Thursday, February 2, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab8.

Assalamualaikum.

Bercerita mengenai novel pertama yang berada di pasaran sekarang ni, aku sangat bersyukur dengan rezeki yang tak disangka ni. Fuh, macam mimpi aje tahu! Segan pun ada. Tiba-tiba pergi kedai buku, nampak nama sendiri tertepek kat kulit depan buku. Haha. Ini satu pengalaman baru buat aku. Sangat baru. But I like it. Ada juga terfikir nak hantar yang kedua tu kat publisher tapi masih terlalu awal, kan. Yang pertama pun tak tahu macam mana feedbacknya. Diterima atau tidak oleh pembaca kat sini.

Malam ni, aku sajikan korang dengan DAM lagi. Hope korang tak bosan dengan entri berasaskan novel ni. Selamat membaca dan semoga terhibur :')











Bab lapan
“AYAH, ada perkara yang Elis nak beritahu ayah.” Elisa bersuara memecahkan keheningan malam. Waktu itu dia dan Haji Emran sedang duduk-duduk bersantai di luar rumah. Menikmati suasana malam yang begitu mendamaikan.
            Haji Emran meneguk secangkir kopi sebelum menumpukan sepenuh perhatiannya kepada Elisa. “Apa bendanya yang Elis nak beritahu ayah? Mmm... dengarnya macam perkara besar aje,” duga Haji Emran.
            Elisa menelan air liur. Lambat-lambat dia membuka mulut. Dia mesti lakukannya sekarang. Jika tidak, bila lagi hendak diberitahu tentang hubungannya dengan Idzry. Tambahan pula, hubungan mereka semakin serius. Idzry sudah melamarnya!
            “Ayah...”
            “Iya. Apa dia yang Elis nak beritahu ayah? Ayah tunggu ni,” ujar Haji Emran.
            Elisa menarik nafas.
            “Elis nak kahwin.” Termuntah juga akhirnya kata-kata itu dari mulutnya.
            Haji Emran pula yang tersedak. Bukan apa, terkejut! Tiada angin, tiada ribut tiba-tiba sahaja anak bongsunya ini mahu berkahwin. Dengan siapa? Haji Emran tidak pernah tahu kalau-kalau sebelum ini Elisa ada berkawan dengan mana-mana lelaki. Berkerut dahi Haji Emran dengan matanya tepat memanah ke arah si gadis yang sedang pegun di depannya.
            “Elis nak kahwin?”
            Elisa mengangguk. Entah kenapa, dia merasakan satu debaran hebat sedang berperang di dalam diri. Pandangan mata Haji Emran tidak dilawan sebaliknya dia hanya menekur lantai bumi yang berumput itu.
            “Kahwin?” Haji Emran mengulangi pertanyaan itu.
            Elisa mengangguk lagi. Akhirnya Elisa mengangkat wajah dikala terdengar tawa Haji Emran meletus. Lama Elisa memerhati si ayah yang masih ketawa panjang. Kenapa ayah ketawa? Apa yang mencuit hati lelaki separuh usia itu? Elisa tertanya-tanya.
“Betul Elis nak kahwin?” Untuk kesekian kalinya Haji Emran bertanyakan soalan yang serupa. Senyuman dibibir lelaki separuh usia itu masih berbunga.
Elisa mengangguk laju.
Haji Emran merenungi si anak gadis yang sedang turut sama memandangnya. Jika benar Elisa mahu berkahwin, sudah bersedia untuk menempuh alam rumahtangga, dia merestuinya asalkan bakal suami Elisa itu seseorang yang boleh menjadi seorang suami yang terbaik buat anak bongsunya.
“Ayah izinkan Elis kahwin?” Giliran Elisa pula bertanya.
Haji Emran tersenyum lagi dan dengan perlahan dia mengangguk. Melihat sahaja anggukan dan senyuman ayahnya, dada Elisa lapang. Segala rasa yang berperang dalam diri terus lesap. Serentak dengan itu, Elisa terus memeluk Haji Emran. Erat.
“Sebelum tu, ayah nak tahu juga siapa bakal menantu ayah,” ujar Haji Emran dan menyambung, “Siapa lelaki pilihan Elis?”
Elisa meleraikan pelukan. Senyumannya masih belum mati. Gembira sangat! Dalam hati, tidak sabar hendak bercerita tentang kekasih hati kepada si ayah. Dia pasti ayah akan menyukai pilihannya seperti mana ayah menyenangi pasangan abang dan kakaknya.
“Nama dia Idzry, yah. Muhammad Idzry bin Latif.” Malu-malu Elisa memberitahu nama lelaki pujaan hatinya.
Haji Emran tersenyum lagi. “Dah lama Elis berkawan dengan budak lelaki tu?”
“Dua tahun, ayah,” jawab Elisa. Sesaat kemudian Elisa merangkul lengan Haji Emran dengan erat. Kepalanya disandarkan dibahu ayahnya.
“Idzry lelaki paling baik yang Elis pernah jumpa. Tak pernah sekali pun dia menyakiti hati dan perasaan Elis. Dia sangat baik, bertimbang rasa dan paling penting dia memahami Elis. Kami saling sayang menyayangi, ayah. Elis percaya, dia boleh jaga Elis seperti mana ayah jaga Elis selama ni.” Sungguh-sungguh Elisa memberitahu serba sedikit tentang diri Idzry.
Haji Emran tersenyum meleret. Rupanya senyap-senyap Elisa sudah punya kekasih hati. Dia pula sebagai orang tua, tidak dapat menghidu hubungan cinta si anak gadis.
“Ayah tak kisah siapa pun pilihan Elis asalkan lelaki tu boleh jaga Elis dengan baik. Lagipun anak ayah kan dah besar, tahu memilih mana baik mana buruk,” kata Haji Emran.
“Sebelum tu, ayah nak tengok juga bakal menantu ayah. Hah, bilaElis nak bawa dia jumpa ayah?”
Elisa menggaru kepala. Jumpa? Bila? Mereka belum merancang pertemuan itu. Elisa tersengih dan kemudian menggelengkan kepala.
“Habis tu, bilanya ayah nak jumpa dengan budak lelaki tu? Kata nak kahwin.”
“Alah, ayah ni. Bukan terus kahwin. Tunang dulu. Lagipun, Elis sendiri belum pernah jumpa keluarga dia.”
Haji Emran mengulum senyum. Budak zaman sekarang, tahu-tahu sahaja sudah hendak kahwin. Entah bila bercinta, orang tua tidak tahu. Berbeda sungguh dengan zaman dulu. Kalau hendak keluar bersama, ditemani ibubapa juga. Hendak berbual juga terasa segan.
Zaman sudah berubah. Begitu juga dengan manusia.

JARI-JEMARI Elisa pantas mencanting sesuatu di atas sehelai kertas putih bersaiz A4. Dengan hanya menggunakan sebatang pensel 4B, dia pantas menvisualkan apa yang sedang bermain di kanvas fikiran. Sesekali sebuah senyuman kecil meniti bibir itu.
            Untuk seketika, Elisa berhenti melukis. Mata bulatnya tajam memerhatikan kertas itu dengan tangan kanannnya berada di bawah dagu. Seperti ada sesuatu yang tidak kena dengan lukisan itu. Pemadam diambil dan perlahan-lahan dia memadam sedikit cantingan pensel tersebut.
            Untuk kesekian kalinya, Elisa kembali ke dalam dunianya. Leka dia mereka lukisan kasar sehelai busana pengantin. Ya! Sehelai busana pengantin yang sekian lama menjadi impiannya untuk direka sendiri dan dia juga akan menjahitnya nanti.
Meski pun masih terlalu awal untuk membuat sebarang persediaan, dia dan Idzry masih tiada apa-apa hubungan yang memungkinkan mereka akan disatukan suatu waktu nanti, namun dia percaya saat itu akan muncul jua. Oleh sebab itu, cepat-cepat dia membuat persediaan mereka busana pengantin itu sementara idea dan keinginan masih meluap-luap dalam diri.
Busana yang akan dipakainya nanti mestilah ringkas tapi cantik. Dicampurkan fesyen moden dan tradisional. Dia tidak mahu rekaan tersebut sarat dengan segala manik dan labuci. Cukuplah sekadar sedikit batu-batu berkilat di kaki baju dan leher busana tersebut. Kalau banyak sangat kilauannya, nanti nampak macam pokok krismas pula. Meriah!
            Idzry!
            Saat hati menyeru nama Idzry, sekelipan raut wajah Idzry berlayar di ruang mata. Renungan lembut Idzry menggoncang hati. Mahu sahaja dia rebah waktu itu juga meski renungan itu sekadar bayangan diri yang sedang diamuk perasaan rindu yang tidak bertepi.
            “Adik!”
            Elisa terperanjat. Suara itu cukup kuat sehingga menghalau bayangan Idzry dari fikiran. Elisa berpaling. Eznira, kakaknya sedang berdiri di muka pintu sambil tersenyum lebar. Elisa dapat mengagak tujuan Eznira menyergahnya begitu.
            Senyuman Eznira masih belum mati. Dia mengatur langkah mendekati si adik. Terlalu banyak perkara yang hendak ditanya. Eznira melabuhkan punggung di atas katil. Duduk bertentangan Elisa. Eznira berdehem beberapa kali namun Elisa buat tidak tahu sahaja. Tahu apa tujuan Eznira. Tentu ayah sudah beritahu berita itu kepada abang dan kakaknya.
            “Amboi, sejak bila pandai berahsia dengan akak ni? Bila ayah buka cerita, akak yang terkejut besar tahu.”
            Elisa menjungkit bahu. Eznira pula tidak puas hati. Elisa tidak pernah begini.
            “Nak berahsia pulak dengan akak, ya?” Eznira bangun dan menghampiri Elisa. Waktu itu juga dia mengambil peluang menggeletek si adik yang langsung tidak mengendahkan dirinya.
            Elisa kegelian. Dia cuba melepaskan diri namun Eznira lebih tangkas. Semakin ligat jari-jemari Eznira berlari di badan Elisa.
            “Kak, gelilah!” jerit Elisa. Puas sudah dia cuba melepaskan diri namun tidak juga berjaya. Dari duduk di atas kerusi sehinggalah kini berada di atas katil, Eznira masih tidak mahu melepaskan adiknya.
            “Okey... okey. Elis mengalah. Nanti Elis cerita semua. Semua sekali.” Akhirnya Elisa mengangkat bendera putih. Jika dia terus mengunci mulut, pasti perkara lain pula yang akan jadi. Bukannya dia tidak kenal dengan Eznira Najiha. Silap-silap dia boleh pengsan kerana menahan geli.
            Eznira tersenyum puas. Tahu kelemahan Elisa. Eznira duduk bersila di hadapan Elisa. “Cepat cerita. Akak nak dengar.”
            “Apa yang akak nak tahu?” soal Elisa.
            “Semua sekali,” jawab Eznira sambil tersenyum.
            Elisa juga mengukir senyuman mesra. Tiada rahisa antara mereka sejak kecil. Apa sahaja yang berlaku, akan diberitahu kepada Eznira. Baginya, Eznira bukan hanya seorang kakak sebaliknya Eznira Najiha juga teman karibnya.
            Apabila ianya berkait dengan Idzry, seorang lelaki yang sudah berjaya mencuri hatinya bertahun lama, dia jadi segan pula hendak membuka mulut. Apatah lagi hendak bercerita perihal cinta-cinta dengan Eznira. Pasti akan digelakkan nanti. Bukankah dia juga yang akan malu? Justeru itu, dia menguci mulut. Hanya Diana sahaja yang tahu segala coretan hati yang tertulis nama Idzry dalam setiap helaiannya.
            “Cepat cerita. Akak nak tahu semuanya,” ujar Eznira dalam senyuman.
            Elisa menarik nafas. Melihat keterujaan Eznira menjadikan Elisa bersemangat untuk bercerita perihal Idzry. Sedikit-sedikit bibir Elisa mengungkap bicara, bercerita tentang peribadi si kekasih yang menawan hati. Sesekali muncul senyuman manis dibalik tutur kata Elisa.
            Peribadi Idzry tiada yang cela. Semuanya baik. Bagi Elisa, Idzry seorang lelaki yang sangat baik. Berulang-ulang kali disebut tentang kebaikan Idzry. Idzry tidak pernah mengabaikannya. Idzry tidak pernah menyakiti hati. Idzry tidak pernah melakukan perkara yang boleh membuatkan dia tersinggung. Segalanya sempurna apabila ianya keluar dari mulut Elisa.
            “Elis bahagia dengan dia?” Eznira merenungi Elisa. Dia mahukan kepastian. Tatkala melihat anggukan kepala berserta senyuman mekar, Eznira mengurut dada.
            Eznira memandang Elisa tanpa berkelip. Terasa cepat benar masa berlalu. Pejam celik pejam celik, Elisa sudah meningkat dewasa. Kini hendak berkahwin pula. Elisa bukan lagi seorang anak kecil yang butuhkan perhatian. Elisa bukan si anak kecil yang akan menangis tatkala terpaksa tinggal di rumah seorang diri.
            “Elis!”
            Serentak Elisa dan Eznira berpaling.
            “Kak Aisha! Masuklah,” ajak Elisa.
            Pantas Aisha melompat naik ke atas katil. Eznira dan Aisha saling berbalas senyum. Yang pasti, Aisha juga punya agenda yang sama seperti Eznira.
            “Okey, sekarang Elis tahu apa yang Kak Aisha nak. Mesti Kak Aisha nak tahu benda yang Kak Eznira dah tahu, kan?” Elisa menyerkap jarang.
            Aisha ketawa. Eznira juga.
            “Banyak benda yang akak nak tahu. Tapi lebih utama, banyak benda yang Elis kena uruskan kalau pihak lelaki dah bersetuju untuk masuk meminang.” Aisha mengingatkan.
            Eznira mengangguk tanda setuju.
            “Esok, kalau Elis nak pergi beli segala barang hantaran, jangan lupa ajak akak. Kak Aisha sekali. Nanti senang sikit,” cadang Eznira.
            “Betul tu. Lagipun, ini ajelah saat untuk kami merasai semula detik-detik yang pernah kami lalui dulu, kan Ira.”
            Eznira ketawa.
            Elisa memandang Eznira dan Aisha. Silih berganti. Siapa yang akan dipinang? Dia atau kakak-kakaknya? Elisa tertawa dalam hati. Dengan adanya kedua-dua orang wanita yang sudah berpengalaman menghadapi saat-saat begini, pasti menguntungkan dirinya juga. Senang kerja.
            Idzry, semoga angan dan impian kita jadi nyata. Dengan izin-Nya, kita akan bersatu dalam ikatan yang akan mengikat hubungan kita hingga ke akhirnya.

Thank you for reading this :')

notahujungkaki: Inspirasi aku mendapatkan idea? Tentunya dengar lagu! :')

2 comments:

AYRA ZAHRA said...

pheeewwwiiitt ..good luck dear..aku sokong kau..huhu..:)

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Missweet

anyonyonyoooo... ^^Y tq babe :') ko pon kna cpt2 siapkan manuskrip tu ye :')