Monday, February 27, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab18.

Assalamualaikum.

First of all, I wanna wish Happy Bornday to my beloved brother, Aszuan Haris. Walau dah beberapa hari berlalu, yang mana hari lahirnya jatuh pada 25th Febuari tempoh hari, aku masih nak juga dedikasikan ucapan itu kat sini. Dear Juan, welcome to Kelab 20tahun dan ke atas. Haha.

Secondly, setiap kali aku memulakan entri bagi e-novel kat blog, mesti ada sedikit bebelan aku, bercotcetcotcet sikit. Bak kata orang, sebagai pembuka bicara entri. Tak mengapa, kan?

Lastly, aku persembahkan DAM Bab 18. Selamat membaca dan semoga terhibur. Sebarang komen sangat dialu-alukan supaya diri ini tahu di mana kurang, di mana silap dan diri ini boleh memperbaikinya :') Share it if you like it :')












Bab lapan belas
TIDAK hilang-hilang senyuman yang terbit di bibir Karmilla. Senyuman itu diselangi dengan tawa halus. Elisa yang duduk bertentangan Karmilla hanya tunduk membisu seribu bahasa. Kaki itu menguis karpet berbulu lembut.
       “Elisa... Elisa...” Karmilla menyebut nama Elisa berkali-kali. Tawanya meletus lagi.
       Elisa tidak senang duduk. Dia kepanasan. Segala perasaan menggebu dalam hati. Dan perasaan itu bagaikan terlukis di wajahnya dan segala tindak-tanduknya seakan menggambarkan apa yang sedang bergelodak dalam diri. Sekejap menoleh ke kanan dan sekejap menoleh ke kiri. Kemudian dia kembali tunduk menekur lantai.
       Dari ekor mata, Elisa dapat melihat Hilman juga tersenyum lebar. Ah, dia merasakan senyuman itu seperti sedang mengejeknya! Elisa jengkel tiba-tiba. Dia juga bisa menangkap renungan Hilman padanya. Hendak membalas renungan itu, dia berat hati. Setelah apa yang berlaku tadi, menatap muka Hilman pun dia tidak mahu. Apatah lagi melawan renungan lelaki itu. Nanti dia juga yang kalah. Lebih baik dibiar sahaja.
       “Tak sangka kamu ada bakat jadi penyiasat, Elis,” ujar Karmilla.
       Elisa memaksa diri untuk senyum. Bakat? Itu bukan bakat tapi perbuatan bodoh. Perbuatan bodoh yang mana akhirnya dia yang menerima padahnya. Malu besar. Mana dia hendak menyorokkan muka?
       Pasti kejadian memalukan ini akan menjadi bahan ketawa dalam satu jangka waktu yang lama. Mungkin juga ianya menjadi peristiwa yang tidak akan dilupakan oleh Karmilla dan Hilman. Dia? Tidak mungkin dia melupakan hari ini. Sampai hilang nyawa dari jasad pun, ia akan kekal di dalam ingatan.
       “Lepas ni bolehlah buat kerja menyiasat untuk saya, kan Pink Panther.” Hilman mencelah. Dia mengeyit mata pada Elisa.
       Berdesing telinga Elisa. Omongan Hilman seakan memerli. Sejak mula mereka duduk di situ, tidak habis-habis lelaki itu menggelarnya Pink Panther. Nama aku Elisa Najwalah, bukan Pink Panther! Elisa memutahkan kemarahannya di dalam hati.
       “Sa... saya... saya tak tahu dia tu adik Kak Milla. Dua tahun saya bekerja kat sini, tak pernah tahu pun yang Kak Milla ada adik.” Setelah beberapa ketika Elisa senyap, barulah dia membuka mulut. Tersangkut-sangkut bicaranya.
       Karmilla menggelengkan kepala. “Macam mana Elis boleh terfikir yang akak dengan Hilman ni ada hubungan cinta?”
       Berat mulut Elisa hendak membuka cerita. Bagai ada batu besar di dalam mulutnya. Elisa memandang Karmilla yang bersedia mendengar segalanya. Elisa menarik nafas dalam-dalam.
       “Pertama kali saya terdengar Mona dan Munir panggil lelaki tu papa, saya macam syak sesuatu. Tambah-tambah bila saya perasan yang anak-anak Kak Mila tu rapat semacam dengan dia tu. Iyalah, sepanjang saya kerja sini, mana pernah nampak dia tu. Sejak kebelakangan ni aje selalu muncul. Manalah saya tak terfikir yang dia tu mungkin pengganti bekas suami akak. Akak pun nampak mesra dengan dia. Sekali pandang memang macam kekasih,” ujar Elisa.
       Cerita Elisa mengundang gelak tawa Karmilla dan Hilman. Elisa pula terkulat-kulat.
       “Ni Pink Panther yang tak bertauliah.” Tawa Hilman semakin menjadi.
       Elisa mengerling ke arah Hilman. Lelaki itu mempersendakannya. Mahu sahaja dia mengikat mulut itu supaya muncung seperti mulut itik. Bila sudah diikat, maka mulut itu tidak akan menuturkan kata-kata yang menyakitkan hati. Namun segalanya hanya imaginasi semata. Dia tidak berkemampuan untuk merealisasikan imaginasi itu.
       “Sebelum ni Hilman duduk kat Melaka. Kerja kat sana dengan kawan dia. Baru beberapa bulan ni dia pindah ke sini semula. Tu yang baru sekarang dia memunculkan diri kat butik ni. Akak pun tak sangka Elis boleh ambil tindakan sedrastik macam tu. Sanggup siasat rutin Hilman ni. Silap akak jugak tak pernah cerita pasal adik akak yang seorang ni.” Karmilla menutur kata dengan lembut.
       Elisa terangguk-angguk. Kalau dia tahu hubungan Karmilla dan Hilman sebagai adik-beradik, tentu dia tidak akan melakukan kerja tidak masuk akal ini. Hanya membuang masa dan tenaga sahaja. Bukan mudah melakukan kerja begini. Terpaksa menyamar dan terhendap-hendap seperti pencuri.
       “Kebetulan dah duduk berkumpul macam ni, bagus jugak kalau Elis dan Hilman saling mengenali. Bila lagi nak berborak, ye tak,” kata Karmilla lagi.
       Mata Elisa menyoroti langkah kaki Karmilla meninggalkan mereka berdua di ruang rehat. Saling mengenali? Dia sudah terlebih mengenali lelaki itu. Jika hendak menyelami lagi tentang lelaki itu, tentu lebih banyak nista. Dalam fikirannya terisi banyak dengan segala keburukan Hilman. Suka bertukar-tukar pasangan. Terfikir juga bagaimana perempuan-perempuan yang mendampingi Hilman langsung tidak menyedari mereka dicurangi.
       “Mmm... apa lagi yang awak nak tahu tentang saya?” soal Hilman.
       Elisa mendongak. Kali ini dia berani menentang renungan itu setelah lama membiarkan Hilman sahaja yang berjaya berbuat demikian. Hilman tersenyum padanya. Redup pandangan mata lelaki itu namun Elisa langsung tidak kisah melihat keadaan diri Hilman.
       “Iyalah, mana tahu awak nak kenal saya dengan lebih dekat. Jadi nanti tak payahlah awak pergi ekori saya ke sana sini,” sambung Hilman.
       “Sorry?” Elisa seakan tidak percaya mendengar omongan Hilman. Seolah-olah dia pula yang beriya-iya hendak mengetahui tentang diri lelaki itu seluruhnya. Dia tidak pernah kisah siapa Hilman. Dia tidak ingin tahu siapa lelaki itu. Satu-satunya perkara yang diketahui ialah lelaki itu seorang kaki perempuan. Hilman Adli tidak pernah cukup dengan seorang perempuan.
       Hilman tertawa kecil. Reaksi Elisa menggelikan hati.
       “Saya beri peluang kat awak untuk bertanya apa saja yang berkait dengan diri saya. Apa pun yang disoal, akan saya jawab dengan sejujurnya. Cepatlah, saya tunggu ni.”
       Membulat mata Elisa. “Hei, awak ingat awak ni siapa hah? Artis, VIP, orang terkenal sampai saya terhegeh-hegeh nak tahu semua tentang awak? Tolonglah!”
       “Eh, sebelum ni siapa yang curi-curi ekori saya? Siap ambil gambar lagi. Semua tindakan tu bukan menunjukkan yang awak sungguh-sungguh nak tahu pasal saya ke, Cik Elis?”
       “Itu... itu...” Elisa tergagap-gagap. “Itu sebab saya nak selamatkan Kak Milla. Saya ingat Kak Milla ada hubungan dengan awak, lepas tu awak pulak kaki perempuan. Waktu tu saya nak pastikan Kak Milla takkan bersama dengan lelaki macam awak. Langsung tak ada niat lain tahu. Kalau saya tahu keadaan sebenar, takkan saya buat macam tu. Takkan sekalipun!” tegas Elisa.
       “Saya tak perlu mendalami diri awak tu sebab saya dah tahu siapa awak,” sambung Elisa.
Hilman berpeluk tubuh.
       “Apa yang awak tahu pasal saya?” soalnya.
       “Awak seorang lelaki yang sukakan perempuan. Bukan satu, bukan dua tapi tiga. Oh, mungkin bukan tiga juga. Hakikatnya perempuan yang berdamping dengan awak tu keliling pinggang. Perlu ke saya ambil peduli siapa awak sedang awak dah tunjukkan diri awak yang sebenar?” Elisa mengangkat kening.
       “Don’t judge a book by it’s cover.”
       Elisa mendengus kasar. “Pepatah tu macam dah tak boleh dipakai terutama untuk orang macam awak!”
       Hilman sekadar mengiringi kepergian Elisa dengan pandangan mata sahaja. Dia ingin memanggil nama itu tetapi mulutnya terkunci rapat. Hanya mampu memandang dan terus memandang sehingga Elisa hilang.
Elisa.
       Hilman tersenyum sendiri.


ELISA menekup mukanya dengan bantal. Dia menjerit sekuat hati. Bagai melepaskan segala beban yang terperuk dalam diri. Elisa menjerit lagi. Kali ini lebih kuat. Diana yang melintasi bilik Elisa terpaku sebentar melihat keadaan temannya. Berkerut dahinya. Tanpa berlengah, dia pergi mendapatkan Elisa yang sedang terlentang di atas katil dengan muka ditutup bantal.
       Diana duduk di sebelah Elisa. Dia menggoyang-goyang badan itu. Berkali-kali namun tiada sebarang reaksi. Diana pula resah. Pengsankah? Cepat-cepat dia mengalihkan bantal yang menutupi muka Elisa.
       “Elis.” Diana memanggil.
       Elisa senyap. Tidak bergerak sedikit pun. Diana semakin cemas. Dia menepuk muka Elisa berkali-kali sambil mulutnya tidak henti-henti mengejutkan Elisa. Bukan setakat ditepuk, malah Diana juga turut mengambil jalan mencubit pipi Elisa.
       “Aku hidup lagilah!” jerkah Elisa dan dia bangun dari pembaringan. Dia duduk berteleku di depan Diana dengan mata tertutup rapat. Tangannya mengusap pipi yang kemerah-merahan akibat dicubit Diana. Perit terasa.
       “Sakit pipi aku,” adu Elisa.
       “Kau tu yang buat aku cemas. Dahlah muka tu ditekup dengan bantal. Ingat kau pengsan ke apa ke tadi. Tepuk-tepuk, tak bangun. Bila aku cubit ni pun, lama gila kau nak sedar. Kau tidur ke apa?” omel Diana.
       Elisa membuka mata. Dia memandang Diana.
       “Diana...”
       “Apa?”
       “Boleh tak kalau aku nak jerit lagi?” usul Elisa. Elisa menekup mukanya semula dengan bantal dan dia menjerit sekuat hati. Dia menarik nafas dan menjerit lagi.
       Diana terkebil-kebil melihat kelakuan pelik Elisa.
       “Hei, kenapa dengan kau ni? Jerit tak tentu pasal. Stress ke?” tanya Diana.
       Elisa mengangguk. Air mukanya berubah sayu.
       “Apa dah jadi kat butik? Ada banyak kerja? Ke kau kena layan customer yang gila-gila sikit?”
       Elisa menggeleng kepala.
       “Dah tu?” Diana bertanya lagi.
       Elisa memandang Diana. Terlalu banyak perkara yang bermain dalam kepala. Jika kiraan dilakukan, seratus peratus keserabutan fikiran terganggu kerana kejadian petang tadi di butik. Bagaimana dia akan melalui hari-hari di situ? Setiap kali terpandang Karmilla, dia hanya tunduk malu. Malu kerana perbuatan melulu diri sendiri. Dalam satu hari ini, entah berapa guni perasaan malu yang terpikul dibahunya.
       Hilman? Elisa teringat perbualan antara dia dengan lelaki perasan itu selepas pemergian Karmilla. Berlagak hebat sahaja. Boleh pula Hilman membuka peluang untuknya bertanya apa-apa soalan mengenai diri lelaki itu. Sekali pun dia diberi berjuta ringgit, dia tidak akan membuka mulut untuk bertanya walau satu soalan pada lelaki itu.
       Mengingati apa yang berlaku di butik itu, dan Hilman ada bersama hanya menambah rasa jengkel yang membuak untuk lelaki itu. Namun ada ketika dia berasa hairan kenapa dia besungguh-sungguh tidak menyukai Hilman sedang dia tidak pernah mengenali lelaki itu sedalamnya. Hanya mengetahui sikap buruk Hilman yang suka bersama dengan ramai perempuan. Mereka bersua muka dan saling menutur kata juga jarang sekali.
       Elisa mengerling ke arah Diana. Temannya masih setia menanti dia memulakan bicara. Elisa hendak membuka mulut namun terasa ada batu besar di dalam mulutnya sehingga dia tidak larat hendak membukanya. Sebenarnya perasaan khuatir melebihi semuanya. Mana tahu selepas dia menceritakan apa yang berlaku petang tadi di butik, Diana pula mentertawakan dia. Mahu setahun jadi bahan gadis itu untuk mengenakannya.
       “Elis, apa yang buat kau tertekan ni? Cuba cerita kat aku. Mana tahu kalau kau dah cerita, tekanan tu berkurang sikit,” pujuk Diana.
       Elisa menelan air liur. Hendak cerita atau tidak? Jika dia bercerita perihal kejadian sebenar, dia pasti bukan tekanan dalam diri semakin berkurang sebalik semakin menimbun kerana dia kenal siapa Diana. Diana tidak mudah melupakan tragedi-tragedi malang dan memalukan yang berlaku ke atasnya dan perkara itu akan menjadi bahan lawak kepada Diana.
       “Elis!”
       Elisa terperanjat. Dia menoleh kemudian menggelengkan kepala.
       “Tak mahu cerita?”
       Elisa mengangguk. Diana pula menghela nafas.
       “Kalau ada apa-apa yang buat kau tertekan, yang merunsingkan perasaan kau tu, jangan senyap aje. Kongsi dengan aku. Kita kan kawan,” ujar Diana disulami senyuman manis.
       Elisa mengangguk lagi. Diana memang kawan yang baik. Kawan sejati dunia dan akhirat. Namun perkara yang bergayutan di fikiran waktu ini tidak boleh dikongsi bersama Diana. Biar menjadi rahsianya sendiri. Walau Karmilla dan Hilman mengetahui kejadian memalukan itu, sekurang-kurangnya dua individu itu tidak akan membangkitkan kejadian itu andai mereka berbicara kelak.
       Oh, mungkin Hilman akan melakukannya. Hilman akan berbicara sesuatu yang berkait dengan kejadian petang tadi. Apa yang hendak dirisaukan, bukan selalu Hilman datang ke butik Karmilla. Hanya sekali-sekala sahaja. Tambahan pula, kerjanya tidak menuntut dia selalu berhadapan dan berbicara dengan lelaki itu. Peluang untuk Hilman mengungkit kisah itu terlalu sedikit.
       Elisa tersenyum lega.


DENGAN tergesa-gesa, Elisa menyarung seluar panjang sebelum meluru keluar bilik. Tadi, ketika sedang asyik membuai angan, tiba-tiba Diana menjerit namanya dengan lantang dan memberitahu Idzry sedang menantinya di luar rumah. Mulanya dia buat tidak tahu sahaja kerana ada masa Diana suka bergurau begitu.
       Apabila terdengar sayup-sayup suara garau seorang lelaki memanggil-manggil namanya, barulah dia sedar Diana tidak bersenda. Memang Idzry terpacak di luar pagar rumah.
       “Awak... awak...” Elisa tercungap-cungap. Bagai tidak cukup nafas.
       Idzry merapati Elisa. “Kenapa berlari-lari? Kan dah tak cukup nafas,” kata Idzry.
       Elisa mendongak. Dia mengukir senyuman dan mengangkat ibu jari tanda baik-baik sahaja.
       “Saya tercungap-cungap macam ni tandanya dah lama tak bersenam. Badan dah manja sangat. Lari sikit aje dah mula termengah-mengah,” balas Elisa.
       Elisa memandang Idzry. Fikirannya terfokus pada persoalan yang bermain di minda sejak dia mendapat tahu Idzry datang ke rumahnya. Rasanya waktu sekarang hampir menginjak ke tengah malam. Apa tujuan lelaki ini menemuinya? Ada hal pentingkah? Berdetak-detik hati Elisa dengan tanda-tanya itu.
       “Kenapa datang rumah malam-malam macam ni?” tanya Elisa.
       Idzry merenungi Elisa.
       “Saya risaukan Elis.” Ringkas jawapan yang diberi Idzry.
       Elisa pula termangu-mangu. Risaukan dia? Elisa menggaru kepala. “Apa yang nak dirisaukan?”
       Idzry menghela nafas. Matanya masih memerhati Elisa.
       “Tadi Diana telefon saya, beritahu yang Elis berkelakuan pelik. Dia ada tanya tapi Elis tak cakap apa-apa. Tu yang saya datang jenguk Elis,” cerita Idzry. “Elis ada masalah ke?”
       Pantas Elisa menggelengkan kepala. Hai, dengan Idzry pun Diana hendak mengadu. Elisa mengeluh dalam hati.
       “Tak ada apa-apalah. Saya baik-baik aje. Diana tu yang terlebih risau. Sama macam awak. Tengah malam macam ni pun awak sanggup datang jumpa saya,” ujar Elisa. Melipat senyumnya. Sikap prihatin Idzry menjerat hati ke kancah perasaan cinta yang tidak bertepi.
       Idzry membalas senyuman manis Elisa. Senyuman itulah yang sering terbawa-bawa ke dalam mimpi malamnya.
       “Mestilah saya risau. Orang ni kan buah hati saya. Sejauh mana pun sanggup saya redah semata-mata untuk pastikan keadaan Elis baik-baik. Betul Elis tak ada apa-apa masalah?”
       Elisa mengangguk laju. Melihat anggukan dan senyuman manis meniti bibir mungil itu, Idzry berasa lega. Sebaik sahaja menerima panggilan Diana yang tidak terduga itu, terus sahaja dia memecut laju keretanya menuju ke rumah Elisa.
       Sepanjang perjalanan, hanya wajah Elisa bermain di ruang mata. Keresahan bermaharajalela waktu itu. Perjalanan ke rumah Elisa sepatutnya mengambil masa tiga puluh minit sahaja tetapi bagai berjam-jam lamanya. Apabila yakin Elisa tidak apa-apa, jiwanya kembali tenang.
       Idzry mengamati tangan kanan Elisa. Di jari manis Elisa tidak tersarung cincin pemberiannya tempoh hari. Elisa tidak memakainya? Kenapa? Idzry ingin bertanya.
       “Elis.”
       “Ya,” sahut Elisa.
       “Elis tak suka cincin yang saya bagi Elis tu ke?”
       “Cincin? Tentulah saya suka. Suka sangat-sangat.”
       “Kalau suka...” Idzry mematikan kata-kata. Dia menyelami kolam mata yang redup itu sebelum menyambung, “Kalau suka kenapa tak pakai?”
       “Awak jangan salah sangka. Bukan saya tak mahu pakai cincin tu tapi saya rasa belum masanya lagi untuk saya sarung cincin tu di jari manis saya ni. Saya menanti hari tu. Hari yang memaknakan saya akan menjadi milik awak. Waktu tu, cincin pemberian awak tu akan terus kekal dijari manis saya sampai bila-bila,” kata Elisa.
       Mendengar kata-kata Elisa, Idzry tersenyum. Dia memahami maksud Elisa. Elisa menanti dia membawa rombongan meminang dan sekaligus memutlakkan hubungan mereka sebagai pasangan bertunang sebelum menuju ke fasa yang seterusnya.
       Semakin utuh genggaman Idzry pada tangan Elisa. Dalam hati, dia menyakinkan diri bahawa ibunya akan memerima Elisa sebagai calon menantu perempuan tunggal dalam keluarga mereka. Dia mahu Elisa tahu, hanya gadis itu yang dicintainya.

notahujungkaki: Sekarang aku kekeringan idea. Masih ada separuh lagi part dalam chapter 43 yang belum siap. Arghhh! Tolong aku -.- Mood sekarang ------> Wanna shopping. But no money. So dalam mimpi aje laa aku bershopping. Wakakaka. Oke, end.

No comments: