Thursday, November 29, 2012

[Novel] : Puteh Bab1&Bab2.

Assalamualaikum.
"...The heart will rest and feel relief, if it is settled with Allah. And it will worry and feel anxious, if it settled with the people..." - Ibn Qayyim Al-Jawziyyah









Bab satu
JOHAN berdiri tegak di hadapan sebuah galeri. Terpampang dengan jelas abjad demi abjad yang meliuk-liuk dan membina satu perkataan. Anggun Gallery. Johan mengecilkan anak mata. Dia memandang keadaan sekeliling sebuah bangunan dua tingkat yang terletak di antara sebuah kedai makan dan kedai bunga. Kemudian matanya beralih pula ke arah sebuah Proton Waja yang dipakir betul-betul di hadapan Anggun Gallery. Sebuah senyuman tersunging dibibirnya. Tahu siapa pemilik kereta tersebut.
            Tanpa membuang masa, Johan terus menolak daun pintu kaca galeri tersebut. Dia meletakkan beg yang disandangnya di atas kaunter berhadapan dengan pintu masuk. Anak mata Johan meliar melihat persekitaran yang nampak lebih baik dari sebelumnya. Terasa berbaloi melaburkan sejumlah wang untuk melakukan beberapa pengubahsuaian kepada galeri yang dimilikinya bersama seorang teman.
            Johan menatap jam yang tersuai dipergelangan tangan. Baru menganjak ke angka sembilan setengah pagi. Kebiasaannya temannya tidak akan tiba ke galeri seawal ini. Tetapi lain pula halnya dengan pagi ini. Johan menghayun langkahnya, laju menuju ke arah sebuah bilik yang terkuak sedikit daun pintunya.
            Daun pintu yang tidak tertutup rapat itu ditolak perlahan. Seakan pencuri pula. Setapak demi setapak dia melangkah masuk ke dalam bilik itu. Berhati-hati agar tuan empunya diri yang sedang asyik mencanting sesuatu di kanvas tidak terkejut dengan kahadirannya. Johan tersenyum memerhati Puteh Wirnayu. Kekhusyukan gadis yang dikenalinya sejak di universiti itu langsung tidak terganggu.
            Johan merapati Puteh Wirnayu. Senyuman tersunging saat melihat temannya begitu asyik mencanting warna-warna di atas kanvas yang mulai penuh dengan pelbagai illusi. Johan menyentuh lembut bahu Puteh Wirnayu namun tindakannya menyebabkan gadis berusia petengahan 20-an itu mengalami kejutan.
            Bukk!!!...
            “Adoii... sakitnya!” Johan mengaduh kesakitan. Tumbukan itu padu tepat mengenai perutnya. Terasa senak. Berkerut dahinya.
            Puteh Wirnayu segera berdiri. Terkebil-kebil memandang ke arah Johan yang menunduk sambil menekan perut. Puteh Wirnayu menggigit bibir. Disangkan siapa, rupanya Johan Azami.
            “Joe.. kau ni. Kan tak pasal-pasal kena dengan aku. Yang kau masuk senyap-senyap ni, kenapa? Kan dah kena.” Puteh Wirnayu berkata dengan wajah yang diselubungi rasa bersalah.
            Johan masih menahan rasa sakit. Tahu temannya ada memiliki ilmu taekwando, tetapi tidak pula terfikir akan merasa hasil ilmu yang dipelajari sejak di alam persekolahan. Johan mengangkat muka. Wajahnya masih berkerut.
            “Sakit tahu tak! Kau ni kan Puteh, main halakan aje penumbuk kau. Esok-esok kalau kau kahwin, habislah laki kau. Asal nak bergurau, mesti kena punya dengan kau. Yalah... tak boleh terkejut! Asal terkejut, penumbuk yang singgah dulu,” omel Johan. Dia menarik kemeja yang dipakainya dengan niat hendak melihat apakah tumbukan itu meninggalkan kesan pada badannya.
            Berkerut dahi Puteh Wirnayu melihat kelakuan Johan. “Kau nak buat apa tarik baju macam tu?” tanya Puteh Wirnayu.
            Johan memandang Puteh Wirnayu. Menarik nafas dalam. Berkata0 sambil menunjukkan bahagian yang ditumbuk Puteh Wirnayu sebentar tadi. “Ni, aku nak tengo kot-kot ada lebam ke tak.”
            Mendengar kata-kata itu, Puteh Wirnayu segera menghalang perbuatan Johan. Tidak sanggup melihat badan teman baiknya. Malu! Johan kehairanan.
            “Kenapa?” soal Johan.
            “Yang kau nak buka baju depan aku ni pasal apa?”
            Johan mencekak pinggang. “Kau tu dah tumbuk aku. Mana tahu kau dah buat badan aku bercop rasmi bentuk buku lima kau tu. Kang turun harga aku,” balas Johan.
            Puteh Wirnayu mencebikkan wajah. Dia kembali duduk di kerusi. Mengambil berus cat dan mencanting semula di kanvas.
            “Alah, baru kena sikit ajelah Joe. Tak adanya badan kau lebam-lebam,” kata Puteh Wirnayu. “Kau tu yang patah. Patah yang comel. Kena sikit dah nak mengaduh sakit-sakit,” sambungnya dengan tawa kecil meletus dibibir.
            Johan segera berdiri di depan Puteh Wirnayu. Dia bercekak pinggang. “Cik Puteh Wirnayu, patah-patah aku pun tetap jantan tau,” bidas Johan.
            Puteh Wirnayu tersenyum gelihati. Tahu Johan hanya berpura-pura naik angin apabila digelar sedemikian. Dia mengenali Johan dengan baik. Malah Johan bagaikan seorang abang baginya. Walaupun Johan kelihatan lembut diluaran tetapi jika sudah naik angin, jawabnya terserlah kejantanan yang dimiliki oleh lelaki tersebut
            Johan memerhati Puteh Wirnayu yang kembali khusyuk mencanting warna-warna pada kanvas lukisan. Wajah Puteh Wirnayu kelihatan serius namun sesekali wajah itu disirami senyuman manis. Pandangan Johan jatuh semula kepada lukisan itu. Tertanya-tanya melihat lukisan itu. Ada sesuatu yang cuba disampaikan.
            “Puteh...”
            “Hmm...” sahut Puteh Wirnayu dengan suara yang dalam.
            Johan masih memerhati lukisan yang hampir siap itu. Kemudian beralih pula pada seraut wajah tenang di sisinya. Ada banyak perkara yang bermain dibenaknya sejak dulu. Walau sudah diluah namun ianya tetap melingkari minda.
            Semasa di alam universiti dahulu, Puteh Wirnayulah yang menjadi sahabat baiknya. Puteh Wirnayulah teman yang paling akrab malah hubungan baik antara mereka pernah disalahtafsirkan oleh rakan-rakan lain yang menganggap Puteh Wirnayu dan dia adalah pasangan kekasih!
            Mungkin disebabkan oleh keakraban itu yang menjadikan teman-teman sekuliah beranggapan sedemikian. Di mana ada Puteh Wirnayu, di situlah ada dia. Hinggakan bekas kekasih Puteh Wirnayu semasa di universiti dulu tidak menyukai dirinya yang hampir saban waktu menghabiskan masa dengan si gadis.
            “Kau tak rasa rugi ke habiskan masa dekat sini, dengan galeri ni sedangkan kau boleh dapat sesuatu yang lebih baik?” Johan menyoal.
            Tiada sebarang reaksi.
            “Aku tahu Papa Haron berharap sangat kau kembali ke sana. Papa Haron ada beritahu pada aku yang dia berharap sangat kau bergandingan dengan Rina, sambung kesinambungan usaha dia,” sambung Johan.
            “Kau ni kan Joe, boleh jadik anak lelaki papa. Pasal aku pun kau tahu,” balas Puteh Wirnayu. “Bukan aku tak nak. Tapi bagi aku lebih baik keadaan berterusan macam ni. Aku tak nak menyakiti sesiapa terutama orang yang aku sayang,” tambah Puteh Wirnayu. Suaranya mendatar sahaja.
            “Maksud kau, Mama Za?”
            Puteh Wirnayu menghela nafas. Mengangguk tidak, menggeleng pun tidak. Membiarkan tekaan Johan terawang-awang begitu sahaja walhal tekaan itu mengena.
            “Lagipun kau tahukan, Anggun Gallery ni nyawa aku? Aku sayang galeri ni, aku sayang nak tinggalkan sesuatu yang dah kita usahakan bersama.”
            “Aku tahu kau memang sayang pada galeri ni tapi aku kan ada. Tak rugi kalau kau terima apa yang papa kau nak bagi kat kau. Dua-dua dapat. Perniagaan sendiri dan harapan papa kau. Betul tak?”
            Puteh Wirnayu menyepi.
            “Betul tak Puteh?” Johan mengulangi pertanyaan apabila Puteh Wirnayu seakan tidak mendengar apa yang dibebelinya tadi.
            “Puteh...” Johan memanggil.
            Puteh Wirnayu seakan tidak mendengar pula walhal jarak antara mereka hanya beberapa inci sahaja.
            “Puteh Wirnayu!” Kali ini suara Johan kedengaran tegas.
            Puteh Wirnayu berpaling. Seketika cuma.
            “Kenapa Joe?”
            Johan berpeluk tubuh. Nyata Puteh Wirnayu tidak mendengar apa yang dikatakannya tdi. Buat penat mulut sahaja! Getus Johan dalam hati.
            “Kau tak dengar ke apa yang aku cakap?”
            Puteh Wirnayu menggeleng. Sungguh! Dia langsung tidak tahu apa yang diomong oleh temannya. Johan berdiri. Bercekak pinggang. Gaya seperti ibu tiri yang garang pula.
            “Apa yang kau bebel tadi?” tanya Puteh Wirnayu. Kali ini tumpuannya penuh kepada Johan.
            Johan berpeluk tubuh pula. Membazir air liur sahaja dia bercakap tadi rupanya. Perangai Puteh Wirnayu inilah yang menjadikan dia tidak ubah seperti seorang ibu pula. Sentiasa membebel.
            “Tengok tu. Aku cakap bukannya nak pasang telinga. Ni, tekak aku dah kering tahu tak? Buat penat aje aku bukak mulut, cot cet cot cet... rupanya kau tak dengar. Hisy... dah macam orang tak ada pendengaran pulak. Agaknya kau ni kalau dah terlalu leka, letak bom sebelah pun belum tentu sedar gamaknya!” Johan membebel kurang senang.
            Puteh Wirnayu melebarkan telinganya. Dalam hati ketawa gelihati melihat reaksi Johan. Sekejap mengangkat tangan. Sekejap menuding pula ke arahnya.
            “Kau ni macam mak aku pulak!” celah Puteh Wirnayu ketika Johan masih lagi berbicara tentang ketidakpuasan hatinya.
            Johan terdiam tetapi mereka ketawa bersama kemudiannya.
            “Mama kau membebel macam aku ke?” soal Johan.
            Puteh Wirnayu menyepi. Mama? Entah, barangkali dia tidak punya seseorang yang patut digelar sedemikian di dunia ini. Walau saban waktu berjumpa, meskipun bertahun-tahun duduk sebumbung namun itu semua bukanlah satu peluang untuknya mengecapi kebahagiaan memiliki seorang insan bergelar ibu.
            Kerana sayang dan kasihnya kepada seorang insan, dia berada di sini hari ini dan mungkin selamanya. Apa yang memilukan dia mungkin terpaksa mengenepikan permintaan papanya. Dan kerana dalamnya kasih itu, dia sanggup mengambil kata putus untuk melakukan sesuatu di luar perkiraannya. Biarlah itu menjadi rahsia.
            Puteh Wirnayu kembali mencanting berus catan di kanvas namun rentaknya tidak seperti tadi. Tidak selancar sebelumnya. Johan mulai hairan. Mungkin ada sesuatu yang mengganggu tumpuan temannya. Dia salah tanyakah? Johan tertanya-tanya.
            “Kau okey ke?”
            Puteh Wirnayu segera mengangguk. Apa yang bermain dalam hati pantas dibenamnya. Tersenyum sedikit memandang Johan.
            “Ke kau ni...” Johan mengangkat kening. Bagaikan menghidu sesuatu yang lain.
            Puteh Wirnayu mengerutkan dahi. “Hah, apa yang kau fikir tu hah?”
            Johan tersengih.
            “Kau ingat kat Akmal ke?”
            Pertanyaan Johan hampir membuatkan Puteh Wirnayu meloncat. Melencong benar tekaan Johan. Lain yang aku fikir, lain pulak yang dia teka! Gumam Puteh Wirnayu dalam hati.
            “Kau ingat kat Akmal, kan?” Johan terus meneka dengan tekaan yang sama.
            “Buat apa aku nak ingat dia? Tak kuasa tau. Entah-entah dia langsung tak terfikir pasal aku,” tingkah Puteh Wirnayu.
            Johan ketawa nakal. Tahu hubungan baik yang terjalin antara temannya dan Akmal. Puteh Wirnayu dan Husaini Akmal. Sesuai dan sepadan! Johan sudah terbayang-bayang bagaimana sekiranya Puteh Wirnayu berpancaran dengan lelaki dambaan ramai gadis di luar sana.
            “Tu... kenapa senyum sorang-sorang? Apa yang pusing-pusing dalam kepala kau?” Puteh Wirnayu bertanya dengan penuh curiga.
            Johan tersengih lagi.
            “Aku terbayangkan kau dengan...” Tidak sempat menghabiskan kata-kata, Puteh Wirnayu memotong percakapannya terlebih dahulu.
            “Dah, jangan nak merepek!”
            “Aku tak merepeklah. Kau dengan Akmal tu padan tau. Dia tu boleh tahan lawanya. Kau tak terpikat ke dengan Akmal? Apa yang aku tahu, dia tu diibaratkan teruna idaman tau kat tempat dia kerja. Anak-anak dara kejar dia. Hah, bukan anak dara aje, janda pun boleh terpikat. Kau? Padahal hampir setiap hari jumpa. Takkan tak ada apa-apa perasaan?”
            Johan cuba untuk menyelongkar apa yang tersimpan dalam hati Puteh Wirnayu. Rahsia yang mungkin tersisip nama Akmal. Puteh Wirnayu buat tidak endah. Tetapi terfikir juga, ada hatikah dia pada Akmal? Sesekali pernah juga dia merindui lelaki kelahiran ibu kota itu. Ah, mainan perasaan sahaja agaknya! Puteh Wirnayu menyangkal diam-diam.
            “Kau ni kan Joe, kalau pagi-pagi tak merapu tak boleh ke?”
            Johan ketawa lagi. Pintar sungguh gadis ini menyembunyikan apa yang terkumpul di dasar hati.
            “Aku cakap apa yang betul. Kau single. Akmal pun sama. Padanlah tu!” Johan masih mahu mengusik sedang Puteh Wirnayu semakin rimas apabila perihal Akmal yang menjadi topik.
            “Dahlah, aku nak buat kerja ni. Hah, kau nak kena potong gaji ke? Baik buat apa yang patut. Kang tak pasal-pasal bulan ni kau makan gaji designer kau tu aje,” ugut Puteh Wirnayu.
            “Eleh, sikit-sikit ugut pasal gaji!” rungut Johan.
            Puteh Wirnayu pula tertawa kecil. “Dah, pergi sana. Aku nak siapkan lukisan ni. Hilang semua idea aku bila kau menepek dalam bilik ni.”
            Johan tersengih dan berlalu keluar dari bilik yang dikhususkan menjadi tempat Puteh Wirnayu untuk berkarya.
            Sebaik sahaja Johan menghilang, Puteh Wirnayu kembali memikirkan kata-kata Johan. Akmal... Husaini Akmal. Lelaki itu dikenalinya beberapa tahun yang lalu. Di galeri ini juga. Ketika itu Akmal membeli sebuah lukisan yang hendak dihadiahkan kepada seseorang. Pada fikirannya mungkin teman istimewa lelaki itu.
            Berperasaankah dia kepada si teruna idaman itu? Ah... semuanya hanya mainan. Kalau pun dia punyai perasaan itu, mungkin bagai menyapa angin sahaja. Barangkali lelaki itu sudah punya teman istimewa. Puteh Wirnayu menggeleng kepala. Membuang apa yang sedang berlegar-legar dalam fikirannya. Dia mesti fokus.

**********************

Bab dua
KEDATANGAN  seorang teman mengundang senyuman di bibir Johan. Pantas dia mendapatkan Akmal yang sudah menanti di muka pintu. Mereka bersalaman dan saling bertanya khabar. Maklumlah, untuk beberapa hari ini mereka tidak berjumpa memandangkan Akmal punya tugas di luar kawasan.
            Akmal melebarkan pandangannya. Mencari seseorang yang ingin benar ditemuinya. Kemudian pandangannya kembali ke arah Johan yang berdiri di depannya. Terlihat sebuah senyuman tersunging di bibir Johan. Akmal membuat riak bertanya.
            “Dia ada kat dalam bilik tu. Tengah berhibernasi,” ujar Johan dalam tawa kecil.
            Anak mata Akmal mengecil. Berhibernasi?
            Johan pantas menepuk bahu Akmal. Kata-katanya sebentar tadi hanya gurauan sahaja. “Puteh ada dekat dalam bukan berhibernasi tapi buat kerja dia yang biasa tu lah.”
            Akmal turut ketawa. Menepuk dahi. Mana mungkin seorang manusia berhibernasi. Ah, terkena juga, desisnya.
            Akmal berlalu meninggalkan Johan yang kembali sibuk melayan seorang pelanggan di situ. Dia menuju ke sebuah bilik. Langkahnya terhenti di depan sebuah bilik yang tertutup rapat. Di muka pintu itu terlekat satu plat hitam yang tertulis nama Puteh Wirnayu Puteh Haron. Akmal menguak pintu itu perlahan-lahan.
            Kehadirannya di muka pintu langsung tidak disedari oleh tuan punya bilik. Asyik sungguh melakukan kerjanya. Akmal kembali menutup pintu itu. Dia berjalan mendekati Puteh Wirnayu yang masih tidak menyedari dia di situ. Akmal tersenyum sedikit. Andai sudah leka, Puteh Wirnayu memang tidak ambil peduli dengan keadaan disekelilingnya.
            Akmal berdehem. Saat itu baru Puteh Wirnayu menoleh ke belakang. Nyata gadis itu terkejut melihat dia. Akmal menghampiri Puteh Wirnayu. Mata gadis itu masih membulat. Sesaat kemudian barulah gadis itu bisa menguntum sebuah senyuman yang manis dipenglihatan.
            “Akmal! Suka sangat buat saya terkejut. Bila masa Akmal masuk?”
            Akmal tersengih. Dia menarik sebuah kerusi kayu yang ada di sudut bilik itu dan melabuhkan punggung berhampiran dengan Puteh Wirnayu. Menatap lama wajah manis di depannya.
            “Puteh tu yang terlalu asyik dengan melukis sampai saya masuk sini pun tak perasan,” balas Akmal. Matanya tidak lepas merenungi si gadis. Dari mata, jatuh pula ke bibir yang sedang mengukir senyuman. Manis!
              “Macam si pencuri.”
            Akmal ketawa mendengar panggilan yang diberikan padanya. “Ada macam Robin Hood tak?” Akmal bertanya. Dia suka melihat riak wajah Puteh Wirnayu ketika berbicara. Suara gadis itu juga bagaikan angin lembut yang menyapa halwa telinga. Cukup indah.
            “Robin Hood?” Puteh Wirnayu memulangkan pertanyaan.
            Akmal mengangguk manakala Puteh Wirnayu ketawa kecil. Gelihatinya. Tangannya kembali rancak mewarna kanvas yang masih banyak putihnya. Meliuk-liuk tangannya. Akmal hanya memerhati.
            “Kalau Akmal jadi Robin Hood, mesti Robin Hood Malaya, kan?”
            “Tapi Robin Hood, kan pencuri,” kata Akmal. Dia sengaja membangkitkan persoalan itu supaya Puteh Wirnayu terus berbicara dengannya.
            Puteh Wirnayu tersenyum sedikit. Dongeng inggeris itu sungguh menarik dan dia menyukainya. Seseorang yang menggelar dirinya sebagai Robin Hood itu bukan pencuri biasa. Robin Hood mencuri harta raja yang zalim dan mementingkan diri sendiri lalu mengagihkan hasil curian kepada mereka yang memerlukan, bukan untuk kepentingan diri sendiri.
            Di zaman sekarang mana ada pencuri yang sedemikian rupa. Tidak mencuri untuk orang lain melainkan demi kepuasan diri sendiri. Mencari keuntungan melalui jalan yang salah. Akhirnya mangsa yang menanggung kerugian sedang si pencuri pula ketawa senang hati. Sungguh tidak berhati perut!
            “Dia pencuri yang baik. Robin Hood mencuri harta raja yang mementingkan diri sendiri dan tak peduli dengan rakyat jelata. Harta tu pulak diberi kepada orang-orang yang memerlukan. Kan baik niat dia walau jalan yang dipilih itu mungkin salah. Saya suka dengan watak Robin Hood,” omong Puteh Wirnayu dalam senyuman.
            “Tambahan pulak Robin Hood tak mengasari raja semasa mencuri, dia ambil senyap-senyap. Tahu-tahu aje harta dah hilang. Menarik, kan?” sambungnya lagi.
            Akmal tersenyum sedikit. “Kalau macam tu saya nak jadi Robin Hoodlah. Nak mencuri sesuatu.”
            Tawa Puteh Wirnayu meletus lagi.
            “Akmal nak mencuri apa? Harta raja? Ada banyak negeri yang punyai raja dalam negara kita ni. Hah, negeri mana dulu yang Akmal nak rompak? Tak pun Akmal nak pecah masuk bank negara?” Puteh Wirnayu kelihatan seronok meneka.
            Akmal tidak menjawab sebaliknya matanya terus  memerhati raut wajah Puteh Wirnayu dari sisi.
            “Saya nak mencuri sesuatu yang lebih berharga,” kata Akmal dengan sungguh-sungguh.
            “Apa benda tu?”
            Akmal menarik nafas. “Hati,” jawabnya pendek.
            Berkerut dahi Puteh Wirnayu. Hati? Hati apa yang mahu dicuri oleh lelaki ini? Hati lembu? Hati ayam? Atau hati nyamuk seperti yang diminta oleh Puteri Gunung Ledang? Nyamuk pun sudah sehalus itu, lagilah hatinya. Mungkin sahaja kecilnya bagaikan kuman.
            Puteh Wirnayu menoleh. Seraya memberikan senyumannya kepada Akmal. “Hati apa yang Akmal nak curi tu?” tanyanya dengan tumpuan penuh terhadap Akmal.
            “Hati Puteh.”
            Jawapan Akmal itu membuatkan Puteh Wirnayu kaku seketika. Nafasnya bagai terhenti. Mata bulatnya tidak lepas merenungi wajah Akmal. Lelaki itu kelihatan serius sahaja.
            “Saya nak curi hati Puteh.” Akmal mengulangi kata-kata itu dan suaranya ditekankan bila menyebut perkataan hati. Bagai mahu memberi petanda pula.
            Puteh Wirnayu masih seperti tadi. Mata keduanya saling berlaga. Lama. Salah dengarkah dia? Puteh Wirnayu berkata dalam hati. Ya, dia bagaikan mengalami mimpi pula.
Semakin lama ditenung mata itu, semakin membuatkan jantungnya berdegup tidak menentu. Semakin membenarkan perasaan itu mencapai dasar hati. Pantas Puteh Wirnayu mengalihkan pandangan mata. Ketawa kecil demi meminggirkan rasa hati yang merimaskan.
Akmal jadi pelik. Kenapa Puteh Wirnayu ketawa sedang dia memang mengkehendaki gadis itu mengerti kata-katanya.
“Buat apa Akmal nak curi hati saya? Nanti saya nak hidup pakai hati apa? Kang tak panjang pulak usia saya,” senda Puteh Wirnayu.
            “Puteh hidup dengan hati saya. Sampai bila-bila,” kata Akmal. Suaranya masih kedengaran serius.
            Puteh Wirnayu semakin tidak menentu. Kenapa dengan Akmal hari ini? Bermain dengan kata-kata yang membuatkan dia merasakan sesuatu. Sesuatu yang mahu mencapai dasar hatinya. Puteh Wirnayu menarik nafas dalam. Dia berlagak tenang.
            “Kalau saya hidup dengan hati Akmal sepanjang hayat saya, alamatnya saya jadi si tomboylah. Dan Akmal pulak nanti jadi lembut,” balas Puteh Wirnayu dengan tawa yang disengajakan.
            Akmal turut ketawa. Dia terus manatap wajah itu. Ternyata hati lelaki itu tidak dapat meneka ombak yang sedang mengganas dalam diri si gadis yang dipuja dalam diam.
            “Puteh sayang saya?” Tiba-tiba Akmal bertanya setelah agak lama mendiamkan diri.
            Sekali lagi Puteh Wirnayu merasakan hatinya bagai ditarik-tarik. Pertanyaan itu membuatkan jantungnya berdegup kencang. Lebih kencang dari sebelumnya. Ya Tuhan! Kenapa dengan dia? Setiap butir bicaranya menjadikan aku tidak menentu. Hati Puteh Wirnayu berbicara resah.
            “Puteh..” Akmal memanggil apabila pertanyaannya tidak berjawab.
            Puteh Wirnayu menoleh. Kemudian tersenyum sedikit.
            “Kenapa Akmal tanya macam tu? Tentulah saya sayang. Kan Akmal kawan saya. Saya sayang semua kawan-kawan saya,” ujar Puteh Wirnayu. Dengan lembut dia menggenggam tangan Akmal. Seolah menyakini diri menyayangi Akmal selayaknya seorang teman.
            Dalam diam Akmal merasakan hatinya berat. Berat dengan pengakuan Puteh Wirnayu. Sayang Puteh Wirnayu padanya hanya sekadar teman. Akmal mengeluh perlahan. Namun dalam hati dia bertekad mahu meluahkan apa yang terpendam sekian lama.
            Puteh Wirnayu mengalihkan pandangan mata. Semakin lama ditatap mata itu, hatinya kian berombak ganas. Akmal terus memerhati Puteh Wirnayu. Payahnya dia hendak meluahkan apa yang sedang meratai diri.

“MANA Rina ni? Biasanya tak lambat macam ni,” sungut Puteh Wirnayu. Dia memandang sekeliling. Kelibat Puteri Sarina langsung tidak kelihatan.
            Akmal tersenyum melihat reaksi Puteh Wirnayu yang keresahan. Wajah itu berkerut tetap manis di matanya. Akmal melihat jam dipergelangan tangan. Memang Puteri Sarina agak lewat hari ini. Biasanya kalau mereka makan bersama, Puteri Sarina terlebih dahulu sampai di tempat yang dijanjikan.
            “Sabarlah. Kejap lagi sampailah Rina tu.” Akmal cuba memujuk supaya gadis itu bersabar untuk sebentar lagi.
            Puteh Wirnayu memeluk tubuh. Mengecil matanya melihat sesusuk tubuh sedang berlenggang mendekati mereka. Sah, itu Puteri Sarina. Gadis itu tersengih sahaja ketika sudah berhadapan dengan si kakak. Dia menarik kerusi dan duduk bersebelahan Puteh Wirnayu.
            “Hai Akmal,” sapa Puteri Sarina.
            Akmal membalas sapaan itu dengan senyuman.
            Pandangan Puteri Sarina kembali terarah pada Puteh Wirnayu. Senyuman masih mekar dibibir. Tahu silapnya hari ini. Dia yang menentukan tempat dan waktu mereka makan bersama tetapi dia juga yang tidak menepati janji itu.
            “Maaf, kak. Rina terlambat hari ni. Bukan sengaja tapi tadi kat office ada meeting. Tu yang Rina lambat.” Puteri Sarina menceritakan perkara yang menyebabkan dia lambat.
            Puteh Wirnayu ketawa kecil. Wajah Puteri Sarina yang berkerut ketika menceritakan sebab kelewatannya membuatkan Puteh Wirnayu gelihati.
            “Maaf tau kak,” ucap Puteri Sarina.
            Puteh Wirnayu mengangguk. Puteri Sarina tersenyum senang. Kemudian Puteri Sarina menghampirkan wajahnya ke muka Puteh Wirnayu. Mereka saling melagakan pipi. Tanda kemesraan.
Akmal memandang tidak berkelip. Setiap kali pasangan adik-beradik itu bertemu, kelakuan itu menjadi perkara pertama. Tetapi tabiat itu tidak menjadi soal jika terjadi antara perempuan. Kalau lelaki sesama lelaki, sudah pasti digelar homoseksual.
“Korang berdua ni kalau tak saling lagakan pipi memang tak boleh ke? Tiap kali jumpa, mesti pipi dulu yang dicari,” ujar Akmal sabil menongkat dagu.
Puteh Wirnayu dan Puteri Sarina saling berpandangan.
“Tanda mesralah, Mal!”
Puteh Wirnayu dan Puteri Sarina berkata hampir serentak.
“Kalau macam tu kenapa Puteh tak pernah buat pada saya? Kan lagi mesra nanti,” kata Akmal tiba-tiba.
Membulat mata Puteh Wirnayu.
“Gila! Takkan saya nak cium pipi Akmal.” Hampir bercantum kening Puteh Wirnayu.
Akmal ketawa.
“Kata tanda mesra. Mesti boleh aje buat kat saya.” Akmal masih mahu mengusik.
Puteh Wirnayu mencebikkan wajah. Dipertontonkan buku limanya pada Akmal. Tawa Akmal masih sisa. Senyuman nakal meniti bibir lelaki itu.
Akmal memegang buku lima Puteh Wirnayu. Wajahnya beriak seolah-olanh langsung tidak takut dengan penangan buku lima gadis tersebut walau diketahui si gadis memiliki ilmu mempertahankan diri.
“Buku lima awak ni tak seberapa,” usik Akmal.
Tiba-tiba Puteri Sarina pula menyuakan buku limanya betul-betul di depan mata Akmal. Akmal terkebil-kebil.
“Kalau dua?”
Akmal menggelengkan kepala tanda menyerah kalah. Puteh Wirnayu tersenyum lebar. Kali ini Akmal kalah lagi meski pun saban waktu usikan itu dimulai oleh lelaki tersebut.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Berkongsi hasil taipan yang dah bersawang dalam laptop..:) Nukilan zezaman muda. Haha. Chill!