Friday, February 3, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab9.

Assalamualaikum

Aku sedang berusaha untuk menyiapkan projek ketiga ini dalam waktu yang terdekat. Terdekat? Ohh, aku rasa sangat mustahil! Sejak akhir-akhir ni, aku kekurangan idea, sekali gus membantutkan niat aku untuk terus menulis. Aku adap Word tu sampai ada lubang bulat kat tengah-tengah. Haha. Proceed to DAM, sekarang dah masuk Bab9 rupanya. Sikit lagi tu. Aku membayangkan jumlah bab untuk projek ni berbab-bab. Jauh lagi perjalanan aku bersama DAM ni.

Selamat membaca dan semoga terhibur :')











Bab sembilan
SUASANA di Butik Seri Andaman gamat dengan kehadiran dua orang anak Karmilla, Mona Batrisya dan Munir Hanif. Gelagat comel Mona yang baru sahaja mencecah usia tujuh tahun menawan hati sesiapa sahaja yang melihatnya. Munir juga mempunyai aura seperti si kakak. Walau baru berusia lima tahun, si kecil itu sudah pandai beramah mesra dengan orang di sekeliling.
            Sesekali terdengar jeritan Munir tatkala si kakak nakal mengusik. Ada sahaja yang hendak dikenakan pada Munir. Ada waktu Munir duduk senyap sambil melukis sesuatu di atas kertas, Mona pula datang mengacau. Diambil segala peralatan lukisan Munir sehingga Munir merengek. Nanti Karmilla juga yang pening kepala.
            “Kakak! Itu adik punya!”
            Sekali lagi suara Munir kedengaran. Mona tergelak sahaja ketika wajah Munir beriak hendak menangis.
            “Kenapa ni, Munir?” Karmilla tergoncoh-goncoh mendapatkan anak-anaknya.
            Munir terus menerpa ke arah Karmilla. Dengan suara yang sayu dan mimik wajah kesedihan, dia mengadu akan perbuatan Mona. Mona pula buat tidak tahu sahaja.
            “Mona, kenapa ni? Kenapa adik nangis?” Giliran Mona pula disoal.
            Mona menjungkit bahu.
            “Kakak ambil kertas adik,” adu Munir.
            Karmilla menghela nafas. Melihat pergaduhan kecil anak-anak, membuatkan dia letih. Mona dengan kenakalannya. Munir pula dengan sifat sensitif dan sukar diajak bersenda. Silap-silap nanti, gurauan itu boleh membuat anak kecil itu menangis.
            “Nah. Orang main-main aje pun!” Mona menghulur sekeping kertas. Dalam keadaan teresak-esak, Munir mengambil kertas tersebut.
            Elisa tersenyum sendiri melihat gelagat tiga beranak itu. Munir tidak berwajah sedih lagi. Malah anak kecil itu membontoti langkah si kakak ke ruang rehat yang dikhaskan untuk kegunaan mereka.
            Kadang kala Elisa jatuh kasihan melihat keadaan Karmilla. Nampak sahaja kuat di luar namun di dalam hati, tiada siapa yang tahu. Pasti sukar membesarkan dua orang anak seorang diri tanpa seorang lelaki di sisi yang digelar suami. Elisa tahu, Karmilla sudah pun bercerai dengan Mokhtar kerana lelaki itu dikatakan berlaku curang, menduakan Karmilla tanpa pengetahuan Karmilla.
            Elisa termenung. Dalam menungan itu, dia terbayang Idzry. Dia tidak mahu nasib hidupnya nanti seperti Karmilla. Mahligai yang dibina tidak kekal seperti yang diangankan. Doanya semoga apa yang diimpi, yang diangankan menjadi nyata. Dia mahu angan dan impian itu kekal sehingga akhir hayat.
            “Papa!”
            Tiba-tiba Mona menjerit nyaring. Diikuti Munir pula. Kedua-dua beradik itu berlari ke pintu utama butik. Mereka mendapatkan seseorang di depan sana. Elisa menjenguk. Berkerut dahinya. Siapa agaknya? Dia terdengar Mona menyebut papa. Mungkinkah ayah anak-anak itu datang untuk menjenguk anak mereka? Elisa berdiri pula supaya boleh melihat dengan lebih jelas.
            “Anak-anak papa apa khabar? Lama papa tak jumpa Mona dengan Munir. Rindu papa tak?”
            “Rindulah!” Hampir serentak Mona dan Munir bersuara.
            Elisa mengamati suara itu. Lain benar. Dan yang pasti dia seakan pernah mendengar suara garau itu tetapi tidak ingat di mana. Elisa berpura-pura sibuk ketika lelaki itu bersama Mona dan Munir melintas di depannya. Sempat dia menyoroti raut wajah lelaki itu. Elisa musykil. Dia yakin lelaki tadi bukan Mokhtar.
            Ah, biarlah siapa pun dia, bukan ada kaitan dengan aku! Hati Elisa bersuara. Cuba menghalang keinginan diri yang mahu mengetahui siapa lelaki itu. Elisa menyambung kerjanya semula namun ia hanya bertahan untuk beberapa minit sahaja. Tatkala terdengar suara Karmilla bergelak-tawa bersama Mona dan Munir, menarik kembali perasaan ingin tahu di hati Elisa.
            “Tak boleh jadi ni!” Elisa berkata sendirian.
            Dengan berhati-hati, Elisa mengatur langkah. Setapak demi setapak langkah dihayun mendekati ruang rehat di hujung sudut butik itu. Mujur ada sebuah almari besar di tengah-tengah laluan sebelum sampai ke ruang rehat tersebut. Sekurang-kurangnya dia boleh bersembunyi di situ sambil mengintip lelaki tadi.
            Mengecil mata Elisa. Susuk tubuh lelaki itu tidak seperti Mokhtar. Mokhtar bertubuh berisi sedikit dengan ketinggian yang sederhana. Tetapi nampaknya lelaki ini seperti memiliki ketinggian melebihi Mokhtar.
            “Elis!”
            Elisa terkejut besar. Itu suara Karmilla. Aduh, apakah wanita itu tahu dia sedang mengintip? Malunya! Elisa berundur beberapa tapak. Sejauh mungkin dia menghindar dari tempat itu. Berpura-pura tidak berada di situ.
            Lama Karmilla menanti namun bayang Elisa tidak juga muncul. Tidak dengarkah? Karmilla bingkas bangun dan berlalu meninggalkan anak-anaknya bersama lelaki itu.
            “Elis ke mana? Akak panggil tadi, tak dengar ke?”
            Pantas Elisa menggeleng. Hakikatnya dia yang terkejut mendengar namanya dipanggil Karmilla. Karmilla mengukir senyuman. Langsung tidak mengesyaki apa-apa.
            “Ni, akak nak minta tolong Elis belikan air sejuk kat kedai makan depan sana. Boleh tak?”
            Elisa mengangguk laju. Setakat menyeberang jalan untuk ke sebelah sana, tiada masalah. Elisa mengurut dada lega kerana Karmilla seakan tidak tahu perbuatan dia tadi. Elisa mengambil sejumlah wang yang dihulur Karmilla.
            “Akak nak orang beli air apa?”
            “Beli horlick ais dua, fresh orange satu dan carrot susu satu. Itu aje. Kalau Elis nak air, belilah sekali. Guna duit akak tu.”
            Untuk seketika, Elisa berfikir sesuatu. Pelik! Carrot susu dalam senarai pesanan walhal Karmilla tidak menggemari minuman tersebut. Begitu juga dengan Mona dan Munir. Masing-masing hanya menggelengkan kepala sahaja andai jus itu dihulur kepada mereka.

“AIR dah sampai!” laung Elisa dengan suara yang lantang.
            Mona terlebih dahulu mendapatkan dia di muka pintu dengan wajah riang. Kemudian diikuti Munir pula. Kedua-dua beradik itumenadah tangan, minta minuman masing-masing. Elisa tersenyum melihat gelagat dua beradik itu. Dihulur bungkusan minuman tersebut pada Mona dan Munir.
            “Air papa mana?” tanya Mona.
            “Air papa?” Elisa mengulangi pertanyaan Mona.
            “Tadi akak tak beli air untuk papa ke? Papa nak carrot susu.”
            Oh, fahamlah dia kini. Carrot susu yang dipesan tadi rupanya untuk lelaki itu. Elisa menayangkan bungkusan minuman carrot susu di depan mata Mona. Lebar senyuman Mona. Elisa hanya membontoti langkah kecil Mona apabila anak kecil itu mengajaknya pergi ke ruang rehat.
            Inilah masanya! Inilah waktunya dia mengambil peluang menatap wajah lelaki itu. Yang pasti, lelaki itu bukan Mokhtar. Elisa yakin!
            “Papa!” Mona menerpa ke arah Hilman. Dengan manja, Mona merangkul lengan Hilman.
            “Mana air papa?” soal Hilman.
            Mona berpaling. “Tu, ada pada Kak Elis,” jawab Mona sambil menjuihkan bibir.
            Elisa melangkah setapak. Dia menghulur bungkusan minuman itu.
            “Nah, carrot susu.”
            Hilman berdiri. Dia berpusing. Waktu itu, barulah Elisa bisa melihat jelas lelaki yang menimbulkan banyak persoalan dalam kepala. Memang bukan Mokhtar! Siapa agaknya lelaki ini? Elisa tertanya-tanya. Mungkinkah bakal suami baru Karmilla? Tidak berkelip mata Elisa memerhati lelaki itu.
            Hilman pula naik hairan apabila gadis di depannya pegun. Langsung tidak bergerak dengan mata bundar itu tajam merenungi diri. Tangan itu menghulur bungkusan minuman namun pegangan pada bungkusan itu kejap hinggakan hendak diambil juga susah.
            “Cik,” tegur Hilman.
            Elisa seakan baru tersedar dari tidur. Panggilan itu membangunkan diri. Cepat-cepat dia melepaskan pegangan pada bungkusan minuman tersebut. Jadi malu pula. Segera dia angkat kaki.
            Dalam langkah perlahan yang di atur, Elisa cuba mengenalpasti wajah lelaki tadi. Macam pernah berjumpa sahaja, tetapi tidak ingat di mana. Suara itu juga serasa pernah didengari, juga tidak ingat bila.
            Raut wajah itu... seakan pernah dilihat. Siapa dia? Elisa tertanya-tanya sendirian.
            “Dia!”
            Tiba-tiba Elisa mengingati sesuatu yang mengaitkan lelaki tadi. Berkira-kira dalam kepala. Dia cuba mengingati semula kejadian seminggu yang lalu. Kesan tapak kasut, kertas A4 yang tercanting rekaan busana pengantin Intan Nur Kamelia dan lelaki tadi silih berganti dalam fikiran.
            Elisa memetik jari. Dia sudah dapat. Ya! Tidak salah lagi. Dia tidak silap!
            Sepantas kilat, Elisa berpatah-balik. Dengan perasaan membara, dia pergi mendapatkan lelaki tadi. Perasaan itu kembali lagi. Membuak dan rasa hendak meletup keluar. Garang matanya merentap susuk tubuh Hilman yang sedang tekun menghadap peti televisyen. Mona dan Munir entah menghilang ke mana.
            “Kau kan yang pijak kertas aku hari tu!” Elisa menyergah.
            Hilman tersentak. Terkebil-kebil dia memandang Elisa. Gadis itu sedang bercekak pinggang. Hilman berdiri. Dia menggaru kepala.
            “Pijak kertas? Bila?” Hilman pula memuntahkan pertanyaan. Dia tidak faham.
            Elisa tersenyum sinis. Berpura-pura tidak ingat pula.
            “Kau yang pijak kertas aku. Kau ingat aku boleh lupa ke? Tak mungkin aku lupa tahu! Tu, tapak kasut bersaiz 9 tu, masih elok melekat kat kertas aku,” marah Elisa. “Kau tunggu sini!” Elisa memberi arahan sebelum berlalu pergi meninggalkan Hilman salam keadaan keliru.
            Elisa menyelongkar laci meja. Dia tercari-cari kertas tempoh hari. Mujur dia sempat membuat sketching yang baru meski tidak sama sepenuhnya seperti yang asal. Hah, jumpa! Elisa menarik kertas yang terselit di antara beberapa kertas A4 yang lain. Laju langkah kakinya dihayun ke tempat ruang rehat, di mana lelaki itu berada.
            “Ingat lagi?” soal Elisa sambil menunjukkan sehelai kertas A4 dengan kesan tapak kasut di atasnya.
            Lama Hilman melihat kertas dalam pegangan Elisa sambil mindanya ligat berfikir kaitan dirinya dengan kertas tersebut. Sepertinya dia pernah melihat kertas itu. Hilman mendongak. Kali ini wajah Elisa pula ditatapnya. Kerutan jelas di dahi gadis itu.
            “Kenapa dengan kertas ni?”
            Elisa menghela nafas. Mudahnya lelaki ini lupa!
            “Kau ni kan, dah lah buat kertas aku ada kesan kekal macam ni. Minta maaf pun tak.”
            Hilman menjungkit bahu. Elisa pula menggigit bibir. Geramnya! Lelaki ini benar-benar tidak ingat atau sengaja tidak mahu mengaku? Tanpa menunggu lebih lama, Elisa terus berlalu tanpa kata. Sakit hatinya.
            Hilman hanya memerhati langkah Elisa. Seketika kemudian, terbit sebuah senyuman di bibir itu. Meleret. Ada sesuatu tentang gadis ini, desis Hilman. Mana mungkin dia melupai gadis itu. Wajah garang dengan mata tajam menikam laksana pedang, ditambah pula dengan suara yang tinggi memarahi diri, masih jelas dalam memori.
            Siapa dia?

Thank you for reading this :')

No comments: