Sunday, June 17, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab23.

Assalamualaikum.


"...Life isn't worth living unless you're willing to take some big chances and go for broke..." -Eliot Wiggington








Bab dua puluh tiga
HARI ini Hilman terpaksa  mengikut Karmilla pergi ke butik memandangkan kakaknya membuat satu peraturan baru dan dia terpaksa mematuhi peraturan itu jika berniat tinggal lebih lama di rumah Karmilla. Lagi pula, Karmilla berjanji tidak akan sesekali membocorkan rahsia bahawa dia masih menganggur meski sudah kembali ke sini. Andai Puan Ungku Zaleha mengetahui rahsia ini, jam ini juga ibunya akan datang ke butik ini.
            Dia tidak berniat hendak menipu ibunya namun sikap mendesak ibunya yang memaksa dia mengambil keputusan ini. Biarlah untuk beberapa ketika ini dia menuruti segala peraturan dan syarat yang ditetapkan Karmilla, dia sanggup. Yang penting, Puan Ungku Zaleha tidak perlu tahu status dirinya buat masa ini.
            Mengikut perancangan asal, dia mahu menawarkan diri bekerja di butik milik Karmilla. Tidak kisah berapa pun gaji yang diberi Karmilla. Makan dan tempat tinggal sudah ditanggung kakaknya, maka dia tidak memerlukan wang yang banyak untuk menampung hidup selain keluar bersuka-ria bersama kawan-kawan.
            “Jangan malas-malas tolong akak kat butik. Kalau tidak, segala perjanjian kita akan terbatal serta-merta.” Karmilla bersuara memberi amaran ketika terlihat Hilman terkial-kial mengangkat beberapa beg plastik yang mengandungi material-material yang diperlukan untuk menjahit.
            Hilman mendongak. Kanan kiri tangannya sudah penuh. Tadi mengikut Karmilla ke kedai kain. Kemudian disuruh pula mengangkat semua barang-barang ini. Paling mengejutkan, seawal jam sembilan pagi, sebaik sahaja dia menjejakkan kaki ke dalam butik ini, dihulur padanya sebatang penyapu dan penyeduk sampah. Bukan hanya menyapu, malah dia dipaksa membersihkan lantai beralaskan karpet itu dengan menggunakan vakum. Sekilas pandang, dia boleh disamakan dengan tukang cuci di butik itu.
            Dengan kudrat yang ada, dia mengangkat beg-beg itu dan diletakkan di atas kerusi. Beberapa kali dia menarik nafas panjang. Saat-saat begini, dia terbayang suasana tempat kerja di syarikat Green Perdana. Berkali-kali ganda lebih senang walau terpaksa berdepan dengan pelbagai tekanan yang datang daripada pelbagai sudut. Yang penting, kerja itu tidak memerlukan dia menggunakan kudrat sebanyak ini.
            “Baru angkat barang sikit, dah penat?” sergah Karmilla tiba-tiba.
            Hilman mengurut dada. Terkejut.
            “Mahu tak penat! Kat kedai angkat roll kain. Kau sengaja kan kak, suruh-suruh aku pada hal tauke tu ada aje depan mata.” Hilman mengerling Karmilla yang terpacak di depan mata.
            “Tauke tu kan dah tua. Takkan akak nak suruh dia. Lepas tu pekerja dia entah ke mana. Alah, kau baru buat kerja berat sikit, dah merungut,” balas Karmilla.
            “Sikit kau kata, kak? Angkat-angkat tu aku tak kisahlah. Ni, yang pagi tadi kau suruh aku kemas butik kau ni, kau ingat aku bibik ke? Penat tahu. Bukan kecil butik kau ni. Siap lap pintu cermin kau lagi. Dengan baju lawa-lawa, kau suruh aku buat semua tu. Nasib baiklah tak ada orang lalu-lalang sangat kat sini pagi tadi. Kalau tidak, mahu jatuh kehenseman aku ni. Muka hansome, tapi buat kerja cleaner. Jatuh saham aku!”
            Hilman terus-terusan merungut. Sejak awal pagi tadi, dia menyimpan perasaan tidak puas hati. Karmilla bijak mempergunakan kelemahannya. Ungkit sahaja tentang perjanjian dan rahsia itu, terus dia menuruti telunjuk Karmilla meski hati mendongkol geram.
            “Kau sengaja nak pergunakan aku, kan kak. Mentang-mentanglah rahsia aku dalam tangan kau, suka-suka hati aje ugut-ugut,” sambungnya.
            Karmilla ketawa besar. Inilah padahnya jika tidak pernah melakukan sebarang kerja-kerja pembersihan walau menyapu. Memang sedia diketahui, Hilman tidak pernah melakukan semua kerja-kerja ini. Hanya tahu segala tersedia buatnya. Tidak pernah berfikir sama ada orang yang menyediakan keperluan itu letih atau penat. Dia tidak sesekali melepaskan peluang untuuk mengajar adik lelakinya ini merasa penat-lelah begini.
            “Bukan ugut tapi ambil kesempatan,” kata Karmilla dalam tawa.
            Hilman melihat Karmilla mengatur langkah memasuki bilik kerja melalui ekor mata sahaja. Jika bukan kerana takut rahsiadiketahui Puan Ungku Zaleha, dia tidak akan melakukan semua ini. Betapa dungu diri kerana bersetuju untuk mengikut kata Karmilla demi menyembunyikan rahsia ini.
            Hilman melabuhkan punggung di atas kerusi. Helaan nafasnya begitu panjang. Entah berapa kali dia berkeadaan begitu sepanjang hari ini, dia tidak ingat. Setelah merasakan keletihan itu semakin menghilang, dia kembali berupaya untuk melihat keadaan sekeliling butik tersebut. Panjang lehernya ketika meninjau persekitaran waktu itu.
            Anak mata terarah pada sesusuk tubuh seseorang yang begitu dikenali. Senyuman terukir di bibir. Tanpa menunggu lebih lama, Hilman laju mengorak langkah mendekati Elisa yang sedang khusyuk membuat sesuatu. Apabila jarak hanya tinggal kurang beberapa meter sahaja, Hilman berjalan dengan perlahan-lahan. Elisa pula langsung tidak menyedari kelakuan Hilman ketika itu.
            “Amboi, tekunnya buat kerja!” tegur Hilman.
            Elisa tersentak. Cepat dia menyentap pandangan mata Hilman yang terarah padanya. Tanpa segaris senyuman pun, Elisa kembali memberikan sepenuh tumpuan kepada kerja tadi. Kemunculan Hilman langsung tidak menjejaskan fokusnya ketika itu.
            Terangkat juga kening Hilman tatkala Elisa sekadar memandang ke arahnya, tidak mengukir senyuman apatah lagi mahu membalas kata-katanya tadi. Hilman menarik kerusi dan meletakkannya di hadapan meja tempat Elisa melakukan kerja-kerjanya. Dia duduk di situ. Sempat juga dia mengerling ke arah bungkusan yang diberi beberapa hari yang lalu. Masih elok terletak di tempat yang sama. Langsung tidak berubah tempat.
            “Nak simpan ke bungkusan yang saya bagi kat awak tu?” soal Hilman.
            Elisa tidak memberikan apa-apa tindak-balas. Hilman pula berpeluk tubuh. Renungannya itu masih melekat pada Elisa.
            “Hari tu pergi mana? Dengar kata bercuti.” Hilman berusaha memulakan perbualan dengan Elisa meski keadaan kemunikasi antara mereka bagai batu. Keras membeku.
            Elisa mengerling ke arah Hilman. Lelaki itu sedang membelek beberapa barang kepunyaannya yang terletak di atas meja. Hampir setiap barang akan dipegang dan dibelek. Pensel yang sebatang itu juga mahu dipegang.
            Tidak penatkan lelaki ini bercakap walau tidak dilayan sama sekali? Elisa mendongkol geram dalam hati. Sejak akhir-akhir ini, Hilman dilihat semakin kerap datang ke butik. Mujur juga kedatangannya boleh menjadikan segala kerja remeh-temeh dipermudahkan seperti tugas-tugas membersihkan butik ini. Pelik juga kerana sebelum ini Hilman tidak pernah melakukan tugas-tugas itu. Kebiasaannya Karmilla akan mengupah seseorang untuk membersihkan butik sebelum dan selepas waktu operasi.
            “Awak ni tak ada kerja ke, hah? Sepanjang masa melekat aje kat butik ni.”
            Setelah membiarkan keadaan beku terus mengeras, akhirnya bicara Elisa memecahkan kesunyian.
            “Eh, sedap mulut aje kata saya tak ada kerja. Tak nampak ke daripada pagi sampailah ke petang kudrat empat kerat saya ni digunakan sepenuhnya? Jangankan kata penat, tulang-temulang pun rasa nak patah.” Sungguh-sungguh Hilman menceritakan keletihan yang menggulit diri saban waktu.
            Elisa mencebik. Baru buat kerja sikit, dah merungut! Hati Elisa berbicara halus.
            “Masih elok terletak bungkusan tu kat tempat yang sama.” Bicara Hilman seolah-olah ingin dinyatakan pada Elisa.
            Elisa memandang sekilas ke arah bungkusan yang yang terletak di hujung mejanya. Ya, bungkusan itu tidak disentuh sejak dia menerimanya daripada Hilman. Langsung tidak terfikir akan bungkusan itu miliknya meski hampir saban waktu dia duduk bekerja di situ.
            Belum pun sempat hendak membalas kata-kata itu, telefon bimbit milik Hilman berbunyi. Tergesa-gesa lelaki itu menjawab panggilan tersebut dan meninggalkan Elisa. Elisa dapat mengagak siapa yang membuat panggilan tersebut. Pasti salah seorang daripada teman wanita Hilman.

“YOU kata nak keluar dengan I hari ni. I tunggu tahu but you never shown up today. Why honey?” Suara Diandra kedengaran tegang di hujung sana. Hilman menggaru kepala. Sungguh dia terlupa janjinya pada Diandra. Seharian dia di butik, melakukan semua kerja yang disuruh seorang diri, kemudian bergelut pula dengan keletihan yang menyelubungi diri, masakan dia boleh terfikir Diandra pula.
            “You dah lupakan I ke?” soal Diandra. Kali ini nada suara itu mengendur.
            “Sorry sayang. I bukan tak ingat janji kita, jauh sekali lupakan you tapi you tentu tahu yang I selalu sangat sibuk. Kerja dalam pejabat tu menimbun sangat. Sampai tak larat nak buat sendiri. Dahlah I kena buat seorang,” kata Hilman.
            “Tapi kan you ada pembantu. Takkan orang-orang bawah you tak tolong langsung?” tanya Diandra dengan perasaan curiga.
            “Orang-orang bawah I semua tak tahu benda yang I buat. Kalau bagi mereka pun kerja-kerja ni, balik-balik I jugak yang mereka cari. Baik tak payah, kan.” Hilman cuba memberi alasan terbaik agar Diandra percaya. Mundar-mandir dia di depan pintu masuk. Elisa pula sesekali mencuri pandang. Gelagat Hilman diperhati dengan tajam.
            “Alah, you tu banyak bagi alasan,” rajuk Diandra.
            Hilman menggaru kepala lagi. Rajuk Diandra mungkin boleh jadi panjang sedepa. Perlu segera dipujuk namun dia tidak punya kudrat untuk memujuk wanita cantik itu meski dengan kata-kata.
            “You macam tak percaya kat I aje?” duga Hilman.
            “Bukan tak percaya tapi...”
            Hilman senyum sendiri. Sengaja dia menduga begitu kerana dia tahu kemarahan Diandra akan segera mengendur. Boleh dikatakan dia bagai mengambil kesempatan di atas kelemahan Diandra itu.
            “Kalau macam tu, tak sepatutnya you mencurigai I. Kan I banyak kerja, jadi tak sempat nak keluar dengan you. You tahu, walau sibuk mana pun I sekarang ni, tak pernah walau sesaat I lupakan you. You selalu bermain dalam kepala I. Macam orang gila bayang,” ujar Hilman. Senyumannya semakin mekar tatkala terdengar tawa kecil Diandra di hujung talian. Kemenangan masih miliknya!
            Sedang hati lapang dan bergembira kerana kepercayaan Diandra masih utuh padanya, perasaan itu terus tercantas sebaik sahaja nama Amanda terpampang di skrin telefon bimbit dalam mode panggilan menunggu. Hilman kematian akal buat seketika. Diandra masih belum mahu meletakkan ganggang telefon manakala Amanda pula sudah dua kali membuat panggilan.
            “I ada incoming call. Urgent! Nanti I telefon you semula ya.”
            “Apa yang lebih penting selain daripada angkat panggilan telefon tu?” Nada suara Diandra kembali tegang. Dia tidak suka apabila Hilman bertindak melebihkan sesuatu berbanding dirinya.
            “Please Diandra. Jangan macam ni. I kena angkat panggilan dari papa I. Nanti kalau I biar lama-lama, masalah! You kenalah faham keadaan diri I. Please Diandra,” pujuk Hilman dalam kata-kata yang terselit pembohongan di situ.
            Akhirnya kedegilan Diandra lentur jua. Sebaik sahaja panggilan daripada Diandra diputuskan, muncul pula nama Amanda. Hilman dapat mengagak apa yang akan tercetus dibibir Amanda. Telinganya cukup lebar untuk menadah segala kata-kata Amanda.
            Sampai bila dia harus begini?
            Hilman menarik nafas panjang sebelum menjawab panggilan tersebut.

SELEPAS satu, satu. Mula-mula Diandra. Kemudian Amanda pula. Tidak sampai lima belas minit selepas itu, muncul pula Tania. Entah mengapa hari ini, ketiga-tiga wanita itu menelefonnya. Dan pula, ketiga-tiganya menaruh perasaan curiga terhadapnya. Puas juga dia memutar-belit segala bicara untuk menghapus curiga di hati mereka.
            “Letih ke layan semua kekasih hati awak tu?”
            Hilman terperanjat. Sepantas kilat dia berpaling ke arah suara yang menegur sebentar tadi. Terbias di ruang mata susuk tubuh Elisa berdiri tidak jauh darinya. Hilman sekadar melihat gadis itu berjalan mendekati diri dan duduk bertentangan dengannya. 
            “Macam mana rasanya bila dicintai oleh tiga orang wanita sekaligus?” soal Elisa. Dia menongkat dagu dan mata tertumpu pada Hilman.
            Hilman menjungkit bahu.
            “Saya selalu terfikir, macam mana lelaki macam awak ni larat nak melayan tiga orang perempuan, atau mungkin lebih dari itu. Yang seorang dengan perangai macam ni. Yang seorang dengan sikap macam tu. Kan pening kepala,” kata Elisa. Perkara itulah yang sering bermain difikiran saat terlihat Hilman sedang berbual di telefon dan dia pasti teman bicara itu mesti salah seorang daripada teman wanita lelaki itu.
            Elisa mengecilkan mata. Diperhati wajah tenang milik Hilman. Lelaki ini punya keistimewaan yang tersendiri. Dia cuba mengimbas diri Hilman dan meletakkan dirinya dikalangan wanita-wanita yang menggilai lelaki ini.
            Dari sudut pandangan matanya, Hilman memang seorang lelaki yang boleh mencairkan hati mana-mana perempuan pun. Dengan wajah yang tampan dan seulas senyuman yang memikat, sesiapa pun akan tertawan.
            “Pernah tak awak terfikir untuk memberikan cinta itu pada seorang perempuan aje?” Elisa terus memuntahkan segala perkara yang selama ini terbenam dalam kepala. Inilah waktunya dia mendapatkan semua jawapan kepada persoalan yang tidak pernah hilang dari menduduki fikiran.
            Hilman tersenyum sedikit.
            “Selama hari ni, awak hanya berfikir tentang saya ke?” teka Hilman.
            Membulat mata Elisa. Lain yang ditanya, lain pula bicara yang didengar. Elisa mendongkol geram dalam hati. Kalau nama lelaki buaya darat, tidak pernah terlepas memikirkan diri menjadi tumpuan ramai.
            Elisa mengerling ke arah Hilman yang tidak lepas memerhatikannya. Senyuman kecil tersunging di bibir itu diikuti dengan tawa yang sengaja dibuat-buat. Terangkat kening Hilman ketika itu.
            “Kelakarnya awak ni, Hilman! Saya tak pernah terfikir pun yang awak akan cakap macam tu,” ujar Elisa. Tawanya masih bersisa.
            “And you know what, saya tak pernah lagi jumpa seseorang yang terlalu perasan macam awak ni,” sambung Elisa sebelum berdiri. Perlahan-lahan dia mengatur langkah pergi dari situ, meninggalkan Hilman yang diam tanpa sebarang kata.
            Anak mata Hilman terus mengekori langkah yang diatur Elisa. Sedikit demi sedikit senyuman menghiasi bibir Hilman. Dalam hati, dia tercuit. Reaksi Elisa dan kata-kata yang keluar daripada bibir itu melekat di minda. Senyuman manis Elisa pula terus bersarang di kepala. Sekali dua, senyuman itu terimbas di ruang mata.

Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nica day :)

notahujungkaki: Final exam fever. Ohhh... fever laa sangat kannnn. Macam mana ni, asal tengok buku, mata pun mengantuk. Asal mengantuk aje, mesti time mengadap buku. Haish...=..=

2 comments:

KyLe Al-Yamani said...

wah makin maju dgn nenovel ni ye kuya.nanti deh jadi novelis terknl jgn lupa kt dato ni, sudi2kanlah ltk blog dato dlm list yer.nanti ade mase dato update blog terabai tu .good luck final exam.weee

~::Ewaa Haris::~ said...

@Datuks

halamak datuk... lupa plak nak letak ko dalam blog list. kehkeh :)) eh, maju dlm enovel itu harus. wakakaka n_n