Saturday, February 4, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab10.

Assalamualaikum.

Bagi penulis baru macam aku, tentu ia sesuatu yang sungguh mengujakan apabila ada orang yang memberikan feedback positif lepas baca novel CDH. Ada juga yang memberi komen bahawa novel itu biasa-biasa aje tapi aku terima :') Pendapat masing-masing, kan. Yang suka, love you laa! Yang suka biasa-biasa, love you juga laa! :') Ya, aku akui kekurangan pengalaman dalam bidang ini membuatkan aku tak berapa pandai nak susun ayat, plot cerita supaya lebih menarik dan aku sedang belajar untuk memperbaikinya. Kepada yang sudi membeli dan membaca CDH, terima kasih diucapkan :') Maaf andai ianya tak memuaskan hati korang -.-'

Berbalik pada DAM, dah masuk Bab10. Wah, sehari satu entri aku buat, semua aku sumbat pasal DAM. Hope tak bosan ya. Selamat membaca dan semoga terhibur :')











Bab sepuluh
IDZRY tidak senang duduk. Terasa ada bara api di kerusi, tempat duduknya. Dahinya pula sudah terbit butir-butir halus peluh. Seperti sedang berada di dalam sauna pula walhal kipas terpasang dengan pusingan yang sudah sampai di tahap maksimum. Namun keadaan berangin ini masih tidak berjaya membuatkan dia selesa. Segalanya serba tidak kena.
            Ini merupakan kali pertama dia akan bersua muka, bertentang mata dengan ahli keluarga Elisa. Entah bagaimana agaknya penerimaan keluarga kekasih hatinya nanti? Ayah Elisa, macam mana agaknya sikap bakal bapa mertuanya itu? Abang dan kakaknya pula? Oh, segala macam perkara bermain dalam minda. Menyerabutkan fikiran.
            Demi mengurangkan rasa gemuruh, Idzry mengambil peluang mengamati suasana di dalam rumah sederhana besar itu. Dekorasi sangat ringkas tetapi masih cantik. Kalau dilihat dengan mata kasar, keluarga ini memilih untuk mengekalkan suasana tradisional dengan adanya perabot-perabot kayu jati dengan ukiran-ukiran seni tradisional.
            Idzry bangun dan berjalan mendekati jendela. Dia memandang ke luar jendela semata ingin melapangkan dada. Kemudian dia berjalan di sekitar kawasan ruang tamu. Anak mata Idzry berlari pula ke meja kayu yang terletak di hujung sudut ruang tamu. Ada beberapa bingkai gambar di situ.
            Idzry menunduk sedikit. Dia mengamati gambar-gambar itu. Senyuman terlakar di bibir saat dapat mengecam gambar Elisa semasa kecil. Kemudian Idzry melihat pula gambar keluarga itu. Gambar pertama cuma berempat sahaja. Yang nampak dimamah usia itu pasti ayah Elisa, duduk di kerusi. Seorang lelaki berdiri di belakang lelaki berusia itu tentu abang Elisa. Manakala seorang wanita yang tersenyum manis, berdiri di sebelah lelaki tadi, mesti kakak Elisa.
            Pandangan Idzry tertancap pula pada bingkai gambar yang mengabadikan gambar keluarga itu yang kelihatan lebih besar ahli di dalamnya. Masih terpapar muka-muka yang ada pada gambar sebelumnya, kali ini ada muka-muka lain. Juga ada wajah-wajah si kecil yang mulus. Idzry membuat perkiraan, tentu mereka menantu dan cucu dalam keluarga bahagia itu.
            Kerana terlalu leka meneliti, Idzry tidak sedar kedatangan Elisa bersama Haji Emran. Hanya apabila Elisa berdehem perlahan, barulah Idzry sedar. Saat berpaling, senyuman Idzry mati. Jadi kaku tatkala terpandangkan seorang lelaki separuh usia berdiri bersebelahan Elisa. Ditelan air liur sebutir-sebutir.
            “Ayah, inilah Idzry, kawan Elisa,” beritahu Elisa, memperkenalkan Idzry kepada Haji Emran.
            “Apa khabar, pakcik?” Idzry memulakan bicara. Sebuah senyuman tersunging di bibir. Muka kena nampak ikhlas, senyuman mesti kelihatan manis. Budi bahasa hendaklah sopan. Tutur kata harus kelihatan jujur. Itu percaturan dalam fikiran Idzry waktu itu. Hendak mendapatkan si anak, mesti tawan hati bapanya.
            Idzry menghulur tangan, mahu bersalaman dengan bakal bapa mertua. Haji Emran menyambut huluran tangan dengan segaris senyuman. Terasa tangan anak muda itu sejuk. Haji Emran tersenyum lagi.
            “Pakcik sihat,” jawab Haji Emran. “Sejuk tangan kamu Idzry,” sambung Haji Emran.
            Idzry terkesima. Ah, kerana terlalu menahan rasa berdebar, resah dan risau menyebabkan dia merasai kesejukan yang luar biasa. Hinggakan tangannya juga membeku sejuk. Idzry tersengih.
            “Eh, kenapa kita berborak dekat sini. Jom duduk kat ruang tamu,” ajak Haji Emran.
            Idzry membontoti langkah Haji Emran. Dia hanya duduk setelah lelaki separuh usia itu melabuhkan punggung. Sempat memandang Elisa yang kelihatan manis berbaju kurung.
            “Ayah, Elis masuk dapur kejap.” Elisa meminta diri ke dapur untuk menyediakan minuman buat tetamu rumah mereka biarpun hanya Idzry sahaja.
Dia masih ingat pesan Haji Emran lewat malam tadi. Dia mestilah tidak berada di situ waktu ayah dan Idzry saling berbicara. Kata ayah, itu perbualan antara lelaki sahaja. Maka dia segera dinyahkan dari kawasan itu. Hanya selepas beberapa ketika, barulah dia boleh memunculkan diri semula. Elisa tahu Haji Emran punya agenda sendiri yang tidak diketahui olehnya.
Idzry menyoroti langkah Elisa dengan ekor mata sahaja. Dia menarik nafas dalam-dalam. Dia mesti tenang.
“Idzry asal mana?” Soalan pertama meluncur laju keluar dari mulut Haji Emran.
Idzry menarik nafas lagi sebelum menjawab soalan itu. Diceritakan perihal asal tempatnya. Kemudian Idzry membuka mulut tentang keluarga pula apabila Haji Emran bertanya. Setelah soal latar belakang Idzry diselidiki, Haji Emran membuka topik lain pula. Dia juga ingin tahu Idzry seorang lelaki yang bagaimana.
Sesekali perbualan dua orang lelaki itu diselangi dengan gelak tawa. Bertambah gamat apabila keduanya punya kesukaan yang sama. Masing-masing bertukar pendapat dan pandangan mengenai sukan bola sepak.
 Elisa hanya memasang telinga sahaja. Selepas menghantar minuman dan sedikit kuih, dia kembali ke ruang dapur. Sebenarnya dia bukan benar-benar berada di dapur sebaliknya bersembnyi di sebalik dinding yang memisahkan ruang tamu utama dengan ruang rehat keluarga. Dari situ dia dapat mencuri dengar serba sedikit perbualan antara Haji Emran dan Idzry.
Segalanya masih berjalan lancar pada pengamatan Elisa. Semua sudah diselidiki cuma Idzry belum memulakan bicara mengenai hajat sebenar lelaki itu datang menemui keluarganya hari ini.
“Dah lama Idzry berkawan dengan anak pakcik?”
Akhirnya perbualan keduanya sudah sampai ke fasa kemuncak apabila Haji Emran menyoal tentang perhubungan yang terjalin antara lelaki muda itu dengan anak perempuan bongsunya.
“Dah dua tahun, pakcik.” Ringkas jawapan yang diberikan Idzry. Dalam kepala, dia sedang menyusun ayat bagi meluahkan apa yang dihajati.
“Pakcik, sebenarnya datangnya saya ke sini dengan hajat besar dalam hati.” Perlahan-lahan Idzry menutur kata.
Haji Emran memasang telinga biarpun dia dapat mengagak hajat Idzry itu.
“Apa dia?”
Idzry menentang mata Haji Emran. Dia cuba mendapatkan keberanian untuk meluahkan keinginan hati. Waktu terlihat senyuman Haji Emran, Idzry seakan mendapat kekuatan yang cukup gah untuk menyatakan hajat itu.
“Saya hendak meminta kebenaran pakcik untuk mengambil Elisa sebagai suri hidup saya. Saya minta keizinan pakcik untuk saya menjaga Elisa. Saya minta restu pakcik untuk saya mengahwini Elisa.” Panjang lebar kata-kata Idzry namunmasih terfokus pada satu agenda iaitu menyunting si bunga dari taman larangan.
Tajam renungan Haji Emran terarah kepada Idzry. Kemudian pandangan tajam itu beransur-ansur menjadi pandangan redup bersama senyuman mesra itu lagi.
“Kamu dah bersedia sepenuhnya untuk bergelar seorang suami kepada Elisa Najwa?”
Idzry mengangguk dengan penuh keyakinan. Ya, dia sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami kepada Elisa Najwa Emran.
“Kamu boleh jaga dia dengan lebih baik dari pakcik jaga dia?” soal Haji Emran lagi.
Idzry mengangguk. “Saya janji tak akan persiakan anak pakcik. Saya akan jaga dia dengan baik. Sebaik pakcik lepaskan dia pada saya, sebaik itu juga akan saya jaga.” Sungguh-sungguh Idzry melafazkan kata janji.
“Elisa seorang anak yang cukup baik. Jangan persiakan dia. Jaga dia elok-elok. Sebagai ayah Elisa, pakcik tahu banyak lagi kekurangan diri dia. Ada lagi perkara yang dia tak tahu. Bimbing anak pakcik, ya.”
“Kalau dah bersedia, bolehlah bawa keluarga Idzry datang meminang. Kami akan menerima kedatangan rombongan dengan hati terbuka,” sambung Haji Emran.
Dengan keluarnya kata-kata itu, maka Idzry sudah mendapatkan kebenaran untuk mengambil Elisa sebagai isteri. Halangan yang paling hebat ini telah dilalui dengan jayanya tanpa ada barang satu dua kesilapan. Idzry mengucap syukur dalam hati kerana telah diberi kesenangan dan kemudahan saat berbincang dengan Haji Emran.
“InsyaAllah pakcik. Saya akan datang dengan rombongan meminang dalam waktu terdekat ni,” balas Idzry dalam senyuman menguntum.
Elisa bersandar di dinding. Sebak tiba-tiba tatkala Idzry mengungkap janji untuk menjaga dirinya sebaik mungkin. Bertambah pilu saat Haji Emran menitip kata itu pada Idzry. Betapa selepas ini dia tidak lagi berada dalam jagaan Haji Adam. Selepas dia dan Idzry bersatu, segala kepentingan akan diutamakan kepada Idzry dan keluarga lelaki itu.
Elisa sempat mengintai lagi. Dilihat Haji Adam dan Idzrysedang bergelak-tawa bersama. Entah apa yang kelakar agaknya. Elisa dapat melihat dengan jelas bagaimana Haji Emran sudi menerima Idzry, pilihan hatinya. Dia juga bisa melihat kesungguhan Idzry menawan hati Haji Emran walau inilah kali pertama mereka bersua muka.

MESKI sudah berada di luar rumah, senyuman Idzry masih tidak lupus. Terus hinggap di bibirnya. Senyuman itu melambangkan kelapangan yang dirasai kini. Apabila semua berjalan dengan lancar, dia mengucap syukur kepada Ilahi. Dengan izinNya, maka dia berjaya mengharungi hari ini.
            “Kenapa senyum sampai ke telinga?” tegur Elisa saat menyedari kelakuan Idzry.
            Idzry menoleh. Waktu itu mereka berdua sudah berada di luar kawasan rumah. Idzry bersandar di badan kereta dengan mata mengamati seraut wajah mulus di depannya.
            “Kenapa?” soal Elisa. Renungan Idzry sangat tajam sehingga membuat dasar hatinya bergelora. Cepat-cepat dia mengalihkan pandangan mata apabila merasakan diri hampir tewas melawan renungan tajam menusuk kalbu itu.
            “Lega rasanya bila dah jumpa ayah Elis. Nasib baiklah ayah Elis tu baik dan okey. Kalau tidak, terkulat-kulatlah saya nak menyatakan hasrat hati ni,” kata Idzry.
            Memang benar, dia sangat beruntung kerana Haji Emran seorang yang sangat mudah dibawa berbincang biarpun itulah kali pertama mereka bersua. Apatah lagi, pertemuan itu semata untuk menyampaikan hajat yang sudah lama terbuku dalam dada.
            Elisa pula yang tersenyum lebar. Tahu lelaki itu tidak senang duduk semasa menunggu Haji Emran muncul. Sewaktu hendak bertolak ke rumahnya, Idzry sempat menelefonnya dan memberitahu debaran hebat yang sedang dirasai waktu itu. Katanya lagi, dadanya terasa hendak pecah. Jantung pula bagai hendak terkeluar sahaja.
            “Tapi awak tak jumpa abang dan kakak saya lagi,” balas Elisa.
            “Saya rasa saya boleh handle kalau jumpa abang dan kakak Elis.” Idzry berkata dengan suara penuh keyakinan.
            “Mana tahu boleh handle? Kan baru pertama kali nak jumpa.”
            Idzry memandang Elisa. Senyumannya terbit.
            “Lihat aje pada ayahnya, kan dah boleh menilai serba sedikit perihal anak-anak. Saya percaya, macam mana ayah Elis terima saya macam itu jugalah abang dan kakak Elis boleh menerima saya.”
            “Yakinnya orang tu.”
            Idzry tergelak besar. Sempat dia mencuit batang hidung Elisa. “Haruslah yakin!”
            Elisa turut tenggelam dalam itu.
            “Elis...”
            Elisa menoleh.
            “Nanti saya bawa Elis jumpa keluarga saya. Saya nak memperkenalkan bakal menantu pada ibu,” ujar Idzry.
            Elisa mengangguk perlahan. Dia sudah bersedia untuk menghadapi saat-saat begini. Jika Idzry boleh melakukannya, tentu dia juga boleh.
Pernah juga Idzrybercerita serba sedikit tentang  keluarganya. Idzry merupakan anak lelaki tunggal dalam keluarga. Dia punya dua orang kakak yang masing-masing sudah berkahwin. Seingatnya nama kakak-kakak Idzry ialah Fatin Suhana dan Fatin Liyana.
 Idzry telah kehilangan ayahnya beberapa bulan yang lalu akibat serangan jantung. Sebagai anak kesayangan si ayah, pastinya pemergian itu menjadi satu tamparan yang hebat untuk Idzry.
“Sudi ke ibu awak bermenantukan saya?” Tiba-tiba terpacul pertanyaan itu.
Pantas Idzry menyentap pandangan anak mata Elisa. Berkerut dahinya.
“Kenapa tiba-tiba Elis tanya macam tu?”
Elisa menjungkit bahu. Dia sendiri tidak tahu bagaimana mulutnya boleh menuturkan pertanyaan sebegitu dengan begitu lancar sekali.
“Kan awak pernah cakap yang kedua-dua kakak awak tu, kahwin atas dasar pilihan ibu awak. Jadi saya terfikir apakah saya ni menepati ciri-ciri yang dikehendaki oleh dia. Tambahan pulak, awak tu satu-satunya anak lelaki dia. Tentulah dia mahukan yang terbaik untuk awak. Sebab itulah saya boleh terfikir sama ada saya ni diterima atau tidak oleh ibu awak tu.”
Laju sahaja Elisa meluahkan apa yang sedang berlegar-legar di ruang fikiran. Belum pun sempat dia membuka mulut lagi, Idzry terlebih dahulu meletakkan jari telunjuknya dibibir Elisa, menandakan dia tidak membenarkan Elisa mengungkap bicara lagi.
“Elisa, bagi saya awak dah cukup sempurna dari segi apa pun. Saya percaya, ibu pasti menerima Elis. Dah, jangan fikir yang bukan-bukan lagi ya,” bicara Idzry. Dia memegang jari-jemari Elisa dan digenggam erat.
Idzry lapang tatkala dia terlihat sekuntum senyuman berlabuh dibibir seulas limau itu. Sungguh manis! Namun Idzry juga tidak dapat lari dari memikirkan perkara yang sama seperti Elisa. Dalam kepala berlegar-legar perihal si ibu. Bagaimana penerimaan ibu nanti? Teringat kejadian yang menimpa kakak-kakaknya.
Masih jelas dalam ingatan bagaimana Fatin Liyana bersungguh-sunguh memujuk ibu menerima lelaki yang menjadi pilihannya. Tiada apa yang cela mengenai lelaki pilihan Fatin Liyana namun ibu tetap berkeras tidak akan sesekali menerima lelaki itu, dan jika Fatin Liyana tetap mahu menikah dengan lelaki tersebut, maka ibu tidak akan merestuinya.
Akhirnya, Fatin Liyana terpaksa melepaskan ikatan cinta hati yang tersimpul enam tahun lamanya dan menerima seorang lelaki pilihan ibu sebagai suami. Kejadian yang sama juga berlaku kepada Fatin Suhana. Dalam deraian airmata, Fatin Suhana hanya mengangguk menuruti permintaan ibu walhal waktu itu Fatin Suhana sudah punya pilihan hati.
Kata orang, pilihan keluarga ada kala sangat menguntungkan dan boleh bawa bahagia hingga akhir hayat. Itulah yang terjadi kepada kedua orang kakaknya. Fatin Liyana dan Fatin Suhana hidup bahagia bersama pasangan masing-masing. Tidak pernah mengungkit kisah lalu biarpun suatu masa dulu hati mereka pernah terluka atas kehendak ibu.
Dalam gentar dan resah, Idzry tahu ibu pasti menerima pilihan hatinya. Tiada apa yang kurang pada Elisa. Elisa gadis yang cantik luar dan dalam. Datang dari keluarga yang baik-baik dan berpelajaran juga. Idzry tersenyum dalam hati. Dia yakin!

No comments: