Monday, October 29, 2012

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab1.

Assalamualaikum.
"...Have you ever been in love? Horrible isn't it? It makes you vulnerable. It opens your chest and it opens up your heart and it means that someone can get inside you and mess you up..." - Neil Gaiman








BAB 1
“MANA mak dan babah Ara?”
            Rosnah mengelap airmata yang jatuh membasahi pipi. Soalan si kecil berusia tujuh tahun itu begitu menyentap sanubari. Melihat ke dalam mata kudus itu, menambah perit yang dirasa.
            “Ara nak mak dengan babah,” rengek si kecil itu lagi.
            Rosnah menarik cucunya, Atiqa Humairah ke dalam pelukan. Diusap lembut kepala Humairah.
            “Ara tinggal dengan nenek ya, sayang.” Rosnah berkata.
            “Kalau Ara tinggal dengan nenek, mak dengan babah macam mana?”
            Rosnah merenungi Humairah yang tidak mengerti apa-apa. Lontaran mata Rosnah jatuh ke depan di mana di situ terbaring dua batang tubuh kaku yang lengkap berkafan. Airmatanya mengalir lagi. Tidak tertahan.
            “Mak dan babah dah tidur sayang.”
            Terkebil-kebil mata bulat Humairah.
            “Ara pun nak tidur jugak dengan mak dan babah.”
            Rosnah kematian kata. Semakin erat pelukannya.
            “Mak, kedua jenazah dah nak dibawa ke tanah perkuburan.”
            Rosnah angkat muka. Pandangannya silih berganti antara dua tubuh kaku itu dengan Kamarul, anak bongsunya.
            “Ara, pergi cium mak dengan babah.” Rosnah menarik Humairah pergi mendekati dua jenazah itu. Rosnah membuka kain yang menutupi wajah keduanya. Berguguran semula airmatanya. Dikucup dengan penuh syahdu. Ya Allah, tempatkanlah mereka bersama dengan orang-orang yang Kau kasihi.
            “Ara, mari sayang.”
            “Nek, mak dengan babah tidur ya? Kenapa mak dengan babah pakai sarung macam tu?” Humairah bertanya sesuatu yang mungkin sukar untuk diperjelaskan.
            Seisi rumah menyepi. Masing-masing terpaku pada kanak-kanak yang belum mengerti apa-apa. Belum bisa merasai erti sebuah kehilangan yang abadi.
            “Haah sayang. Mak dengan babah tidur. Cium mereka, Ara.”
            Humairah menuruti kata Rosnah. Tanpa banyak cakap, Humairah menghadiahi kucupan pada mak dan babahnya yang disangka sedang tidur.
            “Ara sayang mak dengan babah,” ucap Humaira berserta senyuman lebar.
            Kata-kata ikhlas yang meluncur keluar dari mulut Humairah benar-benar mengetuk dasar hati setiap orang yang mendengar. Masih terlalu panjang perjalanan Atiqa Humairah. Masih terlalu muda usia Atiqa Humairah untuk menerima satu tamparan maha hebat dengan kehilangan kedua ibubapanya.
            Rosnah mendakap tubuh kecil Humairah ketika kedua jenazah anak dan menantunya di angkat masuk ke dalam van jenazah. Kini tanggungjawab menjaga satu-satunya permata hati arwah Kamaruddin dan Safiah berada di atas bahunya.
            Seikhlasnya, dia akan menjaga Atiqa Humairah binti Kamaruddin dengan sebaiknya.

HUMAIRAH bergegas mengejar seekor ayam jantan yang dibela Rosnah. Gigih betul dia berlari. Sekali pandang macam orang sedang berlatih marathon pula. Rosnah yang baru keluar dari perut rumah terus menjerit memanggil nama cucunya. Tidak elok dipandang orang berkeadaan begitu.
            “Apa Ara buat? Dikejar ayam kenapa?” Rosnah menarik Humairah supaya duduk dengannya.
            Humairah mengelap peluh-peluh halus. Nampaknya selepas ini dia kena pergi mandi. Badan rasa belengas.
            “Kan nenek nak makan ayam kampong. Jadi Ara nak tangkapkan Jack tu kasi nenek makan,” celoteh Humairah.
            Tergeleng-geleng kepala Rosnah.
            “Lah, nenek cakap kat Pak Usu. Awal-awal lagi nenek dah beritahu dia, minta dia tolong bawakan ayam kampong. Tak payahlah Ara lari sana sini kejar Jack tu. Hodoh dipandang orang.”
            Humairah tersengih lebar. Rambut panjangnya dibiar bebas mengurai.
            “Kejap lagi Pak Usu sampai.”
            Mendengar nama yang disebut-sebut Rosnah membuatkan Humairah tidak senang duduk. Pak Usu? Humairah terbayangkan wajah garang Pak Usu. Andai Pak Usu buka mulut, pasti lelaki itu mengaitkan dirinya. Lelaki itu kerap mengungkit tentang asal-usul dirinya yang dikata telah membebankan hidup Rosnah.
            “Ara nak sambung belajar?”
            Humairah menoleh. Salah dengarkah? Terlihat senyuman kecil terbit di bibir tua neneknya. Matanya dibulat dan dikecilkan sebagai tanda meminta Rosnah mengulangi pertanyaan tadi.
            “Ara nak sambung belajar? Kan keputusan peperiksaan Ara bagus.”
            Mulanya bola mata Humairah berkilau-kilauan sebelum dia menyedari status dirinya. Cukup baik nenek menjaga dia setelah kematian kedua orang tuanya. Kalau dia hendak sambung belajar, dari sumber mana mereka boleh mendapatkan wang ringgit? Perbelanjaan pengajian di peringkat yang lebih tinggi bukannya murah. Humairah membuat percaturan di dalam kepala.
            “Tak apalah, nek. Ara tak ada minat nak sambung belajar,” dalih Humairah. Tidak tegar rasanya hendak menambah beban sedia ada. Daun kering di bawah kaki dikuis-kuis.
            Rosnah memerhati kelakuan Humairah. Dia tahu, Humairah memasang angan-angan cukup tinggi untuk berjaya di dalam pelajaran. Siang malam Humairah berhempas-pulas mengulangkaji pelajaran dan menelaah buku-buku rujukan yang dipinjam daripada kawan-kawannya. Dia nampak semua itu.
            Walau dia tahu, kos untuk menyekolahkan Humairah itu sangat banyak, tetapi dia tidak kisah berhabis. Selagi ada kudrat, dia akan kerja siang malam demi memberikan pendidikan yang sempurna buat Humairah. Seringkali tindakan dia mengundang amarah Kamarul andai Kamarul dapat tahu dia sakit-sakit kerana beban kerja yang dilakukannya.
            “Nenek nak Ara sambung belajar. Masuk universiti. Belajar pandai-pandai, nanti boleh dapat kerja bagus-bagus. Nenek tak mahu Ara hidup susah macam ni. Nenek nak tengok Ara berjaya,” kata Rosnah. Redup mata itu memerhatikan Humairah.
            Humairah memaut lengan Rosnah. “Ara tak mahu susahkan nenek. Selama ni nenek bersusah-payah kerja toreh getah untuk tampung hidup kita berdua. Ara tahu, nenek tak kuat mana. Nenek tak sihat. Badan sakit-sakit.”
            Rosnah senyum lagi.
            “Kan Pak Usu ada bagi duit pada nenek. Ada banyak simpanan nenek untuk kegunaan Ara.”
            Humairah menggeleng kepala tanda tidak mahu. Apatah lagi duit itu datangnya daripada Kamarul, bapa saudaranya yang diketahui cukup tidak suka dengannya. Apalah dosa yang pernah dia lakukan sehingga mengundang rasa benci di hati Kamarul.
            “Ara tak mahu guna duit Pak Usu.” Terputus-putus suara Humairah.
            “Kenapa?”
            Humairah menghela nafas panjang.
            “Tak apalah, nek. Ara tak mahu fikir pasal belajar. Ara nak kerja. Ara nak kumpul duit banyak-banyak, lepas tu bawa nenek pergi bercuti. Nenek nak pergi mana? London, Amerika, Greece? Ke bulan pun Ara sanggup bawa,” tutur Humaira diselangi tawa haus di hujungnya.
            Rosnah mencubit pipi Humairah. Sayang sungguh dia pada cucunya ini. Memang benar andai Kamarul mengatakan bahawa dia lebih menyayangi Atiqah Humairah melebihi cucunya yang lain.
            “Esok Ara ada interview.” Humairah bangun. Dia mengibas seluarnya.
            “Interview apa?” soal Rosnah.
            “Kerja.”
            Mendengar jawapan itu, Rosnah langsung menarik lengan Humairah. Terduduk budak itu di kaki tangga.
            “Ara tak mahu sambung belajar?”
            Jawapan Humairah tetap sama. Dia pamer gelengan kepala.
            “Ara tak mahu jadi orang berjaya?”
            Humairah menitip senyuman halus. “Nek, orang berjaya tak semestinya kena belajar tinggi. Asalkan kita ada niat dan usaha, tak pernah mengalah dan putus asa, tentu ada jalan untuk kita berjaya kelak.”
            Rosnah tidak membalas apa pun. Lirikan matanya menyoroti langkah Humairah masuk ke dalam rumah. Di dalam kepala, berputaran perihal Humairah.
            Humairah hendak kerja? Baru berusia lapan belas tahun, Humairah sudah mahu mencari duit sendiri sedangkan anak seusianya sedang berlumba-lumba merealisasikan impian sendiri. Rosnah mengeluh halus.

TELINGA Humairah menangkap setiap butir bicara yang ditutur Kamarul. Dari A sampailah Z. Dia tidak tertinggal satu pun. Suara Kamarul kelas kedengaran turun naik ketika menegah cadangan nenek yang mahu dia sambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi.
            Dia sudah mengagak keadaan ini akan berlaku. Maka dia lebih rela membiarkan angan-angan untuk belajar di institusi pengajian tinggi itu berkubur begitu sahaja. Kamarul tidak akan sudi membantu dia. Lagipun dia sedar diri. Dia cuma anak yatim piatu yang menumpang hidup bersama seorang nenek yang sudah tua dan tidak sekuat dulu. Duit yang Kamarul beri kepada Rosnah, yang sepatutnya dibelanjakan untuk menampung kehidupan sendiri sudah terbahagi dua. Mungkin hal itu yang tidak disenangi Kamarul.
            “Mak ni manjakan sangat budak Ara tu!” Kamarul meninggi suara. Duduknya berkalih ke posisi lain.
            “Mak manjakan apa pulak. Mak nak Ara tu belajar tinggi, biar senang hidup dia nanti. Lagipun budak Ara tu tak pernah minta apa-apa. Dari kecil sampailah sekarang, ikut aje apa yang mak aturkan untuk dia. Mak tahu, dia ada impian nak masuk universiti. Kamarul, tak salahkan kalau kau bantu dia. Sikit pun tak apa. Besar pahalanya nanti. Ara tu anak yatim piatu. Dia cuma ada kita aje. Dah tak ada orang lain yang boleh tolong dia kalau bukan kita.”
            Kamarul berpeluk tubuh. Dia tidak bersetuju langsung dengan cadangan Rosnah yang hendak menghantar Humairah pergi belajar di universiti. Anak sendiri pun tidak sampai hajat hendak ke sana, apatah lagi hendak hantar anak orang lain. Memang tidaklah!
            Kamarul menoleh sekilas apabila terasa kakinya disepak perlahan. Bertembung panahan mata dia dan isterinya, Suraya. Mata Suraya bulat kecil bulat kecil seperti memberitahu sesuatu.
            “Mak, saya ada benda nak cakap dengan mak ni.” Kamarul berkata sambil matanya meratahi wajah tua di depan mata.
            “Apa dia?” tanya Rosnah.
            “Macam ni, saya ingat nak buka perniagaan kereta. Jadi perlukan modal besar.”
            Rosnah mendengar dengan penuh tumpuan. “Modal? Oh, kalau Rul nak guna duit, mak ada duit. Tak banyak mana tapi bolehlah mak bantu sikit-sikit. Duit Rul jugak tu. Rul bagi mak, mak simpan.”
            “Bukan. Saya tak mahu duit mak.”
            “Habis tu?”
            Kamarul memandang Suraya. Diikuti Rosnah pula. Dia menelan air liur. Perancangan ini harus dibentangkan di depan Rosnah.
            “Saya nak geran tanah kita ni, buat cagaran.”
            Melompong mulut Rosnah.
            “Ini tanah pusaka arwah ayah kau, Rul. Takkan kau sanggup cagarkan pulak?”
            “Itu saya tahu. Tapi saya nak buat cagaran aje. Bukannya jual.”
            Tergeleng-geleng kepala Rosnah. Besar sangatkah modal itu sehingga perlu buat cagaran bagai?
            “Iya. Itu mak tahu. Tapi nanti kalau Rul tak dapat nak bayar balik pinjaman tu, macam mana? Rumah dan tanah ni macam mana? Mak nak duduk mana? Tu Humairah tu, macam mana?” Terlalu banyak perkara yang bermain di fikiran Rosnah. Segalanya berkecamuk. Dahulu tanah di seberang jalan sana dicagar Kamarul. Kononnya hendak melabur, buat saham. Akhirnya lebur juga. Saham entah ke mana, tanah entah ke mana.
            “Mak ni, sikit-sikit Humairah. Sikit-sikit budak tu. Ke mak merancang nak kasi tanah pusaka ni kat budak tu?” Suara Kamarul meninggi. Sakit betul hatinya bila Rosnah kerap menyebut nama Humairah. Dahulu nama arwah abangnya yang menjadi titipan Rosnah. Sikit-sikit Kamaruddin. Semua tentang Kamaruddin baik belaka. Dia? Semua buruk. Sekarang anaknya pula. Kamarul mengetap bibir.
            “Harta yang ada ni pun harta dia juga, Rul. Jangan nafikan hak dia.” Rosnah cuba berlembut. Angin anaknya yang seorang ini bukannya boleh dibuat main.
            “Dahlah mak. Saya dah malas nak cakap apa-apa. Kalau mak sayang sangat Ara tu, mak bagilah tanah ni kat dia. Semuanya mak bagi kat dia. Saya cuma nak pinjam sekejap buat cagaran, bukannya ambil bulat-bulat. Mak tak percayakan saya ka? Tak apalah. Saya sedar, saya ni bukan anak yang baik. Tu, anak mak yang dah tak ada tu yang macam malaikat kan? Sekarang ni, anak dia pulak mak timang-timang.
            Mak, kalau bukan sebab saya ni tolong mak, bagi duit kat mak, mak tak boleh bela Ara tu sampai boleh sekolahkan dia bagai. Duit yang mak bagi Ara makan pakai, sekolahkan dia tu semua dari duit saya. Nak harapkan duit mak menoreh getah tu, berapalah sangat, kan,” ungkit Kamarul.
            Rosnah berbelah-bahagi. Tanah ini satu-satunya harta pusaka yang tinggal. Kalau tergadai tanah ini, maka dia dan Humairah akan merempat. Ke mana arah tuju hidup mereka kemudiannya? Dia kasihankan Humairah. Humairah juga punya hak untuk memberi keizinan sama ada membenarkan niat Kamarul itu.
            Rosnah menarik nafas dalam-dalam. Kamarul anaknya. Dia ingin melihat Kamarul berjaya dengan impiannya. Humairah cucunya. Dia juga menginginkan Humairah berjaya di dalam hidupnya. Belajar tinggi-tinggi, menjawat pekerjaan yang elok-elok.
            “Mak boleh bagi geran tanah ni.”
            Kamarul dan Suraya sudah mampu tersenyum lebar.
            “Tapi dengan syarat,” kata Rosnah lagi. Dia sudah mendapatkan satu penyelesaian yang tidak akan membuat Humairah terabai.
            Untuk seketika, Kamarul dan Suraya saling berpandangan.
            “Mak hanya akan beri geran tu kalau Rul berjanji akan jaga Humairah macam anak Rul sendiri. Jangan abaikan dia. Dia anak arwah abang kau, Rul. Darah yang mengalir dalam diri kau tu turut sama mengalir di dalam tubuh Humairah.”
            Kamarul merasakan syarat itu terlalu berat. Jaga Humairah? Anak sendiri yang lima orang itu pun kadang-kadang ada surut naiknya, hendak jaga anak orang lain apatah lagi. Mahu tidak mahu, dia mengangguk juga. Sekadar buat syarat. Nanti kalau tidak dapat geran tanah itu, mati dia!
            Rosnah mampu mengurut dada tenang. Anggukan Kamarul cukup melapangkan dada. Fikirnya nasib Humairah terbela sudah.
            Humairah memandang Rosnah yang berjalan menuju ke arahnya. Senyuman Rosnah langsung tidak berbalas.
            “Nenek, apa nenek buat ni? Bukan ke nenek sayang sangat dengan tanah arwah atuk ni? Nenek pernah cakap, nenek nak jaga tanah ni sampai bila-bila. Nenek nak tanah ni diwarisi oleh generasi seterusnya.” Humairah bersuara lemah. Dia dengar semuanya. Dia dengar permintaan nenek pada Kamarul.
            “Pak Usu Ara tu nak pinjam aje. Buat cagaran,” kata Rosnah.
            Humairah menerpa ke arah Rosnah. Dipeluk tubuh itu. “Nenek tak perlu buat semua ni, nek. Ara tak perlukan jaminan Pak Usu akan jaga Ara. Ara boleh jaga diri sendiri. Ara nak kerja. Ara dah tak perlukan duit Pak Usu lagi. Kita boleh hidup tanpa duit Pak Usu.”
            Rosnah menepuk badan Humairah perlahan-lahan. Dia juga berat hati hendak memberikan geran tanah ini. Bimbang sekiranya kesudahannya sama seperti dulu.
            “Tak apalah, Ara. Pak Usu dah minta, nenek bagi ajelah. Nenek percaya, Pak Usu Ara tu takkan biar perkara dulu terjadi lagi.” Rosnah berjalan ke ruang tamu meninggalkan Humairah yang terduduk di muka pintu bilik. 

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Lagi entri dengan cerita yang baru. Bersemangat sungguh :) Moga kisah Atiqa Humairah tak sangkut-sangkut. Muehehehe.