Tuesday, November 20, 2012

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab8.

Assalamualaikum.
"...The best proof of love is trust..." - Joyce Brothers








BAB 8
NURUL AIN duduk menongkat dagu di atas meja. Sesekali matanya melirik pada Faisal yang kelihatan sungguh ralit membaca sebuah buku yang tebal dengan tulisan braile. Nurul Ain memanjangkan leher, melihat bahan bacaan yang begitu asing bagi dirinya. Terpaku matanya di jemari Faisal yang lincah menari di atas buku tersebut.
            “Apa tu?” tanyanya sambil menyentuh salah satu aksara yang timbul di buku tersebut.
            “Boleh ajar saya baca tulisan braile tak? Macam menarik aje,” ujar Nurul Ain lagi setelah pertanyaannya langsung tiada jawapan.
            “Saya tak pandai ajar orang.” Faisal berkata. Dia menutup buku itu lalu ditolak ke tepi.
            “Sikit pun tak apa.”
            Faisal menggelengkan kepala.
            “Alah, sikit pun jadilah,” pujuk Nurul Ain lagi. Sungguh, dia teringin hendak belajar tulisan khas yang menjadi panduan bagi mereka yang istimewa seperti Faisal.
            Faisal tetap menggeleng. Terus cemberut muka Nurul Ain.
            “Awak tak kisah ke berkawan dengan saya?” Tiba-tiba Faisal mengutarakan soalan itu.
            “Kenapa Faisal tanya soalan macam tu?”
            Faisal menarik nafas panjang. “Iyalah, sayakan buta.”
            Nurul Ain tergelak kecil. Rasa kelakar pula.
            “Apalah Faisal ni. Kalau saya kisah, dah lama saya angkat kaki. Entah-entah time Faisal jatuh dulu, saya buat dek aje.” Tawa Nurul Ain bersisa. Faisal sekadar mengukir sneyuman halus di pinggir bibir.
            “Saya orang buta. Ain tak malu berkawan dengan saya?” Faisal bertanya lagi.
            Naik pelik Nurul Ain dibuatnya. Entah apa-apa soalan yang diutarakan Faisal kali ini.
            “Buta ke, pekak ke, bisu ke, itu bukan satu halangan untuk kita berkawan. Bagi saya, tak kisahlah apapun keadaan orang itu, kalau dia ikhlas berkawan, maka saya pun ikhlas.”
            “Walau dia miskin?”
            “Harta bukan ukuran. Nilai keikhlasan dalam persahabatan itu lebih bermakna.”
            Faisal terdiam mendengar kata-kata Nurul Ain. Sepertinya dia sedang memikirkan sesuatu. Nurul Ain terus memerhatikan Faisal. Dari rambut yang bersisir kemas, jatuh pula pada wajah yang memakai kaca mata hitam melindungi mata. Nurul Ain membayangkan bagaimana agaknya wajah Faisal andai lelaki ini membuka kaca mata hitam itu dari terus bertenggek di hidungnya. Kacakkah?
            Anak mata itu menyusuri hidung dan bibir Faisal. Ah, pemanis di wajah Faisal memang menaikkan seri. Tahi lalat di atas bibir itu betul-betul menarik perhatian Nurul Ain. Andai kata dia teringatkan Faisal, pasti tahi lalat itu dahulu yang melabuh di mindanya.
            “Awak tahu tak awak ni manis? Manis sangat!” ujar Nurul Ain berserta sengihan lebar. Nampak susunan giginya yang rapi.
            Faisal terkedu. Tawa Nurul Ain meletus lagi. Gelihatinya melihat reaksi Faisal. Tentu ini kali pertama Faisal mendengar orang bercakap begini tentang dirinya.
            “Tu, tahi lalat kat atas bibir tu, pemanis awak.”
            Mulanya Faisal senyap tetapi beberapa saat selepas itu dia mampu tersenyum juga. Malah dia yang ketawa lebih-lebih.
            “Amboi, galaknya ketawa. Suka hati betul ye awak bila saya kata awak ni manis,” tegur Nurul Ain.
            “Eh, mana ada.”
            “Tu, gelak tak ingat dunia. Jangan perasan manis pulak lepas ni,” seloroh Nurul Ain lagi.
            “Agak-agak, kalau tak ada tahi lalat ni, saya manis lagi tak di mata awak?”
            Nurul Ain menongkat dagu. Mengecil matanya.
            “Pun manis jugak!”
            “Betul ke?”
            “Betullah. Hah, jangan kata awak nak buat pembedahan plastik buang tahi lalat tu.”
            Mengekek Faisal ketawa.
            “Faisal, awak tinggal dengan mak ayah awak ke?” Tersetus soalan itu di minta dan dilontar keluar mencecah halwa telinga Faisal.
            Faisal diam. Lama.
            “Faisal?”
            “Jomlah Ain. Saya rasa macam nak minum coconut shake aje.” Faisal terus beralih topik. Nurul Ain menyedarinya tetapi pura-pura tidak tahu. Mungkin Faisal ada sesuatu yang ingin disembunyikan daripada pengetahuannya. Dia tidak kisah andai Faisal tidak mahu berkongsi cerita perihal keluarganya.
            “Coconut shake? Kat mana?”
            “Hujung jalan sana,” beritahu Faisal.
            Aik! Nurul Ain terkebil-kebil memandang Faisal. Dari mana Faisal tahu kedudukan kedai itu? Siap tunjuk arah bagai sedangkan lelaki itu hanya bergantung kepada tongkat dan pendengaran semata. Pelik.
            “Terus aje, lepas tu belok kanan. Jumpalah kedai tu.”
            Tidak lepas pandangan Nurul Ain melekat pada Faisal yang menuding ke arah kanan. Tergaru-garu kepala dibuatnya.
            “Mana Faisal tahu lokasi kedai tu? Pernah pergi ke?”
            “Pernah. Selalu jugak pergi sana. Coconut shake dia sedap!”
            “Sendiri?”
            Faisal mengangguk. Semakinlah Nurul Ain dihimpit perasaan hairan.
            “Pergi sana sendiri?” Nurul Ain mengulangi pertanyaan itu.
            “Oh...” Faisal berjeda seketika. “Ada kawan bawa dulu. Lepas tu saya datang sendiri, tapi pakcik teksi yang hantarkan sampai sana. Kalau dari sini, biasanya saya minta tolong orang bawa saya ke sana,” cerita Faisal.
            Barulah Nurul Ain mempu melenyapkan rasa hairannya apabila mendengar bicara Faisal. Kalau Faisal mampu pergi ke sana seorang diri, memang hebatlah! Perlu melintas longkang bagai. Banyak halangan yang mencabar bagi insan seistimewa Faisal.
            Memang betul kata Faisal. Coconut shake yang dijual di gerai kecil itu sangatlah sedap. Apatah lagi apabila dicampur dengan ais-krim. Silap-silap hari bulan, dia boleh minum dia tiga cawan.
            Nurul Ain duduk di sebuah kerusi yang tersedia di depan gerai tersebut sambil menunggu Faisal yang meminta diri hendak pergi ke tandas. Bila dia menawarkan diri menghantar ke sana, Faisal berkeras menolak. Katanya, dia sudah biasa di sini. Cari tandas yang tidak jauh dari sini macam makan nasi. Nurul Ain mengiyakan sahajalah. Kalau boleh kata Faisal, maka bolehlah.
            Baki coconut shake itu dihirup dengan sepenuh hati. Sampai licin. Langsung tiada sisa yang tinggal. Nurul Ain begitu menikmati minuman itu.
            “Adoi!” Nurul Ain berteriak saat dia terlanggar seseorang. Dia mendongak dan terbias seraut wajah yang begitu tidak asing baginya di depan mata. Terus dia berdiri tegak. Tengku Hanif memandang dia tanpa berkelip mata.
            Macam manalah dia boleh bertembung dengan Tengku Hanif di sini? Memang panjang betul jodoh dia dengan lelaki kuku besi ini. Baru hendak rehat-rehat daripada memikirkan arahan Tengku Hanif, rupanya dia terpaksa juga menghadap muka seposen itu. Nurul Ain berpura-pura tidak sedar kewujudan Tengku Hanif meski lelaki itu terpacak depan mata. Panjang lehernya mencari kelibat Faisal kalau-kalau sudah ada berhampiran.
            Nurul Ain berpaling apabila terasa bahunya dicuit seseorang. Tengku Hanif berdiri di belakangnya sambil jari telunjuk lelaki itu tepat menghala ke arah gerai coconut shake.
            “Apa?” Nurul Ain melontar pertanyaan.
            “Tu, aku nak air tu. Belikan,” pinta Tengku Hanif.
            Nurul Ain mengerling Tengku Hanif yang bermuka selamba. Wah, dia fikir aku kuli dia? Suka hati suruh aku beli air yang jauhnya sekangkang kera tu. Nurul Ain menggerutu geram dalam hati.
            “Tengku belilah sendiri,” ujar Nurul Ain. Sedikit pun tidak memandang Tengku Hanif. Tidak sudi langsung.
            “Nak melawan cakap aku? Kau lupa...”
            Terbantut bicara Tengku Hanif apabila Nurul Ain terlebih dahulu menyampuk.
            “Tengku lupa ke yang perjanjian kita tu ada tertulis kalau hari cuti, sayatidak akan disuruh melakukan tugas-tugas seperti selalu tu. Nak saya tunjuk surat perjanjian tu ke?” Sengaja Nurul Ain mendatarkan suara. Jangan ingat Tengku Hanif sahaja yang pandai mengungkit perihal perjanjian mengarut itu.
            Perasaan hairan singgah di hati kecilnya apabila kata-katanya langsung tidak berbalas. Dia berkalih dan Tengku Hanif tiada di situ. Ke mana dia menghilang? Nurul Ain memerhati persekitarannya. Nyata, bayang Tengku Hanif tidak terjamah dek mata.
            Nurul Ain menggaru kepala. Sudahlah datangnya tidak dijangka, hilangnya pula sekelip mata. Dia mulai berfikir sejenak. Tadi memang Tengku Hanif, kan? Dia bukan berilusi, kan? Berdetak-detik perasaannya dengan soalan itu.
            Dalam pada memikirkan misteri kemunculan dan pemergian Tengku Hanif yang tiba-tiba itu, dia sempat melirik ke arah jam tangannya. Sudah setengah jam berlalu tetapi Faisal belum pun muncul. Dia mulai resah. Gelisah andai Faisal tidak dapat mencari jalan ke sini.
            Ketika Nurul Ain mula mengira langkah dengan niat hendak mencari Faisal, dari jauh terlihat Faisal berlari-lari anak ke arahnya. Dia lari? Nurul Ain seakan tidak percaya. Tongkat putih itu pula tidak mencecah lantai. Agaknya Faisal sudah biasa berlari anak begitu, fikirnya.
            “Lambatnya awak ke tandas,” gumam Nurul Ain. Dia menarik Faisal ke tepi sedikit bagi memberi laluan kepada orang yang lalu-lalang di kawasan itu.
            Nafas Faisal turun naik. Peluh pula memercik membasahi dahi. Keadaan itu menarik Nurul Ain kembali menjengah rasa pelik yang menghuni hati.
            “Apa awak buat sampai peluh-peluh macam ni, Faisal? Tadi berlari bagai. Kalau jatuh, macam mana? Kena kejar anjing ke apa?”
            Tergeleng-geleng kepala Faisal. “Bukan.”
            “Habis tu?”
            “Excercise.”
            Terburai tawa Nurul Ain. Faisal pandai melawak rupanya.Nurul Ain mengeluarkan tisu lalu dihulur kepada Faisal. Diperhati kelakuan Faisal mengelap peluh-peluhnya yang merembes keluar. Dari dahi ke hidung. Dari hidung ke pipi. Kemudian dagu pula.
            Eh, tahi lalat itu...
            Nurul Ain terus merenungi wajah Faisal. Ada sesuatu yang memelikkan di situ. Tahu lalat itu memang di atas bibir tetapi rasanya sebelum ini tahi lalat itu elok terletak di atas bibir kanan. Sekarang di kedudukan kiri pula. Ke dia salah tengok sebelum ini?
            “Faisal, tahi lalat awak dah beralih tempat ke?”
            “Hah?” Faisal seolah-olah terkejut dan tongkat yang dipegangnya terlepas dari pegangan. Nurul Ain menunduk. Dikutip tongkat putih itu lalu diberi semula kepada Faisal.
            Dia angkat muka. Kali kedua wajahnya berkerut. Kening hampir bercantum. Kanan pula. Tadi dia nampak kiri. Nurul Ain menggelengkan kepala beberapa kali. Ya, tahi lalat itu berada di kedudukan asal. Agaknya dia salah tengok tadi. Nurul Ain ketawa sendiri.
           
SESUDAH menghantar Faisal ke pondok bas, Nurul Ain tidak terus pergi dari situ sebaliknya dia bersembunyi di sebalik pokok besar berhampiran tempat itu. Bukan apa, dia risau sekiranya Faisal terlepas bas. Puas dia meyakinkan Faisal untuk menghantar pulang tetapi Faisal menolak bulat-bulat. Katanya menyusahkan orang lain.
            Lima minit, sepuluh minit. Nurul Ain mengira setiap detik yang berlalu. Dalam hati terbit perasaan kasihan. Nurul Ain terus menunggu. Sebal juga kerana bas tidak kunjung tiba.
            Nurul Ain bingkas berdiri apabila ternampak Faisal berjalan meninggalkan pondok bas tersebut. Dia hendak pergi ke mana? Balik jalan kaki? Biar betul! Nurul Ain memasang niat mengekori Faisal tetapi sebiak sahaja dia memulakan langkah pertama, telefon bimbit berdering dan panggilan itu datangnya dari Puan Suriani.
            “Ya mak. Ain kat luar lagi ni.”
            Nurul Ain diam. Berkelip-kelip matanya terarah pada Faisal yang berjalan perlahan.
            “Ye ke? Kalau macam tu Ain balik sekarang. Cakap kat nenek, jangan balik dulu. Ain rindu sangat kat nenek,” kata Nurul Ain. Dia berpusing. Terbayang-bayang wajah manis nenek di ruang mata. Rindunya. Untuk seketika, dia menoleh. Faisal masih mengira langkah. Sendirian bersama tongkat putihnya. Nurul Ain menghela nafas. Doanya semoga Faisal selamat sampai ke rumah.

MENCERLUNG mata Kathy memandang orang buta yang melanggarnya tadi. Dia baru sahaja beli jam Rolex yang mencecah ribuan ringgit dan kini muka jam tangan berjenama itu retak gara-gara dia si buta itu. Kathy tidak mengendahkan persekitarannya. Terus dia mengherdik tanpa memikirkan perasaan orang tersebut.
            “Dah tahu buta, janganlah duduk tengah jalan. Ni, kau nak ganti ke barang aku ni? Kau ingat aku beli pakai air liur ke? Dasar buta!” Kathy terus memarahi lelaki itu. Tanpa rasa belas pun, Kathy menolak tubuh lelaki berkenaan sehingga lelaki itu jatuh terjelepuk di atas jalan.
            Seorang pemuda datang merapati. Sekilas melirik ke arah Kathy yang masih marah-marah. Tergeleng-geleng kepalanya.
            “Kalau pun marah, janganlah sampai menghina orang, cik. Tak elok.” Pemuda itu menasihati dengan lembut.
            “Habis, orang buta ni buat jam aku jatuh sampai retak, elok pulak?”
            Pemuda itu sekadar menghela nafas panjang. Muka cantik, tapi adab entah ke mana. Tiada langsung peri kemanusiaan. Sampai mencerca orang yang kurang upaya. Ketika pemuda itu membantu Faisal bangun, Faisal mengaduh kesakitan. Terus pemuda itu membelek tangan Faisal.
            “Sakit ke?” soal pemuda itu.
            Faisal mengangguk.
            “Cik, tengok apa yang cik dah buat. Jam tu setakat retak cerminnya aje, boleh tukar. Ini, kalau dibuatnya tangan orang ni patah riuk, macam mana?” Pemuda tadi membebel geram.
            Kathy menggigit bibir. Sakitnya hati. Terlalu banyak perkara yang menyakitkan hatinya hari ini. Cermin jam retak, dia dibebeli orang yang tidak dikenali dan sekarang menunggu Tengku Hanif yang tidak muncul-muncul.
            Kata Datin Sabrina, hari ini Tengku Hanif bermain tenis bersama Suhaimi di dalam dewan sukan di hujung sana. Terus bergegas dia memecut kereta datang ke tempat ini semata-mata hendak bertemu dengan lelaki itu.
            Bersinar-sinar bola mata Kathy saat ternampak susuk Tengku Hanif. Laju dia berjalan mendekati lelaki itu.
            “Hai sayang!” sapa Kathy. Dipaut lengan Tengku Hanif dengan erat. Konon-kononnya hendak tunjuk manjalah. Namun Kathy tersentak apabila Tengku Hanif bertindak menolak dirinya dengan kasar.
            “Kenapa dengan you ni?” tanya Kathy. Terkedek-kedek membontoti langkah Tengku Hanif. Kathy naik geram. Tengku Hanif langsung tidak mempedulikan kewujudan dia. Dengan sekuat hati, dia merentap pergelangan tangan Tengku Hanif.
            “Sakitlah!” Meninggi suara Tengku Hanif disertai dengan kerutan di dahi. Tengku Hanif menunduk. Kathy merapati Tengku Hanif. Dia hendak membantu tetapi ditegah Tengku Hanif. Akhirnya dia hanya pegun memerhati.

Terima kasih kerana membaca entri ini dan have a nice day :)

notahujungkaki:  Perasaan orang bekerja- M.A.L.A.S -..-' Practical aje pooonn.