Friday, March 16, 2012

[Novel] : Terbang ke Langit-Bab1.

Assalamualaikum.

Salam petang Jumaat :') Hari ni aku akan post entri pertama Terbang ke Langit. Sinopsis? Errr... aku sedang menyusun ayat dan tengok balik jalan cerita. Tak best kan if tak ada sinopsis taaaapiiii nak buat macam mana kan -.-'

Selamat membaca dan semoga terhibur :') ---- Terbang ke Langit oleh Qie'shea Haris *tukar nama jap. Perasan*












Bab satu

“SELAMAT pagi, cikgu!” Lantang suara Hafiz mengucapkan selamat pagi kepada seorang cikgu perempuan bernama  Sharifah Sasa. Sebagai seorang ketua darjah, dia bertanggungjawab untuk mengetuai ucapan selamat, setiap hari.
            “Selamat pagi, cikgu!” Bergema bilik darjah itu dengan suara murid-muridnya. Setiap satunya diselangi dengan senyuman. Cikgu kesayangan mereka ada di depan mata, tentulah hati juga senang. Cikgu Sharifah Sasa sangat terkenal dikalangan murid-muridnya kerana itulah satu-satunya cikgu yang sanggup melayani kenakalan murid-murid Darjah 6 Seroja.
            Senyuman kecil dan manis Sharifah Sasa meniti bibir. Satu per satu wajah setiap anak muridnya diperhati. Nampaknya kesemua anak muridnya baik-baik sahaja.
            “Selamat pagi. Silakan duduk semua,” ujar Sharifah Sasa. “Macam mana keadaan kamu hari ini? Sihat semuanya?”
            “Sihat!” jawab murid-murid itu hampir serentak.
            “Natasha tak datang, cikgu. Dia kata sakit perut,” lapor Hafiz. Dia maju ke hadapan dan menghulur sekeping kertas yang tertulis sesuatu di atasnya. Sharifah Sasa mengambil kertas itu dan dibuka lipatannya.
            “Kamu boleh duduk, Hafiz dan terima kasih kerana berikan surat cuti Natasha ni pada cikgu,” ucap Sharifah Sasa. Sememangnya Hafiz memiliki ciri-ciri pemimpin yang bertanggungjawab. Dalam nakal-nakal Hafiz, masih ada satu sikap positif dan jika dibentuk sejak kecil, tentu sikap itu akan mempengaruhi perjalanan hidup murid itu bila besar nanti.
            Sharifah Sasa mengambil tempat duduknya di meja guru. Dia mengambil sebuah buku panjang berwarna coklat dan membukanya. Sebatang pen diambil dan mula menulis sesuatu di atasnya. Sesekali mengangkat muka, memerhatikan anak-anak muridnya dan kemudian kembali menunduk.
            Hari ini cuma Natasha Alia seorang sahaja yang tidak hadir. Cutinya juga bersebab. Sharifah Sasa mengepilkan surat cuti sakit Natasha itu pada buku kedatangan murid itu. Kalau hanya Natasha yang tidak hadir ke sekolah hari ini, kenapa dia terasa seperti bilangan anak muridnya tidak cukup? Sharifah Sasa mulai membilang.
            Dua puluh sembilan lapan sahaja? Tolak Natasha, sepatutnya jumlah keseluruhan adalah seramai dua puluh sembilan orang. Mana lagi seorang? Sekali lagi Sharifah Sasa memandang ke arah anak-anak muridnya yang kelihatan leka dengan aktiviti masing-masing. Siapa yang tidak ada agaknya?
            Kesemua meja yang berpasangan dua itu berpenghuni kecuali tempat duduk sebelah Elia Suzana. Mengecil mata Sharifah Sasa. Dia tahu siapa yang tidak ada di dalam kelas ketika ini.
            “Ayyatul Adira mana?” tanya Sharifah Sasa. Dia berdiri.
            Hafiz tertoleh-toleh. Seakan-akan soalan itu diaju padanya. Dia tercari-cari teman sekelasnya itu. Murid-murid lain juga bertanya sesama mereka. Mulut masing-masing menyebut nama Ayyatul Adira.
            “Su, kau tak nampak Dira keluar ke tadi?” Mahizan Maira, budak perempuan yang duduk di hadapan Suzana berpusing ke belakang dan mengajukan soalan.
            Suzana menjungkit bahu. Sungguh dia tidak sedar bila Adira menghilang. Sebelum ini, Adira duduk elok di sebelahnya. Tiba-tiba lesap begitu sahaja.
            “Mana saya tahu Mai. Tiba-tiba aje dia dah hilang,” balas Suzana. Asal Adira menghilang, tentu teman-teman sekelas bertanya padanya walhal dia bukannya tahu Adira pergi ke mana.
            “Elia Suzana, kamu tahu ke mana kawan sebelah kamu tu pergi?” Tiba-tiba Sharifah Sasa bertanya. Suzana tersentak. Cepat-cepat dia menggelengkan kepala. Laju.
            Sharifah Sasa mengeluh. Satu-satunya murid yang seringkali membuat dia pening kepala ialah Ayyatul Adira binti Adnan. Mengalahkan budak lelaki! Ayyatul Adira bukanlah budak nakal yang membuat onar di sekolah tetapi tabiat Ayyatul Adira yang sering menghilang semasa waktu kelas berlangsung, merunsingkannya.
            “Ayyatul Adira, mana kamu pergi?”
            Sebaik sahaja ternampak Adira muncul di muka pintu, terus Sharifah Sasa menghunus dengan pertanyaan.
            Adira tersengih. “Saya pergi tandas, cikgu. Sakit perut,” jawabnya dan perlahan-lahan mengatur langkah menuju ke tempatnya.
            Sharifah Sasa menggeleng kepala.     
            “Kalau pun nak keluar ke tandas, beritahu dulu. Nanti cikgu ingat kamu ponteng, Adira,” omel Sharifah Sasa.
            “Tak tahanlah cikgu. Memulas perut saya tadi.” Berkerut dahi Adira sambil tangannya memegang perut yang kononnya terasa sakit dan pedih. Ketika dia menoleh ke arah Suzana, dia mengeyitkan mata. Suzana mencebik. Tahu sudah perangai Adira. Tentu ada sesuatu yang menarik minat temannya tadi.
            Jawapan bersahaja Adira disambut dengan hilai tawa teman-teman sekelasnya. Adira tersengih sambil menggaru-garu kepalanya yang bertutup dengan tudung sekolah.
            “Ada cerita menarik ni aku nak cakap kat kau,” bisik Adira. Cukup perlahan kerana bimbang andai Sharifah Sasa yang sedang mengajar di hadapan terdengar suaranya.
            “Apa?” aju Suzana dengan penuh minat.
            Adira memandang tepat ke wajah temannya. Dia tersenyum kecil. “Kau tunggu dan lihat aje nanti. Kejap lagi datanglah dia.”
            “Dia?” Terkebil-kebil mata Suzana. Dia tidak mengerti.

KEMUNCULAN Guru Besar membantutkan pembelajaran pagi itu. Pantas Sharifah Sasa mendapatkan Hajah Sapiah yang menanti di luar bilik darjah. Selepas bersalaman, Sharifah Sasa dan Hajah Sapiah membicarakan sesuatu.
            Panjang leher Adira. Dia cuba melihat ke luar tingkap meski kedudukan dia di tengah-tengah kelas. Bersinar-sinar matanya tatkala ternampak kepala seseorang yang terlindung di sebalik dinding batu bilik darjah. Senyuman Adira mekar. Dia duduk semula dan bersandar sambil berpeluk tubuh.
            Adira menoleh apabila terasa badannya disiku seseorang. Mimik muka Suzana beriak bertanya. Kemudian dia mengarahkan pandangan ke hadapan. Tertancap matanya pada raut wajah Mahizan.
            “Kenapa dengan kau ni, Dira?” Mahizan bertanya.
            Belum pun sempat menjawab pertanyaan Mahizan, Sharifah Sasa sudah kembali masuk ke dalam kelas. Diikuti rapat oleh seorang budak lelaki seusia mereka yang membontoti langkah Sharifah Sasa. Rata-rata tumpuan murid-murid di dalam kelas itu terarah pada budak lelaki itu. Adiralah yang paling bersemangat memandang tepat ke depan.
            Dari hujung rambut ke hujung kaki diperhatikan budak lelaki itu. Rambutnya kemas bersisir rapi. Raut wajah putih dan sesekali mata budak lelaki itu meliar ke kiri dan ke kanan. Ada sebuah buku kecil dalam pegangan budak lelaki itu.  Adira terus memerhati sambil kedua-dua belah tangannya menongkat dagu.
            “Kelas, hari ini kita ada rakan baru. Namanya Adam. Dia baru pindah ke sini,” beritahu Sharifah Sasa. “Dan mulai hari ini Adam akan jadi rakan sekelas kamu semua. Jangan pula kamu semua buli dia ya!” Sempat Sharifah Sasa memberi peringatan.
            “Adam, kamu boleh duduk di sebelah Affendi.” Sharifah Sasa menuding ke tempat kosong di sebelah Affendi. Affendi memang duduk seorang di situ. Affendi tersenyum senang. Bertemanlah pula dia selepas ini.
            Perlahan-lahan Adam mengatur langkah menuju ke tempat duduknya. Dalam kepala, terbit pelbagai perkara. Ini sekolah baru, tempat baru dan akan bertemu dengan kawan-kawan baru. Dia bukanlah seramah mana, hendak menegur setiap orang di dalam kelas ini. Adam membalas senyuman Affendi yang kelihatan mesra.
            Adam membuka beg sekolah. Tertunduk-tunduk dia mencari buku tulis yang dibawanya tadi. Ketika Adam mendongak, dia terperanjat. Terkebil-kebil memandang ke arah Adira yang menongkat dagu di mejanya. Adira yang belum pun dikenalinya itu tersenyum-senyum padanya. Berkerut dahi Adam.
            “Saya Ayyatul Adira binti Adnan.” Tanpa bertangguh, Adira terus memperkenalkan diri kepada Adam.
            Terangguk-angguk kepala Adam. Senyuman bertamu namun tiada kata sebagai balasan.
            “Encik Adnan panggil saya Yaya. Puan Sabariah pun sama. Kawan-kawan pulak panggil Dira. Awak boleh panggil saya...”
            Belum sempat dia menghabiskan kata-kata, suara Sharifah Sasa kedengaran menegur. Tergesa-gesa Adira kembali ke posisi asal namun sempat menitip sesuatu buat teman barunya.
            “Awak boleh panggil saya Adira,” ujarnya sambil mengeyitkan mata.
            Adam terkebil-kebil lagi. Mesranya budak perempuan bernama Ayyatul Adira binti Adnan itu!