Wednesday, December 26, 2012

[Novel] : Cinta Jangan Kau Pergi Bab16.

Assalamualaikum.






"...Don't cry because it's over, smile because it's happened..." - Dr. Seuss








BAB 16
SATU majlis doa selamat sempena menyambut ulangtahun kelahiran Asyikin diadakan secara kecil-kecilan. Puan Suriani menjemput saudara-mara terdekat dan jiran tetangga sekitar kawasan tempat mereka tinggal. Hari ini, genaplah umur Nurul Asyikin tiga belas tahun.
            “Syikin,” panggil Nurul Ain. Langkah kaki diatur mendekati Asyikin yang asyik berborak dengan Faisal. Dia melabuhkan punggung di sisi Asyikin dengan mata menyoroti Faisal yang duduk bertentangan dengannya. Sebenarnya dia terkejut apabila terlihat kelibat Faisal di dalam rumah ini. Seingatnya, dia tidak pula menjemput Faisal. Lebih hairan, bagaimana Faisal boleh tahu dan datang ke rumah ini sendirian.
            “Awak dah makan?” soal Nurul Ain. Tiba-tiba dia rasa gugup berdepan dengan lelaki itu walhal sebelum ini dia boleh bercerita apa sahaja. Hendak pandang muka Faisal pun dia fikir banyak kali. Bukan bertentang mata pun kerana Faisal pakai cermin mata hitam.
            Faisal mengangguk. “Dah. Tadi Syikin ambilkan. Sedap! Kata Syikin, awak yang masak. Mmm... dah boleh dah.”
            “Boleh? Apa yang dah boleh tu?” Nurul Ain bertanya, kurang mengerti.
            “Boleh kahwinlah,” sampuk Asyikin sambil menyiku pinggang Nurul Ain.
            Membulat mata Nurul Ain. Digerling si adik yang tersengih-sengih serupa kerang busuk. Nurul Ain menarik telinga Asyikin, kemudian dia menunduk sedikit lalu membisikkan sesuatu di telinga Asyikin. Terpejam-pejam mata Asyikin menahan geli akbiat desiran nafas kakaknya.
            “Bila masa Syikin jemput Abang Faisal datang majlis ni?” Nurul Ain bersuara cukup perlahan. Mujur juga Faisal tidak mampu melihat. Tentu lelaki itu kehairanan melihat keadaan dia saling berbisik dengan Asyikin ketika itu.
            Terangkat kening Asyikin. “Abang Faisal? Ehem!”
            “Apa?” Mencerlung mata Nurul Ain.
            Asyikin ketawa gelihati. Sakit dipukul Nurul Ain langsung tidak terasa.
            “Tu, kakak panggil abang kat pangkal nama beliau.” Asyikin menjuih mulut pada Faisal.
            Makinlah laju tangan Nurul Ain mengetam badan Asyikin. Sekejap di lengan, sekejap di peha dan pipi Asyikin turut menjadi mangsa.
            “Sakitlah kak!” Asyikin mengaduh. Sampai terpejam-pejam matanya.
            “Kenapa Syikin?” Faisal yang diam dari tadi mulai kedengaran suaranya. Serentak Nurul Ain dan Asyikin memandang ke arah Faisal.
            “Ada ketam terlepas ni, Abang Faisal,” senda Asyikin.
            “Hah?” Faisal tidak faham.
            “Dah, jangan dilayan cakap Syikin ni,” tutur Nurul Ain. Gerlingannya menusuk tepat ke wajah Asyikin.
            “Faisal, mari ikut makcik sekejap.” Puan Suriani memegang lengan Faisal. Membantu Faisal bangun. Nurul Ain dan Asyikin memerhati tanpa lepas sedikit pun. Wah, mak pun berkawan baik dengan Faisal. Apa kes ni? Nurul Ain menggaru kepalanya.
            Sepeninggalan Puan Suriani dan Faisal, Nurul Ain didatangi Hajah Kamisah, neneknya bersama seorang wanita seusia neneknya. Ditatapi wajah wanita itu. Tidak pula dia kenal.
            “Ain...” Hajah Kamsiah menepuk peha Nurul Ain beberapa kali sebelum memandang wanita itu berserta senyuman kecil.
            Kemunculan wanita itu mengundang tanda tanya. Siapa? Nurul Ain mengamati wajah berkedut itu. Kawan nenek barangkali. Nurul Ain bersalaman dengan wanita yang memperkenalkan diri sebagai Mak Jah. Mak Jah asyik mengulum senyum sahaja padanya. Hai, lawa sangat agaknya muka seposen ini. Nurul Ain menggumam dalam hati.
            “Dah besar dah Nurul Ain ni,” kata Mak Jah. Ralit memerhatikan Nurul Ain yang mulai tidak senang duduk. Lain macam betul Mak Jah ni.
            Nurul Ain pamer sengihan lebar. Mahu tak besar. Tengoklah siapa yang jaga dia di sini. Cukup makan, pakai. Lengkap semuanya.
            Bertambah kaget apabila Mak Jah ambil tempat di sebelahnya lalu menarik dia ke dalam pelukan orang tua itu. Hah, terus berpusing kepalanya memikirkan hubungan yang mungkin terbina antara mereka. Apatah lagi Mak Jah menyebut kata rindu. Nama Aisha juga disebut-sebut Mak Jah. Dia Nurul Ain, bukan Aisha.
            Hajah Kamsiah tidak berkata apa pun sebaliknya turut mengukir senyuman yang sukar dimengerti.
            “Rindunya Mak Jah pada Aisha. Rindu sangat!” bisik Mak Jah. Dikucup ke dua belah pipi Nurul Ain.
            Berkerut dahi Nurul Ain. Aisha? Siapa Aisha? Pandangan Nurul Ain berkalih ke arah Hajah Kamsiah.
            “Mak Jah, saya bukan Aisha. Saya Ain,” terang Nurul Ain. Dia meleraikan pelukan itu.
            Mak Jah masih mampu tersenyum meski Nurul Ain menidakkan kenyataannya. Diusap pula pipi itu.
            “Syukur keadaan Aisha baik-baik. Terima kasih, Kamsiah. Terima kasih.” Kali ini pelukan itu berganti pada Hajah Kamsiah.
            Nurul Ain terus memandang senario depan mata. Selama mana pun dia berkerut dahi, cuba merungkai apa yang terbentang depan mata, dia gagal. Segalanya saling berkait. Yakin Hajah Kamsiah punya hubungan dengan Mak Jah. Dia juga yakin bahawasanya dia bukan Aisha. Nama dia Nurul Ain. Nurul Ain.

“APA?!”
            Bergegar seluruh isi rumah dengan suara lantang Nurul Ain. Bergema! Puan Suriani turut terkejut. Terus dia berlari menuju ke ruang tamu. Di situ, Nurul Ain sedang mencekak pinggang sambil menikam panahan matanya pada Asyikin. Berteleku anak bongsunya di atas kerusi bersama mata berkelip-kelip memandang si kakak.
            “Kenapa ni, Ain? Apa yang kamu pekikkan tu? Terkejut mak. Suara bergema satu rumah,” omel Puan Suriani.
            “Syikin ni!” teriak Nurul Ain. Dicubit pipi Asyikin.
            “Sakitlah kak.” Asyikin mengaduh. Diusap pipi yang pedih itu.
            “Budak-budak ni!” Puan Suriani memanjangkan langkah menghampiri anak-anaknya.
            “Kenapa Ain?” Soalan itu terarah pada Nurul Ain. Nurul Ain hendak buka mulut tapi bila memikirkan kata-kata Asyikin tadi, dia tidak jadi berbicara. Terus disiku pinggang Asyikin.
            “Kakak tak mahu cakap, biar Syikin cakap. Macam ni mak, tadi Syikin cakap kat Aba...”
            Nurul Ain menekup mulut Asyikin. Meronta-ronta budak itu dibuatnya. Dia pernah membiarkan mulut itu berkata sesuka hati tetapi kali ini dia tidak akan mengizinkan perkara yang sama terjadi.
            Nurul Ain tersengih-sengih memandang Puan Suriani yang bercekak pinggangi di depan mereka.
            “Tak ada apa-apalah, mak. Tadi bergurau-senda dengan Syikin ni hah,” dalih Nurul Ain.
            “Betul?”
            Nurul Ain mengangguk. Kemudian dia memegang kepala Asyikin lalu ditundukkan beberapa kali secara paksaan. Nurul Ain tidak peduli amarah Asyikin waktu itu. Hanya apabila Puan Suriani pergi, barulah Nurul Ain melepaskan Asyikin. Asyikin tarik nafas panjang. Mujur tidak lama kakaknya menekup mulut dia.
            “Kenapa Syikin cakap macam tu pada Abang Faisal?” Mendatar suara Nurul Ain. Kedua belah pipi Asyikin dicubitnya lagi. Geram! Mulut itu memang tidak boleh dikawal. Apa yang hendak dikata terus dihambur keluar.
            “Alah, tak salah pun apa yang Syikin buat. Untuk kebaikan kakak jugak. Syikin tak mahu kakak melepas,” cebik Asyikin. Terherot-herot mulutnya.
            “Syikin ingat akak ni muka tembok ke, hah? Macam mana akak nak berdepan dengan Abang Faisal tu lepas ni? Malu tahu! Syikin ni memang sengaja tau,” getus Nurul Ain. Daripada duduk, sekarang dia berdiri pula. Berjalan mundar-mandir seperti pengawal keselamatan.
            Asyikin tertawa halus. “Nak malu apa? Tunggu akak cakap sendiri, memang taklah, kan. Mimpi! Tu, kan senang kalau Abang Faisal dah tahu yang kakak suka dia. Syikin nampak Abang Faisal senyum-senyum. Tandanya dia suka kakak jugak tau.” Penuh yakin Asyikin berkata. Dia nampak, maka dia tahu. Walau sedikit senyuman yang terlakar namun dia pasti senyuman sedikit itulah yang melambangkan betapa besarnya rasa suka di hati bakal abang iparnya itu. Asyikin senyum menyeringai.
            “Apa senyum-senyum?” bentak Nurul Ain.
            Semakin lebarlah sengihan Asyikin. Sampai ke telinga gamaknya.
            “Sukalah! Yang malunya muka ni jugak.” Cemberut muka Nurul Ain.
            “Tak payahlah akak nak malu sangat. Syikin dah buka jalan buat akak. Tengok, satu kerja dah beres. Lepas ni tinggal tunggu orang datang meminang akak. Tak sabar rasanya nak berabang iparkan lelaki istimewa macam Abang Faisal tu.”
            Asyikin mencicit lari pergi dari situ sebelum sempat bantal yang dibaling Nurul Ain singgah di mukanya. Dari dapur, Nurul Ain dengar Asyikin ketawa. Mak pun! Nurul Ain geleng kepala. Masak, masak! Nasiblah kau ada adik mulut tak boleh nak tutup macam Nurul Asyikin tu.
            Nurul Ain menekup muka. Ahhhh... terasa tebal kulit mukanya. Tebal sangat! Nurul Ain terbaring di kerusi. Dia terlentang memandang siling. Wahai perasaan malu, segeralah engkau pergi. Jangan melekat dengan aku supaya senang aku berdepan dengan Faisal. Pergi.

TENGKU HANIF tersenyum senang hati. Berbunga-bunga hatinya. Sampai di rumah, Datin Sabrina menegur perilaku peliknya. Dia jawab dengan senyuman juga. Lagilah mamanya ragu-ragu, entah penyakit apa yang menyerangnya.
            Direbahkan tubuh di atas tilam empuk. Sebiji bantal peluk panjang dirangkul erat. Ah, bahagianya perasaan ini. Dia menyukainya. Sekian lama dia tidak merasainya, sekarang dia bisa menikmatinya semula. Tengku Hanif memeluk erat bantal panjang itu seeratnya.
            Gia.
            Satu nama itu berdesir di telinganya. Sekelipan Tengku Hanif melepaskan bantal panjang itu, lalu duduk berteleku di atas katil.
            Gia.
            Nama itu berdesir lagi. Desiran itu disertai bayangan wajah seorang gadis. Senyumannya yang kabur-kabur itu semakin nyata. Lirikan mata dan tawanya juga semakin banyak melewati biasan pandangannya.
            Dia si gadis yang pernah mendapat tempat dalam hatinya. Dia si gadis yang sering menjadi igauannya. Malah gadis itu juga yang menjadi pencetus keregangan hubungan yang sedia dingin antara dia dan Irfan.
            Tengku Hanif mengeluh halus. Dia tidak meminta pengakhirannya jadi begini. Di saat diri sedar sedang dipermainkan, dia cuba menyelamatkan Irfan agar tidak terusan tenggelam bersama cinta yang tidak tahu di mana akhirnya.  Tengku Hanif bangkit. Dia merapati jendela. Luas matanya memerhati keadaan gelap di luar sana.

MAK JAH menyapu airmata yang mengalir di pipi. Teresak-esak dia menangis. Tangisannya bukan kerana sedih tetapi tangisan itu mewakili rasa syukur dan kegembiraan yang tidak dapat dizahirkan dengan kata-kata.
            “Selama hari ini Mak Jah cari kamu, Aisha. Merata Mak Jah cari. Akhirnya Mak Jah jumpa kamu juga. Ya Allah, syukur kerana selama ini Engkau melindungi anak kecil itu. Terima kasih Ya Allah,” seru Mak Jah berserta linangan airmata yang enggan berhenti.
            “Mak,” panggil Damia.
            Mak Jah mendongak. Dipandang wajah Damia dengan mata berkaca.
            “Kenapa ni mak” tanya Damia keresahan.
            Mak Jah memegang tangan Damia. Digenggam erat. “Mak dah jumpa dia, Mia.”
            Dahi Damia berkerut seribu. “Mak jumpa siapa?”
            “Aisha. Mak dah jumpa Aisha.”
            Semakin dalam kerutan di dahi Damia. Aisha? Dia cukup kenal dengan nama itu. Nama itu sering disebut maknya. Cerita kehilangan Aisha juga kerap singgah di telinganya. Cumanya dia tidak pernah kenal siapa Aisha sebenarnya dan apa kaitan Aisha dengan mak dan keluarganya sehingga Mak Jah bersungguh mencari Aisha.
            “Betul ke orang yang mak jumpa tu Aisha? Mak yakin?” Damia seakan ragu-ragu. Sekian lama tidak berjumpa, tidak bertentang mata, malah tidak pernah kenal, masakan dengan mudah menuding ke arah seseorang lalu dia itu orang yang dicari.
            Terangguk-angguk kepala Mak Jah. Dia yakin. Sangat yakin. Hatinya kuat mengatakan bahawa gadis itu Aisha. Aisha yang hilang berbelas tahun lamanya. Aisha yang cuba dijejaki sejak dia meninggalkan rumah besar itu.

Terima kasih kerana baca entri ini. Have a nice day :)

notahujungkaki: Masuk opis - bukak pc - main internet, Fb, Twitter, jelajah blog orang, layan movie, ect - Lapo, pergi makan - masuk opis semula - ulangi aktiviti pagi tadi - tidotido kejap - balik. Bosan kan? -..-' Inilah jadinya bila dak intern ditinggalkan bos kecik. Cepatlah sikit jumpa hari Jumaat.