Thursday, November 1, 2012

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab2.

Assalamualaikum.

"...One of the most amazing feelings in the world is having someone fall in love with you, who you thought you never had a chance with..."









BAB 2
HUMAIRAH cukup jelek dengan seorang lelaki yang sering mengekori ke mana sahaja dia pergi. Tidak pula dia tahu yang kutu rayau itu bekerja di kilang ini. Di dalam kilang itu, semua tempat dia berada pasti lelaki itu ada juga. Baru sehari dia di sini, dia rasa hendak berhenti kerja. Bila memikirkan niat dia hendak berdikari, tidak mahu makan duit yang Kamarul beri, dia gagahkan diri. Tidak mengapa. Usikan itu sementara sahaja. Humairah menyedapkan hati sendiri.
            Lebih kurang jam empat petang, waktu kerja di kilang itu tamat untuk syif pagi. Humairah bergegas keluar dan menonong laju turun dari van apabila sampai di simpang tiga, berdekatan dengan rumahnya. Dari situ, dia akan berjalan kaki sampai rumah. Hendak buat macam mana, pemandu van itu kata, van tidak akan melalui jalan itu. Dalam hati dia mengguman geram juga. Kos pengangkutan diambil kira, tapi sudahnya dia kena jalan kaki juga.
            “Hai Cik Atiqa Humairah!”
            Humairah terkejut besar. Hampir gugur jantungnya. Dia tidak menoleh pun sebaliknya melirik dari ekor matanya. Dia lagi! Humairah mendengus kurang senang.
            “Cantik betul Cik Atiqa Humairah bila pakai baju kilang warna biru ni.” Haikal berkata lagi meski Humairah tidak memberi sebarang reaksi pun. Ketika dia cuba menyentuh bahu Humairah, gadis itu segera menepis. Haikal tersenyum nipis. Dia suka Atiqa Humairah yang garang. Senyumannya meleret sampai ke telinga.
            “Apa ni?” marah Humairah. Sekali lagi dia menepis tangan gatal Haikal. Dalam marah, sebenarnya dia takut melihat kelakuan Haikal. Lain macam betul. Dari kilang sampailah ke sini, nampak juga muka seposen itu. Senyum pun macam muka Joker. Humairah melebarkan ayunan kaki. Biar cepat sampai rumah.
            “Sombong betullah awak ni, Ara.” Haikal cuba memancing Humairah untuk berbual dengannya tetapi tidak menjadi. Dia juga melajukan langkah menyaingi Humairah yang jauh di depan sana.
            “Kau ni kalau tak kacau aku tak boleh ke?” bentak Humairah. Digerling Haikal yang tersengih-sengih.
            “Tak boleh. Saya suka awaklah. Jom kahwin, nak? Saya boleh jaga awak macam nenek awak jaga awak.”
            Humairah mematikan langkah. Dia menentang anak mata Haikal. Menyampah!
            “Aku tak mahu kahwin dengan kau. Jangan kacau aku!” Humairah memberi amaran. Mukanya garang.
            “Awak jangan garang sangat, Ara. Tak padan dengan nama awak yang cantik tu. Sia-sia mak bapak awak letak nama cantik-cantik, tapi anak garang mengalahkan singa,” seloroh Haikal.
            “Kau jangan nak kaitkan parent aku pulak!” Humairah menyinga. Naik merah mukanya menahan letusan api yang memercik akibat pertuturan Haikal.
            Haikal terundur ke belakang. Tiada senyuman. Tiada sengihan di bibirnya. Dia sekadar memerhati Humairah berjalan laju meninggalkannya. Kali ini dia tidak mengejar gadis itu.

PANJANG leher Kamsiah apabila terdengar derap tapak kaki memasuki rumah. Tidak perlu melihat siapa, dia sudah boleh mengagak. Pasti Haikal. Kamsiah mengatur langkah ke dapur. Haikal kalau sampai rumah, yang dikejar dapur dulu. Buka tudung saji dan bila tiada makanan, Haikal akan berteriak memanggil namanya.
            “Mana nasi? Aku laparlah, mak. Penat kerja ni,” rungut Haikal. Dia duduk di kerusi seperti bos. Terkedek-kedek Kamsiah membuka periuk nasi, menceduk nasi masuk ke dalam bekas putih lalu dihidang di depan mata Haikal.
            “Sejak bila kau tak pernah penat kerja? Ini kali ke berapa dah kau minta kerja? Hah, lepas ni, tak sampai seminggu, berhenti kerja lagi. Apa nak jadi dengan kau ni, Haikal? Dulu, aku nak sekolahkan kau, kau malas. Nak kerjalah. Bila suruh kerja penat pulak. Kau ingat semua benda dalam dunia ni senang ke, Haikal? Kalau bapak kau hidup lagi, masak kau kena dengan dia, tahu!” bebel Kamsiah. Cukup tidak gemar perangai anak terunanya. Sudah umur lewat dua puluhan pun masih main-main lagi. Sekejap kerja, sekejap berhenti kerja. Nanti esok lusa, kerja lain pula.
Pening kepala memikirkan keadaan Haikal. Entah bila akan berubah. Tidak mungkin dia mampu menanggung Haikal sampai ke tua. Nanti kalau dia mati, Haikal terkontang-kanting. Berserabut kepala memikirkan perihal Haikal. Rasanya lagi senang menjaga budak kecil daripada jaga anak gajah macam Haikal.
“Kau tu bukannya muda lagi. Makin lama makin tua. Kalau kau terus macam ni, tak ada perempuan nak kaulah, Haikal. Sampai tualah kau duduk tinggal seorang diri kat rumah ni!”
Cemerlang mata Haikal saat Kamsiah membangkitkan isu perempuan. Terbayang-bayang wajah manis Atiqa Humairah.
“Mak, aku nak kahwin!” ujar Haikal. Dia menyumbat nasi ke dalam mulut. Dikunyah perlahan.
“Apa?” Kamsiah pura-pura terkejut. Beratus kali dia dengar Haikal cakap benda yang sama. Nak kahwinlah, nak kahwinlah. Tapi diri tetap serupa. Diri sendiri pun tidak terjaga, ada hati hendak jaga anak orang lain.
“Takkan mak tak dengar? Aku nak kahwin.”
Kamsiah ketawa besar. Mimpilah kalau ada perempuan yang berkenan dengan Haikal.
“Kau nak kahwin tu, kau nak pinang perempuan tu guna apa? Guna daun? Lepas tu kalau dah kahwin, kau nak bagi makan pakai apa? Pasir? Tanah? Kerja pun ke laut, ada hati nak jaga anak orang.” Tercebik-cebik bibir Kamsiah. Geli betul hatinya. Walau sudah lalu, setiap kali Haikal mengutarakan niat itu, dia tidak boleh mengelak daripada ketawa. Angan-angan Mat Jenin!
“Alah, kan harta bapak banyak.”
Bulat mata Kamsiah. “Hei, kau ingat harta bapak kau banyak, kau boleh guna sesuka hati? Kau tu lelaki, kenalah kerja. Kalau aku tahulah macam ni jadinya, baik awal-awal lagi aku sumpah kau jadi anak perempuan. Senang sikit.” Kamsiah melempiaskan perasaan marahnya. Cakap dengan Haikal, lama-lama dia yang sakit hati. Dasar budak degil. Satu soalan ditanya, berderet jawapannya.
“Pinangkan Ara untuk aku, mak,” tutur Haikal. Wajah kepada pemilik nama itu menari-nari di ruang mata.
Kamsiah terbatuk. Ara? Atiqa Humairah cucu Rosnah? Renungan Kamsiah bergayutan di wajah Haikal.
“Ara?”
Haikal mengangguk.
“Atiqa Humairah?”
Haikal mengangguk lagi. Dia berjalan menuju ke singki. Tangan dicuci dan dia meninggalkan pinggan kotor di dalam singki itu. Perutnya sudah kenyang. Tiba masa untuk tidur.
“Haikal!”
Haikal berpaling. Matanya sudah layu.
“Betullah tu. Ara cucu Rosnah tu. Mak pinangkan dia jadi isteri aku ye mak. Kalau duit hantaran tu, mak gunalah duit bapak. Aku tak ada duit.”
“Bertuah punya budak. Aku bukan nak cakap pasal Ara. Tak ingin aku nak biar Ara tu jadi bini kau. Biar dia cari orang lain. Ni, pergi sembahnyang Asar. Kau ni kalau aku tak suruh sembahyang, bukannya kau reti nak pergi sendiri. Dah tua bangka pun tak sedar diri nak sembahyang. Bawa-bawalah bertaubat, Haikal oi!” Kamsiah berleter lagi. Naik berbuih mulutnya menasihati tetapi Haikal tidak pernah dengar.
Haikal terus laju naik tangga rumah dan menuju masuk ke biliknya. Sembahyang? Nanti-nantilah dia kerjakan. Tidur lebih nikmat. Bisikan syaitan yang mahu mendajalkan seorang umat Nabi S.A.W berjaya dilaksanakan. Haikal terus lena tanpa mengendahkan panggilan Kamsiah yang menggesa dia bersolat dahulu sebelum tidur.

SAMBIL menikmati angin malam, Humairah mengurut kaki Rosnah. Dia tahu neneknya keletihan kerana siangnya nenek begitu gigih menoreh getah. Sudah berkali-kali dia kata, jangan pergi menoreh lagi tetapi Rosnah berdegil. Tetap juga menghilang ke kebun getah selepas solat subuh. Dia sudah berkerja, maka dia sudah mampu menjaga kebajikan neneknya pula.
            Rosnah memejam mata rapat-rapat. Lega betul bila jemari Humairah menari-nari di kakinya. Humairah memang pandai mengurut. Hilang segala sengal-segal yang dirasai sejak petang tadi. Humairah mewarisi kepandaian arwah ibunya dalam mengurut.
            “Nenek tak payahlah kerja menoreh getah lagi. Kan Ara dah kerja. Ara boleh tanggung perbelanjaan kita berdua,” kata Humairah.
            “Kalau nenek tak kerja, macam mana nenek nak dapatkan duit untuk perbelanjaan sekolah Ara? Ara nak sambung belajar kan?” Rosnah mengukir senyuman.
            Humairah terdiam. Bersungguh benar nenek hendak dia sambung belajar sedangkan dia sudah pun menguburkan niatnya itu.
            “Tak payahlah, nek. Ara dah tak ada minat.” Perlahan suara Humairah.
            Rosnah menepuk tangan cucunya. Humairah tidak pandai menipu. Dia tahu, Humairah terpaksa melupakan niat untuk belajar di universiti kerana kekangan hidup mereka. Humairah budak yang bijak.
            “Nenek cari duit sikit aje. Ingat tak, Pak Usu ada janji nak tolong sekolahkan Ara? Lepas ni, Ara boleh sambung belajar. Ara pergi sana, belajar betul-betul sampai pandai. Bila dah habis belajar, Ara boleh cari kerja bagus-bagus. Senang hati nenek kalau Ara hidup senang.” Rosnah berkata dengan nada getar di hujung suaranya. Kalaulah kedua orang tua Humairah masih hidup, tentu nasib Humairah tidak seperti sekarang. Dan kalaulah Kamarul lebih memahami, pasti kehidupan mereka berbeza.
            “Ara tak mahu susahkan semua orang.” Humairah sebak menahan sendu. Nenek banyak berkorban. Dari kecil sampailah sekarang, nenek tidak pernah penat membuatkan dia rasa selesa untuk tinggal di sisi wanita tua itu. Humairah memeluk erat tubuh Rosnah.
            “Ara tak pernah susahkan nenek. Ara cucu yang baik. Cucu yang menyenangkan hati nenek. Arwah mak dan babah Ara tentu bangga kerana punya seorang anak sebaik Ara.”
            Humairah cuba menahan airmata daripada jatuh. Disimpul ketat-ketat.
            “Pak Usu akan bantu Ara nanti. Percayalah cakap nenek.” Rosnah menyakinkan Humairah.
            Humairah mengangguk meski kepercayaan itu tidak pernah wujud dalam hatinya. Dia ragu-ragu. Bersimpang-siur jadinya hati ini bila mengenangkan kata-kata yang ditutur Kamarul. Pakciknya itu bukan boleh dipercayai sangat. Dulu pun ketika mula-mula Kamarul hendak menggunakan tanah di seberang jalan sana sebagai cagaran, pelbagai janji ditabur dan nenek terus angguk kepala. Akhirnya, tanah itu tergadai.
            Humairah tahu, nenek sayangkan Kamarul. Kamarul satu-satunya anak yang tinggal selepas kematian babahnya. Kalau bukan ibu sendiri yang membantu, siapa lagi? Humairah cuba memahami keadaan neneknya. Kalaupun nenek hendak memberikan semua hartanya pada Kamarul, dia tidak kisah. Tetapi memikirkan janji-janji yang ditabur Kamarul, dia resah. Tentu nenek kecewa bila janji itu tinggal mimpi.

BUNYI bising itu mengganggu lena Humairah. Dia tersedar. Sambil memisat mata, telinga masih dapat menangkap bunyi itu. Macam kena baling dengan batu. Humairah membuka mata. Ya Allah, dia terlena di depan peti televisyen. Jam dinding ditenung lama. Baru menginjak ke angka sepuluh malam tetapi dia rasa mengantuk yang amat.
            “Hujan batu ke?” Humairah tertanya-tanya. Melampau betul bunyi hujan batu. Hujan turun dari langit. Dari langit tentulah kena bumbung dulu. Ini dinding sahaja yang terkena tempiasnya. Humairah mendekati tingkap. Dia buka sedikit tingkap itu. Hampir luruh jantung dan segala isi dalam badan apabila terpampang muka Haikal di tingkap. Mujur dia tidak menjerit.
            “Kau nak apa, hah?” Bengis suara Humairah.
            Haikal senyum kecil.
            “Aku nak kau.”
            “Kau pergi baliklah.”
            Haikal menggeleng kepala.
            “Baik kau balik!” Humairah menekan suara di hujungnya. Haikal tidak pernah faham. Siapa mahukan lelaki persis itu? Sudahlah pemalas, kerja asyik berganti-ganti, ada hati hendak mengurat dia.
            “Aku nak kahwin dengan kau,” ujar Haikal. Mukanya berbunga-bunga buat Humairah semakin menyampah.
            “Ni, kau kahwin dengan penampar aku ni. Baik kau balik sebelum aku panggil polis. Pergi!”
            Haikal mengangkat kedua belah tangannya sebagai tanda mengaku kalah. Dia akan berundur tetapi untuk waktu ini. Peluang masih terbuka luas buatnya. Dia sukakan Humairah. Dia mahu memiliki Humairah. Dia ingin Humairah menjadi teman tidurnya. Haikal senyum menyeringai.
            Kali pertama Humairah melayangkan satu tamparan ke mukanya beberapa lama dahulu, dia tekad dalam hati mahu memiliki gadis itu. Dia mahukan Atiqa Humairah!

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: *Yawn*