Wednesday, November 28, 2012

[Novel] : Kupilih Hatimu Bab3.

Assalamualaikum.
"...Life is blessing, so be grateful. Alhamdulillah..."








BAB 3
PLASTIK yang berisi pisang goreng dipandang sekilas dengan senyuman meleret di bibir. Pasti nenek suka, desis hati kecil Humairah. Dipercepatkan langkah agar segera sampai ke rumah. Dia pandang kiri kanan dan belakang. Hah, orang itu tidak mengekorinya hari ini. Lega! Humairah tersenyum lagi. Bumbung rumah sudah terjamah dek mata.
            Humairah belok kanan. Dia memasuki satu denai berumput halus. Lebar pandangan matanya. Rumah kayu yang kelihatan agak uzur itu rumah yang menjadi tempat dia berlindung selama hari ini.
            Kewujudan dua lelaki segak berpakaian kemas berdiri di halaman rumah mengundang tanda-tanya. Semakin cepat Humairah melangkah. Sampai di depan dua orang lelaki tersebut, Humairah pamer senyum. Dia mendekati Rosnah, berbisik di telinga neneknya dengan suara cukup perlahan.
            “Siapa mereka tu, nek?” bisik Humairah.
            Rosnah diam. Hanya renungan yang mampu dilontar pada Humairah. Humairah kehairanan. Janggal betul perilaku neneknya hari ini. Berulang kali dia melempar pandang ke arah dua lelaki yang berwajah ketat itu.
            “Kami beri masa dua hari,” ujar salah seorang lelaki berwajah ketat itu.
            Berkerut dahi Humairah. Apa yang dua hari? Sekejap dia pandang Rosnah. Sekejap dia pandang dua lelaki itu.
            Rosnah mengangguk perlahan apabila dua lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Johan dan Asrafiq meminta diri. Raut wajahnya yang mendung itu diperasani Humairah. Berkali-kali Humairah bertanya tetapi dia mengambil jalan tutup mulut.
            “Jom naik atas, nek. Ara ada beli pisang goreng kegemaran nenek. Ara beli kat kedai depan sana,” kata Humairah. Dia sudah mengira anak-anak tangga naik ke atas.
            Gedebukkk!!!
            Humairah terperanjat. Lantas dia berpaling ke belakang. Berpinar-pinar matanya melihat sekujur tubuh terlentang di atas tanah.
            “Nenek!” jerit Humairah. Plastik pisang goreng itu terlepas dari pegangan. Humairah melompat turun dari anjung rumah. Segera dipangku kepala Rosnah yang tidak sedarkan diri.
            “Nenek! Kenapa ni nek? Nenek, bangunlah!” Teriakan Humairah semakin lantang. Dia buntu. Tiada orang yang boleh membantunya. Humairah menepuk pipi Rosnah beberapa kali tetapi neneknya itu tetap pegun dengan mata terpejam rapat. Humairah jadi takut tiba-tiba.
            “Ya Allah, kenapa ni Ara?” Kamsiah menerpa ke arah Humairah dan Rosnah. Kebetulan dia lalu di depan rumah Rosnah, sebaik terdengar suara orang memekik lantang, Kamsiah terus meluru ke situ.
            Humairah tidak mampu berkata apa pun. Dia menggeleng kepala tanda tidak tahu apa yang menyebabkan Rosnah jatuh pengsan.

KAMSIAH menyuap bubur nasi ke mulut Rosnah. Meski Rosnah menolak, dia tetap memaksa. Tubuh tua Rosnah terlalu lemah.
            “Aku dah kenyang,” tolak Rosnah.
            Kamsiah meletak mangkuk berisi bubur nasi itu di atas meja di sebelah katil. Kaki Rosnah diurut perlahan.
            “Ara mana, Siah?” tanya Rosnah.
            “Tu, ada kat dapur. Mak Nah, apa dah jadi sebenarnya? Sampai Mak Nah pengsan bagai ni. Risau saya tengok. Agaknya Mak Nah ni kuat sangat kerja. Bawa-bawalah berehat. Mak Nah bukannya muda lagi.” Kamsiah membebel sambil tangannya laju mengurut kaki Rosnah.
            “Kalau aku tak kerja, siapa nak tanggung Ara tu?”
            Kamsiah mengeluh. “Ara dah besar dah Mak Nah. Dah kerja pun. Tahulah dia nak cari duit.”
            “Kau tak faham. Aku nak Ara tu belajar tinggi. Aku nak dia masuk universiti. Walau berkali dia kata dia dah tak minat nak belajar, aku tahu, aku tahu sangat yang dia masih nak belajar. Ara tu pandai, Siah. Budak bijak.” Lirih suara Rosnah. Tubir mata terasa hangat. Cepat-cepat dia seka airmata itu daripada gugur di pipi.
            “Kamarul kan ada. Apa guna ada anak kalau tak minta tolong dia. Lagipun Ara bukan orang lain. Anak saudara dia juga. Takkanlah Kamarul tak sudi nak tolong,” kata Kamsiah.
            Mendengar nama Kamarul, mengundang rasa sayu dan kecewa yang teramat sangat. Kepercayaannya dihancurkan untuk kali kedua. Sampai hati Kamarul menipu dia. Hidup-hidup dia ditipu. Kali ini Rosnah tidak mampu menahan tangis. Mengalir deras airmatanya mengenangkan tindakan Kamarul.
            Hendak berkongsi kesedihan itu dengan Kamsiah, dia serba-salah. Kamarul anaknya. Bila dia buka mulut, seperti dia buka keburukan Kamarul. Tetapi bila dikenang semula, dia memang memerlukan seseorang untuk mencurah rasa sedih yang tidak tertanggung ini.
            Kamsiah melompong. Tidak menyangka Kamarul sanggup bertindak begitu terhadap ibu sendiri. Geran tanah yang dikata kononnya hendak dibuat cagaran rupanya digunakan untuk membayar hutang yang sudah berbakul-bakul tidak terlangsai. Tanah yang kini diduduki dia beranak itu sudah tergadai.
            Kamsiah hanya mampu menggeleng kepala dan mengucap panjang. Betul anak derhaka si Kamarul. Tegar menipu ibu sendiri demi kepentingan diri. Selepas itu, menghilangkan diri begitu sahaja. Dalam masa dua hari, Rosnah dan Humairah perlu berpindah dari rumah ini.
            “Mana aku nak pergi, Siah? Ara tu, macam mana dengan dia? Aku dah tak boleh nak fikir apa-apa. Perit betul dada aku ni.” Rosnah mengurut dada. Terpejam matanya. Sampai hati dia!
            Humairah yang curi-curi dengar sudah tersandar di tepi dinding. Bergenang juga airmatanya. Semua perasaan bercampur-baur. Marah, geram sedih semua bersatu menjadi perasaan yang tidak mampu diungkap dengan kata-kata.
            Tanah yang mereka duduki tergadai kini. Ini semua gara-gara Kamarul. Humairah benci dengan lelaki itu. Benci. Pak Usunya itu terlalu banyak beri keperitan dalam hidup Rosnah. Dia tahu walau Rosnah tidak pernah merungut tentang perangai Kamarul.
            “Ara.”
            Humairah tersentak. Disapu airmata yang tinggal sisa. Dia berdiri.
            “Ara menangis?”
            Tergeleng-geleng kepala Humairah. Dia cuba menempel senyuman plastik.
            “Nah, bawa ke dapur. Nenek Ara tu dah tak mahu makan. Penat makcik paksa, suap-suap pun dia tak mahu jugak.” Kamsiah menghulur pinggan pada Humairah.
            “Lagi satu, kejap lagi Ara kemaslah barang-barang Ara. Masukkan semua dalam beg,” sambung Kamsiah lagi.
            Humairah termangu-mangu. Kemas barang?
            “Kain baju nenek Ara tu biar makcik yang kemaskan.”
            Kata-kata Kamsiah membuatkan Humairah terdiam tanpa kata. Dia sebenarnya tidak memahami situasi yang sedang berlaku. Tadi suruh dia kemas barang. Sekarang Kamsiah menawarkan diri mengemas kain baju neneknya. Mereka hendak dibawa ke mana? Humairah berdiri pegun di depan Kamsiah.
            “Dah, pergi kemas sekarang. Angkut barang yang perlu aje,” arah Kamsiah sebelum menghilang di balik pintu.
            Humairah menurut. Dia bergegas ke dapur. Pinggan itu dicuci dahulu sebelum dia menapak memasuki biliknya. Terduduk dia di atas katil.

SESUDAH menunaikan solat fardhu Isyak, Humairah mendapatkan Rosnah yang terbaring di atas katil. Dari luar dia dapat dengar dengan jelas Rosnah batuk-batuk. Terus dia berpatah balik ke dapur. Segelas air kosong suam diambil.
            “Nek, minum air ni.” Humairah menyuakan gelas itu ke mulut Rosnah.
            Rosnah menurut. Air suam itu dihirup sedikit.
            “Ara...”
            Humairah menoleh. Rosnah sedang merenunginya dengan mata berkaca-kaca. Humairah menggenggam tangan Rosnah. Dia tahu, neneknya memendam perasaan kecewa di dalam sana.
            “Maafkan nenek,” tutur Rosnah. Perlahan.
            “Apa nenek cakap ni?”
            Rosnah mengusap pipi Humairah. Suatu ketika dahulu, ketika mula-mula dia pancangkan hati untuk menjaga Humairah, dia pernah berjanji akan memberikan kehidupan yang baik kepada Humairah. Menjamin masa depan Humairah tegak lurus tanpa bersimpang-siur seperti sekarang.
            “Nek, Pak Usu buat nenek sedih kan? Sampai hati dia.” Humairah memeluk Rosnah dengan erat. Penderitaan Rosnah turut sama dirasainya.
            Rosnah agak terkejut kerana Humairah sudah tahu tentang penipuan Kamarul tetapi dia beriak tenang.
            “Lepas ni kita nak tinggal mana, nek?”
            Tiada jawapan.
            “Nek...”
            Rosnah menarik nafas dalam-dalam.
            “Kita akan tinggal di rumah kosong kepunyaan keluarga Kamsiah,” beritahu Rosnah.
            Humairah meleraikan pelukan. Rumah Kamsiah? Patutlah petang tadi Kamsiah beria-ia menyuruh dia berkemas, rupanya mereka akan dibawa ke rumah wanita itu. Humairah langsung lupa tentang Haikal, lelaki kutu rayau yang sering menganggunya, merupakan anak kepada Kamsiah.
            “Esok Makcik Siah datang ambil kita.”
            Humairah menunduk merenung lantai beralas tikar mengkuang. Pindah? Terlalu banyak kenangan yang tercipta di dalam rumah ini. Di rumah ini dia mengenal erti berdikari. Di rumah ini dia menumpang kasih dengan Rosnah. Perlahan-lahan, Humairah mengangguk.


Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: .................................