Monday, February 6, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab12.

Assalamualaikum.

Dua tiga hari ni, aku macam kena pukau dengan lagu Anuar Zain ---- Sedetik Lebih. Dalam satu hari tu, entah berapa kali dok ulang lagu yang sama. Pehhh... menusuk ke kalbu! Paling aku suka adalah muziknya. Sangat laa mendayu dan harmoni aje. Macam dah terjatuh cinta pula kat lagu itu. Mungkin ada antara korang yang tergelak, kan? Orang lain dah berzaman dengar, aku pula baru sekarang terhegeh-hegeh layan. Haha. Whatsoever :') Ohh.. aku rasa sangat laa tenang saat mendengar lagu itu sambil buat novel. Sumber inspirasi. Hehe.

DAM dah masuk bab ke 12. Setiap hari aku pos tentang DAM sebab aku rasa aku kekeringan idea untuk pos benda lain. Chill laa! Selamat membaca dan semoga terhibur :')









Bab dua belas
ELISA duduk sendirian di mejanya. Terasa bosan pula. Hendak berborak, tiada teman. Andiana keluar untuk berjumpa Intan Nur Kamelia. Gadis itu sedang sibuk menguruskan jadual untuk sesi bergambar semasa majlis perkahwinan Intan Nur Kamelia nanti. Elisa mengetuk meja berkali-kali dengan pen hinggakan ketukan itu kedengaran seperti satu nada pula.
            “Apa aku nak buat ni?” Elisa bertanya pada diri sendiri.
            Dia bangkit dari kerusi. Memusing-musing badan ke kiri dan kanan beberapa kali bagi melegakan sedikit otot pinggang yang terasa berselirat sana sini. Setelah itu, dia mundar-mandir pula di situ. Sedang berfikir benda apakah yang patut dilakukannya waktu ini.
            Jahit baju? Ah, dia rasa malas hendak menghadap kain-kain itu. Lagipun kerja-kerja menjahit busana pengantin Intan Nur Kamelia hanya tinggal sedikit sahaja. Dalam kiraannya, hanya dua hari sahaja masa diperlukan untuk menyiapkannya.
            Elisa mundar-mandir lagi. Lagak seperti seorang pengawal keselamatan pula. Sambil berjalan ke hulu hilir, Elisa berpeluk tubuh dengan tangan kanan menongkat dagu. Mindanya berputar ligat.
            Apa aku nak buat ni? Ya Allah! Kenapa aku rasa bosan sangat? Elisa berbisik dalam hati.
            Tiba-tiba sahaja ingatannya berlari mencari bayang Idzry. Tatkala terkenang Idzry, perasaannya bercampur-baur. Resah sahaja. Semakin kacau apabila memikirkan kata-kata Idzry lewat malam semalam. Lelaki tu sudah menyatakan hasrat untuk membawa dia pergi berjumpa dengan keluarganya. Dia bersetuju namun dalam hati bagai ada gelora yang sedang menghempas kuat.
            Bagaimana agaknya reaksi keluarga Idzry? Sesungguhnya dia tidak pernah mengenali keluarga Idzry. Melihat gambarnya juga tidak pernah. Dia hanya mengetahui serba-sedikit keluarga lelaki itu melalui cerita yang pernah disampaikan oleh lelaki itu sendiri.
            Apa yang dia tahu, Idzry merupakan anak bongsu, sama sepertinya. Merupakan satu-satunya putera dalam keluarganya. Idzry mempunyai dua orang kakak. Kedua-duanya sudah berkahwin dan memiliki anak. Ayah Idzry pula sudah meninggal dunia beberapa bulan yang lalu.
            Tiada apa yang lebih merisaukan selain memikirkan bagaimana penerimaan ibu Idzry nanti. Entah suka, entah tidak. Persoalan itu selalu bermain dalam kepalanya sejak Idzry menyatakan niat hendak memperisterikannya.
            Elisa menekup wajah. Waktu itu juga seraut wajah Idzry muncul. Bayangan lelaki itu sedang tersenyum memadangnya. Elisa menghela nafas. Idzry selalu mengingatkan dirinya bahawa yang hendak berkahwin itu adalah mereka bukan keluarganya. Ayat itulah yang didengari acap kali dia menyuarakan perasaan gusar dalam hati. Namun Elisa tidak mahu berpegang pada kata-kata Idzry. Baginya, andai sudah berkahwin dengan seseorang itu, maka perkahwinan itu juga melibatkan keluarganya juga.
            “Mama! Mama!”
            Elisa tersentak. Diamati suara kecil itu. Itu suara Mona! Tidak bersekolahkah hari ini? Elisa tertanya-tanya. Dengan cepat dia pergi ke ruang utama butik itu. Ketika dia sampai di ruang utama butik, Mona terlebih dahulu mendapatkannya. Elisa tercari-cari bayang Munir namun si kecil itu tiada bersama Mona.
            “Mona tak sekolah ke hari ni?”
            Mona menggelengkan kepala. “Tak ada tuisyenlah, Kak Elis. Mama yang pesan suruh Mona datang sini petang ni,” kata Mona. “Mana mama?”
            “Ada kat bilik dia. Mona datang dengan siapa?”
            Elisa terjenguk-jenguk. Biasanya Karmilla yang akan menjemput anak-anaknya di rumah dan di bawa ke sini.
            “Dengan papalah,” jawab Mona dan si kecil itu terus berlari menuju ke bilik Karmilla.
            “Papa?”
            Elisa terkebil-kebil sendirian. Papa? Siapa yang dimaksudkan Mona? Adakah lelaki tempoh hari? Elisa mencari-cari jawapan.
            “Dia datang dengan I.”
            Elisa mendongak. Waktu itu di depannya berdiri seorang lelaki. Lama Elisa memandang wajah yang sedang mengukir senyuman padanya. Dia! Tidak salah lagi.

“SEMALAM papa janji nak bawa Mona dengan Munir pergi jalan-jalan. Penat Mona tunggu, tapi papa tak sampai-sampai. Sekali mama beritahu yang papa ada urusan kat luar. Papa mungkir janji!” Mulut comel Mona tidak henti-henti melempiaskan perasaan tidak puas hati. Sambil berpeluk tubuh, Mona sengaja mencukakan wajahnya.
            Hilman tergelak besar. Mona seperti kekasihnya pula. Pandai merajuk dan mahu dipujuk. Mengalahkan Karmilla. Karmilla hanya menjungkit bahu memadang Hilman. Hilman menarik nafas. Mujur Mona senang dipujuk. Ada masa disua dengan gula-gula sahaja sudah berjaya membuatkan Mona tersenyum girang.
            “Hujung minggu depan kita pergi jalan-jalan ya.  Papa bawa mama sekali,” ujar Hilman.
            “Janji?” soal Mona.
            Hilman mengangkat kedua belah tangannya seperti sedang mengangkat sumpah. “Papa janji. Kali ni papa akan datang rumah Mona seawal yang mungkin,” jawab Hilman.
            Mona tersenyum. Rajuk Mona tiada lagi. Tumpuan Mona kini pada sehelai kertas putih. Di sebelahnya pula terdapat sebekas pensel warna. Mona mengambil pensel warna berwarna merah. Perlahan-lahan tangan itu melukis sesuatu di atas kertas. Sesekali terbit senyuman mungil di bibir itu.
            “Jangan selalu berjanji, nanti kalau tak boleh nak tepati, kan susah. Budak-budak ni lagi peka jika nak dibandingkan dengan orang dewasa. Mona ni, segala benda yang keluar dari mulut kita, yang kita beritahu kat dia, dia ingat. Macam Mona ni. Si Munir tu tak besar lagi. Kalau janji apa-apa, dia bukan tahu. Sikit lagi, jadi macam kakak dia,” kata Karmilla.
            “Semalam pergi mana, Hilman? Kata ada urusan.”
            Hilman bersandar di kerusi. Dalam hati, dia mengeluh. Tiba-tiba dia mengingati sesuatu. Ah, yang sana lain. Yang sini lain. Buat pening kepala sahaja.
            “Tak ada pergi mana-mana pun. Duduk kat rumah, habiskan masa menghadap kerja. Tu yang sampai janji pada Mona dengan Munir pun boleh lupa.” Hilman berkata diselangi tawa halus.
            Tanpa disedari Karmilla mahupun Hilman, ada sepasang mata sedang memerhati mereka disebalik sebuah perabot perhiasan. Sejak Karmilla dan Hilman duduk bersembang di situ, Elisa sudah pun memasang telinga malah langkah Hilman diekorinya. Dengan teliti, Elisa mendengar setiap butir bicara yang diomong Hilman.
            Elisa terlihat kemesraan yang wujud di tengah-tengah perhubungan antara Karmilla dan lelaki yang dipanggil papa oleh Mona dan digelar Hilman oleh Karmilla. Siapa sebenarnya lelaki itu? Apa hubungannya dengan Karmilla?
Yang lebih memelikkan, Mona dan Munir memanggil lelaki itu dengan panggilan papa. Malah kedua-dua adik-beradik itu nampak begitu mesra dengan Hilman. Talian kemesraan begitu tidak pernah wujud andai Mokhtar yang datang menemui Mona dan Munir. Anak-anak kecil itu hanya bersalaman sahaja tanpa memberikan pelukan untuk ayah kandung mereka.
Elisa beransur ke mejanya. Cukuplah untuk waktu ini dia mengambil tahu siapa lelaki itu sebenarnya.  Bimbang juga jika tiba-tiba Karmilla muncul di depannya sedang dia mencuri-curi dengar perbualan majikannya. Mana mahu letak muka?
Dalam menghayun langkah kaki, fikiran Elisa masih ligat berputar. Semuanya tentang Hilman. Sebelum ini, dia tidak pernah melihat Hilman datang ke butik ini. Sejak dia mula bekerja di sini dua tahun yang lalu, tidak pernah sekali pun ternampak batang hidung lelaki tersebut.
Elisa menepuk dahi. Memang patut baru muncul sekarang. Bukankah baru setahun yang lalu Karmilla menyandang gelaran janda. Elisa mulai membuat kesimpulan sendiri. Berdasarkan pandangan kasar, dia dapat mengagak siapa lelaki itu dalam hidup Karmilla. Terjawablah juga persoalan dalam diri yang beberapa hari ini asyik berfikir, bagaimana Mona dan Munir boleh menjadi begitu rapat dengan lelaki yang asing dalam hidup mereka sehinggakan kedua-duanya lancar memanggil lelaki itu dengan panggilan papa.
Namun ada sesuatu yang menggusarkan hati kecil Elisa. Kejadian semalam, masih segar dalam ingatan. Malah bicara Hilman yang didengari tadi menimbulkan perasaan kurang senang. Dia nampak Hilman keluar bersama seorang perempuan tetapi bila Karmilla bertanya  ke mana Hilman pergi, lelaki itu menjawab tidak pergi ke mana-mana. Hendak menipukah?
Elisa menongkat dagu. Dia percaya, lelaki yang dilihat bersama seorang perempuan cantik itu ialah Hilman. Dari hujung rambut sampai ke hujung kaki, semua sama. Dari bentuk tubuh, ketinggian dan rupa paras menyerupai Hilman. Mana mungkin manusia serupa dalam segala aspek. Yang kembar pun ada perbedaan kecil. Elisa menggaru-garu kepala.

PETANG itu, pulangnya Elisa dijemput Idzry. Sejak menjadi kekasih hati Idzry, sering juga dia dijemput oleh lelaki itu. Adakala dia merasa rindu pula hendak merempit bersama skuter kesayangannya yang diberi nama Sandy. Skuter itu hadiah pemberian ayahnya sempena ulangtahun kelahirannya yang ke tujuh belas. Sehingga sekarang, skuter itu masih elok dan boleh diguna lagi.
            Idzry tidak menghantar Elisa pulang ke rumah sebaliknya dia membawa gadis idaman hatinya pergi ke suatu tempat. Elisa yang terpinga-pinga mulai bertanyakan ke mana destinasi mereka. Idzry menjawab dengan senyuman sahaja.
            Elisa melangkah keluar dari kereta. Perlahan-lahan dia memijak lantai bumi yang berumput hijau. Pandangannya silih berganti antara persekitaran tempat itu dan Idzry. Ketika pandangan keduanya saling bertaut, Idzry tersenyum lagi. Senyuman yang cukup menghangatkan hati Elisa.
            “Masih ingat tempat ni?” soal Idzry.
            Elisa tersenyum dan melebarkan pandangannya. Dia mengangguk. Mana mungkin dia bisa melupakan tempat ini. Tempat ini yang memulakan segalanya. Di sini, kali pertama dia berjumpa dengan Idzry. Di sini, mulanya perhubungan persahabatan antara dia dan Idzry. Di sini juga dia telah menemui cinta hatinya!
            Elisa berpaling. Dilihat Idzry berdiri tidak jauh darinya. Lelaki itu turut sama melontar pandang ke arahnya. Kuluman senyuman mekar di bibir Elisa.
            “Mana boleh lupa. Kan kat sini, ada orang tu yang kelam-kabut nak balik rumah sampai tercicir kunci kereta. Mujur jugak orang ni lalu kat situ dan terjumpa kunci kereta tu. Kalau tak, tentu orang tu tak balik rumah, kan?” Elisa berkata dengan tawa halus mengiringi.
            Elisa tidak pernah melupai kejadian yang menemukan dia dengan Idzry. Sememangnya dia kerap terlihat Idzry berjoging atau sekurang-kurangnya sekadar berjalan sahaja di taman rekreasi itu. Entah kenapa, meski tidak mengenali Idzry waktu itu, hatinya bagai ditarik-tarik untuk mengetahui siapa gerangan lelaki itu.
            Tanpa disedari, dia juga mulai menaruh harapan untuk melihat kelibat Idzry di taman itu setiap hari. Malah, dia sanggup datang ke taman itu, melakukan aktiviti riadah di sekitar kawasan taman rekreasi tersebut semata-mata hendak melihat Idzry.
            Kejadian itu langsung tidak dijangka akan berlaku malah dia sendiri terkejut tatkala terlihat Idzry berjalan mendekatinya dan bertanyakan andai dia ada terlihat segugus kunci miliknya. Dia pula terus sahaja menayangkan gugusan kunci yang baru sahaja dikutipnya. Kali pertama Idzry mengukir senyuman, hati Elisa sudah jatuh.
            Dari situ, mereka mulai berkawan. Idzry sangat disenangi. Sikap Idzry yang peramah dan mengambil berat, membuatkan cinta yang wujud dalam hatinya kian mekar meski Idzry tidak pernah menyedarinya. Hubungan mereka kian erat dan kukuh di bawah satu nama persahabatan.
            Namun takdir menentukan mereka sebagai kekasih dan keadaan itu sangat menggembirakan Elisa. Kini, lelaki itu bakal menjadi suaminya. Lelaki itu akan menjadi kekasih sepanjang hayatnya. Elisa tersenyum sendiri. Kisah hati ini tidak pernah diceritakan kepada Idzry.
            “Kenapa senyum sendiri?” tegur Idzry.
            Tumpuan mata Elisa terus menyambar susuk tubuh Idzry di sebelahnya. Tanpa kata, Elisa mengukir senyuman lagi. Kenangan itu kembali bertaut dalam ingatan.
            “Tak sabar rasanya,” getus Idzry tiba-tiba.
            Elisa menoleh. Terangkat keningnya.
            “Apa yang tak sabarnya?” soal Elisa.
            Idzry berpeluk tubuh. Jauh dia melontar pandang. Sesaat kemudian, dia kembali merenungi seraut wajah mulus di depannya.
            “Tak sabar nak bawa Elis jumpa keluarga saya. Nak tunjuk bakal menantu pada ibu,” jawab Idzry.
            Elisa tergelak. Idzry pula kehairanan.
            “Kenapa ketawa?”
            Elisa menggelengkan kepala. “Ingatkan apa tadi.”
            Idzry mendekati Elisa dan meletakkan dirinya di depan gadis itu. Dengan lembut, dia memegang bahu Elisa. Kemudian dia mengusap rambut Elisa. Sebuah senyuman kecil tersunging di bibir Idzry kala melihat keadaan Elisa yang pegun dengan mata terkebil-kebil.
            “Terima kasih.”
            “Untuk apa?”
            “Untuk semua.”
            Elisa terdiam.
            “Terima kasih sebab Elis sudi menyintai saya. Terima kasih sebab Elis sudi bersama dengan saya,” kata Idzry.
            Elisa membalas kata-kata itu dengan satu senyuman mesra. Dia juga berterima kasih kerana Idzry sudi menjadi teman hatinya. Selama berkawan dan berkasih dengan lelaki itu, sikap Idzry padanya sangat baik malahan lelaki itu tidak pernah menyebabkan dia berasa menyesal kerana menyintainya. Hari-hari yang dilalui bersama Idzry indah belaka dan doanya moga kebahagiaan itu akan kekal hingga akhir hayat.
            “Saya nak sepuluh orang anak.”
            “Hah?!”
            Elisa terkejut mendengar omongan Idzry. Idzry ketawa melihat reaksi Elisa.
            “Bila kita dah kahwin nanti, saya nak Elis lahirkan sepuluh orang anak untuk kita.”
            “Ramainya! Awak ingat saya mesin lahirkan anak ke? Sembilan bulan mengandung, lepas tu sakit bersalin pulak. Ingat senang ke? Saya tengok kakak-kakak saya tu, macam seksa aje bila mengandung. Dengan alahannya lagi. Lepas bersalin, berpantang pulak,” gerutu Elisa.
            Idzry ketawa lagi mendengar bebelan Elisa.
            “Saya cakap aje. Sekalipun ditakdirkan kita tak boleh dapat anak, saya tak kisah. Janji saya boleh sentiasa ada dengan Elis, itu dah memadai.”
            Berkerut dahi Elisa. “Manaboleh macam tu. Kan niat kita berkahwin untuk mendapatkan zuriat selain melaksanakan tuntutan agama. Kalau tak boleh dapat anak, kita boleh cuba. Kalau berusaha, tentu ada jalan, betul tak?”
            “Kalau macam tu, bolehlah kita berusaha untuk dapat sepuluh orang anak nanti,” senda Idzry.
            “Tak cakap pun berusaha untuk dapat sepuluh!”
            Idzry ketawa mengekek. Gelihatinya.

3 comments:

fatihah k-pop said...

salam perkenalan jgk... ^_^

fatihah k-pop said...

salam perkenalan jgk...... ^_^ thnx ea.... sbb sudi komen kt blog sye....

fatihah k-pop said...
This comment has been removed by the author.