling. Dia memerhati lenggok gadis itu dengan pandangan yang cukup tajam. Setajam kata-kata sindiran yang dilempar padanya.
        “Cik Dilla!” panggil Elisa. 
        Ardilla berhenti melangkah. Begitu juga dengan Puan Ungku Sofia. Keduanya memandang ke arah Elisa yang berjalan menghampiri mereka. Elisa berdiri di depan Ardilla.
        “Awak ni cantik. Dari hujung rambut sampai hujung kaki, semua cantik. Tapi sayang, adab awak ni tak cantik. Kalau rasa nak nampak lagi cantik, repair sikit budi bahasa tu,” tutur Elisa. Dia terus berlalu tanpa menunggu Ardilla mahupun Puan Ungku Sofia membidas kata-katanya.
        “Tak guna!”
        Elisa tersenyum sendiri ketika terdengar suara nyaring Ardilla. Biar padan dengan muka perempuan angkuh itu. Kini dia kembali fokus pada agenda asal. Hilman, segeralah kau muncul!

4 comments:

Anonymous said...

kite un bosan xD

~::HANAH RISHAS::~ said...

@najmi^^

huehue~~ btw, thanks drop here :')

shazmir said...

heheh.. kadang kdang kita tak tahu apa nak tulis..hahha sme lah kita..

xyz4mir.blogspot.com

~::HANAH RISHAS::~ said...

@shazmir

:)... tahu takpa. duk tenung pc tuh sampai berlobang kan. haha XD