Sunday, February 5, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab11.

Assalamualaikum.

Salam Maulidur Rasul :') Marilah kita memperbanyakkan selawat ke atas Nabi kita, Nabi Muhammad SAW. Sekadar peringatan untuk diri sendiri dan pembaca sekalian. Ohh, tak mahu banyak tulis, aku nak teruskan dengan DAM. Sebelum tu, nak tanya, apa pandangan korang tentang DAM? Walau baru sepuluh bab, tak salahkan kalau aku minta sedikit pandangan korang. Hehe. Elisa si watak utama, Idzry si kekasih hati dan watak ketiga, Hilman dah keluar walau sikit-sikit. Hah, dapat agak tak apa aku akan buat for the ending? :')

Selamat membaca dan semoga terhibur :')











Bab sebelas
HUJUNG minggu, Elisa menghabiskan masa bersama teman baiknya, Diana. Memandangkan dia tiada janji temu bersama Idzry, maka dengan senang hati dia mengajak Diana untuk keluar berjalan-jalan sambil mencuci mata di pusat membeli-belah. Mujur juga Diana tiada apa-apa agenda.
            Elisa terpaksa membontoti langkah Diana yang begitu ghairah membeli-belah. Rasanya dia sudah tersilap memilih hari keluar ke pusat membeli-belah bersama Diana. Di sana sini, semua kedai dan butik memaparkan iklan diskaun dan jualan murah. Gamaknya memang Diana akan keluar masuk ke setiap kedai di situ. Dan dia pula akan menjadi dayang yang akan mengekori sahaja setiap langkah Diana ke hulu dan ke hilir.
            Diana berhenti melangkah. Terasa ada sesuatu yang tertinggal. Dia menoleh kiri dan kanan. Berkerut dahi saat itu kerana Elisa tiada di sisi. Ke mana menghilangnya dia? Diana menggaru-garu kepala. Dia berpaling ketika terdengar seseorang memanggil namanya.
            “Lah, kau kat belakang aku rupanya. Patutlah tiba-tiba lesap. Kenapa lambat sangat berjalan? Aku ingat kau dah sesat.” Panjang lebar Diana membebel.
            Elisa memcekak pinggang. Letih mengejar Diana. Sekejap di sana. Sekejap di sini. Kemudian jalan pula bagai dikejar hantu. Langsung idak menyedari dia sudah tertinggal di belakang.
            “Kau tu jalan laju sangat! Tak menyempat aku nak kejar tahu. Tup-tup dah hilang. Kau ni kan, kalau dah nampak iklan sale sana sini, memang tak ingat dunia. Semua kedai kau nak masuk. Semua benda kau nak beli.”
            Diana tersengih. Kata-kata Elisa benar belaka. Dia memang tidak boleh lepas masuk ke tempat-tempat jualan murah. Silap-silap boleh kering dompet. Sikap borosnya itu selalu ditegur Kamal, tunangnya. Tidak pandai menyimpan sebaliknya hanya bijak melabur di pusat membeli-belah.
            Diana memaut lengan Elisa. Kemudian mendorong gadis itu mengikuti hayunan kakinya. Elisa sekadar menjeling Diana lewat ekor matanya.
            “Bukan selalu aku guna duit berbelanja. Kan kau pernah cakap kat aku dulu, dah penat bekerja, sesekali apa salahnya manjakan diri dengan membeli sesuatu yang kita suka.”
            “Eh, memang aku pernah cakap tapi bukanlah sekerap macam kau ni. Pantang keluar, mesti penuh tangan kiri kanan kau tu,” tingkah Elisa.
            Diana mengangkat tangan bagi menunjukkan tangannya yang masih belum penuh seperti yang dikatakan Elisa. “Mana ada penuh. Ni, cuba kau tengok. Baru dua beg aje. Sekejap lagi baru aku penuhkan tangan ni. Biar sampai aku tak larat nak bawa sendiri.” Tawa Diana meletus.
            Elisa menggelengkan kepala. Ada sahaja jawapan diberikan Diana.
            “Kata nak kahwin, kumpul duit. Kalau kena macam ni lah gaya kau berbelanja, memang tak sempat simpan duit dah habis.” Elisa mengingatkan niat yang ditanam Diana beberapa bulan yang lalu.
            Diana berhenti melangkah. Kini dia berdiri di hadapan Elisa. Mereka saling bertentang mata.
            “Amboi, sejak-sejak dah ambil keputusan nak kahwin dengan buah hati pengarang jantung kau tu, makin bernas nasihat yang kau beri. Soal duit pun kau dah pandai bagi peringatan.”
            Elisa pula ketawa gelihati. Tidak sedar dia bersikap begitu. Bukan sekadar mengingatkan Diana, tetapi dia lebih memberi peringatan kepada diri sendiri.
            “Aku cakap aje. Kan kalau nak kahwin, belanjanya besar. Kau jugak yang cakap, tak mahu buat doa selamat aje. Nak ada pelamin, nak bersanding. Dah tu siap nak buat fashion show dengan lapan persalinan baju.”
            Diana kembali memaut lengan Elisa. Kedua-dua gadis mulai mengorak langkah semula.
            “Kan Kamal ada. Apa guna dia kerja berhempas-pulas hari-hari kalau bukan untuk aku? Dia sayang aku, maka dia kena cari duit banyak-banyak dan bagi kat aku,” senda Diana.
            “Kalau Kamal dengar kau cakap macam ni, tentu tak cukup tanah dia lagi. Mata duitan!”
            Diana tergelak. “Kau ni, aku main-main ajelah!”
            “Tahu. Saja aje nak kenakan kau,” balas Elisa dengan senyuman mengejek.
            “Tapi bagi aku kan, Elis, dengan cinta aje kita tak mampu hidup. Kita perlukan duit. Dalam semua urusan, semua benda, duit tu satu kemestian. Hah, nak masuk tandas pun pakai duit tahu! Bukanlah kat sini aku nak cakap yang aku ni mata duitan cuma pendirian aku, aku tak boleh bina hidup dengan seseorang dengan hanya memiliki cinta. Dengan cinta, boleh buat perut kau yang lapar tu jadi kenyang ke?”
            Elisa menggelengkan kepala apabila pertanyaan Diana itu seolah-olah dituju padanya.
            “Cinta boleh bayar segala hutang kau? Dengan cinta kau boleh dapatkan segala keperluan kau? Tak boleh, kan.”
            Elisa mengangguk. Benar juga kata-kata Diana.
            “Sebab tu, sepatutnya sekarang ni, perempuan-perempuan yang ada kat muka bumi ni kena memilih seorang lelaki yang boleh menjaga kebajikan dia. Bukan sekadar memberi limpahan kasih sayang dan cinta. Okey, cinta dan kasih sayang penting jugak tapi kenalah seiring sekali dengan kemampuan hidup berumahtangga.
Kalau tak mampu nak bagi lebih-lebih, bagi sekadar termampu pun dah cukup. Hidup sederhana, bukan hidup melarat sampai terpaksa meminta belas ikhsan orang lain. Aku kan, cukup kagum pada lelaki-lelaki, suami-suami yang sanggup bekerja keras demi memberikan kehidupan yang baik pada isteri dan anak-anak. Cinta ada, keperluan pun dijaga. Susah nak bahagia andai hidup hanya dengan cinta semata.”
Diana mengakhiri omelan berjela itu dengan kuntuman senyuman yang manis. Elisa pula terkebil-kebil. Sejak bila Diana pandai berbicara panjang lebar begini? Bagai menghafal skrip sahaja!
“Kau ni kan, kalau dah bercakap tak ingat dunia. Segala benda kau bambu, kan. Ni sebelum kau cakap macam ni, kau dah buat skrip ke?” canda Elisa.
“Ini idea segar dari otak, tahu. Tak mainlah skrip-skrip ni.”
Diana terus mengajak Elisa untuk masuk ke dalam sebuah butik yang menjual pelbagai jenis dan variasi pakaian. Elisa hanya mengikut sahaja. Belinya tidak, sekadar mencuci mata sahaja sudah memadai.

LETIH menunggu Diana yang masih sibuk membelek baju, Elisa mengambil keputusan untuk keluar dari butik itu. Mujur ada sebuah kerusi kayu di depan butik tersebut. Laju sahaja dia melabuhkan punggung di situ.
            “Leganya!” ujar Elisa. Terasa kaki yang sengal mulai elok. Sekurang-kurangnya dia perlu memiliki stamina yang tinggi dan kaki yang kuat jika mahu mengikuti Diana membeli-belah. Apatah lagi andai bertembung dengan jualan murah seperti yang berlaku ketika ini.
            “Elis!”
            Elisa mendongak. Diana sedang melambai ke arahnya.
            “Kau tunggu situ aje tahu. Aku nak try baju. Tunggu sekejap aje,” kata Diana.
            Belum pun sempat berkata apa-apa, Diana sudah hilang dari pandangan mata. Sekejap? Sekejap Diana, pasti tidak kurang dari setengah jam. Tidak mengapalah. Dia lebih rela menunggu sendirian di kerusi ini daripada menemani Diana memilih baju di dalam sana. Elisa bersandar pada kerusi. Melepaskan lelah yang melewati seluruh tubuhnya.
            Kesempatan bersendiri begitu, Elisa mengambil peluang melihat keadaan sekeliling. Ramai orang! Mesti masing-masing berniat seperti Diana. Melaburkan duit demi memenuhi kehendak diri sendiri.
            Ada yang datang bersama keluarga. Ada yang bersama kawan-kawan. Tidak kurang, mereka yang datang bersama pasangan masing-masing dan menjadikan tempat ini sebagai tempat janji temu.
Kelihatan juga pelancong-pelancong asing yang turut sama mengambil peluang membeli-belah ketika jualan murah. Pasti jualan-jualan murah seperti ini menguntungkan mereka selaku pelancong asing. Boleh mendapatkan pelbagai barangan dengan harga yang cukup rendah.
Dalam ramai-ramai orang di situ, mata Elisa terarah kepada sepasang kekasih. Nampak sungguh mesra sekali. Tangan si gadis erat dalam genggaman si jejaka. Sesekali si jejaka memperkemaskan anak rambut si gadis yang jatuh menutupi dahi. Si gadis tertawa kecil tatkala si jejaka memperlakukan dia sedemikian rupa.
             Semakin mendekat pasangan kekasih itu dengan tempatnya duduk, semakin jelas kelihatan wajah si jejaka. Elisa terpaku. Membulat matanya.

“YOU nak bawa I ke mana pulak lepas ni?”
            “You nak pergi mana? I boleh bawa ke mana aje you nak pergi, sayang.”
            Diandra tersenyum manja. Layanan romantis Hilman memikat hati. Tambahan pula Hilman seorang lelaki yang berjaya dalam kerjaya dan punya rupa paras yang menawan. Dengan sikap romantis seperti ini, bisa sahaja mencairkan hati perempuannya. Melihat sahaja renungan mata Hilman, membuatkan dia tidak tidur malam kerana terkenang-kenang.
            “Kalau I nak ke bulan?” Diandra menduga.
            “I sanggup bawakan,” pantas Hilman menjawab sambil memberikan senyuman yang cukup mempesonakan pandangan Diandra.
            Diandra tersenyum lagi. Bersama lelaki ini, dia berasa sangat bahagia. Dilayan bagai puteri.
            “You nak tahu sesuatu tak?”
            Hilman mengangguk penuh minat. Tumpuannya hanya pada Diandra.
            “Antara ramai-ramai kawan lelaki yang I kawan, you yang paling I suka. I tak tahu kenapa tapi bila bersama dengan you I rasa selamat, I rasa dihargai,” tutur Diandra. Dia menyentuh tangan Hilman dan merenung ke dalam kolam mata lelaki itu. “I really fall in love with you, Hilman. I love you.”
            Mata Hilman terfokus di raut wajah kacukan Diandra. Diandra cintakan dia? Gadis kacukan Melayu-Cina-Irish ini sudah jatuh cinta dengannya?
            “I pun sukakan you, Diandra,” ucap Hilman tanpa mengucapkan walau satu patah perkataan cinta.
            Diandra? Siapa yang tidak suka bergandingan dengan gadis secantik Diandra Zulaikha binti Yacob Adams. Sudahlah cantik, terkenal pula. Bila sahaja dia berjalan bersama Diandra memasuki mana-mana tempat yang ada ramai pengunjung, pasti kedatangan mereka mendapat perhatian ramai. Masing-masing menyoroti diri Diandra.
            Perbualan mereka terganggu seketika apabila telefon bimbit milik Hilman berdering. Berkali-kali sehingga menarik perhatian Diandra yang sedang asyik menikmati makanan. Hilman melihat dalam senarai panggilan. Tiba-tiba raut wajahnya berubah dan keadan itu menarik perasaan ingin tahu di hati Diandra.
            “You, kenapa ni? Siapa yang telefon you?” soal Diandra.
            Tidak sempat Hilman menjawab pertanyaan Diandra, telefon itu berbunyi lagi. Diandra nampak terganggu dengan panggilan yang tidak henti-henti itu.
            “Sekejap ya, Dian. Mama I telefon. Entah apa mama I nak ni.”
            “Kirim salam sayang I kat mama you, ya,” pesan Diandra tanpa mengesyaki apa-apa pun.
            Hilman mengangguk. Segera dia pergi dari situ dan keluar dari kafe. Lebih selesa berbicara jauh dari Diandra. Telefonnya berdering lagi. Cepat-cepat Hilman mengangkat panggilan itu.
            “Ya sayang. I sibuk sikit tadi.” Lembut suara Hilman menyapa gegendang telinga pemanggil di hujung talian.
            “Kalau pun sibuk, takkan sampai berkali-kali I call baru you nak angkat?” Nada suara itu kedengaran mendatar menandakan tuan empunya diri merajuk.
            Hilman menggaru kepala. Seorang lagi!
            “I tak perasan tadi. Telefon I ada dalam bilik. Tu yang I tak dengar bila you call. Tengah sibuk siapkan kertas kerja untuk syarikat papa I.”
            Senyap seketika.
            “You kat rumah ke sekarang?”
            “Iya. I kat rumah sekarang ni, Tania. Tengah mengadap kerja.”
            “Tapi...” Tania seakan ragu-ragu.
            “Tapi apa? You tak percaya?”
            “Bukan. Cuma you macam bukan kat rumah aje. I ada dengar bunyi bising. Riuh sangat. Macam dekat shopping complex pulak.”
            Aduh! Tania jenis yang cepat menangkap sesuatu perkara. Ligat otak Hilman mencari alasan bernas.
            “Oh... bunyi bising ni bunyi tv. Tu, anak buah I buka volume kuat sangat. I pun dah naik pekak dah ni,” bohong Hilman. Dia hanya tersenyum apabila Tania dengan mudah mempercayai kata-katanya.
            Perempuan!

PUAS Diana mencari kelibat Elisa. Dari atas turun ke bawah. Kemudian dia berpusing di sekitar kawasan pusat membeli-belah tersebut. Ingatkan Elisa masih menantinya di luar butik, rupanya sudah tiada di situ. Sepatutnya dia menggari Elisa di kerusi itu sebelum masuk ke dalam butik itu tadi.
            “Kau buat apa kat sini, hah? Puas aku cari kau, berjalan ke hulu hilir, rupanya kau terpacak kat depan kedai makan ni. Aku telefon kau banyak kali, kenapa tak angkat?”
            Elisa tidak menjawab. Pandangan mata masih memfokus ke arah sesuatu. Diana jadi geram pula. Elisa langsung tidak peduli akan dia. Diana mencuit bahu Elisa. Elisa sekadar menepis tatkala tangan Diana bergayutan di bahunya.
            Diana mencekak pinggang. Apa yang dilihat Elisa sebenarnya? Macam menarik. Diana memanjangkan leher, turut sama melihat apa yang menarik perhatian Elisa waktu itu. Meliar mata Diana. Tiada apa-apa yang menarik. Yang dilihat hanya manusia dan tiada seorang pun manusia di situ yang dikenalinya.
            “Kau tengok siapa? Nak kata ada artis ke, siapa-siapa yang kita kenal, tak nampak lah pulak aku. Elis, apa yang kau tengok sebenarnya?” soal Diana.
            Elisa memberikan isyarat supaya senyap.
            “Kenapa?” Diana bertanya lagi.
            Belum pun sempat Diana memuntahkan pertanyaan lagi, Elisa terlebih dahulu menariknya dan mereka bersembunyi di sebalik dinding. Diana semakin dihurung tanda-tanya. Tidak lepas-lepas memerhati Elisa.
            “Kau ni kenapa? Aku rasa dah banyak kali aku tanya soalan yang sama, tapi kau tetap senyap jugak. Ni, kenapa tiba-tiba kita bersembunyi kat sini? Kau menyorok dari siapa? Meh sini, aku tengok sikit.”
            Pergerakan Diana segera dihalang Elisa. Elisa berdiri di depan Diana. Berkali-kali dia menggelengkan kepala.
            “Tak ada sesiapalah. Dah jom, kita balik,” ajak Elisa dan dia menarik tangan Diana supaya mengikutinya.
            “Tak faham betullah aku dengan perangai kau ni. Bila ditanya senyap aje. Nak kata tak ada mulut, ada aje. Nak kata tak boleh cakap, kau bukan bisu. Susah sangat ke nak beritahu aku apa yang jadi tadi sampai kau tarik aku menyorok sama-sama dengan kau. Hei, tak faham aku!” Diana menggerutu geram.
            Elisa tidak mengendahkan bebelan Diana. Dia hanya buat pekak telinga sahaja. Ada sesuatu yang lebih penting bermain-main dalam fikiran jika hendak dibandingkan dengan pertanyaan Diana. Meski dia tahu Diana agak bengang dengan sikapnya sebentar tadi, namun dia tidak peduli.
            Otak Elisa sedang ligat memikiri sesuatu. Apa yang dilihat tadi bukan silap matanya. Ya, dia nampak dengan terang, jelas dan nyata! Tidak mungkin dia silap orang. Tapi berkemungkinan dia silap.
            Kalaulah dia boleh melihat dengan lebih dekat.

4 comments:

Aura Qaseh Beauty Centre said...

eeee bestnya cerita ni. awak tulis sendiri ke ? hhehehe. eh, awak sy ada buat entry baru. kalau rajin singgah lah hehe Menangis, lelaki ke perempuan?

~::HANAH RISHAS::~ said...

@syafiq isme

eeee.... thanks awk :') kite buat sendiri. hehe ^^Y

Tulip Ungu said...

Hilman dengan Elisa akan ada ehem-ehem ke...

~::HANAH RISHAS::~ said...

@Tulip Ungu

waaaa... tekaan tu mngkin berlaku. hehe ^^Y