Friday, October 5, 2012

[Novel] : Disaat Aku Mencintaimu Bab25.

Assalamualaikum.

"...Apabila salah satu pintu kebahagiaan tertutup, yang lain akan terbuka tetapi selalu kita akan memandang pintu yang telah tertutup itu terlalu lama hingga kita tidak nampak pintu lain yang telah pun terbuka untuk kita..."










Bab dua puluh lima


SERGAHAN Hilman mengejutkan Elisa yang sedang tekun menjahit manik-manik kecil di atas sehelai jubah berwarna hijau lembut. Senyuman Hilman langsung tidak dipeduli. Sapaan lelaki tu juga tidak dibalas. Dia menarik jubah itu ke hujung meja, jauh daridapa Hilman yang dirasakan menyemak di depan mata. Hilang tumpuannya nanti.
            “Amboi, jauhnya berlari,” tegur Hilman.
            Elisa mengeling ke arah Hilman lewat ekor matanya. Apa yang dimahukan lelaki buaya darat ini? Mesti mahu mengungkit perihal kebodohannya. Elisa mendongkol geram dalam hati. Kewujudan Hilman di butik ini bagaikan satu bebanan buatnya. Beban menahan perasaan malu yang tidak pernah berkurang. Andiana yang mengetahui kejadian itu turut sama mengusiknya. Andai sahaja dia mampu memutar semula waktu, pasti dia tidak akan sesekali melakukan perkara sebodoh itu.
            Fikirnya, apabila dia bertindak menukar workstation di hujung meja, Hilman akan beransur pergi sebaliknya lelaki itu duduk bertenggek di atas kerusi pula. Siap menongkat dagu dengan pandangan terarah padanya.
            “Encik Buaya, saya nak tanya sikit boleh tak?”
            Encik Buaya? Hah, nampaknya Elisa menggelar  dia dengan nama baru. Buaya! Hilman ketawa dalam hati.
            “Awak ni memang free sepanjang masa ke?”
            Hilman tersengih. Dia menarik kerusi dan meletakkan kerusi itu hampir dengan Elisa. Dengan selamba dia melabuhkan punggung di situ. Elisa mengerling tajam. Penyibuk! Elisa mendongkol geram dalam hati.
            Menyedari aura kurang senang yang terpancar di sebalik wajah Elisa, Hilman ketawa dalam hati sekali lagi. Dia tahu Elisa tidak pernah senang dengan kehadirannya melalui kata-kata dan tindakan gadis itu. Tetapi dia berpura-pura tidak faham dan terus menyemakkan diri di depan mata Elisa.
            “Cik Elisa, buat pengetahuan awak, saya kerja kat sini.”
            “Sejak bila?” soal Elisa. Berkerut-kerut dahinya. Seingatnya, baru hari ini Hilman ada sepanjang masa di butik.
            Beberapa minggu yang lalu, memang muka Hilman bertepek di butik tetapi tidaklah lama. Jika pagi sudah nampak muka, naik ke petang bayang Hilman tidak terlihat di butik. Paling lama pun, sewaktu Hilman dipaksa melakukan kerja-kerja pembersihan. Dari pagi sampai ke petang berada di butik sehingga dia yang melihat naik rimas. Sana ada Hilman. Sini ada Hilman. Mujur kewujudan Hilman ketika itu memberi manfaat kepada Karmilla. Ketawa juga dia apabila terpandangkan raut wajah penuh keletihan Hilman kerana terpaksa melakukan kerja-kerja menunggah barang.
            Hilman tersenyum kecil. Dia memandang Elisa tanpa berkelip mata. Nakal mata itu menjamah seraut wajah mulus Elisa.
            “Mmmm... sejak pagi tadi,” jawab Hilman.
            Bertambah dalam kerutan yang terpamer di dahi Elisa. Kedua-dua kening itu pula hampir bercantum. Sepantas kilat dia menyambar renungan mata Hilman yang tajam memerhatikannya.
            “Pagi tadi?”
            Terangguk-angguk kepala Hilman. Memang benar baru pagi tadi dia menyuarakan hasrat hatinya pada Karmilla, hendak menyumbang bakti di butik ini dengan sepenuh hati, bukan seperti sebelum ini, separuh masa. Karmilla sudah mengingatkan bahawa habuan untuknya tidak sebanyak yang pernah diterima semasa bekerja di Melaka, tetapi dia tidak kisah. Asal diberi gaji, walau sedikit tidak mengapa.
            Yang paling penting, dia punya alasan yang dia sudah pun mengikat janji dengan Karmilla, membantu perusahaan butik andai nanti mama menyemburnya dengan kata-kata berupa bebelan panjang sekiranya mengetahui dia masih tidak bekerja. Dia tidak kisah tentang rahsia yang disimpan selama ini. Biarlah Puan Ungku Zaleha tahu, dia tidak menganggur.
            “So, sekarang ni saya sangat memerlukan tunjuk ajar dan bantuan daripada Cik Elisa.”
            Kening Elisa terangkat sedikit. Itu simbolik kepada pertanyaan yang bermain di fikirannya saat ini; kenapa Hilman memerlukan tunjuk ajar darinya pula?
            “Sayakan pekerja baru, so ada banyak benda yang saya tak tahu. Selaku pekerja berpengalaman, tentu awak boleh bantu saya menyesuaikan diri kat sini, kan Elisa?”
            Hilman berkata seraya berdiri dan mengorak langkah menghampiri Elisa. Awas mata Elisa menjejak setiap perlakuan pelik Hilman. Sedikit pun tidak menoleh ketika Hilman sudah berada betul-betul di sisinya dengan badan membongkok dan kedua belah siku terpacak di atas meja. Haruman minyak wangi yang dipakai Hilman mencucuk rongga hidung.
            Elisa mengerling lagi lewat ekor matanya. Hilman sedang menguis manik-manik kecil yang berterabur di atas meja. Sesekali lelaki itu memandangnya.
            “Saya rasalah, orang yang betul-betul boleh guide awak tu cuma Kak Milla aje. Saya ni designer dan tukang jahit aje,” kata Elisa. Langsung tidak memandang Hilman. Dia tahu lelaki itu memerhatikannya dengan senyuman kecil terukir di bibir.
            Hilman berdiri semula dan dia berpeluk tubuh.
            “Saya nak awak ajar saya sesuatu, tak berkait pun dengan apa-apa pasal butik ni.”
            Elisa terperanjat ketika merasai hangat nafas Hilman menyentuh pipinya. Dia menoleh. Wajah Hilman betul-betul hampir dengan mukanya. Sepantas kilat dia bangun dan menjauhkan diri daripada Hilman. Kelakuan Hilman memutikkan perasaan gerun dalam diri. Agaknya semua lelaki playboy bersikap seperti ini.
            Terburai tawa Hilman melihat tindakan spontan Elisa. Laju macam kilat. Punggung dilabuhkan dikerusi yang diduduki Elisa sebentar tadi. Badannya mengadap Elisa. Dia menongkat dagu sambil tersenyum.
            “Saya nak awak ajar saya macam mana nak jadi photographer,” beritahu Hilman.
            “Photographer?”
            Hilman mengangguk. “Yep! Photographer.”
            “Kalau bab-bab ambil gambar ni, lebih baik tanya Andiana atau budak-budak bawah Andiana. Dia berpengalaman dalam bidang tu. Kalau saya yang beri tunjuk ajar, memang ke lautlah jawabnya,” balas Elisa.
            Hilman menggelengkan kepala sebagai tanda dia enggan berguru dengan pekerja kakaknya yang seorang lagi.
            “Andiana tak setanding awak. Dia photographer biasa-biasa aje,” kata Hilman dan menyambung, “ Saya nak jadi photographer plus penyiasat. Macam awak.”
            Pada awalnya Elisa langsung tidak faham tetapi saat dia terlihat senyuman kecil tersunging di bibir Hilman seolah-olah memberitahu sesuatu, mukanya terasa panas. Peristiwa kebodohannya terus kembali menerpa ke kotak fikiran dan mewujudkan satu perasaan malu yang menebal dalam diri.
            “Sejak kecil saya berangan nak jadi macam Pink Panther. Siasat sana, siasat sini. Then ambil gambar itu, ambil gambar ini. Tak sangka, bila dah besar panjang macam ni, impian saya tu bakal jadi kenyataan bila saya belajar dengan awak nanti. Awak Miss Pink Panther, saya Mr Pink Panther. If colaborate, tentu boleh wujudkan satu firma penyiasatan terunggul kat dalam negara ni kan. Fuh, boleh famous!”
            Elisa merasakan setiap butir bicara, setiap patah-patah perkataan yang keluar dari mulut Hilman itu terus menepek dimukanya. Rasa sukar untuk bernafas.
            “Boleh kan Cik Elisa?” Hilman bertanya.
            Elisa menarik nafas dalam-dalam. Tidak mengapa. Peristiwa itu sudah pun berlalu. Meski dia dibebani perasaan malu, nanti sampai masa orang akan lupa juga. Lupa? Ah, mungkin hanya segelintir yang lupa. Hilman pasti terus mengingati peristiwa itu.
            Perlahan-lahan, bibir Elisa melarik senyuman. Buat apa-marah-marah hanya kerana perkara bodoh seperti itu. Tambahan pula yang mengungkitnya Hilman sendiri. Sampai sudah, tidak akan berakhir.
            “Boleh! Boleh sangat-sangat. Nanti bila dah mahir ambil gambar dan siasat orang yang jahat terutama yang mata keranjang atau kaki perempuan, bolehlah kita bergabung tenaga, pergi menyiasat orang yang macam tu. Boleh tahan jugak idea awak tu. Jadi semangat pula!” Elisa bersuara seolah-olah dia sangat teruja dengan cadangan Hilman untuk membuka satu firma penyiasatan.
            Elisa mengatur langkah menghampiri Hilman. Dia tersenyum lebar. Hah, nak sangat kenakan aku, biar aku kenakan kau balik. Padan muka! Elisa menggumam dalam hati.
            “Bila kita nak mulakan kelas dwi kursus ni? Kelas photography dan kelas penyiasatan,” omel Elisa lagi. Gelihatinya tatkala melihat Hilman diam seribu bahasa. Tadi banyak sangat cakapnya.
            “Saya rasa... mmm...”
            Belum pun sempat mengutarakan kata-kata pertama, Elisa pantas memintas. “Eh, saya rasa kelas penyiasatan tu nak khusus pada satu subjek ajelah.”
            “Subjek? Subjek apa?” soal Hilman.
            Elisa tersenyum menyeringai. “Subjek tu namanya skill meyiasat playboy dan buaya darat. Nice kan? Bunyi pun macam adventure aje. Kalau open kelas ni kat public, mesti dapat sambutan hangat. Especially for womans. For men, itu adalah bala.”
            Hilman menepuk dahi berkali-kali sebaik sahaja bayang Elisa hilang dari pandangan mata. Kesal! Dia pula yang terkena. Pandai Elisa mencari jalan menutup mulutnya. Dia yang memulakan, Elisa pula yang mencari pengakhiran perbualan mereka dengan satu kenyataan yang betul-betul terkena di batang hidung sendiri.

BOSAN bermain games di dalam telefon miliknya, Hilman mengambil beberapa keping majalah yang tersusun rapi di atas meja kaca. Salah satu majalah itu memuatkan rekaan-rekaan terbaru busana pengantin. Hilman memerhati satu per satu busana-busana pengantin itu tanpa minat. Dia membelek dan terus membelek. Apabila habis menyelak majalah Pengantin, dia ambil majalah Wanita pula. Tidak sampai separuh pun helaian kertas diselak, dia menutup dan meletaknya semula di tempat asal.
            Hilman bersandar dengan kepala mendongak memandang siling. Hari pertama di sini, dia dilanda kebosanan. Belum pun sampai pertengahan waktu kerja lagi. Sepanjang lima jam ini, entah kerja apa yang dilakukannya, dia sendiri tidak tahu. Asyik duduk di meja depan seperti penyambut tetamu. Sesekali Karmilla memanggilnya lantas meminta dia mengangkat beberapa bekas bunga yang hendak dibuat hiasan barang hantaran.
            Mujur ada Andiana. Gadis berketurunan Melayu-India itu ramah melayaninya. Dia juga senang berbicara dengan Andiana yang dikhabarkan Karmilla bakal melangsungkan perkahwinan tahun depan. Hendak jual minyak, bukan dengan kekasih orang, apatah lagi tunangan orang. Itu prinsip yang dipegangnya. Kalau pun dia cuba mendekati si gadis bukan bermakna dia  menginginkan gadis itu menghuni hati miliknya sebaliknya niat sebenar hanya ingin berkawan. Tidak salah, bukan? Cuma ada masa, mereka-mereka yang didekati itu salah faham. Karmilla pernah bersyarah sedikit padanya, menegur sikap peramah tak bertempat dan mulut penuh gula miliknya. Waktu itu dia tersengih sahaja. Sudah peribadi diri begitu, hendak diubah bagaimana lagi?
            Hilman bangkit. Dia membuat sedikit senaman bagi meregangkan urat-urat dan tulang-temulang yang dirasakan berbelit sana-sini. Setelah itu, dia menarik nafas dalam-dalam. Diperhati persekitaran butik yang nampak lengang. Bukan lengang, sebenarnya hanya dia seorang yang menghuni butik ini ketika ini. Yang lain keluar, punya urusan yang perlu diselesaikan.
            “Sekejap ya.”
            Telinga Hilman mengamati suara yang mencecah gegendang telinga. Elisa? Bukankah hanya dia seorang sahaja yang jadi tunggul kayu di butik? Tanpa menunggu lebih lama, Hilman mengorak langkah pergi mencari tuan empunya suara yang diyakininya orang itu ialah Elisa.
            Dia hampir melanggar Elisa ketika gadis itu melintas di depannya manakala dia pula baru hendak menyusup keluar dari ruang rehat tersebut. Sekilas dia menoleh ke arah ruang tengah butik. Di situ ada seorang perempuan sedang duduk membelakanginya. Terkedek-kedek dia berjalan mengekori Elisa.
            “Eh, bukan awak keluar ke tadi?” soal Hilman.
            “Bila masa pulak saya keluar?” Elisa pula memuntahkan pertanyaan. Dia membelek sebuah fail yang mana di dalamnya terdapat kertas-kertas contengan kasar rekaan busana yang ditempah oleh pelanggan.
            “Tadi, lepas aje Kak Milla keluar dengan Andi, awak pun keluar. Saya nampak.” Sungguh-sungguh Hilman berkata. Kedua belah tangannya bergerak ke sana sini seperti orang sedang berpidato.
            “Mata awak tu dah tak betul agaknya. Silap tengok. Saya ada aje kat depan tu, kira jumlah bunga hidup yang kena ambil kat kedai bunga tu next week,” ujar Elisa. Benda yang dicari sudah ditemui dan dia hendak beredar dari situ. Ada orang sedang menanti di depan sana.
            Langkah Elisa terhenti. Dia berpeluk tubuh. Hilman yang mengekori juga pegun. Elisa berpaling. Mengecil matanya.
            “Apa?” aju Hilman.
            Elisa mencekak pinggang. Baru sehari Hilman berada di sini, dia merasakan kewujudan Hilman hanya menambah kesesakan ruang matanya yang terpaksa mengadap lelaki ini.
            “Yang awak ni ekori saya ni, kenapa? Dah tak ada kerja ke?”
            Hilman ketawa. Dia menapak selangkah demi selangkah ke hadapan. “Saya bukan ikut awak. Saya nak ke sana...” Hilman menuding ke hadapan. Dia sempat tersenyum lebar sebelum berlalu pergi dalam langkah yang cukup perlahan.
            Hampir bercantum kening Elisa. Alangkah bagusnya kalau dia punya tongkat sakti seperti Harry Potter. Nanti dia boleh ubah Hilman menjadi pasu bunga atau apa-apa benda pun yang boleh menyahkan lelaki itu dari pandangan mata.
            Elisa menarik nafas panjang dan dilepaskan perlahan-lahan. Dia meraup muka beberapa kali. Abaikan kewujudan dia di sini Elisa. Abaikan! Elisa meluaskan pandangan mata ke hadapan. Mengecil matanya melihat gelagat Hilman melayani tetamu di depan sana.
            Wah, bukan main mesra lagi. Meliuk-liuk badan macam rumpai laut. Dah nama playboy buaya darat hidung belang, memang begitulah gaya gamaknya! Elisa mengatur langkah mendekati Sophia yang sedang bergelak ketawa. Mungkin terhibur dengan lawak tak berapa pandai si Hilman.

Terima kasih kerana membaca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Mengalami masalah jiwa.