Wednesday, February 1, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab7.

Assalamualaikum.

Before proceed to DAM, aku nak berkongsi sedikit cerita. Tak pernah sekalipun terlintas dalam kepala otak aku ni yang suatu masa nanti aku mampu menulis sesuatu dengan jumlah huruf dan perkataan dalam jumlah yang sangat melampau, menggunakan bahasa-bahasa cinta lagi jiwang, memasukkan unsur-unsur metafora, hiperbola dan segala bola-bola kat dalam ayat itu dan sekali gus terhasil sebuah cerita yang sangat panjang, ada konflik, dan segala turun naik storyline iaitu NOVEL. Huh, sekali panjang daaa ayat kat atas tu. Cumanya nak cakap pasal novel. Haha. Aku tak pernah tahu aku boleh menulis novel, reka cerita mengarut dan aku tak pernah anggap aku ada talent itu. Semua bermula dengan perasaan ingin mencuba dan suka-suka.

Itu aje yang aku nak kongsikan buat hari ini. Selamat membaca dan jangan segan untuk memberi pandangan tentang hasil karya tak seberapa dari budak mentah ini :') Selamat membaca dan semoga terhibur.











Bab tujuh
ANAK mata Kamelia begitu asyik memerhatikan beberapa keping kertas bersaiz A4. Di atas kertas itu pula ada kesan lakaran. Berconteng di sana sini, namun masih kelihatan cantik di matanya.
Kamelia membelek lagi. Kali ini sebuah lakaran busana kebaya moden menyentap pandangan mata. Lama Kamelia memerhati sebelum sebuah senyuman tersunging di bibir merah mekar itu. Semakin lama, semakin lebar senyuman Kamelia.
Melihat senyuman itu, membuatkan dada Elisa menjadi lapang. Selapang langit yang terbentang luas. Elisa dapat membaca makna senyuman manis Kamelia. Tentu Kamelia berpuas hati dengan hasil lakaran kasar rekaan busana pengantin wanita itu nanti. Selepas ini, bolehlah dia bersiap sedia untuk memilih, memotong dan menjahit kain.
Syukur, Kamelia tidak cerewet. Wanita itu memberikan idea bagaimana fesyen busana yang diingini, Elisa pula hanya perlu menjadikan impian wanita itu satu kenyataan. Langkah pertama, Elisa melakarkan segala idea Kamelia bersama kepakarannya di atas kertas. Seterusnya perlu mendapat persetujuan Kamelia. Mana tahu ada yang tidak kena dengan rekaannya itu.
“Macam mana?” soal Elisa. Walhal dia sudah tahu jawapan yang bakal Kamelia berikan.
Kamelia memandang Elisa. Dia tersenyum lagi. Perlahan-lahan Kamelia mengangguk tanda berpuas hati dengan hasil kerja Elisa.
“Muktamad! Saya nak Elis buat rekaan kebaya moden ni,” tutur Kamelia.
“Ada apa-apa lagi yang Lia nak saya tambah pada rekaan ni?”
Pantas Kamelia menggeleng. Baginya, rekaan itu cukup sempurna. Tiada cacat celanya. “Perfect! Rekaan Elis sangat cantik. Tak sabar nak tengok hasilnya nanti. Mesti bertambah berseri bila pakai kebaya ni,” kata Kamelia lagi sambil menunjukkan kertas lakaran kebaya moden itu di depan mata Elisa.
Elisa ketawa. Kebaya moden yang bakal dijahitnya nanti tidaklah secantik mana jika hendak dibandingkan dengan Kamelia.
“Eh, kebaya ni nanti biasa ajelah Lia. Yang cantiknya Lia. Kebaya ni pun jadi cantik dipandang bila tuannya dah cantik.” Jujur Elisa memuji Kamelia. Baginya, Kamelia seorang wanita yang sangat anggun. Kamelia wanita cantik bukan hanya di luar tetapi dalaman wanita itu juga indah.
Wajah Kamelia kemerahan menahan malu. Elisa menyedari keadaan itu terus ketawa gelihati. Kamelia juga seorang yang pemalu. Oh, sifat malu itu pakaian setiap wanita. Elisa masih ingat kata-kata ustazah yang mengajar sewaktu zaman persekolahan dulu.
“Elisa pun cantik.”
Elisa tersedak. Giliran Kamelia pula ketawa. Elisa menggaru kepala. Dia cantik? Jarang benar ada orang yang sudi mengatakan dia cantik selain Haji Emran dan Idzry. Rata-rata mengatakan dia punya sifat persis tomboy. Kalau pun dipuji cantik, saat dia menyarung baju kurung. Jika tidak, haram! Jangan dikata cantik, sedikit ayu pun tidak akan terungkap.
“Mana ada! Saya tak cantiklah,” dalih Elisa dengan senyuman terukir di bibirnya.
Kamelia menggelengkan kepala tanda tidak bersetuju dengan kata-kata Elisa sebentar tadi.
“Awak cantik Elisa. Segalanya tentang awak, cantik. Sangat cantik!”
Tawa Elisa meletus. Semakin gelihati.
“Agaknya Lia tak tengok saya betul-betul. Saya ni cantik? Kalau Lia, hah memang cantik, menawan, anggun. Saya ni, dahlah kadang-kadang berperangai macam lelaki, setakat bedak pun sikit-sikit tepek kat muka ni. Tak ada maknanya cantik, Cik Intan Nur Kamelia oii!”
“Orang cakap betul-betul dia ingat main-main pulak!” rungut Kamelia.
Tawa Elisa masih bersisa.
“Eh, saya nak jumpa Andiana. Nak bincang tentang photography session. Tapi tak nampak dia pun.”
“Dia ada kat dalam sana. Dekat bilik dia. Nak saya panggilkan ke?”
Kamelia menggelengkan kepala. Dia punya kaki dan masih berupaya untuk berjalan pergi ke bilik Andiana.
“Kalau macam tu, Lia terus aje. Dah tu belok kanan. Kat situ bilik dia,” tunjuk Elisa.
Kamelia mengangguk. Sebelum berlalu, Kamelia berpaling dan berkata, “Seriously, awak cantik Elisa.” Kamelia mengeyitkan mata dan berlalu pergi.
Elisa tersenyum sendiri. Tak habis-habis lagi! Bisik hatinya.
Dia cantik? Cantikkah dia? Oh, mungkin juga benar kata-kata Kamelia. Elisa tersenyum lagi.

“AKU cantik tak?”
            Elisa memegang kedua pipinya sambil mengerdipkan matanya berkali-kali di depan Diana. Diana yang sedang asyik menonton drama melayu di slot Akasia di TV3 langsung tidak mempedulikan pertanyaan temannya. Malah tidak mendengarnya pun.
            Elisa duduk bersila di atas sofa, menghadap Diana yang membelakanginya. Diana langsung tidak memberikan sebarang reaksi di atas soalan yang diajukan. Tidak dengar atau pura-pura tidak dengar? Elisa mencuit bahu Diana namun Diana menepis cuitannya. Khusyuk benar menonton drama itu.
Elisa memanjangkan leher. Tengok cerita apa agaknya? Patutlah mata langsung tak berganjak, rupanya tengok cerita Asmara. Minat benar Diana dengan pelakon yang membawa watak sebagai Asmara, Shah Jazle. Kata Diana, wajah pelakon Shah Jazle ada sedikit seperti tunangnya. Kalau sudah minat, tunang sendiri pun sudah kelihatan mirip dengan pelakon tersebut.
“Woi Diana!” Suara Elisa kedengaran kuat.
“Sekejaplah. Tunggu iklan, baru aku layan apa kau nak cakap tu.” Diana langsung tidak memandang Elisa ketika berbicara. Tumpuannya penuh pada kaca televisyen.
Elisa berpeluk tubuh. “Kau ni kan, kalau dah dapat Asmara kau tu, dengan aku ni pun kau tak nak layan. Kau pandanglah tv tu sampai berlubang.” Elisa meluahkan rasa tidak puas hatinya.
Seronok sangat ke cerita tu? Elisa tertanya-tanya. Andiana juga ada bercerita tentang drama tersebut. Katanya drama itu boleh tahan. Jalan cerita menarik. Selalunya Elisa menjadi pendengar sahaja. Hendak menyampuk, tidak tahu hujung pangkal cerita. Hanya Andiana dan Karmilla yang beriya-iya berkongsi pendapat mengenai drama tersebut.
Elisa turut sama menumpang minat Diana. Matanya tertumpu di skrin televisyen. Ralit juga dia menonoton drama itu. Ketika scene Asmara menyerbu masuk ke dalam bilik Zahlia, Diana sudah menjerit. Elisa tersentak waktu itu. Bertambah kuat jeritan Diana apabila drama Asmara tamat di situ dan akan bersambung minggu hadapan. Elisa tersenyum sahaja melihat gelagat Diana.
“Geram! Geram! Geram!” Diana marah-marah sambil menumbuk sofa beberapa kali. Mengetap bibir dengan kening hampir bercantum.
“Yang kau ni kenapa? Marah-marah pulak!” tegur Elisa.
“Kau tengoklah drama tadi. Ada ke time Si Asmara dah buka pintu bilik Zahlia, boleh pulak habis dramanya. Bersambung pulak minggu depan. Adoi, kena menunggu seminggu lagi!” bebel Diana.
Elisa menggelengkan kepala. Tabiat Diana memang begini. Pantang drama kegemarannya bersambung, pasti membebel. Kalau suatu masa dulu, drama Sephia pernah digilai Diana, sekarang drama Asmara pula.
“Namanya pun drama sayang oi! Kalau tak bersambung, tu namanya cerekarama atau telemovie. Hah, baguslah dia habis waktu klimaks macam tu. Minggu depan, peminat drama Asmara yang tegar macam kau ni mesti sibuk melekat depan tv tu , kan.” Kata-kata Elisa diselangi dengan gelak tawa.
Diana memuncungkan bibir. Tidak puas hati betul! Tidak mengapa, minggu depan dia boleh menonton drama itu lagi.
“Hah, apa yang kau nak cakap dengan aku tadi?” usul Diana.
Elisa tersenyum lebar apabila tumpuan Diana kembali padanya. Elisa duduk bersila di depan Diana. Untuk beberapa ketika Diana tidak mengerti pergerakan bahasa tubuh Elisa apabila gadis itu meletakkan kedua belah tangannya dipipi sambil tersengih. Berkerut dahi Diana.
“Kenapa dengan kau ni? Sengih-sengih, dah macam kerang busuk daaa!”
“Kau ni! Kerang busuk dikatanya aku. Cehh!” gumam Elisa, geram.
“Dah tu, kau buat gaya macam tu, mana aku faham Elisa oii!”
Elisa tergelak. Memang silap dia. Bukannya dia tidak kenal Diana yang sangat susah hendak memahami sesuatu andai ianya diberitahu dengan menggunakan bahasa tubuh.
“Aku ni cantik tak?”
“Hah?”
“Cantik tak aku ni?” soal Elisa lagi.
Diana menggaru kepala. Soalan apa ini? Elisa tidak pernah mengutarakan soalan begini. “Kau ni kenapa tiba-tiba tanya macam ni? Dah buang tabiat ke?”
Elisa ketawa. Kalau tidak kerana Kamelia memujinya cantik petang tadi, pasti mulutnya terkunci untuk bertanyakan soalan itu kepada Diana.
“Petang tadi, ada seorang customer tu nama dia Intan Nur Kamelia. Dia kata aku cantik,” beritahu Elisa. Senyumannya mekar. Kembang sebentar hati tatkala teringat pujian tersebut.
“Perasanlah tu!” ujar Diana.
Elisa ketawa lagi.
“Tentulah aku terperasan sekejap.”
Diana turut tenggelam dalam tawa itu. Jujur dari hati, baginya Elisa seorang gadis yang cantik baik dari segi paras rupa mahupun hati budinya. Cuma ianya tidak pernah terluah di bibir sahaja.
Ketika sedang bergelak ketawa bersama Diana, Elisa teringat akan sesuatu. Sesuatu yang memang hendak diberitahu kepada Diana. Sesuatu yang penting! Elisa segera meletakkan tangannya di pipi Diana. Tindakannya itu mengundang tanda-tanya di dalam diri Diana.
Apa pula kali ini? Hati Diana berdetak-detik dengan pelbagai persoalan.
“Idzry lamar aku!”

“WHAT?!”
            Elisa mengangguk laju.
            “Idzry ajak kau kahwin?”
            Elisa mengangguk.
            “Ka... kahwin? Kau kahwin dengan Idzry?”
            Elisa mengangguk lagi. Kali ini disertakan bersama kuluman senyuman menghiasi bibir.
            “Bila dia lamar kau? Wah, macam mana cara dia lamar? Romantik tak? Dia ada tak melutut depan kau? Dah lamar ni, bila kahwinnya?” Bertalu-talu soalan keluar dari mulut Diana. Bagaikan peluru.
            Elisa pula jadi pening kepala. Tidak tahu yang mana perlu dijawab dahulu.
            “Kau ni, sekali sembur dah macam peluru tahu. Cuba tanya satu-satu,” kata Elisa.
            Diana tersengih. “Cuba cerita sikit.”
            Elisa tersenyum lagi sebelum membuka bicara. Masih terngiang ditelinga suara Idzry melamarnya. Masih terbayang di ruang mata wajah Idzry ketika dia menyatakan persetujuan. Ah, bahagianya!
            “Lebar senyum kau! Bahagia sangatlah tu,” tegur Diana.
            “He’s my only one, Diana.”
            Diana memahami perasaan Elisa. Terlalu lama Elisa memendam perasaan terhadap Idzry. Baru dua tahun yang lepas Idzry juga punya perasaan yang sama. Dan akhirnya kasih mereka berdua bakal bertaut erat dalam ikatan yang akan temetri suatu masa nanti. Diana memeluk Elisa. Seeratnya.
            “Bagaikan mimpi semua ni Diana. Dulu aku selalu berangan dapat berdamping dengan dia. Berada dalam hidup dia sebagai seseorang yang istimewa. Sekarang, aku bakal menjadi isteri dia. Aku bahagia sangat,” luah Elisa. Pelukan itu dirasakan semakin erat.
            Diana tersenyum. Dia meleraikan pelukan.
            “Idzry tu dah jumpa ayah kau, cakap pasal niat dia tu?”
            Elisa menggelengkan kepala.
            “Belum?” Diana nampak terkejut. Kata hendak memperisterikan Elisa, berjumpa dengan orang tua Elisa pun belum lagi.
            “Sabarlah, Diana. Aku pun tengah cari masa nak bawa dia jumpa ayah aku. Perkara macam ni, tak boleh terburu-buru. Aku pun tak pernah jumpa keluarga dia. Gementar tahu!”
            Diana tergelak.
            “Nanti kalau kau kahwin, aku nak jadi pengapit kau tau.”
            “Tentulah! Hanya kau aje calon terbaik yang aku ada,” balas Elisa.
            Sehingga ke tengah malam, kedua-dua teman karib itu terus berkongsi cerita. Adakala bicara mereka diselangi dengan gelak tawa yang memecah kesunyian malam.

notahujungkaki: Aku nak promote sesuatu kat sini  ------- kalau sudi, pergilah ke kedai buku berhampiran korang dan dapatkan novel sulung aku di bawah terbitan Kaki Novel :') Buah tangan pertama, tentu ada silapnya. Andai terpandang kesilapan itu, tegurlah supaya aku boleh memperbaikinya di masa akan datang :') Judul: Cinta Dalam Hati ------ Penulis: Salwati Haris ------- Penerbit: Kaki Novel Enterprise.


No comments: