Sunday, March 4, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab19.

Assalamualaikum.

Ini entri pertama untuk bulan Mac. Pejam celik, pejam celik, dah bulan Mac rupanya. Cepat betul masa berlalu, kan? Straight to the main agenda, aku persembahkan DAM. Selamat membaca dan semoga terhibur :') If you like it, share it. Sebarang komen akan diterima oleh penulis dengan hati yang sangat terbuka :') Chill!












Bab sembilan belas
SEPASANG mata memerhati gelagat Puan Ungku Sofia melayani seorang gadis berambut panjang hitam berkilat. Tawa Puan Ungku Sofia meletus apabila Ardilla berjenaka namun Idzry langsung tidak tertarik dengan jenaka itu. Tidak mengundang tawanya. Dia juga tidak memahami gurauan Ardilla.
        Setengah jam duduk bersama Puan Ungku Sofia dan Ardilla membosankan Idzry. Setiap butir bicara yang keluar dari mulut dua orang wanita itu hanya berkaitan dengan isu-isu perempuan. Soal kecantikan banyak dibincang bersama. Gosip? Tentu tidak terlepas dari menjadi topik perbualan Puan Ungku Sofia dan Ardilla. Entah dari mana Ardilla mendapatkan gosip-gosip itu. Ada sahaja perihal orang yang dicelotehkan Ardilla.
        Idzry tidak tahu apa guna dia menemani ibunya. Bukan ada perkara yang boleh dilakukan bersama. Hanya duduk menyepi di sebelah Puan Ungku Sofia sedang ibunya asyik bercerita itu dan ini bersama Ardilla. Jika bukan kerana Puan Ungku Sofia bersungguh-sungguh mahu dia ikut bersama, tentu waktu-waktu begini dihabiskan bersama kekasih hati, Elisa Najwa.
        Mengikut perancangan sendiri, hari ini dia merancang hendak membawa Elisa bertemu keluarganya. Tambahan pula, Fatin Liyana dan Fatin Suhana akan berkunjung ke rumah mereka petang ini. Bila semua sudah berkumpul, itulah masa terbaik untuk memperkenalkan bakal isterinya kepada semua.
        Apa yang dirancang rapi itu rupanya hanya tinggal rancangan yang terpaksa ditunda ke hari yang lain. Tiba-tiba sahaja ibunya mahu keluar dan mengajak dia bersama. Puas dia menolak kerana dia ingin menemui Elisa sebelum membawa gadis itu bersamanya. Paling tidak, kunjungan awal bersama niat di hati tidak akan mengejutkan Elisa. Puan Ungku Sofia tetap berkeras dan dia terpaksa mengikuti kehendak ibunya.
        Fikirnya Puan Ungku Sofia punya urusan di luar bersama teman-teman, rupanya Ardilla yang ditemui ibunya. Akhirnya dia terpaksa menuruti kehendak ibu ke hulu-hilir di pusat membeli-belah. Sekejap masuk ke dalam butik itu, sekejap ke butik ini pula. Ardilla pula asyik menghimpit ibunya sahaja sehingga dia tidak berpeluang berbicara apa pun dengan Puan Ungku Sofia.
        Idzry hendak menelefon Elisa, ingin bertanya apa yang sedang dilakukan buah hatinya di waktu-waktu begini namun niat itu terbantut tatkala teringat Elisa ada memberitahunya tadi yang gadis itu menghabiskan masa hujung minggu di rumah ayahnya. Riang suara Elisa kedengaran ketika menyampaikan berita gembira padanya. Kata Elisa, seluruh keluarga kegembiraan kerana lebih kurang tujuh bulan lagi keluarga itu akan menerima ahli baru. Isteri Ezmal hamil tiga bulan.
        Idzry dapat membayangkan keadaan Elisa waktu itu. Kegembiraan Elisa sangat jelas walau dia hanya bisa mendengar suara itu sahaja. Pasti senyuman Elisa mekar. Wajah itu pula dihiasi dengan sejuta kemanisan. Memikirkan Elisa, diri serasa dirundung perasaan rindu. Elisa! Hatinya lantang menyeru nama itu.
        “Senyap aje orang tu, kan Auntie Sofi.” Tiba-tiba Ardilla menegur Idzry yang langsung tidak bersuara sejak mereka singgah makan tengah hari di kafe itu.
        Puan Ungku Sofia melirik ke arah anak lelaki tunggal dalam keluarganya. Memang sejak dari tadi, Idzry hanya mendiamkan diri. Langsung tidak keluar sepatah kata dari mulut itu.
        “Entah tu. Ibu dengan Dilla ni, tak menang mulut bercerita, Idzry pulak senyap aje.” Puan Ungku Sofia pula menegur Idzry. “Marilah kita berborak sekali. Ardilla kan ada ni. Dia pun tengah berkongsi cerita masa dia kat London dulu. Ibu jadi excited pulak bila dengar Dilla cerita,” sambungnya. Puan Ungku Sofia cuba memancing minat Idzry.
        Umpan Puan Ungku Sofia tidak menjadi kerana Idzry langsung tidak berminat mengetahui topik perbualan mereka berdua. Bagi Idzry, cerita Ardilla itu sudah lapuk. Setiap kali dia menemani ibu keluar dan Ardilla ada bersama, telinganya dapat menangkap cerita yang serupa. Yang memelikkan, ibunya tidak jemu-jemu melayani bicara Ardilla walau apa yang dikongsi itu selalu diulang berkali-kali. 
        “Idzry tak mahu dengar ke Dilla cerita pengalaman dia masa belajar dekat luar negara tu?” Puan Ungku Sofia masih berusaha membuat anak lelakinya terjun masuk ke dalam perbualan mereka.
        Idzry bersandar di kerusi. Dia berpeluk tubuh.
        “Idzry dah dengar Dilla cerita, ulang-ulang kali. Jemu.” Selamba Idzry menutur kata. 
        “Eh, apa cakap macam tu. Kan bagus Dilla ni berkongsi pengalaman dia dengan kita. Hah, dulu Idzry kan pernah kata teringin sangat nak pergi London. Lepas tu nak ronda-ronda satu europe. Bila dapat peluang dengar Dilla bercerita tentang masa dia kat sana dulu, bolehlah Idzry ambil sebagai guide. Mana tahu esok lusa, tercapai impian anak ibu ni,” ujar Puan Ungku Sofia.
        “Tu dulu, impian masa kecik-kecik. Sekarang ni tak terlintas pun nak pergi ke sana,” balas Idzry. Sengaja dia bertindak begitu kerana dia mahu Puan Ungku Sofia tahu dia sedang bergelumang dengan kebosanan di tahap yang melampau. Telinganya tidak berdaya lagi mendengar cerita-cerita Ardilla.
        Jika tidak mengenangkan Puan Ungku Sofia yang memintanya untuk menemani di situ, pasti sudah lama dia angkat kaki. Lebih baik duduk bersenang-senang di rumah atau dia boleh meniti waktu berlalu bersama Elisa.
        Ardilla bagai terkena renjatan elektrik saat butir bicara Idzry memenuhi gegendang telinga. Puan Ungku Sofia menyedari keadaan itu terus mengambil jalan untuk memulihkan keadaan. Dia tidak mahu Ardilla berkecil hati dengan segala tindak-tanduk dan kata-kata acuh tidak acuh Idzry tadi.
        “Idzry memang macam ni. Kalau dah bosan, mulalah buat perangai. Semua benda dia nampak sama. Semua cerita dia dengar serupa. Perangai Idzry yang ni, memang tak pernah nak hilang dari kecik sampailah besar,” seloroh Puan Ungku Sofia. “Dilla jangan kecil hati ya.”
        Ardilla menggeleng kepala. Sebuah senyuman terbit dibibir itu.
        “Taklah Auntie Sofi. Dilla tak ambil hati pun. Dilla faham. Kan Idzry ni anak bongsu, lelaki tunggal dalam keluarga pulak. Manjalah tu,” kata Ardilla disulami gurauan yang ditujukan buat Idzry. Sempat dia mengerling Idzry yang masih bersandar di kerusi. Wajah lelaki itu tidak memaparkan apa-apa perasaan pun.
        “Auntie nak tahu tak, masa Dilla study kat sana, ada beberapa orang kawan Dilla bercinta dengan orang sana. Ada yang kahwin dengan pasangan mereka tu.”
        “Iya? Untunglah kawan-kawan Dilla tu, dapat bersuamikan orang sana. Nanti dapat keturunan yang lawa-lawa. Kahwin campur katakan. Hah, Dilla tak bercinta dengan mat saleh ke masa kat sana?”
        “Tak,” jawab Ardilla, pendek. Dia memandang Idzry lagi sebelum meneruskan bicara.
        “Ada juga kawan-kawan berbangsa Inggeris yang nak cuba Dilla tapi Dilla tolak. Tak mahulah bercinta dengan orang sana. Susah! Banyak benda yang kena fikir. Cabarannya pun banyak jugak. Papa dan mama Dilla pun tak galakkan Dilla cari orang luar,” sambungnya.
        “Lagipun Dilla lebih suka orang sini.” Ardilla merenungi Idzry ketika mengakhiri bicaranya. Renungan penuh makna itu diperasani Puan Ungku Sofia. Dalam diam, Puan Ungku Sofia juga tersenyum lebar. Niatnya bagai termakbul saat dia memahami maksud kata-kata dan renungan Ardilla pada anak lelakinya.

KETIADAAN Ardilla membuka peluang Idzry untuk menyampaikan hasrat hati. Doanya moga Ardilla duduk lama-lama di dalam tandas agar dia bisa mengkhabarkan perkara itu sekarang juga tanpa perlu menunggu tiba di rumah nanti.
        “Ibu.”Idzry memanggil Puan Ungku Sofia yang leka membaca sebuah majalah antarabangsa.
        Puan Ungku Sofia memandang Idzry. Dia tersenyum. “Ada apa, sayang?”
        “Idzry ada benda nak beritahu ibu. Hal penting,” ujar Idzry.
        “Apa dia?” soal Puan Ungku Sofia lagi.
        Idzry gentar tiba-tiba. Senyuman Puan Ungku Sofia bagaikan bilah tajam menusuk ke dada. Senyuman itu pernah dilihat ketika Fatin Liyana menyatakan hasrat untuk menyampaikan apa yang tersimpan dalam hati. Disaat Fatin Liyana selesai berbicara, senyuman itu langsung hilang dan berganti dengan satu wajah yang sangat menggerunkan. Ibunya tidak beriak apa-apa.
        Dalam gerun, Idzry menyakinkan hati bahawa ibunya mungkin tidak seperti dulu. Dia anak lelaki, satu-satunya dalam keluarga itu. Dengan kedudukan sebagai anak lelaki tunggal, pasti Puan Ungku Sofia tidak keberatan menuruti kehendaknya. Idzry seakan merasai ketenagan tatkala fikirannya membayangkan semua itu.
        “Idzry, apa yang Idzry nak cakapkan dengan ibu tadi?” Puan Ungku Sofia menegur apabila Idzry menyepi seketika. Dia cuba membaca apa yang sedang bermain dalam fikiran si anak kesayangannya itu.
        Idzry merentap pandangan mata Puan Ungku Sofia. Bergerak-gerak bibirnya namun tiada suara yang keluar. Dia terlalu ingin menyatakan hasrat itu tetapi lidahnya kaku. Tidak terluah! Akhirnya Idzry menggeleng kepala. Dibiarkan hasrat itu tenggelam. Mungkin dia tidak perlu beritahu rancangannya kepada Puan Ungku Sofia. Dia hanya perlu membawa Elisa bersama ke rumahnya, kemudian memperkenalkan gadis itu pada ibu.
        “Lah, geleng kepala pulak. Tadi kata ada hal penting,” omel Puan Ungku Sofia.
        “Nanti ajelah Idzry cakap kat ibu,” kata Idzry dengan kuluman senyuman menghiasi wajah.
        Puan Ungku Sofia tercari-cari kelibat Ardilla. Kemudian dia melihat jam pula. Sudah lebih lima belas minit Ardilla meminta diri untuk pergi ke tandas tetapi gadis itu masih belum muncul-muncul. Puan Ungku Sofia jadi gelisah pula.
        “Mana Dilla ni? Dah lebih lima belas minit pergi tandas, tak jugak muncul-muncul. Takkan lama sangat memerap dalam sana tu,” gumam Puan Ungku Sofia. Diluaskan pemandangan mata.
        Idzry hanya memerhati keresahan ibunya. Lagak seperti Ardilla itu anak sendiri. 
        “Idzry pergi cari Dilla. Entah ke mana hilangnya budak tu,” suruh Puan Ungku Sofia.
        Idzry menggelengkan kepala tanda dia tidak mahu menuruti permintaan Puan Ungku Sofia. Puan Ungku Sofia mengeluh.
        “Pergilah. Mana tahu dia sesat ke, tak jumpa jalan datang tempat kita ni ke. Pergilah,” gesa Puan Ungku Sofia. Wajahnya menggambarkan kegelisahan yang kian meruncing.
        “Alah, Dilla kan dah besar panjang. Tahulah dia nanti cari kita. Entah-entah dia singgah mana-mana kedai agaknya. Tu yang lambat.” Idzry masih menolak permintaan Puan Ungku Sofia. Berat kaki hendak melangkah pergi mencari Ardilla. Ardilla bukan anak kecil yang akan sesat apabila berjalan seorang diri. Cuma ibunya sahaja yang terlebih risau.
        “Idzry pergilah cari dia. Ibu risau ni. Dah dekat setengah jam, tak datang-datang sini pun.” Puan Ungku Sofia semakin mendesak. Sungguh dia risau. Ardilla masih baru di tempat ini meski mereka kerap keluar bersama datang ke mari. Gadis itu baru pulang dari London beberapa bulan yang lalu. Segala kemungkinan boleh terjadi. 
        Lemas kerana acap kali dipaksa untuk mencari Ardilla, akhirnya Idzry akur dengan permintaan ibunya walaupun di dalam hati mendongkol geram. Dihayun langkah kaki dengan gagah. Idzry meninggalkan Puan Ungku Sofia sendirian di meja itu.
        Idzry mencari-cari Ardilla di sekitar aras bawah pusat membeli-belah. Satu pusingan sudah dilalui, namun bayang Ardilla tidak juga kelihatan. Idzry meneruskan pencarian di aras yang kedua. Di situ dia mencari Ardilla di beberapa buah kedai yang dirasakan menjadi tumpuan Ardilla. 
        Separuh perjalanan, Idzry keletihan. Penat kakinya. Dia berhenti seketika dan bersandar di dinding. Meliar matanya. Tiba-tiba Idzry teringat sesuatu. Pantas dia menyeluk poket seluar dan mengeluarkan telefon bimbit. Rasanya dia masih lagi  menyimpan nombor telefon bimbit Ardilla, cuma dia tidak pasti sama ada Ardilla masih menggunakan nombor itu atau tidak.
        Tiga empat kali dicuba, namun panggilan itu tidak berjawab. Idzry melihat telefon bimbit miliknya. Kenapa tidak berangkat? Idzry menggaru kepala. Kalau begini, lebih baik Ardilla melupuskan telefon yang digunakan sekarang. Ditelefon, tidak dijawab pula, getus Idzry di dalam hati.

“BERAPA harga boneka kayu ni?” tanya Ardilla. Dia menuding ke arah sebuah patung yang diperbuat daripada kayu. Bentuknya seakan Pinocchio tetapi saiz patung itu lebih kecil sedikit. Ardilla membelek-belek patung tersebut.
        “Tiga puluh sembilan ringgit sembilan puluh sen,” jawab seorang gadis berbangsa India. Gadis itu menghulur senyum mesra.
        Ardilla mengangguk-angguk. Dia ingin membeli patung kayu itu namun beg duitnya ditinggalkan bersama Puan Ungku Sofia. Boleh sahaja kiranya dia pergi mengambil beg duit itu dan kembali ke sini tetapi perasaan malas bergulung dalam diri. 
        “Dilla!”
        Ardilla berpaling. Kaku tatkala melihat Idzry terpacak di belakangnya. Cepat-cepat dia berpusing. “Idzry.”
        Idzry mendekati Ardilla. Dia mencekak pinggang. Puas dicari rupanya Ardilla ada di kedai cenderahati ini. Walhal berkali-kali juga dia lalu-lalang depan kedai ini, tetapi tidak pula dia terlihat bayang Ardilla.
        “Mana you pergi? Puas I cari, rupanya you kat sini. Tu, ibu I dah naik risau bila you tak muncul-muncul,” omel Idzry.
       Ardilla tertawa. Sekian lama Idzry mendiamkan diri, baru kini lelaki itu berbicara dengannya. Hati Ardilla berbunga riang.
        “Ni hah, I ternampak boneka kayu ni. Berkenan. Cantik, kan?” usul Ardilla. Langsung menunjukkan patung kayu itu kepada Idzry. 
        “Dah berkenan, kenapa tak beli aje?” 
        Ardilla meletakkan semula patung kayu itu di tempat asal. “I tak bawa beg masa pergi tandas tadi. Nak turun ambil, malas.”
        Idzry merenungi Ardilla. Gadis itu masih membelek patung kayu tadi. Dia tahu Ardilla berkeinginan memiliki patung kayu itu. Idzry mengambil patung kayu itu dan diberikan kepada gadis India tadi dan menyuruh gadis India itu membungkus patung kayu tersebut. Ardilla terkebil-kebil melihat tindakan Idzry.
        Selepas membayar sejumlah wang, Idzry pun menyambar beg plastik di atas meja. Dia berjalan laju menghampiri Ardilla. Ardilla pula tidak lepas memerhatikan Idzry. Ardilla tercengang apabila Idzry menghulur beg plastik itu padanya. Tidak pula dia mengambil bungkusan itu.
        “Ambillah,” gesa Idzry.
        Ardilla masih pegun.
        Idzry menghela nafas panjang. Dia mencapai tangan Ardilla dan meletakkan bungkusan itu dalam pegangan Ardilla.
        “You nak sangat boneka ni, kan? I dah belikan untuk you. Anggap ni sebagai hadiah sempena kepulangan you ke tanah air,” ujar Idzry. Segaris senyuman di bibir cukup ikhlas pada pandangan Ardilla yang tajam memerhati.
        Setelah beberapa ketika Ardilla hanya terdiam dan kaku di situ tanpa sebarang kata, akhirnya bibir merah itu mengukir senyuman jua. Senyuman itu bagai wakil hati yang diserbu perasaan gembira.
        “Terima kasih,” ucap Ardilla.
        Idzry mengangguk. Bukan dia tidak tahu kesukaan Ardilla. Mereka berkawan sejak kecil. Malah hubungan yang terjalin ibarat abang dan adik. Apa sahaja kesukaan dan kegemaran Ardilla diketahui. Apabila mereka mingkat remaja, hubungan itu kian malap namun mereka kekal berhubung. 
Ketika Ardilla mengambil keputusan meninggalkan tanah air dan berangkat ke London untuk menyambung pengajiannya, ikatan yang terjalin antara mereka juga bagai terbang bersama. Sejak saat itu, mereka tidak berutus khabar walhal teknologi sekarang sudah canggih. Kemudahan yang ada tidak pernah digunakan. Idzry mendapat khabar tentang Ardilla daripada Puan Ungku Sofia.
        “You masih ingat tak boneka kayu yang you buat untuk I?” soal Ardilla.
        “Boneka yang macam tak berapa nak jadi sangat tu? Mestilah I ingat sebab boneka tu, tangannya sebelah pendek sebelah panjang. Dah tu masa I beri kat you, you pun bukan main gelakkan I. Sampai terguling-guling atas lantai, kan.”
        Ardilla menampar perlahan tubuh Idzry. “Tipu! Mana ada I ketawa sampai guling atas lantai. I gelak-gelak aje okey.” Ardilla menegakkan kejadian yang sebenarnya.
        Idzry ketawa gelihati. Ah, waktu itu mereka masih kecil. Masih erat hubungan yang terjalin.
        “I masih simpan lagi patung tu.”
        “Really?” aju Idzry seakan tidak percaya.
        Ardilla mengangguk.
        “Dan I akan simpan patung kayu ni sama macam patung yang dulu,” kata Ardilla.

notahujungkaki: Ada waktu, begitu sukar hendak memuaskan hati semua pihak, kan. Itu tak kena, ini tak kena. -.-' Jangan putus harapan! Oh ya, jalan cerita macam mana yang kamu semua suka? Yang ala-ala Vanilla Coklat tu ke? :') Sweet sangat kan drama tu. Dah macam Full House dah aku tengok. Haha. *Dulu pernah sukakan watak Amir, sekarang dah menggilai P-Shone :'))*

1 comment:

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Afiq Yassin

thank you :'))