Monday, December 24, 2012

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab15.

Assalamualaikum.







"...Sometimes the strongest people in the morning are the ones that cry themselves to sleep at night..."








BAB 15
HAMPIR melompat keluar jantungnya apabila tiba-tiba dia disergah dari belakang. Seorang lelaki sedang tersenyum memandangnya. Nurul Ain marah dalam hati. Biadab betul sergah-sergah orang.
            “Nurul Ain tak kenal saya?” aju Irfan.
            Nurul Ain berhenti buat kerja. Dipandang wajah Irfan yang bersungguh-sungguh berkata seolah-olah mereka memang saling mengenali.
            “Siapa?”
            “Saya Irfan. Tak ingat? Saya pernah datang kedai bunga. Beli bunga kesukaan awak tu. Bunga matahari,” cerita Irfan.
            Mengecil mata Nurul Ain. Irfan? Eh, macam pernah dengar. Hah! Nurul Ain memetik jari. Barulah dia ingat. Sebab melayan permintaan lelaki ini, Faisal langsung pergi tanpa dia sedar.
            “Ain buat apa kat sini?” Irfan masih mahu mengajak Nurul Ain berbual. Dia mengekor langkah Nurul Ain.
            “Kerja.” Pendek jawapan Nurul Ain.
            “Kerja? Kerja apa?” tanya Irfan.
            Nurul Ain menarik nafas. Belum sempat hendak cakap apa pun, sekali lagi dia terkejut. Luruh jantungnya untuk kedua kali. Kalau tadi Irfan, sekarang Tengku Hanif pula. Entah dari mana datangnya lelaki itu. Kata pergi meeting. Meeting apa kalau baru beberapa minit sudah keluar.
            Nurul Ain beransur menuju ke meja Lufiya. Hari ini Lufiya cuti. Esok pun sama. Maka Tengku Hanif menyuruh dia menggantikan Lufiya. Bukan buat kerja Lufiya tetapi duduk di meja Lufiya. Kata Tengku Hanif, matanya sakit kalau nampak tempat itu kosong. Macam-macam betullah mamat ni! Nurul Ain merungut dalam hati.
            “Dia kerja dengan aku.”
            Irfan ketawa. Sengaja.
            “What? Kerja? In what position?”
            “Pembantu peribadi khas,” jawab Tengku Hanif.
            Semakin galak Irfan ketawa. Gelihati sebenarnya. Setakat anak bos, pun hendak pakai pembantu peribadi bagai. Lufiya seorang, tidak cukupkah? Irfan mencebik.
            Hakikatnya, dia terkejut mendengar kenyataan Tengku Hanif. Bukankah Nurul Ain bekerja di kedai bunga, macam mana tiba-tiba boleh jadi orang bawahan Tengku Hanif pula. Musykil di situ. Dan sejak bila Nurul Ain bekerja di sini? Selama hari ini, dia tidak pernah nampak Nurul Ain.
            “Ain!” panggil Tengku Hanif.
            Tergoncoh-goncoh Nurul Ain berjalan mendapatkan bos barunya.
            “Pergi beli kopi untuk aku.”
            “Tengahari macam ni?” Nurul Ain bertanya.
            “Kenapa? Tak boleh ke? Kopi tu kena minum pagi-pagi aje ke?” Bertalu-talu pula Tengku Hanif membalas.
            Terkulat-kulat Nurul Ain di situ. Di depan Irfan pula. Betul-betul tidak pandai jaga air muka orang. Nurul Ain menghayun langkah. Irfan turut sama mengekori langkah Nurul Ain. Langsung tidak mempedulikan Tengku Hanif yang memandang.
            “Saya nak ikut, boleh?”
            Nurul Ain menoleh sekilas. Angguk tidak, geleng pun tidak.
            “Maknanya boleh, kan?” ujar Irfan diselangi senyuman senang.
            “Apa sebenarnya kerja yang Hanif beri pada awak?”
            “Semua.”
            “Means?”
            “Saya buat semua kerja yang dia suruh. Macam sekarang ni, saya kena pergi beli kopi kegemaran dia tu dan persembahkan depan mata dia.” Nurul Ain menekan suara ketika menyebut ‘persembahkan’. Irfan ketawa terbahak-bahak.
            “Macam mana awak boleh kerja dengan Hanif? Sebelum ni saya tak pernah nampak awak.”
            “Awak ni macam wartawan, kan?”
            Irfan menggaru kepala. Tersengih lebar.
            “Hei, awak tak jawab soalan saya lagi. Awak!” Irfan terkedek-kedek mengejar Nurul Ain di depan sana. Selagi dia tidak peroleh jawapan yang dia butuhkan, dia akan terus bertanya kerana kewujudan Nurul Ain di dalam bangunan ini begitu memusykilkan. Apatah lagi bekerja di bawah naungan Tengku Hanif.

“EH, you nak ke mana?” tanya Kathy yang kebetulan baru sampai di depan pintu masuk bangunan itu. Atas bawah dia memerhatikan Tengku Hanif.
            Tengku Hanif tidak mempedulikan sapaan Kathy sebaliknya dia terus laju menuruni tangga dan menuju ke tempat dia memarkir kereta. Kathy membontoti Tengku Hanif. Rapat.
            “You!”
            Tengku Hanif berkalih ke belakang. Rimas betul berhadapan dengan Kathy. Setiap masa muncul depan mata.
            “I ada hal. Kalau you nak main-main, cari orang lain,” kata Tengku Hanif.
            Panjang muncung Kathy. “Mana ada I nak main. You ni! I nak ajak you keluar makan. Jom.” Kathy memaut lengan Tengku Hanif. Sebuah senyuman manis terpamer di bibirnya yang merah bak delima.
            “I tak mahulah,” dengus Tengku Hanif.
            Naik merah padam muka Kathy menahan perasaan marah yang terperuk dalam dada. Tengku Hanif selalu sangat menolak dia. Setakat ajak makan bersama pun susah! Kathy mengomel geram dalam hati.
            “Dahlah, kalau you tak nak, I pun tak ingin nak ajak you,” rajuk Kathy. Sementelah dia berfikir bahawa Tengku Hanif akan cuba memujuk dia, maka dia lebarkan langkah kaki. Konon merajuk. Nah, nyata pujukan itu di dunia mimpi. Saat dia berpaling ke belakang, Tengku Hanif sudahpun bersedia hendak pergi. Tidak sampai seminit pun, Tengku Hanif hilang dari pandangan mata. Hanya Yang tinggal hanya ngauman deruan enjin. Untuk sekian kalinya, Kathy makan hati.

NURUL AIN membelek sebuah majalah hiburan yang terletak di sebuah rak di satu sudut di ruang Coffee House itu. Sesekali dia menyoroti kaunter bayaran. Nampaknya pesanan itu masih belum siap lagi. Bosan berdiri di situ, dia duduk pula. Lambat betul. Pesanan dia entah yang keberapa agaknya. Ramai betul pelanggan di Coffee House ini.
            Tidak jauh dari kafe ini, selang beberapa lorong, ada sebuah kedai bunga yang mana dia pernah bekerja di situ. Rindunya pada Anisa usah di kata. Hanya telefon yang menjadi penghubung antara mereka. Menurut kata Anisa, Nirmala sudahpun mencari penggantinya. Wah, cepat betul! Pula penggantinya itu lelaki bernama Megat. Berbakul-bakul pujian Nirmala pada lelaki tersebut. Baiklah, bertanggungjawablah, peramahlah, semuanya elok belaka walhal baru beberapa hari bekerja.
            Cemerlang mata Nurul Ain saat ternampak seseorang duduk tidak jauh darinya. Cepat-cepat dia melangkah menghampiri lelaki itu. Lebar senyumannya.
            “Hai!”
            Faisal tersentak. Melambung tisu yang dipegang.
            Nurul Ain ketawa kecil.
            “Awak buat apa kat sini?” soalnya.
            “Tunggu awak,” beritahu Faisal. Sebuah senyuman halus tetapi cukup manis bagi Nurul Ain, terhias di bibirnya.
            Nurul Ain menelan air liur. Faisal bermain kata-kata. Berdegup kencang jantungnya. Fuh, lain macam betul!
            “Ain?”
            Kelam-kabut seketika fikiran Nurul Ain dek kata-kata yang menujah ke gegendang telinga. Sampaikan mengelamun dibuatnya.
            “Kenapa?” Faisal bertanya.
            “Berdebar!” Spontan Nurul Ain menjawab. Menyedari ketelanjuran bicaranya, Nurul Ain menekup mulut. Kenapa kau celupar sangat wahai mulut? Selalu mengungkap kata yang terlintas di fikiran!
            “Apa?”
            “Eh, tak ada apa-apa.” Tergagap-gagap dia menyusun kata. Kalaulah Faisal boleh melihat, tidak buta, tentu terang lagi bersuluh, lelaki itu dapat menatap muka tebalnya saat ini.
            “Saya rasa saya kena pergi sekarang,” tutur Nurul Ain.
            “Pergi mana?” tanya Faisal.
            Nurul Ain mengambil bekas cawan plastik yang dihulur seorang pekerja di kafe itu.
            “Pergi hantar barang kat putera kayangan.”
            “Putera kayangan?”
            “Haah. Putera kayangan yang bertapa dalam bangunan tinggi.” Nurul Ain terbayangkan raut wajah Tengku Hanif. Suara Tengku Hanif berputaran di telinga. Banyak kali! Sakit telinganya.
            Diikutkan hati, dia mahu duduk di sini lebih lama bersama Faisal. Sejak-sejak dia jadi orang suruhan sepenuh masa, jarang betul dapat jumpa Faisal. Hendak saling berbalas mesej, memang tidaklah. Telefon? Menurut kata Faisal, dia tidak pernah menggunakan gadget tersebut. Makanya, hubungan itu dieratkan dengan hati. Hati dia seorang, kan Nurul Ain?

SEPANTAS kilat, dia bangun dan menunduk sedikit sebagai tanda hormat. Dia pernah nampak muka wanita ini di dalam laman sesawang syarikat. Tengku Hanif yang suruh dia baca segala isi dalam laman sesawang tersebut. Sampai menguap bagai. Dia juga pernah beberapa kali terserempak dengan wanita bernama Datin Sabrina ini.
            “Tengku ada?” tanya Datin Sabrina. Panahan matanya tepat merenungi Nurul Ain.
            Nurul Ain menggeleng kepala. Tengku Hanif tidak masuk pejabat lagi memandangkan kopi di atas meja tidak berusik langsung. Ke mana lelaki itu pergi, tidak pula dia tahu.
            Datin Sabrina hendak melangkah pergi tetapi wanita itu kembali menghampiri Nurul Ain.
            “Awak budak baru yang kerja bawah Tengku, kan?”
            Nurul Ain mengangguk.
            “Apa kerja awak sebenarnya?”
            Ah, ini soalan paling sukar dijawab. Perincian tentang kerjanya di bawah naungan Tengku Hanif? Dia sendiri tidak tahu. Setakat dua tiga hari ini, dia banyak melangut sambil buat kerja yang entah apa-apa. Kerja yang tidak masuk akal.
            “Emmm...” Nurul Ain menggaru kepala. Wajah Datin Sabrina dipandang sekilas. Gerun.
            Sebaik terdengar tawa Datin Sabrina, Nurul Ain angkat muka. Berkerut dahinya.
            “Saya ni garang sangat ke?”
            Mulut Nurul Ain terbuka sedikit.
            “Awak tu, macam takut semacam aje,” seloroh Datin Sabrina.
            Hanya sengihan dipamer Nurul Ain.
            “Okey kerja bawah anak teruna saya tu?”
            Tidak tahu jawapan sepatutnya diberi, Nurul Ain angguk kepala lagi. Okey? Huh, langsung tidak! Nurul Ain turut cuba mengukir senyuman walhal hatinya sangat-sangatlah gementar pada perkara yang dia sendiri tidak tahu.
            “Na.”
            Nurul Ain dan Datin Sabrina menoleh arah yang sama. Datuk Awang Kader merapati mereka berdua. Tatkala renungan mata Nurul Ain dan Datuk Awang Kader, Nurul Ain rasa semacam. Renungan Datuk Awang Kader menujah sampai ke dasar hati.
            “Merata saya cari, rupanya awak di sini.” Datuk Awang Kader merapati isterinya. Datin Sabrina terus memaut lengan suaminya berserta senyuman manis. Sejuk hati Nurul Ain yang memandang. Nampak bahagia sungguh pasangan ini. Meski sudah lanjut usia tetapi masih romantis.
            “Abang!” Datin Sabrina menegur apabila menyedari suaminya begitu ralit memerhati Nurul Ain. Datuk Awang Kader tersentak. Cepat-cepat dia melarikan matanya daripada memandang si gadis kopi yang sudah empat hari menghantar kopi ke biliknya. Kata Tengku Hanif, Nurul Ain sudah menjadi pekerja tetap di syarikat ini sebagai pembantu khas.
            “Awak tak pergi makan?”
            Tergeleng-geleng kepala Nurul Ain. Teringat SMS yang diterimanya tadi. Tengku Hanif menyuruh dia jadi tunggul kayu di meja Lufiya dan tidak membenarkan dia ke mana-mana sehinggalah lelaki itu muncul.
            Akhirnya, dia juga yang gigit jari menahan lapar. Perutnya sudah berkali-kali mengalunkan lagu dondang sayang sampaikan bergenre rock sebagai tanda perutnya benar-benar lapar. Nurul Ain duduk di kerusi. Meliar matanya. Mana mamat ni? Nak biar aku mati kebulur ke apa? Nurul Ain menunduk. Sabar ya perut. Sekejap lagi aku isi kau dengan makanan. Nurul Ain mengusap perutnya yang tidak memahami bahasa pertuturannya.

KETUKAN kuat di meja mengejutkan Nurul Ain yang terlena. Sambil memisat mata, dia menguap. Tidak dihirau siapapun di depannya sekarang. Hanya apabila matanya menangkap susuk tubuh Tengku Hanif, barulah matanya terbuntang. Bulat.
            “Pemalas betul kau ni,” herdik Tengku Hanif. Dipandang wajah Nurul Ain, dengan rambut kusut-masai.
            “Muka macam orang senget!” sambungnya lagi.
            Nurul Ain membetulkan ikatan rambutnya. Dalam sekejap waktu, dia kembali seperti biasa. Kemas namun wajahnya masih kelihatan sembab. Tergeleng-geleng kepala Tengku Hanif melihat keadaannya.
            “Tengku...”
            “Apa dia?” Suara Tengku Hanif beriak kurang senang.
            Nurul Ain terkulat-kulat di depan Tengku Hanif. Dia tidak boleh tahan lagi.
            “Saya... saya lapar.” Tersekat-sekat suara Nurul Ain. Hah, kan sudah gagap!
            Tengku Hanif mendengus. “Yang kau tak pergi makan, kenapa? Nak aku suapkan?”
            “Tapi tadi Tengku kasi SMS, cakap yang saya kena tunggu Tengku balik. Selagi Tengku tak balik, saya tak boleh tinggalkan meja Lufiya ni,” tutur Nurul Ain. Mujur gagapnya berkurangan. Sekali lagi Tengku Hanif menyentak dia dengan suara petir, alamatnya gagap sampai sudah.
            Tengku Hanif terdiam. Lupa pula dia yang memberi arahan berkurung pada Nurul Ain tadi. Melihatkan wajah sungul Nurul Ain, Tengku Hanif jatuh kasihan. Jam berdetik menunjukkan sudah pukul tiga petang.
            “Kau pergilah makan,” kata Tengku Hanif. Dipulas tombol pintu dan dia hilang di sebalik pintu itu.
            Lebar senyuman Nurul Ain. Nasi, nasi, nasi! Bergegas dia mencapai beg lalu disandang ke bahu.
            “Eh, Ain! Nak ke mana tu?” Tiba-tiba Irfan menegur. Entah dari mana datangnya lelaki itu, Nurul Ain tidak sedar.
            “Makan.” Nurul Ain membalas ringkas.
            “Lewatnya awak pergi makan.”
            Nurul Ain sekadar pamer senyuman kecil.
            “Kalau macam tu, kita pergi makan sekalilah,” cadang Irfan. Terus mengekori langkah kecil si gadis.
            “Saya Irfan.” Irfan memperkenalkan diri.
            Nurul Ain mendongak. Dia sudah tahu nama lelaki ini. Anisa pernah bercerita tentangnya.
            “Saya...”
            “Nurul Ain!” potong Irfan. Manis senyuman yang terlakar di bibir lelaki itu. “Kita belum berkenalan secara proper, kan?”
            Nurul Ain mengangguk perlahan. Sesekali ekor matanya mengerling ke arah Irfan.
            “Salam perkenalan, Cik Nurul Ain,” tuturnya lagi. “Kita boleh jadi kawan, kan?”
            Entah kenapa Nurul Ain merasa gelihati mendengar kata-kata Irfan. Meletus tawanya. Irfan memandang pelik.
            “Kenapa?” Irfan terus memandang Nurul Ain dengan kerutan di dahi.
            Nurul Ain menggeleng.
            “Tak ada apa-apa.”
            “Iya ke?” Irfan musykil.
            “Jomlah. Saya betul-betul kebulur ni,” kata Nurul Ain. Semakin lebar langkahnya. Perutnya yang kosong ini harus segera diisi.
            “Tunggu!” Irfan menjerit sambil melambai ke arah Nurul Ain. Gigih dia menyaingi langkah gadis tersebut.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Blog ni cari pasal dengan aku ke? From last week, sampailah hari ni, asal aku nak upload gambo terus tak boleh. Hump. Maka nampak tulisan aje laa. Eh, hari tu pergi tengok CZ12. Sejam pertama bertahan mata ini pandang skrin kat depan sana. Lepas tu terus lelap. Bayar tiket untuk tidur sebenarnya. Orang gelak-gelak, aku layan kroohhhkrooohh.