Friday, November 2, 2012

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab7.

Assalamualaikum.
"...Immature love say: I love you because I need you. Mature love say: I need you because I love you..." - Erich Fromm









BAB 7
BAGAI dijerut leher saat Tengku Hanif menyuruh dia ikut bersama pergi menemui salah seorang klien penting lelaki itu. Puas dia menolak tetapi Tengku Hanif tetap dengan kehendak gilanya. Nurul Ain mengelap peluh yang tiba-tiba jatuh membasahi dahi. Bukan kerana dia kepanasan tetapi perasaan gemuruh lebih dari segalanya.
            Di dalam otak, terbit pelbagai andaian. Salah satunya, dia berfikir bahawa Tengku Hanif mahu membawa dia berjumpa dengan seseorang yang ada kaitan dengan dokumen yang telah dimusnahkannya. Hatinya tidak tenang. Menunggu Tengku Hanif di luar bilik lelaki itu bagai menunggu bulan jatuh ke riba.
            Sepantas kilat Nurul Ain bangkit dari kerusi. Dia memandang ke arah Tengku Hanif yang berjalan seiring bersama seorang lelaki yang dipanggil Suhaimi. Suhaimi turut memandangnya dan mereka saling berbalas senyuman.
            Nurul Ain terkebil-kebil di situ. Menunggu Tengku Hanif memanggilnya tetapi nampaknya tiada tanda-tanda Tengku Hanif akan berbuat demikian. Panjang lehernya menjengah ke ruang tempat Tengku Hanif susuri tadi. Berkerut dahinya. Aik, dah tak ada?
            Kata nak suruh aku mengekor dia tapi dia buat bodoh aje. Macam tak nampak aku terpacak tunggu dia kat sini. Agaknya aku ni dinding gamaknya. Nurul Ain memprotes dalam hati. Hendak ekori langkah Tengku Hanif, dia jadi serba-salah. Dibuatnya tiba-tiba Tengku Hanif menyergah dia lalu menyoal kenapa mengekori langkah lelaki itu, macam mana? Tengku Hanif bukannya betul sangat. Mahu dia malu berguling malu depan Suhaimi.
            Oleh kerana terlalu ralit berfikir macam-macam, Nurul Ain terkejut sendiri apabila telefon bimbit di dalam poket seluar bergegar. Segera diambil telefon bimbit tersebut.
            Kuku besi? Berdetak-detik hati Nurul Ain melihat nama samaran yang digunakan untuk menyimpan nombor telefon Tengku Hanif terpapar di skrin telefonnya.
            “Kau nak tunggu aku panggil ke baru nak datang sini?” Patah demi patah perkataan itu dibaca Nurul Ain dalam nada perlahan. Dia merengus geram. Siap hantar mesej bagai. Tadikan sudah lalu depan mata, buat tidak tahu. Sekarang marah-marah pula.
            Tanpa menunggu lebih lama, Nurul Ain langsung menapak pergi mendapatkan Tengku Hanif. Di mana? Nurul Ain redah sahaja. Mungkin Tengku Hanif menanti di luar bangunan. Wah, sekarang dia boleh berangan macam orang besar. Tengku Hanif pula si pembuka pintu kereta. Nurul Ain ketawa dalam hati. Senang hatinya membayangkan keadaan itu.
            Sampai sahaja di pintu utama bangunan, kemunculan Nurul Ain disambut dengan wajah garang Tengku Hanif. Nurul Ain buat tidak nampak air muka Tengku Hanif. Terus dia menonong ke arah lelaki itu.
            “Lambat kau turun, tuan puteri,” kata Tengku Hanif. Sengaja menyindir Nurul Ain yang baru sahaja memijak anak tangga pertama untuk turun ke bawah.
            “Hah, cepat sikit. Aku ni nak jumpa klien, bukan berjalan-jalan.”
            Nurul Ain memanjangkan langkah. Ketika dia hendak membuka pintu kereta, Tengku Hanif menghalang.
            “Siapa suruh kau naik sekali dengan aku?”
            “Habis tu, macam mana nak ikut Tengku kalau saya tak naik sekali dengan Tengku?”
            Tengku Hanif mengangkat jari telunjuk dan jari itu bergoyangan kiri dan kanan.
            “No, no, no. Takkan aku nak bagi kau naik kereta aku ni. Hari tu kau pernah sepak, tak mustahil kau boleh buat benda lain kat kesayangan aku ni. Kau naik motosikal kau tu. Follow dari belakang.”
            Terbuka luas saat mendengar bicara Tengku Hanif. Rupanya inilah lelaki yang telah memburuk-burukkan motosikal kesayangannya. Nurul Ain memandang Tengku Hanif berulang-ulang kali.
            “Ingat macam mana kau sepak kereta aku ni?” soal Tengku Hanif. Badan kereta yang berkilat itu ditepuk beberapa kali.
            Nurul Ain mencebik dalam diam. Setakat kereta mewah itu, dia tidak hairanlah.
            “Dah cepat. Pergi ambil motosikal kau tu.”
            Nurul Ain berniat hendak mengacah Tengku Hanif. Dia beraksi seperti hendak menyepak sekali lagi kereta kesayangan si kuku besi. Tengku Hanif terkejut besar. Belum pun sempat kaki Nurul Ain mengena dibadan kereta tersebut, Tengku Hanif terlebih dahulu menyergah.
            “Jangan kau terfikir nak sepak kereta ni lagi. Kalau kau buat, aku saman kau! Termasuk sekali saman sebelum ni.” Tengku Hanif mengugut.
            “Kalau kau lambat, aku tinggal. Pandai-pandailah kau cari tempat tu,” kata Tengku Hanif lagi.
            Nurul Ain menghentak kaki sebagai tanda geram. Setiap langkah yang diatur pergi ke tempat parkir motosikalnya, dia menggumam geram. Sakitnya hati! Nurul Ain berpaling. Tengku Hanif tidak kelihatan di situ. Sudah masuk dalam kereta barangkali.
            “Setakat kereta macam tu, lawa lagi motosikal aku. Huh!” Nurul Ain mendengus kasar.

SELESAI urusan perniagaan, Tengku Hanif mengambil peluang berborak-borak kosong dengan salah seorang kawan baik papanya, Tuan Zaidan. Biarpun jarak usia memisahkan mereka, tetapi Tengku Hanif begitu mahir menyesuaikan diri dengan orang disekeliling. Oleh sebab itu dia disenangi rakan-rakan sebaya papanya.
            Sesekali Tengku Hanif melirik ke arah Nurul Ain yang duduk bertentangan dengannya. Rasa hendak pecah perut kerana menahan ketawa melihat reaksi Nurul Ain. Agaknya si pendek itu tidak dapat menyesuaikan diri dengan persekitaran sekarang. Nurul Ain hanya mengenakan jeans bersama sehelai t-shirt berwarna hijau dan bersandal semata.
            “Hah, lupa pula uncle nak tanya. Siapa dia ni?” tanya Tuan Zaidan.
            Nurul Ain tersengih-sengih apabila merasakan Tuan Zaidan memerhatikan dia dari hujung rambut sampai hujung kaki. Tentu lelaki itu pelik melihat keadaan dia seperti ini.
            “Itu pembantu saya, uncle. Namanya Nurul Ain.”
            “Pembantu? Setiausaha ke?”
            “Eh bukan. Setiausaha saya ada kat office. Ini pembantu.”
            Nurul Ain lega kerana Tengku Hanif tidak menggunakan bahasa yang selalu digunakan iaitu orang suruhan. Kalaulah itu yang keluar dari mulut Tengku Hanif, memang tarafnya terlalu rendah.
            Nurul Ain mempamer senyuman lebar. Eh, bukan senyuman tapi tersengih. Sudah macam iklan ubat gigi pula. Ketika dia menoleh, pandangannya bertaut pada Tengku Hanif yang turut sama memerhatikannya. Langsung kembali tegang mukanya.
            Ketika Tuan Zaidan meminta diri ke tandas, Tengku Hanif mendekati Nurul Ain. Selamba dia duduk di sebelah gadis itu. Nurul Ain menjauhkan diri.
            “Aku nak kau pergi belikan aku air. Haus sangat ni,” pinta Tengku Hanif.
            Pandangan Nurul Ain silih berganti antara Tengku Hanif dan segelas minuman yang tinggal separuh di atas meja.
            “Sekarang,” tegas Tengku Hanif.
            Nurul Ain menuding gelas minuman tersebut. “Tu, kan air Tengku ada lagi.” Perlahan-lahan Nurul Ain bersuara.
            Tengku Hanif bersandar. Dia melonggarkan tali leher yang menjerut lehernya. Rimas. “Aku nak air lain. Pergi beli sekarang.”
            “Tengku minum ajelah air tu. Membazir kalau tak habiskan. Nanti malam dia datang cari Tengku, baru Tengku tahu.”
            Kata-kata Nurul Ain mengundang tawa Tengku Hanif. Hampir meleleh air matanya. Nurul Ain memang pandai membuat jenaka.
            “Kau ingat aku budak kecil sampai takut-takutkan aku dengan cerita macam tu?”
            Nurul Ain mencebik.
            “Dah, pergi sekarang. Buat apa aku angkut kau datang sini kalau setakat nak jalan-jalan makan angin aje.”
            Kerlingan Nurul Ain menghunus tepat ke wajah Tengku Hanif. Meluat betul dengan lelaki ini. Kalau tidak mengenangkan perjanjian itu, pasti sudah lama dia angkat kaki.
            “Tengku nak air apa?” tanya Nurul Ain.
            Tengku Hanif berfikir sejenak. “Kau belikan air gas. Eh, tak mahulah. Aku nak jus.”
            “Jus?” Nurul Ain menggaru kepala. Celah mana dia hendak belikan jus itu? Nurul Ain lihat kiri kanan. Hah, di dalam hotel ini tentu ada kafe. Dia akan beli di situ nanti.
            “Aku tak mahu jus dalam hotel ni. Tak sedap. Cari kat tempat lain.”
            Nurul Ain tersedak. Amboi, dia baru merancang jalan mudah, rupanya Tengku Hanif bisa membaca percaturannya. Alamatnya, dia terpaksa mengukur jalan cari kedai berdekatan.
            Tangan ditadah sebagai tanda hendak meminta wang. Dia tidak akan berganjak selagi Tengku Hanif tidak memberinya duit untuk membeli jus itu. Hendak guna duit sendiri memang tidaklah. Sudahlah buat kerja percuma tanpa sebarang bayaran, ikut cakap macam lembu cucuk hidung ini pun dah kira bagus.
            “Kau gunalah duit kau dulu. Aku tak ada duit kecil.” Tengku Hanif berkata acuh tidak acuh.
            Nurul Ain enggan mengalah. Selagi Tengku Hanif tidak memberinya wang itu, dia akan tetap statik di situ.
            “Aku ada kad kredit. Boleh?” Tengku Hanif mengeluarkan sekeping kad kredit. Sengaja menayangkannya pada Nurul Ain.
            “Pun boleh,” balas Nurul Ain.
            Jawapan Nurul Ain mengudang dengusan kasar Tengku Hanif. Dia menyeluk poket seluar lalu mengeluarkan sekeping wang kertas not lima puluh ringgit. Wang kertas itu beralih tangan.
            “Kedekut betul! Setakat air berapa sen itu pun nak berkira dengan aku,” getus Tengku Hanif.
            Nurul Ain pekakkan telinga. Dia menonong keluar dari hotel itu dan mendapatkan motosikal miliknya. Mungkin berdekatan kawasan ini ada gerai makan. Baru hendak menghidupkan enjin motosikal, Nurul Ain teringat yang dia tidak bertanya pun jus apakah yang dikehendaki Tengku Hanif.
            Aduh! Kalau masuk dalam bertanya, nanti banyak pula songeh orang kaya itu. Lantaklah. Beli sahajalah jus yang ada. Jus epal, jus oren, jus cempedak sekali pun dia akan beli nanti dan hidangkan di depan mata Tengku Hanif.

RENUNGAN Datin Sabrina terarah pada Lufiya. Keningnya hampir bercantum. Kedua belah tangannya menongkat dagu.
            “Nurul Ain tu baru aje kerja dengan Tengku. Kerja apa yang dia buat tak pastilah pulak. Sepanjang dua minggu dia di sini, selalunya Tengku suruh dia sediakan minuman atau makanan. Selalunya pada waktu pagi.”
            Semakin dalam kerutan yang terlukis di dahi Datin Sabrina.
            “Itu aje?” soalnya.
            Lufiya mengangguk laju. Seingatnya memang itu sahajalah pekerjaan Nurul Ain. Asyik keluar masuk bilik Tengku Hanif bawa barang. Kadang-kadang air. Kadang-kadang makanan. Ada masa mengangkat kotak kertas A4. Dia yang melihat jatuh kasihan. Terkejar-kejar Nurul Ain ke sana sini.
            “Tahu mana Tengku kutip budak perempuan tu?”
            Lufiya menggeleng kepala tanda tidak tahu. Datin Sabrina mendengus kasar. Dia bersandar sambil mendongak menatap siling. Raut wajah Nurul Ain menari-nari di ruang mata. Walau baru sekali bertentang mata, Datin Sabrina tidak mampu melupuskan bayangan Nurul Ain.
            “Awak boleh pergi.”
            Lufiya akur. Dia berjalan meninggalkan Datin Sabrina di ruang itu. Sepeninggalan Lufiya, Datin Sabrina mencapai telefon bimbitnya, lalu dengan pantas menekan punat-punat nombor. Lama dia menanti barulah panggilannya bersambut. Suara garau kedengaran di hujung sana.
            “Macam mana?”
            Datin Sabrina memasang telinga sebelum menyambung, “Takkan tak dapat lagi? I nak secepat mungkin, faham.”
            Datin Sabrina memutuskan panggilan itu. Ada sesuatu yang membuatkan hatinya kembali tidak tenang. Dia rimas bergelut dengan perasaan ini dahulu dan sekarang ia kembali muncul.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Dalam mood gigih update entri-penuh-cerita-verangan. Muehehehe :) Okebai!