Sunday, February 19, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab15.

Assalamualaikum.

Akhirnya, aku kembali menjejakkan kaki di Melaka setelah empat hari balik bercuti di kampung, jumpa peluk cium mak abah dan adik-adik. Empat hari aje kot! -.-' Walau tak puas bercuti, menghabiskan masa bersama mereka yang menjadi kesayangan aku tu, terpaksalah juga aku bawa diri balik ke sini. Jangan lupa diri, dah masuk semester baru ya!

Aku persembahkan DAM Bab 15. Selamat membaca dan semoga terhibur ya :')










Bab lima belas
SESEKALI Elisa mengerling ke arah Idzry yang kelihatan fokus pada pemanduan. Ada senyuman meniti bibir Idzry sehingga Elisa berasa hairan. Dia tidak dapat menduga apa yang sedang bermain dalam kepala lelaki itu. Ada juga dia bertanya ke mana destinasi mereka petang itu, namun Idzry tidak memberikan jawapan yang pasti. Lelaki itu terus membiarkan dia dibelengu persoalan.
            “Kenapa?”
            Soalan Idzry memecahkan kesunyian yang bermaharajalela.
            “Kenapa apa?” Elisa memulangkan soalan yang diaju padanya. Tidak sedikit pun memandang Idzry. Dalam kepalanya sarat dengan persoalan tindakan Idzry yang mengejut itu.
            Idzry ketawa. Bukan dia tidak kenal Elisa. Sudah lama mereka berkawan, dia sudah masak dengan perangai dan tindak-tanduk Elisa. Elisa tidak pernah sesenyap begini. Idzry yakin ada yang sedang bermain difikiran buah hatinya.
            “Tak mahu diluahkan ke segala soalan yang bermain dalam kepala tu?”
            Elisa memandang Idzry. Mengecil matanya. “Kita nak ke mana ni sebenarnya?”
            “Hah, kan senang nak jawab kalau Elis buka mulut, tanya soalan tu dari tadi. Ni senyap aje,” senda Idzry.
            Elisa mencebik. Bukan dia tidak bertanya malah berbuih juga mulutnya menyoal namun Idzry langsung tidak memberikan jawapan. Malas hendak membuka mulut bertanyakan soalan yang sama, dia mengambil jalan menyepikan diri walhal di dalam kepala masih berputar-putar perkara yang serupa.
            “Dah penat tanya tapi tak dapat jawapan juga. Lebih baik senyap, kan?” ujar Elisa.
            Tawa Idzry meletus lagi. Tahu si buah hati pengarang jantung sedang menyimpan perasaan tidak puas hati. Dengan sengaja, Idzry terus membiarkan Elisa bertanda-tanya.
Ketika tiba di satu simpang empat, Idzry membelok ke kanan. Kemudian dia memandu kereta memasuki perkarangan tempat meletak kenderaan, berhadapan dengan sebuah pusat membeli-belah. Idzry berpusing-pusing di sekitar kawasan itu untuk beberapa ketika sebelum memakir kereta.
“Dah sampai. Jom turun,” ajak Idzry.
Elisa terkebil-kebil memandang ke luar tingkap cermin. Idzry datang menjemputnya di butik dan memaksa dia mengikuti lelaki itu semata-mata menemani lelaki itu membeli-belah? Elisa berpaling melihat Idzry. Idzry sudah pun memijak lantai bumi. Kemudian Idzry menunduk sedikit. Dia tersenyum pada Elisa.
“Jom sayang.” Idzry menghulur tangan.
Elisa menyambut tangan itu. Dia hanya memerhati Idzry mengunci pintu kereta. Tiada sepatah kata pun yang terkeluar dari mulutnya. Dia membisu seribu bahasa.
“Awak nak pergi beli barang ke?” tanya Elisa.
Idzry mengangguk.
“Kat situ?” Elisa menuding ke arah sebuah bangunan besar dan tinggi di hadapan mereka.
Idzry mengangguk lagi.
“Awak nak beli barang ni memang nak kena saya ada sekali ke? Kalau pergi sendiri tak boleh?” Elisa menyoal lagi. Sebenarnya dia terasa malas hendak memasuki pusat membeli-belah itu. Bukan apa, baru semalam dia menghabiskan hampir seluruh waktu hariannya di tempat itu. Hari ini dia terpaksa pergi ke tempat yang sama. Ah, dia bosan!
Kali ini Idzry menggeleng pula sebagai jawapan kepada pertanyaan Elisa. Mahu tidak mahu, Elisa terpaksa mengikuti kehendak Idzry. Digagahkan jua hayunan langkah kaki mengekori jejak Idzry. Tangannya pula erat dalam genggaman Idzry.
Pandangan mata Elisa melebar sebaik sahaja mereka hampir sampai ke pintu utama pusat membeli-belah. Di hujung sebelah kanan pintu masuk itu ada meninggalkan kenangan kurang manis dalam diri. Masakan tidak, dia berpanas di situ semata-mata menunggu kemunculan Hilman. Kaki sakit, badan letih. Mata juga mengantuk.
Ketidakmanisan kenangan itu ditambah dengan kejadian pelanggaran yang tidak disengajakan. Dipertemukan pula dengan seorang gadis yang tidak tahu beradap. Sudahlah tidak menerima kata maaf yang diucap, sebaliknya kata-kata yang dilempar menambah rasa panas hati yang sedang membahang.
Eh, itu bukan...
Elisa terkebil-kebil seketika meski kaki masih laju mengatur langkah seiring Idzry. Silap pandangkah? Elisa menoleh lagi. Sudah tiada. Dia memanjangkan leher. Dia berpaling ke kiri dan kanan. Memang tiada! Mungkin matanya tersilap mengecam orang.
Idzry yang meyedari keresahan Elisa segera mematikan langkah. Elisa seperti sedang mencari sesuatu. Keadaan itu menimbulkan tanda-tanya.
“Kenapa Elis?”
Elisa menggelengkan kepala.
Berkerut dahi Idzry. “Elis macam cari sesuatu.”
“Tadi macam nampak seseorang,” beritahu Elisa.
“Siapa? Diana?”
Elisa menggeleng lagi. Kali ini disulami dengan senyuman manis. “Bukan sesiapa pun. Mata ni salah tengok,” katanya.
Ya, mungkin silap mata yang melihat.

“HABIB Jewels?”
            Hanya perkataan itu yang terpacul keluar dari mulut Elisa ketika mereka mula-mula sampai di depan kedai emas dan berlian Habib Jewels. Bidikan mata Elisa berganti-ganti antara Idzry dan kedai itu.
            “For what?”soalnya lagi.
            Idzry tertawa melihat kekeliruan Elisa ketika itu. Dia mengambil jalan untuk tidak memberitahu niat sebenar mengajak Elisa ke kedai ini. Dia ingin melihat sejauh mana Elisa boleh membaca setiap tindakan dan perlakuannya hari ini.
            Kali ini renungan Elisa hanya pada Idzry sahaja. Entah kenapa dengan Idzry hari ini, suka benar bermain dengan persoalan. Setiap tindak-tanduk yang hendak dilakukan lelaki itu pasti membuatkan dia berfikir untuk satu jangka masa yang lama.
            Idzry menjungkit bahu tanda dia mahu Elisa mencari jawapan dengan daya usaha sendiri. Mulanya Elisa merungut juga tetapi lama-kelamaan Elisa mulai mencongak sendiri. Elisa mengulum senyum apabila terasa diri sudah menemui jawapan.
            “Ni mesti nak beli hadiah untuk ibu, kan?” teka Elisa.
            Idzry menggelengkan kepala. Bukan itu yang mahu didengari. Elisa berfikir lagi.
            “Hah, kali ni mesti tepat punya! Awak nak beli untuk kakak-kakak awak, kan? Mesti tak mati-mati senyuman mereka bila dapat barang  kemas, kan,” ujar Elisa.
            Berkerut dahi Elisa tatkala terlihat gelengan kepala Idzry untuk kali kedua. Salah lagi? Elisa menggaru kepala. Apa lagi jawapan yang ada?
            “Saya tak tahulah apa tujuan awak bawa saya berdiri depan kedai emas berlian ni. Bila teka awak nak belikan hadiah untuk ibu awak geleng. Untuk dua orang kakak awak tu pun bukan. Habis untuk siapa? Penatlah nak teka-teka ni. Ni kepala ni, memerlukan tenaga yang banyak bila berfikir.
Bukan sekali dua awak buat saya tertanya-tanya macam ni. Tadi pun sama. Bila tanya, awak buat tak tahu aje. Senyum memanjang. Ingat dengan senyum tu boleh jawab semua apa yang saya tanya? Letih tahu,” gerutu Elisa. Dia mengerling Idzry. Lelaki itu tersenyum sahaja.
“Saya...”
Belum pun sempat Elisa meneruskan bicara, Idzry terlebih dahulu meletakkan jari telunjuknya di bibir Elisa. Elisa pula pegun.
“Ini untuk Elis.”
Elisa masih kaku. Matanya sahaja yang terkebil-kebil.
“Saya nak beli cincin untuk Elis. Sebab tu saya bawa Elis ke sini. Bukan untuk ibu. Bukan untuk kedua kakak saya tapi buat bakal isteri saya,” kata Idzry dalam senyuman mesra.
Akhirnya Elisa bisa tertawa apabila dia mengerti perkara duduk sebenar. Begitu banyak waktu yang diperlukan untuk dia memahaminya. Elisa membontoti langkah Idzry memasuki kedai Habib Jewels. Seorang gadis melayu manis berselendang merah menyapa mereka dengan mesra sekali.
Elisa kembali diselubungi tanda-tanya saat menyedari Idzry seperti sudah mengenali gadis itu. Mereka membicarakan sesuatu yang tidak difahaminya. Ketika gadis tadi meminta diri untuk mengambil sesuatu, Elisa mendekati Idzry. Dia ingin bertanya namun Idzry pula tidak membenarkan dia mengungkap sepatah kata pun. Akhirnya dia hanya menyepi duduk di sebelah Idzry.
“Ini barang Encik Idzry,” kata gadis itu. Dia menghulur sebuah kotak kecil berbalut kain baldu berwarna ungu pekat.
Idzry mengambil kotak kecil itu dengan senyuman melipat. Elisa hanya memerhati tanpa sebarang kata. Ketika Idzry memberikan kotak kecil berbalut kain baldu itu kepadanya, dia tidak mengambilnya.
“Ambillah,” gesa Idzry.
Perlahan-lahan tangan Elisa mengambil kotak itu. Lama dia merenungi seraut wajah tenang milik Idzry. Senyuman lelaki itu tidak mati-mati. Elisa membuka kotak baldu itu dengan debaran di hati. Apa di dalamnya? Meski pun dia sudah dapat mengagak isi di dalamnya, namun masih ada getaran hebat sedang bergelut dalam diri.
“Cantiknya!”
Sepotong ayat itu terluah dari bibir Elisa tatkala matanya terbias dengan kilauan sebentuk cincin berikat sebutir berlian. Cincin itu sangat cantik! Elisa tergamam.
Idzry mengambil cincin berlian itu dari tangan Elisa, kemudian dia menyarungkan cincin itu dijari manis gadis yang telah membuatkan dia terbuai dengan rasa kasih yang menggunung. Diusap tangan Elisa dengan lembut.
“Suka?”
Elisa mengangguk laju. Tidak lepas dia melihat keindahan kilauan cincin emas putih bertakhtakan sebutir berlian yang tersarung kemas dijari manisnya. Elisa mendongak memandang Idzry. Bibirnya bergerak-gerak seperti ingin meluahkan sesuatu.
“Tapi...” Elisa mengetap bibir.
Berkerut dahi Idzry. Apa yang tidak kena?
“Tapi apa? Cincin ni tak sesuai dengan citarasa Elis ke? Kalau macam tu, kita boleh tukar yang lain.” Cepat-cepat Idzry mengutarakan cadangan.
Pantas Elisa menggelengkan kepala. Bukan dia tidak suka, malah cincin pemberian Idzry itu melebihi apa yang pernah diangankan. Namun masih ada perkara yang terbuku dalam hati. Cincin itu dipusing-pusingkan.
“Kan kita...”
“Kita belum bertunang?” Potong Idzry, seakan dapat membaca fikiran Elisa.
Elisa pula tersentak. Idzry boleh menduga keresahan hati. Melihat anggukan kepala Elisa, Idzry pula yang ketawa.
 “Tak salahkan kalau saya hadiah cincin ni kat Elis walau kita belum lagi tetapkan tarikh pertunangan kita. Lagipun ini sebagai hadiah, tanda hati saya untuk Elis. Nanti bila kita dah tetapkan tarikh majlis pertunangan tu, kita datang sini lagi, cari cincin lain pula,” kata Idzry.
Mendengar rancangan yang direncanakan Idzry, Elisa menggelengkan kepala. Ada perkara yang tidak dipersetujui.
“Kan dah ada cincin ni.” Elisa menunjukkan jari manisnya di depan mata Idzry. “Tak payah cari cincin lain untuk pertunangan nanti. Membazir tahu!” sambungnya.
“Tak boleh!”
“Kenapa pula?” soal Elisa.
Idzry meletakkan diri di depan Elisa. Dia memaut bahu Elisa dengan lembut. Waktu itu mereka sudah beredar dari kedai Habib Jewels.
“Selama kita berkawan, tak pernah saya berikan sesuatu yang menjadi tanda kasih antara kita. Sesuatu seperti ini.” Idzry menuding cincin dijari manis Elisa. “Ini tanda hati saya. Ini tanda kasih kita. Ini tanda Elis kepunyaan saya meski ia belum termaktub secara sah.”
“Tentang keluarga saya...” Idzry senyap seketika sebelum menyambung, “Saya akan bawa Elis berjumpa keluarga saya dalam masa terdekat ni. InsyaAllah, hujung bulan ni.” Idzry mengakhiri bicara dengan senyuman.
Elisa membalas senyuman itu namun dalam hati dia gusar. Pertemuan pertama begitu mendebarkan. Bagaimana keadaannya nanti? Elisa menelan air liur. Hujung bulan? Bukan satu masa yang lama. Pejam celik, pejam celik sampai juga hujung bulan itu.
Meski dia cuba menyakini hati bahawa dia boleh melalui saat-saat genting itu dengan jayanya, namun ada sedikit perasaan kurang yakin bergayutan di sana sini. Merunsingkan jiwa dan raga!
Kalau sudah jodoh, tidak ke mana. Jika sudah tertera takdir jodoh dan cinta hatinya terikat bersama Idzry, maka akan berlangsung ikatan itu walau dilanda beribu halangan. Elisa merenungi Idzry. Dia mahu membina hidup berumahtangga dalam suasana bahagia di sisi lelaki itu.

ELISA terasa perasaan bahagia menyelinap ke dalam setiap urat nadinya apabila sepanjang petang dihabiskan bersama Idzry. Segala beban kerja di butik terus terbang melayang. Yang menyelubungi diri waktu itu hanyalah perasaan bahagia yang tidak bertepi.
            Walau mereka hanya merewang-rewang di sekitar kawasan pusat membeli-belah tiga tingkat itu, sudah cukup untuk mereka melakukan sesuatu bersama-sama. Sempat juga mereka singgah di sebuah pusat permainan elektronik. Kata Idzry, dia mahu melepaskan gian bermain permainan lumba kereta.
            Elisa bersorak riang apabila Idzry terpaksa mengakui dia lebih hebat bermain permainan itu. Kekerapan dia bermain permainan lumba kereta di rumah bersama Ezmal menjadikan kemahiran yang dimiliki melebihi kemahiran yang dibanggakan Idzry. Meski agak kecewa kerana terpaksa mengaku kalah pada Elisa namun Idzry puas apabila terlihat senyuman gembira meniti bibir seulas limau itu.
            Selepas menghabiskan masa hampir satu jam di pusat permainan elektronik itu, Elisa dan Idzry kembali merewang-rewang tanpa tujuan. Sesekali Idzry mengajak Elisa masuk ke dalam beberapa buah kedai kasut dan butik pakaian. Dia ingin membelikan Elisa sesuatu namun Elisa menolak dan menariknya pergi dari situ
            Elisa duduk di sebuah kerusi kayu yang disediakan di tingkat dua pusat membeli-belah tersebut. Idzry menyuruhnya duduk di situ sementara lelaki itu pergi ke tandas. Sekejap dia duduk. Sekejap dia berdiri.
            Pandangan mata Elisa tertancap pada pasangan suami isteri yang berdiri tidak jauh darinya. Si suami sedang mendukung seorang bayi yang berusia dalam lingkungan enam bulan. Isterinya pula sibuk melayani bayi dalam kendongan si suami. Melihat kecomelan bayi itu, Elisa jadi geram.
            Angannya, dia ingin memiliki anak secomel bayi tadi. Cukuplah dengan hanya ada empat orang anak. Dua lelaki, dua perempuan. Tetapi jika diberi rezeki memiliki anak lebih daripada itu, dia tidak kisah. Bukankah setiap anak yang dilahirkan itu membawa rezeki kepada kedua ibubapanya?
            “Berangan ajelah aku ni,” kata Elisa. Dia tersenyum meleret. Kalau ada orang yang perasan tindak-tanduknya waktu itu, pasti dikata tidak betul pula. Senyum seorang diri.
            Ketika meluaskan pandangan ke kiri, Elisa terpaku. Lama dia memerhati sebelum fikirannya dapat menterjemahkan apa yang dilihatnya. Sepantas kilat dia menyeluk kocek dan mengeluarkan telefon bimbit. Kemudian dia mengaktifkan kamera.
            “Alahai... inilah kalau namanya kamera telefon. Nak zoom pun tak lepas. Macam mana ni?” Elisa mengomel sendirian. Dalam kepala terbayang kamera Canon yang digunakan sebelum ini.
            Elisa memberanikan diri menghampiri pasangan itu. Dia menjaga jarak diri supaya tidak terlalu dekat dengan pasangan itu. Mujur di luar butik yang nampak eksklusif itu ada pasu bunga dengan tumbuhan sederhana tinggi. Cukup untuk dia berlindung disebaliknya. Elisa mengintai dicelah-celah daun yang lebar.
            Memang rezekinya mendapat bukti tambahan. Elisa senyum dalam hati. Tidak sangka pula boleh terlihat Hilman lagi hari ini. Oh, jadinya dia tidak tersilap lihatlah ketika mula-mula sampai di pusat membeli-belah ini. Memang Hilman yang dia nampak. Bukan silap mata melihat.
            Perempuan lain? Elisa cuba mengenalpasti wanita yang bergandingan dengan Hilman. Ini perempuan lain! Dia masih mengingati raut wajah dua orang wanita yang dilihat sebelum ini. Semalam dengan perempuan lain. Hari ini dengan perempuan lain.
            Dasar lelaki buaya tembaga! Lelaki kaki perempuan! Playboy! Elisa menggerutu geram dalam hati. Buku lima sudah dikepal padu. Tidak cukupkah Karmilla seorang? Kenapa mesti ada perempuan lain? Tidakkah lelaki itu mengerti perasaan sakit hati dan kecewa andai diduakan? Ah, lelaki buaya darat seperti Hilman, tidak tahu menjaga hati wanita. Suka berpeleseran dengan perempuan-perempuan cantik semata.
            Tentu Hilman mempunyai banyak masa terluang sehinggakan boleh menghabiskan banyak waktu di tempat-tempat seperti ini bersama perempuan yang berlainan. Kalau sudah nama lelaki kaki perempuan, mana cukup dengan satu perempuan. Mahu keliling pinggang dipasangnya!
            Peluang yang ada tidak disia-siakan. Walau dia kurang berpuas hati dengan kualiti gambar yang ditangkap, namun ia masih jelas menunjukkan Hilman dan wanita itu. Yang penting, gambar tidak kabur. Dengan adanya gambar-gambar ini, boleh menambah koleksi bukti sedia ada.
            “Kau tunggu Hilman. Sampai masa nanti, semua kejahatan kau akan terbongkar. Masa tu baru kau sedar langit tu tinggi ke rendah. Ada hati nak mempermainkan Kak Milla. Hah, sekarang ni semua bukti ada pada aku. Siaplah kau nanti aku kerjakan.” Elisa berkata sendirian sambil melihat kembali foto-foto yang ditangkapnya tadi.
            “Elisa, kan?”
            Elisa mendongak. Tersentap jantungnya. Dia terkebil-kebil dengan mata tepat memandang ke arah susuk tubuh tegap berdiri di depannya. Elisa menelan air liur. Sebiji-sebiji.
            “Buat apa kat sini? Dah balik kerja?” Hilman menyoal.
            Elisa mengangguk. “Tunggu kawan,” jawabnya ringkas.
            Terangkat kening Hilman. “Tunggu kat sini? Sebelah pokok ni?”
            “Eh, taklah. Saje aje berdiri kat sini. Tadi... tadi ambil gambar. Daun lebar-lebar ni, nampak cantik pula. Tu yang duk berposing kat sini,” terang Elisa. Gelisah andai Hilman menyedari dirinya sedang diintip.
            Terangguk-angguk kepala Hilman.
            “Nak minta diri dululah. Kalau tercegat kat sini, nanti kawan tak jumpa pula,” tutur Elisa. Dia hendak pergi namun tidak jadi. Ditepuk bahu Hilman. Hilman terkejut dan dia berpusing ke belakang.
            “Nanti kirim salam kat perempuan yang berambut perang, yang muka ala-ala pan-asian tu. Yang semalam pakai mini dress warna biru. Cantik betul dia tu.”
            Elisa terus mencongak langkah, meninggalkan Hilman bersama wanita yang sudah berkerut seribu wajahnya. Hilman ketawa. Dia menggelengkan kepala sambil tangan kanan mencekak pinggang.
            Amanda memandang Hilman dengan perasaan penuh curiga. Wajah cantik itu mulai mencuka. Hilman masih tidak sedar akan perubahan yang berlaku ke atas Amanda.
            “Siapa perempuan cantik yang budak tadi tu maksudkan?”
            Hilman menoleh. Dia senyum sahaja. Amanda tidak puas hati. Bukan senyuman itu yang dikehendaki.
            “You keluar dengan siapa semalam?” Semakin rakus Amanda melontar pertanyaan.
            “I keluar dengan kawan I.”
            “Siapa?” Amanda semakin mendesak.
            Hilman menarik nafas.
“Dengan siapa I keluar, lelaki atau perempuan, itu semua hak I kan. Dan untuk pengetahuan you Amanda Dato’ Suhaimi, you lebih cantik berbanding kawan I semalam. Berkali-kali ganda cantiknya.” Hilman cuba memancing ketenangan Amanda dengan memuji wanita itu melangit tingginya kerana sedia maklum Amanda memang suka dipuji begitu.
Amanda tersipu-sipu. “Betul?”
Hilman mengangguk laju. “Jomlah. Tadi you kata nak makan. I pun dah lapar. Kita pergi makan dulu,” ajak Hilman.
Amanda mengangguk dan keadaan itu melegakan dada Hilman. Dalam pada itu, dia tidak boleh berhenti memikirkan soal Elisa. Kata-kata gadis itu terus melekat dalam kepala. Tutur kata yang diungkap kedengaran spontan namun ianya tepat memanah ke batang hidung sendiri.
Elisa... Elisa... Elisa...
Tiba-tiba hatinya menyeru nama itu.

4 comments:

suzie rahman said...

salam awk...ni novel awk ke or cerita hri2 awk. klu novel, sy suke sbb pndek2.hihi <3

~::HANAH RISHAS::~ said...

@suzie rahman

salam awak :')
ini entri novel kite. sudi2 kan laa baca :')

cinta siswi said...

heee.. syok.. pnjg tp best..

~::HANAH RISHAS::~ said...

@cinta siswi

terima kasih atas kesudian saudari membaca entri ini :')