Wednesday, June 27, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu-Bab24.

Assalamualaikum.

"...Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan kekuatan. Cinta bukan mengajar kita menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan. Cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat..."- Hamka









Bab dua puluh empat
SEKEJAP terlentang, sekejap meniarap, sekejap mengiring dan meniarap semula. Tidak sampai seminit pun, dia kembali terlentang dengan mata tepat terarah ke atas. Memandang siling berwarna putih. Mata itu terkebil-kebil. Kemudian dia mengiring semula. Rasa tidak selesa terbaring dalam satu posisi sahaja.
            Kenapa? Kenapa? Kenapa? Ah, apa yang kenapa? Dia sendiri tidak tahu kenapa persoalan ‘kenapa’ itu bermain dalam fikiran. Banyak betul kenapa sampai dia sendiri naik sakit kepala.
            Kenapa sukar untuk dia membuat pilihan? Bukan ramai pun. Cuma tiga orang sahaja. Inilah yang dikatakan persimpangan dilema seperti lagu nyanyian Nora itu. Oh, lagu itu lebih diterima halwa telinga apabila Nora bergandingan bersama Vince.
            Siapa paling cantik? Tentulah Diandra Zulaikha. Dengan raut wajah pan-asia begitu, hatinya begitu terpaut dengan kecantikan luaran Diandra. Siapa pandai menggoda hatinya? Kalau soalan itu ditanya, jawapannya ialah Tania. Sungguh yakin! Tania manja dan setiap tutur kata yang terucap bikin hati goyah! Seterusnya, siapa pula yang paling disenangi? Kalau diikut rasa selesa dan senang ketika bersama itu tentulah Amanda. Meski dia terbuai dengan keindahan diri Diandra dan tergoda dengan kemanjaan Tania, Amanda yang paling disenangi. Amanda tidak banyak songeh seperti dua orang itu. Cuma bila Amanda sudah merajuk, boleh buat dunianya kelam-kabut!
            Hilman kembali terlentang dan menjadikan tangan kanannya sebagai alas manakala tangan kirinya berada di atas dahi. Diandra, Tania, Amanda. Diandra, Tania, Amanda. Hai, siapa yang benar-benar mendapat tempat dalam hatinya?
            Kalau diikutkan keadaan sebenar, tiada salah seorang daripada mereka bertiga itu menjadi pengarang jantungnya. Malah status yang dipegangnya hanya kawan. Bercinta jauh sekali. Dia tidak pernah melamar mereka menjadi kekasih hati. Diandra, Tania dan Amanda sahaja yang bersungguh-sungguh melekat dengannya.
            Senyuman kecil meniti bibirnya. Indahnya dunia lelaki sepertinya. Tak mencari tetapi sentiasa dicari. Tak mengejar tetapi sentiasa dikejar. Bukan salahnya andai dia menjadi ‘teman lelaki’ kepada tiga orang perempuan itu. Lagipun statusnya tidak mengikat dia dengan Diandra, Tania mahupun Amanda.
            Ketika sedang asyik dibuai perasaan perasan dialah lelaki terhebat masa kini, telefon bimbitnya berdering dan tertera nama wanita kesayangannya di skrin telefon. Cepat-cepat dia menyambut panggilan itu. Senyuman bertamu lagi di kala suara wanita kesayangannya itu menyentuh gegendang telinga.
            “Mama!”
            “Amboi, bagi salam tidak. Tiba-tiba bersuara manja macam Toby.”
            Hilman ketawa. Toby, si kucing parsi kesayangan Puan Ungku Zaleha juga yang disamakan dengannya. “Assalamualaikum ya ummi.”
            “Waalaikumsalam. Ha, sejuk hati mama dengar Hilman bagi salam macam tu,” ujar Puan Ungku Zaleha di hujung talian.
            “Sejak duduk rumah Kak Milla, bukan main lupa dia pada mama. Agak-agak kalau mama tak telefon Hilman, Hilman ingat mama tak?” duga Puan Ungku Zaleha.
            “Eh, mana ada Hilman lupa. Sepanjang waktu mama dalam fikiran Hilman ni. Mana ada wanita lain yang boleh duduk terperap lama dalam kepala ni selain mama,” ujar Hilman lagi.
            Puan Ungku Zaleha ketawa kecil. Pandai betul anak terunanya mengambil hati.
            “Sampai bila Hilman nak duduk rumah Kak Milla?”
            Hilman dapat meneka soalan apa yang bakal ditanya selepas ini. Tentu perihal tawaran kerja di syarikat keluarganya. Sudah diberitahu banyak kali tentang keputusannya namun Puan Ungku Zaleha terus mendesak. Dia kembali ke sini juga atas desakan Puan Ungku Zaleha. Itupun selepas bernanah telinga mendengar bebelan Puan Ungku Zaleha setiap kali dia menelefon.
            “Nantilah mama,” dalih Hilman.
            “Hah, itulah dia. Kalau mama tanya aje, mulalah nak mengelak. Hilman, itu syarikat Hilman juga. Satu hari nanti dia akan bersara. Habis, siapa yang nak uruskan syarikat? Nak harap kakak kamu tu, mimpilah. Awal-awal lagi dia dah angkat kaki. Entah apa yang ada dengan butik tu, mama tak tahulah,” bebel Puan Ungku Zaleha. Sekali dengan Karmilla terbabit sama.
            Hilman terus memasang telinga. Walau hati kurang senang dengan bebelan si ibu terpaksa juga dilebarkan telinga supaya kadar bebelan itu mampu ditampung oleh otaknya yang ligat berfikir helah seterusnya.
            “Hilman nak duduk dengan Kak Milla, mama. Ingat nak kerja dengan dia,” tutur Hilman.
            “Hah?!”
            Lantang suara Puan Ungku Zaleha di hujung talian.
            “Kenapa nak kerja dengan kakak? Butik tu perniagaan kakak, tanggungjawab kakak. Tanggungjawab Hilman kat syarikat Datuk Hishamuddin tu.”
            Hilman menghela nafas. Mujur papa tidak mendesak seperti Puan Ungku Zaleha. Kalau tidak, memang sakitlah kedua-dua belah telinganya. Boleh pekak!
            “Mama, Kak Milla panggil makan tu. Hilman turun bawah dulu ya. Nanti Hilman telefon mama pulak.”
            “Eh, budak ni. Mama tak habis cakap lagi.”
            “Bye mama. I love you! Assalamualaikum!”
            Tutt!
            Panggilan diputuskan. Fuh, lega. Hilman mengurut dada. Dia sudah terlepas daripada bebelan Puan Ungku Zaleha sekali lagi. Tiada cara lain selain cara ini. Acap kali dia memberikan alasan yang sama saat ingin mengelak diri daripada menjadi bahan hujahan Puan Ungku Zaleha.

SESEKALI Karmilla mengerling ke arah Hilman yang sibuk melayani kedua orang anaknya makan. Mona dan Munir nampak lebih berselera makan apabila bapa saudara kesayangan mereka ada di depan mata.
            Karmilla tersenyum kecil. Satu sikap yang paling disukainya mengenai Hilman ialah sikap penyayang yang sedia ada dalam diri adiknya. Sikap penyayang itu sangat terserlah di saat Hilman menghabiskan waktu bersama Mona dan Munir. Oleh sebab itu, kedua anak kesayangannya itu begitu rapat dengan bapa saudara mereka.
            “Hilman, kau tak teringin nak kahwin ke?”
            Hilman menoleh. Terkebil-kebil memandang ke arah Karmilla yang berwajah selamba.
            “Tiba-tiba tanya aku, ada apa-apa ke kak?” soalnya pula.
            Karmilla ketawa kecil. Pantang sebut soal kahwin, terus sahaja Hilman berubah riak wajah. Walhal teman-teman perempuan Hilman keliling pinggang. Pilih sahaja yang mana satu, tentu ada. Kalau pun tidak memilih, pasti ada yang menawarkan diri. Bukan dia tidak tahu Hilman begitu terkenal di kalangan perempuan-perempuan yang menggilai lelaki gentleman seperti itu.
            “Semalam ada perempuan telefon kau. Time tu kau tidur terbongkang atas sofa. Bila dengar suara akak aje, terus perempuan tu marah-marah.” Karmilla membuka cerita. Hampir gugur jantungnya ketika suara lantang perempuan itu menerpa telinga. Sakit telinganya. Sakit juga hatinya. Tiada salam, terus dia dimarahi. Tania. Itulah nama yang tersimpan di dalam contact list telefon bimbit Hilman. Dia percaya, Tania merupakan salah seorang daripada koleksi perempuan-perempuan yang Hilman ada.
            Apabila dia memperkenalkan diri sebagai kakak Hilman, terus Tania memohon maaf. Kata Tania ini kali pertama panggilannya disambut oleh perempuan. Maka dia tidak dapat berfikir panjang.
            Hilman menelan air liur. Ini satu perkara yang serius jika Karmilla sudah membuka mulut. Nanti kalau lama-lama, boleh bertukar serupa Puan Ungku Zaleha. Hilman menggaru kepalanya. Tidak sedar ketika telefon berbunyi. Dia terlalu letih gamaknya.
            “Bila agaknya kau nak berubah ni, Hilman? Situ perempuan, sana perempuan. Kau tak kasihan ke kat kawan-kawan perempuan kau tu yang menggantung harapan dapat kahwin dengan kau? Best sangat ke jadi playboy ni?”
            “Aku bukan playboy cuma aku suka kawan dengan perempuan. Aku suka mereka semua tu tapi aku tak pernah ucap cinta. Ajak kahwin jauh sekali!” bidas Hilman.
            Karmilla mencebik.
            “Dah tu, kenapa kau asyik berkepit dengan mereka tu? Yang akak tahu, perempuan yang selalu melekat dengan kau tu namanya Diandra dan Amanda. Ni tambah seorang lagi, Tania. Hilman, Hilman. Kau ni kan, hanya akan berubah bila jumpa bidadari syurga agaknya.”
            Hilman tersengih mendengar kata-kata Karmilla yang terselit satu sindiran buatnya. Menghentam tepat ke mukanya.
            Bidadari syurga? Ada ke bidadari syurga di dunia ini? Dalam diam, Hilman terfikir kata-kata Karmilla itu. Kalaulah dia terjumpa atau bertentang mata dengan bidadari syurga yang mungkin wujud di dunia ini, akan dia tinggalkan semua perempuan-perempuan itu dan mengejar bidadari syurga itu kerana dia percaya bidadari syurga itu mampu menjadikan dunianya jauh lebih baik berbanding sekarang.
            “Kalau bidadari syurga kat dunia tu si Elisa tu, macam mana kak?” Tiba-tiba Hilman mengutarakan nama Elisa.
            Karmilla tersedak. Sudahnya dia terbatuk-batuk dan jelingan tajam dilontar ke arah Hilman yang tersengih-sengih seperti kerang busuk di depan matanya. Karmilla pantas meneguk segelas air putih.
            “Kau cakap apa tadi?” soal Karmilla.
            Hilman menjungkit bahu. “Kalaulah Elisa tu bidadari syurga macam kakak cakap tadi, macam mana?”
            Berkerut dahi Karmilla. Biarlah Hilman berkepit dengan perempuan lain asalkan bukan Elisa. Elisa bukanlah gadis yang selayaknya Hilman permainkan hati dan perasaan. Tambahan pula, Karmilla yakin Elisa sudah punya kekasih hati.
            “Tak payah mimpilah kau nak dapatkan Elisa tu. Cermin diri sikit! Akak rasa, Elisa tu pandang kau sebelah mata aje. Dah sah-sah dia tahu kau tu kaki perempuan. Sekejap dengan perempuan tu, sekejap dengan perempuan ni. Lupa ke yang dia pernah intip kau. Siap ambil gambar bagai. Hah, mana nak sorok sikap buruk kau yang suka sangat kat perempuan ni? Cuba beritahu akak.”
            Terburai tawa Hilman mendengar bebelan panjang Kamilla. Tepat mengena ke batang hidung sendiri.
            “Tapi kan kak, aku rasa Elisa tu macam uniklah. Menarik aje.”
            “Ingat budak tu barang permainan ke? Uniklah, menariklah. Tak payahlah berangan mengurat Elisa tu. Belum tentu dia nak kat kau,” cebik Karmilla. Dia bangkit dan menuju ke ruang dapur bersama pinggan yang sudah licin. Munir membontoti langkah si ibu manakala Mona masih setia duduk di sisi Hilman.
            “Eh kak! Belum cuba belum tahu,” balas Hilman.

DIA tidak memaknakan kata-kata tadi dengan satu keinginan yang ditambat ke hati. Kata-kata itu sekadar mainan mulut dan lebih berniat untuk mengusik Karmilla. Karmilla pula seakan mengambil serius dengan kata-katanya tadi malah memberi amaran supaya jangan sesekali mencuba untuk jual minyak pada Elisa.
            Hilman rebah di atas kerusi yang terletak hampir di jendela yang terbuka luas. Matanya menatap dada langit yang cemerlang, ditemani bulan dan bintang. Hilman tersenyum kecil. Teringat kejadian yang melibatkan Elisa.
            Macam mana agaknya gadis itu boleh terfikir dia punya hubungan cinta dengan Karmilla? Walau pada mulanya bengang kerana dituduh melulu oleh gadis yang langsung tidak dikenali itu, sedikit demi sedikit perasaan bengang itu bertukar menjadi jenaka buatnya. Saat melihat Elisa menunduk dan wajah itu disaluti kekeliruan, dia ketawa dalam hati. Jika boleh, dia mahu berguling-guling di atas lantai.
            Sekilas pandang, gadis itu nampak lembut tetapi rupanya garang seperti singa. Rasanya itu bukan kali pertama dia disergah begitu. Ketika dia tidak sengaja terpijak kertas Elisa, dia menerima nasib yang sama. Setelah dia dimarahi, Elisa terus berlalu pergi. Itupun selepas dia sengaja membuat lawak jenaka. Malah mengembalikan kesalahan itu dibahu Elisa. Dengan wajah berkerut, Elisa berpaling dan laju mengorak langkah pergi. Dia pula tersenyum panjang sehingga ke telinga.
            “Ramai kenalan awak, kan? Sampaikan kawan Kak Milla pun boleh jadi kawan awak juga. Hebat!”
            Terngiang-ngiang sindiran Elisa padanya. Waktu itu Siti Saleha kebetulan muncul di butik dan mereka berdua saling memproses kenangan masa lalu yang mengaitkan diri masing-masing. Dia, sememangnya tidak akan pernah melupakan Siti Saleha kerana hakikat dia pernah menyukai gadis melayu berdarah kacukan siam itu. Jujurnya dia menyukai Siti Saleha disebabkan oleh kecantikan yang dimiliki gadis tersebut.
            Elisa. Elisa. Elisa.
            Kali pertama bertemu, tarikan itu sudah terasa.
            Kali kedua bersua, gadis itu semakin menduduki fikiran.
            Hari-hari berselisih bahu, berada di bawah satu bumbung Butik Seri Andaman, dia merasakan Elisa berjaya menarik perhatiannya dengan sikap acuh tidak acuh gadis itu.

Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nica day :)

notahujungkaki: Sejak dua menjak ni, sukar untuk aku mendapatkan sumber inspirasi sehingga aku rasa nak buat satu bab pun payah. ayat berterabur, jalan cerita entah apa-apa. Kenapa ya? Fffttt.