Tuesday, June 12, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab22.

Assalamualaikum.
"...True love doesn't have happy ending: True love doesn't have an ending..." - Anonymous


















Bab dua puluh dua
IDZRY memeluk tubuh. Pelbagai perkara bermain dibenak. Segalanya membuatkan dia ragu-ragu. Walau Puan Sofia tidak menunjukkan apa-apa reaksi yang mencurigakan, namun dia tidak dapat menyakinkan hati bahawa tiada sebarang halangan diterima daripada ibunya. Tadi pun, Puan Sofia seakan enggan mengenali Elisa, malah memberi alasan sakit kepala demi mengelak pertemuan itu.  Idzry tidak berkecil hati sebaliknya dia berasa kesal dengan sikap ibunya.
        Terfikir juga akannya bagaimana perasaan Elisa ketika itu. Diri mendesak untuk bertanya tetapi hati melarang. Resah andai Elisa berkecil hati. Mana tahu dengan tindakan ibunya membuatkan Elisa berfikir bahawa diri tidak diterima. Jika itu yang melewati fikiran Elisa, dia mahu segera menghapus tanggapan tersebut.
        “Awak!”
       Idzry menoleh. Mengecil matanya. Saat terlihat Elisa sedang berjalan menuju ke arahnya, senyuman Idzry mekar.
            “Nah.” Elisa menghulur sebatang ais-krim kon berperisa coklat kepada Idzry. Tahu Idzry menggemari perisa itu.
            Idzry mengambil ais-krim itu. “Terima kasih,” ucapnya.
            Elisa mengangguk. Dia mengambil tempat di sisi Idzry. Seronok juga petang-petang begini datang ke taman rekreasi. Tambahan pula, dia tidak pernah lagi mengunjungi taman ini. Taman rekreasi ini terletak tidak jauh daripada taman perumahan tempat keluarga Idzry tinggal. Elisa menikmati keindahan waktu petang dengan hati yang lapang.
            Pandangan mata Elisa melewati persekitaran taman tersebut. Ramai juga orang awam datang menghabiskan waktu di sini. Ada yang datang bersama keluarga. Ada yang bersama teman-teman. Ada juga yang menjadikan taman ini sebagai tempat janji temu. Elisa kemudiannya mengalihkan pandangan ke arah sekumpulan anak-anak berusia dalam lingkungan sembilan hingga sepuluh tahun. Anak-anak itu sedang berkejar-kejaran sesama mereka.
            “Sedap tak?” tanya Elisa.
            “Mestilah sedap. Kan Elis yang beli,” jawab Idzry.
            “Amboi, manisnya mulut tu.”
            Idzry tersenyum. “Memanglah manis. Kan tengah makan aiskrim.”
            Elisa ketawa. Idzry memang arif membuatkan dia rasa gembira dan senang hati. Elisa tidak menyedari Idzry acap kali mencuri pandang ke arahnya. Apabila Elisa menoleh, cepat-cepat Idzry melarikan mata.
            “Elisa...”
            Elisa berpaling. Ditatap wajah tenang Idzry. “Ya.”
            “Kenapa?” Elisa menyoal.
            “Elisa, saya nak minta maaf.”
            Kata-kata Idzry itu menyebabkan kening Elisa hampir bercantum. Dia menjadi semakin hairan. Tiada angin, tiada ribut, tiba-tiba sahaja Idzry meminta maaf darinya. Dia juga tidak tahu apa kesalahan Idzry.
            “Kenapa dengan awak ni? Apa yang awak buat sampai minta maaf dengan saya?” Elisa menyoal lagi.
            “Tentang tadi...” Bicara Idzry mati di situ. Sekali lagi raut wajah mulus Elisa direnungi dengan satu beban perasaan bersalah menghurung diri.
            “Tadi?” Soalan demi soalan dimuntahkan Elisa sebagai tanda dia masih dalam tanda-tanya.
            “Tentang ibu saya tadi tu, saya minta maaf. Tiba-tiba aje ibu sakit kepala dan pertemuan yang sepatutnya berjalan lancar, sepatutnya saya kenalkan awak kat ibu, semua tak jadi. Dari pagi Elis datang rumah, tunggu ibu sampai ke petang, then bila ibu balik langsung tak pedulikan Elis. Saya rasa bersalah sangat.”
            “Hei, kenapa cakap macam tu.”
            Idzry menggelengkan kepala tanda kesal. “She ruins everything.”
            “No, she didn’t. Dia bukan sengaja buat macam tu, tapi ibu awak tu sakit kepala. Tak sihat. Jadi perlu rehat. Kalau dia terus melayan saya sedang dia tak sihat, saya yang akan rasa bersalah. Menyusahkan orang. Dan awak jangan lupa, bukan kami tak bertegur langsung. Kan saya sempat juga berbual dengan ibu awak sebelum dia minta diri. At least saya dapat bercakap dengan ibu awak walau tak lama, kan.”
Elisa menyudahi kata-kata dengan harapan perasaan bersalah Idzry segera terhapus. Tambahan pula, lelaki itu berperasaan begitu tidak kena pada situasi. Puan Sofia tidak bertindak begitu dengan sengaja sebaliknya wanita itu berasa kurang sihat. Dia juga memahami keadaan Puan Sofia. Situasi tersebut langsung tidak meninggalkan sebarang kesan di hati walau sedikit pun.
“Tapi saya rasa tak senang hati bila ibu berkelakuan macam tu.” Idzry meluahkan perasaan yang terbuku.
Elisa mengukir senyuman kecil. Kata-kata dan keresahan Idzry tidak bertempat.
“Kan ibu awak cakap yang dia tak sihat, sakit kepala. Awak aje yang terlebih risau,” kata Elisa. Tercetus tawa halus dari mulut itu.
“Entahlah,” getus Idzry. Wajahnya muram.
“Tak baik tau bersangka buruk pada ibu sendiri.” Elisa mengingatkan.
Idzry menghela nafas panjang dan dalam. Untuk kesekian kalinya, dia merenungi Elisa. Elisa benar, dia tidak sepatutnya buruk sangka terhadap Puan Sofia. Namun Elisa tidak pernah tahu keadaan sebenar keluarganya. Elisa tidak pernah kenal siapa Puan Sofia. Elisa juga tidak pernah melihat dengan mata kepala sendiri bagaimana Puan Sofia menjadikan semua yang ada di depan mata mengikut telunjuknya. Elisa tidak pernah tahu!
“Saya suka dengan keluarga awak. Kak Liyana, Kak Suhana, abang-abang ipar awak semuanya baik-baik belaka. Lepas tu awak ada anak-anak buah yang sangat comel! Yang paling membuatkan saya geram sangat tu Cahaya Umairah. Comel sangat! Dengan mata dia yang bulat tu, bila diagah terus senyum.”
Senyuman Elisa meleret saat menceritakan betapa dia menyenangi keluarga Idzry yang membuatkan dia berasa selesa ketika menghabiskan masa bersama.
“Saya percaya ibu awak juga seorang yang baik, kan. Tak sabar rasanya nak kenal ibu awak dengan lebih dekat,” sambungnya.
Perlahan-lahan, Idzry mengangguk. Ya, Puan Sofia memang seorang yang baik tetapi kebaikan itu hanya akan tercurah ke atas orang-orang yang berkenan di hati. Sebagai seorang anak yang paling rapat dan menjadi kesayangan Puan Sofia, dia masak sangat dengan perangai dan sikap ibunya. Lihat sahaja apa yang berlaku ke atas kedua orang kakaknya. Mujur perkahwinan yang diatur keluarga itu membawa bahagia.
Mudah-mudahan Puan Sofia menyenangi Elisa sekaligus sudi menerima Elisa sebagai calon menantu. Dia percaya keperibadian lahiriah dan batiniah Elisa bakal mendasari hati ibunya. Pohonnya kepada yang Esa moga segala berjalan dengan baik dan jodoh antara dia dan Elisa akan berkekalan hingga akhir nanti.

PINTU diketuk tanda ada orang di luar ingin memasuki bilik. Puan Sofia menghampiri pintu dan membukanya. Fatin Suhana berdiri tegak dengan mata merenungi ibunya. Puan Sofia membuka pintu lebih luas sebagai isyarat meminta Fatin Suhana memasuki bilik. Fatin Suhana seakan memahami isyarat itu lantas mengekori langkah si ibu.
            Fatin Suhana melabuhkan punggung di kerusi yang terletak di hujung sudut bilik, bersebelahan katil. Puan Sofia pula berdiri di sebelah jendela yang terbuka sedikit. Dia berpeluk tubuh.
            “Siapa budak perempuan yang Idzry bawa tadi?” Soalan pertama diaju Puan Sofia.
            “Kan Idzry dah kata, Elisa tu kawan dia. Ibu pun sempat berborak dengan Elisa tadi, kan,” jawab Fatin Suhana.
            Helaan nafas Puan Sofia jelas menunjukkan perasaan kurang senang dengan kedatangan kawan anak lelakinya. Masakan tidak, tiba-tiba sahaja seorang gadis muncul di rumahnya dan diperkenalkan sebagai teman Idzry.
            “Ibu sihat, kan?” Giliran Fatin Suhana bertanyakan soalan yang berlegar-legar dalam kepala sejak tadi.
            “Kenapa Suhana tanya macam tu?”
            Fatin Suhana tersenyum nipis. Dia dapat meneka apa yang berada dalam hati ibunya ketika berhadapan dengan Elisa.
            “Suhana tahu ibu sengaja cakap ibu tak sihat. Kononnya sakit kepala. Padahal ibu nak mengelak jumpa dengan kawan Idzry tu. Kenapa ibu buat macam tu? Dia kan tetamu kita, kawan Idzry malah bakal menantu ibu.”
            “Apa Suhana cakap ni? Tak baik bersangka buruk pada ibu.”
            “Bukan Suhana sengaja bersangka buruk tapi Suhana tahu ibu memang sengaja buat macam tu. Takkan tiba-tiba aje ibu tak sihat sedangkan sejak pagi lagi ibu dah keluar dengan Dilla. Suhana pun pelik bila ibu cakap macam tu.”
            “Dan Suhana tahu ibu tak suka kat Elisa tu kan, cuma ibu tak tunjuk aje sebab Idzry ada depan mata,” bicara Fatin Suhana lagi. Kata-kata Fatin Suhana menyebabkan Puan Sofia menjengkilkan mata.
            “Suhana! Siapa yang ajar Suhana jadi biadap macam ni? Tuduh ibu yang bukan-bukan,” marah Puan Sofia.
            “Masalahnya ibu, apa yang Suhana cakapkan semua betul, kan? Suhana dah nampak perkara yang sama terjadi dan ibu jangan lupa, Suhana pun dah melalui saat-saat begini. Cukuplah ibu halang hubungan Suhana dan Kak Liyana dulu. Biarlah Idzry dengan pilihan hati dia. Biar adik tentukan kebahagiaan dia sendiri.”
            Puan Sofia mendengus kasar tanda dia tidak suka dengan setiap butir bicara yang keluar dari mulut Fatin Suhana. Membahang juga hatinya.
            “Jadi sekarang Suhana nak ungkit balik kisah dulu? Suhana berdendam dengan ibu?” Mendatar suara Puan Sofia. “Kenapa Suhana tak macam Kak Liyana? Kak Liyana tu patuh aje pada ibu. Tak pernah pun ungkit cerita dulu.”
            “Kak Liyana lain, Suhana lain. Kami tak sama. Kalau ibu kata Kak Liyana patuh kata-kata ibu, dengar cakap ibu, habis Suhana tak buat benda yang sama ke? Suhana tak patuh kata-kata ibu? Suhana kahwin dengan lelaki pilihan ibu dan tinggalkan Aliff macam tu aje.
            Ibu, Suhana dah ikut cakap ibu. Kak Liyana pun. Kami berkahwin dengan lelaki pilihan ibu dan ya, kami berterima kasih pada ibu kerana jodohkan kami dengan lelaki yang baik, lelaki yang membahagiakan kami tapi ibu kena ingat yang kami pernah terluka sebelum kami bahagia macam ni. Luka tu sangat dalam, bu. Suhana tak mahu Idzry alami perkara yang sama.”
            Ungkapan panjang lebar itu menyusup masuk ke rongga telinga dan memberi satu tamparan hebat pada Puan Sofia. Puan Sofia menggigit bibir. Geram!
            “Suhana tak pernah berniat nak ungkit kisah dulu. Jauh sekali menyimpan perasaan dendam terhadap ibu. Maafkan Suhana kalau kata-kata Suhana tadi menyakiti hati ibu tapi Suhana nak ibu tahu yang Suhana berharap ibu tak lakukan perkara yang sama pada Idzry. Kalau betul ibu sayang Idzry dan nak tengok Idzry bahagia, biarlah dia dengan keputusan dia.”
            Fatin Suhana mendekati Puan Sofia yang berwajah kelat. Fatin Suhana tahu perasaan berbuku dalam diri ibunya. Dia menyalami tangan Puan Sofia lantas menciumnya.
            “Maafkan Suhana,” ucapnya.
            Puan Sofia senyap. Sedikit pun tidak memandang Fatin Suhana. Menyedari keadaan ibunya yang membatukan diri begitu, Fatin Suhana mengundurkan diri. Dia ingin Puan Sofia memproses segala kata-katanya tadi dan berharap ianya dapat membantu ibunya berpaling daripada melihat arah jalan yang sama dalam menentukan kebahagiaan anak-anak.
            Fatin Suhana berpaling sebelum menutup pintu. Puan Sofia sedang berdiri di tepi jendela dengan tubuh membelakanginya. Perasaan bersalah menyelinap memasuki hati kerana berbahasa begitu dengan ibu sendiri namun dia enggan melihat satu lagi kekecewaan melanda salah seorang penghuni rumah ini.

“SUHANA bertengkar dengan ibu ke?” tanya Fatin Liyana ketika terlihat adiknya, Fatin Suhana duduk termenung sendirian di ruang tamu.
            Fatin Suhana menarik nafas. Tangan masih menongkat dagu dan mata terarah pada Fatin Liyana yang duduk bertentangan dengannya.
            “Maira ada dengan suami Suhana ke kak?” Fatin Suhana menyoal selepas beberapa ketika menyepikan diri.
            “Akak tidurkan Maira kat sini tadi. Lepas tu suami Suhana datang, terus bawa anak kamu tu naik bilik. Mmm... Suhana tak jawab soalan akak lagi.”
            Fatin Liyana memerhatikan adiknya. Wajah itu muram. Tiada garis-garis keceriaan sedang dia cukup mengenali Fatin Suhana seorang yang periang dan banyak cakap. Hanya apabila terjadi sesuatu yang kurang menyenangkan hati, barulah Fatin Suhana bersikap seperti ini.
            Fatin Liyana syak Fatin Suhana ada berbalah dengan ibu mereka. Dia ternampak Fatin Suhana memasuki bilik Puan Sofia tidak lama selepas Idzry meminta diri untuk menghantar Elisa pulang.
            “Suhana rasa ibu tak suka kat Elisa.”
            Berkerut dahi Fatin Liyana. “Eh, mana Suhana tahu? Kita tak nampak atau dengar pun ibu kata yang ibu tak suka kat Elisa.”
            Fatin Suhana mencebik. Memang Fatin Liyana tidak dapat melihat agenda ibu mereka kerana Fatin Liyana terlalu polos. Apa sahaja yang dilakukan ibu akan kelihatan molek sahaja sedang kakaknya itu pernah menanggung derita, sama sepertinya. Cuma beda antara dia dan Fatin Liyana, dia terlalu masak dengan perangai ibu mereka.
            “Akak lupa apa yang ibu dah buat kat kita? Akak lupa yang kita pernah sama-sama derita dan merana kerana terpaksa mengikut kata ibu lantas terpaksa meninggalkan insan yang kita cinta? Akak dah lupa ke semua tu? Suhana tak pernah lupa kak. Walau Suhana dan kahwin, dah ada anak, suami tapi luka tu sangat dalam!” luah Fatin Suhana. Sebak perasaannya.
            Fatin Liyana mengenggam tangan Fatin Suhana. Perasaan yang menghurung adiknya mesti segera dihalau pergi. Khuatir andai perasaan itu terus terperuk jauh di sudut hati, suatu waktu nanti bisa menggugat kebahagiaan rumah tangga yang baru dua tahun terbina.
            “Suhana, kita tak sepatutnya simpan perasaan sakit hati atau bengang dengan apa yang dah berlaku. Takut nanti perasaan itu berkumpul dan padu menjadi dendam yang tiada kesudahan. Lagipun amarah Suhana tu pada ibu. Ibu kita. Apa yang berlaku ni semua takdir walau menyakitkan.
            Suhana lupa kan yang kita bahagia dengan perkahwinan ni meski pun ianya bermula dengan penuh keterpaksaan. Pilihan ibu pun bukan yang terbaik untuk kita, bukan juga yang paling buruk. Kita saling melengkapi. Mungkin bukan jodoh kita dengan orang sebelum ni.” Fatin Liyana cuba memujuk si adik supaya membuang jauh-jauh perasaan amarah yang masih membelit jiwa.
            Fatin Suhana bingkas berdiri dan membelakangi Fatin Liyana. Dia berpeluk tubuh.
            “Suhana bukan marah, dendam jauh sekali tapi cuba akak fikir, kalau ibu buat apa yang dia pernah buat kat kita ni pada Idzry, macam mana? Akak sanggup tengok Idzry kecewa bila ibu halang niat dia mengahwini Elisa? Suhana tak sanggup,” kata Fatin Suhana.
            Fatin Liyana menggelengkan kepala.
            “Suhana lebih suka tengok Idzry ingkar kata-kata ibu? Suhana nak tengok ibu kecewa? Suhana suka?” Bertubi-tubi soalan diaju.
            “Tak suka, kan?” sambung Fatin Liyana dikala terlihat gelengan Fatin Suhana.
            “Entahlah, kak. Suhana cuma... Suhana...” Tersekat-sekat bicara Fatin Suhana. Fatin Suhana menarik nafas. “Suhana tak mahu Idzry alami benda yang sama macam kita. Sakitnya hanya Allah yang tahu. Perasaan macam diremuk-remuk sampai bersepai.”
            “Tapi kita bahagia kan sekarang? Suhana ada suami yang baik, anak yang comel. Usah biarkan perkara yang dah lepas tu menganggu ketenteraman hati sekaligus memberi kesan terhadap perkahwinan Suhana.”
            “Suhana tahu ibu takkan terima Elisa. Idzry akan kahwin dengan pilihan hati ibu dan orang itu ialah Ardilla Soraya Datuk Ghazali.”
            “Kenapa dengan Ardilla?”
            Fatin Suhana terperanjat. Fatin Liyana juga. Tiba-tiba Idzry muncul sedangkan mereka tidak perasan bila Idzry pulang.
            “Bila Idzry balik? Dah lama ke?” soal Fatin Liyana.
            “Baru aje sampai. Tadi terdengar Kak Suhana sebut-sebut nama Dilla. Ada apa-apa ke?”
            Fatin Liyana dan Fatin Suhana menggelengkan kepala. Hampir serentak.
            “Eh, mana ada. Idzry salah dengar agaknya,” dalih Fatin Suhana.
            Idzry menggaru-garu kepala. Rasanya dia terdengar kedua-dua kakaknya menyebut nama Ardilla Soraya.
            "Idzry naik atas dululah, kak. Penat. Oh, tadi Elisa kirim salam," beritahu Idzry dalam senyuman . Kemudian dia berlalu pergi meninggalkan Fatin Liyana dan Fatin Suhana tanpa mengesyaki dia terbabit dalam perbualan itu.


Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nice day :)


notahujungkaki: Selepas Bab22 ini, akan terdapat perubahan nama pada sebahagian watak di dalam DAM. InsyaAllah, bab-bab sebelum ini akan diupdate juga :) Kepada yang membaca, thank u so much sebab sudi luangkan masa baca DAM :) Psssttt... penulis memerlukan komen dari pembaca sekalian untuk dijadikan panduan. #Hey, kau bergaya macam beriban baca kan kan? Haha.

No comments: