Sunday, June 10, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab21

Assalamualaikum.


"...Love is a shortest way from heart to heart..."










Bab dua puluh satu
SEBUAH senyuman mekar di bibir Idzry setiap kali dia melirik ke arah Elisa. Tingkah-laku gadis itu mencuit hati. Ada sahaja yang tidak kena sehinggakan Elisa merasa tidak selesa dengan keadaan dirinya sendiri.
Sejak dari rumah Elisa sampailah waktu mereka dalam perjalanan menuju ke rumah keluarga Idzry, Elisa langsung tidak betah duduk senyap. Jari-jemari Elisa bergerak-gerak dan sesekali dia menyatukan jari-jari kedua belah tangannya dan digenggam padu. Mulut itu pula langsung tidak mengeluarkan sepatah perkataan pun walhal Elisa bukanlah seorang gadis yang pendiam. Entah ke mana menghilang sikap periang dan banyak cakap  gadis itu.
Idzry cuba menarik perhatian Elisa dengan cara berpura-pura batuk. Kali pertama, tidak menjadi. Elisa sedikit pun tidak menoleh ke arahnya. Idzry mencuba lagi. Kali ini dengan berdehem pula. Juga tidak memberikan apa-apa kesan. Malah Elisa kelihatan semakin gelisah melayan perasaan.
Bukan Idzry tidak tahu gelombang di hati Elisa. Mungkin juga gelombang itu melebihi kejadian tsunami yang pernah berlaku. Di wajah manis itu jelas menunjukkan Elisa sedang berperang dengan perasaan sendiri. Idzry ketawa kecil.
“Kenapa cemas sangat ni?”
Elisa menoleh. Berkerut-kerut dahinya.
“Mana ada cemas. Tak adalah! Macam biasa aje ni,” dalih Elisa. Hakikatnya, dada dirasa hendak pecah. Darah-darah pula tidak pernah mahu menurunkan paras derasnya aliran ke segenap urat saraf.
Idzry ketawa kecil. Elisa tetap enggan mengakui gelodak perasaan yang sedang ligat menghempas hati. Bukan setakat gerak-geri Elisa menggambarkan betapa dia gelisah dan resah, malah wajah itu juga terlukis sejuta perasaan bercampur-baur.
“Kenapa ketawa?” soal Elisa.
Idzry senyum sahaja. Dia terus fokus pada pemanduan agar mereka selamat sampai ke destinasi yang dituju.
Sampai di satu simpang empat, Idzry memberhentikan kereta. Lampu isyarat berwarna merah. Apabila lampu isyarat bertukar hijau, laju sahaja dia menekan minyak kereta. Idzry membelok ke kanan dan kemudian kereta dipandu perlahan memasuki kawasan perumahan.
Elisa memerhati keadaan sekeliling. Taman perumahan ini bukan calang-calang. Rumah-rumah yang dibina semuanya cantik-cantik belaka. Malah ada antaranya yang nampak begitu mewah. Mana satu rumah keluarga Idzry? Beradakah keluarga lelaki itu? Elisa mengerling Idzry lewat ekor matanya. Dia tidak pernah tahu status sosial keluarga Idzry. Idzry tidak pernah bercerita dan dia juga tidak pernah bertanya.
Kereta Idzry berhenti di hadapan sebuah rumah yang berpagar tinggi. Ketinggian pagar itu menghalang sudut pandangan mata orang daripada melihat keadaan di dalamnya. Idzry mengeluarkan alat kawalan jauh bersaiz kecil. Dia menekan punat hijau dan tiba-tiba pintu pagar itu terbuka sendiri.
Saat pintu pagar itu terbuka luas, melebar pandangan mata Elisa. Semampu mungkin dia cuba melewati setiap ceruk bahagian hadapan rumah keluarga Idzry. Perlahan-lahan perasaan resah dan gelisah bertukar kepada satu perasaan yang sungguh dahsyat. Dia sendiri tidak bisa mentafsir apa yang sedang bergelodak hebat dalam diri. Mungkin perasaan gementar menakluki seluruh jiwa dan raganya.
Walaupun rumah itu tidaklah sebesar rumah yang dilihat tadi, namun ianya masih bercirikan mewah dan elegan. Kawasan halaman pula dihiasi dengan pelbagai jenis bunga-bungaan dan tumbuh-tumbuhan menghijau. Saujana mata yang memandang.
“Kita dah sampai,” ujar Idzry.
Elisa menoleh. “Ini rumah awak?”
Idzry mengangguk.
Melihat anggukan itu, Elisa terus menelan air liur. Dalam kepala, pelbagai andaian muncul. Dia membayangkan ibu Idzry seorang yang berwajah serius. Senyum juga tidak mahu. Manakala dua orang kakak Idzry pula seperti kakak-kakak tiri di dalam cerita dongeng fantasi barat, Cinderella. Dia paling gerun membayangkan bagaimana diri hendak menerima renungan-renungan berbisa daripada seluruh keluarga Idzry.
Elisa tersentak dikala merasai hangatnya sentuhan Idzry. Dia mengangkat muka. Renungan redup dari mata lelaki itu menyambar diri. Elisa terkedu. Walau senyuman tidak terukir di bibir Idzry, namun mata itu bagai sedang memberikan senyuman untuknya.
            “Elis jangan terlalu risau. Semuanya akan baik-baik aje. Saya kan ada.” Idzry cuba menenangkan perasaan Elisa waktu itu.
            Elisa berusaha untuk tampil berkeyakinan. Dia tidak mahu Idzry risau melihat keadaan diri. Akhirnya dia mampu untuk mengukir senyuman buat tatapan Idzry. Walau apa pun yang bakal berlaku di dalam sana, dia tahu Idzry akan sentiasa berada di sisi.
            “Jom sayang...”
            Idzry menghulur tangan. Elisa menyambut tangan itu dan digenggam erat. Perlahan-lahan dia turun juga memijak lantai bumi yang terbinanya sebuah rumah milik keluarga Idzry. Elisa menarik nafas dalam-dalam. Dipejam mata seketika.
Elisa membuka mata. Dipandang Idzry yang berdiri rapat di sebelahnya. Lelaki itu membuat riak bertanya sama ada dia sudah bersedia atau belum. Anggukan berserta senyuman sebagai jawapan dia bersedia untuk menghadapi segalanya!

“INI ke tetamu istimewa yang Idzry katakan tu?”
            Idzry mengangguk. Elisa pula terkial-kial apabila menyedari dua orang kakak Idzry sedang asyik memerhatikan dirinya. Terasa semua bagai tidak kena. Elisa terpaksa bersua muka dengan dua orang kakak lelaki itu meski dia gentar untuk melawan renungan tersebut. Elisa memaksa diri untuk tersenyum. Nyata, kedua-dua kakak Idzry seakan pelik melihat dirinya disamping Idzry. Langsung tiada secalit kemesraan di wajah keduanya.
            “Haah, kak. Inilah tetamu istimewa tu. Kenalkan, kawan Idzry. Elisa namanya.” Dengan senang hati Idzry memperkenalkan si jantung hati kepada Fatin Liyana dan Fatin Suhana.
            “Elis, yang tu Kak Liyana.” Idzry menuding ke arah Fatin Liyana dan kemudian jari telunjuknya disasar pada Fatin Suhana pula. “Yang tu Kak Suhana.”
            Belum sempat Elisa mengungkap salam perkenalan, tubuhnya sudah hilang dalam pelukan Fatin Liyana. Elisa terkebil-kebil. Apa yang berlaku sepantas kilat. Dilihatnya Fatin Suhana bergelak ketawa. Hilang wajah kelat tadi, berganti dengan riak wajah yang sangat mesra.
            “Selamat datang Elisa! Kami memang menantikan kedatangan Elisa. Excited sangat!” kata Fatin Liyana sebaik sahaja meleraikan pelukan itu. Tidak mati senyuman yang meniti bibir Fatin Liyana.
            “Elisa sihat?” Giliran Fatin Suhana pula bertanya.
            Elisa terangguk-angguk. Dia keliru. Yang mana peribadi sebenar Fatin Liyana dan Fatin Suhana? Fatin Liyana dan Fatin Suhana yang ini sangat mesra. Langsung tidak lokek senyuman malah wajah mereka begitu riang sekali jika hendak dibandingkan dengan keadaan mereka sebelum ini. Sangat jauh berbeza!
            Idzry menyedari kekalutan itu segera membisikkan sesuatu di telinga Elisa. “Elis jangan terkejut. Kedua-dua kakak saya memang macam ni. Yang mula-mula tadi tu muka plastik aje.”
            Elisa lega mendengar kata-kata Idzry. Sekurang-kurangnya kedua orang kakak Idzry tidaklah seperti yang dibayangkan.
            “Mana ibu?” Idzry terjingkit-jingkit mencari kelibat Puan Ungku Sofia.
            “Ibu keluar,” jawab Fatin Liyana.
            Berkerut dahi Idzry. Bukankah sudah diberitahu akan ada tetamu datang berkunjung ke rumah, kenapa mesti ibunya keluar diwaktu-waktu begini?
            “Sekejap lagi ibu baliklah tu agaknya.” Fatin Suhana mencelah.
            Idzry menarik nafas.
            “Oh, terlupa pulak!” Idzry menepuk dahi berkali-kali. “Ni hah, nak kenalkan dengan abang-abang ipar saya. Ini Firdaus, suami Kak Liyana. Yang ini pulak Kamarul, suami Kak Suhana.”
            Elisa menghulur tangan. Disalami kedua-dua orang abang ipar Idzry.
            “Eh, kenapa kita berdiri kat depan pintu ni? Dah, jom masuk dalam, duduk-duduk kat ruang tamu. Nanti boleh bercerita panjang lebar,” usul Fatin Liyana.
            “Dari tadi duk berceloteh, sampai peluk-peluk, baru sekarang perasan.” Firdaus mencelah.
            Gamat seketika keadaan waktu itu. Fatin Liyana mencemikkan wajah. Firdaus pula tidak henti-henti mentertawakan isterinya. Melihat keadaan itu menyebabkan paras kegelisahan dan keresahan Elisa menurun sedikit. Keramahan dan keakraban yang terpamer di antara isi keluarga itu membuktikan tanggapannya silap belaka.

SEWAKTU makan tengah hari bersama keluarga itu, Elisa langsung tidak berasa kekok. Layanan keluarga itu begitu baik sekali sehinggakan dia turut merasai diri menjadi sebahagian daripadanya. Dia juga selesa untuk saling berborak tentang apa sahaja. Rasanya suasana begitu gamat di ruang makan ketika itu. Ditambah pula dengan kehadiran anak-anak kedua-dua pasangan suami isteri itu. Riuh-rendah jadinya.
            Walau tujuan sebenar kunjungannya ke rumah ini masih belum tertunai, tetapi separuh daripadanya sudah terlaksana apabila dia dapat mengenali adik-beradik Idzry dengan lebih dekat lagi. Berkenalan dengan Fatin Liyana dan Fatin Suhana sekeluarga merupakan pengalaman manis yang tidak mungkin dilupakan.
            Sebahagian daripada diri berasa tenang manakala sebahagian lagi masih bergelora seperti tadi. Elisa tidak dapat menolak perasaan gelisah menghuni sanubari tatkala memikirkan ibu Idzry. Dia masih belum bertentang mata dengan ibu lelaki itu. Seringkali dia terjebak memikirkan penerimaan ibu Idzry.
            Selesai makan, Elisa terus dibawa berehat di ruang tamu. Elisa hanya mengikut sahaja. Kata Fatin Liyana, terlalu banyak perkara yang hendak diketahui tentang dirinya.
            Sambil duduk berehat di ruang tamu, Elisa mengambil peluang untuk bermain-main bersama salah seorang anak Fatin Suhana yang baru sahaja mencecah usia tujuh bulan. Kecomelan dan kegebuan si bayi perempuan yang diberi nama Cahaya Umairah, membuatkan Elisa geram. Habis bayi itu digomolnya. Mujur juga Cahaya Umairah tidak merengek kerimasan apabila diperlakukan demikian. Sebaliknya Cahaya Umairah ketawa kegelian.
            “Maira... Maira ni comellah. Geram tengok!”
Elisa berbicara dengan si kecil itu. Cahaya Umairah juga bersuara, seakan-akan membalas kata-kata Elisa.
“Eh, dia senyum lagilah. Maira ni buat orang geram tahu. Kecik-kecik dah ramah,” kata Elisa lagi. Tidak dapat ditahan-tahan perasaan suka ketika melayani Cahaya Umairah.
“Umairah ni mahunya dengan orang-orang tertentu aje. Kalau tidak, mahu dia melalak sekuat hati,” ujar Fatin Suhana dalam senyuman. Dalam hati terdetik satu perasaan hairan kerana sebelum ini Cahaya Umairah begitu sukar dibawa oleh orang yang tidak dikenali. Dengan Elisa pula anak kecil itu langsung tidak menangis. Antara keduanya bagai ada satu ikatan.
“Elisa kerja apa?”
“Saya kerja sebagai pereka dekat butik pengantin. Bolehlah buat baju sikit-sikit,” jawab Elisa. Nampaknya sesi soal jawab bermula sekarang.
“Designer?” Fatin Suhana bertanya lagi.
Elisa mengangguk laju.
“Wah, baguslah! Pandai reka baju, menjahit, nanti boleh buka butik dengan label sendiri.” Fatin Suhana teruja memberikan pendapat. Dia juga pernah mengimpikan memiliki sebuah butik dengan label sendiri. Cuma impian itu hanya tinggal impian yang terkubur begitu sahaja. Minat yang ada jua semakin malap.
“Siapa yang nak buka butik? Siap dengan label sendiri lagi.” Tiba-tiba Fatin Liyana menyampuk perbualan. Dia muncul dari perut dapur dengan membawa minuman dan sedikit makanan ringan.
“Ni, Elisa ni kerja sebagai designer. Tu yang Suhana cakap dengan dia, buka butik dan cipta label sendiri. Dia kan pandai design baju. Mahu laku nanti,” jelas Fatin Suhana.
Fatin Liyana terangguk-angguk.
“Bagus jugak tu. Boleh jadi pereka muda. Kelas gitu!” senda Fatin Liyana.
Elisa ketawa. Ada juga dia terfikir untuk membina empayar perniagaan sendiri namun difikir-fikir semula, dia belum mampu ke arah itu. Masih terlalu banyak perkara perlu dipelajari sebelum melangkah masuk ke dalam dunia perniagaan. Tanpa ilmu yang cukup, mungkin dia akan tumpas dengan mudah. Bukan dia tidak tahu hakikat sesebuah perniagaan itu. Ada pasang surutnya.
“Butik tempat Elisa kerja tu jual baju pengantin aje ke? Ada tak buat servis ambil tempahan baju jenis lain?” soal Fatin Liyana dengan penuh minat.
“Ada. Butik tu bukan hanya menyediakan servis khusus untuk perkahwinan tapi kami menerima tempahan lain. Datang butik, beritahu rekaan macam mana yang dimahukan, then kami akan cuba merealisasikannya,” kata Elisa.
“Ada gaya...”
Elisa tersipu-sipu. Begini jadinya jika dia mula membuka mulut bercerita mengenai butik tempat dia bekerja. Sekali dengar, seperti hendak mempromosikan butik sahaja.
“Apa yang dibualkan ni? Rancak aje. Ada apa-apa yang menarik?”
Elisa berpaling. Dilihat Idzry sedang berdiri di belakangnya. Satu kuluman senyuman manis diberi Idzry untuknya. Mata Elisa mengekori langkah Idzry sehingga lelaki itu melabuhkan punggung di sebelahnya.
“Tak ada apa-apa pun. Tanya Elisa ni pasal butik tempat dia kerja. Eh, mana abang-abang Idzry tu? Lepas makan, tak nampak batang hidung pun. Keluar ke?” tanya Fatin Suhana.
“Taklah. Ada kat depan tv melayan anak-anak. Iyalah, kan isteri-isterinya sibuk interview bakal adik ipar, kan.” Idzry mengeyitkan mata.
Panjang tangan Fatin Suhana menampar peha Idzry. Kalau seharian tidak mengusik, tidak lengkap hidup agaknya. Fatin Liyana pula ketawa gelihati melihat telatah adik-adiknya.
Deruan enjin kereta menarik perhatian mereka. Waktu itu juga gurauan dan tawa tiada kedengaran. Fatin Liyana, Fatin Suhana dan Idzry berpandangan sesama sendiri. Elisa pula tertanya-tanya kenapa keluarga itu tiba-tiba menyepi. Ingin sekali bertanya namun mulut seakan berkunci rapat.
Fatin Liyana dan Fatin Suhana merenungi Idzry dengan bahasa mata yang hanya difahami oleh Idzry. Idzry menoleh, memandang Elisa yang masih tenggelam dalam tanda tanya. Ketika pintu kedengaran berkeriuk tanda ada orang sedang membukanya, tumpuan ketiga-tiga beradik itu terarah di muka pintu.
“Ibu!”
Suara lantang Fatin Liyana memecah kesunyian yang bermaharajalela sebentar tadi. Fatin Liyana melulu mendapatkan si ibu yang terpacak di muka pintu. Disalami tangan itu dengan penuh rasa hormat.
“Liyana! Tak cakap pun nak datang rumah. Ibu ingat Suhana aje yang datang sini.”
“Kan Idzry kata nak bawa tetamu istimewa datang rumah kita. Tu yang Liyana datang sini. Mana boleh lepaskan peluang tengok bakal menantu ibu,” ujar Fatin Liyana.
Kening Puan Ungku Sofia hampir bercantum. Berkerut wajahnya. Bakal menantu?
“Idzry dah lama tunggu ibu.” Fatin Liyana menegur Puan Ungku Sofia apabila menyedari ibunya hanya pegun di situ.
Puan Ungku Sofia mengatur langkah. Diekori rapat oleh Fatin Liyana. Fatin Suhana mendapatkan Puan Ungku Sofia dan menyalami tangan ibunya. Begitu juga dengan Idzry. Cuma sewaktu Idzry mahu menyalami tangan ibunya, dia menerima satu renungan tajam, dipenuhi dengan pelbagai persoalan daripada Puan Ungku Sofia.
“Ibu, ini kawan Idzry. Elisa namanya,” tutur Idzry, memperkenalkan Elisa kepada Puan Ungku Sofia.
Puan Ungku Sofia mengangguk. Dia menyambut salam yang dihulur Elisa. Senyuman juga terukir dibibirnya cukup menyenangkan hati Idzry.
“Dah lama ke tunggu?” soal Puan Ungku Sofia sekadar berbahasa.
Elisa menggelengkan kepala. Walhal hampir separuh hari dia menghabiskan waktu bersama keluarga ini.
“Ibu ke mana tadi? Sampai ke petang baru nampak.”
“Ibu keluar dengan Dilla. Dia ajak ibu ke sauna. Ibu temanlah dia. Tak sangka pulak sampai ke petang. Ni, kenapa tak beritahu ibu yang Idzry nak bawa kawan datang rumah? Tiba-tiba ada depan mata.”
Elisa menelan air liur mendengar kata-kata yang tercetus dari mulut Puan Ungku Sofia. Dalam hati terdetik persoalan, apakah wanita ini tidak menyenangi kehadirannya? Semakin lama difikir, semakin muncul segala persoalan dan kesimpulan, yang ada di antaranya mengundang gelisah di hati.
“Saja nak beri kejutan,” omong Idzry dalam senyuman.
Puan Ungku Sofia turut tersenyum. Pandangannya beralih kepada Elisa. Diperhati gadis itu dari atas ke bawah berulang-ulang kali sehingga membuat Elisa berasa kurang selesa. Pandangan itu cukup tajam dan hampir sahaja membuatkan semangatnya rebah.
“Elisa, auntie minta maaf, auntie tak dapat nak layan Elisa sebab kepala auntie sakitlah. Pening-pening sikit. Badan pun letih. Agaknya penat seharian keluar. Jangan ambil hati ya kalau auntie tak sempat nak beramah-mesra dengan Elisa,” ujar Puan Ungku Sofia. Raut wajah itu berkerut-kerut seolah-olah sedang menahan sakit yang amat.
Elisa kasihan melihat keadaan Puan Ungku Sofia segera berkata, “Tak apalah, auntie. Auntie tak sihat, rehatlah.”
“Maaf ya. Kalau ada masa, Elisa datanglah lagi ke sini,” pelawa Puan Ungku Sofia.
“Tadi ibu nampak sihat aje. Tiba-tiba tak sihat pulak,” celah Idzry.
Puan Ungku Sofia merentap pandangan mata Idzry. Bulat matanya merenungi anak lelakinya yang seorang itu.
“Dah dari tadi ibu rasa sakit kepala cuma sakit tu semakin bertambah bila dah kat rumah,” bidas Puan Ungku Sofia.
“Auntie naik atas dulu, ya,” sambungnya sebelum angkat kaki berlalu dari situ.
Fatin Liyana dan Fatin Suhana saling berbalas renungan. Kemudian pandangan mata keduanya terarah pada Elisa yang menyepi di sebelah Idzry. Tidak patut Puan Ungku Sofia meninggalkan Elisa begini. Elisa tetamu istimewa, teman Idzry dan bakal menantu di rumah ini. Fatin Liyana dan Fatin Suhana seakan dapat menghidu sesuatu.
Apa rencana ibu mereka selepas ini?


No comments: